Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

ADAKAH BOLEH MEMBUAT SESUATU AMALAN YANG NABI ﷺ TAK BUAT?

Persoalan diatas adalah sesuatu yang dibincangkan dalam bidang Usul Fiqh dan bukan dalam bidang yang lain. Perkara-perkara yang tidak dilakukan Nabi dipanggil oleh fuqaha dengan istilah al-Tarku (التَّرْك).

Kaedah dalam Usul Fiqh menyebutkan bahwa:

                                       الترك لا ينتج حُكماً

“al-Tarku tidak menatijahkan hukum (makruh atau haram)”.

Dalam kaedah lain menyebutkan:

الترك لا يقتضي تحريمه

“al-Tarku tidak menunjukkan keharamannya”.

Dari dua kaedah ini, fuqaha’ menyimpulkan bahawa sesebuah amalan yang tidak pernah dilakukan oleh Nabi sepanjang hidupnya, tidak boleh dijatuhkan hukum haram, makruh atau bid’ah dolalah keatasnya.

Jika TIDAK terdapat nas dari al-Qur’an dan hadith yang menyatakan keharamannya atau halalnya sesuatu perkara, maka hukumnya kekal harus yakni boleh dilakukan.

Maka sesiapa yang melarang sesuatu perbuatan dengan alasan Nabi ﷺ tidak melakukannya dan berpendapat itulah hukum yang benar dan tepat. Maka dia telah keliru dengan ketetapan para fuqaha’.

Fuqaha’ mendapat kefahaman fiqh ini berdalilkan ayat al-Quran yg berikut:

“Dan apa sahaja perintah yang dibawa oleh Rasulullah ﷺ kepada kamu, maka terimalah serta amallah, dan apa jua yang DILARANGNYA untuk kamu lakukan, maka jauhilah ia”.
(Surah al-Hasyr:7)

Ayat ini tidak menyebut  “apa yang ditinggalkan”  tapi  “apa yang dilarang”. Maka kefahaman fiqh diambil oleh fuqaha’ untuk menyimpulkan bahawa apa yg tidak dilakukan Nabi, ianya adalah tidak haram.

Dalil dari hadith pula, Nabi ﷺ bersabda:

“Apabila aku menyuruh kamu melakukan sesuatu, maka lakukanlah apa yang kamu mampu dan apabila aku MELARANG kamu daripada melakukan sesuatu, maka jauhilah ia”. (al-Bukhari)

Dalam hadith ini Nabi ﷺ tidak mengatakan “apabila aku tidak melakukan sesuatu, maka jauhilah ia”. Ini menunjukkan tidak semestinya seseorang tidak boleh melakukan sesuatu yang tidak dilakukan Rasulullah ﷺ.

Oleh kerana perkara kebaikan (ibadah sunat) adalah terlalu banyak aneka ragamnya, maka Rasulullah ﷺ tidak melakukan semuanya. Hanyasanya Baginda menggariskan prinsip dalam melakukan kebaikan yang boleh mendatangkan pahala.

Iaitu selagi mana ia tidak bertentangan dengan syariat maka hukumnya boleh dilakukan, kerana apa sahaja bentuk kebaikan adalah termasuk dalam keumuman ayat al-Quran ini:

“Dan hendaklah kamu berbuat kebajikan, agar kamu beroleh kemenangan”. (Surah al-Hajj:77)

Kesimpulannya ialah perkara-perkara yang tidak dilakukan Nabi ﷺ bukanlah merupakan sumber hukum, iaitu apa yang Nabi tidak lakukan, ia bukan kaedah penentuan hukum dan bukan hujah dalam syariat.

Oleh itu, tidak wajar jika ada orang yang mempersoalkan dengan pertanyaan-pertanyaan yang berbentuk persepsi seperti :

1) “kenapa nak buat, sedangkan Nabi tak buat?”

2) “kalau takde hadithnya, kenapa kita nak buat?”

3) “kalau benda tu bagus, dah tentu Nabi dan Sahabat dah buat”.

4) “hadith sahih masih banyak lg, kenapa nk amal benda yang tak sahih”.

5) “bukankah ajaran Nabi dah sempurna, kenapa nak ada tokok tambah”

6) “seolah-olah apa yang diajar Nabi tak mencukupi dan kurang sehingga nak mereka-reka amalan baru”.

7) “Kalau Nabi tak buat, tak payahlah buat!”

Persoalan-persoalan seperti ini tidak perlu timbul kerana kefahaman dalam praktik agama (al-Din) adalah diformulasi oleh para fuqaha, neraca penentuan hukum bukan sekadar dengan persepsi semata-mata atau terletak kepada wujud ataupun tidak hadithnya di dalam Kutub Sittah dan sama ada sudah beramal atau belum dengan hadith sahih.

Sebagai contoh, amalan selawat adalah termasuk dalam pengertian doa, maka ia ada ibadah ghayr mahdah atau ibadah ghayr khusus yakni jenis ibadah yang tidak ditetapkan kaifiyatnya yang tertentu, maka seseorang boleh menggubah selawat yang tidak bercanggah dengan syara’. Tanpa kita mendakwa amalan baru itu lebih baik dari apa yang sabit di dalam hadith.

Sebagaimana yang dilakukan oleh ramai Ulama dan Awliya’ Allah, antaranya Imam Ibnu Qayyim al-Jawziyyah (rah) yang mana beliau telah mengarang selawatnya sendiri dalam manuskrip beliau berjudul “Jala’u al-Afham fi Fadli al-Salat wa al-Salam ‘ala Muhammad Khayr al-Anam” (Dar ‘Alam al-Fawa’id, ms. 3, notakaki no.1) dengan lafaz seperti berikut:

الصلاة والسلام على خير خلقه وافضل رسله محمد المبعوث للناس كافة بالهدى والرحمة وسعادة الدنيا والآخرة لمن آمن به واحبه واتبع سبيله صلى الله عليه وسلم وعلى آله وصحبه ومن تبعه باحسان الى يوم الدين

Dalam kitabnya yang lain berjudul Miftah Dar al-Sa’adah (Dar ‘Alam al-Fawa’id, ms.105) beliau telah mengarang selawat dengan sighah yang berbeza iaitu:

صلى الله عليه وعلى آله الطيبين الطاهرين صلاةً دائمةً بدوام السماوات والارضين مقيمةً عليهم ابدا لا تروم انتقالا عنهم ولا تحويلا

Maka tidak boleh dikatakan perbuatan mengarang selawat seperti diatas adalah sesuatu yang sesat hanya beralasan bahawa Nabi Muhammad ﷺ tidak pernah mengajarkan dengan lafaz tersebut. Jika ia adalah sesuatu yang terlarang, maka sudah tentu Imam Ibnu Qayyim sudah cukup berpada dengan Selawat Ibrahimiyyiah yang diajar Rasulullah ﷺ.

Disini pentingnya untuk memahami kaedah bahawa dalam amalan doa seperti selawat adalah termasuk ibadah ghayr mahdah dan untuk mengatakan ianya adalah sesat hendaklah diperlukan nas yang melarangnya. Berbeza dengan ibadah mahdah seperti bilangan rakaat solat fardu, bilangan pusingan tawaf dan lain-lain yang tidak boleh ada tokok tambah padanya dan sebarang perubahan didalamnya memerlukan nas untuk mensabitkannya. 

Contoh lain pula ialah jika seseorang menganjurkan  program yang bernama “Majlis Sambutan Nuzul Qur’an” atau sebuah acara bernama “Karnival Ekspo Sunnah”  selama 3 hari 3 malam atau membuat Majlis Zikra al-Rasul sempena bulan Rabi’ul Awwal, dengan niat untuk menghidupkan sunnah dengan cara menarik orang ramai hadir kedalamnya untuk turut serta dalam acara yang disusun dengan pelbagai pengisian ceramah, forum, pameran, nasyid, riadah, acara kesenian dan jualan gerai.

Maka, walaupun majlis atau Karnival seperti itu tidak dijumpai didalam mana-mana hadith akan fadilat pahala melakukan yang seumpama itu, namun mengikut kepada usul fiqh yang dibincangkan diatas, penganjur akan tetap mendapat pahala ibadah diatas usahanya itu apabila ia dilakukan tidak bertentangan dengan syara’.

Oleh itu, tidak wajar sama sekali seseorang menggelar penganjuran majlis atau Karnival yang seperti itu sebagai haram, sesat atau bid’ah dolalah hanya kerana Nabi ﷺ tidak pernah melakukan yang seumpama itu.

Bahkan penganjuran majlis atau Karnival yang sedemikian disisi fuqaha’ adalah termasuk dalam pengertian Sunnah iaitu “melakukannya dapat pahala dan meninggalkannya tidak mendapat apa-apa”. Dan jika usaha itu diteruskan oleh orang-orang setelahnya, semua pahala akan didapati oleh penganjur yang mula-mula melakukannya. Sesuai dengan hadith sahih yang berikut ini:

“Barangsiapa yang menciptakan suatu sunnah kebaikan yang baru dalam Islam dan turut diamalkan setelahnya, maka akan ditulis kepadanya seumpama pahala orang yang mengamalkan dan tidak sedikit pun akan kurang pahala mereka itu”.

(Riwayat Muslim)

Ustaz Iqbal Zain al-Jauhari

13/06/2024 - Posted by | Iklan, Perbahasan Ulama, Q & A (Soal Jawab)

No comments yet.

Leave a comment