Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Penggunaan ubat ketika berpuasa

Beberapa orang sahabat bertanya saya mengenai penggunaan ubat ketika berpuasa. Sebelum saya menjawab soalan ini, suka saya membawa beberapa ayat al-Quran berkaitan dengan puasa dan rukhsah meninggalkan puasa.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah (183-184) bermaksud:

183- Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan kepada orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.

184- Iaitu beberapa hari tertentu. Maka sesiapa di antara kamu sakit atau bermusafir (dalam perjalanan lalu tidak berpuasa), maka (hendaklah) menggantinya pada hari-hari lain (bukan pada bulan Ramadhan). Dan atas orang-orang yang tidak kuat (kerana lemah tua atau penyakit atau hamil) wajib membayar fidyah memberi makan orang miskin. Tetapi barang siapa dengan kerelaan hati mengerjakan kebaikan , maka itu lebih baik baginya, dan puasamu itu lebih baik bagimu sekiranya kamu mengetahui.

Kita sudah memahami bahawa setiap muslim aqil, baligh adalah diwajibkan berpuasa. Apabila berpuasa, secara lahirnya kita mengelakkan diri kita dari memasukkan sesuatu melebihi had-had tertentu pada rongga-rongga badan iaitu mulut, hidung, telinga dan dua saluran dubur dan qubul.

Apabila saya menyebut ‘had-had tertentu’ pada rongga-rongga tersebut kerana beberapa amalan memasukkan sesuatu dalam rongga-rongga tersebut masih dibenarkan ketika berpuasa selagi tidak melebehi had yang dibenarkan, contohnya:

i. Dibenarkan memasukkan air ke hidung (tidak melampau) sekadar membersihkan hidung untuk mendapatkan sunnah dan pahala ber ‘istinsyaq’ ketika mengambil wuduk.

ii. Dibenarkan mandi wajib selepas azan Subuh dan mandi wajib mewajibkan kita membasuh bahagian dalam lubang telinga yang zahir dan dubur yang zahir.

Ayat 184 pula menjelaskan bahawa sesiapa yang sakit, dibolehkan seseorang itu berbuka puasa. Sekiranya mereka masih mahu mengerjakan puasa, ia adalah baik untuk mereka selama mana puasa itu tidak memudaratkan diri mereka. Jika memudaratkan, mereka wajib berbuka berdasarkan larangan umum: Jangan kamu campakkan diri kamu dalam kebinasaan (al-Baqarah, ayat 195).

Masalah yang timbul dari persoalan orang-orang sakit ini ialah:

1. golongan yang tidak mahu berpuasa atas alasan sakit.

2. orang sakit yang sedang dalam proses berubat, mahu terus berpuasa dan masih menganggap dirinya sah puasa dan tidak memerlukannya qada’ (mengulang balik) ibadah puasa tersebut.

Bagi golongan pertama iaitu yang tidak mahu berpuasa berterusan kerana sakit, kita katakan pada mereka, ketetapan yang tidak mewajibkan mereka tidak boleh berpuasa bukan ditetapkan oleh diri mereka. Mereka wajib mendapatkan pandangan doktor perubatan muslim yang adil, warak untuk menentukan ketidakmampuan mereka. Sekiranya disahkan, mereka boleh tidak berpuasa tetapi masih wajib menjaga syiar-syiar puasa iatu tidak memakan ditempat umum.

Manakala bagi golongan kedua, sekiranya proses perubatan ketika berubat (dalam keadaan berpuasa) melebihi had-had memasukkan sesuatu ke dalam rongga, puasa adalah terbatal namun, mereka masih wajib menahan diri dari makan (imsak) dan puasa tersebut wajib diqada (diulang) berdasarkan dalil-dalil khusus puasa yang melarang memasukkan sesuatu ke dalam rongga-rongga tersebut.

Dalam banyak keadaan tersebut, saya bersetuju dengan Buku Panduan Berpuasa Pesakit terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang saya ambil dari Berita Harian, 29 Ogos 2009:

Perkara berkaitan rawatan yang TIDAK MEMBATALKAN PUASA:

• Menggunakan ubat titis mata, titis telinga dan cucian telinga (dengan syarat tidak sampai batas gegendang telinga);

• Pil tablet nitroglycerin (GTN) atau ubat yang menyamainya yang diambil secara meletakkannya di bawah lidah tanpa ditelan bagi merawat kesakitan dada (angina pectoris) bagi pesakit jantung;

• Melakukan prosedur tampalan gigi, cabutan, pembersihan gigi atau memberus gigi dengan syarat individu yang berpuasa tidak menelan apa-apa bahan ketika prosedur rawatan itu;

• Semua bentuk suntikan sama ada melalui lapisan kulit, otot, sendi atau salur darah;

• Pendermaan atau pemindahan darah;

• Penggunaan ubat-ubatan dalam bentuk sapuan, balutan dan plaster pada permukaan kulit;

• Pengambilan sampel darah untuk ujian makmal;

• Memasukkan tiub kecil (catheter) melalui salur darah untuk tujuan pemeriksaan seperti prosedur angiogram untuk pemeriksaan jantung;

• Pemeriksaan laparoscop, iaitu pemeriksaan dalaman dengan menggunakan alat yang dimasukkan melalui dinding abdomen untuk pemeriksaan bahagian dalaman pesakit;

• Berkumur-kumur termasuk berkumur-kumur secara gargle (sehingga air hampir ke tekak), dan ubat teraputik semburan ke mulut yang tidak membabitkan proses menelan;

• Menjalani biopsy iaitu pengambilan spesimen atau cebisan yang diambil daripada hati atau organ lain untuk tujuan analisis makmal;

• Penggunaan ubat semburan (spray) hidung tanpa disedut;

• Rawatan dialisis untuk masalah pesakit buah pinggang sama ada hemodialisis atau peritonealdialisis;

• Menjalani rawatan bius setempat atau separuh (local) dengan semburan atau suntikan setempat; dan

• Penggunaan ubat buasir dengan memasukkan semula kawasan buasir pada tempatnya tanpa membabitkan kawasan rongga yang dalam.

Perkara berkaitan dengan rawatan perubatan yang MEMBATALKAN PUASA:

• Penggunaan alat sedutan (inhaler) untuk rawatan lelah (athma) atau penyakit paru-paru kronik;

• Memasukkan sebarang tiub kecil (pessary) atau ubat ke dalam faraj (vaginal suppository) termasuk prosedur cucian (wash), pemeriksaan dalaman vaginal (vaginoscope), atau pegawai perubatan memasukkan jari untuk melakukan pemeriksaan dalaman vagina wanita.

• Memasukkan sebarang tiub catheter, alat pemeriksaan dalam saluran kencing (uretroscope), barium atau ubat pencuci yang dimasukkan sama ada ke dalam saluran kencing bagi lelaki atau wanita (contohnya memasukkan `urinary catheter’ untuk rawatan sumbatan salur kencing);

• Penggunaan alat seperti enema, tiub suppository, teropong protoscope atau jari pegawai perubatan yang dimasukkan ke dalam dubur atau rectum untuk pemeriksaan;

• Penggunaan teropong usus (endoscope) atau teropong perut (gasteroscope) untuk tujuan pemeriksaan sistem penghadaman; dan

• Penggunaan bius menyeluruh yang membabitkan penggunaan gas.

Wallahu a’lam.

Oleh: Ustaz Dr Asmadi Mohamed Naim

29 June 2014 Posted by | Fiqh, Ibadah, Q & A (Soal Jawab) | , | Leave a comment

Kenapa “ELERGIK PERDANA” dengan ‘SELAWAT PERDANA”?

Himpunan muslimin di Putra jaya utk berselawat

Saya melihat semacam suatu ‘alergik perdana’ kepada mereka yang menegatifkan program-program Selawat Perdana. Mereka yang elergik ini terlajak sehingga menerbitkan kalimah-kalimah takfir, sesat dan bid’ah kepada masyarakat yang mengikuti atau menghadirinya. Saya suka menyorot kembali elergik perdana mereka ini:

1. Majlis selawat sebegini suatu yang bid’ah sesat masuk neraka sebab Nabi SAW tidak pernah buat. MasyaalLah, mereka masih berpegang secara literal hadis bid’ah walhal telah dijawab oleh banyak ulama mengenai perkara itu. Majlis ini tidak menambah sebarang rukun solat, atau mana-mana ajaran baru di dalam Islam. Bahkan di dalamnya ada peringatan-peringatan dan tausiyyah untuk pesertanya.

2. Majlis ini syirik kerana mengagungkan Nabi Muhammad SAW? Pengamatan saya, adakah dengan berselawat sebegitu sudah berubah pula penyembahan kepada Nabi SAW? Tidak pula majlis ini menjadikan Nabi SAW kita berubah menjadi orang yang disembah. Tinggal lagi ia memperingatkan kepada kita sepatutnya idola kita ialah manusia yang sempurna ini.

3. Majlis ini majlis yang sia-sia kerana turut dihadiri oleh mereka-mereka yang juga turut meluluskan konsert-konsert yang mungkar? Pada saya, sepatutnya kita gembira apabila mereka masih melihat majlis-majlis yang baik untuk dihadiri. Sekiranya para habaib itu hanya senyap terhadap perlakuan mungkar pemimpin, adakah dengan senyap menunjukkan mereka bersetuju? Tidak! Sebaliknya mendatangkan program alternatif adalah jawapan kepada program mungkar tersebut. Itu adalah jawapan yang lebih tajam daripada melafazkan kata-kata melarang mereka. Bahkan inilah jalan yang lebih berhikmah.

4. Program ini membazir kerana jumlah wang yang sedemikian boleh digunakan untuk majlis dakwah yang lain. Pengamatan saya, kenapa saudara tidak melihat ini sebagai sebahagian daripada aktiviti dakwah iaitu memenuhi keperluan hiburan golongan muda. Golongan muda memang sentiasa memerlukan alunan-alunan muzik sebagaimana mereka menjadi pengikut kepada ramai artis yang menerbitkan album secara berterusan. Maka Selawat Perdana yang pelbagai boleh memenuhi keperluan mereka ini. Bahkan perlu diingat, sekiranya Selawat Perdana ini tidak dibuat, kita tidak pasti juga adakah wang ini akan dikhususkan untuk program dakwah yang lain.

5. Qasidah dan berzanji mengagungkan Nabi Muhammad SAW sehingga syirik? Pengamatan saya, ini suatu konklusi yang buruk. Ungkapan-ungkapan qasidah penuh dengan bunga-bunga bahasa. Maknanya tidak terkeluar daripada makna kemanusiaan dan mengharap syafaat Nabi SAW. Mereka yang tidak tahu seni, memang sukar memahami kelembutan dan alunan bunga-bunga bahasa.

Semoga kita semua terhindar dengan ketaksuban sesuatu pandangan khususnya aliran yang cepat mengkafirkan dan membid’ahkan umat Islam yang lain.

Oleh: Us Asmadi Mohamed Naim

29 June 2014 Posted by | Politik dan Dakwah | | Leave a comment

Cukai Ke Atas Khamar (Arak) dan Khinzir (Babi)

Menjawab persoalan ini, saya nukilkan dari kitab Ahkam Az-Zimmiyyin wal Musta’manin fi Daril Islam karangan Dr Abdul Karim Zaidan cetakan Mu’assasah Ar-Risalah pada muka surat 155 dan 156

Menurut pendapat Hanafiah pada zahir Riwayat,diwajibkan cukai perniagaan ke atas arak ( tetapi) tidak diwajibkan cukai ke atas khinzir,(manakala) menurut (Imam) Abi Yusuf diwajibkan jugacukai terhadap khinzir.

Manakala (menurut) pendapat (Imam) Zafar,telah berlaku pertentangan yang disebutkan daripada beliau di dalam kitab-kitab mazhab Hanafiah.Maka di dalam kitab Syarah As-Siru Al-Kabir :

Berkata (Imam) Zafar Rahimahullah Ta’ala “ Tidak dikenakancukai arak dan (juga) tidak dikenakan cukai khinzir ”.Manakala di Dalam kitab Al-Hidayah : Berkata (Imam) Zafar Rahimahullah ta’ala : Dikenakan cukai kedua-duanya (arak dan khinzir) untuk menyamakan kedua-duanya pada (pentakrifan arak dan khamar itu sebagai ) harta.

(*scene-r : Berlaku pertembungan perkataan Imam Zafar di dalam kitab-kitab mazhab Hanafiah sama ada dikenakan cukai ataupun tidak dikenakan cukai ke atas arak dan khinzir.Didalam kitab Syarah As-Siru Al-Kabir dinaqalkan bahawa Imam Zafar mengatakan: tidak dikenakan cukai arak dan babi manakala di dalam kitab Al-Hidayah pula menaqalkan bahawa Imam Zafar mengatakan: dikenakan cukai kedua-duanya)

Dan yang rajih menurutku (Dr.Abdul Karim Zaidan) perkataan (di dalam) kitab Al-Hidayah.Manakala apa yang terdapat di dalam kitab Syarah As-Siru Al-Kabir itu berkemungkinan tersalah cetak dengan penambahan kalimah ( لا) (tidak) pada kedua-dua tempat.Dan aku (Dr.Abdul Karim Zaidan) merajihkan ini (Kitab Al-Hidayah) kerana mengambil perkataan (Imam) Zafar : “Untuk menyamakan kedua-duanya pada (pentakrifan arak dan khamar itu sebagai ) harta di sisi mereka (Hanafiah) ” .Aku (Dr.Karim Zaidan) telah merujuk di dalam nuskhah yang lain daripada kitab Al-Hidayah (dari sudut adakah ada di sana) kesalahan dan percetakan (kemudian aku dapati) kesemuanya menyebutkan : Berkata (Imam) Zafar Rahimahullah ta’ala : Dikenakan cukai kedua-duanya (arak dan khinzir) untuk menyamakan kedua-duanya pada (pentakrifan arak dan khamar itu sebagai) harta menurut mereka (Hanafiah).

Dan Hujjah (Imam) Zafar (yang mengatakan) pada wajib dikenakan cukai perniagaan ke atas arak dan khinzir ialah : Kedua-duanya itu merupakan harta Mutaqawwim pada hak ahli zimmah,oleh yang demikian akan dikenakan dhaman ke atas muslim yang merosakkannya.

(*scene-r : Sebentar tadi kita telah mengetahui bahawa pendapat Imam Zafar menyamakan arak dan khinzir pada pentakrifan arak dan khinzir itu di sebut sebagai harta yang mutaqawwim pada hak ahli zimmah.Sebentar lagi kita akan melihat pula pendapat Zahir Hanafiah yang tidak menyamakan atau kata lain membezakan antara arak dan khinzir itu daripada pentakrifan harta)

Dan wajah (gambaran) zahir riwayat (menurut pendapat Hanafiah) iaitu perbezaan antara arak dan khinzir seperti berikut :

PERTAMA : Apa yang diriwayatkan daripada (Saidina) Umar bin Al-Khattab r.a telah menghimpunkan Amil-amilnya pada Al-Musim (pengumpulan harta ).Berkata (Saidina) Umar r.a kepada mereka (amil-amilnya) : Apa yang kamu ambil daripada ahli zimmi daripada apa yang berlalu ke atas kamu daripada arak? (Apa yang kamu ambil daripada orang kafir zimmi daripada penghasilan perniagaan atau penjualan arak mereka?)

Mereka menjawab : Setengah daripada satu persepuluh ( 5% ) daripada nilainya (sebagai cukainya)

(Kemudian Saidina) Umar r.a berkata : Berikan tauliah untuk menjualnya dan ambil setengah daripada satu bersepuluh ( 5 % ) daripada nilainya (sebagai cukainya).

KEDUA : Sesunguhnya arak itu lebih hampir daripada (pentakrifan) harta (berbanding) daripada khinzir (bukan harta)kerana ia (arak) itu bagi kami merupakan harta pada permulaannya ketika diperah dan akan menjadi harta semula pada akhirnya (iaitu) selepas (arak itu) berubah (menjadi cuka).Manakala khinzir (pula) menurut kami bukanlah (ditakrifkan sebagai) harta pada permulaannya dan tidak pula akan berubah menjadi harta pada penghujungnya.

KETIGA : Sesungguhnya arak itu dari kategori Al-Amthal,mengambil nilai pada apa (benda) yang mempunyai contoh daripada sejenisnya, tidak akan berdiri menggantikan tempatnya (maka nilai itu tidak berdiri di atas benda itu),maka mengambil qimah (nilai) arak tidak disamakan dengan mengambil arak.Manakala khinzir pula dari kategori Al-Qiyam,dan qimah(nilai) pada benda yang tiada contoh sebandaingnya akan berdiri di atas tempat itu,maka mengambil qimah (nilai khinzir samalah) seperti mengambilnya (zat khinzir).Dan ini tidak dibolehkan untuk orang muslim.

(*scene-r : Arak termasuk daripada kategori Al-Amthal iaitu ada benda lain sejenisnya atau pun sebanding dengannya sepertianggur atau perahan anggur .Berbeza dengan khinzir yang termasuk daripada kategori Al-Qiyam iaitu tiada yang sejenis atau yang sebanding dengannya yang boleh menggantikan tempatnya maka mengambil nilai khinzir sama dengan mengambil khinzir)

KEEMPAT : Sesungguhnya hak pengambilan untuk daulah dengan sebab pemeliharaan (penjagaan),dan bagi muslim itu penjagaan arak pada keseluruhannya, oleh yang demikian sekiranya (seorang muslim itu) mewarisi arak maka orang muslim itu perlu menjaga arak tersebut daripada orang lain untuk membiarkannya berubah (menjadi cuka).Maka bagi orang muslim itu wilayah (boleh melantik orang lain untuk) penjagaan arak selain daripada dirinya.Berbeza dengan khinzir,tidak boleh bagi seorang muslim memelihara (menjaga) khinzir,sehingga sekiranya (seorang muallaf) yang masuk Islam memiliki banyak khinzir,maka ketika itu dia (muallaf) tidak boleh memeliharanya bahkan dia perlu meninggalkannya,(dia) tidak boleh wilayah (melantik orang lain untuk ) penjagaan khinzir selain daripada dirinya.(muallaf tersebut tidak boleh memelihara khinzir dan tidak boleh melantik orang lain untuk memelihara khinzir)

(*scene-r : kita telah sebutkan sebentar tadi hujjah-hujjah daripada zahir riwayat Hanafiah yang membezakan antara arak dan khinzir dari pentakrifan harta.Sebentar lagi Dr.Abdul Karim Zaidan akan membahas semula hujjah-hujjah yang di sebutkan tadi)

Sebenarnya hujjah-hujjah ini tidak terselamat daripada pertentangan.(I’tiradh)

Apa yang diriwayatkan oleh Saidina Umar r.a (pada hujjah pertama) itu bukanlah menunjukkan (bahawa) tidak wajib cukai perniaagaan ke atas khinzir dengan hujjah tidak disebutkan kecuali arak.

([scene-r] : Di dalam hujjah pertama tadi hanya menyebutkan arak tetapi tidak disebutkan khinzir.Oleh yang demikian bukan bermakna tidak diwajibkan cukai perniagaan khinzir kerana tidak disebutkan khinzir di dalam riwayat tersebut)

Kerana tidak menyebutkan sesuatu bukan dalil yang menunjukkan melarang sesuatu.

Manakala perkataan yang mengatakan bahawa arak itu lebih dekat dengan pentakrifan harta berbanding khinzir (hujjah ke dua) tidak memberi kesan pada (penyelesaian) masalah kerana arak bukanlah dikategorikan sebagai harta yang Mutaqawwim pada hak muslim begitu juga dengan khinzir.

Dan mereka katakan sekiranya pengambilan – ataupun mengambil cukai – dengan sebab pemeliharaan, Seorang muslim baginya menjaga arak dengan keseluruhannya berbeza dengan khinzir,dan (untuk)menolak pendapat ini bahawa khinzir itu selagi ia merupakan harta yang mutaqawwim pada hak zimmi (samalah) seperti kambing (yang merupakan harta mutaqawwim) pada hak kita,sebagaimana pendapat Hanafiah,maka semestinya memasukkan pada pemeliharaan ,seperti (sebagai contoh) memasukkan arak pada pemeliharaannya dengan mengiktibarkannya sebagai harta yang mutaqawwim bagi (hak) zimmi.

Oleh yang demikian rajih menurutku (Dr.Abdul Karim Zaidan) adalah pendapat (Imam) Abi Yusuf dan (Imam) Zafar.(mengenakan cukai pada ke dua-dua perniagaan arak dan khinzir)

Manakala menurut Hanabilah dan Syafieah : Tidak dikenakancukai arak dan khinzir, juga tidak dikenakan nilai kedua-duanya kerana kedua-duanya itu (arak dan khinzir)bukanlah(dikategorikan sebagai) harta pada asalnya –Sesungguhnya (cukai) hanya di ambil daripada harta yang Mutaqawwim.

Rumusan :

Pendapat Hanafiah : Dikenakan cukai pada arak sahaja dantidak dikenakan pada khinzir

Mankala pendapat Imam Abi Yusuf dan Imam Zafar daripada ulama Hanafiah berpendapat : Dikenakan cukai pada arak dan khinzir.

Pendapat Hanabilah dan Syafieah : Tidak dikenakan cukai arak dan khinzir.

[scene-r ] :Bagi menjelaskan apa yang dimaksudkan dengan harta yang mutaqawwim Dr.Abdul Karim Zaidan meletakkan nota kaki di dalam kitab yang sama pada muka surat 156 sebagaimana berikut :

Harta yang mutaqawwim itu merupakan apa yang terpelihara secara perbuatan (atau praktikal)nya dan boleh dimanfaatkan secara kebiasaan menurut syarak secara diusahakan atau secara ikhtiar (pilihan).

Manakala harta yang bukan mutaqawwim pula iaitu apa yangbukan dimiliki oleh seseorang atau, ia dimiliki secara perbuatantetapi tidak boleh dimanfaatkan secara kebiasaan yang diterima oleh syarak dan dibolehkan secara diusahakan dan secara pilihan seperti (contoh) arak dan khinzir (merupakan harta yang bukan mutaqawwim) bagi orang muslim.

Manakala arak dan khinzir bagi orang bukan muslim merupakanharta yang mutaqawwim selagi mereka berpegang bahawa sah bermuamalat dan mendapat manfaat dengannya secara kebiasaan,kerana syarak menyuruh kita membiarkan ahli zimmah dengan apa yang mereka anuti (menurut kepercayaan mereka) dan wajib bagi kita memberitahu mereka bahawa arak dan khinzir merupakan harta yang mutaqawwim bagi mereka(tetapi bukan harta yang mutaqawwim bagi kita).(Dr.Abdul Karim Zaidan merujuk dari Kitab Al-Fiqh Al-Islami Ustaznya Muhammad Salam Madkur ms 167)

[scene-r]:Harta Mutaqawwim bagi orang muslim merupakan apa sahaja yang dikira sebagai harta menurut syarak (suci,bermanfaat dsb sama ada diusahakan atau secara ikhtiar).Manakala harta yang bukan mutaqawwim bagi orang muslim adalah sesuatu yang tidak dikira sebagai harta yang boleh dimiliki (seperti khinzir tidak dikira sebagai harta menurut kita) atau ia dimiliki secara perbuatan (seperti contoh anggur boleh dimiliki dan dikategorikan sebagai harta) tetapi tidak boleh dimanfaatkan (seperti sudah diperah menjadi arak).

Manakala harta yang mutaqawwim bagi kafir zimmimerupakan apa sahaja yang menurut kepercayaan mereka dibenarkan bermuamalat dengannya dan menurut mereka harta tersebut adalah bermanfaat.Sekiranya mereka mengatakan bahawa khinzir itu dibenarkan oleh kepercayaan mereka maka khinzir merupakan harta yang mutaqawwim bagi mereka.

Apabila dikategorikan sebagai harta yang mutaqawwim bagi hak kafir zimmi maka kita tidak boleh merosakkannya,jika dilakukan juga akan dikenakan dhaman atau ganti rugi bagi orang yang merosakkannya.

Berbeza jika mereka mengatakan bahawa khinzir itu tidak bermanfaat menurut kepercayaan mereka;maka ketika itu khinzir adalah bukan harta mutaqawwim begitu juga kita boleh contohkan dengan arak pada mengklasifikasikan arak itu sebagai harta yang muatqawwim ataupun bukan.

Segalanya perlu merujuk kepercayaan mereka.Adakah kepercayaan mereka itu membolehkan atau tidak.Jika kepercayaan mereka membolehkan maka harta itu adalah harta mutaqawwim bagi hak mereka.Manakala, jika kepercayaan mereka juga tidak membenarkan maka harta itu bukan dikategorikan sebagai harta mutaqawwim.

Sebagai tambahan telah berkata Khalifah Umar Abdul Aziz :

الخمر لا يعشرها مسلم

Maksudnya : Arak itu tidak dikenakan cukai (ke atas perniagaan) oleh orang Muslim.(Rujuk Al-Mughni li Ibnu Qudamah jilid 13 ms 232 cet.Dar Alam Al-Kutub)

Seterusnya berkata Abu Ubaid : dan Makna perkataan Saidina Umar r.a :

ولُّوهم بيعها ، وخذوا أنتم من الثمن . أن المسلمين كانوا يأخذون من أهل الذمّة الخمر والخنازير من جزيتهم ، وخَراج أرضِهم بقيمَتِهما ،ثم يتولَّى المسلمون بيعها ، فأنكره عمر ، ثم رخَّصَ لهم أن يأخذوا من أثمانها ، إذا كان أهل الذمّة المتولِّين بيعَها، و روى بإسناده عن سويد بن غفلة ، أن بلالا قال لعمر : إن عمالك يأخذون الخمر والخنازير فى الخراج . فقال :لا تأخذوها منهم ، ولكن ولُّوهم بيعها ، وخذوا أنتم من الثمن.

Maksudnya: Tauliahkan kepada mereka untuk menjual,dan kamu ambillah daripada cukainya. Sesungguhnya orang-orang muslimin itu mengambil daripada ahli zimmah daripada cukai (yang dikenakan keatas) meraka,dan pengeluaran hasil bumi dengan nilainya.Kemudian orang-orang muslimin mentauliahkan untuk menjualnya,maka Saidina Umar r.a mengingkarinya kemudian merukhsahkan (meringankan atau membolehkan) untuk mereka mengambil nilainya,(dengan syarat) sekiranya ahli zimmi itu ditauliahkan untuk menjualnya.Dan diriwayatkan dengan sanadnya dari Suaid bin Ghaflah r.a, sesungguhnya Saidina Bilal r.a berkata pada Saidina Umar r.a :Sesungguhnya Ummal (amil-amil) kamu mengambil arak dan khinzir sebagai pengeluaran.Maka Saidina Umar r.a berkata : Janganlah kamu mengambil daripada mereka tetapi berikanlah tauliah kepada mereka dan ambillah cukainya. .(Rujuk Al-Mughni li Ibnu Qudamah jilid 13 ms 232/233 cet.Dar Alam Al-Kutub)

Berkata Imam Ibnu Qudamah pada muka surat 233

فصل : ويجوز أخذ ثمن الخمر والخنزير منهم عن جزية رءوسهم ، وخراج أرضهم، احتجاجا بقول عمر هذا : ولأنها من اموالهم التى نقرهم على اقتنائها والتصرف فيها ، فجاز أخذأثمانها منهم كثيابهم.

Maksudnya: Fasal : Dan dibolehkan mengambil nilai (cukai) arak dan khinzir daripada mereka melalui cukai kepala mereka, dan pengeluaran tanaman mereka,berhujjah dengan perkataan daripada Saidina Umar r.a ini : kerana ia merupakan daripada harta mereka yang kita tetapkan ke atas mereka (bahawa harta tersebut) menjadi miliknya dan boleh belanjakan (atau tasaruf jual beli) maka bolehlah mengambil nilainya (cukai) daripada mereka seperti baju-baju mereka (yang boleh dijual belikan).

[scene-r] : Mungkin boleh kita katakan pentauliahan kepada kafir zimmi sekarang ini dengan cara memberi lesen kepada mereka.Bagaimana lesen ini boleh diberikan kepada mereka itu terpulang kepada pemerintah untuk meletakkan syarat-syarat yang perlu dipenuhi oleh kafir zimmi, seperti contoh; Diberikan lesen kepada mereka yang menjual arak dengan syarat tidak boleh secara terbuka dan menetapkan kuantitinya begitu juga dengan ladang khinzir.Kemungkinan boleh di syaratkan untuk penternak khinzir menjaga kebersihan dan tidak membuat pencemaran serta menghadkan kuantiti ternakan atau apa sahaja syarat yang dilihat oleh pemimpin mengikut penilaian dan pertimbangan mereka.Manakala sekiranya ahli zimmi ini gagal memenuhi syarat maka boleh sahaja lesen itu ditarik balik ataupun sekiranya di dapati bahawa arak atau khinzir itu juga bukan harta mutaqawwim bagi ahli zimmi maka ketika itu tidak lagi dibolehkan untuk membiar dan membenarkan mereka menjalankan aktiviti penjualan arak atau khinzir.

Sumber: http://scene-r.blogspot.com/2008/04/cukai-ke-atas-khamar-arak-dan-khinzir.html

20 June 2014 Posted by | Fiqh, Ibadah, Q & A (Soal Jawab) | , , | Leave a comment

Mengenali Ideologi Aliran Khawarij

khawarij (1)

(Gabungan artikel dari tulisan di blog Insan Berdakwah dan tulisan Dr. Umar Abdullah Kamil)

Firman Allah سبحانه وتعالى :

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱجْتَنِبُوا۟ كَثِيرًۭا مِّنَ ٱلظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ ٱلظَّنِّ إِثْمٌۭ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا۟ وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًۭا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ تَوَّابٌۭ رَّحِيمٌۭ

“Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah dari banyak berprasangka; Sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan dan keaiban orang, dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain, dan janganlah ada di antara kamu yang mengumpat sebahagian yang lain. Adakah di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu merasa jijik. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.”

(Surah Al-Hujurat, 49; Ayat 12)

Kaum Khawarij telah dibuktikan menjadi golongan yang paling mudah berburuk sangka. Dalam catatan sejarah, mereka berburuk sangka terhadap Rasulullah s.a.w dalam pembahagian ghanimah, bahkan sehingga sanggup menuduh Rasulullah s.a.w tidak mencari keredhaan Allah Taala. Mereka tidak sabar-sabar untuk membuat kesimpulan daripada sebab Rasulullah s.a.w melebih-lebihkan pembesar berbanding golongan marhein. Padahal apa yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w adalah dalam rangkai dakwah dan ta’liful qulub. Mereka juga menuduh Syaidina Uthman Affan r.a sebagai pengamal nepotisme dan menuduh Syaidina Ali r.a sebagai pemimpin yang tidak berwawasan.

Dzul Khuwaishirah si bodoh yang melemparkan tuduhannya yang mengatakan bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam tidak ikhlas dengan berkata :

"Ertinya : Demi Allah, sesungguhnya ini adalah suatu pembahagian yang tidak adil dan tidak dikehendaki di dalamnya wajah Allah". [Hadis Riwayat Muslim II/739, No. 1062, Ahmad IV/321].

Dzul Khuwaishirah ketika melihat Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam membahagi harta kepada orang-orang kaya, bukan kepada orang-orang miskin, dia tidak menerimanya dengan prasangka yang baik atas pembahagian tersebut.

Ini adalah sesuatu yang menghairankan. Kalaulah tidak ada alasan selain pelaku pembahagian itu adalah Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam cukuplah hal itu mendorong untuk berbaik sangka. Akan tetapi Dzul Kuwaishirah enggan untuk itu, dan berburuk sangka disebabkan jiwanya yang sakit. Lalu dia berusaha menutupi alasan ini dengan keadilan. Yang demikian ini mengundang tertawanya iblis dan terjebak dalam perangkapnya.

Seharusnya seseorang itu introspeksi, meneliti secara cermat dorongan, tindak tanduk dan maksud tujuan serta waspada terhadap hawa nafsunya. Hendaklah dia berjaga-jaga terhadap ‘pendorong-pendorong’ iblis, kerana dia banyak menghias-hiasi perbuatan buruk dengan dibungkus secara indah dan rapi, dan membaguskan tingkah laku yang keji dengan nama dasar-dasar kebenaran yang mengundang seseorang untuk menentukan sikap menjaga diri dan menyelamatkan diri dari tipu daya syaitan dan perangkap-perangkapnya.

Jika Dzul Khuwaishirah mempunyai sedikit saja ilmu atau sekelumit pemahaman, tentu tidak akan terjatuh dalam kumbangan ini.

Berikut kami paparkan penjelasan dari para ulama mengenai keagungan pembahagian Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam dan hikmahnya yang tinggi dalam menyelesaikan perkara.

Berkata Syaikh Islam Ibnu Taimiyah :" Pada tahun peperangan Hunain, Baginda Sallallahu ‘alaihi wa sallam membahagikan ghanimah (harta rampasan perang) Hunain pada orang-orang yang hatinya lemah (muallafah qulubuhum) dari penduduk Najd dan bekas tawanan Quraisy seperti ‘Uyainah bin Hafsh, dan beliau tidak memberi kepada para Muhajirin dan Anshar sedikitpun.

Maksud Baginda, dengan memberikan harta rampasan perang kepada mereka, secara halusnya sebagai untuk mengikat hati mereka dengan Islam, kerana keterkaitan hati mereka dengannya merupakan maslahat umum bagi kaum muslimin. Sedangkan yang tidak baginda berikan adalah kerana mereka lebih baik di mata Baginda dan mereka adalah wali-wali Allah yang bertaqwa dan seutama-utamanya hamba Allah yang soleh setelah para Nabi dan Rasul.

Jika pemberian itu tidak dipertimbangkan untuk maslahat umum, maka Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam tidak akan memberi pada aghniya’, para pemimpin yang ditaati dalam perundangan dan akan memberikannya kepada Muhajirin dan Anshar yang lebih memerlukan dan lebih perlu diberikan keutamaan.

Oleh sebab inilah orang-orang Khawarij mencela Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam dan dikatakan kepada baginda oleh pelopornya :" Wahai Muhammad, berbuat adillah. Sesungguhnya engkau tidak berlaku adil ". dan perkataannya :" Sesungguhnya pembahagian ini tidak dimaksudkan untuk wajah Allah …..". Mereka, meskipun banyak shaum (berpuasa), solat, dan bacaan Al-Qur’annya, tetapi keluar dari As-Sunnah dan Al-Jama’ah.

Memang mereka dikenal sebagai kaum yang suka beribadah, wara’ dan zuhud, akan tetapi tidak disertai ilmu, sehingga mereka memutuskan bahawa pemberian itu semestinya tidak diberikan kecuali kepada orang-orang yang berhajat, bukan kepada para pemimpin yang ditaati dan orang-orang kaya itu, jika di dorong untuk mencari keredhaan selain Allah -menurut perasangka mereka-.

Inilah kebodohan mereka. Kerana sesungguhnya pemberian itu menurut kadar maslahah agama Allah. Jika pemberian itu akan semakin mengundang keta’atan kepada Allah dan semakin bermanfaat bagi agama-Nya, maka pemberian itu jauh lebih utama. Pemberian kepada orang-orang yang memerlukan untuk menegakkan agama, menghinakan musuh-musuhnya, memenangkan dan meninggikannya lebih agung daripada pemberian yang tidak demikian itu, walaupun yang kedua lebih memerlukan". [Lihat Majmu’ Fatawa : XXVIII/579-581, dengan sedikit ringkasan].

Sebenarnya pemberian ini dibuat diatas kepentingan agama Islam. Kerana itu setiap kali sesuatu perbuatan anugerah pemberian yang dilakukan itu mendatangkan ketaatan yang lebih kepada Allah dan kemanfaatan kepada agama maka perbuatan itu adalah lebih aula atau lebih utama. Sesuatu anugerah pemberian itu amatlah berharga nilainya dalam usaha mendirikan ugama Allah, menewaskan musuh, menzahir dan mempropagandakan Islam itu, maka ia  adalah lebih utama daripada memberi kepada golongan yang tidak memberi timbal balik faedah yang banyak. 

Oleh kerana itu anugerah pemberian kepada golongan yang memberi timbal balik yang lebih besar itu lebih wajar walaupun kedudukan golongan yang kedua dari kalangan orang mukmin itu lebih memerlukan pemberian tersebut. Memang menjadi kewajipan kepada setiap individu agar memiliki sifat kebijaksanaan , memahami ilmu pengetahuan yang berkaitan dengan fiqh al-dakwah serta memahami maqasid al-syariah agar tidak terumbang ambing di dalam perkara yang samar  dan belum ditentukan tentang kedudukan hukumnya.

Sekiranya seseorang itu tidak memiliki ciri-ciri tersebut  maka ia akan menghadapi suatu keadaan yang terkebil-kebil tidak menentu lalu ditimpa pula dengan kerosakan dan membawa kepada hilang pedoman hidup. Setelah itu individu tersebut  akan ditimpa oleh sifat buruk sangka, kecelaan dan pada masa yang sama juga ianya telah melakukan pelbagai perkara kebaikan yang wajar diberi pujian dan ucapan terima kasih.

Fenomena ini sedang berjalan dengan giatnya di negara kita. Sikap buruk sangka sudah menjadi sebahagian daripada rangka dakwah atau pengembangan pengaruh. Sebarang keburukan yang membabitkan kaum yang disokongnya, segera dikatakan sebagai berita palsu atau adu-domba dan fitnah sekalipun dia belum lagi melakukan siasatan yang membenarkan sangkaannya.

Read more: http://www.penaminang.com/2014/06/ideologi-khawarij-ada-pada-ahli.html#ixzz352qEWcfH

19 June 2014 Posted by | Aqidah, Bicara Ulama, Ibadah, Informasi, Politik dan Dakwah | | Leave a comment

Hukum mengambil upah membaca Al Quran


Soalan :

Apakah hukum mengambil upah dengan membaca al Quran ? Begitu juga dengan sesetengah tempat selepas kematian tuan rumah akan memanggil sekumpulan Huffaz al Quran untuk membaca al Quran. Setelah itu mereka akan dihidangkan makanan dan diberi sagu hati berupa wang. Tujuannya ialah untuk bersedekah bagi pihak roh simati dengan harapan agar Allah memberi keringanan kepadanya. Apakah hukum perkara tersebut ?

Jawapan 1 :

Jawapan diberikan oleh Dr Abd Malik Abd Rahman As Sa’adi (bekas Mufti Iraq) dalam bukunya : Al Bid’ah fi al Mafhum al Islamy ad Daqiq – (Salah faham terhadap Bid’ah) menyebutkan :

Membaca al Quran adalah ibadah. Para ulama berselisih pendapat, adakah dibolehkan mengambil upah atau imbalan ke atas ibadah yang dilakukan termasuk di antaranya ialah membaca al quran dan mengajarnya. Sebahagian fuqaha’ berpendapat mengambil upah hasil pembacaan al Quran adalah tidak harus.

Ini adalah salah satu pendapat yang dikemukakan oleh Imam Ahmad, para ulama bermazhab Hanafi yang terawal dan Ishaq bin Rahawaih. Manakala para ulama Hanafiyyah yang terkemudian mengharuskan pengambilan upah hasil menjadi imam, mengajar dan muazzin. Alasan mereka ialah sekiranya dipegang pendapat yang melarang pengambilan upah maka ia akan menyebabkan tugas-tugas tersebut terabai kerana mereka yang layak untuk melaksanakan tugas tersebut terpaksa meninggalkannya untuk mencari sara hidup, seterusnya menyebabkan tugas tersebut terabai atau berlaku kepincangan.

Manakala sebahagian ulama yang lain seperti Imam Malik, Asy Syafie, Ibnu Al Munzir dan Ahmad pada satu riwayat yang lain mengharuskan pengambilan upah hasil membaca al Quran. Mereka berdalilkan dengan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh AlBukhari bahawa Rasulullah sallaLlahu ‘alaihi wasallam bersabda (yang bererti) :

Yang paling berhak kamu mengambil upah ke atasnya adalah Kitab Allah (Al Quran)

kerana Nabi sallaLlahu ‘alaihi wasallam tidak membantah ke atas para sahabat yang mengambil upah hasil jampian dengan al Quran. Namun bagi para ulama yang mengharuskannya kesemua mereka bersepakat bahawa sekiranya seorang qari (yang membaca al Quran) membaca dengan niat untuk mendapat upah dan mengaut harta, maka dia tidak akan mendapat pahala dan berkemungkinan dia berdosa kerana dia membaca Al Quran bukan kerana Allah subahanahu wa ta’ala (ikhlas kerana Allah).

Mereka juga berpendapat sekiranya pembacaan Al Quran dijadikan sebagai kerja untuk mengaut keuntungan dan harta yang banyak maka hukumnya adalah haram yang tidak diakui oleh syarak.

Jawapan 2 :

Membaca al Quran adalah sangat dianjurkan. Begitu juga bersedekah. Mengambil upah untuk tugas-tugas keagamaan seperti membaca al Quran , menjadi imam, membaca khutbah jumaat, azan, mengajar ilmu-ilmu syariah, telah menjadi kebiasaan diamalkan umat Islam di negara-negara Islam sejak zaman berzaman. Adapun mengambil upah membaca alQuran ia termasuk dalam keumuman hadith RasuluLlah sallaLlahu ‘alaihi wasallan (yang bererti) :

Yang paling berhak kamu mengambil upah ke atasnya adalah Kitab Allah (Al Quran)

(Riwayat Bukhari)

Hadith ini adalah bahagian akhir hadith yang panjang riwayat Al Bukhari dari Ibn Abbas iaitu :

Bahawasanya satu jama’ah para sahabat Nabi melalui di tempat yang ada air yang ada di sana seseorang bernama Ladigh atau Salim (perawi tidak pasti antara keduanya yang kena sengat binatang ), Datanglah seorang lelaki dari tempat air itu lalu berkata : Adakah di antara kamu yang pandai menjampi kerana sesungguhnya di tempat air itu ada seorang lelaki yang disengat binatang bisa. Lalu ada seorang dari mereka lalu membaca Surah al fatihah dengan pembayaran beberapa ekor kambing. Lalu (selepas menjampi) dia membawa kambing tersebut kepada kawan-kawannya. Kawan-kawannya tidak suka dengan perkara tersebut. Mereka berkata : Apakah kamu mengambil upah dengan membaca kitab Allah? (perkara ini berlarutan) sehinggalah mereka sampai di Madinah, lalu mereka berkata : Ya Rasulullah, dia telah mengambil upah melalui kitab Allah. Rasulullah sallaLlahu ‘alaihi wasallam lalu mengatakan : Sesungguhnya yang paling berhak kamu mengambil upah ke atasnya ialah kitab Allah (Al Quran)

Imam Nawawi berkata dalam Raudhah ath Tholibin : Dari al Qadhi Husain di dalam Al Fatawa, menyebutkan :

Sesungguhnya mengupah membaca al Quran di atas kubur pada tempoh tertentu adalah dibolehkan sebagaimana (dibolehkan) mengupah orang untuk azan dan mengajar al Quran

(lihat Fath al Mu’in m/s 84, Lihat Minhaj al Wadhih (Soal Jawab Agama membahaskan Masalah Terkini dalam Feqah)

Mengikut Bughyah al Mustarsyidin, sah (boleh) upah membaca al Quran di atas kubur dan mendoakannya kerana bacaan itu boleh memberi manfaat dan dihadiahkan pahalanya kepada si mati. Dalil dari hadith dan pendapat-pendapat para ulama’ mu’tabar di atas memberi penjelasan bahawa tidak mengapa mengambil upah membaca al Quran kepada si mati.

Rujukan :

1. Dr Abd Malik Abd Rahman As Sa’adi, Al Bid’ah fi al Mafhum al Islamy ad Daqiq – Salah faham terhadap Bid’ah

2. Muhadir bin Hj Joll, Persoalan Khilafiyyah dan Penjelasan Ulama, Inilah Jawapannya, m/s 660-661, Cet Pertama 2011, Mawleed Publishing, Selangor

Oleh: Ustaz Zamihan Al-Ghari

16 June 2014 Posted by | Bicara Ulama, Ibadah, Q & A (Soal Jawab) | | Leave a comment

Kaedah Umum al-Balwa Dan Kesannya Kepada Perubahan Hukum Syarak

Oleh: Dr. Arieff Salleh bin Rosman, Felo Fatwa

Islam merupakan agama rahmat kepada sekalian alam. Hukum hakam yang ditetapkan dalam Islam adalah bertujuan untuk memenuhi kepentingan hidup manusia dan menjauhkan kemudaratan, termasuk menghilangkan kesulitan dan kesusahan. Firman Allah SWT, surah al-Haj ayat 78, "Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama."

Berdasarkan ayat tersebut, para pakar perundangan Islam menggariskan satu kaedah perundangan iaitu "Apabila berlaku kesulitan, maka perlu diberikan kemudahan atau keringanan". Antara konsep yang berkaitan dengan kaedah tersebut ialah UMUM AL-BALWA.

Kaedah Umum al-Balwa mempunyai peranan yang besar dalam proses mengeluarkan ijtihad. Ia merupakan salah satu justifikasi dalam menjelaskan sesuatu hukum Syarak berkaitan isu semasa. Kaedah Umum al-Balwa sering digunakan oleh para ulama; sama ada dalam disiplin ilmu usul fiqh atau fiqh. Ia dibincangkan dalam kerangka rukhsah dan keringanan yang dibenarkan dalam hukum Syarak.

Kebanyakan aplikasi Kaedah Umum al-Balwa dalam kitab fiqh dibincangkan berkaitan jenis-jenis najis yang dimaafkan. Ia biasanya dikaitkan dengan ciri sukar dikawal, sukar diasingkan, sukar dijauhi, kebanyakan orang mukallaf sukar mengelakkannya. Manakala illah (sebab) keringanan diberikan sama ada berkaitan dengan kesulitan, kesusahan, kerumitan dan sebagainya (lihat: Ibn Hazm, al-Muhalla, 1/221, 254; al-Sarakhsi, al-Mabsut, 1/60, 61, 79, 80; Ibn Qudamah, al-Mughni, 1/21, 22, 23, 62; al-Nawawi, al-Majmu’, 3/134, 135; al-Dusuqi, Hasyiah al-Dusuqi, 1/71, 73, 75).

Namun begitu, dalam bahagian fiqh yang lain juga dibincangkan Kaedah Umum al-Balwa (al-Suyuti, al-Ashbah wa al-naza’ir, 164-167). Kaedah Umum al-Balwa sangat berkait rapat dengan perkembangan semasa pada sesuatu zaman dan tempat. Kepentingan memahami konsep umum al-balwa dan aplikasinya dalam kehidupan seharian menjadi semakin penting dalam dunia sains dan teknologi serba canggih dewasa ini. Oleh itu, kaedah ini perlu difahami dengan sebaiknya, kerana perubahan hukum sesuatu boleh berlaku kesan daripada wujudnya Umum al-Balwa.

Menurut Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili, Umum al-Balwa bermaksud,"Berleluasanya sesuatu sehingga seseorang itu sukar untuk menyelamatkan diri daripadanya atau menjauhinya."(Nazariyah al-darurah al-Syar’iyah, 123). Dr. ‘Amir al-Zibari turut mengemukakan definisi yang sama (al-Tahrir fi qa’idah al-masyaqqah tajlib al-taysir, 82).

Manakala menurut Salih Yusuf, Umum al-Balwa bermaksud, "Apa-apa yang diperlukan pada keadaan yang umum, di mana berlakunya perkara tersebut sehingga sukar untuk dielakkan serta susah untuk dikawal dan jika dihalang ia akan menimbulkan kesulitan yang lebih."(al-Masyaqqah tajlib al-taysir, 232).

Dr. Salih bin ‘Abd Allah bin Humayd menjelaskan, "Umum al-Balwa itu merujuk kepada dua ciri:

1) Keperluan untuk sesuatu itu diberikan keringanan dalam keadaan umum, iaitu sukar untuk mengelakkannya dan jika tidak diberi keringanan akan menimbulkan kesulitan yang lebih besar.

2) Sesuatu itu sudah tersebar, iaitu seseorang mukallaf sukar untuk mengelakkan diri daripadanya, atau menghilangkannya, serta jika tidak diberi keringanan akan menimbulkan kesulitan yang lebih besar.

Bagi ciri pertama, keringanan perlu diberikan kerana untuk memenuhi keperluan orang mukallaf dan bagi ciri kedua, keringanan perlu diberikan kerana ia sukar untuk dihilangkan." (Raf’ al-haraj, 262).

Menurut Muslim bin Muhammad bin Majid al-Dusari, Umum al-Balwa bermaksud, "Isu yang berlaku secara menyeluruh ke atas orang mukallaf atau keadaan orang mukallaf yang berkaitan dengan pertanggungjawaban tertentu berkenaan isu tersebut, serta wujud kesukaran menghindarinya atau tidak mampu menghilangkannya melainkan dengan bertambah kesulitan yang memerlukan kemudahan dan keringanan." (Umum al-balwa: Dirasah nazariyah tatbiqiyah, 61)

Ciri umum al-balwa (al-Dusari, Umum al-balwa: Dirasah nazariyah tatbiqiyah, 62-64):

1) Isu yang berlaku secara menyeluruh, sama ada isu berkaitan dengan perbuatan mukallaf seperti kencing, atau berkaitan dengan keadaan mukallaf seperti umur tua dan seumpamanya, atau berkaitan dengan keadaan tertentu yang tidak berkaitan dengan mana-mana tingkahlaku mukallaf seperti debu jalan yang bercampur najis binatang terkena baju kerana bawaan angin.

2) Isu itu berlaku ke atas setiap individu mukallaf atau kebanyakan mereka, sama ada melibatkan keadaan yang bersifat umum atau khusus untuk keadaan tertentu sahaja. Manakala jika isu tersebut hanya melibatkan keadaan khusus untuk seorang individu sahaja atau sebilangan kecil, maka kaedah Umum al-Balwa tidak boleh diterima pakai untuk isu tersebut.

3) Isu tersebut berkaitan dengan pertanggungjawaban (taklif), contohnya asal darah kutu itu najis, tetapi atas alasan Umum al-Balwa, ia menjadi najis yang dimaafkan.

4) Isu tersebut sukar untuk dihindari atau ia hanya boleh dihilangkan dengan bertambahnya kesulitan.

Sebab umum yang mempengaruhi hukum kerana Umum al-Balwa (al-Dusari, Umum al-balwa: Dirasah nazariyah tatbiqiyah, 69):

1) Isu tersebut sukar dikawal atau wujud halangan untuk mengawalnya yang pada kebanyakan keadaannya seseorang mukallaf tidak mempunyai pilihan. Contohnya, seseorang pejalan kaki sukar untuk mengelakkan daripada debu jalan yang berkemungkinan besar bercampur debu najis daripada terkena pada pakaiannya. Debu tersebut termasuk dalam najis yang dimaafkan, maka sah solat jika pejalan kaki itu bersolat menggunakan pakaian tersebut (al-Suyuti, al-Ashbah wa al-naza’ir, 164).

2) Isu tersebut sukar dielakkan atau wujud halangan ketika hendak mengelakkan ia daripada berlaku yang pada kebanyakan keadaannya seseorang mukallaf mempunyai pilihan untuk melakukannya atau tidak. Tetapi jika tidak dilakukan perkara tersebut akan bertambah kesulitan. Contohnya kesilapan seseorang mujtahid ketika berijtihad, pada asalnya kesilapan itu adalah dosa kerana salah menjelaskan hukum Syarak, namun ia tidak dianggap dosa kerana terdapat Umum al-Balwa dalam kalangan mujtahid iaitu sukar mengelak kesilapan (rujuk hadis Nabi yang direkod oleh Imam al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, 5/340 hadis no. 2680).

Contoh berubah hukum kerana Umum al-Balwa:

1) Air liur kucing hukum asalnya ia adalah najis kerana kucing berkemungkinan makan benda najis. Namun, atas dasar umum balwa, iaitu kucing adalah binatang peliharaan yang hidup di persekitaran hidup manusia, jika dihukumkan bekas jilatan kucing pada bekas air dihukumkan najis, maka ia akan menimbulkan kesulitan kepada hidup masyarakat.

Maka hukum air daripada bekas jilatan kucing tidak menjadi najis (al-Suyuti, al-Ashbah wa al-naza’ir, 164)

2) Hukum asal menerima upah daripada amal soleh adalah haram. Contohnya, haram guru yang mengajar al-Quran daripada menerima gaji, juga gaji imam, bilal, dan sebagainya.

Namun atas alasan umum balwa, iaitu jika hukum itu kekal ia akan menjadikan tugas tersebut diabaikan serta guru al-Quran, imam, bilal dan seumpamanya akan terjejas keperluan hidup mereka, maka berubah hukum kepada harus menerima upah atau gaji (Ibnu Qudamah, al-Mughni, 8/136)

3) Isu wanita menjadi orang gaji di rumah. Menurut hukum asal, seorang wanita diharamkan keluar rumah melainkan ditemani oleh mahramnya. Begitu juga seorang wanita diharamkan tinggal di rumah yang tiada mahramnya.

Namun, pada zaman kini, atas dasar Umum al-Balwa, maka diharuskan seorang wanita menjadi orang gaji di rumah orang lain tanpa ditemani oleh mahramnya, dengan syarat terhindar daripada fitnah (al-Dusari, Umum al-balwa: Dirasah nazariyah tatbiqiyah, 446)

Wallahu A’lam.

Sumber: Fatwa Malaysia

5 June 2014 Posted by | Fiqh, Ibadah | | Leave a comment

Jangan kamu berkahwin dengan perempuan yang bersifat dengan 6 sifat ini.

Imam Al-Ghazali di dalam kitabnya Ihya’ Ulumuddin (kitab Tassawuf yang terkenal) ada mengatakan ungkapan arab yang bermaksud: "Janganlah kamu menikahi 6 jenis perempuan iaitu:

1. Al-Annanah (suka mengeluh) ialah : perempuan yang banyak mengeluh dan mengadu, selalu membalut kepalanya sebagai tanda sakit. (menandakan dia rasa terbeban dengan tugasan hariannya, kerana malas atau memang sifat semulajadinya suka mengeluh walaupun disebabkan perkara kecil. Perempuan tersebut berpura-pura sakit supaya suaminya tidak membebaninya dengan tugasan harian). Menikahi perempuan yang sengaja buat-buat sakit tidak ada faedah padanya.

2. Al-Mananah: perempuan yang memberikan sesuatu kepada suaminya (suka mengungkit-ngungkit). Sampai satu masa dia akan mengatakan : saya telah melakukan untuk kamu itu ini.

3. Al-Hananah : perempuan yang suka merindui dan mengingati bekas suami atau anak daripada bekas suami. (Perempuan seperti ini tidak akan menghargai suaminya walaupun suaminya berusaha memuaskan segala kemahuannya)

4. Al-Haddaqah : menginginkan setiap perkara dalam perbelanjaannya (boros) dan suka membeli belah sehingga membebankan suaminya untuk membayar pembeliaannya.

5. Al-Barraqah : terdapat dua makna yang pertama, suka berhias sepanjang masa (melampau dalam berhias) supaya wajahnya nampak lebih anggun dan mempersona, kat suami xbuat pun! Makna kedua ialah : perempuan yang tidak mahu makan, maka dia tidak akan makan kecuali bila bersendirian dan dia akan menyimpan bahagian tertentu untuk dirinya sendiri.

6. Al-Syaddaqah : perempuan yang banyak cakap

Sumber: PONDOK HABIB

4 June 2014 Posted by | Tasauf, Tazkirah | , , | Leave a comment

Syarat aurat wanita dalam solat tanpa telekung

Wanita solat tanpa telekung

6 SYARAT AURAT SOLAT TANPA TELEKUNG

Terdapat segelintir wanita mengabaikan solat ketika leka membeli belah di Shopping Kompleks. Alasannya tak bawa telekung atau telekung yang disediakan di surau kat shopping kompleks kotor dan tak menyenangkan. Yang agak beragama pula memberikan jawapan yang terlalu menyimpang dari landasan agama, iaitu nak qada solat kat rumah nanti. Entah kitab mana yang dirujuk dan entah ulama mana yang dijadikan sandaran.

Sebenarnya, Qada solat adalah untuk orang yang meninggalkan solat tanpa sengaja seperti tertidur dan terlupa. Bagi yang meninggalkan solat secara sengaja,termasuk dengan alasan tidak bawa telekung hukumnya berdosa besar( malah sesetengah ulama menghukumnya sebagai kafir). Pelakunya mesti bertaubat dengan sebenar-benar taubat dan menqada solat yang ditinggalkan itu sesegera mungkin. Jadi dalam situasi sebegini, jika wanita tersebut telah memakai pakaian yang memenuhi kriteria menutup aurat sebagaimana yang telah dijelaskan, maka wanita tersebut boleh langsung bersolat dengan pakaian tersebut.

Wanita solat tanpa tudung

SYARAT 1 : Mestilah Menutup Dagu.

Ramai orang solat tanpa telekung tak bertutup lohong dagu dia. Kalau pakai tudung bawal, boleh pin kan bahagian tepi. Kalau pakai tudung sarung, kena la pakai dua lapis untuk tutup dagu tu. Gunalah style apapun, yang penting mesti tutup. Jangan lupa pin kan belakang tudung dengan baju! Nanti time sujud, boleh terselak tudung. Nanti nampak leher, batal pulak. Jangan lupa bab tu.

Isu dagu ni terdapat khilaf, canggah pendapat. Jadi, ikutlah mana yang rasa betul.

Wanita solat tutup lengan

SYARAT 2 : SEELOK-ELOKNYA PAKAI HANDSOCKS!

Yes, sebab time melakukan pergerakan solat, ada kemungkinan baju lengan kita boleh tersingkap dan nampak aurat. Memang kita boleh cepat-cepat betulkan, tapi solat kita akan jadi sangat tak selesa dan kita tak sedar kalau terbukak aurat So, kenalah pakai ok. Handsocks ni memang digalakkan.

Wanita solat tanpa telekung tutup lengan

SYARAT 3 : Memakai Baju Lengan Pendek Dengan Handsocks.

Ingat, syaratnya MENUTUP AURAT, bukan MEMBALUT AURAT. Kalau handsocks nya ketat, maka tak dikira menutup aurat sebab ketat. Paling selamat kalau pakai baju lengan pendek ni dipakai 3 lapis. Baju luar lengan pendek, baju lagi kat dalam lengan panjang, dan handsocks. Sanggup?

Jadi, tak boleh. Baju kenalah longgar semuanya. Tak boleh ada yang ketat, walaupun lengan tangan.

Wanita solat tanpa telekung ada kain di dalam

SYARAT 4 : Kain Tak Jarang Dan Nampak Dalam.

Seeloknya solat tanpa telekung biarlah pakai kain. Jadi bentuk kaki semua lagi yakin tertutup. Cuma, pakailah seluar kat dalam kain. Nanti time solat tersingkap kain tu, susah jugak. Baju rasanya tak perlu risau. Cuma perlu labuh dan longgar. Kalau pakai tudung labuh, lagi mudah. Dan tudung bawal ni kadang-kadang boleh nampak bayang-bayang leher kita, jadi pastikan takde bayang-bayang semua sebelum solat, ok. Nanti terbatal solat, sayang je kita solat.

Wanita solat longgarkan stoking

SYARAT 5 : Pakai Stokin Yang Tebal.

Pastikan stokin yang dipakai kenalah longgar dan tak nampak warna kulit kaki kita. Dan tak nampak bentuk jari antara kaki. Jadi, kita kena kasi longgar-longgar sikit stokin tu. Apapun, nampak jari kat stokin tu pun ada khilaf jugak, bercanggah pandangan. Ada yang kata nampak bentuk dimaafkan pada syarak. Allahhua’lam..Sebab tu la tak digalakkan pakai stokin terlalu pendek dan nipis. Nanti susah nak solat.

Wanita solat tanpa telekung pakai seluar longgar dan labuh

SYARAT 6 : Pakai Seluar?

Seeloknya, pakailah kain. Sebab khuatir seluar ketat dan time buat pergerakan solat akan tertimbul bahagian-bahagian yang tidak diingini. Kita boleh pakai seluar. Tapi seluar tu mestilah longgar dan baju yang kita pakai mestilah labuh hingga menutup punggung dan peha.

Banyak benda perlu berhati-hati kalau nak solat tanpa telekung, terutama bila lakukan pergerakan solat. Sebab tu pakaian semua perlu longgar dan tudung seeloknya labuh.

 

Sumber: http://www.inikalilah.org/2014/05/6-syarat-aurat-solat-tanpa-telekung.html

4 June 2014 Posted by | Fiqh, Ibadah, Q & A (Soal Jawab) | , , | Leave a comment

   

%d bloggers like this: