Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Kerjasama dengan Non Muslim dalam Pemerintahan

Soalan:

assalamualaikum ustaz…sy ingin bertanyer tentang hukum bekerjasama dgn orang kafir dlm pemerintahan dan pentadbiran negara…harap ustz dapat jelaskan serba sedikit…wslm

Jawapan:

1. Berkerjasama dengan orang bukan Islam untuk mencapai perkara yang menjadi maslahah bersama sesama manusia (kesejahteraan hidup duniawi, keadilan, membenteras kezaliman, penyelewengan, rasuah, menjamin kehidupan rakyat yang lebih baik dan sebagainya) tanpa melanggar mana-mana hukum-hakam Syariat, hukumnya adalah harus. Di dalam al-Quran, Allah menjelaskan bahawa Nabi Muhammad diutuskan sebagai rahmat untuk sekelian alam. “Dan tidak Kami utuskan engkau wahai Muhammad melainkan sebagai rahmat bagi seluruh alam” (al-Anbiyak, ayat 107). Terdapat juga di dalam al-Quran ayat yang menegaskan tidak dilarang orang Islam untuk berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang bukan Islam yang baik yang tidak memusuhi kaum muslimin sekalipun pada zahirnya sahaja. “Allah tidak menegah kamu dari berbuat baik dan berlaku adil (kepada orang-orang bukan Islam) yang tidak memerangi kamu kerana agama kamu dan tidak mengusir kamu dari tanah air kamu. Allah mengasihi orang-orang yang berlalu adil” (Surah al-Mumtahanah, ayat 8).

2. Dari segi praktik pula, Nabi Muhammad -sallalalhu ‘alaihi wasallam- telah mengadakan perjanjian Madinah (Sahifah Madinah/Piagam Madinah) yang membabitkan bukan sahaja golongan-golongan Islam tetapi juga kabilah-kabilah Yahudi di Madinah. Jika berpakat dengan orang bukan Islam haram secara mutlaknya, nescaya Nabi tidak akan mengadakan perjanjian dengan mereka. Adapun ada kabilah Yahudi yang diusir dari Madinah oleh Nabi, itu kerana mereka melanggar perjanjian dengan Nabi dan mengkhianati baginda. Jika mereka terus setia dengan Nabi, nescaya mereka akan terus hidup aman damai di Madinah sebagai Ahlul-Zimmah.

Rasulullah pernah memberitahu para sahabatnya bahawa beliau pernah menyaksikan persepakatan yang dibuat oleh beberapa pemimpin-pemimpin Quraish di Mekah sebelum baginda dilantik menjadi Rasul (iaitu persepakatan yang dipanggil Halful-Fudhul. Ketika itu usia Nabi 25 tahun). Persepakatan itu mereka meterai bersama untuk mempertahankan sesiapa yang dizalimi di Mekah atau dirampas haknya. Nabi berkata; “Jika aku diajak untuk turut sama menyertai persepakatan serupa, nescaya aku akan menyertainya. Ia lebih aku suka dari unta merah” (al-Ahkam al-Sultaniyah, Imam al-Mawardi). Perhatikan, bagaimana Rasulullah berhasrat menyertai persepakatan yang baginda sendiri tahu bahawa mereka yang terlibat semuanya bukan Islam. Namun oleh kerana isi persepakatan itu sama dengan apa yang dituntut oleh Islam iaitulah keadilan untuk manusia, maka baginda menyokongnya.

2. Kerjasama yang diharamkan ialah yang merugikan Islam dan kaum muslimin, antaranya untuk menegakkan mana-mana sistem pemerintahan yang bercanggah dengan Syariah Islam (sekular, sosialis, komunis dan sebagainya), membantu orang kafir untuk memerangi kaum muslimin (sebagaimana pemimpin-pemimpin Arab bersekongkol dengan Amerika untuk menyerang Iraq), menolak Syariat Allah atau mengambil pendekatan yang bercanggah dengan Syariat, menafikan hak kaum muslimin kerana lebih mengutamakan persepakatan dengan orang bukan Islam dan sebagainya lagi yang merugikan Islam dan umat Islam.  Dalam apa keadaan sekalipun, seorang muslim wajib mengutamakan Islam dan umat Islam. Jika suatu persepakatan boleh merugikan Islam dan umat Islam, haram orang Islam menyertai persepakatan sebegitu. Di dalam al-Quran Allah melarang orang beriman berteman rapat dengan orang-orang kafir dengan menyisihkan orang-orang beriman. Begitu juga, Allah melarang mengambil orang-orang yang memusuhi Islam dan umat Islam sebagai teman dan kawan.

“Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Dan sesiapa yang melakukan (larangan) yang demikian maka tiadalah ia (mendapat perlindungan) dari Allah dalam sesuatu apapun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir itu). Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diriNya (menyeksa kamu). Dan kepada Allah jualah tempat kembali” (Surah Ali Imran, ayat 28).

“Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim” (al-Mumtahanah, ayat 9).

3. Dari segi pemerintahan negara, Ketua Negara (Khalifah/Sultan/Presiden) wajib dari kalangan orang Islam kerana kewajipan Ketua Negara di dalam Islam bukan sahaja mentadbir negara, tetapi juga menegakkan agama. Imam al-Mawardi (salah seorang tokoh ulamak silam dalam bidang politik Islam) tatkala mendefinisikan Khilafah (iaitu jawatan tertinggi dalam pemerintahan Islam), beliau menjelaskan; “Khilafah ialah pengganti kepada Rasulullah untuk melaksanakan tugas menegakkan agama dan mentadbir negara” (al-Ahkam as-Sultaniyah). Seorang bukan Islam sudah tentu tidak akan melaksanakan tugas menegakkan agama sekalipun ia mungkin mampu mentadbir negara dengan baik.

Selain itu, Allah berfirman (bermaksud); “Milik Allah lah kemuliaan, juga milik RasulNya serta kaum muslimin”. Jika Ketua Negara bukan berada di tangan orang Islam, pasti kemuliaan yang disebut Allah dalam ayat ini tidak akan berlaku. Kerana itu wajib kaum muslimin memperjuangkan kepimpinan Islam atau mempertahankannya sebagaimana mereka wajib memperjuang dan mempertahan kedaulatan Syariah dalam perlembagaan dan undang-undang.

4. Adapun menteri (wazir), para ulamak membahagikannua kepada dua kategori;
A) Wazir at-Tafwidh; iaitu menteri yang diserah mandat oleh Ketua Negara untuk membentuk kerajaan (termasuk melantik menteri-menteri dan penjawat jawatan-jawatan penting negara/negeri seperti ketua Hakim, Ketua Tentera dan sebagainya) dan mentadbir urusan negara berdasarkan ijtihad dan pertimbangannya. Pada zaman hari ini, yang masuk dalam kategori ini ialah Perdana Menteri, Menteri Besar atau seumpama mereka. Menteri dalam kategori ini wajib dari orang Islam dengan sepakat para ulamak. Tidak harus dilantik dari kalangan orang bukan Islam.
B) Wazir at-Tanfidz; iaitu menteri-menteri pelaksana. Mereka adalah pelaksana dasar-dasar yang telah diputuskan oleh Ketua Negara atau Majlis Syura (Ahlul-Halli Wal-‘Aqdi) dan tertakluk dengan arahan Perdana Menteri (atau orang yang memegang Wazir at-Tafwidh tadi). Menteri-menteri dalam kategori ini -menurut ulamak- harus dilantik dari kalangan orang bukan Islam mengikut kesesuaian jawatan dengan mereka.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. An-Nidzam as-Siyasi Fil-Islam, Dr. Abdul-Aziz ‘Izzat al-Khayyat, hlm. 221.
2. Ghair al-Muslimin Fi al-Mujtama’ al-Islami, Dr. Yusuf al-Qardhawi, hlm. 23.

Oleh: USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL (SU Panel Syariah HPA)

14/06/2011 Posted by | Bicara Ulama, Politik dan Dakwah | 1 Comment

Bila diharuskan memperkatakan keburukan orang lain?

Mengatalah tu….

1. Hukum asal memperkatakan keburukan orang lain adalah haram. Jika keburukan itu benar-benar dilakukannya lalu kita memperkatakannya -tanpa suatu desakan yang diiktiraf oleh Syariat- kita dianggap mengumpat (ghibah). Jika keburukan itu tidak dilakukannya (yakni kita yang mengada-adakannya), kita telah melakukan dosa fitnah dan juga ghibah (umpatan). Sama ada mengumpat (ghibah) atau fitnah, kedua-duanya adalah dosa besar, apatah lagi jika menggabungkan kedua-duanya. Dalam Soheh Muslim, terdapat hadis dari Abu Hurairah yang menceritakan; Nabi pernah bertanya para sahabatnya; “Tahukah kamu apa itu ghibah (umpatan)?”. Mereka menjawab; “Allah dan RasulNya lah yang paling tahu”. Nabi menjawab; “Ghibah (umpatan) ialah kamu menyebut tentang saudara kamu sesuatu yang ia tidak suka”. Lalu seorang bertanya Nabi; “Apa pandangan kamu ya Rasulullah jika apa yang aku sebutkan tentang saudaraku benar-benar ada pada pada dirinya”. Jawab Nabi; “Jika ia benar-benar ada pada dirinya, lalu kamu menyebutnya, maka kamu mengumpatinya. Namun jika ia tidak ada padanya, lalu kamu menyebutnya (dengan mereka-rekanya), maka kamu telah mengadakan suatu pembohongan terhadapnya” (HR Imam Muslim, Kitab al-Birr wa as-Silah, bab Tahrim al-Ghibah).

2. Bagi masalah ghibah (iaitu menceritakan/mendedah keburukan orang lain atau menyebut orang lain dengan suatu nama yang buruk) dikecualikan bagi enam situasi berikut mengikut yang dijelaskan oleh para ulamak (antara Imam an-Nawawi dalam kitabnya Syarah Soheh Muslim dan Riyadhus-Salihin);

A) Apabila diri dizalimi; Harus orang yang dizalimi membuat pengaduan kepada pemerintah, qadhi atau pihak berkuasa lainnya dengan menceritakan keburukan atau kezaliman orang yang menzaliminya.

B) Memohon bantuan untuk mengubah suatu kemungkaran dan mengembalikan pelaku maksiat kepada kebenaran. Seperti seorang melaporkan kapada pihak yang berkuasa mengubah kemungkaran; “Si Fulan telah melakukan perbuatan sekian sekian, tegahlah ia”.

C) Bertujuan mendapatkan fatwa (pandagan agama); Seperti Hindun yang mengadu kepada Nabi sikap kedekut suaminya. Ia berkata kepada Nabi; “Ya Rasulullah, suamiku Abu Sufyan seorang yang kedekut, bolehkah aku mengambil wangnya tanpa diketahuinya?”.

D) Memberi peringatan kepada kaum muslimin agar berjaga-jaga dari suatu kejahatan; Seperti mendedahkan kepalsuan seorang yang pura-pura alim atau pembawa ajaran sesat supaya orang ramai mengetahui hakikat dirinya yang sebenar. Begitu juga, mendedahkan penyelewengan seorang pemimpin dalam mentadbir rakyat kepada orang yang berkuasa melantiknya agar mereka tidak tertipu untuk terus memberi kuasa kepadanya.

E) Seorang yang berterang-terangan melakukan dosa atau kesesatan seperti berterang-terang minum arak, berterang-terang menganut fahaman sesat atau seumpamanya. Orang sebegini harus disebut tentang dirinya dengan maksiat yang dilakukannya secara terang itu. Adapun maksiat yang dilakukannya secara tersembunyi, tidak harus disebut kecuali ada suatu sebab yang lain.

G) Untuk memperkenalkan seseorang; Harus menyebut seseorang dengan suatu gelaran jika ia masyhur dikenali dengan gelaran itu. Haram menyebut suatu gelaran dengan tujuan merendahkan martabat orang lain.

Dalam enam situasi di atas, dibolehkan kita memperkatakan/mendedahkan keburukan orang lain kerana ia mempunyai tujuan yang diharuskan Syariat untuk maslahah yang lebih besar dari maslahah individu yang diperkatakan keburukannya.

3. Oleh kerana hukum mengumpat adalah haram pada hukum asalnya dan dosanya adalah besar, maka orang yang terpaksa menggunakan pengecualian di atas ia hendaklah memerhatikan perkara berikut;

A) Memerhati niat dalam hatinya; apakah ia benar-benar terpaksa memperkatakannya atau hanya lahir dari keinginan nafsunya sahaja. Jika hati benar-benar berkata; “Aku wajib mendedahkannya demi agama dan ummah”, maka bertawakkallah kepada Allah dan teruskanlah apa yang diyakini. Namun jika hati berkata; “Ini hanya keinginan nafsu sahaja”, batalkanlah niat untuk berkata tentang orang lain itu, kerana padah yang bakal kita terima tidak padan dengan sedikit kepuasan yang kita dapat.

B) Ia hendaklah mengukur natijah darinya; adakah dengan memperkatakannya akan membawa kesan lebih baik atau dengan senyap sahaja dan mencari pendekatan lain yang lebih baik untuk membetulkan orang terbabit.

C) Setiap yang dilakukan kerana darurat (kerana hukum asalnya adalah haram) tidak harus berlebihan, yakni dilakukan sekadar perlu sahaja.

D) Maksiat yang dilakukan berkait dengan orang lain, yakni pendedahan terpaksa dilakukan untuk mengelak orang lain turut terlibat atau terzalimi jika mereka tidak mengetahuinya. Adapun maksiat yang bersifat peribadi tidak harus didedahkan kerana ia adalah dosa antara pelakunya dengan Allah. Sesuatu yang ditutup Allah, tidak berhak kita membukanya kerana nanti keaiban kita pula akan dibuka Allah.

Walalhu a’lam.

Rujukan;

1. Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi, Kitab al-Birr wa as-Silah, bab Tahrim al-Ghibah.
2. Riyadhus-Salihin, Imam an-Nawawi, Bab Ma Yubahu Min al-Ghibah.

Sumber: USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL (SU Panel Syariah HPA)

14/06/2011 Posted by | Politik dan Dakwah, Tasauf | , , | Leave a comment

Mengapa Umat Islam sesama Islam tidak boleh bersatu padu?


Iktibar :Adakah Allah sudah pindakan sifat perpaduan dan kasih sayang dari manusia kepada haiwan ini?

Individu atau sekelompok manusia dalam sesebuah masyarakat tidak boleh hidup bersendirian.Kita perlu di antara satu sama lain, sandar menyandar, lengkap melengkap dan tolong menolong.Namun begitu, sikap masyarakat kita khususnya masyarakat Islam selalu nya tidak menuju kearah itu dan payah untuk bersatu.

Saya tidak hairan apabila  melihat  masyarakat Islam di negara kita tidak boleh bersatu.(Berdasarkan pemerhatian saya kepada jemaah orang Islam yg terbesar di Malaysia iaitu jemaah atau parti PAS dan UMNO).

Mengapa begitu? Ini adalah angkara nafsu.Nafsu lah punca kita tidak boleh bersatu.Sifat nafsu itu sangat jahat lebih lebih lagi ia pula di dorong oleh syaitan yang sentiasa melaga lagakan kita supaya berpecah dan bermusuh musuh di antara satu sama lain.Di antara kejahatan nafsu ialah bersifat tamak dan mementingkan diri.

Ulama pun terjebak.Pemimpin lagi lah.Mereka sendiri tidak boleh berpadu dan bersatu.Apatah lagi kita orang awam.Nafsu- semua dia hendak.Yang halal pun dia hendak.Yang haram pun dia hendak.Apabila di ikutkan kehendaknya, tidak kira lah, demi untuk mendapatkan nya dia tidak kira.Perah tenaga orang, aibkan orang,fitnah orang, umpat orang, kata orang,burukkan orang, menindas, menipu, rasuah dan lain lain.Begitulah apa yang sedang berlaku dalam masyarakat kita , terutama dalam masyarakat orang politik.Di dalam satu keluarga, satu harakah, satu parti, satu kaum atau satu bangsa, ada jatuh menjatuhkan dan khianat mengkhianati.Pada zahir nya pemimpin mereka nampak berjaya menyatukan ahli ahli nya tetapi pada hakikatnya mereka gagal menyatukan hati mereka. Lahir nya mereka bersatu tetapi hati mereka tidak pernah bersatu.

Di dalam bersatu bersenget hati.
Di dalam tolong menolong ada kepentingan diri
Di dalam gotong royong ada pengkhianatan
Di dalam perkongsian ada penipuan

Semua ini adalah angkara NAFSU! 


14/06/2011 Posted by | Politik dan Dakwah | 9 Comments

Haram Hukumnya Memilih AJK Masjid Melalui Pilihan Raya


Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

1 Memilih Jawatankuasa Masjid atau Surau melalui pilihan raya adalah haram hukumnya disebabkan kemudaratan yang didatangkan daripadanya lebih banyak daripada kebaikan.

2 Ini bersandarkan sebab bahawa kesan pemilihan cara itu akan mendedahkan seseorang yang “ahli” kepada penafian (daripada dipilih) dan sebagai ganti seseorang yang lebih popular dan dilihat baik pada pada pandangan awam (lawan kepada pandangan si alim) akan menggantikannya.

3 Pilihan Raya sesuai untuk memilih pemimpin negara, negeri atau kepimpinan organisasi di mana populariti turut mengambil tempatnya, tetapi populariti tidak sepatutnya mengambil tempat dalam pemilihan jawatankuasa yang berkaitan dengan agama islam itu sendiri seperti institusi ulama’, mufti, kadhi, naib kadhi, imam, bilal, pengerusi dan seluruh AJK masjid atau surau kerana ada pertimbangan lain yang lebih utama untuk diambil kira.

4 Pandangan salah selama hari ini ialah mereka yang cuba membezakan antara pemilihan imam dan bilal dengan pemilihan AJK Masjid atau Surau. Alasan yang selalu kita dengar ialah imam dan bilal berkaitan hukum hakam dalam bacaan dan pelaksanaan ibadat khususiah sedangkan AJK Masjid atau Surau hanya mengurus tadbir organisasi masjid/surau.

5 Sepatutnya AJK Masjid atau Surau itu perlu memiliki kemahiran yang ada pada seseorang imam atau bilal dalam kadar yang mencukupi (jika tidak mampu menyamai atau melebihi imam)kerana merekalah yang paling hampir dengan imam dan bilal serta menilai perlakuan dan bacaan seseorang imam.

6 Sebab itu semasa ketiadaan imam atau bilal merekalah yang akan mengambil alih tempat imam, bukan ditolak kepada orang awam yang lain. Persoalannya di sini bagaimana mereka hendak menggantikan tempat imam dan bilal jika mereka sendiri “jahil” dalam bab agama, terutama yang berkaitan hukum hakam bacaan dan ibadat.

7 Sayugia ditegaskan di sini bahawa lebih khusus sesuatu masalah itu berkaitan kepentingan dan maslahah umat Islam, maka lebih kecillah saiz dan skop pemilihan sehingga sampai pada suatu peringkat “hanya orang yang ahli sahaja memilih yang ahli”.

8 Mereka yang dipilih sebagai AJK Masjid atau Surau sekalipun bukan daripada kalangan qari atau ‘alim seperti halnya dengan pemilihan imam, sewajarnya turut diambil kira pada dirinya itu ada sifat “warak” yakni seseorang yang menjauhi dosa besar dan sedaya upaya menjauhi dosa kecil.

9 Jika faktor thiqqah atau kebolehpercayaan diambil kira (seperti juga halnya dengan pertimbangan untuk seseorang menjadi perawi hadith) maka seseorang yang dipilih sebagai AJK Masjid atau Surau itu harus mempunyai kelaziman(kebiasaan) menutupi kepalanya ( ‘ariu ra’s ) dengan suatu kain penutup seperti kain serban, semutar, songkok atau kupiah untuk menjaga darjah kewarakannya. Ya sampai begitu sekali.

10 Tetapi siapakah yang akan mengenali kefaqihan dalam agamanya, kebolehbacaan al-qur’an dan darjah kewarakan seseorang jika orang itu bukan dalam kalangan yang ahli juga. Hanya ahli yang mengenalii ahli dan merekalah yang sepatutnya membuat pemilihan, bukan dibuka kepada umum sekalipun ianya dibuka kepada ahli jemaah yang selalu hadir ke masjid atau surau untuk solat berjemaah.

11 Hadir ke masjid atau ke surau untuk solat berjemaah bukanlah sandaran untuk memutuskan yang seseorang itu tergolong dalam kumpulan yang dikatakan ahli itu sebabnya ahli jemaah itu lebih bersifat ‘abid daripada ‘alim, soleh daripada warak’ dan feqah daripada faqih.

12 Kerajinan seseorang menghadirkan dirinya ke surau atau masjid bukanlah menggambarkan yang dirinya ‘alim, faqih dan wara’ yang merupakan tiga unsur yang akan mengiktirafnya sebagai ahli.

13 “Ahli” di sini bermaksud mereka yang mempunyai pengetahuan dan kepakaran dalam bidang yang berkaitan agama, khususnya dalam hal agama, al-Quran (tartil dan tajwid) dan kewarakan.

14 Atas sebab itu saya menegaskan adalah haram hukumnya (karahah tahrim) membuat pemilihan AJK Masjid termasuk AJK Surau melalui Pilihan Raya sebab bukan semua yang akan memilih itu adalah ahli dalam bidang yang diperlukan dan ditakuti terpilih mereka yang salah sehingga bukan sahaja merosakkan perpaduan ahli jemaah dalam qariah itu, malahan mendedahkan masjid atau surau kepada institusi yang dhirar (merosakkan).

Wallahu’alam

Daripada Ustaz Abd Bashid Bin Harun
Mantan Yang Di-Pertua
Persatuan Guru Ugama Kebangsaan Sabah (PGUKS)

by Cikgu Bashid 


14/06/2011 Posted by | Berita dan Isu Semasa, Bicara Ulama | 1 Comment

   

%d bloggers like this: