Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

TAKHRIJ | Hadith tentang Nabi Adam Alaihissalam melihat nama Nabi Muhammad Shallallahu Alaihi Wasallam.

Olih: Ustaz Mohamed Arafat At Tambary
Maahad Tahfiz Kasyful Ulum,Melaka.


Di antara hadith yang sering disalah faham sebagai palsu adalah hadith yang masyhur tentang Nabi Adam Alaihissalam bertawassul dengan Nabi Muhammad Shallallahu Alaihi Wasallam. Sedangkan jika diteliti ia adalah khilaf di antara para muhaddithin dalam menentukan statusnya antara palsu ataupun dhoif. Maka mengikut kaedah muhaddithin hadith yang dipertikaikan statusnya antara palsu atau dhoif tidak dimutlakkan sebagai hadith palsu kecuali jika berlaku kesepakatan ke atasnya.

Berikut adalah lafaz hadith tersebut :

حدثنا أبو سعيد عمرو بن محمد ابن منصور العدل، ثنا أبو الحسن محمد بن إسحاق بن إبراهيم الحنظلي، ثنا أبو الحارث عبد الله بن مسلم الفهري، ثنا إسماعيل بن مسلمة ، أنبأ عبد الرحمن بن زيد بن أسلم، عن أبيه، عن جده، عن عمر بن الخطاب رضي الله عنه قال: قال رسول الله :
لما اقترف آدم الخطيئة قال: يا رب أسألك بحق محمد لما غفرت لي، فقال الله : يا آدم وكيف عرفت محمدًا ولم أخلقه؟، قال: يا رب لأنك لما خلقتني بيدك ونفخت في من روحك، رفعت رأسي فرأيت على قوائم العرش مكتوبا لا إله إلا الله، محمد رسول الله، فعلمت أنك لم تضف إلى اسمك إلا أحب الخلق إليك، فقال الله : صدقت يا آدم، إنه لأحب الخلق إلي، ادعني بحقه فقد غفرت لك ولولا محمد ما خلقتك

Telah menyampaikan kepada kami Abu Said Amar Bin Muhammad Ibn Manshur Al-Adli, telah menyampaikan kepada kami Abu Al-Hasan Muhammad Bin Ishaq Bin Ibrahim Al-Hanzholi, telah menyampaikan kepada kami Abu Al-Harith Abdullah Bin Muslim Al-Fahri, telah menyampaikan kepada kami Ismail Bin Maslamah, telah menyampaikan kepada kami Abdurrahman Bin Zaid Bin Aslam, dari bapanya, dari datuknya, dari Sayyidina Umar Bin Al-Khattab RadhiyaLLahu Anhu beliau berkata : RasuluLLah Shallallahu Alaihi Wasallam bersabda:

“Ketika Nabi Adam Alaihissalam melakukan kesalahan maka dia berdoa : “Wahai Tuhanku, aku meminta kepada Engkau dengan hak Nabi Muhammad agar Engkau mengampuniku.” Allah Subhanahu Wa Ta’ala bertanya : “Wahai Adam, bagaimana engkau kenal Muhammad sedangkan Aku belum menciptanya?”

Maka Nabi Adam berkata : “Wahai Tuhanku, sesungguhnya Engkau ketika menciptakanku dengan tanganmu (tanpa kayf) dan engkau meniupkan ruh padaku, aku pun mengangkat kepalaku dan aku melihat di tiang arasy tertulis لا إله إلا الله محمد رسول الله , maka aku tahu bahawa sesungguhnya Engkau tidak menyandarkan namaMu kecuali kepada makhluk yang paling Engkau cintai.”

Maka Allah berfirman : Engkau benar wahai Adam. Sesungguhnya dia adalah makhluk yang palingKu cintai. Berdoalah kepadaKu dengan haknya maka sungguh Aku telah mengampunimu. Jika bukan kerana Nabi Muhammad, maka tidaklah Aku menciptakanmu.”

TAKHRIJ HADITH :

– Hadith ini telah diriwayatkan oleh Imam Hakim dalam kitab ‘Mustadrak’nya, dan beliau berkata “Sanadnya shohih”.

– Imam Al-Ajiri telah meriwayatkan hadith ini dalam kitab ‘As-Syari’ah’ dengan sanad yang sama dan tambahan seorang perawi antara Al-Fahri dan gurunya akan tetapi hadith itu mauquf.

– Imam Baihaqi meriwayatkannya dalam kitabnya ‘Dalail An-Nubuwwah’ dari Imam Hakim dengan sanad yang sama dan beliau berkata : Abdurrahman Bin Zaid bersendirian dalam riwayat ini sedangkan dia adalah perawi lemah.”

-Imam Zahabi dalam komentarnya terhadap hadith Ini berkata : “Hadith ini adalah maudhu’. Abdurrahman Bin Zaid adalah wahin (perawi yg ragu-ragu). Telah meriwayatkan hadith ini Abdullah Bin Muslim Al-Fahri sedangkan aku tak tahu siapa dia.”

Dalam kitab Al-Mizan, Imam Zahabi berkomentar tentang perawi Abdullah Bin Muslim dan mengatakan ia meriwayatkan hadith yang bathil yang berbunyi : ((Wahai Adam,jika bukan kerana Nabi Muhammad, maka tidaklah Aku menciptakanmu.)).

Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani dalam kitab ‘Lisan Al-Mizan’ setelah bersetuju dengan Imam Zahabi, beliau menyanggah : “Akan tetapi Abdullah Bin Muslim tidak bersendirian dalam meriwayatkan hadith ini. Bahkan hadith tersebut mempunyai mutaba’ah (jalur sanad yg lain dari guru yg sama). Kemudian Imam Ibnu Hajar menukilkan hadith riwayat Imam Thabarani dalam Mu’jam Shagir :

حدثنا محمد بن داود ابن أسلم الصدفي المصري، حدثنا أحمد بن سعيد المدني الفهري، حدثنا عبد الله ابن إسماعيل المدني، عن عبد الرحمن بن زيد بن أسلم، عن أبيه، عن جده، عن عمر بن الخطاب رضي الله عنه قال: قال رسول الله ﷺ: «لما أذنب آدم الذنب الذي أذنبه رفع رأسه إلى العرش فقال: أسألك بحق محمد إلا غفرت لي، فأوحى الله إليه وما محمد، ومن محمد ؟ فقال: تبارك اسمك، لما خلقتني رفعت رأسي إلى عرشك، فإذا فيه مكتوب لا إله إلا الله محمد رسول الله، فعلمت أنه ليس أحد أعظم عندك قدراً ممن جعلت اسمه مع اسمك، فأوحى الله عز وجل إليه يا آدم إنه آخر النبيين من ذريتك، وإن أمته آخر الأمم من ذريتك، ولولاه يا آدم ما خلقتك».

Imam Thabarani berkata : “Tidak diriwayatkan dari Sayyidina Umar kecuali dengan sanad ini. Ahmad Bin Said bersendirian dalam meriwayatkan hadith ini”

Syaikh Mahmud Said Mamduh berkomentar : “Hal ini bukanlah seperti yang dikatakan Imam Thabarani. Riwayat Ahmad Bin Said mempunyai mutaba’ah seperti hadith yang diriwayatkan oleh Imam Hakim di atas. Akan tetapi di dalam sanad ini terdapat perawi yang tidak ditemukan tarjamahnya.”

-Hadith ini terdapat syaahid yang kuat seperti yang dinukilkan oleh Syeikh Mahmud Said Mamduh :

فقد أخرج الحافظ أبو الحسن بن بشران قال: حدثنا أبو جعفر محمد بن عمرو، حدثنا أحمد بن إسحاق بن صالح، ثنا محمد بن صالح، ثنا محمد بن سنان العوقي، ثنا إبراهيم بن طهمان عن بديل بن ميسرة، عن عبد الله بن شقيق، عن ميسرة قال: قلت: يا رسول الله متى كنت نبيا ؟ قال: «لما خلق الله الأرض واستوى إلى السماء فسواهن سبع سماوات، وخلق العرش، كتب على ساق العرش : محمد رسول الله خاتم الأنبياء، وخلق الله الجنة التي أسكنها آدم وحواء، فكتب اسمي على الأبواب، والأوراق والقباب، والخيام، وآدم بين الروح والجسد، فلما أحياه الله تعالى: نظر إلى العرش فرأى إسمي فأخبره الله أنه سيد ولدك، فلما غرهما الشيطان ، تابا واستشفعا باسمي إليه.

Makna hadith ini adalah semakna dengan hadith yang diriwayatkan oleh Imam Hakim iaitu Nabi Adam melihat nama Nabi Muhammad di arasy dan kemudian bertaubat dari kesalahannya dengan syafaat nama Nabi Muhammad. Maka ia layak dijadikan sebagai syaahid untuk hadith Imam Hakim.

—Imam Ibnu Jauzi telah meriwayatkan hadith ini dalam kitabnya “Al-Wafa bi-Fadahil Al-Musthofa” dari jalur Ibnu Basyran, dan Imam Ibnu Taimiyyah juga menukilkan sanad hadith ini dengan dijadikan sebagai syawahid.

—Syaikh Abdullah Bin Shiddiq Al-Ghumari RahimahuLLah telah menyebutkan sanad hadith ini dalam kitabnya ‘Ar-Radd Al-Muhkam Al-Matiin’ dan beliau berkomentar : “Sanad hadith ini adalah kuat. Dan ia adalah syaahid yang paling kuat untuk hadith Abdurrahman Bin Zaid. (riwayat Imam Hakim tersebut)”

-Syeikh Muhammad Bin Alawi Al-Maliki dalam kitabnya ‘Mafahim’ menukilkan dua hadith yang dijadikan sebagai syaahid bagi hadith ini yang diambil dalam kitab ‘Al-Fatawa’ Ibnu Taimiyyah. Hadith yang pertama adalah seperti di atas dan yang kedua hadith yang diriwayatkan oleh Imam Abu Nuaim dalam ‘Dalail An-Nubuwwah’ yang semakna dengan hadith ini :

وروى أبو نعيم الحافظ في كتاب دلائل النبوة ومن طريق الشيخ أبي الفرج، حدثنا سليمان بن أحمد، حدثنا أحمد بن رشدين، حدثنا أحمد بن سعيد الفهري، حدثنا عبد الله بن إسماعيل المدني، عن عبد الرحمن بن زيد بن أسلم، عن أبيه، عن عمر بن الخطاب، قال: قال رسول الله ﷺ: لما أصاب آدم الخطيئة رفع رأسه فقال: يا رب بحق محمد إلا غفرت لي، فأوحى إليه، وما محمد ومن محمد؟ فقال: يا رب إنك لما أتممت خلقي رفعت رأسي إلى عرشك، فإذا عليه مكتوب: لا إله إلا الله محمد رسول الله، فعلمت أنه أكرم خلقك عليك إذ قرنت اسمه مع اسمك، فقال: نعم، قد غفرت لك، وهو آخر الأنبياء من ذريتك، ولولاه ما خلقتك.

Imam Ibnu Taimiyyah berkomentar : “Hadith ini menguatkan hadith yang sebelumnya. Maka ia seperti tafsir bagi hadith-hadith shahih.”

—Syaikh Muhammad Bin Alawi Al-Maliki RahimahuLLah berkomentar : “Ini menunjukkan bahawa hadith ini layak untuk dijadikan sebagai syaahid dan i’tibar di sisi Imam Ibnu Taimiyyah. Kerana hadith maudhu’ atau bathil tidak layak dijadikan sebagai syaahid di sisi muhaddithin. Dan kamu dapat lihat Imam Ibnu Taimiyyah menjadikan  kedua hadith ini sebagai syaahid di sini untuk tafsir hadith. “

KESIMPULAN

Hadith Nabi Adam Alaihissalam melihat nama Nabi Muhammad Shallallahu Alaihi Wasallam di tiang arasy dan bertawassul dengannya berlaku khilaf seperti berikut :
   1. Palsu – menurut Imam Zahabi dan selainnya
   2. Dhoif – menurut Imam Baihaqi, Thabarani dan lain-lain.
   3. Dikuatkan dengan mutaba’at dan syawahid menurut Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani, Imam Ibnu Taimiyyah dan lain-lain.

Oleh itu hendaklah orang-orang Wahabi Salafi yang menyebarkan salah faham ini bertaubat kepada Allah dan memadam post yang berkaitan tentang kepalsuan hadith ini. Kerana sekurang-kurangnya hadith ini berstatus dhoif dan layak untuk dijadikan sebagai amaliah dalam fadhail amal, targhib dan tarhib dan lain-lain. Semoga Allah Subhanahu Wa Ta’ala memberi petunjuk kepada kita semua.

Wallahu A’lam

Rujukan :
-Raf’u Al-Manarah | Syaikh Mahmud Said Mamduh HafizahuLLah Ta’ala
-Mafahim Yajibu An Tushahhahah | Syaikh Muhammad Bin Alawi Al-Maliki RahimahuLLah Ta’ala

25/06/2024 Posted by | Hadis, Perbahasan Ulama, Q & A (Soal Jawab) | , | Leave a comment

Apabila Ulamak tidak bersepakat di atas kepalsuan suatu hadith, maka kita tidak boleh menghukum hadith tersebut sebagai “Maudhuk” secara mutlak

Apabila Ulamak tidak bersepakat di atas kepalsuan suatu hadith, maka kita tidak boleh menghukum hadith tersebut sebagai “Maudhuk” secara mutlak. Kaedah ini ada dasarnya dari para Ulamak Hadis, di antaranya apa yang disebut oleh Az-Zahabi (W-748H) dalam kitab Mustolahnya “Al-Muqizah Halaman 36. Beliau menyebut:

ومنه: ما الأكثرون على أنه موضوع،والأخرون يقولون:
هو حديث ساقط مطروح، ولا نجسُرُ أن نُسمِّيه موضوعاً

Di antara martabat Hadith Maudhuk adalah hadith  yang kebanyakan Ulamak berpendapat ianya adalah Hadith Maudhuk manakala Ulamak (lainnya) berkata: Ia adalah Hadith Saqit (gugur) Matruh, kami tidak berani menamakannya Maudhuk.

الموقِظةُ في عِلمِ مصطلح الحديث
للإمام الحَافِظ  شمس الدين محمَّد بن أحمد الذهَبي ص٣٦ دار الكُتب

Selain itu pendapat Al-Imam An-Nasaei (W-303H), pendapat ini dinukilkan dari  Qaul Ibn Mandah:

سمعت محمد بن سعد الباوردي بمصر يقول : كان من مذهب النسائي ان يخرج
الحديث عن كل ما لم يجمع على تركه

Terjemahan:

Aku mendengar Muhammad Bin Saad Al-Bawardi di Mesir beliau berkata: Adalah dari Mazhab An-Nasaei  bahawa beliau akan tetap meriwayatkan Hadith daripada setiap perawi yang Ulamak tidak sepakat untuk meninggalkannya.

(Zafarul Amani oleh Al-Lakhnawi, halaman 204)
.

Namun kaedah ini bukannya kaedah Mutlak, di sana terdapat tahrir yang terperinci yang akan dilakukan oleh Para Ulamak Nuqqad (pengkritik hadith) yang mahir dalam bidang jarh wa ta’dil, apabila terjadi perselisihan di antara mereka dalam menentukan status suatu hadis samada Sahih, Hasan, Dhaif mahupun Maudhuk.
.
Ketika itu para Ulamak yang mahir akan mendalami perhatian mereka terhadap kedua-dua pihak yang bertembung di dalam menentukan status hadith samada Hadith tersebut Maudhuk’ atau Dhaif ataupun Hadith tersebut Sohih. Lalu mereka akan mengambil hadith yang jelas kepada mereka akan kesohihannya dan meninggalkan yang bermasalah.
.
Contohnya Ikhtilaf mereka terhadap hadith Solat Tasbih yang mana Ibn-al-Jauzi memasukkannya di dalam kitab beliau Al-Maudhuat ( jilid 1 halaman 143) dan telah menghukumkan sekumpulan dari Ulamak dengan Dhaif dan sesetengah dari mereka dengan Sohih dan sebilangan lagi dengan Hasan.
.

Setelah mereka membuat kajian, akan jelaslah kepada mereka akan kesilapan Ulamak yang menghukumkanya dengan palsu dan maklumlah kepada mereka yang menghukumnya dhaif itu adalah disebabkan mereka hanya memerhatikan pada sesetengah turuqnya (jalan sanad) sahaja, manakala yang menghukumkannya dengan sahih pula, mereka tadaqquq (penelitian yang dalam) pada keseluruhan turuqnya. Kaedah ini adalah sepertimana yang dibentangkan oleh Al-Iraqi, As-Sayuti Al-Asqolani di dalam tasnifat mereka.
.
Antara kaedah lain bila berlaku pertembungan di antara Naqid yang Mutasahil (bermudah di dalam mentausiqkan perawi) dan Naqid yang bersungguh di dalam kajian, maka waktu itu, mereka akan mentarjihkan Qaul yang tidak mutasahil berbanding Qaul mutasahil.

Kaedah lain adalah apabila berlaku pertembungan di antara dua qaul iaitu di antara Naqid Mubalighin Fil Jarh ( Ekstrim di dalam menjarahkan perawi) dengan Qaul  Naqid yang Mu’tadil dan Mutawassit ( tidak ekstrim dan tidak bermudah), maka mereka akan mentarjihkan qaul Ulama yang tidak mutasyaddid (tidak ekstrim) berbanding qaul yang mutasyaddid, lalu menerima tashih dan tahsin yang dilakukan oleh Naqid yang Mutawassit.
.
Bidang ini adalah satu bidang yang khusus yang mustahil untuk hamba isti’ab (merangkumkan) kesemuanya di sini dan perkara ini tidak tersembunyi kepada para mutakhassis ilmu hadith.
.
Sekarang ayuh kita datang kepada kepada perbahasan utama,  adakah Hadith:

يكون في أمّتي رجل يقال له محمد بن أدريس أضّر على أمتي من أبليس ، ويكون في أمتي رجل يقال له أبو حنيفة هو سراج أمتي هو سراج أمتي

Akan muncul di kalangan umatku seorang lelaki yang dipanggil Muhammad Bin Idris, dia lebih memudaratkan ke atas umatku berbanding Iblis, dan akan muncul di kalangan umatku yang dipanggil Abu Hanifah, dia adalah pelita umatku.

Adakah Hadith ini sepakat ulamak mengatakan ianya palsu?

Jawapan awal adalah ya! jika dilihat kepada apa yang dinukilkan oleh Al-Ajluni di dalam Kasyful Khafa (Halaman 48) dari Mulla Ali Qari Rahimahullah Taala di dalam Maudhuat Kubranya:

هو موضوع بأتفاق المحدثين

Hadith ini adalah palsu dengan sepakat para Muhaddisin.

Jawapan lain adalah TIDAK, kerana ada Ulamak lain yang menyelisihinya. Iaitu Allamah Aini (W-855H) yang berkata di dalam kitab beliau Maghanial Akhyar (Jilid 3 halaman 140)

وكل طريق من هذه على وجوه مختلفة في المتن والإسناد بينا جميع ذلك في ترجمة أبي حنيفة  في تريخنا البدري
و المحدثون ينكرون هذا الحديث بل اكثرهم يدّعون وضعه ولكن إختلاف طرقه ومتونه و رواته يدل على أنّ له أصلاً

Setiap jalan dari Hadith ini berlaku di atas wajah yang pelbagai pada matan dan sanad-sanadnya, kami telah jelaskan di dalam kitab kami Tarikh Badri di dalam biografi Abu Hanifah. Para Muhaddisin mengingkari (subutnya) hadith ini, malah ramai di antara mereka yang mendakwa akan kepalsuannya. Akan tetapi dengan terdapat turuq (jalan sanad) matan-matan dan para perawi yang berbeza-beza, menunjukkan Hadith ini ada Asalnya.
.
Demikian ulasan Al-Aini رحمه الله di dalam Maghanial Akhyar. Pendapat ini di sokong oleh Syeikh Al- Kausari رحمه الله تعالى di dalam kitab beliau Ta’nibul-Khatib (halaman 61).
.
Persoalannya adalah, yang diperselisihii Ijmak oleh  Al-Aini itu terhadap bahagian teks Hadith yang mana? Yang disebut oleh beliau bahawa jalannya yang banyak serta matan dan perawinya yang ramai itu, bahagian teks hadith yang mana?
.
Adakah kedua-dua bahagian teks Hadith tersebut datang dengan satu pakej sekaligus?
.
Setelah diteliti, ternyata yang disebut oleh Al-Aini رح bahawa turuqnya pelbagai dan matan dan perawinya yang ramai adalah pada bahagian teks ke dua hadith tersebut (berkenaan Abu Hanifah) dan bukannya pada bahagian pertama teks Hadith (pasal Imam Syafie). Ini seumpama Hadith:

أطلب العلم و لو بالصين ، طلب العلم فريضة على كل مسلم

Adalah dua ketulan teks hadith yang berlainan, kemudian dikepilkan sekali.

Demikian juga dengin Hadith ini mempunyai dua ketulan teks hadith. Namun demikian, bahagian ke-dua teks iaitu berkenaan Imam Abu Hanifah) datang sekurang-kurangnya dengan 4 jalur:

1.) Riwayat Anas Bin Malik r.a
2.) Riwayat Abu Hurairah r.a
3.) Riwayat Ibnu Umar r.anhuma
4.) Riwayat Ali r.a

(Disebut oleh Al-Aini رح Di dalam Maghanial Akhyar pada jilid-3, halaman 140).

Yang datang dengan satu pakej hanyalah dari riwayat Anas Bin Malik r.a, sanad dan matannya seperti di bawah ini:

حدثنا محمد بن حسين بن علي حدثنا محمد بن جعفر بن على التميمي حدثنا مأمون ابن أحمد السلمى حدثنا أحمد بن عبد الله الجوبيارى أنبأنا عبد الله بن معدان الأزدى عن أنس بن مالك قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم:
يكون في أمّتي رجل يقال له محمد بن أدريس أضّر على أمتي من أبليس ، ويكون في أمتي رجل يقال له أبو حنيفة هو سراج أمتي هو سراج أمتي

(Ibnu Jauzi di dalam Al-Maudhuat Jilid 2 halaman 48)
.

Manakala riwayat lain hanya menyebut bahagian ke-2 teks Hadith seperti di bawah:

1.) Riwayat Abu Hurairah r.a

أنبأنا عبد الرحمن بن محمد أنبأنا أحمد بن على بن ثابت الخطيب أنبأنا أبو عبد الله أحمد بن أحمد بن على القصرى حدثنا أبو زيد الحسين بن الحسن ابن على ابن عامر  بن سليمان بن ياسر حدثنا بشر بن يحيى أنبأنا الفضل بن موسى السناني بن محمد بن عمرو بن أبي سلمة عن أبي هريرة عن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال: يكون في أمتي رجل إسمه النعمان و كنيته أبو حنيفة هو سراج أمتي

2.) Riwayat Aban dari Anas r.a

أنبأنا عبد الرحمن بن محمد القزازى أنبأنا أحمد بن علي بن ثابت الخطيب أنبأنا أحمد بن عمر بن روح النهرواني حدثنا أبو بكر بن محمد إسحاق القطيعي حدثني أبو أحمد محمد بن أحمد بن حامد السلمي حدثني محمد بن يذيد بن عبد الله سلمي حدثني سليمان بن قيس عن أبى أعلى بن المهاجر 
عن أبان عن أنس رضى الله عنه قال قال رسول الله صلى الله عليه و سلم :
سيأتي من بعد أسمه النعمان بن ثابت ويكني أبا حنيفة ليحيين دين الله و سنتى على يديه

3.) Riwayat Ibn Umar r.anhuma.

يظهر من بعدى رجل يعرف بأبي حنيفة يحي الله سنته على يديه

Dan banyak lagi turuq lain kalau rajin cari.

Lagi pula Ibnul Jauzi menyebut dalam Al-Maudhuat (halaman 48 jilid  2) bahawa Hadith ini telah dipalsukan oleh Abu Abdullah Al-Burqi iaitu Hadith :

سيكون في أمتي رجل يقال له أبو حنيفة هو سراج أمتي

هكذا حدث به في بلاد خراسان ثمّ حدث به بالعراق بإسناد وزاد فيه أنه قال : سيكون في أمتي رجل يقال له محمد بن إدريس فتنته على أمتي أضرّ من إبليس

Demikianlah dia menceritakan Hadith ini di bandar Khurasan (dengan lafaz di atas) kemudian, bila sampai di Iraq, beliau menambahkan lafaz:

سيكون في أمتي رجل يقال له محمد بن إدريس فتنته على أمتي أضرّمن إبليس
.

Jelaslah di sini bahawa hadith ini pada asalnya hanyalah bahagian teks ke-dua hadith (pasal Abu Hanifah, dan itupun kalau takdir kata ianya Hadith ) dan bahagian teks pertama hadith (pasal Imam Syafie) itu hanyalah tambahan lafaz yang dibuat oleh Abu Abdullah Al-Burqi bila sampai di Iraq.
.

Dari penjelasan ini maklumlah kepada kita bahawa hadith ini ada dua bahagian teks hadith iaitu, bahagian pertama, berkenaan Iman Syafie r.a, dan bahagian ke-dua teks adalah pasal Abu Hanifah r.a.
.
Yang dimaksudkan oleh Al-Aini رح mempunyai banyak turuq serta matan dan perawi yang pelbagai adalah bahagian ke-2 hadith (pasal Imam Abu Hanifah رضى الله عنه) dan bukannya bahagian pertama hadith iaitu berkenaan Imam Syafie رضى الله عنه . Lalu yang diperkatakan له أصلاً ( ada asal baginya) oleh Al-Aini dan seolah beliau menyalahi kesepakatan Ulamak Hadith tentang kepalsuan hadith tersebut (seperti yang dinukil oleh Al-Qari), hanyalah pada bahagian ke-dua teks hadith iaitu berkenaan Imam Abu Hanifah, dan bukannya beliau menolak kesepakatan Ulamak Hadith tentang kepalsuan bahagian pertama teks hadith iaitu berkenaan Imamuna As-Syafi’ei رضى
.الله تعالى عنه
.

KHULASAHNYA:

Kuiz ini tidak menjadi chek-mate kepada Al-Fadhil Ustaz Iqbal sehingga jika beliau menerima hadith ini palsu, lalu terbatallah kaedah yang dibina beliau, dan sekiranya beliau menerima hadith ini tidak palsu, menyebabkan beliau terpaksa terima bahawa (Semoga Allah hindari) As-Syafi’ei lebih mudarat dari Iblis. Ini kerana yang diingkari kepalsuannya oleh Allamah Aini رحمه الله تعالى hanyalah pada bahagian lain teks Hadith iaitu pada bahagian pujian kepada Imam Abu Hanifah رضى الله تعالى عنه.

والله تعالى أعلى و أعلم

Ustaz Wan Aswadi
Hulu Langat Selangor

25/06/2024 Posted by | Bicara Ulama, Hadis, Perbahasan Ulama, Q & A (Soal Jawab) | | Leave a comment