Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Benarkah Imam al-Asy‘ari (w. 324H) tiada sanad akidah dan berfahaman Muktazilah selama 40 tahun?

Oleh: Dr Mohd. Khafidz Soroni

Terdapat dua dakwaan yang wajar dijawab dengan tuntas berkaitan sahsiah Imam Abu al-Hasan al-Asy‘ari rahimahullah. Pertama, dakwaan yang mengatakan Imam al-Asy‘ari tidak ada sanad dalam bidang akidah. Dan kedua, dakwaan yang sudah masyhur beliau berfahaman Muktazilah selama 40 tahun. Benarkah kedua-dua dakwaan ini?? Mereka yang mengkaji dengan teliti akan mendapati dua dakwaan ini sebenarnya adalah tidak tepat dan tidak benar sama sekali berdasarkan penjelasan ilmiah berikut:

1. Imam al-Asy‘ari mempunyai sanad akidah

Dakwaan yang mengatakan Imam al-Asy‘ari tidak ada sanad dalam bidang akidah dapat ditolak dengan meneliti kepada senarai guru beliau. Antara mereka yang masyhur ialah Imam Zakariyya as-Saji (w. 307H di Basrah), seorang tokoh Ahli Sunnah yang alim dalam bidang hadis dan fiqah Syafii di zamannya. Kata Imam az-Zahabi dalam Siyar A‘lam al-Nubala’: “Imam, thabt, hafiz, muhadddith, syeikh dan mufti Basrah” (الإمام، الثبت، الحافظ، محدث البصرة وشيخها ومفتيها). Daripada beliau, Imam al-Asy‘ari mengambil sanad akidah Salaf yang benar. Kata az-Zahabi:

أخذ عنه: أبو الحسن الأشعري مقالة السلف في الصفات، واعتمد عليها أبو الحسن في عدة تآليف.

Terjemahan: “Abu al-Hasan al-Asy‘ari mengambil daripadanya kata-kata Salaf mengenai Sifat, dan Abu al-Hasan berpegang dengannya dalam sebilangan karya beliau”.

Imam Zakariyya as-Saji merupakan guru yang diberi wasiat oleh bapa al-Asy‘ari sebelum beliau wafat supaya mendidik anaknya, Abu al-Hasan al-Asy‘ari yang masih kecil. Kepercayaan bapa Imam al-Asy‘ari terhadapnya ini membuktikan bahawa beliau adalah berfahaman Ahli Sunnah wal Jamaah dan anaknya tidak lahir sebagai seorang yang berfahaman Muktazilah. Kata Imam Ibn Furak:

أن أباه هو أبو بشر إسماعيل بن اسحاق وإنه كان سنياً جماعياً حديثياً، أوصى عند وفاته إلى زكريا بن يحيى الساجي رحمه الله، وهو إمام في الفقه والحديث، وله كتب منها: كتاب اختلاف الفقهاء، وكان يذهب مذهب الشافعي.

“Sesungguhnya bapa beliau adalah Abu Bisyr Ismail bin Ishaq dan beliau seorang Sunni Jama‘i Hadithi (ahli Sunnah wal Jamaah dan ahli hadis). Beliau mewasiatkan ketika saat wafatnya kepada Zakariyya bin Yahya as-Saji rahimahullah, seorang imam dalam bidang fiqah dan hadis. Beliau mempunyai beberapa karya, antaranya kitab Ikhtilaf al-Fuqaha’ dan beliau berpegang dengan mazhab Syafii”. (Ibn ‘Asakir 1399: 35)

Selain Zakariyya as-Saji, Imam al-Asy‘ari juga menimba ilmu dengan ramai ulama Ahli Sunnah wal Jamaah. Antara mereka:

i. Abu Khalifah al-Jumahi (w. 305H di Basrah) yang pernah berkata: “al-Quran kalam Allah, bukan makhluk…” (القرآن كلام الله غير مخلوق، ومن قال: مخلوق، فهو كافر، وأنا تائب إلى الله من كل ذنب إلا الكذب فإني لم أكذب قط، أستغفر الله).
ii. Abu Ishaq al-Marwazi (w. 340H), murid kanan Imam Ibn Suraij dan tokoh fiqah mazhab Syafii.
iii. Sahl bin Nuh al-Basri
iv. Muhammad bin Yaaqub al-Maqburi al-Basri
v. ‘Abd al-Rahman bin Khalaf al-Dhabbi al-Basri (w. 279H).
vi. dan lain-lain.

Jika ramai gurunya bukan berfahaman Mutazilah, maka boleh dikatakan bahawa perkembangan pemikiran Imam al-Asy‘ari adalah dalam dominasi kerangka Ahli Sunnah wal Jamaah serta jelas sanad pertaliannya!

Manakala dengan Abu ‘Ali al-Juba’i (w. 303H di Basrah), tokoh Muktazilah terkenal pada zaman itu, beliau hanya mempelajari ilmu kalam dan manhaj akidah Muktazilah. Malah, tiada bukti Abu ‘Ali al-Juba’i bertindak mengongkong dan mengawal pembelajaran Imam al-Asy‘ari.

Justeru, harus sekiranya dikatakan bahawa beliau berguru dengan kesemua gurunya itu di sepanjang tempoh zaman beliau menimba ilmu pengetahuan! Maka itu, logik dan tidak peliklah jika beliau kemudian mengalami krisis pemikiran.

Sebab itu, ketika Imam al-Asy‘ari mengalami krisis pemikiran hingga beliau mimpi bertemu dengan Rasulullah SAW, baginda bersabda kepadanya: “Wahai ‘Ali, bantulah segala mazhab yang diriwayatkan daripadaku kerana ia adalah hak” (Ibn ‘Asakir 1399: 41). Ini menunjukkan bahawa beliau telah mempelajari dan sedia mengetahui segala mazhab yang diriwayatkan daripada Rasulullah SAW itu!

Dakwaan yang menyatakan Imam al-Asy‘ari berkecimpung dalam bidang akidah Ahli Sunnah wal Jamaah tanpa sebarang guru atau sanad keilmuan adalah dakwaan kosong yang direka-reka untuk kepentingan peribadi perekanya semata-mata!

2. Imam al-Asy‘ari tidak berfahaman Muktazilah selama 40 tahun

Berdasarkan neraca ilmiah yang sahih, riwayat yang mendakwa Imam al-Asy‘ari berfahaman Muktazilah selama 40 tahun pula hakikatnya boleh dipertikaikan. Antara hujah bagi menolak dakwaan tersebut ialah wujudnya Risalah Ahl al-Thaghr yang merupakan jawapan beliau kepada soalan yang ditujukan kepadanya dan mengandungi perbahasan tentang akidah Ahli Sunnah wal Jamaah yang telah ditulis pada tahun 297H menurut pendapat yang rajih (al-Julainid 2018: 5). Ini bererti pada masa itu beliau baru berusia 37 tahun kerana beliau dilahirkan pada tahun 260H! Fakta ini sekaligus menafikan pendapat yang menyatakan Imam al-Asy‘ari kembali kepada fahaman Ahli Sunnah pada tahun 300H.

Perlu diketahui bahawa setelah bapanya wafat, ibunya dikatakan berkahwin dengan Abu ‘Ali al-Juba’i (w. 303H). Namun, tarikh perkahwinan tersebut tidak diketahui, sedangkan al-Asy‘ari sudah giat gigih menimba ilmu pengetahuan. Jika mengambil kira tempoh 30 tahun yang disebut dalam riwayat mimpi Imam al-Asy‘ari bertemu dengan Rasulullah SAW dan beliau berkata kepada baginda: “Ya Rasulullah, bagaimana aku dapat tinggalkan satu mazhab yang aku telah kuasai masalah-masalahnya dan aku tahu dalil-dalilnya sejak 30 tahun lalu disebabkan hanya sebuah mimpi?” (Ibn ‘Asakir 1399: 41). Maka, bermakna perkahwinan tersebut mungkin berlaku ketika al-Asy‘ari berusia antara 6 – 7 tahun.

Manakala Dr. al-Julainid (2018: 17) memperkirakan tempoh Imam al-Asy‘ari berfahaman Muktazilah patut dikira dari peringkat kematangan akal fikirannya atau peringkat umur balighnya, iaitu pada usia 15 tahun. Maka, jika dikira dari umur tersebut, iaitu pada tahun 275H sehingga beliau menulis Risalah Ahl al-Thaghr pada tahun 297H bermakna tempoh Imam al-Asy‘ari berfahaman Muktazilah secara serius adalah sekitar 22 tahun sahaja.

Namun, itu pun belum masuk tarikh sebenar beliau mengisytiharkan diri keluar daripada fahaman Muktazilah dan berpindah kepada akidah Ahli Sunnah wal Jamaah yang masih belum diketahui secara tepat, sama ada pada tahun 297H itu atau setahun dua sebelumnya? Jika diambil kira tempoh namanya mula naik menjadi masyhur di kalangan Ahli Sunnah wal Jamaah sehingga membuatkan Ahl al-Thaghr mengirimkan soalan penting tersebut kepadanya. Maka, kiraan tempoh di atas mungkin boleh menjadi lebih singkat lagi, antara 20 – 21 tahun.

Bahkan, berkemungkinan pengaruh pemikiran Sunni gurunya, Imam Zakariyya as-Saji (w. 307H) sebenarnya tidak pernah lekang daripada jiwanya sedikit pun selama beliau dipengaruhi oleh pemikiran I‘tizal bapa tirinya, Abu ‘Ali al-Juba’i sehinggalah akhirnya beliau kembali semula kepada Ahli Sunnah wal Jamaah di masa hayat gurunya masih hidup lagi! Buktinya, beliau mampu memuatkan banyak hadis yang diriwayatkan daripada gurunya itu di dalam beberapa karyanya, seperti kitab al-Tafsir. Kata Imam Ibn Furak:

وقد روى عنه الشيخ أبو الحسن الأشعري في كتاب التفسير أحاديث كثيرة.

“Syeikh Abu al-Hasan al-Asy‘ari meriwayatkan daripadanya banyak hadis di dalam kitab al-Tafsir”. (Ibn ‘Asakir 1399: 35)

Secara logik akal, perpindahan Imam al-Asy‘ari daripada akidah Muktazilah kepada akidah Ahli Sunnah wal Jamaah, bukanlah disebabkan ilham atau kebetulan semata-mata, tetapi pastinya ia diiringi sebelumnya oleh pengetahuan naqli dan aqli yang mantap berserta pengamatan dan penelitian yang cukup mendalam.

Sebagai seorang mutakallim yang cerdik, sudah tentu beliau menguasai semua hujah dan dalil semua pihak yang berselisihan pendapat. Kecerdasan dan kebijaksanaan akal beliau inilah yang membuatkan beliau sentiasa berfikir secara sihat, waras, cermat dan ilmiah. Sebab itu, beliau akhirnya mampu mempersoalkan pegangan akidah Muktazilah kepada bapa tirinya, Abu ‘Ali al-Juba’i.

Mereka yang menyangka Imam al-Asy‘ari hanya tahu tentang fahaman Muktazilah serta ‘buta’ tentang hujah dan dalil pihak lawan, sebenarnya belum mengerti tentang hakikat sebenar seorang mutakallim. Kitab Maqalat al-Islamiyyin susunan beliau merupakan bukti jelas bahawa ia bukan dihasilkan berdasarkan pengalaman setahun dua, tetapi merupakan hasil pengalaman beliau selama berpuluh tahun sebelumnya.

Rumusan:

Berdasarkan berbagai bukti yang dikemukakan, jelas bahawa dakwaan yang mengatakan Imam al-Asy‘ari tidak ada sanad dalam bidang akidah dan beliau berfahaman Muktazilah selama 40 tahun itu adalah tidak tepat dan tidak benar sama sekali. Fakta yang salah ini patut segera diperbetulkan agar tidak terus menjadi ‘alat mainan’ yang gemar dimainkan oleh pihak yang menyelisihi akidah Ahli Sunnah wal Jamaah.

Rujukan:
• Fawqiyyah, Dr. 1987. Muqaddimah al-Ibanah.
• Ibn ‘Asakir. 1399. Tabyin Kazib al-Muftari.
• al-Julainid, Dr. 2018. Muqaddimah Risalah Ahl al-Thaghr.
• al-Subki. Tabaqat al-Syafi‘iyyah al-Kubra.
• az-Zahabi. 1985. Siyar A‘lam al-Nubala’.

17/03/2023 - Posted by | Aqidah, Bicara Ulama, Hadis, Q & A (Soal Jawab) |

No comments yet.

Leave a comment