Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

‘AHLI HADIS BUKAN FAQIH’

Kenyataan ini mungkin akan menyentapkan mereka yang mendokong apa yang kini dikira sebagai gerakan ahli hadis, gerakan ‘tajdid’ ahli hadis dan sebagainya. Mereka berhak untuk sentap jika mereka tidak faham apa yang dimaksudkan di sini, mereka akan sentap jika mereka buta tentang tradisi ilmu, bahkan mereka akan sentap jika mereka tak tahu apa hakikat ilmu itu sendiri.

Keahlian dalam sesuatu ilmu dan gelaran tertentu kepada ahlinya, misalnya faqih untuk ahli fiqh, sufi untuk ahli tasawuf, mutakallim untuk ahli kalam, bahkan usuli untuk ahli usul fiqh khususnya, muhaddith untuk ilmu hadith, mufassir untuk ilmu tafsir, bahkan dalam bidang selainnya kita jumpa failasuf untuk ahli falsafah, doktor untuk ahli perubatan, ahli falak atau astronomer untuk ahli ilmu bintang dan seterusnya. Dalam tradisi kita, keahlian dan gelaran ini diiktiraf dan digelarkan berdasarkan keilmuan dan penguasaan yang sempurna dalam bidang berkenaan, manakala pengiktirafannya  pula diperakui oleh ahlinya juga, bukan oleh kerajaan apatah lagi masyarakat awam. Bahkan kalau nak diukur, anugerah PhD daripada universiti pun tidak menjamin kewibawaan dan keahlian seseorang itu dalam bidang berkenaan, khususnya kerana kajian PhD itu amat terhad dan sempit, dan hanya berkaitan isu terpilih daripada cakupan bidang yang luas itu. Ia pula hanya dinilai secara tertutup oleh beberapa orang pemeriksa yang dipilih yang juga tidak semestinya mewakili kewibawaan dalam bidang berkenaan secara yang disepakati. Hal ini, bagi mereka yang pernah menempuhi pengajian di tahap ini secara ikhlas dan insaf akan faham apa yang saya maksudkan. Pun begitu, bagi yang mengejar PhD demi agenda selain ilmu dan tujuan yang sebenar, iaitu hanya untuk mendapat title yang nanti akan digunakan untuk mempengaruhi orang jahil, mereka mungkin akan sentap sekali lagi.

Ini hanya berkait dengan keahlian seseorang dalam satu-satu bidang. Manakala keahlian seseorang dalam dua bidang atau lebih, ia lagi susah pastinya. Ini kerana seseorang itu bukan sahaja perlu menguasai dua atau lebih bidang tersebut dengan sempurna, tapi dia juga perlu diperakui oleh pakar-pakar dalam bidang berkenaan secara tersendiri. Maknanya kalau kita nak terimapakai sistem moden sekarang, kalau seseorang pemegang PhD dalam hadis yang mendakwa pakar hadis, yang mana tesisnya hanya tentang satu topik kecil dan telah dinilai oleh beberapa penilai secara tertutup, maka orang ini kalau dia nak dakwa dia juga adalah pakar fiqh, dia patutnya perlu memiliki satu lagi PhD dalam bidang fiqh, tak pe lah kalau hanya mengkaji satu topik khusus dan dinilai oleh beberapa pemeriksa secara tertutup sekalipun. Itupun jika kita menganggap PhD itu satu-satunya penanda aras keahlian seseorang. Kalau tak, maka yang ada 10 PhD dalam satu-satu bidangpun belum tentu lagi ahli.

Untuk yang tak tahu apa itu PhD dan sistem pengajian yang didedahkan sepanjang mengajian PhD, ia hanyalah suatu tempoh latihan di mana penyelia melatih calon untuk mengkaji dalam bidang yang diminatinya. Latihan mengkaji bukan bermakna dia akan mampu menguasai keseluruhan selok belok kajian secara sempurna dalam tempoh PhDnya kerana ia adalah suatu pendedahan dan latihan awal. Itu juga bergantung kepada kualiti penyelia dan penyeliaan serta tajuk yang dipilih. Ada tesis PhD hadis di universiti kita yang saya tahu hanya menghimpunkan hadis daripada kitab Jawi tertentu lalu menganalisis status hadis tersebut dan membentang hasilnya, berapa yang sahih, berapa yang dhaif dan sebagainya. Pengkaji ini akhirnya dianugerahkan PhD hadis. Agak-agaknya boleh ke orang macam ni dikatakan ahli hadis? Apa yang dia berkeahlian tentangnya? Tambahan pula, kaedah mentakhrij dan meniai hadis didasarkan kepada kaedah mereka yang dikatakan sebagai ahli hadis sekarang yang sesetengahnya tak mencapai tahap ‘hafiz’ pun dalam hadis. So kalau status sebagai ahli hadis bagi calon sebegini pun boleh dilihat balik, maka kalau orang sebegini juga turut mendakwa bahawa dia juga adalah pakar fiqh lalu mampu berijtihad mengistinbat hukum dari mana-mana kitab hadis, agaknya dakwaannya itu berwibawakah?

Baik sekarang cuba kita bandingkan keahlian dan penguasaan ulama kita terdahulu sama ada dari kalangan ulama Salaf al-Salih mahupun yang selepas mereka. Bila kita rujuk sejarah keilmuan Islam, kita temui barisan ketokohan dalam pelbagai ilmu yang diiktiraf oleh para ilmuwan zaman berzaman. Rujukan yang paling langsung adalah kitab-kitab tabaqat iaitu kitab yang mencatat dan menyenaraikan ahli-ahli dalam bidang tertentu disusun dalam satu karya oleh ahlinya juga. Misalnya kita lihat ada Tabaqat Muhaddithinn, Tabaqat fuqaha dan sebagainya. Di samping itu, kita juga boleh kenali keahlian tokoh-tokoh ini dalam tradisi yang berkenaan secara langsung. Misalnya untuk kenal ahli-ahli hadis, apabila kita pelajari ilmu hadis maka kita akan didedahkan dengan barisan tokoh yang berwibawa dalam bidang hadis. Begitu juga dalam bidang fiqh, kalam dan sebagainya. Hanya mereka yang mendalami bidang-bidang ini sahaja yang akan kenal siapakah ahli-ahlinya. Bahkan mengenali tokoh dan kewibaan mereka dalam bidang-bidang berkenaan juga adalah satu daripada penanda aras penguasaan seseorang dalam bidang tersebut.

Apa yang pasti keahlian tokoh-tokoh ini bukan dek PhD yang mereka ada, dan bukan juga kerana telah diuji dalam ujian tertutup oleh beberapa penilai yang dilantik. Mungkin 10 Phd dalam bidang yang sama tidak boleh menandingi lagi keahlian mereka, maksudnya kalau seseorang ada 10 PhD dalam bidang hadis dalam 10 universiti berbeza dan jika setiap PhDnya dinilai oleh 3 pemeriksa, maka 10 PhDnya telah dinilai oleh 30 penilai yang berlainan, dia tidak boleh menandingi keahlian mana-mana ahli hadis yang muktabar dalam sejarah kita. Pun begitu, tokoh-tokoh terdahulu tidak pula mendakwa mereka ahli dalam bidang-bidang lain, dan dengan rendah diri dan insaf masih merujuk kepada ahli-ahli tertentu dalam bidang-bidang lain tersebut. Bahkan dalam bidang yang sama pun mereka tidak mendakwa bahawa mereka menguasai keseluruhan bidang jua, sebaliknya masih lagi secara rendah diri dan insaf merujuk kepada kawan berkeahlian yang sama.

Malangnya, nilai murni para ahli ilmuwan terdahulu ini telah dicemarkan oleh pemegang PhD kini dengan mengaitkan diri mereka dengan tokoh-tokoh tersebut dan mendakwa dengan dakwaan yang menampakkan mereka adalah setaraf atau lebih baik daripada tokoh berkenaan. Kalau ahli hadis dulu, mereka tidak mendakwa mereka faqih lalu mengacau dan mencelah perbahasan para fuqaha, atau mendakwa mereka ahli dalam bidang akidah lalu menyanggah ahli-ahli akidah dalam perbahasan mereka, pemegang PhD hadis sekarang lain macam pula sikapnya. Bukan itu sahaja, mereka mempengaruhi murid dan penyokong mereka yang tak habis BA lagi, ataupun yang mengaji di madrasah Youtube sahaja, untuk bersikap seperti mereka. Slogan mereka yang berbagai seumpama ‘kembali kepada Qur’an’, ‘Islam tanpa mazhab’ dan sebagainya yang umumnya dicedok daripada generasi mutakhir, mungkin daripada madrasah Ibn Taymiyyah dan Muhammad Abdul Wahab, yang tidak pernah kedengaran sebelum ini dari mulut para imam Salaf al-Salih dengan maksud yang mereka laungkan ini, amat laris dijaja dan dibeli oleh masyarakat awam yang tertipu dengan mereka.

Kalau ada yang kata bahawa ahli hadis tahu tentang fiqh, kita katakan ‘tahu’ dan ‘berpengetahuan’ dan ‘ahli’ dan ‘berkeahlian’ adalah dua istilah dan status yang berbeza. Pastinya mereka tahu sebab mereka bukan orang jahil. Pastinya mereka berpengetahuan berbanding orang awam. Tapi dalam konteks ahli dan berkeahlian, ia perlu dibandingkan dengan ahli dan mereka yang berkeahlian juga sebagai dihuraikan di atas. Jika seseorang ahli hadis diiktiraf dalam kalangan ahli fiqh misalnya, maka ketika itu dia dikatakan muhaddith-faqih, iaitu ahli dalam hadis dan fiqh. Ini wujud pastinya. Tapi ramai ahli hadis yang hanya dirujuk sebagai ahli hadis sahaja dan bukan ahli bidang lain. Mereka ini tiada masalah dan tidak sentap untuk mengakui hakikat itu dan terus menyumbang dalam bidangnya sahaja. Mereka diletakkan pada tempatnya dalam sejarah keilmuan Islam.

Bila dikatakan bahawa ahli hadis seumpama mereka yang mahir tentang bahan mental manakala faqih adalah tukang masak yang pandai memasak, ia bermaksud sedemikian. Jika ahli bahan mentah yang tak tahu masak, jangan cuba-cuba masak, dibimbangi ia tak menjadi, rosak beracun atau tak sedap. Biarlah tukang masak yang masak, yang membekalkan bahan mentah tadi tunggu makan je dari masakan tukang masak tersebut yang pasti sedap dan berkhasiat. Kalau ahli bahan mentah tadi turut belajar memasak lalu pandai memasak, boleh la masak nanti. Jadi ahli bahan mentah tak semestinya akan terus pandai masak, tapi tukang masak semestinya orang yang tahu tentang bahan mentah yang akan digunakan dalam masakannya untuk pastikan masakannya sedap dan berkhasiat. Dia mesti tahu memilih daging dan sayur yang segar, maknanya dia tahu apa yang dikatakan segar dan busuk. Bukan itu sahaja, dia juga tahu kadar yang sesuai untuk setiap bahan mentah tersebut dalam masakannya. Selain itu, dia juga tahu hidangan yang bagaimana dan apakah kadarnya yang sesuai dihidang kepada pelanggannya. Oleh itu, hidangan mereka menyihatkan dan tidak membawa penyakit kepada pelanggannya.

WalLahua’lam

Wan Suhaimi Wan Abdullah

26/06/2024 - Posted by | Hadis, Perbahasan Ulama, Q & A (Soal Jawab) | , ,

No comments yet.

Leave a comment