Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Mengapa tidak terus ambil daripada al-Quran dan al-Sunnah ?

Saya ingini turunkan satu kisah yang menceritakan tentang satu pertemuan seorang pemuda yang baru dapat ijazah PHD dari Al Azhar Mesir dengan seorang Tuan Guru.


Apa yang menarik tentang kisah ini ialah bagaimana sikap seorang Tok Guru ketika memberi didikan kepada seorang yang datang menempelak dan mencemuhnya. Sabar, setia mendengar setiap yang diluahkan dan pelbagai sikap yang baik yang patut diteladani oleh para pendakwah sekarang daripada Tok Guru tersebut. Inilah manhaj sebenar Ahlussunnah Wal Jamaah . Tidak melenting malah memberikan peluang kepada mereka untuk berbicara.


Sikap pemuda yang mengaku mengikut ajaran Salaf ini juga patut diteladani dalam satu aspek iaitu mendengar kembali apa yang diterangkan oleh Tok Guru tersebut dan mengakui bahawa dirinya ada melakukan kesalahan. Berbeza dengan sikap pemuda-pemuda dan para ilmuan sekarang, yang langsung tidak mahu menerima pandangan orang lain malah  menuduh bahawa para ulama dan orang lain yang bukan dari kelompok dia tidak betul,bid’ah,sesat dan sebagainya.

Inilah kisahnya :


Suatu hari, datang seorang pemuda, Imran nama nya, lepasan Universiti Al Azhar Mesir yang mempunyai ijazah PHD ke sebuah pondok untuk bertemu dengan Tok Guru pondok tersebut.Maka berlakulah dialog di antara pemuda dan Tok Guru di ruang tamu rumah Tok Guru.


Tok Guru : Sila duduk anak muda, siapa nama kamu dan datang dari mana?


Pemuda : Terima kasih Tuan. Nama saya Imran bin Abdullah dan saya datang dari Gua Musang Kelantan.(Bukan nama dan tempat sebenar)

Tok Guru: Oh dari jauh rupanya, tentu sdr Imran ada hajat besar ni. Sila ceritakan apa hajat sdr mudah mudah saya boleh tolong.

Imran diam sebentar sambil menarik nafas panjang..


Pemuda : Begini Tuan, saya datang ke sini, bertujuan ingin berbincang beberapa permasalahan dengan Tuan. Mengenai permasalahan umat Islam sekarang. Saya ingin bertanya, mengapa Tok Tok Guru di kebanyakkan pondok pondok pengajian di Malaysia,Indonesia , Nusantara dan di Asia umumnya sering mengajar murid-murid mereka dengan lebih suka mengambil qalam-qalam atau pandangan para ulama? Seringkali saya mendengar mereka akan menyebut : ” Berkata al-Imam al-Syafie”, “berkata al-Imam Hanafi”, “berkata al imam Malik”,”berkata Syeikh itu dan berkata Syeikh ini” dan lain-lain”


Mengapa tidak terus mengambil daripada al-Quran dan al-Sunnah ? Bukankah lebih baik kalau kita mendengar seseorang tersebut menyebutkan ” Firman Allah taala di dalam al-Quran, Sabda Rasulullah sallallahu alaihi wasallam di dalam hadis itu dan ini?”


Ulama-ulama itu sebagai manusia kan mempunyai kelemahan dan kekurangan. Maka mereka juga tidak lari daripada melakukan kesilapan. Kan lebih baik kita ambil terus daripada kalam al-Ma’sum iaitu al-Quran dan al-Sunnah.
Tok Guru pondok mendengar segala hujah yang disampaikan oleh pemuda tersebut dengan penuh perhatian. Sedikitpun beliau tidak mencelah malah memberikan peluang bagi pemuda tersebut berbicara sepuas-puasnya.

Sambil senyuman terukir di bibir Tok Guru , beliau bertanya kepada pemuda tersebut,


Tok Guru
: Masih ada lagi apa yang ingin kamu persoalkan sdr Imran?


Pemuda : Setakat ini, itu sahaja yang ingin saya sampaikan Tuan.


Tok Guru : Sebelum berbicara lebih lanjut, eloknya kita minum dulu ya. Tiga perkara yang sepatutnya disegerakan iaitu hidangan kepada tetamu , wanita yang dilamar oleh orang yang baik maka disegerakan perkahwinan mereka dan yang ketiga si mati maka perlu disegerakan urusan pengkebumiannya. Betul kan sdr Imran?


Pemuda : Benar sekali Tuan .


Tok Guru lalu memanggil isterinya supaya membawa minuman untuk mereka berdua. Maka minuman pun sampai.


Tok Guru : Jemput minum sdr Imran.


Sebaik dipelawa Tok Guru, Imran pun terus mengambil jug air tersebut lalu menuangkan perlahan-lahan ke dalam cawan yang tersedia.


Tok Guru terus bertanya : sdr Imran, kenapa kamu tidak terus minum daripada jug nya sahaja? Kenapa perlu dituang di dalam cawan?


Pemuda : Tuan, mana boleh saya minum terus daripada jug nya.Jug nya besar.Saya tuang ke dalam cawan agar memudahkan saya meminumnya.


Tok Guru : sdr Imran, itulah jawapan terhadap apa yang kamu persoalkan sebentar tadi. Mengapa kami tidak mengambil terus daripada al-Quran dan al-Sunnah? Ianya terlalu besar untuk kami terus minum daripadanya. Maka kami mengambil daripada apa yang telah dituang di dalam cawan oleh para ulama. Maka ini memudahkan bagi kami untuk mengambil dan memanfaatkannya.


Benar kamu katakan bahawa mengapa tidak terus mengambil daripada al-Quran dan al-Sunnah. Cuma persoalan yang saya ingin tanya balik kepada kamu . Adakah kamu ingin mengatakan bahawa al-Imam al-Syafie dan para ulama yang kamu sebutkan tadi mengambil hukum selain daripada al-Quran dan al-sunnah? Adakah mereka mengambil daripada sumber selain dari al Quran dan al Sunnah?


Pemuda : Sudah tentu mereka juga mengambil daripada al-Quran dan al-Sunnah.


Tok Guru : Kalau begitu, maka sumber pengambilan kita juga adalah daripada al-Quran dan al-Sunnah cuma dengan kefahaman daripada para ulama.


Tok Guru : Satu lagi gambaran yang ingin saya terangkan kepada kamu. Saya dan kamu membaca al-Quran, al-Imam al-Syafie juga membaca al-Quran bukan?


Pemuda : Benar Tuan.


Tok Guru : Baik, kalau kita membaca sudah tentu kita ada memahami ayat-ayat di dalam al-Quran tersebut bukan? Al-Imam al-Syafie juga memahami ayat yang kita bacakan. Maka persoalannya , pemahaman siapa yang ingin didahulukan? Pemahaman saya dan kamu atau pemahaman al-Imam al-Syafie terhadap ayat tersebut?


Pemuda : Sudah tentu pemahaman al-Imam al-Syafie kerana beliau lebih memahami bahasa berbanding kita orang zaman sekarang.


Tok Guru : Sekarang sdr Imran sudah faham bukan? Hakikatnya kita semua mengambil daripada sumber yang satu iaitu al-Quran dan al-Sunnah. Tiada seorang pun yang mengambil selain daripada keduanya. Cuma bezanya, kita mengambil daripada pemahaman terhadap al-Quran dan al-Sunnah tersebut daripada siapa? Sudah tentu kita akan mengambil daripada orang yang lebih alim dan dalam ilmu. Ini kerana mereka lebih wara’ dan berjaga-jaga ketika mengeluarkan ilmu.


Kamu tahu sdr Imran, al-Imam al-Syafie r.a pernah ditanya oleh seseorang ketikamana beliau sedang menaiki keldai , berapakah kaki keldai yang Imam tunggangi?


Maka al-Imam al-Syafie turun daripada keldai tersebut dan mengira kaki keldai tersebut. Selesai mengira kaki keldai berkenaan, barulah al-Imam menjawab : ” Kaki keldai yang aku tunggang ini ada empat”. Orang yang bertanya tersebut merasa hairan lalu berkata ” Wahai Imam , bukankah kaki keldai itu sememangnya empat, mengapa engkau tidak terus menjawabnya?” al-Imam al-Syafiee menjawab : ” Aku bimbang, jika aku menjawabnya tanpa melihat terlebih dahulu, tiba-tiba Allah taala hilangkan salah satu daripada kakinya maka aku sudah dikira tidak amanah di dalam memberikan jawapan”


Cuba kamu perhatikan sdr Imran, betapa wara’nya al-Imam al-Syafie ketika menjawab persoalan berkaitan dunia. Apatah lagi kalau berkaitan dengan agamanya?


Al-Imam Malik r.a pernah didatangi oleh seorang pemuda di dalam majlisnya di Madinah al-Munawwarah. Pemuda tersebut mengatakan bahawa dia datang daripada negeri yang jauhnya 6 bulan perjalanan daripada Madinah. Pemuda itu datang untuk bertanyakan satu masalah yang berlaku di tempatnya.
Al-Imam Malik r.a, mengatakan bahawa ” Maaf, aku tidak pandai untuk menyelesaikannya”
Pemuda tersebut hairan dengan jawapan Imam Malik, dan dia bertanya : ” Bagaimana aku akan menjawab nanti bilamana ditanya oleh penduduk tempatku?”


Maka kata al-Imam Malik : ” Katakan kepada mereka bahawa Malik juga tidak mengetahui bagaimana untuk menyelesaikannya”


Ya Allah.. Cuba kamu lihat sdr Imran betapa amanahnya mereka dengan ilmu. Berbeza dengan manusia zaman sekarang yang baru setahun jagung di dalam ilmu sudah mendabik dada mengaku bahawa seolah-olah mereka mengetahui semua dan segalanya.


Pemuda : MasyaAllah, terima kasih Tuan atas penjelasan yang sangat memuaskan. Saya memohon maaf atas kekasaran dan keterlanjuran bicara saya .


Tok Guru : Sama-sama sdr Imran. Semoga kamu akan menjadi seorang yang akan membawa panji agama kelak dengan ajaran yang benar InsyaAllah.

Rujukan: Ustaz Mohd Nazrul Abdul Nasir

28/06/2011 - Posted by | Renungan & Teladan |

1 Comment »

  1. […] – Mungkin anda juga suka link ini : Mengapa tidak ambil terus daripada al Quran dan Sunnah? […]

    Like

    Pingback by Mengapa orang awam keliru dengan perkara yang di sampaikan oleh ilmuwan akhir zaman? « Fitrah Islami Online | 16/02/2013 | Reply


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: