Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Sifat Redha

     

    1) Sifat redha adalah daripada sifat makrifah dan mahabbah kepada Allah s.w.t.

    2) Pengertian redha ialah menerima dengan rasa senang dengan apa yang diberikan oleh Allah s.w.t. baik berupa peraturan ( hukum ) mahupun qada’ atau sesuatu ketentuan daripada Allah s.w.t.

    3) Redha terhadap Allah s.w.t terbahagi kepada dua :

  • Redha menerima peraturan ( hukum ) Allah s.w.t. yang dibebankan kepada manusia.

  • Redha menerima ketentuan Allah s.w.t. tentang nasib yang mengenai diri.

    • Redha Menerima hukum Allah s.w.t. :

      Redha menerima hukum-hukum Allah s.w.t. adalah merupakan manifestasi daripada kesempurnaan iman, kemuliaan taqwa dan kepatuhan kepada Allah s.w.t. kerana menerima peraturan-peraturan itu dengan segala senang hati dan tidak merasa terpaksa atau dipaksa.

      Merasa tunduk dan patuh dengan segala kelapangan dada bahkan dengan gembira dan senang menerima syariat yang digariskan oleh Allah s.w.t. dan Rasulnya adalah memancar dari mahabbah kerana cinta kepada Allah s.w.t. dan inilah tanda keimanan yang murni serta tulus ikhlas kepadaNya.

      Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :

      " Tetapi tidak ! Demi Tuhanmu, mereka tidak dipandang beriman hingga mereka menjadikanmu ( Muhammad ) hakim dalam apa yang mereka perselisihkan di antara mereka, kemudian mereka tidak merasa sempit dalam hati mereka tentang apa yang engkau putuskan serta mereka menyerah dengan bersungguh – sungguh ". ( Surah An-Nisaa’ : Ayat 65 )

      Dan firman Allah s.w.t yang bermaksud :

      " Dan alangkah baiknya jika mereka redha dengan apa yang Allah dan Rasulnya berikan kepada mereka sambil mereka berkata : ‘ Cukuplah Allah bagi kami , Ia dan Rasulnya akan berikan pada kami kurnianya ,Sesungguhnya pada Allah kami menuju ".

      ( Surah At Taubah : Ayat 59 )

      Pada dasarnya segala perintah-perintah Allah s.w.t. baik yang wajib mahupun yang Sunnah ,hendaklah dikerjakan dengan senang hati dan redha. Demikian juga dengan larangan-larangan Allah s.w.t. hendaklah dijauhi dengan lapang dada .

      Itulah sifat redha dengan hukum-hukum Allah s.w.t. Redha itu bertentangan dengan sifat dan sikap orang-orang munafik atau kafir yang benci dan sempit dadanya menerima hukum-hukum Allah s.w.t.

      Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :

      " Yang demikian itu kerana sesungguhnya mereka ( yang munafik ) berkata kepada orang-orang yang di benci terhadap apa-apa yang diturunkan oleh Allah s.w.t. ‘Kami akan tuntut kamu dalam sebahagian urusan kamu ‘,Tetapi Allah mengetahui rahsia mereka ". ( Surah Muhammad : Ayat 26 )

      Andaikata mereka ikut beribadah, bersedekah atau mengerjakan sembahyang maka ibadah itu mereka melakukannya dengan tidak redha dan bersifat pura-pura. Demikianlah gambaran perbandingan antara hati yang penuh redha dan yang tidak redha menerima hukum Allah s.w.t. , yang mana hati yang redha itu adalah buah daripada kemurnian iman dan yang tidak redha itu adalah gejala nifaq.

      Redha Dengan Qada’ :

      Redha dengan qada’ iaitu merasa menerima ketentuan nasib yang telah ditentukan Allah s.w.t baik berupa nikmat mahupun berupa musibah ( malapetaka ). Didalam hadis diungkapkan bahawa di antara orang yang pertama memasuki syurga ialah mereka yang suka memuji Allah s.w.t. . iaitu mereka memuji Allah ( bertahmid ) baik dalam keadaan yang susah mahupun di dalam keadaan senang.

      Diberitakan Rasulullah s.a.w. apabila memperolehi kegembiraan Baginda berkata :

      " Segala puji bagi Allah yang dengan nikmatnya menjadi sempurnalah kebaikan ".

      Dan apabila kedatangan perkara yang tidak menyenangkan , Baginda mengucapkan :

      " Segala puji bagi Allah atas segala perkara ".

      Perintah redha menerima ketentuan nasib daripada Allah s.w.t. dijelaskan didalam hadis Baginda yang lain yang bermaksud :

      " Dan jika sesuatu kesusahan mengenaimu janganlah engkau berkata : jika aku telah berbuat begini dan begitu, begini dan begitulah jadinya. Melainkan hendakalah kamu katakan : Allah telah mentaqdirkan dan apa yang ia suka , ia perbuat ! " Kerana sesungguhnya perkataan : andaikata… itu memberi peluang pada syaitan " . (Riwayat Muslim)

      Sikap redha dengan mengucapkan puji dan syukur kepada Allah s.w.t. Ketika mendapat kesenangan atau sesuatu yang tidak menyenangkan bersandar kepada dua pengertian :

      Pertama : Bertitik tolak dari pengertian bahawa sesungguhnya Allah s.w.t. memastikan terjadinya hal itu sebagai yang layak bagi Dirinya kerana bagi Dialah sebaik-baik Pencipta. Dialah Yang Maha Bijaksana atas segala sesuatu.

      Kedua : Bersandar kepada pengertian bahawa ketentuan dan pilihan Allah s.w.t. itulah yang paling baik , dibandingkan dengan pilihan dan kehendak peribadi yang berkaitan dengan diri sendiri.

      Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :

      " Demi Allah yang jiwaku ditangannya !Tidaklah Allah memutuskan sesuatu ketentuan bagi seorang mukmin melainkan mengandungi kebaikan baginya. Dan tiadalah kebaikan itu kecuali bagi mukmin . Jika ia memperolehi kegembiraan dia berterima kasih bererti kebaikan baginya , dan jika ia ditimpa kesulitan dia bersabar bererti kebaikan baginya ".

      ( Riwayat Muslim )

      [Sumber: JAKIM]

      04/07/2013 Posted by | Tasauf | , | Leave a comment

      Tarbiah diri dengan sifat redha

      [Extract dr buku Rasul Mulia, Umat Mulia, Akhlak Mulia].

      Kali ini saya akan bercerita tentang seorang ulama ahli hadis dan fiqh di Madinah dari kalangan tabiin. Beliau adalah ‘Urwah putera pasangan dua orang sahabat Nabi Saw yang sangat terkenal, iaitu Al-Zubeir bin Al-‘Awwam dan isterinya Asma binti Abu Bakar Al-Siddiq.

      Sejak kecil, ‘Urwah tinggal serumah dengan adik ibunya, iaitu Aisyah binti Abu Bakar, isteri kesayangan Baginda Nabi Saw. Dan dari beliaulah ‘Urwah menimba hadis, tafsir, fiqh, faraid dan berbagai ilmu lainnya. Sehingga ketika dewasa ia diakui sebagai salah seorang daripada tujuh fuqaha Madinah (al-fuqaha al-sab’ah) yang menjadi rujukan fatwa pada masa itu. ‘Urwah bin Al-Zubeir meninggal dunia pada tahun 94 H.

      Suatu hari ‘Urwah diundang oleh Khalifah Walid bin Abdul Malik untuk datang ke istananya di Syam. Di tengah perjalanan, ‘Urwah merasakan sesuatu terjadi di kakinya. Tidak lama kemudian, timbul sebuah bisul di kakinya yang lalu pecah dan menjadi sebuah luka. Setibanya di Syam, Khalifah mendatangkan seorang tabib untuk memeriksa luka tersebut.

      Tabib menyimpulkan bahwa luka itu sebuah infeksi yang jika tidak segera dihentikan dapat menyebar ke seluruh badan. Dan satu-satunya cara untuk menghentikan penyebaran infeksi itu adalah dengan memotong kaki tersebut.

      ‘Urwah setuju kakinya dipotong. Tabib menyarankan agar ia meminum obat bius terlebih dahulu sebelum operasi dilaksanakan agar ia tidak merasakan sakit, tapi ‘urwah menolak. Ia ingin tetap berada dalam kesadaran sehingga dapat mengingat Allah meski harus merasakan kepedihan yang sangat menyiksa. Akhirnya, jadilah tabib itu memotong kakinya dengan gergaji, sementara ‘Urwah dengan penuh kesabaran menyaksikan hal itu tanpa mengeluarkan suara kesakitan.

      Pada saat yang sama, seorang anak ‘Urwah yang ikut bersamanya dalam perjalanan tersebut mengalami sebuah kemalangan. Seekor keledai menendangnya hingga mati.
      Apabila mendengar berita sedih ini, ‘Urwah tidak memberi komen apa-apa. Baru ketika dalam perjalanan pulang ke Madinah, ‘Urwah terdengar berkata seperti ini: “Ya Allah, Engkau memberiku tujuh orang anak. Jika Engkau mengambil satu orang, Engkau masih meninggalkan enam lainnya. Dan Engkau memberiku empat anggota (dua tangan dan dua kaki). Jika Engkau mengambil salah satunya, Engkau masih meninggalkan tiga lainnya.”

      Masya Allah, tokoh besar ini masih dapat menemukan alasan untuk memuji Allah meski dalam musibah yang sangat memilu hati.

      Kisah ini dapat anda temui dalam kitab Wafayat Al-A’yan karya Ibn Khillikan dan buku muridnya: Imam Al-Dzahabi yang bertajuk Siar A’lam Al-Nubala.

       

      (Oleh: Ustaz Zahzan Mohamed)

      07/06/2012 Posted by | Tazkirah | | Leave a comment

         

      %d bloggers like this: