Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Akhlak Islam

Setiap orang perlu memiliki akhlak yang baik sebagaimana yang diajarkan oleh Islam iaitu akhlak untuk dirinya sendiri, kepada Tuhan, manusia (masyarakat) dan bintang. Dan akhlak kepada diri sendiri di antaranya iaitu larangan bunuh diri, menjaga kesihatan dengan makan minum yang halal dan menyihatkan, mencari ilmu, sabar, dilarang membohong, sederhana, berani, dilarang menyiakan-nyiakan waktu, giat bekerja, tenang, teratur, rapi, indah, bersih, hikmat, dan boleh mencari kesenangan dengan syarat tidak bertentangan dengan Al-Quran dan Hadith.

Adapun akhlak kepada Tuhan iaitu mempercayai segala apa yang tercantum dlam rukun iman, berzikir, membaca dan memahami isi Al-Quran bersyukur atas nikmat yang diberikan oleh Tuhan, menjauhi segala apa yang dilarang Tuhan, mendakwahkan segala ajaran-ajaran ISLAM, dilarang menyekutukan Tuhan dan lain-lain. Sedangkan akhlak kepada umum iaitu diantaranya adalah menghormati orang tua, tetamu, bersilaturrahim, dilarang bersifat munafik, dilarang bercakap-cakap kosong, memfitnah atau menghina orang, bahkan bercakap tentang keburukkan orang lain (ghibah).

Akhlak Islam menetapkan perlunya memerintahkan pada anak-anak untuk mengerjakan solat, dilarang mencelakan orang lain, perlunya bermusyawarah dalam 1 perkara, memelihara anak-anak yatim dan membantu orang-orang fakir miskin, menjenguk orang sakit, tolong menolong, memperlakukan dengan baik kepada binatang terutamanya ketika menyembelihnya, dan dilarang merosak tanam-tanaman atau benda-benda jika tidak ada kepentingannya.

Kemudian Al-Quran dan Hadith telah menerangkan akhlak-akhlak yang baik seperti berikut:

1) Harus berakhlak yang baik

2) Mencontohi akhlak rasulullah

3) Harus bekerja

4) Beribadat kepada Allah

5) Memuliakan tetangga

6) Hidup bersih, mulia dan dermawan

7) Larangan banyak bercakap, banyak meminta dan banyak mensia-siakan harta

8) Memberi petunjuk yang baik

9) Larangan dengki

10) Larangan marah kecuali jika terjadi perbuatan maksiat

11) Larangan bertindak kejam

12) Menuduh yang tidak baik atau buruk sangka

13) Larangan mencaci mereka yang telah mati

14) Larangan bercakap bohong dengan tujuan agar semua orang tertawa

15) Larangan bersikap bermusuhan

16) Mengucapkan salam

17) Bermanis muka disertai akhlak yang baik

18) Bersikap adil

19) Larangan boros

20) Larangan bersikap kikir

21) Larangan dendam

22) Larangan memutuskan hubungan persaudaraan

23) Larangan menipu misalnya menyembunyikan cacat perdangan

24) Menjunguk orang sakit

25) Menghantar jenazah

26)Tutup keaiban orang lain

Dalam Al-Quran dan Hadith tercantum segala macam persoalan yang baik yang perlu dikerjakan oleh setiap orang Islam dan segala macam keburukkan yang harus ditinggalkan.

Wallahu a’lam

Sumber: PONDOK HABIB

24 March 2014 Posted by | Ibadah, Renungan & Teladan, Tasauf | | Leave a comment

Bercakap biar berakhlak sekali pun dengan musuh

pp0653

FIRMAN ALLAH SWT SURAH AL-ISRAK AYAT 53 YANG BERMAKSUD ,” dan Katakanlah (Wahai Muhammad) kepada hamba-hambaKu (yang beriman), supaya mereka berkata Dengan kata-kata Yang amat baik (kepada orang-orang Yang menentang kebenaran); Sesungguhnya Syaitan itu sentiasa menghasut di antara mereka (yang mukmin dan Yang menentang); Sesungguhnya Syaitan itu adalah musuh Yang amat nyata bagi manusia.

Penjelasan :

Berdasarkan ayat 53 surah israk tadi,Allah menghendaki supaya kita orang beriman supaya menggunakan perkataan yang baik dan lemah lembut ketika berhubung dengan orang lain.Dalam hal ini maka peraturan berhubung dengan orang lain perlulah diamalkan setiap muslim , samada ia berhubung dengan sesama muslim ataupun orang yang bukan muslim .termasuk musuh sekalipun.

Umumnya telah mengetahui bahawa bercakap kasar dan menyinggung perasaan orang lain boleh menimbulkan permusuhan dan perseteruan dengan sesama manusia .Oleh itu kita dapati banyak pemusuhan dan perseteruan itu berpunca dari kata –kata kasar yang kurang enak didengar yang didengar oleh seseorang .Bukan setakat permusuhan malahan kadang –kadang membawa kepada dendam .

Seringkali terjadinya pertumpahan darah berpunca dari dendam menuntut pembalasan . Bertambah buruk apabila api permusuhan itu ditiup syaitan .

Oleh hal yang demikian maka hendaklah berwaspada dan menjaga diri masing dari bersikap demikian.

Jika kita teliti dengan masalah yang sering berlaku dalam keluarga dan masyarakat , kita dapati dalam banyak keadaan ianya berpunca dari percakapan buruk dan kesat yang dilafazkan oleh seseorang tanpa berfikir secara rasional bahawa perkataan yang keluarkan itu membuatkan orang lain marah kerpadanya .

Malangnya sedikit benar orang memikirkan bahawa dengan menggunakan perkataan yang baik akan membuahkan persaudaraan yang rapat dan orang kasih kepada kita.Dngan mulut yang manis ia dapat menawan dan menarik orang lain , dengan yang demikian natijahnya akan mendapat ramai kawan .

Sebenarnya kawan yang ramai boleh mendatangkan kebaikan kepada seseorang , kerana dengan rakan yang ramai maka mudahlah ia mendapat pertolongan jika ia berhajat kepada pertolongan .

Kita hendak berkata – kata dengan baik , jangan menengking dan memaki hamun, perbuatan itu adalah sifat mazmumah yang dilarang dalam islam,sebalik kita diperintahkan supaya mengelurkan kata –kata yang lemah lembut dan sedap orang mendengarnya sebagai menghormati orang lain .

Firman Allah dalam surahLoqman ayat 19 yang bermaksud :

"Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai".

Allah juga memerintah kepada Rasulullah SAW apabila berhubung dengan orang lain hendaklah dengan lemah lembut sebagaimana Nabi Musa dan Harun diperintahkan berdakwah kepada Firaun denga kata – kata lemah lembut , firman Allah SWT dalam surah Taha ayat 43-44 yang bermaksud :

“43. "Pergilah kamu berdua kepada Firaun, Sesungguhnya ia telah melampaui batas Dalam kekufurannya.

44. "Kemudian hendaklah kamu berkata kepadaNya, Dengan kata-kata Yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut".

Berktalah dengan baik dan lemah lembut ia boleh menarik orang lain kepada apa yang kita ucapkan , andainya kita bercakap kasar membuatkan orang akan menjauhkan diri dari kta kerana mereka benci dengan sikap yang demikian , firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 159 yang bermaksud :

maka Dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu Wahai Muhammad), Engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah Engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan Yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah Dengan mereka Dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila Engkau telah berazam (Sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang bertawakal kepadaNya.

Kesimpulan .

Islam menunjukkan akhlak –akhlak yang baik kita bersemuka dengan orang lain,dengan cara kita bercakap dengan lemah lembut dan sopan .Dan melarang dari bercakap kasar dan kesat yang boleh menyinggung perasaan orang yang mendengarnya ,lakukan ia kepada sesiap sahaja hatta kepada musuh sekalipun.

Adab yang yang disarankan ini adalah sangat baik demi menjaga nama baik kita dan menjaga hati kawan kita supaya tidak sakit hati dengan hal demikian menambahkan lagi ukhwah kita sesama muslim dan muhibbah dengan bukan Islam .

[Sumber: Sautulhaq.blogspot.com]

8 April 2013 Posted by | Politik dan Dakwah, Tasauf, Tazkirah | | Leave a comment

BERADAB apabila berhadapan dengan kesilapan ULAMA

Di dalam menghadapi persoalan semasa, keadaan menunjukkan telah wujud sebilangan golongan yang terlalu bersikap kurang ajar dengan para ulama. Mereka sanggup menghina ulama dengan pelbagai tohmahan disebabkan pandangan ulama itu tidak sependapat dengan mereka.

Berkata al-Imam al-Hafiz Abu al-Qasim Ibn Syakir:
Ketahuilah saudaraku! Mudah-mudahan Allah memberikan taufik kepada aku dan kamu untuk mendapat redhaNya serta menjadikan kita orang yang sentiasa takut dan takwa kepadaNya dengan sebenar-benar ketakwaan. Sesungguhnya daging para ulama adalah beracun dan kebiasaannya telah dimaklumi bahawa Allah akan membinasakan orang yang menghina ulama. Sesungguhnya sesiapa yang menggunakan lidahnya dengan mencela / menfitnah para ulama maka Allah akan menurunkan bala kepadanya, iaitu sebelum matinya maka hatinya telah mati terlebih dahulu.

Oleh itu, saya ingin menyeru umat Islam agar memahami penjelasan ringkas yang cuba saya terangkan ini agar kita tidak terjebak di dalam lembah kerosakan. InsyaAllah.

Dr. Talaat Afifi di dalam karyanya al-Ulama baina al-Tauqir wa al-Tatawul telah mengariskan beberapa adab ketika berhadapan dengan kesilapan para ulama. Kesimpulannya saya ingin nyatakan seperti mana berikut:

1. Tidak gopoh menyalahkan ulama.

Kita perlulah menyelidik terlebih dahulu kenapakah seseorang ulama itu mengeluarkan pendapatnya sedemikian rupa. Selepas diteliti, mungkin terdapat alasan-alasan tertentu yang menyebabkan ulama itu mengatakan sebegitu. Keadaan ini bagi memelihara sikap buruk sangka terhadap ulama sehingga boleh menimbulkan fitnah. Kadang-kala wujud segelintir golongan yang tidak memahami dengan jelas pendapat serta hujah ulama itu, maka mereka terus menyalahkan ulama tersebut, walaupun hakikatnya mereka yang melakukan kesalahan dalam memahami sesuatu perkara itu.

2. Membataskan kesilapan ulama.

Jika benar ulama telah melakukan kesilapan, maka kita perlulah membataskan kesilapan ulama itu setakat apa yang menjadi kesilapan itu sahaja dan bukan berlebih-lebihan dalam mengkritiknya. Nukilkan dengan ikhlas kesilapan itu dan menjelaskannya dengan dalil-dalil serta pandangan ulama lain. Pandangan ulama lain perlu diketengahkan memandangkan mereka yang lebih memahami tentang kesilapan seseorang ulama itu.

Kita perlu sedar bahawa kesilapan ijtihad ulama beroleh satu pahala dan jika berbetulan pula memperolehi dua pahala. Oleh itu, elakkan sikap yang melampau ketika berhadapan dengan kesilapan itu. Kadang-kala jika seseorang terlalu membenci seseorang ulama itu, maka dia menganggap tiada langsung kebenaran yang boleh diambil oleh ulama tersebut. Kesilapan ulama dalam ijtihadnya tidak sedikit pun mengurangkan penghormatan terhadapnya.

3. Memberi pertimbangan antara positif dan negatif.

Jika berhadapan dengan kesilapan ulama, kita perlu bertanya diri sendiri, manakah yang lebih baik antara menyebarkan kebaikkan positif atau keburukan negatif? Sesungguhnya terlalu banyak kebenaran dan jasa para ulama jika dibandingkan dengan kesilapan yang mereka tidak sengaja lakukan. Bagaimana pula dengan diri kita yang tidak memberi apa-apa sumbangan terhadap Islam? Bagi mereka yang beriman sudah tentu akan mengambil jalan untuk menyebarkan kebaikkan para ulama dari melaga-lagakan khilaf antara ulama sehingga timbul perpecahan di kalangan umat Islam.

4. Bukan untuk menandingi ulama.

Sebilangan golongan mungkin sengaja mencari-cari kesilapan ulama semata-mata untuk menaikkan imej peribadinya di mata masyarakat. Mungkin anggapannya para ulama sebenarnya tidaklah sehebat mana jika dibandingkan dengan dirinya yang boleh menyanggah pendapat para ulama itu.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: Barangsiapa mencari ilmu untuk menandingi para ulama atau mengalahkan orang-orang jahil atau untuk memusatkan perhatian manusia kepadanya maka orang itu akan dimasukkan Allah ke dalam api neraka.(Riwayat al-Tirmizi). Sabda Rasulullah SAW bermaksud: Barangsiapa mencari ilmu untuk berbangga dengannya akan para ulama atau untuk berdebat dengannya akan orang-orang jahil atau untuk memusatkan perhatian manusia kepadanya maka orang itu di dalam api neraka.(Riwayat Ibn Majah).

 

KESIMPULAN

Sebagai umat Islam yang beriman, kita disarankan untuk menghormati para ulama sebagai pewaris para nabi. Penghormatan ini diberikan berdasarkan sabda Rasulullah SAW bermaksud:

Sesungguhnya ulama itu adalah pewaris para nabi. Para nabi tidak mewariskan dinar dan dirham. Mereka hanya mewariskan ilmu. Maka barangsiapa yang mengambil (warisan ilmu) tersebut ia telah mengambil habuan yang paling sempurna.(Riwayat Ahmad, al-Tirmizi, Abu Daud dan Ibn Majah).

(Sumber: buluh.iluvislam.com).

2 March 2012 Posted by | Informasi, Renungan & Teladan, Tazkirah | , , | Leave a comment

Berilmu tetapi tak berakhlak

Ada seorang pelajar baru memasuki kuliah ilmu, lalu belajarlah ia dua, tiga hadith dari gurunya. Kemudian dia sudah menghafaz sedikit sebanyak ayat al Quran. Gurunya itulah satu-satunya yang dijadikan sumber rujukan. Segala-galanya yang betul datangnya dari gurunya. Pasti tiada salah. Lalu ia mula bermain dengan persoalan hukum. Sebab dirasanya diri sudah cukup ilmu untuk berfatwa. Mana-mana yang tidak berkenan atau bercanggah dengan pendapatnya dia mengatakan itu adalah sesat barat.

Sehinggakan habis dihukum ulamak yang muktabar, mujtahid adalah tersilap pandangan mereka. Dengan memberi alasan yang dirasanya paling kukuh – ulamak tidak maksum, berhujjah mestilah mengikut dalil yang paling sahih dan terkuat.

Malangnya – yang betul baginya adalah ulamak yang ia ikut, tetapi ulamak yang lain pasti salah. Pasti salah hadithnya, dan berkemungkinan aqidah ulamak itu terkeluar dari ahlu sunnah wal jama’ah. Manakala dalil yang terkuat baginya – juga sebenarnya adalah dari apa yang ia dapat sendiri dari kitab yang ia baca. Tentunya dalil itu juga dari ulamak yang ia taksubkan.

Bermulalah era baru yang dizikirkan di bibirnya adalah – itu haram, ini bid’ah, engkau munafiq!, engkau sesat!

Hakikat Ilmu Yang Kita Ada

ALLahu..ALlah..

Adab sebagai pelajar, jika ilmu masih sedikit (hakikatnya ilmu manusia tiada yang banyak melainkan ALLah yang Empunya Ilmu), masih bertatih tahulah berakhlaq. Sedangkan para ulamak yang faqih, berkelana di bumi ALLah untuk mencari ribuan guru, bahkan menulis kitab-kitab yang menjadi rujukan hingga kini amat menjaga akhlaq sesama guru dan ulama yang lain. Sehinggakan sifat yang tercerna dari diri mereka menjadi ikutan bagi ulama yang takutkan ALLah.

“Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun”. (Surah al Fatir : 28)

Oleh itu wahai pelajar, jika para ulama yang hebat ilmunya itu sendiri amat menjaga tutur katanya, tidak bermudah-mudah berhukum dengan apa yang tidak mereka ketahui. Mengapa kita sendiri yang amat sedikit ilmu tidak belajar untuk merendahkan diri? Adakah akhlaq itu tidak termasuk di dalam halal dan haram di dalam perhubungan sesama manusia? Sudah bolehkah kita berlaku sombong dengan ilmu yang sedikit sedangkan kita lupa ilmu yang kita ada juga boleh ditarik pada bila-bila masa?

Ilmu tanpa akhlaq menunjukkan kita sendiri menghina ilmu yang diberi oleh ALlah.

(tulisan oleh Ibnu Nafis)

28 August 2011 Posted by | Renungan & Teladan | , | Leave a comment

   

%d bloggers like this: