Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Hukum Ulama Membisu Dari Kemungkaran

Hakikatnya, bukan sahaja golongan ulama, tetapi setiap individu muslim wajib menegakkan kebenaran dan mencegah kemungkaran. Namun, bagi golongan ulama mereka mempunyai amanah yang lebih berat. Ini kerana ilmu yang ada pada mereka sepatutnya menjadikan mereka lebih ke hadapan dalam membela agama Allah.

1. Ungkapan “Orang yang diam dari bercakap benar adalah syaitan bisu” yang saudara sebut, bukanlah hadis yang sah. Walaupun ia terkenal, namun tiada riwayat yang sahih, ataupun daif dalam mana-mana kitab hadis yang meriwayatkannya. Maka, berhati-hati dalam menyandarkan sesuatu kepada Rasulullah S.A.W.

2. Allah Maha Adil. Islam tidak pernah menyatakan manusia dinilai berdasarkan gelaran mereka. Sebaliknya, berdasarkan tanggungjawab yang ditunaikan. Demikianlah juga para ulama. Bahkan Al-Quran tidak pernah menyamakan sesiapa pun dengan anjing melainkan ulama yang gilakan dunia sehingga membelakangkan ilmu agamanya. Firman Allah: (maksudnya)

“Dan bacakanlah kepada mereka (Wahai Muhammad), khabar berita seorang yang Kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat Kami. Kemudian dia menjadikan dirinya terkeluar dari mematuhinya, lalu dia diikuti oleh syaitan, maka dia dari kalangan yang sesat. Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami angkat kedudukannya dengan (berpegang) ayat-ayat itu, tetapi dia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya, ia menghulurkan lidahnya, dan jika Engkau membiarkannya, ia juga menghulurkan lidahnya. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir (Surah al-’Araf: 175-176).

Maka ulama tiada nilainya jika menyembunyikan kebenaran. Bahkan Allah samakan mereka dengan anjing!

3. Seseorang yang memenuhi poket dengan gaji yang besar tetapi menyembunyikan atau mendiamkan diri dari menegakkan kebenaran sedangkan dia mampu, itu adalah dosa yang amat besar. Allah menyifatkan habuan dunia yang diperolehi itu sekadar memenuhi perut dengan neraka. Firman Allah: (maksudnya)

“Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa-apa keterangan Kitab yang telah diturunkan oleh Allah, dan membeli dengannya harga yang sedikit, mereka itu tidak mengisi dalam perut mereka selain daripada api neraka, dan Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka pada hari kiamat, dan ia tidak membersihkan mereka (dari dosa), dan mereka pula akan beroleh azab yang perit”. (Surah al-Baqarah: ayat 174).

4. Beberapa buku sejarah menyebut satu kisah yang menarik untuk direnungi. Pada zaman pemerintahan Khalifah Yazid bin ‘Abd al-Malik (meninggal 105H), gabenor Iraq ketika itu ialah ‘Umar bin Hubairah. Gabenor tersebut telah memanggil dua orang tokoh ilmuwan besar umat ketika itu; ‘Amir al-Sya’bi dan al-Hasan al-Basri. Beliau bertanya mereka berdua mengenali arahan-arahan Khalifah Yazid bin ‘Abdul Malik yang datang kepadanya. Ada antaranya ada yang menyanggahi kebenaran.

Kata ‘Umar bin Hubairah: “Jika aku taatkan Khalifah, aku menderhakai Allah, jika aku mentaati Allah aku akan menderhakai Khalifah”. Apa pendapat kamu?”.

Jawab al-Sya’bi: “Engkau hanya menjalankan tugas, dosa ditanggung oleh Khalifah”.

Tanya ‘Umar bin Hubairah kepada al-Hasan al-Basri: “Apa pendapatmu pula?”.

Jawab al-Hasan: “Wahai Gabenor! Engkau telah pun mendengar pendapat al-Sya’bi tadi”.

Kata gabenor: “Aku mahu pendapatmu”.

Kata al-Hasan al-Basri:

“Wahai ‘Umar bin Hubairah, akan datang kepadamu malaikat Allah yang bengis lagi tidak menderhakai perintah Allah, dia akan mengeluarkan engkau dari istanamu yang luas ke kuburmu yang sempit. Jika engkau bertakwa kepada Allah, Dia boleh melindungimu daripada tindakan (Khalifah) Yazid bin ‘Abdul Malik, adapun Yazid bin ‘Abdul Malik tidak dapat melindungimu dari pada tindakan Allah. Tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam menderhakai Pencipta (Allah). Wahai ‘Umar bin Hubairah! Engkau jika bersama Allah dalam ketaatan kepadaNya, Dia memeliharamu daripada bahaya Yazid bin ‘Abdul Malik. Namun jika engkau bersama Yazid dalam menderhakai Allah maka Dia serahkan engkau kepada Yazid “. Lalu menangislah ‘Umar bin Hubairah. Ditanya al-Hasan mengapakah beliau melakukan demikian? Jawabnya: “Kerana perjanjian yang Allah meterai untuk para ulama berkaitan ilmu mereka –seperti firman Allah dalam Surah Ali ‘Imran 187-: (maksudnya): Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil perjanjian dari mereka yang telah diberikan Kitab (iaitu): “Demi sesungguhnya! hendaklah kamu menerangkan isi Kitab itu kepada umat manusia, dan jangan sekali-kali kamu menyembunyikannya”. (lihat: al-Mizzi, Tahzib al-Kamal, 6/113, Al-Zahabi, Tarikh al-Islam, 2/333, Ibn Manzur, Mukhtasar Tarikh Dimasyq, 6/97).

5. Masyarakat Islam hendaklah diberikan kesedaran bahawa tujuan pengajian agama bukan untuk mendapat habuan dunia tetapi untuk menegakkan ajaran Allah dan rasulNya. Jika pelajar agama atau ibubapa yang menghantar anak mempelajari agama meletakkan dunia sebagai matlamat, maka ramailah ulama berkepentingan akan terus muncul dan rosaklah masyarakat. Justeru, Nabi s.a.w bersabda:

“Sesiapa yang mempelajari sesuatu ilmu yang sepatutnya dicari keredhaan Allah Azza wa Jalla dengannya, tetapi dia tidak mempelarinya kecuali untuk mendapatkan habuan dunia, maka dia tidak akan mendapat bau syurga pada hari kiamat. (Riwayat Abu Daud dan Ibn Majah. Al-Nawawi mensahihkannya dalam Riyadh al-Salihin).

6. Seorang tabi’in yang terkenal dengan soleh dan warak Salamah bin Dinar pernah berkata di hadapan Khalifah Sulaiman bin ‘Abdul Malik:

“Telah berlaku di mana para umarak (pemerintah) mencari ulama, lalu mengambil manfaat daripada mereka. Maka yang sedemikian kebaikan untuk kedua-dua pihak. Namun hari ini, ulama pula yang mencari umarak, lalu cenderung dan inginkan apa yang dimiliki oleh mereka. Lalu umarak menganggap: tentu apa yang ulama cari yang ada di tangan kita ini lebih baik daripada apa yang ada di tangan mereka”. (Ibn, ‘Asakir, Tarikh Dimasyq, 22/29).

Demikianlah, kita dapati sesetengah golongan agama boleh dijadikan dagangan politik. Puncanya, kerana menghina diri di hadapan orang berkuasa.

7. Dosa ulama yang menyembunyikan kebenaran, atau menyelewengkannya tidak dapat ditebus melainkan dengan menerangkan semula hakikat yang sebenar. Firman Allah: (maksudnya):

“Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan petunjuk hidayah, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia dalam Kitab (yang diturunkan), mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk. Kecuali orang-orang yang bertaubat, dan memperbaiki (penyelewengan mereka) serta menerangkan (apa yang mereka sembunyikan); maka orang-orang itu, Aku terima taubat mereka, dan Akulah Yang Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani. (Surah al-Baqarah: ayat 159-160).

Marilah kita pohon perlindungan dengan Allah dari membelakangi agamaNya.

** Oleh Dr Maza – Disiarkan dalam Sinar Harian pada 28 Mei 2010

16/06/2011 Posted by | Bicara Ulama, Tazkirah | Leave a comment

Elakkan Kafir-Mengkafir Sesama Muslim

Engkau Kafir.......!!!!

Persoalan kafir dan sesat bukanlah persoalan kecil, ia membabitkan hukuman terhadap akidah seseorang. Walaupun sesat, bukan semestinya menjadi kafir, tetapi itu pun tetap berat di sisi Allah.  Kita hendaklah warak dalam masalah ini. Jangan terpengaruh dengan golongan yang fanatik yang suka menghukum orang lain dengan hukuman kafir dan sesat atas kepentingan tertentu.

Berikut beberapa ulasan saya dalam hal ini;

1. Seseorang yang zahirnya muslim hendaklah dianggap kekal atas keislamannya sehingga terbukti secara yakin bahawa telah terbatal akidahnya. Ini atas kaedah syarak ‘Perkara yang yakin tidak boleh dihilangkan oleh syak’. Dalam ertikata lain, syak tidak boleh menghapuskan yakin. Oleh kerana pada keyakinan asal kita seseorang itu muslim, maka dia dianggap muslim dan tidak boleh keislamannya dibatalkan disebabkan hanya sesuatu perkara yang tidak pasti atau syak.

2. Menuduh orang lain dengan tuduhan kafir atau sesat adalah dosa yang besar. Jika kita tahu bahawa seseorang tidak kafir atau sesat atau fasik, tetapi kita sengaja menuduh imannya yang sah itu sebagai kafir atau sesat, atau menuduh dirinya yang tidak fasik itu sebagai fasik, maka tuduhan itu kembali kepada yang menuduh. Sabda Nabi s.a.w:

“Sesiapa yang memanggil orang lain dengan ‘kafir’ atau ‘musuh Allah’ sedang dia tidak begitu, maka tuduhan itu kembali kepadanya (penuduh)”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

3. Namun begitu, kita juga hendaklah sedar, di sana ada batas-batas iman dan kufur. Ini seperti sesiapa yang dengan jelas tanpa sebarang andaian lagi menghina Allah dan RasulNya, maka dia terkeluar dari Islam. Demikian juga jika dia menentang secara jelas tanpa sebarang andaian lagi apa yang ditetapkan oleh Allah dengan jelasnya seperti pegharaman arak, judi, zina dan seumpamanya. Sesiapa yang menghalalkan perkara-perkara tersebut atau menentang pengharaman perkara-perkara tersebut dari segi hukum agama, dalam keadaan sedar dan faham maka dia terkeluar dari Islam.

4. Namun, kita hendaklah berhati-hati apabila menghukum seseorang dengan hukuman murtad atau kufur atau sesat atau seumpamanya. Ini kerana, hukuman umum tidak sama dengan hukuman khusus. Hukum umum menghina hukum Islam yang jelas seperti azan membawa murtad, tetapi individu tertentu yang menghina tidak boleh terus dihukum murtad. Hendaklah dilihat keadaannya, maksud ucapannya, kefahamannya dan berbagai latar yang lain. Mungkin dia tidak bermaksud, mungkin dia tersasul, mungkin dia jahil dan seumpamanya. Kata Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah (meninggal 728H)

“Sesungguhnya ucapan yang menjadikan seseorang itu kufur ialah seperti mengingkari kewajipan solat, zakat, puasa dan haji. Namun, pengucapan itu mungkin kerana khitab (ajaran yang betul dalam perkara tersebut) tidak sampai kepadanya. Jika perkara itu berlaku, dia tidak dianggap kafir. Contohnya, golongan yang baru menganut Islam dan hidup di daerah pedalaman yang jauh sehinggakan syariat Islam tidak sampai kepadanya.” (Majmu’at al-Fatawa, jil: 2, ms: 220.)

5. Maka, tidak boleh dikafirkan seseorang melainkan setengah berlakunya iqamah al-Hujjah iaitu penegakan hujah atau dalil. Setelah didapati dia melanggar batasan Iman dan Islam, hendaklah dijelaskan hakikat ilmu yang sebenarnya dan ditegakkan dalil-dalil yang kukuh kepadanya sehingga dia jelas. Selepas itu, jika dia masih berdegil, dan perkataan atau perbuatan tidak boleh ditafsirkan lagi melainkan membawa kekufuran barulah hukum tersebut boleh dijatuhkan kepadanya. Kata Dr Yusuf al-Qaradawi:

“Hendaklah diberikan perhatian pada apa yang telah diputuskan oleh para ulama muhaqqiqun (penganalisa) mengenai kewajipan membezakan antara peribadi dan jenis dalam isu takfir (kafir mengkafir sesama muslim). Ini bermaksud, sebagai contoh, kita mengatakan golongan komunis kafir, para pemerintah sekular yang membantah hukum syarak atau sesiapa yang menyatakan begini atau menyeru kepada ini, maka dia kafir. Ini semua termasuk hukuman pada jenis.

Adapun berhubung dengan perkara yang berkaitan dengan peribadi seseorang yang dituduh dengan sesuatu, wajib mengambil masa untuk membuat kepastian dan kesabitan tentang hakikat sebenar pendiriannya. Hal ini dilakukan dengan cara menyoal atau berbincang dengannya sehingga ditegakkan hujah, tiada lagi unsur syubhat (keraguan) dan tiada lagi keuzuran untuknya. Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah pernah menyebut bahawa perkataan juga boleh menyebabkan kekufuran. Secara umum, orang yang mengucapkannya dihukum kafir. Dengan berkata, sesiapa yang mengucap sekian (sesuatu ucapan yang membawa kepada kufur), maka dia kafir. Tetapi, individu yang mengucapkannya tidak dikafirkan sehingga dibuktikan kekufurannya”. (Al-Qaradawi, Zahirah al-Ghulu fi al-Takfir, ms: 26-27).

6. Dalam hadis Saidina ‘Ali menceritakan :

“Rasulullah telah mengutuskan aku, Abu Martsad dan al-Zubair (kami semua adalah penunggang kuda). Baginda bersabda: Pergilah kamu semua sehingga sampai ke Raudah Khakh. Sesungguhnya di sana ada seorang wanita dari kalangan musyrikin. Dia membawa bersamanya surat daripada Hatib bin Abi Balta`ah kepada musyrikin.

Maka kami pun mengejarnya. Dia menaiki unta seperti yang dikatakan oleh Rasulullah s.a.w. Kami berkata kepadanya: Serahkan surat! Dia menjawab: Kami tidak membawa sebarang surat. Maka kami pun mendudukkan dan memeriksa wanita itu. Namun, kami tidak jumpa sebarang surat. Kami berkata: Rasulullah tidak pernah berdusta, sama ada engkau keluarkan surat tersebut atau kami akan telanjangkan engkau!

Apabila dia melihat kesungguhan kami maka dia pun terus mendapatkan simpulan kainnya. Dia pun mengeluarkan surat tersebut, lalu kami terus membawa surat itu kepada Rasulullah s.a.w. Kata Umar: Wahai Rasulullah, sesungguhnya dia (Hatib bin Abi Balta`ah) telah mengkhianati ALLAH, Rasul-NYA dan orang-orang mukmin. Biarkan aku pancung kepalanya!

Baginda bersabda (kepada Hatib): Apa yang mendorong tindakanmu? Kata Hatib: “Demi ALLAH, bukan aku tidak beriman kepada ALLAH dan Rasul-NYA s.a.w. Tetapi aku ingin mendapatkan bantuan daripada kaum (Quraisy). Dengannya ALLAH akan menyelamatkan keluarga dan hartaku. Tidak ada seorang pun di kalangan sahabatmu yang tidak mempunyai kaum kerabat di sana di mana dengannya ALLAH selamatkan keluarga dan hartanya.

Sabda baginda: Dia benar! Janganlah kamu berkata kepadanya melainkan yang baik. Umar berkata: Sesungguhnya dia telah mengkhianati ALLAH, Rasul-NYA dan orang-orang mukmin, biar aku pancung kepalanya. Baginda bersabda: Bukankah dia di kalangan anggota Perang Badar? Sabdanya lagi: Mudah-mudahan ALLAH melihat pada ahli Perang Badar dan berfirman buatlah apa yang kamu suka. Sesungguhnya telah dijamin untuk kamu syurga atau AKU telah ampuni kamu semua. Maka menangislah Umar seraya berkata: ALLAH dan Rasul-NYA lebih mengetahui”. (Riwayat al-Bukhari).

Lihatlah bagaimana baginda masih bertoleransi dengan keadaan terdesak yang dihadapi oleh Hatib. Baginda tidak terus menghukum sebelum mengetahui keadaannya. Sikap umpama itulah yang dilakukan oleh baginda dalam kes-kes lain.

7. Kita hendaklah warak dalam masalah ini. Jangan terpengaruh dengan golongan yang fanatik yang suka menghukum orang lain dengan hukuman kafir dan sesat atas kepentingan tertentu.

Sumber: Dr Maza

16/06/2011 Posted by | Aqidah, Bicara Ulama | Leave a comment

   

%d bloggers like this: