Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

“Menangkis ideologi, kefahaman menyeleweng”


Oleh: Dr  Abdullaah Jalil

Pada waktu ini kita melihat begitu banyak ancaman dan cabaran yang dihadapi oleh umat Islam. Di antaranya adalah cabaran dalam bentuk ideologi atau sistem kepercayaan dan kefahaman beragama yang menyeleweng dari manhaj Ahli Sunnah Wal Jama’ah (ASWJ) yang sebenar.

Ada yang datang dalam bentuk syubhat agama seperti ideologi tajsim dan tashbih (menjisimkan Allah dan menyerupakan-Nya dengan makhluk) dan ada yang datang dalam rupa agama tetapi bersifat ekstrem dan radikal seperti ideologi takfir (mudah mengkafirkan), tabdi’ (mudah membid’ahkan) dan mengeksploitasi nama jihad untuk tindakan keganasan mereka.

Ada juga yang datang dengan rupa intelektual dan hak asasi tetapi bertentangan dengan asas syariat Islam seperti ideologi liberalism, pluralism, feminism dan sekularism. Sebahagiannya pula membawa ajaran kebatinan yang sesat dan sebahagian yang lain menggunakan naratif persediaan akhir zaman seperti mengaku sebagai Imam Mahdi atau pengikutnya.

Penyebaran ideologi ini membawa pelbagai kesan negatif sehingga menimbulkan konflik yang tidak berkesudahan, perpecahan dan akhirnya melemahkan perpaduan umat Islam.

Tambahan pula, media sosial seumpama ‘langit terbuka’ memberi peluang kepada golongan yang menyeleweng ini melakukan naratif penyebaran ideologi mereka tanpa disedari oleh sebahagian masyarakat. Sekiranya fenomena penyebaran ideologi ini tidak ditangani, kesan jangka masa panjang dibimbangi menjadi lebih parah.

Oleh kerana itu, inisiatif yang serius bagi memperkasakan pegangan dan manhaj ASWJ di negara kita ini perlulah diambil berat khususnya oleh pihak kerajaan dan pihak berkuasa agama.

ASWJ secara umumnya merujuk kepada umat Islam yang berpegang teguh dengan petunjuk Rasulullah SAW dan para sahabat Baginda serta para mujtahid dan ulama muktabar daripada kalangan generasi Salafus Soleh dan Khalaf Tayyib di dalam memahami dan mengamalkan agama Islam sehingga ke hari ini.

ASWJ merangkumi keseluruhan aspek agama dari sudut akidah, syariah dan akhlak.

ASWJ disebut sebagai ‘Al-Jama’ah’, ‘Al- Sawad Al-A’zam’ dan ‘Al-Firqah Al-Najiah’ yang telah diperintahkan oleh Rasulullah SAW untuk umat Islam berpegang dengannya tatkala berlakunya perpecahan umat.

Dari sudut manhaj ilmu pula, ASWJ merujuk kepada manhaj Imam Abu al-Hasan al-Ash’ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi di dalam disiplin akidah; manhaj para Imam empat mazhab: Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafie dan Imam Ahmad bin Hanbal di dalam disiplin fiqh; dan manhaj muktabar sufi seperti Imam Junayd al-Baghdadi, Imam al-Ghazali, Imam Abdul Qadir al-Jaylani dan Imam Abu al-Hasan al-Shazili di dalam disiplin ilmu tasawuf.

Deklarasi Ipoh 2023 menyebut ASWJ “adalah merupakan manhaj yang mengambil pendekatan pertengahan dan seimbang di antara dalil naqli dan aqli serta berpegang dengan kaedah Tafwid dan Takwil bagi nas-nas mutashabihat”, “merupakan pegangan seluruh ulama muktabar daripada kalangan fuqaha, ahli hadis, ahli tafsir, ulama tasawuf, ulama lughah dan ilmu qiraat” dan “merupakan jati diri umat Islam di alam Melayu sejak kedatangannya dan menjadi warisan sehingga ke hari ini.”

Manhaj ASWJ di Malaysia telah diperincikan dengan jelas di dalam banyak fatwa negeri di Malaysia seperti fatwa Johor (2016), Negeri Sembilan (2016), Terengganu (2021), Perak (2023) dan Pahang (2024).

Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang, Prof Datuk Dr Asmadi bin Mohamed Naim, telah membuat kenyataan dengan jelas berkenaan manhaj ASWJ ini pada 6 April 2024 dengan menyatakan bahawa “masyarakat perlu berpegang teguh kepada pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah yang berteraskan kepada pegangan akidah Ahlussunah wal Jamaah huraian Imam Abu Hassan al-Asy’ari RH (Asyairah) dan Imam Abu Mansur al-Maturidi RH (Maturidiyah), pegangan fiqh mazhab Syafie dalam pengamalan seharian (namun menghormati tiga mazhab lain Mazhab Maliki, Hanafi dan Hanbali) dan tasawuf Imam Ghazali RH dan Imam Junaid al-Baghdadi RH”.

Negeri Kelantan juga telah mendefinisikan istilah ASWJ lebih awal di dalam undang-undang perlembagaan tubuhnya dengan menyatakan bahawa ia merujuk kepada “mazhab Abu al-Hasan al-Ash’ari dan Abu Mansoor al-Maturidi dan orang yang mengikut jejak langkah keduanya.”

Sultan Perak Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al- Maghfur-Lah (2023) juga telah menitahkan agar manhaj ASWJ yang diwarisi ini hendaklah sentiasa difahami, dihayati, dipelihara dan dilindungi serta usaha memperkasakan ASWJ ini perlulah dilakukan secara menyeluruh dan berterusan.

Di antara inisiatif yang boleh dicadangkan bagi mengukuhkan manhaj ASWJ di Malaysia ialah:

[1] pemerkasaan undang-undang berkaitan ASWJ melalui fatwa yang terperinci dan diwartakan,

[2] penyusunan silibus yang lengkap dan sistematik berdasarkan manhaj ASWJ bagi pengajian agama di masjid, surau, sekolah dan madrasah,

[3] pengkaderan para pengajar agama yang berkemahiran dan jelas berkenaan manhaj ASWJ,

[4] penganjuran muktamar dan seminar berkala yang terbuka bagi penerangan manhaj ASWJ kepada masyarakat,

[5] menyebarluaskan buku dan penulisan berkenaan manhaj ASWJ khasnya di media sosial, dan

[6] memastikan para pentadbir agama dan kerajaan memahami manhaj ASWJ dengan jelas berdasarkan fatwa yang telah dikeluarkan.

[7] Penyelarasan dan usahama di kalangan pihak berkuasa, NGO Islam dan para asatizah berkemahiran juga dilihat dapat mengukuhkan kefahaman manhaj ASWJ.

[8] Pelan strategik ASWJ yang holistik juga perlu dibangunkan bagi melibatkan semua pihak dalam kerangka ini.

Dengan usaha seperti ini, umat Islam di Malaysia diharapkan akan terus kukuh berpegang dan mengamalkan manhaj ASWJ yang jelas dan terpelihara dari pelbagai ideologi yang bertentangan.

Allahumma, amin.

<<<<< >>>>>

Penulis: Ahli Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang dan Pensyarah Kanan Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Disiarkan pada: Jun 22, 2024 @ 6:01am

https://www.hmetro.com.my/addin/2024/06/1103039/menangkis-ideologi-kefahaman-menyeleweng

22/06/2024 - Posted by | Berita dan Isu Semasa, Perbahasan Ulama, Politik dan Dakwah, Q & A (Soal Jawab)

No comments yet.

Leave a comment