Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Jangan taksub

Parti politik guna nama Islam: Ilmuwan Islam ingatkan ada parti gagal laksana perjuangan apabila berkuasa

Penggunaan nama Islam pada parti politik tidak sepatutnya menjadi petunjuk kepada umatnya untuk memilih sesuatu parti, sebaliknya penilaian perlu dibuat berdasarkan manifesto dan pelaksanaannya.

Ini kerana ada parti politik yang membawa nama Islam dengan manifesto Islamik, namun gagal melaksanakan apa diperjuangkannya selepas memegang kuasa.

Setiap parti mempunyai agendanya sendiri, namun rakyat khususnya golongan muda mempunyai pilihan, menyokong mana-mana pihak berdasarkan apa dijanjikannya (manifesto) dan pelaksanaannya. – Syeikh Dr Mohammad Ali Ibrahim Alzoghool, tokoh ilmuwan Islam

Peringatan itu dibuat tokoh ilmuwan Islam, Syeikh Dr Mohammad Ali Ibrahim Alzoghool dari Jordan.

"Setiap parti mempunyai agendanya sendiri, namun rakyat khususnya golongan muda mempunyai pilihan, menyokong mana-mana pihak berdasarkan apa dijanjikannya (manifesto) dan pelaksanaannya.

"Ada berlaku di sesetengah tempat, parti membawa nama syiar Islam, manifestonya nampak Islamik, tetapi bila sampai pemerintahan (pelaksanaannya), tidak berlaku apa yang dijanjikan, seperti `ada udang di sebalik batu’..

"Manifestonya jadi lain bila sampai kepada pemerintahan, berubah kepada satu perkara lain untuk menjaga kepentingan partinya, menjaga orangnya dan sebagainya," katanya, yang juga Dekan Fakulti Syariah Universiti Al-Bayt, Jordan.

Beliau ditemui pemberita selepas membentangkan kertas kerja `Melahirkan Barisan Pelapis Kepimpinan Muda Islam’ sempena Seminar Antarabangsa Fiqh Mentaati Pemimpin anjuran Generasi BESTARI dan portal MyKMU.net di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.

Berikutan itu, beliau menasihatkan rakyat, khususnya golongan muda memilih parti yang menepati ajaran Islam, kebajikan dan tamadunnya.

"Apa perlu dilakukan ialah lihat kedua-duanya dan pilih yang terbaik.

"Selepas menimbangkan manifesto dan pelaksanaan yang dijanjikan, (barulah) memilih pihak yang memberi khidmat kepada rakyat," katanya ketika ditanya mengenai pertimbangan yang perlu dilakukan generasi muda untuk memilih parti politik.

Mengulas isu sama, Syeikh Alzoghool menegaskan tidak semestinya seseorang yang bertaqwa atau soleh sesuai diangkat untuk menjadi pemerintah.

"Seperti disebutkan dalam hadis Nabi apabila Abu Dzar (sahabat Rasulullah) minta kepada Rasulullah untuk dilantik sebagai gabenor (pemerintah), Nabi bersabda: "Abu Dzar seorang lelaki yang lemah".

"Abu Dzar seorang yang taqwa, seorang yang soleh tapi apabila berkaitan dengan pemerintahan dan pengurusan, nabi kata dia tidak sesuai kerana ini adalah amanah," kata Syeikh Alzoghool.

Syeikh Alzoghool berkata generasi muda perlu bijak memilih dan mengkaji perjuangan sesebuah parti politik.

Katanya, mereka perlu menolak parti yang memperjuang kepentingan politik semata-mata dan tidak berkhidmat untuk rakyat, apatah lagi parti bukan Islam.

22/06/2012 Posted by | Politik dan Dakwah | , | Leave a comment

Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Menurut Siasah Syar’iyyah

August 2, 2009 at 2:30 am | Posted in FIQH | 4 Comments

Bismillah. Selawat dan Salam ke atas Rasulillah Sallallahu Alaihi Wasallam.

PENDAHULUAN
Sejak Kerajaan memperkenalkan Akta Keselamatan Dalam Negeri atau lebih dikenali dengan ISA pada tahun 1960, banyak kontroversi timbul tentang akta ini. Tidak berperikemanusiaan, zalim, melanggar hak asasi manusia, bercanggah dengan Quran dan Sunnah, dan pelbagai reaksi diutarakan oleh sebahagian masyarakat.

“….Rakyat negara ini perlu berani membuat anjakan paradigma dalam menyatakan sokongan bagi membantah kezaliman dan kejahatan ISA yang digunakan sejak zaman penjajahan dulu….” Seru seorang wartawan dalam sebuah artikel akhbar politik tanahair.

Benarkah dakwaan bahawa ISA secara prinsipnya ialah satu kezaliman? Tepatkah kenyataan bahawa penahanan tanpa bicara tidak ada langsung sandarannya dalam syarak? Oleh itu akta ini wajib dihapuskan daripada undang-undang sesebuah negara bertamadun?

Atau mungkinkah penggunaan ISA pada asasnya diizinkan syarak, cuma perlaksanaannya mestilah dengan cara yang hak dan tidak menzalimi tahanan?

KONSEP PENAHANAN DALAM ISLAM
Dalam ilmu Qadha’ dan Politik Islam dibicarakan mengenai hukuman penahanan, atau penjara. Perlaksanaan penahanan atau penjara secara dasar diharuskan dalam Islam. Bahkan ulama bersepakat tentang fakta ini, berdasarkan dalil-dalil daripada Al-Quran dan Sunnah.

Penahanan seseorang individu oleh pihak berkuasa tidak semestinya disebabkan kesabitan jenayah oleh Mahkamah. Ada juga penahanan individu kerana langkah berwaspada demi menjaga maslahah umum dan mengelakkan keburukan. Oleh itu, sarjana Islam membahagikan motif penahanan kepada dua kategori:

Pertama: Penahanan Untuk Hukuman
Kedua: Penahanan Untuk Waspada

PENAHANAN UNTUK HUKUMAN
Penahanan hukuman ialah perlaksanaan penjara terhadap individu yang sudah sabit kesalahannya di mahkamah. Ia biasanya berkuatkuasa selepas mahkamah mensabitkan kesalahan seseorang individu dan menjatuhkan hukuman takzir penjara terhadapnya. Motif tahanan jenis ini ialah sebagai hukuman atau balasan kesalahannya supaya diambil pengajaran oleh dirinya dan masyarakat secara amnya.

PENAHANAN UNTUK WASPADA
Penahanan untuk waspada pula ialah penahanan terhadap individu yang belum disabitkan kesalahannya di mahkamah. Tetapi disebabkan maslahah, dia perlu ditahan sementara waktu.

Penahanan jenis ini dilaksanakan dalam beberapa keadaan. Antaranya penahanan individu yang ditohmah melakukan kesalahan. Ia dikenali dengan tahanan reman. Tahanan reman bertujuan agar siasatan dapat dilakukan terhadap suspek secara menyeluruh.

Sungguhpun tahanan reman adalah tahanan terhadap individu sebelum dibicarakan di mahkamah, ia dibenarkan oleh syarak. Kerana tahanan jenis ini bermotifkan maslahah yang kuat, iaitu menjalankan soal siasat terhadap suspek.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam juga pernah mengeluarkan perintah tahanan reman terhadap seorang Yahudi yang dituduh membunuh seorang wanita dengan cara memecahkan kepalanya menggunakan batu. Selepas diambil pengakuan daripadanya, barulah dijatuhkan hukuman qisas terhadapnya. Peristiwa ini boleh dijadikan dalil bahawa perintah tahanan reman ada sandaran daripada syarak.

Antara jenis penahanan untuk waspada juga ialah penahanan individu yang dipercayai membawa ancaman kepada keselamatan awam atau keamanan negara. Biarpun individu itu tidak boleh didakwa di mahkamah, tetapi kewujudannya di tengah-tengah masyarakat boleh membawa mudarat terhadap orang awam dan keselamatan.

Jika pemerintah berpendapat bahawa seseorang individu memberi ancaman keselamatan, tetapi tidak ada bukti untuk ditohmah, maka pemerintah boleh menahannya sementara waktu sehingga ke satu tempoh yang sesuai.

Dalilnya, kisah Abu Sufian yang menghantar seorang lelaki ke Madinah untuk membunuh Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam. Allah Taala telah mengkhabarkan kepada Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam tentang perancangan lelaki tersebut. Lalu Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam mengeluarkan arahan supaya dia ditangkap. Apabila ditangkap, tidak ada sebarang bukti yang menunjukkan dia mahu melakukan pembunuhan kerana dia sudah awal-awal lagi menyembunyikan senjatanya. Pun begitu demi kemaslahatan, baginda mengarahkan supaya lelaki ini ditahan di rumah seorang sahabat, Usaid bin Hudhair.

Kisah ini menunjukkan harus bagi pemerintah mengeluarkan arahan tahanan terhadap seseorang yang dilihat membahayakan keselamatan, sekalipun dia belum melakukan jenayah apatah lagi untuk dibicarakan di mahkamah.  Penahanan orang seperti ini adalah berasaskan kepercayaan pemerintah bahawa kewujudannya di tengah-tengah masyarakat membawa bahaya.

Tetapi tempoh penahanan mestilah sekadar keperluan dan tidak dilakukan penganiayaan terhadap tahanan.

Ulama menyebut antara bentuk penahanan tanpa kesabitan kesalahan ialah jika berlaku pemberontakan oleh satu-satu kumpulan, kerajaan boleh menahan anak isteri para pemberontak buat sementara waktu supaya mereka tidak terpengaruh dan bersama-sama mengikut jejak pemberontak. Mereka tidak melakukan apa-apa kesalahan pun, tetapi demi maslahah yang lebih besar mereka ditahan.

Maka difahami bahawa keizinan dikuatkuasakan penahanan tanpa bicara mahkamah, adalah kerana maslahah umum. Oleh itu pihak yang berhak mengeluarkan arahan ini ialah Ketua Negara.

AKTA ISA DARI SUDUT SYARAK
Berbalik kepada akta yang termaktub dalam perlembagaan negara kita. Bagi saya, akta ISA termasuk dalam kategori penahanan untuk waspada. Penahanan jenis ini di dalam siasah syar’iyyah adalah di bawah bidang kuasa pemerintah. Maka ia diletakkan di bawah Kementerian Dalam Negeri.

Agak kurang tepat orang yang berpendapat ia langsung tidak ada dalam Islam atau bercanggah dengan Quran dan Sunnah.

Cuma dari sudut perlaksanaan akta ini di negara kita, didapati ia tidak menepati syarat dan etika yang digariskan dalam siasah syar’iyyah. Berikut adalah contohnya:

1. Syarak membenarkan penahanan untuk waspada dalam kes-kes yang memberi ancaman kepada keselamatan, atau keamanan samada individu tertentu atau masyarakat. Tetapi apa yang berlaku hari ini, mereka yang tidak  membahayakan keselamatan pun turut menjadi mangsa. Dibimbangi akta ini hanya menjadi benteng politik pemerintah.

2. Tempoh penahanan yang dibenarkan syarak bagi penahanan untuk waspada ialah sekadar keperluan, kerana ia bukan satu bentuk hukuman. Maka, memanjangkan tempoh penahanan ISA sehingga 2 tahun atau lebih adalah tidak wajar.

3. Layanan yang sepatutnya diberikan kepada tahanan jenis ini tidak boleh disamakan dengan layanan banduan-banduan di penjara. Mereka yang dipenjara kerana sabit kesalahan boleh dilayan dengan sedikit kekerasan. Tetapi tahanan untuk waspada wajib dilayan sebagai seorang Muslim yang tidak bersalah. Apa yang diceritakan oleh bekas-bekas tahanan ISA, seolah-olah layanan terhadap mereka lebih teruk daripada layanan banduan yang merompak dan merogol.

KESIMPULAN
Secara ringkasnya, -Wallahu A’lam- penahanan tanpa bicara dibenarkan dalam Islam dalam kes-kes tertentu. Peruntukan ini adalah bagi  memelihara keselamatan awam. Tetapi hanya dalam lingkungan yang sangat sempit. Ia tidak wajar dijadikan senjata pemerintah untuk menjamin survival politik diri sendiri. Tempoh penahanan juga mesti dihadkan sekadar keperluan. Layanan kepada tahanan hendaklah secara ukhuwwah dan berperikemanusiaan, bukan dilayan sebagai banduan. Jangan sampai menzalimi tahanan dan keluarga mereka tanpa sabitan kesalahan.  Jika  Kerajaan berpendapat akta ini masih relevan untuk diamalkan, ia perlu kepada penambahbaikan dan kemaskini agar bertepatan dengan siasah Islamiyyah.

 

Wallahu A’lam.

Madinah, KSA. 19 Mei 2008 bersamaan 14 Jumada al-Awal 1429.

sumber: Abu Umair

22/06/2012 Posted by | Informasi, Politik dan Dakwah, Renungan & Teladan | | Leave a comment

Parti juara mempolitikkan agama

Penyokong-penyokong Pas mengibarkan bendera parti itu semasa perhimpunan di Stadium Darul Aman, Kedah pada awal Jun lalu.

BARU-BARU ini, tokoh-tokoh agama luar negara yang menghadiri Seminar Antarabangsa Fiqh Mentaati Pemimpin di Kuala Lumpur menegur pemimpin sebuah parti kerana sering mempolitikkan isu agama.

Teguran itu memang kena pada masanya kerana jika diimbau sejarah, para pemimpin parti yang ditubuhkan pada 1951 memang paling hebat mempolitikkan isu agama sekali gus meletakkan Malaysia sebagai ‘juara’ dalam soal itu.

Kita juga masih ingat, seorang pemimpin Pas ketika berceramah di Kampung Banggul Peradung, Terengganu pada 1982 telah mengeluarkan amanat mengkafirkan orang UMNO semata-mata kerana didakwa bekerjasama dengan bukan Islam dan disebabkan tidak melaksanakan hukum hudud.

Akibat amanat itu, maka timbulnya perpecahan di kalangan umat Islam seperti sembahyang dua imam, enggan bersembahyang di masjid UMNO dan menghukumkan haram makan sembelihan ahli parti itu.

Nikah yang dilakukan oleh jurunikah UMNO juga dianggap tidak sah, ibu bapa mengkafirkan anak serta berlaku perceraian antara suami isteri kerana berlainan parti dan banyak lagi peristiwa sedih yang benar-benar terjadi.

Walaupun berkemampuan melaksanakan hukum hudud setelah memerintah Kelantan dua dekad, Pas tetap tidak mahu melaksanakannya kerana berpendapat ia boleh dijadikan isu kitar semula yang ‘amat berbisa’ bagi meraih undi setiap kali pilihan raya.

Isu hudud yang dimainkan Pas ketika berkempen boleh membuatkan seorang Melayu Islam menjadi serba salah untuk menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN).

Ini berikutan parti itu akan menggambarkan BN bersikap anti-Islam dan telah mengambil pelbagai langkah menyekat hukum itu daripada dilaksanakan.

Mengulas isu itu, ahli akademik dari Arab Saudi, Ahmad Hamad al-Jilani yang menjawab soalan pada sesi soal jawab seminar berkenaan berkata, mana-mana pihak yang menggunakan isu pelaksanaan hukum hudud sebagai modal politik untuk menang dalam pilihan raya sebenar bertujuan mencari keredaan pengundi dan bukannya keredaan Allah.

Beliau berkata, Islam menuntut umatnya mengutamakan pelbagai perkara asas yang lebih utama seperti isu pendidikan, ekonomi dan sosial sesebuah negara itu.

"Sebelum mewujudkan hukum hudud, pelbagai aspek lain perlu diambil kira termasuklah semua masyarakat perlu menerima pelaksanaan itu. Sesiapa yang menggunakan hukum hudud untuk menang pilihan raya maka tujuannya bukan kerana Allah tetapi mencari keredaan pengundi," katanya.

Dalam pada itu, bekas Timbalan Syeikhul Universiti Al-Azhar, Mesir, Syeikh Mahmoud Abdel Ghany Mahmoud Ashour pada sesi berasingan pada seminar itu turut mengulas permintaan parti itu supaya ahli-ahli yang terlibat secara langsung dengan pilihan raya agar menangguhkan ibadah haji bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang dijangka antara September hingga Oktober ini.

Beliau berkata, umat Islam wajib menunaikan ibadat haji dan perlu mengutamakan Rukun Islam kelima itu jika berkemampuan. Justeru, katanya, umat Islam tidak perlu menangguhkan pelaksanaan ibadat haji semata-mata untuk menyertai pilihan raya umum sekiranya ia dijalankan serentak pada musim itu.

Mengulas satu lagi ‘fatwa’ para pemimpin Pas yang membolehkan demonstrasi jalanan bagi menumbang kerajaan, Syeikh Mahmoud berkata, Islam tidak membenarkan sebarang bentuk demonstrasi sedemikian sehingga mencetuskan keadaan huru-hara dalam negara sebaliknya ia perlu dilakukan secara aman.

"Islam tidak halang untuk berhimpun menyatakan pendapat atau hasrat terhadap pemerintah, tetapi jangan menyebabkan huru-hara dalam masyarakat sehingga ada orang rasa kesan buruk daripada perhimpunan itu.

"Masyarakat Islam juga tidak wajar menumbangkan kerajaan dengan cara tidak demokratik ketika pemerintah mereka telah melakukan banyak kebaikan dan kerajaan sedemikian patut beri peluang untuk meneruskan agenda membangunkan Islam," katanya.

Mengulas komen-komen yang dibuat oleh tokoh Islam antarabangsa berkenaan, bekas Naib Presiden Pas, Datuk Nakhaie Ahmad berkata, berdasarkan pelbagai isu yang dibangkitkan, jelas sekali parti tersebut selama ini menggunakan hukum agama untuk kepentingan politik.

"Pas selama ini telah memperalatkan banyak hukum agama kerana politik dan bagi mendapatkan kuasa," katanya.

Mengulas isu terbaru supaya ahli parti menangguhkan daripada mengerjakan haji, Nakhaie berkata, sepanjang pengetahuannya, permintaan seperti itu tidak pernah dibuat Pas sebelum ini.

"Saya tidak merasakan permintaan tersebut sebagai luar biasa kerana Pas sering menggunakan agama untuk kepentingan parti. Walaupun ibadah haji bukan kewajipan segera, saranan yang dibuat Pas itu adalah tidak wajar," katanya.

Sementara itu, bekas Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas, Prof. Madya Mohd. Noor Deris berkata, Pas memang suka memperalatkan agama dan ini termasuk dalam isu supaya ditangguhkan ibadat haji.

"Kita minta Pas semak balik semua ajaran al-Quran dan hadis yang selama ini dia bawa, apakah ada satu ayat al-Quran dan hadis yang menyatakan PRU13 setaraf dengan fardu haji?

"Jika tiada ayat sedemikian, ia menunjukkan parti itu seolah-olah meletakkan kewajipan pilihan raya demi parti lebih besar dari Rukun Islam kelima ini," katanya.

Pelbagai nasihat telah dikeluarkan bekas pemimpin Pas ini supaya rakan-rakan mereka yang masih menerajui parti itu tidak mempolitikkan isu agama. Malangnya, pemimpin berkenaan terus berdegil sehingga menjadikan nasihat itu ibarat mencurah air ke daun keladi.

Kedegilan itu, bukanlah sesuatu yang aneh kerana mereka juga tidak pernah melayan nasihat pengasas parti itu, Ahmad Fuad Hassan sehingga beliau terpaksa keluar parti setelah tiga tahun menerajui Pas.

Kini ulama antarabangsa pula yang memberikan nasihat. Jika ia masih tidak dihirau oleh pemimpin Pas, maka kita semua umat Islam perlu menadah tangan memohon pertolongan Allah supaya perbuatan mempolitikkan agama dihentikan segera.

 

(Sumber: utusan.com.my)

22/06/2012 Posted by | Berita dan Isu Semasa, Bicara Ulama | | Leave a comment