Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

MENELITI HADIS DHAIF, MEMAHAMI HADIS MAUDHU.(Nota Daripada Maulana Hussein Abdul Kadir al-Yusufi)

1)  Pada zaman fitnah ini, ramai manusia yang berlagak ‘Muhadith’ @ ‘pakar hadith’, bermudah-mudah menghukum sesuatu hadis itu maudhu atau dhaif. Mereka mengambil satu pandangan muhadith dan meninggalkan pandangan lain.

2)  Sedangkan di sisi muhadithin muktabar ada beberapa kaedah untuk mengambil pendapat ulama yang menghukum hadith itu dhaif atau maudhu.Antaranya:

3) Apabila salah seorang antara dua orang muhaddis mempunyai sikap terlalu ketat dalam kajian hadis (tasyadud) sementara seorang lagi mempunyai sikap sederhana (mu’tadil).
♢ Maka pendapat yang sederhana itu akan ditarjihkan seperti Ibnu Jauzi adalah mutasyadid sementara Ibnu Hajar mu’tadil maka Imam Ibnu Hajar DIUTAMAKAN.
♢ Ulama hadith yang mutasyadid masih dianggap sebagai Ahli Sunnah Wal Jamaah namun, penilaian atau kritikan mereka terhadap sesuatu hadith tidak diambil kira/tidak diutamakan kerana mereka dikenali sebagai mutasyadid (golongan keras dalam penilaian hadith).         

4) Imam Ibnu Hajar berkata bahawa mengikut peredaran masa ada empat generasi (tabaqat) dalam kalangan Imam-Imam Pengkritik atau Pengesah Sanad (Aimmah al-Jarh wa al-Ta’dil).           

5) Al-Hafiz Ibnu Hajar mengemukakan siapa Mutasyadid (bersikap terlampau ketat) dan siapa pula Mu’tadil (bersikap sederhana) pada tabaqat (generasi) itu:

i) Tabaqat Pertama: (Syu’bah dan Sufyan al-Thauri)
● Imam Syu’bah bin Al-Hajjaj adalah pengkritik yang mempunyai sikap tasyadud.

ii) Tabaqat Kedua: (Yahya bin Said al-Qattan dan Abdul Rahman bin Mahdi)
● Maka Imam Yahya bin Said Al-Qattan adalah pengkritik yang mempunyai sikap tasyadud.

iii) Tabaqat Ketiga: (Yahya bin Ma’in dan Ali bin al-Madini)
● Maka Imam Yahya bin Ma’in adalah pengkritik yang mempunyai sikap tasyadud.

iv) Tabaqat Keempat: (Ibnu Abi Hatim dan Imam Bukhari)
● Imam Abi Hatim Ar-Razi adalah pengkritik yang mempunyai sikap tasyadud.
         
6) Oleh itu, apabila didapati perselisihan di antara mereka maka hendaklah mengambil qaul (pendapat) yang sederhana atau pertengahan dan meninggalkan qaul yang tasyadud.

7) Syeikh Abdul Haiyi Lakhnawi berkata, kemudian daripada tabaqat yang empat ialah Al-Hafiz Ibnu Jauzi, al-Hafiz Sakhani dan Ibnu Taimiyyah dianggap mutasyadid
♢ manakala al-Hafiz Ibnu Hajar, al-Hafiz Iraqi dan al-Hafiz Zaila’i dianggap mutawassit dan mu’tadil dan pendapat mereka ini akan DIUTAMAKAN.  

___________________________________

Untuk memastikan sesuatu hadis maudhu atau tidak, terdapat beberapa kitab yang perlu diteliti:

1) Pada peringkat awal, kitab yang menghimpunkan hadith maudhuk membincangkan mengenai rawi-rawi yang lemah dan memberi peringatan riwayat-riwayat dhaif dan maudhuk dari mereka seperti:
* Al Kamil karya Ibn ‘Adi
* Al Dhuafa’ karya Imam ‘Uqaili
* Al Batiil karya Imam Juzqani

2) Setelah itu, Imam Ibnu Jauzi Al Asy’ari telah menulis kitab Al-Maudhu’at Al-Kubra berbentuk susunan bab hadith.
i. Ia menyatakan kekurangan dalam sanad dan menyatakan perawi yang meriwayatkan hadis maudhu dan sebagainya.
ii. Namun, ulama muhadithin SEPAKAT menyuarakan bahawa Imam Jauzi adalah seorang muhadith yang amat keras menentukan hadith maudhu (tasyadud)
iii. Sikap tasyadud ini mendorong Imam besar ini memaudhukan satu hadith dalam Sahih Bukhari, 23 hadith dalam Sunan Tirmidzi dan sebahagian besar hadith dalam Musnad Ahmad.
iv. Kemudian, datang Amirul Mukminin fil Hadith Imam Ibnu Hajar Al Asqalani terpaksa menjawab dan mengangkat kembali darjat hadith yang ditentukan maudhu’ oleh Imam Ibnu Jauzi

3) Selepas itu, muncul Al-Allamah Imam Ibnu Iraq menghimpunkan dan mengkaji halus setiap hadith yang dikemukakan sebagai maudhu’ melalui kitab yang ditulis oleh:
i- Imam Ibnu Jauzi
ii- Imam Juzqani
iii- Imam Uqaili
iv- Imam Ibnu Adi
v- Syeikhul Islam Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani
vi- Al-Hafiz Imam Suyuthi
vii- Mulla Ali Al-Qari

4)  Berdasarkan 7 kitab ini, Imam Ibnu Iraq al-Kinani memilih hadis-hadis yang benar- benar maudhu yang disepakati oleh Jumhur Muhadithin muktabar lagi adil sahaja. MAKA lahirlah kitabnya yang bernama:
تنريه الشريعة المرفوعة عن الاحاديث الشنيعة الموضوعة
(Tanzih Al-Syariah Al-Marfu’ah ann Al-Ahadith Al-Syaniah Al-Maudhuah)

5) Kitab ini merupakan kitab terbaik untuk meneliti sesuatu hadith itu benar-benar maudhu’ atau tidak. Setiap dakwaan Wahabi tentang hadis maudhu’ perlu ditimbang tara dengan kitab ini untuk memastikan darjat hadith itu.

[Semua maklumat ini diperolehi daripada guru kami, Maulana Hussein Abdul Kadir Yusufi]

Disediakan oleh: Hafiz Al Za’farani (HAZA)

18/06/2024 - Posted by | Bicara Ulama, Hadis, Perbahasan Ulama, Q & A (Soal Jawab) |

No comments yet.

Leave a comment