Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

HUKUM BERTARANNUM DI SISI MAZHAB EMPAT



Jika ditinjau pendapat ulama berhubung tarannum al-Quran kebanyakannya memberi dua hukum iaitu makruh dan harus.

Sheikh Khalil al-Husari (الشيخ خليل الحصري) dalam kitabnya Bersama al-Quran (مع القرآن) menyatakan, golongan yang berpegang kepada MAKRUH tarannum al-Quran;

Antaranya adalah Anas Ibn Malik (أنس بن مالك), Said Ibn Musayyab (سعيد بن المسيب), Said Ibn Jubair (سعيد بن جبير), al-Hasan al-Basri (الحسن البصري), Ibn Sirin (ابن سرين), Maliki (المالكي) dan Hanbali (الحنبلي) dan lain-lain.

Sementara itu, ulama yang menyatakan HARUS bertarannum dan memperelokkan suara ketika membaca al-Quran antaranya ialah Abdullah Ibn Abbas (عبد الله بن عباس), Abdullah Ibn Mas’ud (عبد الله بن مسعود), Ata’ Ibn Abi Rabah (عطأ بن أبي رباح), Abu Hanifah, Imam Syafei dan pendapat ini juga dipilih oleh Imam al-Tabari (ابن جرير الطبري) dan lain-lain.

Hujah bagi yang menyatakan makruh bertarannum adalah diriwayat daripada Said Ibn Musayyab bahawa beliau mendengar Umar Ibn Abdul Aziz (خليفة عمر عبد العزيز) mengimamkan solat dengan melagukan suara ketika membaca surah lalu Said Ibn Musayyab mengirim utusan kepadanya seraya berkata semoga Allah memberi kebaikan kepada kamu sesungguhnya para imam tidak membaca begitu, lalu Umar meninggalkan amalan tersebut.

Seorang lelaki bertanya kepada Imam Ahmad tentang hukum melagukan al-Quran. Imam Ahmad bertanya siapa nama kamu? Lelaki itu menjawab Muhammad. Imam Ahmad berkata: “Apakah kamu suka jika kamu dipanggil Muuuuhamaaaad dengan memanjang suaranya? Dengan maksud merosakkan makna nama yang mulia tersebut?”

Adapun hujah yang mengatakan harus bertarannum adalah Ibn al-Qayyim (ابن القيم) dalam kitabnya Zad al-Ma’ad (زاد المعاد). Beliau menyatakan bahawa Abdulrahman Ibn al-Aswad Ibn Yazid (عبد الرحمن بن الأسود بن يزيد) mencari dan memilih suara yang bagus dalam masjid di bulan Ramadan.

Al-Tahawi (الطحاوي) pula menyatakan bahawa Imam Abu Hanifah dan para sahabatnya mendengar al-Quran yang dibaca dengan berlagu.

Muhammad Ibn Abdul Hakim (محمد بن عبد الحكيم) pula menyatakan bahawa: “Aku melihat Imam Syafei dan Yusuf Ibn Umar (يوسف بن عمر) mendengar al-Quran yang dibaca secara bertarannum.”

Terdapat hadis yang dikeluarkan oleh Abu Daud (أبو داود) dan al-Nasaie (النسائي) yang menuntut supaya menghiasi al-Quran dengan suara.

Hakikatnya Rasulullah ﷺ sendiri amat menyukai suara yang merdu membaca al-Quran.
Aisyah r.a (عائشة رضي الله عنها) pernah menceritakan bahawa: “Satu ketika aku lambat pergi kepada Rasulullah ﷺ selepas solat Isyak lalu Baginda bertanya: ke manakah kamu sebentar tadi? Aisyah menjawab: Aku terlambat kerana mendengar seorang sahabat kamu membaca al-Quran dan belum pernah aku mendengar orang membaca al-Quran semerdu suaranya. Lalu Rasulullah ﷺ bangkit bersamaku dan mendengarnya seraya Rasulullah ﷺ berpaling kepada ku dan bersabda: Dia adalah Salim Maula Abi Huzaifah (سليم مولى بن أبي حزيفة). Segala puji bagi Allah yang menjadikan orang seperti ini dalam kalangan umatku.” (riwayat Ibn Majah).

Tersangat banyak hadis-hadis sahih yang membenarkan bertarannum disisi mazhab yang berpegang HARUS.

Kita dituntut untuk mengutamakan hukum tajwid di samping memahami maksud ayat yang dibaca sesuai dengan rentak tarannum yang dialunkan. Kepada pendengar pula ambil peluang dengan menikmati alunan suara al-Quran dan menghayati maksud al-Quran bersama alunan tarannum.

Kata-kata Qurra’ Sham bahawa ‘aku berlepas diri daripada bacaan ini’ adalah pandangan beliau sendiri, bukan pandangan mazhab empat seperti Imam Syafie yang mengatakan Harus bertarannum.

Perkara yang harus atau dibolehkan, tidak boleh mengatakan tidak boleh. Jika ianya tidak boleh, nescaya ramailah qurra’ yang membaca dengan berlagu atau bertarannum dianggap sebagai salah dan melakukan perkara mungkar. Contoh ramai Qurra’ Mesir yang membaca dengan berlagu adalah kalangan alim Qiraat seperti Syeikh Sayyid Uthman, Syeikh Mahmud Khalil al-Husori, Syeikh Muhammad Rif’at, Syeikh Ali Mahmud, Syeikh Mustafa Ismail, Syeikh Dr. Isa Miksorowi sendiri dan lain-lain.

Bagi mereka yang berpandangan tidak boleh, tidak boleh mengatakan tidak boleh kepada mereka yang mengambil pandangan HARUS. Jika tidak, akan celarulah hukum fekah.

Bahkan tidak boleh menuduh dengan tuduhan mengatakan هم يضلونك mereka menyesatkan kamu. Seolah-seolah orang yang membaca tarannum ini dianggap sebagai orang sesat. Berat tuduhan ini.

Sepatutnya meraikan pandangan-pandangan mazhab ini sesuai dengan pengamalan mereka ditempat mereka masing.

Umum mengetahui bahawa bumi Syam ramai kalangan Qurra’ yang alim dalam ilmu quran, namun hanya sebilangan kecil sahaja menjadi qari. Nak cari sorang dua pun payah.
.
Mereka juga amat syadid dengan bacaan Al-Quran berlagu. Tapi melebihkan qasidah nasyid daripada lagu Al-Quran. Sebab itulah hampir tidak ada qari disana.

Oleh itu, meraikan pandangan mazhab dibolehkan dalam masalah ini menjernihkan pengamalan masing-masing. Dan menuduh mengatakan qari-qari Malaysia melebihkan lagu-lagu daripada hukum tajwid, wakaf ibtidak, maghraj huruf, kefahaman makna ayat adalah tidak wajar sama sekali.

Pandangan Syeikh tersebut menghentam qari-qari Malaysia, tetapi tidak kepada qurra’ Mesir yang merupakan kiblat bagi qari-qari Malaysia adalah disifatkan sebagai penakut dan tidak berlaku adil. Tiada satu pun komen yang sama ditujukan kepada qurra’ Mesir.

Saya mengenali Syeikh tersebut pada awal tahun 2001 ketika di Mesir. Dalam ramai kalangan qurra’ Syam yang ada seperti Syeikh Kurayyim Rajih dan yang lain-lain, beliaulah yang paling ketat dalam hal ini.

Masalahnya bacaan beliau pun tak sedap. Baca macam baca surat khabar. Nabi tidak baca quran seperti alunan baca paper. Baginda dalam satu hadis adalah sebaik-baik qari apabila membaca al-Quran.

Dr hjmiey
#boleh rujuk tesis master dan phd saya untuk menambahkan maklumat tepat berkaitan isu ini.
#dah penat dah nak menjawab selalu
#belajarlah kalau tak nak jadi jahil
#cukup dulu perkara ini
#seolah hidup ini untuk menjawab perkara kecil ini sahaja

FB Dr. Wan Hilmi Wan Abdullah UKM

👍👍👍
بارك الله فيكم

20/04/2024 Posted by | Bicara Ulama, Fad hail Amal, Ibadah, Q & A (Soal Jawab) | Leave a comment