Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Kalau dah tahu gaji cukup makan, tak payah berangan la nak tambah isteri

Foto Fahmi Ramli

Sekarang ini, banyak penulisan, video kisah-kisah yang dikongsikan tentang nafkah. Ada yang cerita nafkah tak dapat. Ada yang cakap suami tak pernah ambil tahu bab nafkah sebab isteri kerja. Macam-macam.

Tapi, ada juga yang berkongsi cerita tentang suami berpoligami, tapi abai nafkah untuk isteri serta anak-anak.

Saya dah banyak kali cakap benda ini.

Ramai orang akan ingat, nak poligami ni perkara paling utama adalah kemampuan Kewangan. Salah tu tuan-tuan dan puan-puan.

Prinsip asas paling penting untuk orang yang nak berpoligami, dia mesti mampu untuk pikul amanah. Jika poligami itu boleh mendatangkan mudarat kepada isteri dan anak-anak sedia ada, itu akan mendatangkan kezaliman, bukan keadilan.

👉🏻 Hukum berkahwin dalam Islam

✅ Wajib berkahwin bagi seseorang lelaki yang yang telah cukup kemampuan dan demi mengelakkan berlakunya zina

✅ Sunat berkahwin bagi mereka yang mampu walaupun mereka mampu menahan diri daripada melakukan perbuatan haram

✅ Haram berkahwin apabila bertujuan untuk menyakiti perempuan atau tidak berkemampuan untuk menanggung nafkah

✅ Makruh berkahwin apabila lelaki itu bimbang dia akan menzalimi isterinya sekiranya mereka berkahwin.

Melihat kepada hukum berkahwin inilah, undang-undang telah menggariskan beberapa kriteria yang perlu dipatuhi kepada seseorang lelaki yang nak berpoligami.

Di dalam Seksyen 23 (5) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Kedah 2008, ada menyatakan tentang perkara yang perlu dinilai sebelum dibenarkan oleh Mahkamah untuk seseorang lelaki berpoligami. Antaranya :

⛔️ Perkahwinan yang dicadangkan itu patut atau perlu

maksud yang dinyatakan di dalam perkara ini adalah sekiranya isteri sedia ada tidak mampu melahirkan anak atau uzur untuk bersetubuh atau gila.

Ini merupakan faktor utama yang Mahkamah mahu dengar melalui permohonan seorang lelaki. Kebiasaannya tak ada pun isu isteri pertama ini uzur, tapi selalu diberi alasan untuk elak daripada melakukan maksiat.

⛔️ Kemampuan kewangan

Lelaki tersebut mempunyai kemampuan kewangan mengikut Hukum Syarak bagi semua tanggungan sedia ada. Kadang kala, kemampuan ini perlu diteliti terlebih dahulu. Memang betul, banyak orang yang mohon poligami ini mampu dari sudut kewangan, tapi tak kurang juga dengan lelaki yang baki pendapatan bulanan pun cukup makan saja bagi isteri dan anak-anak untuk mohon poligami.

⛔️ Boleh berlaku adil

Mesti mampu untuk berlaku adil dari sudut layanan dan bermalam. Setiap isteri dan tanggungan perlu dilayan dengan baik dan tidak diabaikan.

Ini faktor yang agak penting bagi seseorang yang mahu berpoligami. Giliran bermalam ini perlu sama rata. Tidak boleh lebihkan hari bersama isteri baru berbanding isteri sedia ada. Jika kurang adil, isteri tersebut berhak tuntut fasakh di Mahkamah Syariah.

⛔️ Tidak menyebabkan darar syarie pada isteri sedia ada

Maksudnya perkahwinan poligami ini tidak akan menjejaskan kebajikan isteri sedia ada. Bahkan mungkin dengan poligami ini akan menyebabkan isteri tersebut menderita.

Hal ini berkait rapat dengan faktor kewangan. Biasanya, lelaki yang tak mampu pun akan cuba untuk minta kebenaran poligami daripada Mahkamah. Tetapi, bila diselidiki rupanya isteri dan tanggungan sedia ada pun tunggang langgang. Bahkan ada isteri yang menanggung kehidupan suaminya.

❤️ Kesimpulannya,

Kalau nak poligami tu, fikir betul-betul. Mampukah kita memikul tanggungjawab dan amanah. Banyak orang rasa dia mampu, tapi lepas kahwin banyak hak yang terabai.

Tak kurang juga ada yang bahagia. Namun, semuanya bergantung kepada ‘Imam’ itu sendiri. Kita memang tak boleh bencikan poligami kerana itu adalah ketetapan syarak.

Namun, jangan kita lupa, tak semua orang layak untuk melakukan perkara yang sama. Ukur baju badan sendiri. Jangan tengok orang lain buat, kita pun nak follow saja. Takut kita yang menjadi penyebar fitnah Islam akhir zaman.

“Sekali sekala, berdiri depan cermin, cuba cermin diri dulu” ☺️

Fahmi Ramli

PEGUAM SYARIE

10/12/2021 - Posted by | Informasi, Q & A (Soal Jawab), Tazkirah |

No comments yet.

Leave a comment