Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Ganjaran baca, dengar al-Quran



DARIPADA Aisyah RA, beliau berkata Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya tiap-tiap sesuatu itu mempunyai kemegahan yang mana manusia berbangga dengannya dan yang menjadi kemegahan umatku ialah al-Quran yang mulia.”

 Sehubungan itu, walau sesibuk mana sekalipun urusan kerja dan aktiviti yang dilakukan dalam sehari, kita tetap diperingatkan supaya tidak meninggalkan amalan membaca al-Quran.

Membaca al-Quran bermakna seseorang itu sentiasa mengingati Allah SWT.

Satu perkara yang perlu sentiasa terpahat pada hati dan fikiran setiap Muslim adalah membaca al-Quran itu bukan hanya mampu memperoleh pahala bacaannya sahaja, malah ia bakal menjadi penyelamat, pelindung serta syafaat kepada pembacanya pada hari akhirat kelak.

Umamah al-Bahili meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Bacalah al-Quran. Pada hari kiamat, ia akan memberi syafaat kepada orang-orang yang membacanya.” (Sahih Muslim)

Bukan saja mereka yang membaca al-Quran, malah golongan yang mendengar bacaan al-Quran juga dikira sebagai melakukan amal kebaikan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan apabila al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan ia serta diamlah supaya kamu beroleh rahmat.” (Surah al-A’raaf, ayat 204)

Oleh itu, setiap Mukmin perlu menjadikan amalan membaca al-Quran sebagai amalan harian yang tidak sesekali diabaikan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Semulia-mulia ibadat umatku ialah membaca Quranul Karim (ibadat yang bukan wajib) bahawa sebaik-baik amalan umatku ialah membaca al-Quran.”

Al-Quran adalah senjata paling berkesan untuk membersihkan jiwa yang sering kali lalai kerana banyak melakukan dosa dan maksiat.

Daripada Ibnu Umar RA, beliau berkata, “Rasulullah SAW bersabda, hati manusia akan berkarat seperti besi yang dikaratkan oleh air. Apakah cara untuk menjadikan hati bersinar semula. Katanya dengan banyak mengingati mati dan membaca al-Quran.”

Rasullah SAW selalu meminta sahabatnya membaca al-Quran dan Baginda mendengar bacaan itu.

Ibnu Mas’ud menceritakan, Rasulullah SAW pernah memintanya membaca al-Quran. “Bacakan untuk saya wahai Ibnu Mas’ud.”

Ibnu Mas’ud menjawab, “Bagaimana mungkin saya membacanya untuk tuan sedangkan al-Quran diturunkan kepada tuan?”

Rasulullah SAW berkata: “Saya suka mendengar orang lain membaca al-Quran.”

Ibnu Mas’ud kemudian membaca Surah an-Nisaa’ dan ketika sampai pada ayat 41 yang bermaksud, “Maka bagaimanakah apabila Kami datangkan daripada tiap-tiap umat seorang saksi dan Kami datangkan engkau sebagai saksi terhadap umatmu ini?” Baginda berkata dengan air matanya berlinangan: “Sudah, cukup.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Begitulah besarnya ganjaran membaca dan mendengar al-Quran. Apatah lagi sekiranya al-Quran itu difahami dengan mendalam isi kandungannya.

Bagi menyamarakkan kemuliaan serta menghayati bulan Ramadan ini, kita dikehendaki sentiasa membaca serta menghayati isi kandungan al-Quran.

Ini kerana amalan membaca al-Quran itu dikira sebagai berzikir, malah zikir al-Quran lebih utama daripada zikir yang lain.

21/02/2024 Posted by | Ibadah, Tazkirah | | Leave a comment

ORANG AWAM JIKA RUJUK TERUS PADA QURAN & HADIS SESAT

MENJAWAB SALAH FAHAM TERHADAP KALAM BABA GHAZALI SEKAM حفظه الله
*Sila lihat video sampai habis supaya faham dengan baik اللهم هداية للصواب

Semalam berlegar satu video ceramah Baba Hj Ghazali Ahmad Sekam yang dikerat berdurasi 28 saat lalu menatijahkan salah faham dan kejian dari orang awam seperti “Dajjal” dan lain-lain والعياذ بالله. Kebanyakan mereka yang komen hanya berdasarkan video pendek tersebut.

1.Kalam Baba Li tidak jadi isu jikalau difahami sebaiknya dengan hati terbuka. Video yang dipotong itu merupakan sebahagian jawapan Baba Li kepada soalan penanya (lihat video di bawah). Tanpa mengetahui soalan yang diajukan, kebarangkalian salah faham terhadap jawapan mudah berlaku kerana itu dikatakan “فهم السؤال نصف الجواب” : “memahami soalan itu separuh jawapan”.

2.Keratan video 28 saat itu menjauhkan pendengar dari konteks sebenar apa yang dikehendaki oleh Baba Li. Soalan dan sambungan jawapan Baba Li merupakan salah satu konteks ( السياق ) yang menjelaskan kehendak sebenar. Secara mudahnya, “konteks” menurut Prof. Dr. Al-Syarīf Hātim Al-‘Awni حفظه الله adalah setiap perkara yang merangkumi dan meliputi sesuatu kalam/ucapan lalu memberi kesan terhadap kefahaman ucapan tersebut, sama ada ianya ucapan sebelumnya atau selepasnya…
السياق: كل ما أحاط بالكلام فأثّر في دلالته، سواء أكان كلاما سابقا أو لاحقا …إلخ

3.Imam Al-Syāfié (w204H) رضي الله عنه meletakkan satu fasal di dalam kitabnya yang agung الرسالة dengan ibarat :
الصنف الذي يُبيِّن سياقُه معناه. (ص٦٢-٦٣ رقم ٢٠٨-٢١١)

Imam ‘Izzuddin Ibn ‘Abdissalām (w660H) رحمه الله pula berkata dalam kitab الإمام في بيان أدلة الأحكام:
السياق مرشِدٌ إلى تبيين المجملات، وترجيح المحتملات، وتقرير الواضحات، وكل ذلك بعرف الاستعمال. (١٥٩/١-١٦٠).

4.Menurut Baba, orang awam apabila menghadapi masalah atau kecelaruan (seperti yang dijelaskan situasinya oleh penanya), Syara’ tidak menyuruh dan menuntut orang awam kembali (berinteraksi) kepada Al-Quran dan Al-Hadith TERUS. Perkataan “TERUS (secara langsung) ini poin utama yang ingin disampaikan. Namun malang sebahagian pihak seolah-olah sengaja menghilangkan perkataan ini ketika menukil dan mengkritik kalam Baba Li. Apa yang Baba katakan betul kerana syara’ memerintahkan dan menuntut orang awam yang berada dalam keadaan tersebut untuk bertanya kepada Ahli Ilmu bukan TERUS secara langsung kepada Al-Quran dan Al-Hadith. Allah berfirman:
‎فَسۡـَٔلُوۤا۟ أَهۡلَ ٱلذِّكۡرِ إِن كُنتُمۡ لَا تَعۡلَمُون (سورة النحل ٤٣ وسورة الأنبياء ٧)

Allah سبحانه وتعالى juga berfirman:

وَلَوۡ رَدُّوهُ إِلَى ٱلرَّسُولِ وَإِلَىٰۤ أُو۟لِی ٱلۡأَمۡرِ مِنۡهُمۡ لَعَلِمَهُ ٱلَّذِینَ یَسۡتَنۢبِطُونَهُۥ مِنۡهُمۡۗ وَلَوۡلَا فَضۡلُ ٱللَّهِ عَلَیۡكُمۡ وَرَحۡمَتُهُۥ لَٱتَّبَعۡتُمُ ٱلشَّیۡطَـٰنَ إِلَّا قَلِیلࣰا ﴿ ٨٣ ﴾ (سورة النساء).

5.Kemudian Baba kata jikalau orang awam kembali TERUS kepada Al-Quran dan Al-Hadith wajib sesat iaitu mesti sesat. Hal ini demikian kerana Al-Quran dan Al-Hadith ada bahagian yang mana tidak boleh difahami secara TERUS oleh orang awam. Ini bukan bermakna kedua sumber ini hak ekslusif ulama’ sahaja sebagaimana yang disangka oleh sebahagian masyarakat atas jalan olok-olok bila sebahagian Asatizah menegaskan perlunya kepada kefahaman Ulama’ Muktabar untuk memahami Al-Quran dan Al-Hadith. Semua bidang seperti perubatan dan kejuruteraan kan ada pakar rujuk masing-masing. Adapun sebahagian isi Al-Quran dan Al-Hadith yang mudah difahami secara umum oleh orang awam untuk diambil pengajaran seperti kisah-kisah kaum terdahulu maka tidak ada isu yang mana ia boleh difahami namun tetap melalui terjemahan yang dipercayai dan diktiraf pihak berwajib seperti JAKIM.

6.Jikalau ada orang kata kami tak pernah ajar orang awam kembali TERUS kepada Al-Quran dan Al-Hadith, bahkan kami ajar faham keduanya dengan kalam Ulama. Kita katakan bahawa kalam ulama juga sebahagiannya sukar untuk difahami oleh orang awam lebih-lebih lagi orang kita bahasanya Melayu manakala kalam Ulama pula berbahasa Arab seperti kitab-kitab tafsir, hadith, fiqh, aqidah dan lain-lain.
Hal ini diakui sendiri oleh Syaikh Ibn Taimiyyah (w728H) رحمه الله yang mana ia berkata dalam kitab beliau تلخيص كتاب الاستغاثة المعروف بالرد على البكري (٦١٥/٢):

وكلام الله ورسوله وكلام العلماء مملوء بما يفهم الناس منه معنى فاسدا، فكان العيب في فهم الفاهم لا في كلام المتكلم الذي يخاطب جنس الناس، كالمصرف لكتاب، أو الخطيب على المنبر ونحو هؤلاء؛…
“Kalam Allah (Al-Quran), kalam rasūliLlāh صلى الله عليه وءاله وسلم (Al-Hadith) dan kalam ulama dipenuhi dengan perkara yang mana manusia memahaminya dengan makna yang fasid (salah dan fatal), maka keaiban terletak pada kefahaman orang yang cuba memahami bukan pada ucapan pengucap…”

7.Lihat sahaja perihal kaum Khawārij. Walaupun mereka begitu fasih berbahasa Arab bahkan kalam mereka jadi hujjah dalam Bahasa Arab [boleh rujuk kitab Al-Kāmil karya Imam Al-Mubarrid رحمه الله dan himpunan syair mereka yang dikumpulkan oleh Al-Marhum Dr. Ihsan ‘Abbās رحمه الله yang berjudul ديوان شعر الخوارج ] namun mereka sesat jauh menyimpang dalam memahami Al-Quran dan Al-Hadith yang menunjukkan bahawa kemahiran dalam Bahasa Arab sahaja tidak cukup untuk memahami Al-Quran dan Al-Hadith dengan kefahaman yang tepat.

8.Sebab tu Baba pesan kepada orang awam yang ingin memahami Al-Quran dan Al-Hadith supaya mencari Ulama’ yang thiqah (dipercayai) dan ulama yang diberi title dan digelar sebagai ulama oleh ulama yang muktabar semisal Imam Al-Syāfié dan Imam Nawāwiy رحمهما الله . Namun orang awam tetap berhajat kepada bantuan Asatizah sebagai wasilah mereka memahami kalam ulama. Justeru itu Baba Li pesan kepada Asatizah supaya menyebutkan sumber rujukan (marāji’) ketika mengajar masyarakat awam. Bukan mengajar kosong tanpa rujukan muktabar sebagaimana sebahagian orang yang mengajar masyarakat yang akhirnya mengelirukan orang awam.

9.Walaupun salah satu piawaian (dhobit) memahami kalam ahli ilmu adalah “حمل كلام العالم على الصواب ما أمكن بغير تعسف” (ditanggung kalam Ahli Ilmu di atas makna yang betul selagi boleh tanpa ta’assuf/takalluf), namun jangan diketepikan piawaian yang lain juga iaitu “عدم الغلو في فهم كلام العلماء” (tidak melampau memahami kalam Ulama” kerana piawaian seterusnya menyebutkan أولى ما يفسر كلامَ العلماء كلام العالم نفسه” (Yang paling utama menafsirkan kalam Ulama ialah kalam ulama’ itu sendiri).

10.Sebagai nasihat sesama Asātizah, janganlah kita terikut dengan budaya menyebarkan keratan video pendek yang jauh dari konteks asal yang ingin disampaikan lebih-lebih lagi jika boleh menatijahkan salah faham dan kejian orang awam kepada pemilik kalam tersebut. Salah faham kerana dengar ucapan sekerat telah berlaku pada zaman sahabat lagi (Boleh rujuk kitab الإجابة لإيراد ما استدركته عائشة على الصحابة karya Imam Al-Zarkashiy (w794H) رحمه الله . Asatizah zaman sekarang perlu hati-hati kerana apa yang kita tulis dan kongsi akan disambut oleh peyokong dan lawan dengan troll dan kata-kata keji.
Mudah-mudahan kita semua dapat beramal dengan Sunnah Nabi yang paling sukar diamalkan di media sosial iaitu Sunnah Diam dan berkata yang baik-baik.
Nabi Muhammad صلى الله عليه وءاله وسلم bersabda:

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ…الحديث (متفق عليه)
“Barangsiapa beriman dengan Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia berkata baik atau hendaklah dia diam…”

Antara hikmah jika kita beramal dengan sunnah di atas ialah berkurangnya pertelagahan sesama makhluk. لو سكت من لا يعلم لقل الخلاف

كتبه : خالد سبت عبد الله الأزهري
١:٢٧ صباحا بتاريخ ٢٦ من ذي الحجة ١٤٤٣هـ الموافق ٢٦ يوليو ٢٠٢٢م
شارع أحمد حسان الزيات، الحي السابع، مدينة نصر، القاهرة، مصر المحروسة.

26/07/2022 Posted by | Berita dan Isu Semasa, Bicara Ulama, Ibadah, Q & A (Soal Jawab), wahabi | , | 1 Comment

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-676: BENARKAH DAKWAAN TIADA SATU AYAT YANG MENGATAKAN AL-QURAN PERLU DIBACA DALAM BAHASA ARAB DAN YANG PENTING KEFAHAMAN SAHAJA?

Soalan:

Assalamualaikum Datuk Mufti, ustaz dan ustazah. Saya ada terbaca satu kenyataan berkenaan tiada ayat yang menyatakan keperluan untuk membaca al-quran dalam Bahasa Arab dan cukup sekadar memahami sahaja. Kenyataan tersebut turut didatangi dengan dalil dari Surah Ibrahim ayat ke-4. Mohon penjelasan Datuk berkenaan perkara ini. Terima Kasih.

Ringkasan Jawapan:

Secara ringkasnya, tidak boleh membaca al-Quran dengan bahasa lain selain bahasa Arab. Hal ini kerana, al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab dan mendapat pahala apabila dibaca dalam bahasa berkenaan walaupun tidak memahami maknanya. Adapun merujuk terjemahan adalah untuk memahami maksud ayat yang dibaca dan tidak mendapat pahala dari segi bacaan atau tilawah jika sekadar membaca terjemahan tersebut, serta tidak sah solat jika membaca terjemahan ayat al-Quran.


Wallahu A’lam..

Rujuk pautan berikut untuk artikel penuh:
https://www.muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/5165-irsyad-al-fatwa-siri-ke-676-benarkah-dakwaan-tiada-satu-ayat-yang-mengatakan-al-quran-perlu-dibaca-dalam-bahasa-arab-dan-yang-penting-kefahaman-sahaja

18/03/2022 Posted by | Ibadah, Q & A (Soal Jawab) | | Leave a comment

IKUT QURAN DAN HADIS TIDAK SESAT?TINGGALKAN ULAMA TIDAK SESAT?



1- Isu ini perlu perincian. Ia tidak semudah 1+1 = 2

2- Bagi ahli ilmu, TIADA siapa memahami bahawa mencukupi dengan merujuk kepada AlQuran dan Hadith semata-mata. Malah ia memerlukan metodologi dan huraian para ulama muktabar.

3- Kalau hanya semata2 merujuk Quran dan hadith tanpa metodologi, banyak pula puak dan firaq yang berkata perkara yang sama seperti Qadiani, syiah, golongan liberal bahkan banyak ajaran sesat. Adakah mereka benar?

4- Setiap ilmu MESTI difahami dengan disiplin ilmunya yang tersendiri. Tidak mungkin seorang menjadi pilot dengan hanya membaca buku. Kalau ada, tentu semua orang akan lari dan tak mahu menaiki pesawat tersebut kerana pilotnya tidak pernah teruji dalam disiplin ilmu penerbangan.

5- Begitu juga ilmu sains, matematik, kejuruteraan dan lainnya

6- Justeru ilmu agama mempunyai disiplin yang tersendiri. Untuk memahami AlQuran dan hadith, ia memerlukan pelbagai ilmu yang lain kerana Nususnya ada bersifat muhkam, mutashabih, mutlaq muqayyad, mujmal mubayyan mufassal, nasikh mansukh dan lain2.

7- Sebagai contoh mudah, perintah mengambil wuduk sebelum solat “Basuhlah muka(wahj/wujuh) kamu, tangan hingga ke siku, sapulah kepala dan kaki hingga buku lali(surah alMai’dah :6).

Bagaimanakah cara menentukan had wajh seperti dalam ayat?
Adakah bahagian dalam mata masih dikira wajh?
Adakah sideburn juga dikira sebahagian wajh?
Adakah janggut termasuk wajah?
Adakah Niat wuduk dikira rukun? Kenapa pula tidak disebutkan dalam ayat?
Tertib juga tiada. Dari mana pula datangnya?

Pendek kata, anda akan terkedu pada bab wuduk sahaja sekiranya TANPA huraian ulama!

8- Perhatikan hadith “ sesungguhnya Allah tidak mencabut ilmu dengan sentapan sekali gus dari hambanya. Tetapi Allah mencabutnya dengan mematikan para ulama. Sehingga bila tiada lagi ulama, manusia akan bertanya kepada juhala’(si jahil). Mereka mula berfatwa tanpa ilmu. Mereka itu sesat dan menyesatkan(alBukhari 1/50)

Ada dua poin penting iaitu :

Pertama: Baginda saw tidak menyebut tentang hilang ilmu dengan hilangnya AlQuran dan Hadith. Kedua masih tetap wujud hingga hari qiamat. Namun yang hilang adalah AHLI yang faham keduanya iaitu ULAMA.

Kedua : Memberi pandangan tentang AlQuran dan Hadith tanpa panduan ulama adalah sesat.

9- Ketika kewafatan sahabat Zaid bin thabit, kata Ibn Abbas (r.ahuma) sesiapa yang ingin melihat bagaimana ilmu diangkat oleh Allah, maka beginilah caranya (merujuk kepada kematian seorang alim besar iaitu zaid)(jami’ bayan alilm 1/127)

10- Berkata ibn mas’ud ra. “tetaplah kamu menuntut ilmu sebelum ia diangkat. Dan diangkat ilmu itu dengan kematian ulama(sunan Darimi/144)”

11- Jadi anda berpegang Quran dan Sunnah TANPA ulama yang benar, maka sesatlah anda.

Sumber

15/02/2022 Posted by | Ibadah, Q & A (Soal Jawab) | , | Leave a comment

UNGKAPAN “صدق الله العظيم” SETELAH SELESAI MEMBACA AL-QURAN

Kredit: Ustaz Dr Mohd Murshidi Mohd Noor

Biasanya setelah selesai membaca al-Quran kita akan berkata: “صدق الله العظيم”. Jika kita berhadapan dgn sesetengah pihak, mereka akan bertanya: “ada hadith tak?”, “Nabi atau sahabat pernah buat tak?”, “adakah ucapan sadaqallah al-‘azim merupakan tuntutan utk dibacanya setelah selesai membaca al-Quran?” dsb.

Kita katakan begini: Hukum berkata: “صدق الله العظيم” setelah selesai membaca al-Quran adalah harus malahan ianya merupakan amalan yg mustahab (disunatkan). Tujuan kita berkata sedemikian adalah utk memuji Allah سبحانه وتعالى sebagaimana Allah memuji diriNya berdasarkan firman Allah:

قُلْ صَدَقَ اللَّهُ فَاتَّبِعُوا مِلَّةَ إِبْرَاهِيمَ حَنِيفًا وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): Benarlah (apa yg difirmankan oleh) Allah, maka ikutilah kamu akan agama Nabi Ibrahim yg ikhlas (berdasarkan Tauhid), dan bukanlah ia dari orang-orang musyrik.

Hukum memuji Allah adalah harus pada setiap masa. Sesiapa sahaja yg memuji Allah seusai membaca al-Quran tidaklah dikira perbuatan bid’ah yg melanggari syariat. Malahan ucapan tersebut adalah utk mengagungkan al-Quran, serta beradab kpd Allah سبحانه وتعالى yg menurunkan al-Quran. Nabi صلى الله عليه وسلم pernah mengucapkan ungkapan sedemikian sebagaimana yg diceritakan menerusi hadith Buraydah رضي الله عنه:

خَطَبَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَأَقْبَلَ الْحَسَنُ وَالْحُسَيْنُ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا عَلَيْهِمَا قَمِيصَانِ أَحْمَرَانِ يَعْثُرَانِ وَيَقُومَانِ، فَنَزَلَ فَأَخَذَهُمَا، فَصَعِدَ بِهِمَا الْمِنْبَرَ ثُمَّ قَالَ: صَدَقَ اللَّهُ (إِنَّمَا أَمْوَالُكُمْ وَأَوْلَادُكُمْ فِتْنَةٌ)، رَأَيْتُ هَذَيْنِ فَلَمْ أَصْبِرْ، ثُمَّ أَخَذَ فِي الْخُطْبَةِ)

Maksudnya: Satu hari Nabi صلى الله عليه وسلم berkhutbah kpd kami, lalu al-Hasan dan al-Husayn datang dgn dua qamis berwarna merah yg mana mereka berdua pada ketika itu dlm keadaan terjatuh dan bangun. Baginda pun turun dari mimbar dan mengambil mereka berdua. Lalu baginda naik semula ke atas mimbar dan bersabda: Benarlah (apa yg difirmankan) Allah: Sesungguhnya harta dan anak kamu adalah fitnah. Aku melihat apa yg berlaku ke atas mereka berdua ini lalu aku tidak sabar. Kemudian baginda menyambung semula khutbahnya.

Hal ini turut difahami menerusi perbuatan sahabat sebagaimana yg diceritakan menerusi riwayat Sahih al-Bukhari daripada Rifa’ah bin Rafi’ رضي الله عنه ia berkata:

كنا يومًا نصلي وراء النبي صلى الله عليه وآله وسلم فلما رفع رأسه من الركعة قال: «سَمِعَ اللهُ لِمَنْ حَمِدَهُ»، قَالَ رَجُلٌ وَرَاءَهُ: رَبَّنَا وَلَكَ الحَمْدُ حَمْدًا كَثِيرًا طَيِّبًا مُبَارَكًا فِيهِ، فَلَمَّا انْصَرَفَ، قَالَ: «مَنِ المُتَكَلِّمُ» قَالَ: أَنَا، قَالَ: «رَأَيْتُ بِضْعَةً وَثَلاَثِينَ مَلَكًا يَبْتَدِرُونَهَا أَيُّهُمْ يَكْتُبُهَا أَوَّلُ»

Maksudnya: Satu hari kami pernah solat di belakang Nabi صلى الله عليه, ketika baginda mengangkat kepalanya dari rukuk baginda bersabda: سَمِعَ اللهُ لِمَنْ حَمِدَهُ, maka dijawab oleh seorg lelaki di belakangnya: رَبَّنَا وَلَكَ الحَمْدُ حَمْدًا كَثِيرًا طَيِّبًا مُبَارَكًا فِيهِ. Ketika selesai solat baginda bertanya: Siapa yg mengucapkan ungkapan itu ketika solat tadi. Lelaki itu menjawab: Saya. Nabi bersabda: Aku melihat 30 lebih malaikat berebut utk menjadi yg terawal bagi menulis amalan baik itu.

Tindakan sahabat ini tidak diajar oleh Nabi, tetapi diakui oleh Nabi akan kebaikan ungkapannya. Demikianlah ungkapan: “صدق الله العظيم” setelah membaca al-Quran yg merupakan amalan baik, walaupun tidak dinyatakan di dalam mana2 hadith secara khusus akan cara pembacaannya.

Al-Qurtubi di dalam karya tafsirnya menukilkan sebahagian pandangan ulama yg mengatakan bahawa di antara kehormatan al-Quran ialah apabila selesai membacanya maka hendaklah membenarkan firman Tuhannya. Disebutkan di dalam karya Hasyiah Nihayah al-Muhtaj bahawa sesiapa yg berkata: “صدق الله العظيم” setelah selesai membaca al-Quran, maka itu tidak memudaratkan (tidak mengapa).

Ulama al-Hanafiyyah dan al-Shafi’iyyah mengatakan bahawa sesiapa sahaja yg membaca “صدق الله العظيم” setelah selesai membaca al-Quran di dalam solat dgn niat zikir, maka tidak membatalkan solatnya. Oleh itu, dapat difahami bahawa di dalam solat pun diharuskan utk membacanya apatah lagi di luar solat lagilah diutamakan akan keharusannya. Justeru, ianya merupakan amalan yg sgt baik dan tidak bertentangan dgn syarak sama sekali.

Berdasarkan kpd penerangan di atas, membaca “صدق الله العظيم” adalah amalan mulia yg patut diamalkan oleh umat Islam setiap kali mereka selesai membaca al-Quran.

Semoga bermanfaat sedikit penerangan yg ringkas ini.

Wallahua’lam.

07/05/2021 Posted by | Bicara Ulama, Ibadah, Q & A (Soal Jawab) | | 1 Comment

Tadabbur al-Quran

Maksud tadabbur dan hukumnya:

Tadabbur ialah berfikir dan mengamati ayat-ayat al-Quran untuk memahaminya, serta menangkapi makna-maknanya, hukum-hukumnya, dan maksud yang dikehendakinya. Al-Quran adalah kitab yang dipermudahkan (muyassar) untuk tilawah, hafaz, faham dan tadabbur. Allah Ta’ala telah berfirman maksudnya: “Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Quran untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)?” (Al-Qamar:17)

Maka wajib atas setiap muslim tadabbur al-Quran dan cuba memahaminya dengan membaca secara perlahan-perlahan dan cuba memahami ayat-ayatnya. Sesungguhnya al-Quran adalah kitab hidayah. Justeru, bagaimana seseorang yang tidak memahaminya akan mendapat hidayahnya. Sekiranya dia musykil atau tidak mengerti maksud sesuatu ayat, hendaklah dia merujuk kepada tafsirannya. Dia hendaklah mengumpulkan seluruh tumpuannya ketika membaca dan menghadirkan hatinya dengan memerhati apa yang dinyatakan di dalam ayat yang dibaca itu; ancaman, ugutan, harapan, rahmah, hal keadaan umat terdahulu dan lain-lain. Allah berfirman maksudnya: “Maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi Al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran Al-Quran)?” (Muhammad:24)

Kenapa ramai di kalangan manusia tidak mentadabbur al-Quran?

Antara sebabnya ialah:

Pertama, menganggap bahawa al-Quran itu susah difahami. Anggapan ini tidak benar. Ia merupakan satu kesilapan tentang maksud tadabbur al-Quran. Anggapan yang sedemikian akan menjauhkan kita dari matlamat al-Quran itu diturunkan. Al-Quran adalah kitab tarbiah dan ta’lim. Kitab hidayah dan penunjuk jalan kepada semua manusia. Kitab huda, rahmah dan busyra kepada orang-orang yang beriman. Kitab yang Allah permudahkan untuk memahami dan mentadabburnya sebagaimana firmanNya yang bermaksud: “Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Quran untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)?” (Al-Qamar:17)
Dan al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab. Bahasanya simpel dan mudah difahami oleh semua golongan. Allah berfirman maksudnya: “Sesungguhnya Kami menurunkan kitab itu sebagai Quran yang dibaca dengan bahasa Arab, supaya kamu (menggunakan akal untuk) memahaminya.” (Yusuf:2)
Sesungguhnya al-Quran, kebanyakan ayatnya jelas, terang dan nyata bagi semua manusia. Ia difahami oleh orang muda, orang tua, orang alim dan buta huruf. Hal ini pernah dinyatakan oleh Ibn Abbas r.a. (Tafsir ada empat jenis: yang diketahui oleh orang Arab daripada percakapan mereka, tafsir yang tidak ada seorangpun diterima keuzuran kerana kejahilannya (tidak ada seorangpun boleh berkata dia tidak faham kerana dia jahil), tafsir yang hanya diketahui oleh ulamak dan tafsir yang tidak diketahui melainkan Allah). Dan kebanyakan ayat al-Quran adalah jenis yang pertama dan kedua.

Sebab kedua ialah tipu daya syaitan. Syaitan membuat tipu daya untuk memalingkan manusia daripada mentadabbur al-Quran dan mengambil hidayahnya. Dia mahu menjauhkan hamba Allah daripada tadabbur al-Quran kerana dia tahu bahawa hidayah hanya diperolehi ketika tadabbur. Maka diapun berkata bahaya memperkatakan sesuatu tentang al-Quran. Sehingga manusiapun berkata, saya tidak boleh bercakap tentang al-Quran untuk mengelakkan diri daripada tersilap. Sesungguhnya yang bahaya itu kamu bercakap tentang al-Quran tanpa ilmu, bukan tadabbur itu yang bahaya. Bukankah Allah perintahkan kita supaya tadabbur al-Quran? (Lihat surah Muhammad:24)

Maka janganlah kamu membiarkan syaitan menghalang kamu daripada tadabbur dan memahami Kalam Allah Tabaraka wa Ta’ala. Sekiranya kamu tidak mengerti makna sesuatu ayat, segeralah merujuk kitab-kitab tafsir untuk mencari makna serta maksudnya. Jangan kunci mindamu! Dengan sebab itu, kamu baca tanpa tadabbur atau kamu tidak baca langsung!

Bagaimana cara mentadabbur al-Quran?

Kebanyakan manusia belajar membaca dengan cepat dan laju. Cara begini memang susah untuk tadabbur. Kamu hendaklah membiasakan diri untuk tadabbur. Tadabbur hanya boleh dilakukan dengan membaca al-Quran secara tartil dan tidak laju. Letakkan di sisi kertas dan pena untuk menulis perkataan- perkataan yang tidak difahami atau tidak jelas maksudnya. Maka rujuklah kitab-kitab tafsir yang muktabar supaya terlerai apa yang dimusykilkan. Selepas itu, kamu akan membaca al-Quran tanpa ada lagi kemusykilan, dan terus tadabbur. Setiap kali membaca al-Quran, akan terbongkar ilmu-ilmu yang tidak diketahui sebelumnya. Sesungguhnya hidayah itu, semuanya terletak pada tadabbur al-Quran.

Antara kitab tafsir yang mudah dan disarankan kepada setiap muslim memilikinya ialah “Aisar al-Tafasir” karangan Syaikh Abu Bakar al-Jazaeriy. Kitab ini ringkas dan tidak panjang. Bahasanya mudah, susunannya indah, dan ia mengikut manhaj ahli sunnah wal-jamaah.

Sumber

13/04/2021 Posted by | Fad hail Amal, Ibadah | , | Leave a comment

JUAL QURAN DAN AIR ZAMZAM DAN SAKIT TANDA ALLAH SAYANG

SOALAN :

1. Adakah betul haram jual beli Quran dan kalau betul haram bagaimana kita nak mempunyai Quran untuk kita baca?

2. Baru-baru ini saya ada terbaca sebuah tulisan menyebut air zamzam tidak bolih dibawa keluar dari bumi Mekah dan jika dibawa keluar nanti jadi hilang berkatnya.

Betul atau tidak?

3. Benarkah dikata orang jika Allah sayang kepada kita maka Allah akan berikan kita kesusahan seperti sakit kemudian sebab sakit itulah dosa kita diampun supaya mati kita dalam keadaan tidak ada dosa?

JAWAPAN :

JUAL BELI QURAN

Ulamak telah berselisih tentang hukum jual beli mushaf yaitu jumhur ulamak mengharuskan jual belinya dan sebahagian ulamak mazhab Hanbali menegahnya.

Berkata Ulamak :

فقد اختلف أهل العلم في جواز بيع المصاحف فذهب الجمهور إلى جواز بيعها، ومنهم: المالكية والحنفية والشافعية؛ إلا أن الشافعية صرحوا بالكراهة، فيجوز عندهم بيع المصحف مع الكراهة. وذهب آخرون إلى المنع وهو قول الحنابلة.

Artinya : “Maka sungguhnya telah berkhilaf olih ulamak pada keharusan jual beli mushaf. Maka telah berjalan olih jumhur ulamak kepada harus jual belinya yaitu ulamak mazhab Maliki dan Hanafi dan Syafie melainkan ulamak mazhab Syafie mengharuskan jualnya dengan kemakruhan maka di sisi mereka harus jual mushaf serta makruh. Dan telah berjalan olih yang lainnya kepada menegah dan yaitu pendapat ulamak mazhab Hanbali.” (Kitab Mausu’atul Fiqhiyah/ Al-Fatawa As-Syar’iyah)

Sebahagian fuqahak mengharuskan jualnya sahaja dan mengharuskan belinya manakala sebahagian fuqahak yang lain mengharuskan jual dan belinya manakala sebahagiannya lagi memakruhkan jual dan belinya.

Berkata Imam Nawawi :

يصح بيع المصحف وشراؤه ولا كراهة في شرائه وفي كراهة بيعه وجهان لأصحابنا أصحهما وهو نص الشافعي أنه يكره ومن قال لا يكره بيعه وشراؤه الحسن البصري وعكرمة والحكم بن عيينة وهو مروي عن ابن عباس وكرهت طائفة من العلماء بيعه وشراؤه وحكاه ابن المنذر عن علقمة وابن سيرين والنخعي وشريح ومسروق وعبد الله بن زيد

Artinya : “Dan tiada makruh pada membelinya (mushaf) dan pada makruh jualnya itu ada dua pendapat bagi Ashab kami. Pendapat yang paling sahih yang merupakan nas Imam Syafie sungguhnya ia makruh. Dan mereka yang berkata dengan tidak dimakruhkan jual belinya ialah Al-Hasan Al-Basri dan ‘Ikrimah dan Al-Hakam bin ‘Uyainah. Dan ialah yang telah diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a. dan memakruhkan olih satu golongan daripada ulamak jual belinya. Telah menghikayatkannya olih Ibnu Al-Munzir dari ‘Alqamah dan Ibnu Sirrin dan An-Nakha’ie dan Syuraih dan Masruq dan Abdullah bin Zaid.” (Kitab At-Tibyan)

Dan ada diriwayatkan bahawa Abdullah bin Umar r.a. menegah akan jual beli mushaf.

Berkata Al-Hajawi Al-Hanbali :

وأما ما ورد عن عبد الله بن عمر ـ رضي الله عنهما ـ [يعني من منع بيع المصحف] فلعله كان في وقت يحتاج الناس فيه إلى المصاحف ، وأن المصاحف قليلة فيحتاجون إليها ، فلو أبيح البيع في ذلك الوقت لكان الناس يطلبون أثمانا كثيرة لقلته ؛ فلهذا رأى رضي الله عنه – ألا يباع

Artinya : “Dan adapun barang yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar r.a. yakni dari tegahannya akan jual beli msuhaf maka mudah-mudahan adalah ia pada ketika sangat berhajat manusia kepadanya dan pula mushaf-mushaf ketika itu tidak banyak maka jadi sangat memerlukan mereka itu kepadanya. Maka jikalau dibenarkan jual beli pada demikian itu nescaya jadilah manusia saling menuntut dengan harga yang tinggi kerana sedikitnya. Maka kerana inilah Ibnu Umar r.a. berpendapat tidak dijualbelinya.” (Kitab Syarah Zadul Mustaqni’)

BAWA BALIK AIR ZAM-ZAM

Harus hukumnya membawa keluar air zamzam dari tanah haram Mekah samada untuk diminum atau dijadikan ubat atau diambil berkat dengannya.

Dan keberkatan air zamzam itu tidak hanya diminum di tanah haram Mekah sahaja bahkan dimana sahaja ia dibawa pergi air zamzam adalah air yang sentiasa diberkati.

Diriwayatkan daripada Abu Zarr r.a. Nabi saw bersabda :

إِنَّهَا مُبَارَكَةٌ إِنَّهَا طَعَامُ طُعْمٍ

Artinya : “Sungguhnya ia (air zamzam) dipenuhi keberkatan dan sungguhnya ia air yang mengenyangkan.” (Hadith riwayat Muslim)

Berkata Syeikh Ibnu Hajar :

وَأَنْ يَنْقُلَهُ إلَى وَطَنِهِ اسْتِشْفَاءً وَتَبَرُّكًا لَهُ وَلِغَيْرِهِ

Artinya : “Dan (harus) bahawa memindahkannya (air zamzam) pulang ke negerinya kerana menuntut sembuh dengannya dan mengambil berkat baginya dan bagi lainnya.” (Kitab Tuhfah Al-Muhtaj)

Dan berkata Imam As-Sawi Al-Maliki :

ونُدب نقله يعني ماء زمزم وخاصيته باقية خلافاً لمن يزعم زوال خاصيته

Artinya : “Dan disunatkan membawa keluar air zamzam dan khasiatnya itu kekal bersalahan bagi mereka yang menyangka hilang khasiatnya.”

Berkata Syeikh Ali As-Syubramallisi :

ماء زمزم لما شرب له، هو شامل لمن شربه في غير محله

Artinya : “Air zamzam itu bergantung kepada tujuan apa diminumnya. Ia termasuklah bagi mereka yang meminumnya pada bukan tempatnya.” (Kitab Hasyiah As-Syubramallisi)

Dan ada pun dakwaan bahawa jika dibawa keluar dari bumi Mekah akan air zamzam nescaya akan hilang khasiat dan berkatnya itu maka dakwaan itu tidak ada sandarannya.
Berkata Imam As-Sakhowi :

يذكر على بعض الألسنة أن فضيلته ما دام في محله، فإذا نقل يتغير، وهو شيء لا أصل له

Artinya : “Disebut atas setengah percakapan orang bahawa fadhilat air zamzam itu ada selama kekal ia di tempatnya maka apabila dipindahkan ke tempat lain nescaya berubah ia yaitu perkataan yang tidak ada asalnya (sandarannya).” (Kitab Al-Maqasid Al-Hasanah)

Dan begitu juga yang berkata akan dia olih Syeikh Ibnu Hajar dalam Kitab Tathir Al-Jinan Wa Al-Lisan.

Dan telah ditanya kepada Atha’ tentang hukum mebawa air zamzam itu keluar dari Mekah lalu Atah’ menjawab :

قد حمله النبي والحسن والحسين رضي الله عنهما

Artinya : “Sungguhnya telah membawanya olih Nabi saw dan Al-Hasan dan Al-Husain r.a.”

SAKIT ADALAH PENGHAPUS DOSA ORANG MUKMIN

Sungguh benar bahawasanya sakit adalah setengah dari perkara yang menghapuskan dosa dan kesalahan seorang mukmin.

Rasulullah saw telah bersabda :

ما مِن مُسْلِمٍ يُصِيبُهُ أذًى؛ مَرَضٌ فَما سِواهُ، إلَّا حَطَّ اللَّهُ له سَيِّئاتِهِ، كما تَحُطُّ الشَّجَرَةُ ورَقَها

Artinya : “Tiada dari seorang Islam yang menimpanya olih suatu yang menyakiti samada penyakit atau barang yang selainnya melainkan Allah menggugurkan dengan sebab sakit itu baginya akan segala kesalahannya sebagaimana pokok menggugurkan akan daunnya.” (Hadith riwayat Muslim)

Olih kerana itulah musibah yang menimpa orang mukmin itu sebenarnya ialah tanda Allah mahu memberikan kebaikkan kepadanya kerana dosanya akan dihapuskan dan dia mendapat pahala sabar dan pahala redha dan ingat dia akan Allah dengan sebab musibah tersebut.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. Nabi saw bersabda :

مَنْ يُرِدِ اللهُ بِهِ خَيْرًا يُصِبْ مِنْهُ

Artinya : “Barangsiapa yang Allah menghendaki kebaikkan baginya nescaya akan diturunkan musibah ke atasnya.” (Hadith riwayat Al-Bukhari)

Sungguhnya Allah Taala itu terkadang menjadikan nikmat atas seorang supaya dia bersyukur dan terkadang menjadikan kesusahan ke atas seorang supaya dia besabar.

Berkata Abdul Malik bin Ajbar :

ما من الناس إلا مبتلىً بعافية لينظر كيف شكره أو بلية لينظر كيف صبره

Artinya : “Tiada dari seorang manusia melainkan akan diuji dengan kebaikkan supaya dilihat bagaimana bersyukurnya atau diuji dengan kesusahan supaya dilihat bagaimana bersabarnya.”

walllahua’lam
ustaz azhar idrus

02/04/2021 Posted by | Ibadah, Q & A (Soal Jawab), Uncategorized | , | Leave a comment

NAK PAKAI IMAM SYAFIE ATAU NAK PAKAI HADIS NABI SAW ?

“Nak pakai Imam Syafie atau nak pakai Hadis Nabi? Imam Syafie dengan Nabi siapa lagi mulia?”

“Hadis dah lengkap kenapa nak pakai mazhab lagi?”

Ini adalah antara ayat ayat yang keluar dari mulut orang yang kononnya bukan Muqallid dan bukan Mujtahid tetapi disebabkan mahu nampak sedikit gah. Diciptakan satu istilah baru “Muttabeq” namanya

Satu permasaalahan apabila ditanya kamu bermazhab apa? Saya bermazhab Al Quran dan Hadis sepertimana Sahabat nabi tak memerlukan kepada Imam Mujtahid seperti itu jugalah saya.

Sebenarnya, walaupun dicipta istilah “Muttabeq” sekalipun ia masih lagi dihukumkan “Muqallid” kerana selagi seseorang itu tidak mencapai martabat “Mujtahid Mutlak” wajib atasnya untuk mengikut Imam imam mazhab yang empat.

Wajib juga atas kita mengakui bahawa Rasulullah adalah makhluk yang paling mulia. Mana sama martabat Imam Syafie dengan Rasulullah. Tetapi Imam Syafie adalah seorang Mujtahid Mutlak. Sehinggakan ada ulama menyebut seorang Mujtahid Mutlak adalah orang tidak ada satupun Hadis Rasulullah atas muka bumi ini tidak ada didalam dadanya melainkan semuanya telah dia hafal. Ini adalah tahap keilmuaan seorang Mujtahid Mutlak. Ikut mazhab itu adalah mengikut Nabi.

Mazhab adalah rumusan kefahaman Al Quran dan Hadis yang telah disiapkan oleh Ulama. Mereka adalah insan yang lengkap serba serbi ilmu. Bersangat sangatan Alimnya. Mereka tahu bagaimana hendak proses Al Quran dan Hadis sesuai dengan apa yang diajarkan oleh Rasulullah. Kita orang awam. Tak ada perkakasan.

Satu contoh misalan. Tayar kereta kita pancit. Adakah kita perlu pergi ke Kebun Getah, ambik getah skrap untuk buat tayar? Dengan perkakasan tak ada, rasanya ini satu kerja gila. Paling mudah adalah dengan beli sahaja Tayar dikedai Tayar. Walaupun orang yang ada 100 ekar ladang getah. Masih lagi beli tayar dikedai, tidak diprosesnya getah skrap untuk dibuat tayar sendiri.

Al Quran dan Hadis adalah bahan mentah. Kita orang awam tak ada perkakasan ilmu yang lengkap seperti Para Imam Mujtahid. Adakah kita mahu membuat kerja gila dengan memproses Al Quran dan Hadis mengikut Keterbatasan ilmu yang kita ada? Ini adalah punca kesesatan. Menggunakan Al Quran dan Hadis yang mentah sebagai “Buffet” aci main petik, petik, petik, ayat mana yang sesuai dengan Nafsu ambik jadikan hujjah dan ayat mana tak kena dengan nafsu cari ayat Al Quran lain atau Hadis lain untuk mengiyakan perbuatannya. Ini punca kesesatan. Nauzubillahiminzalikh.

Para sahabat dahulu tidak mempunyai mujtahid mutlak kerana segala permasalahan hukum hakam terus ditanyakan kepada Rasulullah.

Kaedah kita, Mazhab yang dah dirumuskan itulah adalah merupakan rumusan kefahaman Al Quran dan Hadis. Pesan Tok Guru, “Ikut mazhab itu ikut nabi la” tidak perlu menunjuk handal kononnya pakai mazhab yang menggunakan hadis shoheh sahaja. Antara kamu dengan Imam Syafie siapa lebih alim Hadis? Siapa lebih banyak menghafal hadis? Kamu atau Imam Syafie?

Jadilah seperti salah seorang pakar hadis malaysia Tuan Guru Wan Izzuddin atau lebih mesra dengan panggilan Pak Anjang Izzuddin. Pengalaman admin dan rakan rakan mengziarahi beliau di pondoknya Gajah Mati, tidak ada langsung kalam kalamnya yang kontradik dengan ulama ulama melayu yang lain. Walaupun bergelar seorang Muhaddith dan Musnid.

-Admin QF Nuuri-
(( Fitrah Islami ))

17/05/2020 Posted by | Hadis, Politik dan Dakwah, Q & A (Soal Jawab) | , | Leave a comment

BEZA ULAMA DAN ORANG YANG JAHIL DALAM MEMAHAMI AL QURAN

Saya ingin berkongsi sedikit perbincangan yang wujud dalam kelas selepas Subuh bersama Fadhilatus Syaikh Hafizahullah agar kita dapat menilai pihak yang mengutuk dan pihak yang dikutuk.

Seorang pelajar bertanya kepada Fadhilatus Syaikh ; "Apakah cara yang benar untuk memahami agama ini dan memahami Al-Qur’an dan Hadith?"

Fadhilatus Syaikh menjawab :

"Baik,sebutkan kepadaku apa yang engkau faham dari ayat

[وَلَمَّا رَجَعَ مُوسَى إِلَى قَوْمِهِ غَضْبَانَ أَسِفًا قَالَ بِئْسَمَا خَلَفْتُمُونِي مِنْ بَعْدِي أَعَجِلْتُمْ أَمْرَ رَبِّكُمْ وَأَلْقَى الأَلْوَاحَ]

pada perkataan "wa alqa al-alwah"?

(Ayat yang menceritakan tentang Nabi Musa Alaihis Salam pulang dari bermunajat lalu melihat kaum Baginda menyembah berhala)

Pelajar itu menjawab : "Ayat ini bermakna Nabi Musa AlaihisSalam telah melempar lembaran wahyu yang dipegangnya akibat terlalu marah dengan perlakuan kaum Baginda"

Mendengar jawapan dari pelajar tersebut,Fadhilatus Syaikh menerangkan secara panjang lebar :

"Apabila engkau mentafsirkan perkataan أَلْقَى dengan makna melempar atau menghempas,ketika itu engkau telah melakukan kesalahan yang amat besar dalam memahami kalaamullah.

Lembaran wahyu itu mengandungi kandungan Taurat.

Taurat adalah kitab suci.

Kefahaman engkau bahawa Saidina Musa melempar dan mencampakkan kitab suci akibat terlalu marah mengandungi kesalahan yang amat besar.

Pertamanya ia bercanggah dengan perkara pokok dalam agama iaitu Para Nabi adalah Maksum.

Maksum bererti terpelihara dari melakukan sebarang perkara terlarang dalam syariat,walaupun hanya sekadar khilaf aula.

Perbuatan melemparkan lembaran suci adalah haram hukumnya.

Bagaimana engkau boleh faham bahawa Saidina Musa melemparkan lembaran wahyu yang suci itu?

Kemudiannya,engkau cuba pula untuk merasionalkan kefahaman engkau itu dengan berkata perbuatan itu dilakukan kerana Saidina Musa terlampau marah ketika itu.

Kefahaman ini lebih berat kerana engkau mengatakan bahawa Saidina Musa dapat ditewaskan oleh perasaan marah,sehingga melakukan perkara yang dilarang syarak,sedangkan kita dapat lihat orang-orang soleh biasa mampu mengawal marah mereka. Kefahaman sebegini amat-amat bercanggah dengan persoalan maksumnya para Nabi.

Oleh itu,cara yang benar untuk memahami ayat ini dengan betul adalah dengan kita mestilah menghimpunkan terlebih dahulu kesemua ayat dan hadith yang menyebut lafaz أَلْقَى lalu kita teliti penggunaannya.

Kita perlu lihat apakah makna lafaz ini dalam penggunaan bahasa Arab yang fasih.

Apabila kita melihat kamus-kamus utama bahasa arab,kita akan mendapati perkataan أَلْقَى membawa makna "meletakkan sesuatu dalam keadaan tenang".

Apabila kita menghimpunkan ayat Al-Qur’an yang menyebut perkataan أَلْقَى sebagai contoh ayat yang menyebutkan tentang Ibu Saidina Musa ingin menyelamatkan anaknya yang baru dilahirkan dari buruan Firaun :

وَأَوْحَيْنَا إِلَىٰ أُمِّ مُوسَىٰ أَنْ أَرْضِعِيهِ ۖ فَإِذَا خِفْتِ عَلَيْهِ فَأَلْقِيهِ فِي الْيَمِّ .

Adakah lafaz "فَأَلْقِيهِ" di sini bermaksud "lempar dan campaklah anakmu itu ke sungai"?

Tentu sekali tidak dapat digambarkan bahawa seorang ibu yang penyayang yang ingin memastikan keselamatan anaknya akan melempar dan mencampakkan anaknya ke dalam sungai itu.

Pastinya makna yang tepat bagi lafaz itu adalah "letakkanlah anakmu itu dengan baik di sungai.."

Kemudian Fadhilatus Syaikh menghimpun dan menyebutkan ayat-ayat lain satu persatu (sekitar 10 ayat dan hadith) yang mengandungi perkataan الإلقاء untuk menjelaskan maksud sebenar dari perkataan tersebut yang mana akhirnya membuatkan kami semua yang hadir dapat faham makna sebenar bagi lafaz أَلْقَى yang disebut dalam kisah Nabi Musa setelah pulang dari bermunajat dengan Allah tersebut.

Fadhilatus Syaikh menegaskan lagi bahawa adalah menjadi satu kesalahan yang besar apabila kita cuba mentafsir dan memahami ayat Al-Qur’an dengan berpandukan penggunaan semasa di zaman kita bagi lafaz tertentu dengan mengabaikan makna asal dalam penggunaan bahasa arab.

Sebagai contoh perkataan أَلْقَى tersebut yang biasanya diguna pada zaman kita dengan makna يرمي yakni melempar dan menghempas,sedangkan makna asalnya berlainan dengan penggunaan hari ini.

Akhirnya,Fadhilatus Syaikh menekankan 4 syarat utama dalam memahami sebarang Ayat Al-Qur’an,Hadith atau sebarang perbahasan dalam persoalan agama:

1. Mestilah menghimpunkan segala ayat dan hadith yang berkaitan dengan tajuk perbincangan.

2. Mestilah berkemampuan untuk menyusun atur dan menggabungjalinkan segala dalil yang telah dihimpunkan tadi.

3. Mestilah memastikan ketepatan dalam mengeluarkan makna dari lafaz-lafaz ayat dan hadith tersebut dengan mengikuti disiplin istinbat yang betul (lughah arabiah dan usul fiqh)

4. Kefahaman yang telah dikeluarkan tadi ditimbang dan disemak pula dengan perkara teras dan pokok dalam agama juga maqasid syariah.

HafizaAllahu Syaikhana As-Syaikh Usamah As-Sayyid Mahmud Al-Azhari yang telah mendidik dan menunjukkan buat kami akan jalan dan cara faham untuk mendalami agama dengan benar.

Bukan sekadar dakwaan dan semangat yang jauh dari panduan Ilmu.

Oleh : Ustaz Muhammad Noorazam bin Bahador

Sumber : https://www.facebook.com/photo.php?fbid=10153125808547458&set=a.130931747457.106611.591167457&type=1

Kami Tidak Mahu Fahaman Wahhabi Di Malaysia

22/03/2015 Posted by | Bicara Ulama, Ibadah, Tazkirah | , | Leave a comment

Sebenarnya isu baca Quran di atas Kubur telah di selesaikan ulama

PENDAPAT PARA ULAMAK

Sebenarnya isu klasik ini telah diselesaikan para ulamak dengan jayanya. Antaranya :

Muhammad bin Ahmad al-Muruzi berkata : Aku mendengar Ahmad bin Hanbal berkata : “Apabila kamu masuk ke kubur, bacalah fatihah al-Kitab dan ayat Muawwizatain dan surah al-Ikhlas. Jadikanlah pahalanya untuk penghuni kubur itu kerana pahalanya itu sampai kepada mereka.”

Di dalam kitab al-Azkar di bawah tajuk : “Apa yang perlu dibaca selepas pengebumian?. Imam al-Nawawi menyebutkan : “Al-Syafi’ie dan para sahabat (ulamak Syafi’iyyah) mengatakan : “Disunatkan membaca disisi kubur sesuatu daripada ayat al-Qur’an. Mereka mengatakan : Jika mereka mengkhatamkan al-Qur’an kesemuanya maka itu adalah (sesuatu yang) baik.” (al-Nawawi, al-Azkar, Dar al-Makrifah : Beirut, 1996, hlm 142 )

Imam al-Zahabi di dalam Takzikah al-Huffaz ketika membicarakan biodata al-Khatib al-Baghdadi menyebutkan : “Tatkala beliau meninggal dunia orang membacakan al-Qur’an di atas kuburnya dengan beberapa kali dikhatamkan.”

Imam al-Hassan bin al-Sobbah al-Za’farani berkata : “Aku bertanya kepada al-Syafi’ie tentang bacaan al-Qur’an di kubur. Lalu beliau menjawab : “Tidak mengapa. Al-Khallal meriwayatkan daripada Al-Sya’bie katanya : “Orang Ansar apabila berlakunya kematian dikalangan mereka, maka mereka selalu mengunjungi kuburnya untuk membaca al-Qur’an di sisinya.”

Al-Khara’iti di dalam kitab al-Kubur menyebutkan : “Menjadi Sunnah kebiasaan ornag-orang ansar apabila mengusung mayat mereka membaca surah al-Baqarah.”

Al-Qurtubi mengatakan : “Sebahagian ulamak kami mengemukakan dalil sampainya bacaan al-Qur’an ke pada si mati dengan hadis berkenaan pelepah tamar yang dibelah dua oleh Nabi SAW. Kemudian Baginda memacaknya satu di atas kubur orang ini dan satu lagi di atas kubur yang lain. Kemudian Baginda bersabda : “Mudah-mudahan ia dapat meringankan mereka berdua selagi kedua-duanya tidak kering.” Riwayat al-Syeikhain : Bukhari Kitab Wudhu 218 dan Muslim al-Thaharah 111/292)

Bagi saya, jika pacakan pelepah tamar yang basah dikubur boleh memberi manfaat kepada si mati, bagaimana pula halnya dengan bacaan ayat-ayat suci al-Qur’an yang dihadiahkan kepada si mati.? Tentunya bacaan ayat suci itu lebih istimewa dari pelepah tamar berkenaan.” Cumanya perbuatan Baginda memacak pelepah tamar tersebut adalah salah satu dari kepelbagaian yang boleh membantu mereka yang telah meninggal dunia. Wallahu’alam.

Ibn Qayyim (ketika membicarakan panjang lebar tentang sampainya pahala amalan-amalan yang dihadiahkan kepad si mati beserta dalilnya) mengatakan : “Adapun membaca al-Qur’an dan menghadiahkan pahalanya kepada si mati secar sukarela tanpa mengambil upah maka ia sampai kepada si mati sebagaimana pahala puasa dan haji…” (Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah, al-Ruh, hlm 152-159)

Imam Ibn al-Solah ketika menjawab penghujahan ayat 39 surah al-Najm mengatakan : “ Apa yang dimaksudkan oleh ayat ini ialah seseorang itu tidak mempunyai hak atau menadapat balasan melainkan apa yang diusahakannya. Ini tidak termasuk amalan yang dilakukan untuknya secara sukarela oleh orang lain seperti membaca al-Qur’an dan berdoa…”

Syeikh Ibn Taimiyyah mengatakan : “Barangsiapa yang berkeyakinan bahawa manusia tidak dapat mengambil manfaat kecuali dengan amalannya sahaja beerti dia telah melanggar ijmak. Pendapat itu terbatal dengan beberapa sudut…” Ibnu Taimiyah pernah ditanya tentang bacaan Al-Quran untuk mayat dan juga tentang tasbih, tahmid, tahlil dan takbir jika dihadiahkan kepada mayat. Sampaikah pahalanya atau tidak? Maka beliau menjawab sebagaimana tersebut dalam kitab beliau;”Sampai kepada mayat pahala bacaan Al-Quran dari keluarganya, Dan tasbih, takbir serta seluruh zikir mereka kepada Allah apabila mereka menghadiahkan pahalanya kepada mayat akan sampai pula kepadanya” (Ibn Taimiyyah al-Harrani, Majmu’Fataawa, jilid 24 hlm 324)

Imam Ibn Muflih al-Hanbali di dalam al-Furu’ mengatakan : “Tidak dilarang untuk membaca al-Qur’an di atas kubur atau tanah perkuburan. Telah dinaskan ke atasnya oleh Abu Bakar, al-Qadhi dan sebahagian ulamak dan ia merupakan pandangan mazhab…” (Ibn Muflih al-Hanbali, al-Furu’, hlm 304 juz 2)

 

Sumber: http://al-fanshuri.blogspot.com/

20/12/2014 Posted by | Bicara Ulama, Fiqh, Ibadah, Q & A (Soal Jawab) | , | Leave a comment

Baca Quran

Al Quran and boy

 

Hendaklah seseorang itu membaca al-quran sekurang-kurangnya setiap kali solat empat halaman iaitu satu juzuk sehari dan sekurang-kurangnya satu bulan khatam sekali.

Hendaklah seseorang itu membaca al-quran dgn taddabbur yakni memahami makna-makna di dalam al-quran kerana mentaddabbur dan menghayati makna-makna dlm al-quran ini adalah penyembuh kepada hati kita dan sebagai makanan kepada roh kita.

Seperti mana ditanyakan kepada Sayyidina Abdullah "Apakah ubat kepada penyakit hati iaitu dgn menghayati maksud-maksud dlm al-quran..dan tidak akan kita faham al-quran dgn kita pelajari bahasa Arab..Mudah-mudahan dgn mempelajari bahasa Arab ini Allah ﷻ memberikan kefahaman kita kepada al-quran.

Hendaklah kita mengajarkan al-quran kepada anak-anak kita dan menjadikan mereka sentiasa mengingati al-quran dan sentiasa membaca al-quran .

Rasulullah SAW berkata: "Ajarkan anak-anak kamu 3 perkara iaitu;

1)Kasih kepada Allah

2)Kasih kepada Nabi

3)Kasih kepada Al-Quran

Hendaklah kita berakhlak dgn akhlak al-quran lalu Saiditina Aisyah apabila ditanya ; "Bagaimanakah akhlak Rasulullah SAW itu,kata Saiditina Aisyah akhlak Rasulullah SAW adalah al-quran yakni apa yg ada didalam al-quran itu adalah akhlak Rasulullah SAW

 

**Maksud Qalam ini adalah al-quran ini bukan shj dibaca utk mendapatkan pahala tetapi jadikan al-quran ini suatu sistem dlm kehidupan kita yg perlu diamalkan setiap hari.

 

Sumber: Habib Mahdi Bin Abu Bakar Al-Hamid

Majlis Zikrul Hakim/Masjid Ar-Irsyad,Subang Jaya

14/12/2014 Posted by | Ibadah, Tazkirah | | Leave a comment

Ganjaran membaca Al Quran

06/05/2014 Posted by | Ibadah, Tazkirah | | Leave a comment

Al Quran Qalam Allah yang Qadim

Surah

Fatwa Malaysia

ISU: Ahlus-Sunnah bersepakat bahawa Al-Quran adalah Kalam Allah yang Qadim iaitu Ghair Makhluq dan bukan Muhdath (baharu). Bagaimanakah jawapan yang sepatutnya saya berikan buat dakwaan Kristian bahawa analogi (Qiyas) yang sama dapat digunakan buat Nabi Isa a.s. yang bergelar Kalimatullah? Mereka mendakwa dengan hujah yang sama bahawa Nabi Isa itu Qadim bukan makhluk dan bukan baharu kerana Baginda ialah Kalimatullah yang menjadi jasad. Saya mohon pencerahan dan kepakaran tuan. Terima kasih.

PENJELASAN: Apabila al-Qur’an merujuk Nabi Isa sebagai kalimatun min Allah (Surah Ali-‘Imran 3:39) iaitu ‘perkataan dari Allah’, ia merujuk kepada perintah atau wahyu dari Allah yang diberikan kepada Maryam sehingga menjadi asbab Maryam mengandungkan Nabi Isa tanpa melalui perantaraan seorang bapa. Dengan kata lain kalimah di sini menunjukkan salah satu tanda dan ayat dari kebesaran Allah. Ia tidak boleh diqiyaskan dengan hakikat al-Qur’an kerana al-Qur’an merupakan salah satu dari penzahiran sifat Kalam Allah yang qadim. Sedangkan Nabi Isa adalah seorang manusia termasuk dalam kategori makhluk sebagaimana Nabi-Nabi yang lain.

Istilah yang menggambarkan Nabi Isa sebagai kalimah dalam ilmu tafsir temasuk dalam kategori istilah atau ayat mutashabihat (ayat yang mempunyai lapisan makna) . Maka ia harus di fahami selari dengan ayat-ayat muhkamat (yang jelas maknanya) yang ada dalam al-Qur’an khususnya yang berkaitan dengan Nabi Isa. Misalnya ayat dalam Surah al-Maaidah ayat 17 “Sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata “sesungguhnya Allah itu ialah al-Masih putera Maryam” dan Surah al-Maaidah, ayat 73 “Sesungguhnya kafirlah orang-orang yang mengatakan “Bahawasanya Allah salah satu dari yang tiga” jelas menafikan pandangan agama Kristian yang mengatakan Isa adalah sebahagian dari hakikat ketuhanan.

Wallahu a’lam

25/11/2013 Posted by | Aqidah, Bicara Ulama, Fatwa, Q & A (Soal Jawab) | , | Leave a comment

Baca Yaasin Di Kuburan

Baca Quran di kbuburanPerkuburan Ampang (3)

Dalam bulan Ramadhan terutama sekali di hujung – hujungnya dan pada hari lebaran nanti, ramailah saudara-saudara kita mendatangi tanah – tanah perkuburan tempat persemadian insan-insan yang mereka sayangi. Bukanlah maksudnya bahawa menziarahi kubur itu hanya dihukumkan sunnat pada masa-masa tersebut sahaja. Ianya lebih kepada faktor masa yang terluang atau faktor suasana yang syahdu di hari yang mulia menghimbau ingatan kepada mereka-mereka yang telah tiada. Oleh itu, pada ketika itulah penuh segala pusara dengan para penziarah. Dalam ziarah biasanya akan dibaca surah Yaasin dan tahlil sebagai hadiah dan barakah kepada segala arwah tersebut. Jumhur ulama daripada keempat-empat mazhab Ahlus Sunnah wal Jama`ah, termasuklah mazhab asy-Syafi`iyyah dan al-Hanabilah, menghukumkan baik, mustahab, bahkan sunnat untuk membacakan al-Quran di sisi kubur. Syaikh al-Imam al-`Allaamah Muhammad bin Ahmad bin Salim as-Safaarini al-Hanbali rahimahullah (w. 1188H) dalam karya beliau "al-Buhur az-Zaakhirah fi `Uluum al-Akhirah" menyatakan, antara lain sebagai berikut:-

Tanbih: Pembacaan al-Quran di kubur dipandang sebagai mustahab oleh para ulama Mazhab Syafi`i dan ulama lain. Imam an-Nawawi menyatakan dalam "Syarah al-Muhadzdzab" bahawa dimustahabkan bagi penziarah kubur untuk membaca apa-apa yang mudah daripada al-Quran dan mendoakan bagi mereka. Hal ini merupakan nas atau pandangan yang datang daripada Imam asy-Syafi`i sendiri. Di tempat lain, yakni dalam karangan lain, ditambah bahawa jika dikhatamkan sekalian al-Quran itu di atas kubur tersebut, maka ianya adalah afdhal. Dan adalah imam kita, Imam Ahmad RA, pada permulaannya mengingkari amalan sedemikian, namun kemudian beliau telah menarik balik pandangannya tersebut setelah sampai hadis yang menjadi sandaran amalan ini kepada beliau.

Ibnu Qayyim al-Jawziyyah, murid Ibnu Taimiyyah al-Harrani telah menukilkan sebuah kisah mengenai pembacaan yaasin di kubur dalam karyanya "ar-Ruh" pada halaman 18 sebagai berikut:-

Telah mengkhabarkan kepadaku oleh al-Hasan bin al-Haitsam yang berkata: "Aku telah mendengar Abu Bakar bin al-Athrusy bin Bint Abi Nashr bin al-Tammar berkata: "Ada seorang lelaki yang selalu datang menziarahi kubur ibunya pada hari Jumaat lalu membaca surah Yaasin. Pada sebahagian hari-hari yang dia datang menziarahi kubur ibunya, dia akan membaca surah Yaasin. Selepas membaca Yaasin, dia berdoa: "Ya Allah, seandainya Engkau memberi pahala atas pembacaan surah ini, maka jadikannya bagi segala penghuni perkuburan ini". Tatkala datang Jumaat berikutnya, datang seorang wanita kepada si lelaki tadi seraya berkata: "Adakah engkau si fulan anak si fulanah?" Dia menjawabnya: "Ya." Wanita tersebut berkata lagi: " Adalah anak perempuanku telah meninggal dunia dan aku telah bermimpi melihatnya duduk di tepi kuburnya, lalu aku menyapanya: "Kenapa engkau duduk di sini?" Dia menjawab: "Sesungguhnya si fulan anak si fulanah telah datang menziarahi kubur ibunya dan membaca surah Yaasin serta menjadikan pahalanya bagi segala ahli kubur, maka kami telah diberi kesenangan daripada yang sedemikian atau kami telah diampuni atau yang seumpamanya (yakni para ahli kubur tersebut mendapat kesenangan daripada hadiah pahala bacaan surah Yaasin tersebut atau mendapat keampunan atau yang seumpamanya)."

Oleh itu, janganlah kita membenci perbuatan saudara-saudara seagama yang membaca sesuatu daripada al-Quran di sisi kubur atau menghadiahkannya kepada mereka-mereka yang telah berpulang ke rahmat Allah. Rahmat Allah itu amat luas dan banyak jalan atau sebab untuk meraihnya.

 

[Sumber: PONDOK HABIB]

21/07/2013 Posted by | Fiqh, Ibadah, Tazkirah | , | Leave a comment

Mentafsir al-Quran – Syarat dan adabnya

Surah

ISLAM merupakan agama Ilahi berpandukan kepada wahyu al-Quran. Ia adalah petunjuk hidayah dalam lautannya, tinggi fahamannya, dan tidak sampai kepada kefahamannya kecuali yang benar-benar berkecimpung dalam banyak ilmu.

Di samping itu bermuamalat kepada Allah dengan penuh ketaqwaan dalam keadaan sir dan terang-terangan, terutamanya ketika dalam banyak perkara syubhat, lataif dan hakikat yang tidak difahami kecuali sesiapa yang diberikan kurniaan Allah.

Al-Quran ialah kitab suci Allah yang diwahyukan kepada rasul-Nya Muhammad s.a.w. melalui perantaraan Jibril, mengandungi 114 surah daripada al-Fatihah hingga al-Nas.

Antara keistimewaan al-Quran ialah merupakan kitab Ilahi yang terpelihara, mukjizat, berisi penerangan dan mudah, kitab agama yang benar semuanya, sepanjang masa dan kitab insaniyah semuanya.

Hal ini telah dinyatakan oleh Dr. Yusuf al-Qardhawi dalam kitabnya Bagaimana Kita Berinteraksi Dengan Al-Quran, halaman 17-70.

Antara matlamat-matlamat al-Quran al-Karim seperti kata al-Qardhawi :

* Mentashihkan akidah sama ada berkaitan uluhiyyah, risalah dan perbahasan.

* Membenarkan karamah insani dan hak-haknya.

* Mengajar manusia ibadah yang baik kepada Allah.

* Menyeru kepada pembersihan jiwa.

* Pembentukan usrah yang solehah.

* Mengasaskan ummah yang menjadi saksi kepada sekalian manusia.

* Dakwah kepada alam insani yang bersifat tolong menolong.

Sebahagian ulama menyatakan intipati dalam al-Quran ada empat:

* Permasalahan akidah.

* Permasalahan syariah.

* Perbandingan agama dan akhlak.

* Kisah nabi-nabi dan umat dahulu kala.

Tafsir al-Quran atau dikenali juga takwil pada definisi bahasa, membawa maksud penerangan dan pendedahan. Ini pendapat yang dikemukakan oleh ahli-ahli bahasa seperti pengarang al-Qamus, al-Bahr al-Muhit dan Tha’lab.

Pada istilahnya pula, ia adalah ilmu yang membincangkan bagaimana menyebut dengan lafaz al-Quran, madlulnya, hukum-hukumnya sama ada berbentuk satu atau tersusun dan maknanya.

Al-Suyuti menaqalkan daripada Imam Zarkasyi, definisi tafsir dengan maksud ilmu yang difaham dengannya, kitab Allah yang diturunkan kepada nabi-Nya Muhammad s.a.w. yang menerangkan makna-maknanya dan hukumnya (Lihat al-Itqan 4 / 169).

Ulama berselisih pendapat mengenai perbezaan antara kalimah tafsir dan takwil. Abu Ubaidah berpendapat ia memberi makna yang sama. Al-Gharib pula berpendapat tafsir lebih umum dan luas penggunaannya pada lafaz-lafaz dan mufradatnya dalam kitab-kitab Ilahi.

Al-Maturidi menganggap tafsir adalah memutuskan dengan apa yang dikehendaki Allah. Sedangkan takwil kembali kepada beberapa andaian. (Tarikh ilmi al-Tafsir / Dr. Ali Hasan al-‘Aridu).

Rumusan yang dapat dinyatakan bahawa menghimpunkan makna takwil dan tafsir lebih baik daripada memisahkannya. Justeru kedua-duanya memberi makna yang sama seperti pendapat Ibn Jarir.

Para ulama banyak membahaskan syarat-syarat tafsir al-Quran sebelum ditafsirkannya seperti al-Suyuti melalui kitabnya, al-Itqan Fi Ulum al-Quran, Syeikh Ibn Taimiyah dengan Mukadimah Fi Usul al-Tafsir, Ibn al-Qayyim dengan al-Tibyan Fi Aqsam al-Quran, al-Zarkasyi dengan al-Burhan, al-Zurqani dengan Manahil al-Irfan dan ramai lagi ulama.

Syarat syarat mufassir dan adab-adabnya.

* Keikhlasan.

* Iktikad yang sahih.

* Sejahtera daripada amalan dan iktikad bidaah.

* Bertaubat dan sentiasa kembali kepada Allah.

* Sentiasa berwaspada daripada terjebak mengikut hawa nafsu.

* Mempunyai pelbagai ilmu, antaranya, Ilmu lughah seperti kata Mujahid : Tidak halal bagi seseorang yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat bercakap tentang kitab Allah jika tidak arif / tahu dengan bahasa Arab.

Antara ilmu bahasa itu :

* Nahu.

* Tasrif atau Sarf.

* Istiqaq sama ada istiqaq besar atau kecil.

* Balaghah iaitu bayan ma’ani dan badi’.

* Usuluddin.

* Usul fiqh.

* Asbab al-Nuzul

– sebab-sebab diturunkan ayat.

* Nasikh dan mansukh.

* Ilmu Fikah.

* Ilmu Hadis

* Ilmu Qiraat.

* Ilmu al-Mauhibah. Al-Zarkasyi dalam al-Burhan berkata: “Ketahuilah bahawa tidak tercapai kefahaman makna wahyu dan nyata segala sir-sirnya sedangkan dalam hatinya terdapat unsur bidaah, takabbur, hawa nafsu, cinta dunia atau yang kekal melakukan maksiat, atau tidak tahqiq iman atau daif tahqiq atau bergantung kepada pendapat mufassir tanpa ilmu atau kembali kepada akalnya. Ini semua adalah hijab / terdinding daripada tafsir.”

* Ilmu Sirah.

* Ilmu Tarikh al-Adyan (agama). Ini terutamanya agama-agama samawi antaranya Yahudi, Masihi dan juga agama lain. Suka ditambah di sini ilmu-ilmu moden seperti mukjizat al-Quran mengikut sains dan lain-lain lagi.

Disyaratkan juga ahli tafsir menjauhkan perkara-perkara ini :

* Tanpa ilmu dan tidak mencukupi syarat-syarat ahli tafsir.

* Membincangkan perkara yang berada di dalam ilmu Allah semata-mata.

* Mengikut hawa nafsu.

* Tafsir ayat-ayat dengan makna yang tidak boleh ditanggungnya.

* Tafsir secara pasti seperti kehendak Allah daripada ayat ini begini-begini.

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah dalam Mukadimah Fi Usul al-Tafsir halaman 83, memberi peringatan kepada golongan yang berpaling daripada tafsir al-Sahabat dan al-Tabiin tegasnya, “Sesiapa yang berpaling daripada mazhab-mazhab sahabat dan al-Tabiin, sedangkan tafsir mereka bercanggah daripada yang demikian itu, sebenarnya dia tersilap dan juga ahli bidaah.

 

Sumber: Dr. Zulkifli bin Mohamad Al-Bakri,

Pensyarah Kanan Kolej Uniti, Pasir Panjang,

Port Dickson, Negeri sembilan.

(Beliau mendapat ijazah sarjana mudanya dalam bidang Syariah dari Universiti Islam Madinah, Arab Saudi. Ijazah sarjananya dalam bidang yang sama diterima dari Universiti Ulum Islamiyyah Wal Arabiyyah, Syiria. Sementara P.hd Syariah dari Universiti Sains Malaysia).

22/09/2012 Posted by | Bicara Ulama, Informasi, Tazkirah | , | Leave a comment

Mengurus Quran lama

Mushaf al-Quran (dan begitu juga kertas-kertas yang bertulis ayat al-Quran, nama-nama Allah, zikir-zikir, hadis-hadis Nabi dan seumpamanya) wajib dijaga kemuliaan dan kehormatannya. Hendaklah disimpan ditempat yang baik dan bersih. Jika dijumpai terjatuh di atas lantai atau berada di tempat yang tidak sepatutnya, wajiblah dipungut. Jika sudah tidak dapat digunakan lagi, hendaklah dilupuskan sama ada dengan menanamnya di tempat yang bersih dan jauh dari laluan manusia (untuk mengelak dari ia dipijak atau dilangkahi) atau boleh juga dibakar dan kemudian abunya ditanam di tempat yang bersih. Ini sebagai mengambil contoh dari tindakan yang dilakukan oleh para sahabat.Dalam kitab Soheh al-Bukhari, terdapat hadis dari Anas bin Malik –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan; Saidina Usman bin ‘Affan –radhiyallahi ‘anhu- telah mengarahkan beberapa orang sahabat supaya menyalin beberapa mushaf al-Quran, kemudian ia menghantar ke setiap pelusuk (negara umat Islam) satu salinan. Dan ia memerintahkan semua lembaran dan mushaf yang lain hendaklah dibakar”. (Juz. 15, bab jam’ie al-Quran, hadis no. 4604).Berkata Ibnu Battal; hadis ini menunjukkan bahawa diharuskan membakar kitab-kitab/buku-buku yang terdapat di dalamnya nama-nama Allah (yang tidak digunakan lagi). Tindakan itu sebagai memuliakannya dan menjaganya dari dipijak oleh kaki-kaki manusia. Ada diceritakan bahawa Tawus membakar kertas-kertasnya yang terdapat tulisan Bismillah, begitu juga yang dilakukan oleh Urwah. (Fathul-Bari, juz 14, bab Jam’ie al-Quran. Lihat juga; Tuhfah al-Ahwazi, juz. 7, bab wa min surati at-taubah).

Diharamkan sama sekali mushaf al-Quran yang lama itu dibuang ke tempat sampah atau dibiarkan tanpa terurus di tempat yang tidak sepatutnya. Begitu juga, tidak harus kertas al-Quran lama di kitar semula untuk kegunaan lain dari al-Quran (seperti menjadi kertas biasa, tisu atau sebagainya) kerana itu juga satu jenis penghinaan kepada al-Quran. Ini sebagaiman fatwa yang yang pernah dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Arab Saudi (Fatawa al-Lujnah ad-Daimah, al-Majmu’at al-Ula, 4/80. Lihat; al-Maktabah asy-Syamilah) dan beberapa fatwa yang lain. Jadi, jalan yang ada ialah sama ada menanamnya atau membakarnya atau terus menyimpannya dengan baik.

Rujukan;

1. Fathul-Bari, juz 14, bab Jam’ie al-Quran.
2. Tuhfah al-Ahwazi, juz. 7, bab wa min surati at-taubah.
3. Fatwa Syeikh Muhammad Soleh al-Munajjid (http://www.islamqa.com), no. 126206.
4. Fatawa al-Lujnah ad-Daimah, al-Majmu’at al-Ula, 4/80, al-Maktabah asy-Syamilah.

Oleh: USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL Ahli Penal Syariah HPA

26/06/2011 Posted by | Ibadah | | Leave a comment

Al-Quran Diletakkan Di Hotel-Hotel Malaysia

Keputusan: 

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-42 yang bersidang pada 30 May 1997 telah membincangkan Al-Quran Diletakkan Di Hotel-Hotel Malaysia. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

a) Bersetuju meletakkan al-Quran di hotel-hotel di Malaysia dengan mematuhi kaedah berikut :

i) Diletakkan di tempat khas supaya tidak dicapai oleh kanak-kanak sekiranya mereka berada di situ.

ii) Sentiasa diawasi oleh penyelia hotel yang beragama Islam supaya tidak disalah guna.

iii) Meletakkan nota/catatan bagi orang-orang yang ingin menyentuh al-Quran di cermin khas di mana al-Quran itu di tempatkan.

b) Adalah lebih baik kalau disediakan al-Quran terjemahan supaya mereka boleh memahami dengan lebih dekat lagi isi kandungan al-Quran.

01/05/2011 Posted by | Fatwa, Ibadah | | 1 Comment

>TAK NAK BUTA QURAN

>

“TAK NAK BUTA QURAN”
DAPATKAN QURAN TERJEMAHAN PER KATA
RASM UTHMANI + ASBABUN NUZUL + TAFSIR BAHASA MALAYSIA
“Betapa nikmat membaca al-Qur’an kalau faham kata per kata dari setiap ayat seperti orang Arab …”
Tashih KDN
HARGA RM 110
[Termasuk penghantaran]
maksud di bawah setiap ayat al-Qur’an mempermudah kita memahami erti dan isi al-Qur’an

Boleh di dapati secara online di:
atau hubungi saya di:
MALAYSIA
TEL: 012-2441105
E mail : amri.shoppe@gmail.com

01/05/2011 Posted by | Iklan | | 4 Comments

Mushaf Al-Quran Pertama di Dunia

Di sebuah sudut gelap di ibukota negara Uzbekistan, Tashkent, terdapat satu peninggalan paling bersejarah bagi umat Islam, iaitu Al-Quran tertua di dunia. Al-Quran ini berasal dari masa pemerintahan khalifah ketiga iaitu Othman Bin Affan.

Othman Bin Affan merupakan perintis yang membukukan Alquran, sebelum itu Al-Quran hanya dihafal atau ditulis di atas kulit kayu dan tulang unta. Pembukuan Al-Quran pertama ini dilakukan Othman Bin Affan ketika berada di Madinah. Pembukuan Al-Quran ini selesai pada tahun 651 atau 19 tahun setelah meninggalnya Rasulullah SAW.
Pembukuan ini dilakukan Othman untuk mencegah perselisihan dan perbezaan versi dari ayat Al-Quran, sehingga beliau memutuskan untuk membukukannya.

Di Tashkent, Al-Quran ini disimpan di sebuah kawasan yang dikenali dengan nama Hast-Imam sebuah lokasi yang jauh dari orang ramai.

Lokasi penyimpanan Al-Quran ini berdekatan dengan makam ilmuwan dari abad ke-10, Kaffel Sashi. Penyimpanan Alquran ini berada di kawasan bangunan yang menjadi pusat aktiviti Mufti Uzbekistan atau pimpinan agama tertinggi di negara ini.

Al-Quran tertulis pertama yang dibukukan ini sangatlah berharga, sebab itu ia disimpan dalam sebuah almari kaca yang dilekatkan di dinding. Sayangnya, kerana sudah berusia ratusan tahun, Al-Quran ini tidak utuh lagi.

Pada masa ini yang tinggal hanyalah sepertiganya saja atau sekitar 250 halaman lagi. Ayat-ayatnya ditulis dalam bahasa Hijaz dan ditulis di atas kulit rusa.

Dikatakan bahawa Khalifah Othman membuat lima salinan dari Al-Quran ini dan menyebarkannya ke berbagai wilayah Islam. Selain yang ada di Tashkent, salinan lainnya juga masih tersimpan di Topkapi Palace di Istanbul, Turki.

Tidak jauh dari lokasi penyimpanan Al-Quran tersebut, ada juga sebuah rumah yang menyimpan benda bersejarah lainnya, iaitu sehelai rambut Rasulullah SAW. Selain Al-Quran tertua, rambut baginda ini juga menjadi salah satu koleksi bersejarah yang dimiliki Asia Tengah dalam kaitan mereka dengan sejarah Islam.

Di lokasi yang sama juga terletak perpustakaan yang menyimpan kekayaan dengan koleksi bersejarahnya. ”Dikatakan di perpustakaan itu ada sekitar 20 ribu buku hingga tiga ribu naskah,”ujar Ikram Akhmedov, pembantu mufti.

Buku-buku itu rata-rata adalah buku tentang sejarah abad pertengahan, astronomi, dan kedoktoran. Namun ada juga Al-Quran dan buku-buku tentang ilmu hukum. ”Namun benda tertua di perpustakaan ini adalah Alquran yang berasal dari abad ketujuh atau dari masa pemerintahan khalifah Othman Bin Affan,”jelasnya.

Adanya Al-Quran tertua di dunia ini mengingatkan kita betapa kawasan Asia Tengah memberikan peranan sangat penting dalam sejarah perkembangan agama Islam. Ini juga merupakan fakta yang tidak boleh dinafikan, bahawa harta karun umat Islam berada di negara yang dulunya merupakan pecahan negara komunis terbesar di dunia, Soviet Union.

Sejarah tibanya Al-Quran dari dinasti pemerintahan Othman Bin Affan ke Tashkent ini sangatlah luar biasa. Setelah kematian Othman Bin Affan, sebahagian orang menyatakan bahawa Al-Quran ini dibawa oleh Ali bin Abi Talib ke Kuffah atau yang sekarang dikenal sebagai Irak.

Tujuh ratus tahun kemudian, ketika Tamerlane (penakluk kawasan Asia Tengah) datang ke daerah ini, ia menemui Al-Quran ini dan membawanya ke ibukotanya di Samarkand, Al-Quran ini berada di Samarkand lebih dari empat abad, hingga orang Rusia menakluk kota ini pada tahun 1868.

Pada masa itu, Gabenor Russia mengirimkan Alquran ini ke St Petersburg dimana Al-Quran ini kemudian disimpan di perpustakaan kerajaan. Namun setelah pecahnya revolusi Bolshevik, Lenin yang sangat bernafsu menguasai daerah umat Islam mengirimkan Al-Quran ini ke Ufa atau yang kemudian dikenal sebagai Bashkortostan.

Namun akhirnya, setelah berulang kali diminta oleh Muslim Tashkent, Al-Quran ini akhirnya kembali lagi ke Asia Tengah pada tahun 1924. Sejak saat itu, Al-Quran ini ditempatkan di Tashkent sehingga hari ini.

Sejak awal lagi, Al-Quran ini telah menarik banyak orang termasuk petinggi umat Islam untuk mengunjunginya. Sehingga terasa aneh kerana Alquran ini masih ditempatkan di lokasi tersebut.

Mufti yang juga menjaga serta menjaga ini mengatakan bahawa Al-Quran ini tidak dipertontonkan dan dijaga agar tidak terlalu menarik banyak perhatian. Ini dilakukan untuk menjaganya dari perkara-perkara negatif yang mungkin terjadi.

Posted @ www.isuhangat.net

01/05/2011 Posted by | Informasi | , | Leave a comment

Sebab Sebab Rohani Tidak Subur

  • Meninggalkan membaca Al Quran atau mengurangkan membacanya.
  • Tidak melaksanakan arahan Al Quran
  • Melebih lebihkan di dalam perkara perkara yang harus sehingga mencuaikan perkara perkara yang wajib
  • Suka memilih Rukhshah dan meninggalkan Azimah.
  • Meninggalkan Qiyammullail.
  • Tidak menunaikan solat pada waktu nya atau melengah melengahkan nya.
  • Tidak solat jemaah di masjid atau surau.
  • Selalu datang lewat ke masjidatau surau.
  • Berhenti dari menghadiri majlis majlis atau syarahan syarahan yang menyentuh soal soal kerohanian.
  • Memberi penumpuan hanya kepada satu corak ilmu tanpa memberi perseimbangan dari segi keimanan dan kerohanian, saperti menumpukan hanya kepada politik, fiqh, usul, hadith,sejarah dan lain lain.
  • Meninggal memberi sedekah, memadai hanya berzakat tahunan sahaja.
  • Tidak menziarahi kubur, orang orang sakit dan hospital.
  • Terlalu sibuk mengejar mencari rezeki sehingga terabai segi segi keimanan dan kerohanian
  • Memilih isteri yang tidak ada asas agama.
  • Mengalami masaalah rumah tangga.
  • Mengalami masaalah pekerjaan.
  • Tidak mendengar bacaan Al Quran.
  • Tidak berkawan dengan kawan kawan yang baik baik.
  • Bergaul dengan kawan yang di pengaruhi oleh hawa nafsu dan banyak menghadiri majlis majlis mereka.
  • Suka bertengkar atau berbalah
  • Tidak mahu muhasabah diri.
  • Banyak ketawa dan bergurau.
  • Tidak menjaga penglihatan, samada kepada lelaki mahu pun perempuan.
  • Melakukan maksiat.

02/03/2009 Posted by | Tasauf, Tazkirah | , | Leave a comment