Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Al Quran Qalam Allah yang Qadim

Surah

Fatwa Malaysia

ISU: Ahlus-Sunnah bersepakat bahawa Al-Quran adalah Kalam Allah yang Qadim iaitu Ghair Makhluq dan bukan Muhdath (baharu). Bagaimanakah jawapan yang sepatutnya saya berikan buat dakwaan Kristian bahawa analogi (Qiyas) yang sama dapat digunakan buat Nabi Isa a.s. yang bergelar Kalimatullah? Mereka mendakwa dengan hujah yang sama bahawa Nabi Isa itu Qadim bukan makhluk dan bukan baharu kerana Baginda ialah Kalimatullah yang menjadi jasad. Saya mohon pencerahan dan kepakaran tuan. Terima kasih.

PENJELASAN: Apabila al-Qur’an merujuk Nabi Isa sebagai kalimatun min Allah (Surah Ali-‘Imran 3:39) iaitu ‘perkataan dari Allah’, ia merujuk kepada perintah atau wahyu dari Allah yang diberikan kepada Maryam sehingga menjadi asbab Maryam mengandungkan Nabi Isa tanpa melalui perantaraan seorang bapa. Dengan kata lain kalimah di sini menunjukkan salah satu tanda dan ayat dari kebesaran Allah. Ia tidak boleh diqiyaskan dengan hakikat al-Qur’an kerana al-Qur’an merupakan salah satu dari penzahiran sifat Kalam Allah yang qadim. Sedangkan Nabi Isa adalah seorang manusia termasuk dalam kategori makhluk sebagaimana Nabi-Nabi yang lain.

Istilah yang menggambarkan Nabi Isa sebagai kalimah dalam ilmu tafsir temasuk dalam kategori istilah atau ayat mutashabihat (ayat yang mempunyai lapisan makna) . Maka ia harus di fahami selari dengan ayat-ayat muhkamat (yang jelas maknanya) yang ada dalam al-Qur’an khususnya yang berkaitan dengan Nabi Isa. Misalnya ayat dalam Surah al-Maaidah ayat 17 “Sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata “sesungguhnya Allah itu ialah al-Masih putera Maryam” dan Surah al-Maaidah, ayat 73 “Sesungguhnya kafirlah orang-orang yang mengatakan “Bahawasanya Allah salah satu dari yang tiga” jelas menafikan pandangan agama Kristian yang mengatakan Isa adalah sebahagian dari hakikat ketuhanan.

Wallahu a’lam

25/11/2013 - Posted by | Aqidah, Bicara Ulama, Fatwa, Q & A (Soal Jawab) | ,

No comments yet.

Leave a comment