Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Sedih melihat sikap ilmuan agama hari ini

Hari ini sudah ada golongan yang berani mengatakan ingin mentajdid agama, dan mengatakan diri mereka sahaja yang mengikut al Quran dan Sunnah. Sedih melihatkan sesama saudara Islam bertelagah darihal perkara khilaf antara ulamak. Yang seorang sibuk datangkan dalil mengatakan amalan itu bid’ah, dan kononnya disertakan dengan takhrij hadith seolah-olah pendapatnya sudah betul-betul benar.

Apatah lagi mempertikaikan aqidah sesama umat Islam. Saya selalu melihatkan beberapanickname di dalam beberapa forum yang sering mengadakan perbalahan dan ‘tidak reti bahasa’ di dalam mencari keharmonian. Perkara khilaf ulamak sepatutnya kita sama-sama merghormati dan berlapang dada.

Jika tidak bersetuju dengan hujjah ulamak yang membolehkan amalan bacaan yasin 3 kali di dalam Nisfu Sya’ban terpulanglah dan tidak perlu membid’ahkan pendapat ulamak lain. Sekiranya tidak bersetuju dengan mereka yang menerima bid’ah hasanah terpulanglah, maka kerana itu tidak perlu berlagak juga dengan kalam ulamak lain untuk menghukum sesama Islam dengan gelaran sesat, duduk dalam neraka.

Seolah-olah hujjah sudah menjadi qot’ie (secara pasti) bahawa hujjah yang dibawakan orang lain (disertakan dengan dalil dan hujjah) adalah tertolak. Hebat bila ada yang mengatakan ulamak tersilap, tersalah. Dengan kalam siapa katakan ia tersilap dan salah? Adakah dengan ilmu kita yang tidak sampai pun sejengkal kaki ulamak yang direndah-rendahkan tersebut.

Sedangkan bila dikaji semula antara para muhaddith pun mereka ada berkhilaf tentang kekuatan darjat sesuatu hadith sebagaimana juga ahli ilmuwan hadith seperti Albani yang ada kalanya dahulu dia mendhoiefkan hadith yang sahih dan mensahihkan hadith yang dhoief (ini juga telah ditegur sendiri oleh Dr Yusof al Qardhawi di dalam Feqh Muassarohnya).

Menghukum Saudara Islam Masuk Neraka Dengan Khilaf Ulamak

Yang hanya pandai menghukum amalan orang lain sesat, masuk neraka. Adakah sudah pasti kita berada di mana? Adakah amalan kita sendiri tidak sesat apabila menyesatkan sesama umat Islam yang jelas sudah mengadakan dalil dan hujjah. Tak perlu nak bicara tentang latarbelakang ilmu orang lain. Tetapi belajar dulu AKHLAQ di dalam berbicara.

Yang rajin benar membawakan perbahasan ulamak dengan kata ini batil, ini salah. Adakah sudah faham tentang feqh waqi’? Sedar atau tidak siapa yang membaca di dalam artikel, yang mendengar, melihat? Ada di antara mereka yang ingin belajar, mahu mengenal Islam, mahu melihat keindahan ukhuwah antara sesama Islam. Tetapi apa yang telah tunjukkan dengan perasaan emosi.

Di mana diletakkan akhlaq yang sudah ditunjukkan di dalam AL QURAN DAN HADITH SAHIH? Atau letakkan di hujung-hujung kaki sahaja kerana kononnya ilmu lebih utama? Apa dahulu tidak diajar Rasulullah bagaimana berakhlaq sesama saudara seIslam?

Memahami Perbezaan Dari Petunjuk Sirah

Apakah tidak belajar sirah bagaimana Rasulullah menanggapi khilaf antara sahabat? Tunjukkan bukti bahawa Rasulullah berwenang mengatakan sesat kepada para sahabat yang berselisih faham dalam ijtihad terutamanya ketika ada sahabat yang solat Asar sebelum bertolak dan ada yang solat asar selepas bertolak ketika hendak menghadapi kaum Yahudi yang melanggar perjanjian Piagam Madinah.

Sedangkan dalil-dalil sudah diberi, dan sibuk pula mempertikaikan ulamak lain. Tidak belajarkah ijtihad yang benar akan diberi 2 pahala, dan ijtihad yang yang silap diberikan 1 pahala. Lihat bagaimana ketika ada 2 pendapat antara Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar mengenai tebusan Badar. Kita nak perlekehkan yang mana satu? Banyak lagi perselisihan ijtihad dan amalan baru yang tiada di zaman Rasulullah tetapi ada di zaman sahabat, tabi’ien dan tabi’ut tabi’en. Sedangkan mereka semua mengikut al Quran dan Sunnah jua!! Ada sesiapa nak pertikaikan?

Allahu Allah.

Bila mereka yang hebat-hebat ini mengatakan ulamak itu tersalah, tak betul, kemudian pada masa yang lain pula telah menggunakan kalam mereka kerana ada pendapatnya yang sama dengan pendapat sendiri. Maka adakah ini bermakna kita sedang MENGGUNAKAN HAWA NAFSU UNTUK MENANG?

Maka pendapat saya – dari belajar feqah dan hadith yang tinggi dan mendalam tetapi akhlaq tiada. Baiklah belajar akhlaq dahulu.

Syaitan sudah ketawa lagi. Orang yang memusuhi Islam bergelak ketawa lagi. Sila rujuk link ini agar sama-sama kita dapat belajar akhlaq – bagaimana beradab dengan khilaf ulamak.

Ditulis oleh Ibnu Nafis

28/08/2011 Posted by | Renungan & Teladan | | Leave a comment

Peringatan Ulama Islam Tentang Golongan Pemecah-Belah


I

Kitab ini merupakan risalah kecil yang ditulis dengan tujuan untuk menjelaskan pelbagai pemahaman. Ia terdiri dari kumpulan 100 pertanyaan yang telah meresahkan pemikiran khalayak ramai pada abad ke-14 Hijrah. Baik sengaja mahu pun secara tidak sengaja. Kes-kes tersebut terus muncul sehingga menjadi kayu ukur untuk mengelompokkan kaum muslimin dan memecah-belahkan mereka ke dalam pelbagai golongan.

Pada sebahagian golongan, persoalan-persoalan tersebut digembar-gemburkan sebagai perkara qot’ie yang tidak boleh ada perbezaan pendapat di dalamnya. Mereka ini berkeyakinan pendapat yang benar hanyalah pendapat mereka.

Sementara orang yang berpendapat di luar apa yang mereka katakan adalah orang yang keluar dari agama, fasiq, menyimpang atau sekurang-kurangnya tidak komitmen (taat) serta cenderung kepada memudahkan masalah. Ramai yang dituduh tidak mencintai Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam, berhati keras dan kepala batu seperti orang-orang Arab Badwi di masa lalu yang keras dan kasar. Malahan lebih daripada itu banyak yang dituduh munafiq, zindiq, dan musyrik.

Akhirnya kaum Muslimin pun memeraskan seluruh tenaga dan pemikirannya dengan persoalan-persoalan ini; walaupun pada hakikatnya ia termasuk dalam lingkungan perbezaan pendapat serta setiap mazhab dan aliran mempunyai dalilnya masing-masing. Walau bagaimana pun jumlah masalah-masalah yang disepakati jauh lebih banyak daripada yang diperselisihkan.

Jika dihitung masalah-masalah fiqh yang berasal dari ulama terdahulu dengan segala bentuknya, terdapat lebih daripada sejuta masalah. Apabila dihitung peratusan perbezaan pendapat maka rasionalnya tidak lebih daripada satu masalah pada setiap 10,000 masalah. Jadi apakah logik (masuk akal) dan dapat diterima bahawa kita sepakat di dalam 10,000 masalah, lalu apabila kita berbeza pendapat, setiap daripada kalangan kita menyerang dengan ungkapan yang tajam terhadap temannya? Sehingga hal itu menjadi suatu jihad tanpa peperangan. Hal seperti ini jelas hanya menggambarkan kekosongan fikiran, malahan rendahnya penguasaan ilmu fiqh dan pemahaman terhadap agama secara keseluruhan.

(Sumber: Al Bayan – Al Qawin li Tashbih Ba’dhi al Mafahim, “Penjelasan Terhadap Masalah-masalah Khilafiah”. Prof Dr Ali Jum’ah, 2008, Penerbitan Dar Hakamah, Selangor)

II

Sesungguhnya benarlah apa yang pernah diungkapkan oleh ahli hikmah bahawa penawar boleh menjadi racun jika disalahgunakan atau jatuh ke tangan orang yang tidak ahli dalam menggunakannya. Demikianlah halnya apa yang berlaku ada hadith yang menyeru berpegang dengan Sunnah dan menjauhkan Bidaah.

Pada hakikatnya bertujuan memelihara kemurnian ajaran Islam dan mengukuhkan persaudaraan dan perpaduan umat Islam. Namun terdapat pihak yang mengunakannya untuk membidaahkan amalan sebahagian besar umat Islam yang sebahagiannya merupakan pendapat Jumhur Ulama dan yang lainnya adalah masalah khilafiyyah di kalangan para fuqaha’. Keadaan ini telah menimbulkan ketegangan dan fitnah di kalangan masyarakat Islam di mana sahaja penyakit ini merebak.

Al Sheikh Muhammad Zaki Ibrahim ketika menggambarkan kesan yang ditinggalkan oleh kegiatan golongan ini terhadap keharmonian masyarakat Islam di Mesir dalam bukunya al-Salafiyyah al-Mu’assarah, menulis :

“Kita sekarang berhadapan dengan satu gelombang taufan melanda secara membuta tuli, dengan pelbagai dakwaan dan dakyah yang memaklumkan sebahagian besar umat Islam terkeluar daripada agama Allah.. kerana mereka tidak mengikut dan berpegang dengan pendapat yang dipegang oleh golongan berkenaan.. hingga memporak-perandakan keluarga.. anak menuduh bapanya kufur dan syirik, anak perempuan menderhaka kepada bapa dan menganggapnya ahli bidaah dan fasik. Ada juga berlaku wanita kahwin dengan lelaki lain tanpa penceraian yang sah dengan suaminya berasaskan anggapan bahawa perkahwinan dengan suami pertamanya tidak sah kerana dia seorang yang kafir..”

Demikian besarnya fitnah yang ditimbulkan oleh penyalahgunaan tafsir nas-nas syarak tanpa berpandukan huraian oleh ulama muktabar. Hal ini memang telah diberikan peringatan oleh Rasulullah sallahu alayhi wassalam di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmidhi maksudnya:

“Sesiapa yang mentafsir al Quran tanpa ilmu maka bersedialah menduduki tempatnya di dalam neraka”.

(Sumber: Kata Pengantar Mufti Wilayah Persekutuan Dato’ Wan Zahidi Bin Wan Teh, Makna Sebenar Bid’ah Satu Penjelasan Rapi, al-Sheikh al-Hafiz al-Fadl Abu al-Fadl Abdullah al-Siddiq al-Ghumari, Middle East Global ,2003, Selangor)

 

(Dikumpulkan oleh Ibnu Nafis)

28/08/2011 Posted by | Tazkirah | | 1 Comment

Berilmu tetapi tak berakhlak

Ada seorang pelajar baru memasuki kuliah ilmu, lalu belajarlah ia dua, tiga hadith dari gurunya. Kemudian dia sudah menghafaz sedikit sebanyak ayat al Quran. Gurunya itulah satu-satunya yang dijadikan sumber rujukan. Segala-galanya yang betul datangnya dari gurunya. Pasti tiada salah. Lalu ia mula bermain dengan persoalan hukum. Sebab dirasanya diri sudah cukup ilmu untuk berfatwa. Mana-mana yang tidak berkenan atau bercanggah dengan pendapatnya dia mengatakan itu adalah sesat barat.

Sehinggakan habis dihukum ulamak yang muktabar, mujtahid adalah tersilap pandangan mereka. Dengan memberi alasan yang dirasanya paling kukuh – ulamak tidak maksum, berhujjah mestilah mengikut dalil yang paling sahih dan terkuat.

Malangnya – yang betul baginya adalah ulamak yang ia ikut, tetapi ulamak yang lain pasti salah. Pasti salah hadithnya, dan berkemungkinan aqidah ulamak itu terkeluar dari ahlu sunnah wal jama’ah. Manakala dalil yang terkuat baginya – juga sebenarnya adalah dari apa yang ia dapat sendiri dari kitab yang ia baca. Tentunya dalil itu juga dari ulamak yang ia taksubkan.

Bermulalah era baru yang dizikirkan di bibirnya adalah – itu haram, ini bid’ah, engkau munafiq!, engkau sesat!

Hakikat Ilmu Yang Kita Ada

ALLahu..ALlah..

Adab sebagai pelajar, jika ilmu masih sedikit (hakikatnya ilmu manusia tiada yang banyak melainkan ALLah yang Empunya Ilmu), masih bertatih tahulah berakhlaq. Sedangkan para ulamak yang faqih, berkelana di bumi ALLah untuk mencari ribuan guru, bahkan menulis kitab-kitab yang menjadi rujukan hingga kini amat menjaga akhlaq sesama guru dan ulama yang lain. Sehinggakan sifat yang tercerna dari diri mereka menjadi ikutan bagi ulama yang takutkan ALLah.

“Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun”. (Surah al Fatir : 28)

Oleh itu wahai pelajar, jika para ulama yang hebat ilmunya itu sendiri amat menjaga tutur katanya, tidak bermudah-mudah berhukum dengan apa yang tidak mereka ketahui. Mengapa kita sendiri yang amat sedikit ilmu tidak belajar untuk merendahkan diri? Adakah akhlaq itu tidak termasuk di dalam halal dan haram di dalam perhubungan sesama manusia? Sudah bolehkah kita berlaku sombong dengan ilmu yang sedikit sedangkan kita lupa ilmu yang kita ada juga boleh ditarik pada bila-bila masa?

Ilmu tanpa akhlaq menunjukkan kita sendiri menghina ilmu yang diberi oleh ALlah.

(tulisan oleh Ibnu Nafis)

28/08/2011 Posted by | Renungan & Teladan | , | Leave a comment