Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

TAKHRIJ | Hadith tentang Nabi Adam Alaihissalam melihat nama Nabi Muhammad Shallallahu Alaihi Wasallam.

Olih: Ustaz Mohamed Arafat At Tambary
Maahad Tahfiz Kasyful Ulum,Melaka.


Di antara hadith yang sering disalah faham sebagai palsu adalah hadith yang masyhur tentang Nabi Adam Alaihissalam bertawassul dengan Nabi Muhammad Shallallahu Alaihi Wasallam. Sedangkan jika diteliti ia adalah khilaf di antara para muhaddithin dalam menentukan statusnya antara palsu ataupun dhoif. Maka mengikut kaedah muhaddithin hadith yang dipertikaikan statusnya antara palsu atau dhoif tidak dimutlakkan sebagai hadith palsu kecuali jika berlaku kesepakatan ke atasnya.

Berikut adalah lafaz hadith tersebut :

حدثنا أبو سعيد عمرو بن محمد ابن منصور العدل، ثنا أبو الحسن محمد بن إسحاق بن إبراهيم الحنظلي، ثنا أبو الحارث عبد الله بن مسلم الفهري، ثنا إسماعيل بن مسلمة ، أنبأ عبد الرحمن بن زيد بن أسلم، عن أبيه، عن جده، عن عمر بن الخطاب رضي الله عنه قال: قال رسول الله :
لما اقترف آدم الخطيئة قال: يا رب أسألك بحق محمد لما غفرت لي، فقال الله : يا آدم وكيف عرفت محمدًا ولم أخلقه؟، قال: يا رب لأنك لما خلقتني بيدك ونفخت في من روحك، رفعت رأسي فرأيت على قوائم العرش مكتوبا لا إله إلا الله، محمد رسول الله، فعلمت أنك لم تضف إلى اسمك إلا أحب الخلق إليك، فقال الله : صدقت يا آدم، إنه لأحب الخلق إلي، ادعني بحقه فقد غفرت لك ولولا محمد ما خلقتك

Telah menyampaikan kepada kami Abu Said Amar Bin Muhammad Ibn Manshur Al-Adli, telah menyampaikan kepada kami Abu Al-Hasan Muhammad Bin Ishaq Bin Ibrahim Al-Hanzholi, telah menyampaikan kepada kami Abu Al-Harith Abdullah Bin Muslim Al-Fahri, telah menyampaikan kepada kami Ismail Bin Maslamah, telah menyampaikan kepada kami Abdurrahman Bin Zaid Bin Aslam, dari bapanya, dari datuknya, dari Sayyidina Umar Bin Al-Khattab RadhiyaLLahu Anhu beliau berkata : RasuluLLah Shallallahu Alaihi Wasallam bersabda:

“Ketika Nabi Adam Alaihissalam melakukan kesalahan maka dia berdoa : “Wahai Tuhanku, aku meminta kepada Engkau dengan hak Nabi Muhammad agar Engkau mengampuniku.” Allah Subhanahu Wa Ta’ala bertanya : “Wahai Adam, bagaimana engkau kenal Muhammad sedangkan Aku belum menciptanya?”

Maka Nabi Adam berkata : “Wahai Tuhanku, sesungguhnya Engkau ketika menciptakanku dengan tanganmu (tanpa kayf) dan engkau meniupkan ruh padaku, aku pun mengangkat kepalaku dan aku melihat di tiang arasy tertulis لا إله إلا الله محمد رسول الله , maka aku tahu bahawa sesungguhnya Engkau tidak menyandarkan namaMu kecuali kepada makhluk yang paling Engkau cintai.”

Maka Allah berfirman : Engkau benar wahai Adam. Sesungguhnya dia adalah makhluk yang palingKu cintai. Berdoalah kepadaKu dengan haknya maka sungguh Aku telah mengampunimu. Jika bukan kerana Nabi Muhammad, maka tidaklah Aku menciptakanmu.”

TAKHRIJ HADITH :

– Hadith ini telah diriwayatkan oleh Imam Hakim dalam kitab ‘Mustadrak’nya, dan beliau berkata “Sanadnya shohih”.

– Imam Al-Ajiri telah meriwayatkan hadith ini dalam kitab ‘As-Syari’ah’ dengan sanad yang sama dan tambahan seorang perawi antara Al-Fahri dan gurunya akan tetapi hadith itu mauquf.

– Imam Baihaqi meriwayatkannya dalam kitabnya ‘Dalail An-Nubuwwah’ dari Imam Hakim dengan sanad yang sama dan beliau berkata : Abdurrahman Bin Zaid bersendirian dalam riwayat ini sedangkan dia adalah perawi lemah.”

-Imam Zahabi dalam komentarnya terhadap hadith Ini berkata : “Hadith ini adalah maudhu’. Abdurrahman Bin Zaid adalah wahin (perawi yg ragu-ragu). Telah meriwayatkan hadith ini Abdullah Bin Muslim Al-Fahri sedangkan aku tak tahu siapa dia.”

Dalam kitab Al-Mizan, Imam Zahabi berkomentar tentang perawi Abdullah Bin Muslim dan mengatakan ia meriwayatkan hadith yang bathil yang berbunyi : ((Wahai Adam,jika bukan kerana Nabi Muhammad, maka tidaklah Aku menciptakanmu.)).

Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani dalam kitab ‘Lisan Al-Mizan’ setelah bersetuju dengan Imam Zahabi, beliau menyanggah : “Akan tetapi Abdullah Bin Muslim tidak bersendirian dalam meriwayatkan hadith ini. Bahkan hadith tersebut mempunyai mutaba’ah (jalur sanad yg lain dari guru yg sama). Kemudian Imam Ibnu Hajar menukilkan hadith riwayat Imam Thabarani dalam Mu’jam Shagir :

حدثنا محمد بن داود ابن أسلم الصدفي المصري، حدثنا أحمد بن سعيد المدني الفهري، حدثنا عبد الله ابن إسماعيل المدني، عن عبد الرحمن بن زيد بن أسلم، عن أبيه، عن جده، عن عمر بن الخطاب رضي الله عنه قال: قال رسول الله ﷺ: «لما أذنب آدم الذنب الذي أذنبه رفع رأسه إلى العرش فقال: أسألك بحق محمد إلا غفرت لي، فأوحى الله إليه وما محمد، ومن محمد ؟ فقال: تبارك اسمك، لما خلقتني رفعت رأسي إلى عرشك، فإذا فيه مكتوب لا إله إلا الله محمد رسول الله، فعلمت أنه ليس أحد أعظم عندك قدراً ممن جعلت اسمه مع اسمك، فأوحى الله عز وجل إليه يا آدم إنه آخر النبيين من ذريتك، وإن أمته آخر الأمم من ذريتك، ولولاه يا آدم ما خلقتك».

Imam Thabarani berkata : “Tidak diriwayatkan dari Sayyidina Umar kecuali dengan sanad ini. Ahmad Bin Said bersendirian dalam meriwayatkan hadith ini”

Syaikh Mahmud Said Mamduh berkomentar : “Hal ini bukanlah seperti yang dikatakan Imam Thabarani. Riwayat Ahmad Bin Said mempunyai mutaba’ah seperti hadith yang diriwayatkan oleh Imam Hakim di atas. Akan tetapi di dalam sanad ini terdapat perawi yang tidak ditemukan tarjamahnya.”

-Hadith ini terdapat syaahid yang kuat seperti yang dinukilkan oleh Syeikh Mahmud Said Mamduh :

فقد أخرج الحافظ أبو الحسن بن بشران قال: حدثنا أبو جعفر محمد بن عمرو، حدثنا أحمد بن إسحاق بن صالح، ثنا محمد بن صالح، ثنا محمد بن سنان العوقي، ثنا إبراهيم بن طهمان عن بديل بن ميسرة، عن عبد الله بن شقيق، عن ميسرة قال: قلت: يا رسول الله متى كنت نبيا ؟ قال: «لما خلق الله الأرض واستوى إلى السماء فسواهن سبع سماوات، وخلق العرش، كتب على ساق العرش : محمد رسول الله خاتم الأنبياء، وخلق الله الجنة التي أسكنها آدم وحواء، فكتب اسمي على الأبواب، والأوراق والقباب، والخيام، وآدم بين الروح والجسد، فلما أحياه الله تعالى: نظر إلى العرش فرأى إسمي فأخبره الله أنه سيد ولدك، فلما غرهما الشيطان ، تابا واستشفعا باسمي إليه.

Makna hadith ini adalah semakna dengan hadith yang diriwayatkan oleh Imam Hakim iaitu Nabi Adam melihat nama Nabi Muhammad di arasy dan kemudian bertaubat dari kesalahannya dengan syafaat nama Nabi Muhammad. Maka ia layak dijadikan sebagai syaahid untuk hadith Imam Hakim.

—Imam Ibnu Jauzi telah meriwayatkan hadith ini dalam kitabnya “Al-Wafa bi-Fadahil Al-Musthofa” dari jalur Ibnu Basyran, dan Imam Ibnu Taimiyyah juga menukilkan sanad hadith ini dengan dijadikan sebagai syawahid.

—Syaikh Abdullah Bin Shiddiq Al-Ghumari RahimahuLLah telah menyebutkan sanad hadith ini dalam kitabnya ‘Ar-Radd Al-Muhkam Al-Matiin’ dan beliau berkomentar : “Sanad hadith ini adalah kuat. Dan ia adalah syaahid yang paling kuat untuk hadith Abdurrahman Bin Zaid. (riwayat Imam Hakim tersebut)”

-Syeikh Muhammad Bin Alawi Al-Maliki dalam kitabnya ‘Mafahim’ menukilkan dua hadith yang dijadikan sebagai syaahid bagi hadith ini yang diambil dalam kitab ‘Al-Fatawa’ Ibnu Taimiyyah. Hadith yang pertama adalah seperti di atas dan yang kedua hadith yang diriwayatkan oleh Imam Abu Nuaim dalam ‘Dalail An-Nubuwwah’ yang semakna dengan hadith ini :

وروى أبو نعيم الحافظ في كتاب دلائل النبوة ومن طريق الشيخ أبي الفرج، حدثنا سليمان بن أحمد، حدثنا أحمد بن رشدين، حدثنا أحمد بن سعيد الفهري، حدثنا عبد الله بن إسماعيل المدني، عن عبد الرحمن بن زيد بن أسلم، عن أبيه، عن عمر بن الخطاب، قال: قال رسول الله ﷺ: لما أصاب آدم الخطيئة رفع رأسه فقال: يا رب بحق محمد إلا غفرت لي، فأوحى إليه، وما محمد ومن محمد؟ فقال: يا رب إنك لما أتممت خلقي رفعت رأسي إلى عرشك، فإذا عليه مكتوب: لا إله إلا الله محمد رسول الله، فعلمت أنه أكرم خلقك عليك إذ قرنت اسمه مع اسمك، فقال: نعم، قد غفرت لك، وهو آخر الأنبياء من ذريتك، ولولاه ما خلقتك.

Imam Ibnu Taimiyyah berkomentar : “Hadith ini menguatkan hadith yang sebelumnya. Maka ia seperti tafsir bagi hadith-hadith shahih.”

—Syaikh Muhammad Bin Alawi Al-Maliki RahimahuLLah berkomentar : “Ini menunjukkan bahawa hadith ini layak untuk dijadikan sebagai syaahid dan i’tibar di sisi Imam Ibnu Taimiyyah. Kerana hadith maudhu’ atau bathil tidak layak dijadikan sebagai syaahid di sisi muhaddithin. Dan kamu dapat lihat Imam Ibnu Taimiyyah menjadikan  kedua hadith ini sebagai syaahid di sini untuk tafsir hadith. “

KESIMPULAN

Hadith Nabi Adam Alaihissalam melihat nama Nabi Muhammad Shallallahu Alaihi Wasallam di tiang arasy dan bertawassul dengannya berlaku khilaf seperti berikut :
   1. Palsu – menurut Imam Zahabi dan selainnya
   2. Dhoif – menurut Imam Baihaqi, Thabarani dan lain-lain.
   3. Dikuatkan dengan mutaba’at dan syawahid menurut Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani, Imam Ibnu Taimiyyah dan lain-lain.

Oleh itu hendaklah orang-orang Wahabi Salafi yang menyebarkan salah faham ini bertaubat kepada Allah dan memadam post yang berkaitan tentang kepalsuan hadith ini. Kerana sekurang-kurangnya hadith ini berstatus dhoif dan layak untuk dijadikan sebagai amaliah dalam fadhail amal, targhib dan tarhib dan lain-lain. Semoga Allah Subhanahu Wa Ta’ala memberi petunjuk kepada kita semua.

Wallahu A’lam

Rujukan :
-Raf’u Al-Manarah | Syaikh Mahmud Said Mamduh HafizahuLLah Ta’ala
-Mafahim Yajibu An Tushahhahah | Syaikh Muhammad Bin Alawi Al-Maliki RahimahuLLah Ta’ala

25/06/2024 - Posted by | Hadis, Perbahasan Ulama, Q & A (Soal Jawab) | ,

No comments yet.

Leave a comment