Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Hukum memakan cuka arak putih

white-wine-sauce-step-three

Fatwa Malaysia

ISU: Apakah hukum memakan cuka arak putih?

Ini kerana, cuka daripada sumber apa pun apabila melalui proses penapaian (fermentation), ia tidak memabukkan. Cuma cuka arak putih mempunyai kandungan alkohol tetapi tidak memabukkan.

PENJELASAN: Semua jenis cuka termasuk sejenis cuka yang dipanggil cuka arak putih (white wine vinegar) adalah halal, sekalipun ketika proses pembuatannya ia melalui satu fasa di mana ia menjadi arak sebelum proses penapaian sempurna berlaku sehingga bertukar menjadi cuka.

Walau bagaimanapun jika sekiranya proses perubahan daripada arak kepada cuka adalah melalui proses campuran bahan-bahan luaran, maka mazhab Syafie serta kebanyakan ulama berpendapat bahawa ia haram dimakan.

Hukum ini juga diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-73 yang bersidang pada 4-6 April 2006 yang memutuskan:

“… bahawa haram menggunakan Cuka Wain (Wine Vinegar) yang diproses dan dicampur dengan bahan-bahan luar.

Walaubagaimanapun, sekiranya perubahan daripada cuka wain kepada cuka berlaku dengan sendirinya, maka ia adalah halal”.

Kesimpulannya, cuka arak putih yang terhasil melalui proses pembuatan yang tidak melibatkan campuran bahan luar, adalah halal.

Wallahu A’lam.

12/11/2013 Posted by | Bicara Ulama, Fatwa, Fiqh, Q & A (Soal Jawab) | , | Leave a comment

   

%d bloggers like this: