Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

>Demonstrasi Jalanan….Melayu O Melayu

Melayu yang pernah hidup di zaman 13 Mei sahaja yang sedar betapa pentingnya larangan keatas demonstrasi jalanan.
Kalau nak tahu 13 Mei bermula dari demonstrasi jalanan
Dalam demontrasi mereka angkat penyapu nak sapu orang Melayu

Melayu sekarang tidak merasa bagaimana rasa terhina nya nak kena penyapu
Melayu yang pernah alami 13 Mei sahaja lah yang sedar betapa penting memelihara ketuanan Melayu.

Melayu yang pernah alami 13 Mei sahaja lah yang sedar betapa penting memelihara KeSultanan Melayu
Melayu yang pernah alami 13 Mei sahaja lah yang sedar betapa penting nya Melayu bersatu.

Melayu generasi selepas era 13 Mei tidak hendak ambil tahu
Kalau di sebut 13 Mei pun mereka kata entah apa benda tu
Kalau tahu pun buat buat tak tahu

Ada juga Melayu yang dah tahu
Sama juga buat buat tak tahu
Kerana telah di brainwash pemimpin pengkhianat Melayu
Mereka tak hargai apa itu hak Melayu sedangkan mereka Melayu
Mereka kata tak perlu bela Melayu sedangkan mereka Melayu

Mereka kata Melayu bodoh sedangkan mereka Melayu
Emak, bapa, datuk, nenek mereka pun Melayu
Ini Melayu tak sedar diri yang dia tu Melayu

Yang sedia menggadai hak Melayu
Terikut ikut dengan kata nista pemimpin mereka yang Melayu.
Mereka kata kena bela Bangsa Malaysia yang di sebut Malaysian Malaysia
Mereka tak tahu apa agenda di sebalik Malaysian Malaysia
Mereka kata kalau bela Melayu aje itu perkauman nama nya.

Mereka tak sedar mereka tertipu
Ada mereka yang yang mengaku pembela agama berkata, bela Islam aje, di situ tak ada perkauman
Mereka lupa Islam di negeri Melayu di amanahkan oleh Allah kepada bangsa Melayu
Melayu hilang Islam pun lesu.

Wahai anak anak Melayu zaman sekarang
Kamu mabuk dengan politik ikut ikutan

Kamu tak kenal intan permata
Kaca kamu genggam kuat kuat, mati mati kamu katakan intan berlian permata
Dek kerana dah terlalu mabuk terkena air hasutan
Dari pemimpin Melayu derhaka jahanam yang hasad dan gila kuasa.


26/06/2011 Posted by | Politik dan Dakwah | 27 Comments

Menyiram air atas kubur dan menanam pokok

 Terdapat hadis dari Ja’far bin Muhammad yang meriwayatkan dari bapanya yang menceritakan; “Sesungguhnya Nabi s.a.w. telah menyiram air ke atas kubur anaknya Ibrahim” (HR Imam as-Syafi’ie dan al-Baihaqi). Berdasarkan hadis ini sebahagian ulamak –termasuk Imam Syafi’ie dan Imam Abu Hanifah- berpandangan; disunatkan menyiram air ke atas kubur setelah mengkebumikan jenazah. Namun menurut ulamak-ulamak hadis; hadis di atas adalah dhaif dan juga mursal.[1]Berkata Imam an-Nawawi dalam kitabnya al-Majmu’; “Adapun hadis kubur Ibrahim (anak Nabi s.a.w.) dan siraman air ke atasnya (oleh Nabi s.a.w.), hadis itu diriwayatkan oleh Imam as-Syafi’ie dan al-Baihaqi dengan isnad (yakni jalan periwayatan) yang dhaif” (al-Majmu’, 5/258).

Adapun menanam pokok rendang di atas kubur, saya ada terbaca ulasan Syeikh Sa’id Hawa tatkala memperkatakan tentang hadis yang menceritakan Nabi s.a.w. memacak pelepah tamar basah di atas dua kubur agar penghuninya diringankan dari azab. Kata beliau (yakni Syeikh Sa’id Hawa); “Di dalam hadis tersebut terdapat petunjuk bahawa pentingnya kedapatan tumbuh-tumbuhan/pokok-pokok di atas kubur. Dari kenyataan ini, dapat kita simpulkan bahawa di antara adab-adab kaum muslimin bersama tanah-tanah perkuburan ialah dengan mereka menjadikannya menghijau (dengan pokok-pokok), malah jika dapat mereka menjadikannya seperti taman-taman”. (al-Asas Fi as-Sunnah Wa Fiqhuha, 3/1175).

Hadis yang dimaksudkan itu ialah hadis dari Ibnu ‘Abbas –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan; “Suatu hari Nabi bersama beberapa orang sahabatnya berjalan melintasi dua kubur, lalu baginda berkata; “Sesungguhnya penghuni dua kubur ini sedang disiksa dan tidaklah mereka disiksa kerana perkara yang dianggap besar oleh manusia. Adapun salah seorang darinya disiksa kerana ia tidak menjaga dari kencingnya. Sementara seorang lagi kerana ia suka mengadu domba (yakni memperlaga-lagakan orang lain)”. Nabi meminta satu pelepah tamar, kemudian baginda membelahnya menjadi dua dan dipacakkan setiap satunya di atas dua kubur itu dan baginda bersabda; “Semoga akan diringankan azab dari kedua-duanya selama pelepah ini tidak kering” (HR Imam al-Bukhari)

Sebenarnya perbuatan Nabi s.a.w. dalam hadis di atas menjadi pertikaian di kalangan Ulamak; adakah perbuatan itu khusus bagi Nabi s.a.w. sahaja atau ia disyari’atkan juga kepada umatnya? Para ulamak terbahagi kepada dua pandangan;

Pertama; Perbuatan itu khusus bagi Nabi s.a.w. sahaja, yakni tidak disyari’atkan untuk umatnya. Diantara ulamak yang berpandangan sebegini ialah Imam al-Bukhari, al-Khattabi, Qadhi ‘Iyadh dan sebagainya.

Kedua; Perbuatan tersebut tidak khusus bagi baginda, akan tetapi umum bagi sekelian kaum muslimin. Ini kerana tidak ada dalil yang menegaskan bahawa perbuatan tersebut hanya khusus untuk Nabi sahaja, maka ia harus diikuti oleh umatnya. Selain itu, terdapat contoh amali dari sahabat iaitu Buraidah bin al-Khasib al-Aslami r.a. yang telah mewasiatkan supaya diletakkan di atas kuburnya dua pelepah tamar apabila ia mati kelak (Riwayat Imam al-Bukhari). Tidak ada sahabat-sahabat lain yang masih hidup yang membantahnya. Di antara yang menyokong pandangan kedua ini ialah Ibnu Hajar dalam kitabnya Fathul-Bari (1/33 dan 2/466).

Berdasar kepada pandangan kedua di atas, harus kita memacak kayu atau pokok hidup di atas kubur dengan doa dan harapan agar Allah meringankan azab penghuni kubur sebagai beramal sebagaimana yang dilakukan Nabi s.a.w..

Berkata Syeikh ‘Atiyah Saqar; “Aku melihat tidak ada dalil yang menegah amalan tersebut (beliau merujuk kepada soalan yang ditanya iaitu; “Menabur bunga dan memacak pelepah/batang pokok di atas kubur; adakah ia disyari’atkan?”). Selama diimani bahawa yang memberi manfaat dan mendatangkan mudarat ialah Allah sahaja dan apa yang kita lakukan untuk si mati sama ada doa, sedekah atau lain-lainnya tidak lebih dari sebab-sebab untuk memohon turunnya rahmat Allah (kepada si mati), maka tidak ada factor untuk diingkari amalan tersebut”. (al-Fatawa, Syeikh ‘Atiyah Saqar, 1/370).

Wallahu a’lam.

Rujukan; 

1. al-Majmu’, Imam an-Nawawi, 5/258.
2. al-Fatawa, Syeikh ‘Atiyah Saqar, 1/370
3. al-Asas Fi as-Sunnah Wa Fiqhuha, 3/1175.
4. Syarah Soheh Muslim, juz. 3, kitab at-Toharah, bab ad-Dalil ‘ala Najasatil-Baul
5. Ahkam al-Mayyit Wa ‘Adatul-Maatim, as-Sodiq bin ‘Abdurrahman al-Ghiryani, hlm. 41-42.

Nota kaki;

[1] Hadis mursal bermaksud hadis yang terputus sanadnya di antara Tabi’in dan Nabi s.a.w., yakni diriwayatkan terus oleh Tabi’in dari Nabi s.a.w. tanpa melalui sahabat.

Oleh: USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL Ahli penal Syariah HPA

26/06/2011 Posted by | Aqidah, Ibadah | Leave a comment

Bi’ah Islamiah – Hidup bercirikan suasana Islam

Bi’ah Islamiah bermaksud suasana sekeliling yang bercirikan Islam. Rumah yang berbi’ahkan Islam ialah rumah yang susana di dalamnya dibentuk berlandaskan Syari’at Islam sama ada dari sudut pegangan ahli-ahli rumah (bapa, ibu dan anak-anak), pergaulan sesama mereka dan amalan di dalam rumah. Masyarakat yang mempunyai bi’ah Islam pula ialah masyarakat yang segenap aspek menampakkan ciri-ciri keislaman; pemimpin dan rakyatnya berkomitmen dengan Islam, suruhan Islam dilaksanakan, ada budaya dakwah dan amar makruh nahi munkar dan bebas dari maksiat secara terang-terangan.

Bi’ah mempunyai kesan yang amat besar terhadap pertumbuhan seseorang khususnya anak-anak. Anak yang hidup dalam suasana sekeliling yang soleh, ia mudah menjadi insan yang baik. Sebaliknya anak yang hidup dalam suasana sekeliling yang rosak, ia mudah menjadi insan yang rosak. Kerana itu, Rasulullah s.a.w. berpesan agar dihidupkan suasana ibadah di dalam rumah. Baginda bersabda; “Jangan kamu jadikan rumah-rumah kamu sebagai kubur. Sesungguhnya syaitan melarikan diri dari rumah yang dibacakan di dalamnya surah al-Baqarah” (HR Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.). Baginda bersabda lagi; “Lakukanlah sebahagian solat kamu di rumah kamu. Janganlah kamu jadikan rumah-rumah kamu ibarat kubur” (HR Imam Muslim dari Jabir r.a.). Di dalam hadis yang menceritakan tujuh golongan yang akan mendapat naungan Allah di akhirat kelak, salah seorang yang disebut Nabi ialah; “Seorang pemuda yang membesar dalam ibadah kepada Allah Ta’ala” (HR Imam al-Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah r.a.).

Bagi orang dewasa pula, antara biah yang amat besar kesan terhadap pembentukan dirinya ialah kawan-kawan sekeliling. Jika kita dilingkungi kawan-kawan sekeliling yang baik dan soleh, kita juga akan tergerak untuk menjadi baik dan soleh atau untuk menjaga kesolehan yang sedia ada pada diri kita. Begitu juga sebaliknya. Nabi s.a.w. berpesan; “Seseorang manusia itu berada di atas agama temannya. Maka hendaklah setiap dari kamu memerhatikan dengan siapa ia berteman/berkawan” (HR Imam Abu Daud dan at-Tirmizi dari Abu Hurairah r.a.). Dalam satu hadis, Nabi s.a.w. mengumpamakan kawan yang baik dengan penjual minyak wangi dan kawan yang jahat/buruk dengan tukang besi. Penjual minyak wangi; jika kita tidak dapat minyak wangi darinya, sekurang-kuranya kita dapat juga mencium bau wangi darinya. Adapun tukang besi; sekalipun baju kita tidak terbakar (dengan kerana api yang ia gunakan untuk menempa besi), kita pasti akan tercium bau busuk darinya (Lihat; HR Imam al-Bukhari dan Muslim dari Abu Musa r.a.). Menurut Syeikh an-Nahlawy dalam kitabnya ad-Durar al-Mubahah; tawan/teman yang jahat ialah;
1. Yang menjatuhkan kamu ke lembah maksiat dan larangan-larangan Allah.
2. Melalaikan kamu dari mengingati Allah
3. Mendorong kamu untuk menyanggahi Syari’at melalui ucapan dan keadaan dirinya.
4. Menggalakkan kamu supaya melakukan kerosakan dengan amalan-amalan buruknya.
(ad-Durar al-Mubahah, Bab al-Khamis; Fi al-Akhlaq)

Bagi masyarakat, biah (suasana) yang ada dalam masyarakat akan memberi kesan kepada individu-individu yang menghuni di dalamnya. Kita pernah membaca kisah yang diceritakan oleh Nabi s.a.w. di dalam hadisnya berkenaan seorang lelaki yang telah membunuh 99 orang, kemudian ditambahnya seorang lagi dengan membunuh ‘abid (ahli ibadah). Allah telah menggerakkan hatinya untuk bertaubat. Lalu ia berjumpa seorang alim (ahli ilmu) untuk bertanyakan adakah masih ada peluang taubat untuknya dan bagaimana caranya untuk bertaubat? Setelah memberi peransang kepadanya untuk bertaubat, alim itu menasihatinya; “Jika benar kami ingin bertaubat, hendaklah kamu berpindah ke negeri sekian. Di situ terdapat kelompok manusia yang beribadah kepada Allah. Kamu beribadahlah bersama mereka. Janganlah kamu pulang ke negeri kamu ini kerana negeri kamu adalah negeri jahat/buruk” (Lihat; HR Imam al-Bukhari dan Muslim dari Abu Sa’id al-Khudri r.a.). Nasihat alim ini memberi isyarat yang cukup jelas kepada kita; betapa pentingnya suasana sekeliling yang baik/soleh untuk membentuk anggota masyarakat yang baik dan soleh. Nasihat alim ini pastinya benar dan amat penting. Jika tidak, tentu Nabi s.a.w. tidak akan menceritakannya kepada kita.

Wallahu a’lam.

Oleh:  USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL Ahli Penal Syariah HPA

26/06/2011 Posted by | Bicara Ulama | 2 Comments

Syirik – adakah ada harapan Allah menerima taubat

Soalan; ustaz, saya nak minta penjelasan mengenai perbuatan-perbuatan syirik. Perbuatan ini amat menggerunkan kerana kita tahu ianya satu-satunya dosa besar yang tidak diampuni oleh Allah swt. Walaubagaimanapun, apa yang patut dibuat jika seseorang itu tiba-tiba sedar yang dia telah pernah menghampiri syirik ataupun pernah syirik tanpa disedari? Adakah menghampirinya sama sahaja dengan melakukannya? Adakah ini bermaksud dia tidak ada harapan untuk mendapat keampunanNya dan kesejahteraan di Hari Akhirat walaupun melalui Taubat nasuha?

Jawapan;

Syirik adalah dosa paling besar di dalam Islam. Orang yang mati dalam keadaan mensyirikkan Allah, ditutup pintu keampunan untuknya. Ia akan kekal di dalam neraka buat selama-lamanya. Firman Allah (bermaksud);

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa mensyirikkanNya dengan sesuatu. Dia akan mengampunkan dosa selain syirik itu bagi orang yang dikehendakiNya. Sesiapa mensyirikkan Allah dengan sesuatu, maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar” (Surah an-Nisa’, ayat 48).

Menurut ulamak Tafsir, ayat di atas bermaksud kepada orang yang mati dalam Syirik. Berkata Imam Ibnu Kathir; yakni; “Allah tidak mengampunkan hamba yang bertemuNya dalam keadaan mensyirikkanNya”. Adapun orang yang semasa hayatnya pernah mensyirikkan Allah, kemudian sebelum ia mati, ia telah menyedari dosa Syiriknya, lalu memohon ampun kepada Allah dan membuang segala perbuatan Syirik dari dirinya, Insya Allah dosanya akan diampunkan Allah. Ini sebagaimana yang dijanjikan Allah melalui sabda RasulNya;

إنَّ اللَّهَ يقبلُ توبةَ العبدِ ما لمْ يُغَرْغِرْ
“Sesungguhnya Allah akan menerima taubat seorang hamba selagi nyawanya belum sampai di halqum (yakni nyawanya berada di penghujung)”. (HR Imam at-Tirmizi. Kata at-Tirmizi; hadis ini hasan gharib)

Keadaannya sama seperti orang yang asalnya kafir, lalu memeluk Islam dan mati di dalam Islam. Sekalipun ia pernah mengkufurkan Allah, tetapi keislamannya telah menutup dosa kekufuran silamya. Begitu juga, dengan orang yang pernah mensyirikkan Allah, kemudian ia bertaubat dan kembali kepada Tauhid , maka taubat dan tauhidnya itu akan menutup dosa Syirik yang pernah ia lakukan.

Ayat di atas memberi ingatan kepada kita agar menjaga Tauhid kita di sepanjang hayat kita supaya kita dapat mati dalam Tauhid, bukan dalam Syirik. Tauhid dan Syirik adalah dua perkara yang saling bertentangan. Kedua-duanya tidak akan bertemu dan bercantum buat selama-lamanya. Jika dalam diri kita ada Tauhid, tidak akan ada Syirik. Jika ada Syirik, tidak akan ada Tauhid. Kerana itu, orang yang diserapi dengan penyakit Syirik, akan hilang darinya Tauhidnya sebanyak Syirik yang menyerapinya itu. Kemuncak Syirik ialah Syirik Akbar (Besar) kerana ia memadamkan sepenuhnya Tauhid dari diri seseorang. Adapun Syirik Asghar, ia tidak memadamkan sepenuhnya Tauhid, namun tidak boleh juga kita pandang ringan kerana ia menghakis Tauhid kita sikit demi sedikit. Orang yang berterusan melakukan Syirik Asghar (Kecil), lambat laun ia akan terjebak ke dalam Syirik yang lebih besar dan akhirnya mati dalam Syirik.

Orang yang menyedari ia pernah terjebak denagn Syirik hendaklah ia cepat-cepat bertaubat kepada Allah. Bertaubat dari Syirik tidak cukup dengan istighfar dan sembahyang taubat sahaja. Ia hendaklah memenuhi segala rukun yang ditetapkan agama untuk sahnya taubat seseorang, iaitu;

Pertama; Ia hendaklah meninggalkan segala perbuatan Syirik yang pernah dilakukannya. Jika ia melakukan Syirik dengan berdoa atau memuja jin, hantu atau makhluk-makhluk halus yang lain, hendaklah perbuatan itu ditinggalkan dan ia kembali beribadah dan memohon kepada Allah sahaja. Jika ia melakukan Syirik kerana melakukan sihir, hendaklah sihir itu ditinggalkan. Jika ia ada menggantungkan tangkal, hendaklah tangkal itu dibuang.

Kedua; Hendaklah ia menyesali ketelanjurannya melakukan dosa yang amat dimurkai Allah itu. Jika ia dapat menterjemahkan penyesalan itu dengan menangis di hadapan Allah itulah yang paling baik. Sabda Nabi s.a.w.; “Dua mata yang tidak akan disentuh oleh api neraka; (pertama) mata yang menangis kerana takutkan Allah, dan (kedua) mata yang berjaga malam kerana berkawal di jalan Allah” (HR Imam at-Tirmizi dari Ibnu ‘Abbas r.a.. Menurut beliau; hadis ini hasan).

Ketiga; Hendaklah ia berazam bersungguh-sungguh tidak akan mengulangi lagi perbuatan Syirik yang pernah dilakukan dulu.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang Syirik, khususnya perbuatan-perbuatan yang mendatangkan Syirik, sila baca di Blog Artikel al-Qalam; (http://koleksi-alqalam.blogspot.com/2008/09/syirik_15.html) untuk huraian terperinci.

Semoga Allah menjaga Tauhid kita dan menyelamat kita terjebak dalam segala jenis Syirik dari sekecil-kecilnya hingga sebesar-besarnya.

Wallahu a’lam.

Oleh: USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL Ahli Penal Syariah HPA

26/06/2011 Posted by | Aqidah | 3 Comments

Tanda tanda kematian

Soalan; Assalammualaikum, tersebar dalam internet mengenai tanda-tanda sebelum ajal menjelang bagi umat Islam seperti 100 hari sebelum mati badan akan mengalami getaran sesudah asar, 40 hari sebelum meninggal akan berdenyut pusat, juga berlaku sesudah asar. soalannya, sejauh manakah kesahihan tanda-tanda ini sedang tidak diketemui sebarang nas atau dalil dari Al-Quran atau Sunnah. Sedang ada yang mengatakan ia pandangan segelintir ulama. Dan apakah hukum jika ia dijadi iktiqad? dan apakah hukum jika menolaknya? Sekian.

Jawapan;

Sesuatu yang tidak sabit dengan nas dari al-Quran atau as-Sunnah, tidak harus dijadikan iqtiqad. Termasuklah juga perkara-perkara ghaib. Urusan aqidah dan kepercayaan adalah urusan agama. Oleh itu, tiada siapapun harus mendakwa sesuatu itu sebagai keyakinan agama atau amalan agama melainkan ia wajib mendatangkan dalil yang soheh dari al-Quran atau as-Sunnah. Sabda Nabi -sallallahu alaihi wasallam-; “Sesiapa mereka-reka dalam urusan kami ini (yakni urusan agama) apa-apa yang bukan darinya, maka ia adalah tertolak”. Adapun suatu dakwaan yang dibuat atas dasar pengalaman, kajian, penelitian dan sebagainya -bukan atas dasar agama-, itu terserah kepada setiap individu sama ada untuk menerima atau menolaknya berpandukan penilaian akal masing-masing.

Kesimpulannya, orang yang mendakwa tanda-tanda kematian itu adalah dari agama, wajiblah ia mendatangkan dalil dari al-Quran atau as-Sunnah. Jika ia mendakwa ianya dari pengalaman atau penelitian, terserahlah kepada masing-masing untuk mempercayainya atau tidak.

Tanda-tanda kematian yang baik (husnul-khatimah)

Apa yang jelas terdapat nas tentangnya ialah tanda-tanda kematian yang baik (husnul-khatimah) iaitu;

1. Mati dengan mengucap kalimah syahadah

Sabda Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam-;

مَنْ كَان آخِرَ كَلامِه لا إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ دَخَلَ الجَنَّةَ
“Sesiapa yang ucapan terakhirnya (sebelum mati) ialah Lailahaillallah, maka ia akan masuk syurga”. (Riwayat Imam al-Hakim dari Mu’az bin Jabar –radhiyallahu ‘anhu-. Kata al-Hakim; Hadis ini sanadnya soheh.)

2. Berpeluh di dahi

Sabda Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam-;

اَلْمُؤْمِنُ يَمُوْتُ بِعَرَقِ الْجَبِيْنِ
“Seorang mukmin mati dengan berpeluh dahinya”. (Riwayat Imam Ahmad, at-Tirmizi, an-Nasai dan al-Hakim dari Buraidah –radhiyallahu ‘anhu. Kata Imam at-Tirmizi; hadis ini hasan. Menurut al-Hakim; hadis ini adalah soheh. Tashih al-Hakim itu dipersetujui Imam az-Zahabi. (Lihat; Faidhul-Qadier, hadis no. 9145))

Maksud hadis di atas ialah; jika kelihatan pada dahi si mati renik-renik peluh, maka itu tanda bahawa ia mati dalam iman. Sebab terjadinya renik-renik peluh itu menurut sebahagian ulamak ialah kerana malunya kepada Allah yang memberi rahmat kepadanya sedangkan masih ada dosanya kepada Allah. Sebahagian ulamak pula berkata; orang mukmin tidak terlepas dari merasai kepayahan ketika mati, namun kepayahan yang dihadapinya ringan sahaja iaitu hanya sekadar kepayahan yang menerbitkan peluh yang berpercikan pada dahi. (Faidhul-Qadier, hadis no. 9145)

Dalam satu hadis yang lain, Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- bersabda;

لَقِّنُوْا مَوْتَاكُمْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ فَإِنَّ نَفْسَ الْمُؤْمِنِ تَخْرُجُ رَشْحًا وَنَفْسُ الْكَافِرِ تَخْرُجُ مِنْ شِدْقِهِ كَمَا تَخْرُجُ نَفْسُ الْحِمَارِ‏
“Ajarilah orang yang hampir mati di antara kamu Lailahaillallah. Sesungguhnya ruh orang beriman akan keluar dengan bercucuran peluhnya. Adapun ruh orang kafir akan keluar dari rahangnya sebagaimana keluarnya ruh kaldai”. (Riwayat Imam at-Thabrani dari Abdullah bin Mas’ud –radhiyallahu ‘anhu-. Kata Imam al-Haithami; sanad hadis ini adalah hasan. (Lihat; al-Asas Fi as-Sunnah, Sa’id Hawa, jil. 3, hlm. 1164, hadis no. 1112)).

3. Mati ketika sedang melakukan amal soleh

Sabda Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam-;

مَنْ قَالَ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ اِبْتِغَاْءَ وَجْهِ اللهِ خُتِمَ لَهُ بِهَا دَخَلَ الْجَنَّةَ وَمَنْ صَامَ يَوْمًا اِبْتِغَاْءَ وَجْهِ اللهِ خُتِمَ لَهُ بِهَا دَخَلَ الْجَنَّةَ وَمَنْ تَصَدَّقَ بِصَدَقَةٍ اِبْتِغَاْءَ وَجْهِ اللهِ خُتِمَ لَهُ بِهَا دَخَلَ الْجَنَّةَ
“Sesiapa mengucapkan Lailahaillallah semata-mata kerana mengharapkan keredhaan Allah, lalu ia mati dengan kalimah itu, maka ia akan masuk syurga. Sesiapa berpuasa pada satu hari kerana mengharapkan keredhaan Allah, lalu ia mati ketika sedang berpuasa itu, maka ia akan masuk syurga. Sesiapa bersedekah dengan satu sedekah kerana mencari redha Allah, lalu ia mati sesudah bersedekah itu, maka ia akan masuk syurga”. (Riwayat Imam Ahmad dari Huzaifah –radhiyallahu ‘anhu-. Berkata Imam al-Haithami di dalam Majma’ az-Zawaid; “Para perawi hadis ini adalah tsiqah”. Menurut Syeikh al-Albani; hadis ini adalah soheh. (Lihat; Ahkam al-Janaiz)).

(Tuan-tuan/puan-puan yang ingin membaca lebih lanjut tentang kematian dan hal-hal berkait dengannya boleh dapatkan buku tulisan saya “Rahsia Kematian, Alam Barzakh dan Roh”. Ebook sila dapatkan di (http://ebook-ilmudanulamak.blogspot.com/)).

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1.Rahsia Kematian, Alam Barzakh & Roh, Ustaz Ahmad Adnan bin Fadzil.

Oleh: USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL  Ahli Penal Syariah HPA

26/06/2011 Posted by | Aqidah | 10 Comments

Mengurus Quran lama

Mushaf al-Quran (dan begitu juga kertas-kertas yang bertulis ayat al-Quran, nama-nama Allah, zikir-zikir, hadis-hadis Nabi dan seumpamanya) wajib dijaga kemuliaan dan kehormatannya. Hendaklah disimpan ditempat yang baik dan bersih. Jika dijumpai terjatuh di atas lantai atau berada di tempat yang tidak sepatutnya, wajiblah dipungut. Jika sudah tidak dapat digunakan lagi, hendaklah dilupuskan sama ada dengan menanamnya di tempat yang bersih dan jauh dari laluan manusia (untuk mengelak dari ia dipijak atau dilangkahi) atau boleh juga dibakar dan kemudian abunya ditanam di tempat yang bersih. Ini sebagai mengambil contoh dari tindakan yang dilakukan oleh para sahabat.Dalam kitab Soheh al-Bukhari, terdapat hadis dari Anas bin Malik –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan; Saidina Usman bin ‘Affan –radhiyallahi ‘anhu- telah mengarahkan beberapa orang sahabat supaya menyalin beberapa mushaf al-Quran, kemudian ia menghantar ke setiap pelusuk (negara umat Islam) satu salinan. Dan ia memerintahkan semua lembaran dan mushaf yang lain hendaklah dibakar”. (Juz. 15, bab jam’ie al-Quran, hadis no. 4604).Berkata Ibnu Battal; hadis ini menunjukkan bahawa diharuskan membakar kitab-kitab/buku-buku yang terdapat di dalamnya nama-nama Allah (yang tidak digunakan lagi). Tindakan itu sebagai memuliakannya dan menjaganya dari dipijak oleh kaki-kaki manusia. Ada diceritakan bahawa Tawus membakar kertas-kertasnya yang terdapat tulisan Bismillah, begitu juga yang dilakukan oleh Urwah. (Fathul-Bari, juz 14, bab Jam’ie al-Quran. Lihat juga; Tuhfah al-Ahwazi, juz. 7, bab wa min surati at-taubah).

Diharamkan sama sekali mushaf al-Quran yang lama itu dibuang ke tempat sampah atau dibiarkan tanpa terurus di tempat yang tidak sepatutnya. Begitu juga, tidak harus kertas al-Quran lama di kitar semula untuk kegunaan lain dari al-Quran (seperti menjadi kertas biasa, tisu atau sebagainya) kerana itu juga satu jenis penghinaan kepada al-Quran. Ini sebagaiman fatwa yang yang pernah dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Arab Saudi (Fatawa al-Lujnah ad-Daimah, al-Majmu’at al-Ula, 4/80. Lihat; al-Maktabah asy-Syamilah) dan beberapa fatwa yang lain. Jadi, jalan yang ada ialah sama ada menanamnya atau membakarnya atau terus menyimpannya dengan baik.

Rujukan;

1. Fathul-Bari, juz 14, bab Jam’ie al-Quran.
2. Tuhfah al-Ahwazi, juz. 7, bab wa min surati at-taubah.
3. Fatwa Syeikh Muhammad Soleh al-Munajjid (http://www.islamqa.com), no. 126206.
4. Fatawa al-Lujnah ad-Daimah, al-Majmu’at al-Ula, 4/80, al-Maktabah asy-Syamilah.

Oleh: USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL Ahli Penal Syariah HPA

26/06/2011 Posted by | Ibadah | | Leave a comment

Memperlekeh agama lain

Kita wajib meyakini bahawa Islamlah satu-satunya agama yang benar dan direstui Allah untuk dianuti oleh sekelian manusia. Firman Allah (bermaksud); “Sesungguhnya agama (yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam” (Ali Imran, ayat 19).

Agama-agama lain adalah batil dan palsu. Kerana itu Allah tidak menerimanya dan penganutnya akan menjadi manusia-manusia yang rugi di akhirat (kerana mereka akan dihumbankan ke dalam neraka); Firman Allah (bermaksud); “Dan sesiapa mencari agama selain Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi” (Ali Imran, ayat 85).

Merasakan dalam diri bahawa agama lain adalah lekeh dan hanya Islam sahaja yang hebat, itu adalah tanda iman dalam hati seorang mukmin. Perasaan itu wajib ada dalam hati setiap dari kita yang beriman kepada Allah dan agama Allah. Namun tidak semestinya kita perlu meluahkan perasaan itu di hadapan penganut-penganut agama lain. Dalam erti kata lain; kita memperlekehkan agama mereka di hadapan mereka. Sudah tentunya perbuatan kita itu akan mengundang balasan balik dari mereka terhadap agama kita dan juga terhadap Allah. Kerana itu, Allah melarang kita dalam ayatnya (bermaksud);

“Dan janganlah kamu mencerca berhala-berhala yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan”. (al-An’am, ayat 108).

Apa yang disuruh oleh Allah ialah kita berusaha mendekatkan orang-orang bukan Islam kepada agama Allah dengan hujjah dan perdebatan yang baik sebagaimana firman Allah;

“Dan janganlah kamu berbahas dengan ahli Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang-orang yang berbuat zalim dari mereka. Katakanlah (kepada mereka): ‘Kami beriman kepada (Al-Quran) Yang diturunkan kepada Kami dan kepada (Taurat dan Injil) Yang diturunkan kepada kamu; dan Tuhan kami, juga Tuhan kamu, adalah satu; dan kepadaNyalah, Kami patuh Dengan berserah diri’” (al-Ankabut, ayat 46).

Maksud berbahas dengan cara yang baik ialah menyeru mereka kepada agama Allah dengan membentangkan ayat-ayat Allah dan hujjah-hujjah. (Lihat; al-Jalalain). Allah mengecualikan dalam ayat di atas orang-orang kafir yang bertindak zalim terhadap agama Allah atau kaum muslimin, maka mereka perlu kita hadapi dengan tindakan yang bersesuaian dengan kebiadapan mereka.

Berkata Imam al-Hakim (mengulas ayat pertama tadi, iaitu ayat 108 dari surah al-An’am); “Kita dilarang mencerca berhala-berhala kerana dua sebab;
1. Berhala itu hanyalah makhluk yang tidak bernyawa dan tidak berdosa (yakni yang berdosa ialah penganutnya).
2. Cercaan terhadapnya akan membawa kepada kejahatan yang lebih besar iaitu celaan penganutnya terhadap Allah.
Beliau menegaskan; apa yang wajib kita lakukan ialah kita membentangkan kepada penganutnya bahawa berhala itu sendiri tidak redha ia disembah dan berhala itu tidak selayaknya disembah kerana ia tidak berupaya menimpakan mudaraat dan memberi manfaat kepada sesiapa kerana ia hanyalah batu yang tidak bernyawa. Pendekatan ini tidaklah dinamakan cercaan. Kerana itu Saidina ‘Ali –radhiyallahu ‘anhu- pernah berkata; “Janganlah mencerca mereka, akan tetapi sebutlah kejelekan/keburukan amalan-amalan mereka”. (Tafsir Mahasin at-Takwil)

Berkata Imam ar-Razi; Ayat tersebut merupakan satu pendidikan kepada orang yang ingin berdakwah kepada agama Allah, iaitulah mereka janganlah menyibukkan diri dengan tindakan yang tidak ada faedah dalam mencapai tujuan dakwah. Menyebutkan berhala sebagai makhluk kaku tidak bernyawa yang tidak berkuasa menimpakan mudarat dan tidak mampu mendatangkan manfaat sudah memadai untuk meragukan penganutnya tentang ketuhanan berhala itu. Tidak perlu untuk kita mencerca atau mencacinya. (Mahasin at-Takwil)

Kesimpulannya, merasakan Islam adalah agama yang hebat dan semua agama lain adalah lekeh merupakan perasaan yang wajib ada dalam setiap hati/jiwa orang Islam. Namun, ketika berhadapan dengan orang-orang bukan Islam, uslub dan pendekatan terbaik ialah dengan kita membentangkan hujah-hujah yang baik dan bernas untuk meyakinkan mereka kepada agama Allah dan kebenarannya, bukan dengan kita memperlekeh-lekeh agama mereka kerana akan mengundang mereka memperlekehkan pula agama kita. Kecualilah pada ketika kita berhadapan dengan orang-orang kafir yang terlebih dahulu mencerca dan menghina agama kita atau Nabi Muhammad atau mana-mana ajaran Islam, maka ketika itu kita perlu memberi reaksi yang bersesuaian dengan sikap atau tindakan mereka.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Tafsir Mahasin an-Takwil, Syeikh Jamaluddin al-Qasimi, surah al-An’am, ayat 108.
2. Tafsir al-Wasit, Syeikh Muhammad Sayyid Tantawi, ayat 46, surah al-Ankabut.
3. Al-Muqtataf min ‘Uyun at-Tafasir, Syeikh Mustafa al-Khairi, surah dan ayat yang sama.

Oleh: USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL Ahli Panel Syariah HPA

26/06/2011 Posted by | Aqidah | Leave a comment

Ucapan selamat kepada non muslim sempena perayaan mereka

Hendaklah dibezakan di antara dua perkara:
Pertama: Sama-sama merayakan perayaan tersebut dengan mereka.
Kedua: Hanya sekadar mengucapkan selamat.

Perkara pertama telah disepakati atas pengharamannya oleh ulamak-ulamak muktabar hari ini.[1] Diharamkan ke atas orang Islam untuk sama merayakan perayaan-perayaan agama orang bukan Islam. Maksud sama-sama merayakan ini ialah turut sama melakukan upacara ibadah atau tradisi khusus yang dibuat oleh penganut agama terbabit sebagai menandakan sambutan bagi hari perayaan mereka.

Adapun perkara kedua, iaitu mengucapkan selamat kepada mereka bersempena perayaan mereka, terdapat khilaf di kalangan para ulamak semasa/kontemporari hari ini;

Golongan pertama: mengharamkannya kerana ia menyerupai orang bukan Islam, seolah-olah mengiktiraf agama mereka dan membantu mempromosi agama mereka. Pandangan ini dikeluarkan ulamak-ulamak aliran Salafi terutamanya dari Arab Saudi seperti Syeikh Bin Baz, Syeikh Ibnu Uthaimin dan Lujnah Fatwa Arab Saudi sendiri. Sabda Nabi -sallallahu ‘alaihi wasallam-: “Sesiapa menyerupai satu kaum, dia adalah dari kalangan mereka”. Firman Allah (bermaksus): “Dan janganlah kamu saling membantu dalam perkara dosa dan permusuhan”.

Golongan kedua: mengharuskannya kerana ia termasuk dalam pengertian berbuat baik dan mengucapkan ucapan yang baik yang tidak pernah ditegah oleh Allah untuk dilakukan atau diucapkan oleh orang Islam kepada orang-orang bukan Islam yang tidak memusuhi  umat Islam. Pandangan ini dikeluarkan oleh Syeikh Mustafa az-Zarqa, Syeikh Dr. Ali Jum’ah (Mufti Mesir), Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Syeikh Mahmud ‘Akkam (Mufti Halab, Syiria) dan lain-lain. Firman Allah (bermaksud);

“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang (kafir) yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak mengusir kamu keluar dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil” (Surah al-Mumtanahah, ayat 8)

“Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu” (Surah an-Nisa’, ayat 86). Berdasarkan ayat ini, jika seorang muslim mempunyai kawan atau saudara-mara dari kalangan orang bukan Islam yang biasa mengucapkan selamat untuknya pada hari raya Islam atau hari kegembiraan lainnya, haruslah ia membalas ucapan selamat itu bila tiba hari perayaan atau kegembiraannya sebagai bermuamalah dengan yang serupa sebagaimana yang dianjurkan oleh ayat. Berkata Ibnu ‘Abbas –radhiyallahu ‘anhu-; “Sesiapa dari kalangan makhluk Allah yang mengucapkan salam/selamat untuk kamu, balaslah ucapannya sekalipun ia seorang Majusi  kerana firman Allah tadi” (Tafsir Ibnu Kathir).

Menolak hujjah ulamak-ulamak yang melarang tadi, golongan kedua ini menjawab; sekadar mengucap selamat dan tahniah tidaklah boleh dikatakan kita telah menyerupai penganut agama lain atau merestui agama mereka atau membantu mempromosi agama mereka. Ia tidak lebih dari sekadar menzahirkan penghargaan dan penghormatan sesama manusia, bukan penghormatan kepada agama atau aqidah penganutnya.[2] Diceritakan dalam hadis bahawa pada satu hari lalu di depan Nabi jenazah seorang Yahudi. Nabi lalu bangun menghormati jenazah itu. Para sahabat yang bersama baginda lantas menegur; “Itu jenazah seorang Yahudi, wahai Rasulullah”. Baginda lantas menjawab; “Bukankah ia jenazah seorang manusia” (HR Imam al-Bukhari, Muslim dan an-Nasai dari Sahl bin Hunaif dan Qies bin Sa’d). Nabi bangun menghormati jenazah Yahudi itu bukan kerana agamanya, tetapi atas dasar sesama manusia.

Dr. Yusuf al-Qaradhawi menjelaskan dalam fatwanya; “Ucapan-ucapan tahniah dan selamat yang biasa diucapkan bersempena perayaan-perayaan agama lain itu tidaklah terkandung di dalamnya sebarang pengakuan terhadap aqidah mereka atau kita meredhai agama mereka. Ia hanya sekadar ucapan-ucapan mujamalah (ucapan untuk menzahirkan kemesraan) yang telah menjadi adat sesama manusia”.[3]

Kesimpulannya, sama-sama merayakan perayaan orang bukan Islam hukumnya adalah haram mengikut hukum yang disepakati semua ulamak. Adapun sekadar ucapan selamat atau penghargaan sebagai tanda kejiranan atau persahabatan sesama insan, para ulamak berikhtilaf. Ada ulamak mengharuskannya dan ada yang melarangnya. Dalam masalah khilaf, sesama umat Islam hendaklah saling menghormati antara satu sama lain.

Rujukan

1. Fatawa al-Lujnah ad-Daimah, 1/437, 1/439, 1/452 (al-Maktabah as-Syamilah)
2. Fatawa wa Istisyaraat al-Islam al-Yaum, 4/31 (al-Maktabah as-Syamilah)
3. Majmu’ Fatawa wa Rasail al-Uthaimin, 3/45 (al-Maktabah as-Syamilah)
4. Fatawa Mustafa az-Zarqa’ (Dar al-Qalam)
5. Fatawa Mu’ashirah, Dr. Yusuf al-Qaradhawi (Dar al-Qalam, Kuwait dan Qahirah).

Nota hujung

[1] Termasuk yang mengharamkannya ialah Dr Yusuf al-Qaradhawi dan Dr. Mustafa az-Zarqa.
[2] Lihat; Fatawa Mustafa az-Zarqa’, hlm. 356 (Dar al-Qalam, Dimasyq)
[3] Fatawa Mu’ashirah, jil. 3, hlm. 672 (Dar al-Qalam, Kuwait dan Qahirah).

Oleh: USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL  Ahli Penal Syariah HPA

26/06/2011 Posted by | Aqidah | Leave a comment

Tudung yang di pinkan kebelakang menyamai biarawati kristian

Soalan; Salam ust, Saya ada satu kemusykilan berkaitan dakwaan tentang cara pemakaian tudung yang diikat@dipin di belakang leher seperti trend sekarang adalah mengikut cara pemakaian biarawati kristian.Adakah dakwaan itu benar walaupun si pemakai (wanita islam) tidak pernah mempunyai niat sedemikian, hanya pakai tudung dengan meng’pin’kan di bahagian leher bagi menampakkan kekemasan.Harap ust dapat memberikan penjelasan.

Jawapan: Cara pemakaian tudung yang dituntut oleh Syariat ialah dengan menutupi seluruh kepala (rambut), bahagian leher dan labuh hingga ke dada. Ini sebagaimana arahan Allah;

وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ
“Dan hendaklah mereka (yakni wanita-wanita beriman) melabuhkan tudung-tudung kepala mereka hingga ke dada-dada mereka”. (an-Nur: 31)

Mengenai fesyen, tidaklah disyaratkan fesyen tertentu asalkan ia memenuhi kehendak ayat di atas. Warna juga tidak dihadkan kepada warna tertentu, akan tetapi hendaklah dipastikan tudung yang dipakai tidak jarang dan tidak mempunyai corak yang terlalu menarik perhatian lelaki atau corak-corak lain yang tidak sesuai dengan idenditi wanita Islam. Warna yang disukai Rasulullah ialah warna putih sebagaimana sabdanya; “Pakailah pakaian berwarna putih kerana sesungguhnya ia lebih suci dan lebih baik dan kafankanlah dengannya jenazah-jenazah kamu” (HR Imam at-Tirmizi, an-Nasai, Ibnu Majah dan Musnad Imam Ahmad dari Samurah bin Jundab r.a.).

Mengenai penyerupaan/peniruan kepada orang kafir, Nabi -sallallahu ‘alaihi wasallam- bersabda; “Sesiapa menyerupai satu kaum, ia dari kaum tersebut” (HR Imam Abu Daud dari Ibnu Umar). Menurut Imam Ibnu Kathir; hadis ini merupakan larangan keras terhadap perbuatan meniru orang kafir sama ada dalam ucapan, perbuatan, pakaian, perayaan, ibadah dan sebagainya yang tidak disyariatkan untuk kita (umat Islam). (Lihat; Tafsir al-Quran al-Adziem, surah al-Baqarah, ayat 104).

Namun para ulamak menjelaskan; maksud peniruan/penyerupaan kepada orang kafir atau orang fasik yang dilarang ialah yang khusus bagi sesuatu kaum kafir atau fasiq iaitu yang menggambarkan indentiti mereka, seperti; salib (yang melambangkan agama kristian), sabit dan penukul (lambang komunis), lambang nazi, pakaian-pakaian orang fasiq (seperti gaya berpakaian artis-artis Barat), gaya-gaya rambut orang fasik dan sebagainya. Adapun pakaian yang dipakai oleh orang ramai tanpa mengira agama dan bangsa seperti seluar, baju kemeja, kot dan sebagainya atau berlaku kesamaan/keserupaan secara kebetulan seperti jubah litup yang dipakai oleh imam-imam, ulamak-ulamak dan dipakai juga oleh paderi-paderi Kristian dan Yahudi, kopiah yang dipakai oleh orang-orang Islam dan turut dipakai oleh sebahagian penganut bukan Islam (seperti orang Yahudi), tudung kepala (yang turut dipakai juga oleh paderi-paderi wanita kristian) dan sebagainya, penyerupaan/kesamaan secara umum atau kebetulan ini tidaklah termasuk dalam larangan hadis kerana ia bukan bersifat khusus bagi sesuatu kaum kafir atau melambangkan identiti agama mereka.

Adakalanya suatu pakaian menjadi identiti agama di satu tempat, tetapi di tempat lain ia adalah pakaian biasa yang tidak melambangkan agama. Maka ditempat lain itu, tidaklah dianggap menyerupai penganut agama lain jika ia dipakai oleh orang Islam. Imam Malik pernah ditanya hukum memakai sejenis pakaian bernama al-Burnus.[1] Ia menjawab; “Harus”. Dikatakan kepadanya; “Tetapi ia adalah pakaian rahib-rahib Nasara (ahli-ahli ibadat Kristian)”. Imam Malik menjawab; “Ia di sini (di Madinah) dipakai oleh orang ramai”. Begitu juga, suatu pakaian mungkin pernah menjadi identiti agama di satu masa, namun setelah zaman berubah, ia tidak lagi menjadi identiti agama. Imam Ibnu Hajar ketika mengulas tentang sejenis pakaian yang bernama al-Mayasir al-Arjuwan yang dilarang oleh Nabi di zamannya, beliau (yakni Ibnu Hajar) berkata; Pakaian tersebut jika sebab larangannya adalah untuk mengelak dari mengerupai orang-orang asing (orang-orang bukan Islam) maka larangan tersebut adalah kerana maslahah agama. Namun oleh kerana pakaian itu hanya menjadi syiar agama pada ketika itu sahaja iaitu pada zaman mereka masih kafir, kemudian hari ini ia tidak lagi menjadi syiar agama, maka larangan tersebut telah hilang. (Lihat; Fathul-Bari, Imam Ibnu Hajar, kitab al-libas, bab Labs al-Harir wa ad-Dibaaj….). Apa yang disebut oleh ulamak itu mungkin boleh kita samakan dengan masalah pemakaian cepiau (topi).[2] Pada zaman dulu, pemakaiannya difatwakan haram oleh ulamak-ulamak kerana ia adalah topi penjajah. Apabila seorang muslim memakainya pada ketika ia seolah-olah dari kalangan penjajah atau yang pro penjajah. Namun hari ini, faktor yang menyebabkab larangan itu telah tidak ada lagi, maka tidak ada ulamak yang memfatwanya sebagai haram dipakai oleh orang Islam hari ini.

Untuk memudahkan kita membezakan bentuk penyerupaan yang harus dan yang tidak harus, di bawah ini dikemukan beberapa dhabit yang diberikan ulamak;
1. Berkata Imam al-Qurthubi; “Jika suatu pakaian telah menjadi identiti khusus bagi golongan fasik atau golongan yang suka berpoya-poya, dilarang orang lain memakainya” (Faidhul-Qadier, 6/104).
2. “Semua jenis pakaian yang boleh menimbulkan tanggapan kepada orang yang melihat bahawa si pemakainya adakah kafir atau dari kelompok fasik, maka ia adalah penyerupaan yang dilarang agama” (Syeikh Abdul-Wahhab Tawilah).
3. “Yang dikehendaki dengan menyerupai orang-orang kafir yang dilarang itu ialah menyerupai mereka dalam perkara yang menjadi identiti khusus mereka dalam adat-adat (kebiasaan-kebiasaan hidup) dan menyerupai mereka dalam perkara-perkara yang direka mereka dalam agama mereka merangkumi urusan-urusan aqidah dan ibadah-ibadah mereka” (Majlis Fatwa Arab Saudi, 3/307).
4. “Cara untuk menilai penyerupaan (yang dilarang) ialah; orang yang meniru/menyerupai ia melakukan suatu perbuatan yang menjadi identiti khusus orang yang ditiru. Maka maksud menyerupi orang-orang kafir (yang ditegah agama) ialah seorang muslim melakukan sesuati yang menjadi identiti khusus orang-orang kafir. Adapun perkara yang telah tersebar di kalangan orang-orang Islam dan tidak lagi menjadi ciri-ciri khusus orang kafir, ia tidaklah dikira penyerupaan dengan mereka. Maka ia tidaklah diharamkan kerana faktor penyerupaan walaupun mungkin diharamkan kerana faktor yang lain” (Syeikh Muhammad Soleh al-Uthaimin).

Merujuk kepada soalan di atas, apakah tudung yang dipin ke belakang itu benar-benar menyerupai biarawati kristian?, persoalan ini perlulah diselidiki lebih lanjut. Namun secara zahirnya, di Malaysia ini wanita-wanita Islam yang memakai tudung sebegitu tidaklah dilihat oleh orang lain sebagai biarawati kristian atau orang yang ingin meniru mereka. Ia mungkin berlaku secara kebetulan. Oleh itu, pada pandangan saya ia tidaklah boleh kita anggap sebagai menyerupai biarawati Krisrian secara dasarnya. Namun dari segi pemakaian tudung, hendaklah dipastikan ia mematuhi ciri-ciri tudung yang ditetapkan Allah tadi.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Fiqh al-Albisah wa az-Zinah, Abdul Wahhab bin Abdus-Salam Tawilah, hlm. 182.
2. Fathul-Bari, Imam Ibnu Hajar, kitab al-libas, bab Labs al-Harir wa ad-Dibaaj….
2. Fatwa Syeikh Muhammad Soleh al-Munajjid (Islamqa.com), no. 69789.

Nota hujung;

[1] Burnus; tutup/tudung kepala bersekali dengan baju atau jubah (lihat; Kamus al-Marbawi). Ia dipakai oleh rahib-rahib Kristian.
[2] Cepiau; Syeikh Idris al-Marbawi dalam kamusnya (Kamus al-Marbawi) menyebutkan; ia haram dipakai.

Oleh: USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL Ahli Panel Syariah HPA

26/06/2011 Posted by | Aqidah, Ibadah, Q & A (Soal Jawab) | | 1 Comment