Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Mahathir jawab Nik Aziz

 

Mantan PM Dr Mahathir Muhammad bukan ahli dalam bidang agama.Tetapi kenyataan nya di sini walaupun tidak 100% saya setuju namun adalah baik untuk di buat renungan dan di jadikan teladan.

Saya bukan orang politik dan tidak terlibat dengan mana mana fahaman politik kepartian.Dari itu saya ajak sidang pembaca baca ini dari sudut dan kaca mata ilmu Islam tanpa ada “bias” iaitu kepentingan politik dan sikap berat sebelah…….

1. Percubaan Dato Nik Aziz untuk memperingatkan saya bahawa saya akan berdiri dihadapan Allah s.w.t. satu masa nanti sedikit sebanyak membuktikan keangkuhannya seolah-olah saya tidak tahu akan agama saya. Saya juga beriman dengan hakikat bahawa setiap apa yang dipertuturkan dan diperbuat di dunia ini akan diadili di akhirat nanti.

2. Nik Aziz juga akan berdiri dihadapan Allah satu masa nanti dan segala yang dipertutur dan dilakukan olehnya di dunia ini akan diadili di akhirat nanti dan lidah, tangan dan kaki Nik Aziz akan jadi saksi. Bukan bagi Nik Aziz untuk mengadili saya atau sesiapa dan bukan Nik Aziz yang akan mengadili dirinya sendiri.

3. Sehingga kita diadili di akhirat kita tidak boleh dengan angkuhnya merasa kita tidak berdosa dan orang lain yang berdosa. Allah s.w.t. sahaja yang mengetahui segala dosa yang dilakukan oleh sesiapa, termasuk Nik Aziz. Dakwaan Nik Aziz yang dianya beriman, setelah mengkafir dan memecahbelah orang Islam, membuat berbagai-bagai tuduhan, akan ditentukan oleh Allah s.w.t. Tidak memadai dengan pengakuan Nik Aziz yang dianya beriman.

4. Saya tidak pernah dakwa yang saya ini selalunya betul dan tetap ke syurga. Saya juga tidak suruh sesiapa menyokong atau mengundi saya kerana itu akan menjamin mereka akan ke syurga di akhirat. Yang membuat dakwaan seperti ini ialah Nik Aziz.

5. Dalam Islam tidak ada paderi yang boleh ampunkan sesiapa, atau menjamin balasan di akhirat kelak. Di Tenang Nik Aziz secara terbuka menghukum orang UMNO sebagai Jahiliah.

6. Untuk tidak menjadi Jahiliah sokonglah PAS. Apakah ulama-ulama Islam yang tidak punyai kepentingan politik sudah putuskan bahawa syarat untuk menjadi orang Islam ialah menyokong PAS? Di manakah dalam Al-Quran dan Hadith yang sahih yang menyebut bahawa hanya dengan menyokong PAS baharulah seseorang itu beragama Islam? Kalau ini benar nenek moyang siapa yang jahil kerana tidak ada PAS masa mereka? Orang Islam lain di luar Malaysia sudah tentu bukan Islam kerana tidak ada PAS di negara mereka.

7. Orang UMNO adalah orang yang beragama Islam, walaupun bagi Nik Aziz mereka bukan Islam kerana tidak sokong PAS. Dunia mengiktiraf bahawa orang Melayu termasuk ahli UMNO dan ahli PAS juga adalah orang Islam. UMNO tidak mendakwa bahawa hanya orang UMNO sahaja yang Islam, atau dengan mengundi UMNO menjadi Islam dan akan ke syurga.

8. Oleh kerana orang UMNO beragama Islam maka perjuangan UMNO ialah untuk bangsa, agama (Islam) dan negara. Demikianlah pegangan UMNO kepada Islam sehingga Perlembagaan ciptaan UMNO mensyaratkan seseorang itu adalah Melayu jika dianya beragama Islam. Nik Aziz tidak akan memasukkan syarat ini kerana Melayu boleh jadi jahiliah dan tidak Islam kerana tidak sokong PAS.

9. Asas Islam mungkin tidak sama dengan nasionalisme. Penganut-penganut agama lain juga boleh jadi nasionalis. Ini tidak bermakna nasionalis Islam tidak Islam. Nasionalis yang terdiri daripada orang Islam memang berjuang untuk menegakkan agama Islam, memelihara negara Islam dan menjaga kehormatan agama Islam.

10. Mustafa Kemal Ataturk tidak menitik berat ke-Islamannya. Dia adalah seorang nasionalis. Pada masa dia berperang untuk negaranya, Turki dikuasai oleh orang Greek Kristian. Kerana nasionalismenya yang amat kuat, dia berperang sehingga Turki kembali ditakluk dan diperintah oleh orang Turki.

11. Dengan menyelamatkan Turki daripada orang Greek agama Islam terpelihara sehingga ke hari ini dan ke-Islaman orang Turki kekal. Sudah tentu Nik Aziz tidak akan akui orang Islam Turki adalah Islam.

12. Tidak ada keangkuhan yang lebih daripada seorang yang memikir dia sahaja Islam dan orang Islam lain tidak Islam dan tidak beriman kepada Allah s.w.t.

13. Terselamatnya banyak negara Islam yang dahulu dijajah adalah hasil perjuangan nasionalis Islam. Mereka nasionalis kerana mereka masing-masing sayang dan setia kepada negara mereka sahaja. Jika mereka hanya berjuang untuk Islam maka tumpuan mereka tentulah kepada membebaskan seluruh umat Islam tanpa mengira bangsa atau negara. Tetapi hakikatnya mereka tidak berjuang untuk negara Malaysia dan agama Islam di sini. Yang berjuang untuk membebaskan negara kita dengan agama Islam di sini ialah nasionalis Islam Melayu.

14. Nik Aziz sendiri berjuang hanya di Malaysia dan tidak di seluruh dunia Islam yang hari ini menghadapi pelbagai jenis penindasan dan tekanan. Walaupun Nik Aziz mendakwa bahawa dia berjuang untuk Islam, tetapi dengan menghadkan perjuangannya kepada negara ini dia juga adalah nasionalis sama seperti nasionalis dalam UMNO. Jika orang UMNO jahil kerana nasionalisme mereka, Nik Aziz juga jahil kerana sebab yang sama.

15. Apakah nasionalis Melayu Islam tidak pernah menyatakan tujuan hidup ini? Jika Nik Aziz membuka mata dan telinga, mungkin dia akan melihat perjuangan UMNO untuk Islam secara yang terpampang dihadapannya dan mendengar segala yang diperkatakan oleh pemimpin dan ahli UMNO berkenaan perjuangan untuk Islam, orang Islam dan negara Islam. Saya tidak perlu ulang tujuan hidup nasionalis Islam Melayu ialah mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. dengan membuat ibadah tertentu, memelihara orang Islam dan agama islam bukan sahaja di Malaysia tetapi dimana sahaja orang Islam ditindas. Tuhan yang akan menilai pengabdian nasionalis Melayu Islam dan bukan Nik Aziz.

16. Sebaliknya apa yang keluar dari bibir Nik Aziz sebagai tujuan hidupnya ialah untuk memenangi pilihanraya dan menjadi pemerintah bersama DAP dan PKR. Untuk ini Nik Aziz secara terbuka sanggup mengkafirkan orang Islam UMNO, bersedia untuk bekerjasama dengan syaitan untuk menjayakan perjuangannya, bekerjasama dengan orang yang menolak perjuangannya untuk mendirikan negara Islam ala PAS, mempertahankan pendapat tokoh bukan Islam supaya orang Islam longgarkan pegangan mereka kepada ajaran agama Islam. Harapan Nik Aziz ialah dengan melakukan semua ini orang bukan Islam di Malaysia akan sokong partinya dalam pilihanraya. Bukan Islam yang diutamakan, bukan mengabdikan diri kepada Allah, tetapi kemenangan dalam pilihanraya.

17. Bolehkah Nik Aziz baca apa yang ada dalam hati orang Melayu UMNO Islam apabila mereka mengucap dua kalimah syahadah? Apakah Nik Aziz tahu apa yang ada dalam hati seseorang apabila dia berniat dalam hati semasa solat dan masa-masa lain. Apakah Nik Aziz percaya dia adalah manusia luarbiasa yang tahu apa ada dalam hati seseorang yang tidak sama dengan apa yang disebut olehnya?

18. Kuasa ini hanya ada pada Allah s.w.t. Adakah Nik Aziz juga mempunyai kuasa ini? Apakah pandangan Islam terhadap orang yang mendakwa dia boleh baca apa yang ada dalam hati manusia sepertimana Allah s.w.t. boleh membacanya.

19. Apakah dasar pejuangan UMNO telah saya jelaskan. Islam tidak menyuruh kita hanya membuat ibadat tertentu sahaja. Mempertahankan umat Islam di Malaysia adalah satu daripada yang diwajibkan ke atas orang Islam. Sebab itu orang yang terbunuh mempertahankan orang Islam dan negara mereka termasuk dalam golongan syahid.

20. Apakah usaha yang dibuat oleh Kerajaan pimpinan nasionalis Melayu Islam supaya keupayaan menyelamatkan umat Islam dan agama Islam di Malaysia ada pada negara ini tidak menepati satu daripada kewajipan orang Islam? Untuk pengetahuan Nik Aziz Kerajaan pimpinan Melayu Islam nasionalis berjaya menolong orang Islam bukan sahaja di Malaysia tetapi di negara tertentu sehingga serangan keatas mereka terpaksa dihentikan.

21. Untuk menunaikan kewajipan ini negara harus mempunyai kewangan yang cukup yang datang daripada peningkatan ekonomi negara. Akan mampukah kita menunaikan kewajipan ini jika kita papa kedana, selalu meminta-minta dan mengemis daripada orang lain. Perjuangan untuk membangunkan negara supaya pertahanannya lebih kukuh adalah kewajipan orang Islam. Tidak mencukupi jika kita hanya berdoa meminta pertolongan Allah s.w.t.

22. Apakah benar UMNO menghapuskan Jawi sehingga kita tidak dapat membaca Al-Quran? Tidakkah Kerajaan UMNO mengadakan sekolah agama, mata pelajaran Islam yang menggunakan tulisan Jawi? Kenapakah Harakah menggunakan tulisan Rumi? Bagaimanakah terdapat lebih ramai yang mempelajari agama sehingga ke peringkat universiti jika generasi ini buta Al-Quran, tidak boleh baca Jawi.

23. Peruntukan kepada sekolah agama rakyat dihentikan kerana bukan agama yang diajar di sekolah-sekolah ini tetapi politik pecah-belah parti PAS.

24. Tidak pernah saya membuat tuduhan yang Nik Aziz menyebabkan parti UMNO diharamkan, atau penubuhan Semangat 46 atau Parti Keadilan. Tetapi yang jelas ialah PAS memberi sokongan kuat kepada serpihan ini kerana gemar melihat perpecahan dan pengharaman UMNO.

25. Benarkah Islam menerima pecah belah sebagai satu perkara yang pasti berlaku seperti Nik Aziz katakan?

26. Tafsiran ayat 36 dalam Surah Al-Baqarah berbunyi demikian; “Setelah itu maka syaitan menggelincirkan mereka berdua (Adam dan Hawa) daripada syurga itu dan menyebabkan mereka dikeluarkan daripada nikmat yang mereka telah berada di dalamnya; dan kami berfirman, “Turunlah kamu. Sebahagian dari (keturunan) kamu menjadi musuh kepada sebahagian daripada yang lain; dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati)”.

27. Ayat ini adalah berkenaan umat manusia yang sering berpecah belah dan bermusuh-musuhan sesama mereka.

28. Rujukan oleh Nik Aziz kepada ayat ini secara tidak langsung menjadi pengakuan oleh Nik Aziz yang dianya memang terlibat dengan pecah belah orang Melayu Islam.

29. Khusus bagi orang Islam, Allah s.w.t. berfirman (Ayat 10 Surah Al-Hujarat);”Innamalmukminu na ikhwatun…” iaitu orang-orang yang beriman (mukmin) itu adalah bersaudara.

30. Ayat itu diteruskan dan maksudnya ialah, “maka damaikanlah antara dua saudara kamu (yang bertelagah) itu, dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.”

31. Allah s.w.t. berfirman lagi dalam Al-Quran (Ayat 103, Surah Ali-Imran); “Dan berpeganglah kamu pada tali Allah (Al-Quran) dan janganlah kamu bercerai berai…”

32. Tak mungkin Nik Aziz tidak tahu akan ayat-ayat ini. Lebih mungkin Nik Aziz lupa dalam keghairahan menyalahguna agama untuk menghalalkan perbuatan yang ditegah. Yang jelas ialah Islam tidak menyuruh perpecahan di kalangan umat Islam.

33. Nabi Muhammad tidak memecah-belah orang Islam. Utbah bin Rabiah mengecam Nabi kerana agama Islam yang dibawa Baginda memecah belah kaum Quraisy (yang pada masa itu bukan semuanya Islam) kerana sebahagian daripada mereka telah memeluk agama Islam. Janganlah Nik Aziz banding dirinya dan apa yang dilakukan olehnya sama dengan Baginda Rasulullah. Baginda telah cuba menyatupadu orang Quraisy melalui Islam tetapi Nik Aziz menyeru supaya orang yang sudahpun Islam berpecah tiga dengan niat untuk melemahkan UMNO, musuh politik PAS.

34. UMNO tidak menculik ADUN PAS. Sebaliknya permusuhan antara pemimpin PAS Terengganu menyebabkan beberapa daripada mereka meninggalkan PAS untuk menyertai UMNO. Hari ini pun terlihat banyak peristiwa seperti ini berlaku. Jika mana-mana ahli PAS yang berpisah dari PAS untuk menyertai UMNO dan kemudian balik kepada PAS itu adalah pilihan mereka. Tidak ada paksaan atau tekanan dengan menyalahguna agama oleh UMNO untuk mendapat orang PAS.

35. Saya tidak tahu ada pilihanraya pada tahun 2003. Yang ada ialah Pilihanraya Umum 2004, di waktu mana saya bukan lagi Perdana Menteri dan PAS kalah teruk.

36. PAS tidak harus lupa di Memali enam orang anggota polis ditembak mati oleh pengganas Memali. Itulah sebabnya polis terpaksa tembak balas.

37. Iqraq ditafsir sebagai “baca”. Membaca tetap akan memberi kita tambahan ilmu. Sebab itu intelek Islam dizaman dahulu mengejar ilmu dengan membaca dalam bahasa Greek ilmu yang diterokai oleh mereka itu. Tak mungkin mereka membaca tulisan Greek dengan mengguna bahasa Arab.

38. Selepas menguasai ilmu yang diterokai oleh orang Greek, orang India, Parsi dan lain-lain maka dapatlah intelek Islam menambah kepada ilmu sains dan matematik dengan hasil kajian mereka. Dengan itu juga bahasa Arab menjadi bahasa ilmu.

39. Orang Eropah terpaksa mempelajari bahasa Arab untuk menguasai ilmu mereka. Sementara itu orang Islam (Arab) menolak ilmu yang kononnya sekular, kerana kononnya tidak berkaitan dengan agama.

40. Ilmu terkini yang diterokai oleh bangsa Eropah ditulis hampir semuanya dalam bahasa Inggeris.

41. Sains dan matematik tidak seperti ilmu lain. Sains dan Matematik memperkenal banyak ilmu baru hasil kajian yang dibuat sepanjang masa. Semua hasil ini dihebah dalam bahasa Inggeris. Kita tidak mempunyai cukup pakar yang terlatih dalam bidang-bidang sains tertentu yang fasih dalam bahasa Inggeris dan Melayu untuk menterjemah beribu-ribu kertas kajian (research papers) dalam bahasa Inggeris. Sebaliknya jika ilmu baru ini tidak dikuasai oleh orang Melayu, bahkan orang Islam, mereka akan ketinggalan jauh kebelakang, menjadi mundur dan lemah, mudah dipermain orang.

42. Bolehkah Nik Aziz perkenalkan seorang Melayu yang mempelajari Sains hanya dalam Bahasa Melayu yang mampu menulis kertas atau memahami tulisan berkenaan dengan nano sains atautheory of relativity atau perkiraan yang diperlukan untuk menghantar space shuttle supaya menemui dan dipasang kepada International Space Station.

43. Pada pendapat Nik Aziz apakah hanya dengan mengguna bahasa Melayu dalam mempelajari sains dan matematik kita akan jadi lebih Islam? Apakah Nik Aziz berpendapat dengan mengguna bahasa Malayu maka kita lebih Melayu, lebih setia kepada bangsa, lebih nasionalis, sedangkan Nik Aziz mendakwa Melayu tidak penting asalkan kita Islam, dan nasionalisme menjadikan kita kurang Islam. Apakah minat Nik Aziz kepada pengajaran dalam bahasa Melayu tidak mencerminkan sifat Nik Aziz sebagai seorang nasionalis juga, sama seperti orang UMNO. Nik Aziz harus tuntut supaya Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Arab, bukan bahasa Melayu.

44. Islam tidak akan sempurna tanpa iman kata Nik Aziz. Saya tahu dan orang UMNO tahu. Tetapi bagaimana Nik Aziz boleh tahu seseorang Islam sempurna imannya atau tidak? Allah s.w.t. tahu tetapi apakah Nik Aziz mempunyai kebolehan seperti Allah Ta’ala?

45. Apakah Abdullah bin Ubay di zaman Rasulullah tidak berjasa kepada Islam apabila dia membina Masjid Dhirar? Jika membina sekolah agama tidak bermakna UMNO berjasa kepada Islam, kenapakah saya dikecam apabila peruntukan kepada sekolah agama ditarik balik setelah sekolah dijadikan pusat mengembangkan ideologi PAS untuk membenci UMNO?

46. Apakah oleh kerana di Thailand juga wujud sekolah-sekolah agama (yang dibangun oleh orang Islam) maka ini bermakna pembinaan sekolah agama oleh UMNO tidak bermakna berjasa kepada Islam. Apabila PAS mendirikan sekolah agama apakah PAS berjasa kepada Islam? Atau berjasa kepada parti?

47. Arak sekarang dijual dibawah pemerintahan PAS. Besar atau kecil tidak bermakna kebenaran menjual arak tidak bertentangan dengan Islam.

48. Judi dan arak memang haram bagi Islam. Saya jemput Nik Aziz secara terbuka tuntut rakan karibnya DAP supaya sekarang ini, sebagai anggota dalam Pakatan Rakyat yang akan memerintah negara ini membuat pengakuan tertentu yang Kerajaan campuran Pakatan akan haramkan judi dan penjualan arak, disamping menerima hukum Hudud. Jika DAP enggan membuat kenyataan ini sanggupkah PAS mendakwa akan kalahkan calon DAP? Atau apakah PAS akan membisu berkenaan dengan negara Islam PAS, hukum Hudud, pengharaman judi dan arak kerana bukan dasar dan tujuan perjuangan PAS yang penting tetapi kemenangan dalam PRU dengan pertolongan DAP yang penting?

49. Akhir kata saya akui pengetahuan agama Nik Aziz dalam tetapi alangkah baiknya jika Nik Aziz berhenti daripada menyalahguna dan menyalah tafsir Islam demi kepentingan politik diri sendiri. Tidak ada sesiapa yang dapat lari daripada hari pengadilan yang dijanjikan oleh Allah s.w.t.

50. Justeru itu bertaqwalah kepada Allah s.w.t. dan hentikanlah mengeliru umat Islam di Malaysia kerana ingin menang pilihanraya.

 

DR MAHATHIR MUHAMAD

Tahun: 2011

5 July 2012 Posted by | Politik dan Dakwah | , , , , | 1 Comment

Teguran Ikhlas ilmuan ugama terhadap Nik Aziz yang menghina Rasulullah S.A.W

Video klip ini bertujuan supaya ummat Islam kembali berfikir, setiap apa yang di keluarkan oleh seseorang tokoh ulamak ke, ahli politik ke ustaz ke LEBIH -LEBIH lagi orang yang MASYHUR dan kita sanjungi dan sayangi tidak boleh kita terus telan bulat-bulat terima,mesti di pandukan dengan Nas AL-QURAN,HADIS,QIAS dan IJMAK ULAMAK…. kerana UGAMA ISLAM kita bukan terbina hanya di atas semata-mata munasabah ‘aqal bah di bina di atas naqol….Sama-samalah kita mengambil pengajaran dengan HATI yang terbuka bukan di dorong dengan HAWA NAFSU TA’ASUB kepada mana-mana pihak..timbangkan dengan mizan ILMU dan AQAL… selamat menonton dan apa yang baik hanya daripada ALLAH….

Teguran Nik Aziz terhadap Mufti Perak Tan Sri Harussani sebenarnya membuka pekung Wahhabinya sendiri. Keceluparan mulut Nik Aziz terhadap Rasulullah SAW bukan baru. Malah bila dalam ucapannya nak membantai Harussani sebenarnya dia mengambil peluang sekali lagi menghina Rasulullah SAW dengan  menyamakan Baginda Rasulullah hijrah ke Madinah kerana nakkan kerusi (pilihanraya) sebenarnya Nik Aziz telah menghina Rasulullah S.A.W. Baginda berhijrah ke Madinah semata mata untuk mengembangkan syiar Islam. Baginda pernah ditawarkan segunung emas sebesar  Bukit Uhud yang memerah di Madinah tapi baginda tetap dengan zuhudnya. Sudah sudahlah Nik Aziz mengambil kesempatan menghina Rasulullah S.AW. Umat Islam sewajarnya mengenal yang mana ulama suk dan yang mana ulama sebenar.

Sesuatu Teguran itu tidak semestinya bertujuan untuk membenci,apatah lagi mahu menghina seorang tokoh yang bertaraf ulamak,namun ketahuilah wahai saudara seiman, seorang ulamak itu tidak pernah maksum dan pastinya akan ada melakukan kesilapan dan kesalahan, hanya para ROSUL sahaja yang maksum tidak melakukan dosa ketika sudah di lantik menjadi ROSUL atau sebelumnya yang di panggil istilah ilmu tauhid sebagai irhas..

Lalu Tanpa mengurangkan sedikit pun rasa hormat dan kasih terhadap Yang Amat Berhormat Tuan Guru Dato Bentara Setia Hj Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat (Menteri Besar Negeri Kelantan),
Kami dengan rendah dirinya menegur beliau tentang kenyata’an beliau bahawa SAYYIDINA NABI MUHAMMAD S.A.W itu ada kaitannya dengan kita bila umurnya 40 tahun yakni setelah BAGINDA menerima WAHYU,dan kenyata’an beliau bahawa SAYYIDINA NABI MUHAMMAD S.A.W itu ketika lahirnya BAGINDA tiada apa-apa kelebihan,hanya sama dengan muhammad -muhammad budak kampung biasa dan IBUNDA NYA BAGINDA pun tidak tahu BAGINDA akan jadi RASUL dan NABI, dan kenyata’an beliau bahawa ALLAH ta’ala baru melantik dengan melihat dahulu dalam ramai-ramai manusia ketika itu baru di rancang perlantikan SAYYIDINA NABI kita MUHAMMAD S.A.W ini menunjukan ilmu,iradat ALLAH ta’ala mengetahui dan menghendaki sesuatu itu baharu bukan azali lagi,dan kenyata’an beliau juga bahawa MAJLIS IHTIFAL MAULID SAYYIDINA NABI kita MUHAMMAD S.A.W itu hanya kerana nak bertanding dengan orang-orang kristian menyambut krismas jesus…BENAR beliau tidak melarang tetapi kenyata’an beliau ini besar mudharatnya pada aqidah AHLUS SUNNAH WAL JAMA’AH.

Maka antara mereka yang menghuraikan di dalam video klip ini akan kebahaya’an Kenyataan beliau,pada AQIDAH AHLUS SUNNAH WAL JAMA’AH  yang mungkin sulit di fahami oleh orang awam sekarang. Mereka ialah: 

1)  Al-Fadhil Ustaz Azhar Idrus (PONDOK,PENDAKWAH YOUTUBE,IKUTAN SEJUTA UMMAT, PAS)

2) Al-Fadhil Tuan Guru Ustaz Zamihan Mad Zain Al-Ghori Al-Kelantany (JAKIM)

3) Al-Fadhil Tuan Syaikh Muhammad Nuruddin Al-Banjari Al-Makki (TOKOH ULAMAK MURID MUSNID DUNYA SYAIKH YASIN AL-FADANI)

4) Al-Fadhil Tuan Syaikh Muhammad Husni Ginting Al-Langkati Al-Azhary (MUSNID ASIA)

5) Al-Fadhil Tuan Guru Hj AbduLLOH bin Sa’amah An Najmiah (TOK GURU PONDOK GETING KELANTAN)

6) AL-Fadhil Ustaz Zainal ‘Abidin Al-Kelantany (PONDOK KELANTAN ,UMNO )

7) )Al-Fadhil Ustaz Muhammad Kazim Elias (Pendakwah Bebas)

8) AL-Fadhil Ustaz Syed Ahmad Ridhwan Al-Yahya (PENUNTUT ILMU DI AL-AZHAR AS-SYARIF)

 9)AL-Fadhil Ustaz Syed Ahmad Faiz Hafizuddin Al-iDrus (PENUNTUT ILMU DI AL-AZHAR AS-SYARIF)
Dan Muhasabah CINTA kita terhadap JUJUNGAN YANG AMAT MULIA SAYYIDUNA WA HABIBUNA MUHAMMAD SAYYIDUL KAUN S.A.W oleh:

10) AL-Fadhil Ustaz Syed Najmuddin Al-Kheeired AL-Azhary (PENDAKWAH BEBAS AL-AZHAR AS-SYARIF)

(Oleh : Ustaz Syed Faiz)

11 June 2012 Posted by | Aqidah, Bicara Ulama, Politik dan Dakwah | , , | 1 Comment

ANTARA 2 ABDUL AZIZ, PAS DAN DAP

 

KELMARIN, dua pemimpin pembangkang membuat dua kenyataan yang berbeza. Kedua-duanya melibatkan individu bernama ‘Abdul Aziz’.

Kenyataan pertama dibuat oleh Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim yang membuat keputusan meninggalkan parti itu selepas dikecam hebat oleh kepimpinan DAP yang salah seorang pemimpinnya ingin mencontohi kepimpinan Khalifah Umar Abdul Aziz.

Segalanya bermula apabila Tunku Abdul Aziz enggan menyokong perhimpunan haram Bersih yang dianggap melanggar undang-undang negara serta hanya mencetuskan huru-hara. Akibat ketegasannya Tunku Abdul Aziz tidak disambung tempoh perkhidmatan sebagai Senator oleh DAP.

Ketika Tunku Abdul Aziz tegas dengan pendiriannya dan sanggup kehilangan kedudukan demi menegakkan kebenaran, kita juga dihidangkan dengan kenyataan keras oleh seorang lagi bernama Abdul Aziz iaitu Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Menteri Besar Kelantan itu ternyata tidak berpuas hati dengan kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria bahawa Pas sudah menyeleweng dan menyalahgunakan agama Islam. Justeru Nik Abdul Aziz menyifatkan ia satu pandangan lapuk seorang mufti.

Sebelum ini, dalam isu Bersih, Nik Abdul Aziz ternyata meletakkan kepentingan politik bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP mengatasi segala-galanya apabila Mursyidul Am Pas itu menyifatkan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia hanya menggunakan sebelah mata apabila mengaitkan perhimpunan Bersih 3.0 dengan huru-hara dan umat Islam haram menyertainya.

Malahan dalam kenyataan melalui Facebook, Nik Abdul Aziz secara sinis berkata, mata yang digunakan oleh jawatankuasa fatwa itu pula adalah kabur dengan cermin mata yang telah rosak.

Menurut Nik Abdul Aziz, beliau bersetuju perhimpunan yang bertujuan mencetuskan huru-hara dan merosakkan harta benda adalah haram, tetapi bukan Bersih 3.0. Beliau turut menyifatkan jawatankuasa itu membuat keputusan hanya berdasarkan laporan akhbar prokerajaan, tanpa mendapat penjelasan daripada penganjur Bersih 3.0.

Namun cuba kita kaji apa kata Tunku Abdul Aziz mengenai Bersih pada 26 April lalu sehingga memungkinkan beliau tidak disenangi oleh kepimpinan DAP. Menurut Tunku Abdul Aziz, beliau membantah perhimpunan itu kerana berdasarkan pengalaman serta pemerhatian terhadap penganjuran beberapa perhimpunan jalanan di luar negara yang kononnya aman tetapi berakhir dengan keganasan.

”Walaupun saya daripada pembangkang, bukan semua pembangkang sokong Bersih. Saya tak akan sokong Bersih. Saya dah biasa tengok, bukan sahaja di negara kita tetapi saya biasa bekerja duduk di banyak negara. Semua demonstrasi kononnya mula dengan secara orang kata aman tetapi kebanyakan di mana-mana pun kita tengok terjadi sebaliknya," kata beliau ketika itu.

Mungkin Tunku Abdul Aziz membuat bantahan tersebut kerana melihat apa yang berlaku dalam perhimpunan Bersih 2.0 tahun lalu yang kesudahannya berakhir dengan kekecohan. Dan pada tahun ini penganjur sengaja mencari fasal apabila tetap ingin mengadakan perhimpunan di Dataran Merdeka biar pun ia sudah ada perintah mahkamah melarang mereka berbuat demikian.

Ternyata telahan Tunku Abdul Aziz menjadi kenyataan apabila perhimpunan Bersih 3.0 turut berakhir dengan kekecohan dan lebih teruk lagi ada keberanian luar biasa di kalangan penunjuk perasaan untuk merempuh sekatan polis.

Tetapi Pas termasuk Nik Abdul Aziz sengaja tidak mahu mengakui fakta ini, sebaliknya parti berkenaan bersekongkol dengan Majlis Peguam menyalahkan pihak berkuasa. Lidah rasmi Pas menunjukkan gambar kononnya polis bertindak ganas tetapi mereka tidak pula memaparkan bagaimana Unit Amal parti itu merempuh sekatan polis yang dikatakan menjadi salah satu penyebab utama perhimpunan tempoh hari menjadi ganas.

Tindakan Tunku Abdul Aziz meletakkan jawatan, sekali lagi memberi pengajaran kepada pemimpin-pemimpin Pas supaya sentiasa berpegang kepada prinsip dan konsisten dalam apa juga yang dilakukan.

Tunku Abdul Aziz boleh sahaja menyokong Bersih kalau beliau mahu tempoh senatornya disambung tetapi beliau tidak berbuat demikian kerana ini menyentuh soal prinsip. Tunku Abdul Aziz tidak mahu menjadi seperti pemimpin-pemimpin Pas yang sanggup menolak kebenaran semata-mata kerana perjuangan politik.

Mungkin hujah ini tidak disenangi oleh Pas dan Nik Abdul Aziz tetapi inilah kenyataannya. Walaupun banyak pihak sudah melihat bahawa perhimpunan Bersih tidak akan mendatangkan sebarang faedah apatah lagi dengan sikap kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sentiasa bersedia berunding bagi menyelesaikan masalah namun ia tidak dipedulikan oleh Pas dan sekutunya.

Oleh itu, mereka mahu mana-mana juga pihak termasuklah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan menyokong perhimpunan berkenaan, kalau membuat kenyataan berbeza dengan apa yang mereka perjuangkan maka pihak-pihak berkenaan akan dituduh pak turut kerajaan.

Sebab itulah, apabila Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan membuat keputusan mengatakan perhimpunan Bersih haram, maka melompatlah kepimpinan Pas. Pelbagai dalil dan hujah dikeluarkan oleh mereka bagi mempertahankan Bersih dan ada antaranya memperlekehkan keputusan majlis tersebut.

Sebagai contoh, seorang pelajar Malaysia di Jordan dalam satu tulisan yang disiarkan oleh blog-blog memperlekehkan keputusan Jawatankuasa Fatwa dan meminta anggota majlis tersebut bersikap terbuka biar pun menerima gaji daripada kerajaan BN.

Inilah sikap pemimpin dan penyokong Pas, kalau sesuatu keputusan itu tidak menyebelahi politik mereka, maka ia ditolak bulat-bulat biar pun ia dibuat berlandaskan al-Quran dan hadis.

Jika situasi ini diambil kira, jelaslah Tunku Abdul Aziz jauh lebih matang berpolitik berbanding kepimpinan Pas termasuk Nik Abdul Aziz. Ia memandangkan Tunku Abdul Aziz bersedia menerima risiko bagi menyatakan kebenaran tetapi Pas sentiasa sahaja berdolak-dalik dan membuat sesuatu keputusan berdasarkan perhitungan politik semata-mata.

Justeru tidak hairanlah apabila kepimpinan Pas bercakap soal hudud, tidak ada sebarang perasaan takut di kalangan pemimpin-pemimpin DAP atau PKR untuk membantah perkara tersebut. Ini kerana mereka memahami kepimpinan Pas terlalu taksub berpolitik dan tetap akan bersama dengan pakatan pembangkang biar pun apa juga berlaku.

Begitulah juga dalam isu Bersih, ketegasan Tunku Abdul Aziz dan keputusan Jawatankuasa Fatwa sudah pasti tidak akan mengugat Pas untuk terus menyokong perhimpunan haram berkenaan biar pun ia telah membawa kesan yang amat buruk kepada negara.

Pemikiran kepimpinan Pas sudah terkepung dengan politik untuk menjatuhkan kepimpinan BN melalui sasaran memenangi pilihan raya umum akan datang bersama-sama dengan PKR dan DAP.

Apa pun Tunku Abdul Aziz boleh dianggap memberi pengajaran kepada kepimpinan Pas termasuk Nik Abdul Aziz supaya konsisten dalam memperjuangkan sesuatu dan perlu menjadikan apa yang berlaku kepada beliau sebagai isyarat mengenai wajah sebenar politik DAP.

 

(Sumber: Empayar Pemuda)

18 May 2012 Posted by | Politik dan Dakwah | , , | Leave a comment

Nabi SAW sama dengan manusia lain – TG Nik Abd Aziz

Syarah TGNA : http://www.youtube.com/watch?v=SLcPltL2NDc

Ust Kazim Jawab Nik Aziz : http:http://www.youtube.com/watch?v=IAEsF5jEsE8

Ust Azhar Idrus : http://www.youtube.com/watch?v=-NRZfLUgjdI

 

Ulasan:
Soalan 1 : Apakah wujud kelebihan Nabi saw semasa kelahiran? Memang banyak sekali cerita-cerita yang dikhabarkan mengenai peristiwa keajaiban yang berlaku sekitar kelahiran nabi, akan tetapi sukar untuk memastikan kesahihannya. Sumber-sumbernya dari Sirah Ibn Hisyam, Tarikh al-Tabari, Mawahibu al-Laduniyya [Qastalani], Syifa [Qadi Iyaf], dsb.

Berkenaan dengan bilakah Nabi saw dikhatankan, Ibn Qayyim rh [Zaad al-Ma’ad, 1/53] telah mencatatkan 3 pandangan :

1. Beliau dilahirkan dalam keadaan telah dikhatankan.
2. Beliau dikhatankan oleh Malaikat yang membedah dada beliau semasa dibawah penjagaan Halimah.
3. Beliau telah dikhatankan oleh datuknya, Abdul Muthalib semasa berumur 7 hari, dan waktu itu dinamakan Muhammad.

Ibn Qayyim mengatakan pandangan yang mengatakan Nabi telah dikhatan semenjak lahir adalah tertolak kerana tidak wujud dalil sahih mengenainya. Peristiwa Nabi saw dibedah dada oleh Malaikat Jibril semasa berumur 4 atau 5 tahun terdapat didalam Hadith Muslim, akan tetapi perlakuan khatan itu sendiri tidak ada. Ulama’ cenderung kepada pendapat Muhammad  saw dikhatan oleh Abdul Muthalib kerana kelaziman orang arab akan mengkhatankan anak mereka semasa berumur 7 hari.

Memang wujud kelebihan Nabi Muhammad  saw sebelum beliau menjadi Rasul. Diantara peritiswa ajaib yang berlaku adalah semasa Nabi Muhammad telah di ambil oleh Halimah untuk disusukan. Halimah dan keluarga tidak mempunyai makanan yang cukup, sehingga susu badan beliau tidak mencukupi untuk memberi susuan kepada anaknya. Beliau juga mempunyai seekor unta, dimana unta itu juga sudah lama tidak mengeluarkan susu.

Akan tetapi semasa beliau mengambil Muhammad didadanya, didapati susu telah wujud. Susu tersebut mencukupi untuk Muhammad, termasuklah untuk adik tirinya. Suaminya telah pergi kepada unta tersebut dan didapati unta tersebut pun sudah boleh mengeluarkan susu. Semasa perjalanan ke Mekah, kaki himarnya telah cedera. Akan tetapi semasa pulangnya, himar tersebut dengan cepatnya telah pulih.

Ibn ‘Asakir meriwayatkan satu peristiwa yang berlaku semasa Nabi  saw bersama Pakciknya Abu Talib telah menerima aduan orang Quraish mengenai keadaan di Mekah yang tidak hujan-hujan. Semasa Abu Talib pergi bersama anak buahnya Muhammad untuk berdo’a di Ka’bah pada suasana yang panas, kelihatan awan gelap berada diatas kepala Muhammad. Abu Talib dan anak buahnya berdo’a di Ka’bah dan tiba awan dari pelbagai arah bertemu dan mengeluarkan hujan membasai bumi Mekah.

Didalam peristiwa lain pula, Nabi  saw mengikuti Abu Talib ke Syria. Sesampai di Busra, terdapatnya Rahib bernama Bahirah bertemu dengan mereka. Walaupun tidak pernah berjumpa, dia dapat mengenali Muhammad. Apabila Abu Talib bertanya bagaimana dapat mengenali Muhammad, jawabnya pada masa mereka berjalan dari arah Aqabah, kelihatan batu, pokok sujud, dan ini hanya berlaku jika seseorang itu Nabi. Dia juga mengenal Muhammad dari tanda kenabiannya, Khatam Nubuwah, cop kenabian dibawah bahunya.

Ini adalah peristiwa yang menunjukkan bahawa tanda keNabian itu telah wujud semenjak Nabi Muhammad saw masih kecil lagi dan Allah swt sentiasa memelihara Nabi akhir zaman ini dari sebarang gangguan. Peristiwa ini kami petik dari Kitab al-Raheeq al-Makhtum (ms 61 – 65) karangan Safiur Rahman al-Mubarakpuri yang sangat sarat dengan rujukan.

Soalan 2 : Mengenai kenyataan yang dikeluarkan TG Nik Aziz Nik Mat mengenai Nabi Muhammad saw merupakan manusia biasa sebelum diturunkan al-Quran kepada baginda, perlu dilihat dari beberapa aspek. Kalau beliau sengaja mengatakan Nabi Muhammad  saw hanyalah manusia biasa seperti kita, barulah dikatakan menghina kedudukan Nabi saw .

Secara umum, didalam al-Quran, Allah swt sendiri memberitahu Nabi  saw bahawa katakan kepada mereka yang bertanya, bahawa engkau adalah manusia biasa. Firman Allah swt bermaksud:-

“Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu; Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah dia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah dia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya” [surah al-Kahfi : 110]

Menurut Imam al-Qurthubi, surah ini mengambarkan Allah memberitahu Muhammad saw  bahawa beliau adalah manusia biasa dengan tujuan merendahkan ego-ego manusia agar tidak merasa diri mereka tinggi sangat, sedangkan Nabi Muhammad sendiri adalah manusia biasa.

Ayat ini juga boleh memberi motivasi kepada manusia untuk beramal. Jika Muhammad saw  boleh melakukan amalan-amalan baik, maka kita pun boleh melakukannya.

Ayat ini juga boleh digunakan untuk melarang manusia yang berlebih-lebih sikapnya terhadap Nabi saw sebagaimana orang-orang Nasrani mengangkat Nabi Isa as. Inilah yang dimaksudkan oleh TG Nk Aziz didalam petikan video diatas, menasihatkan agar umat Islam tidak berlebih-lebih menyambut Maulid Nabi, tetapi apa yang penting adalah memartabatkan al-Quran dan al-Sunnah yang Nabi Muhammad  saw bawa setelah beliau menerima wahyu semasa berumur 40 tahun. Tidak mungkin seorang Tok Guru yang sangat menyanjung Nabi  saw sanggup menghinanya. Haruslah kita mempunyai sikap “bersangka baik” terhadap beliau. Tujuan beliau jelas, melarang manusia berlebih-lebihan didalam Maulid sebagaimana orang-orang Nasara berlebihan terhadapa Nabi Isa as.

Nabi saw sendiri melarang umatnya dari melakukan apa yang dilakukan oleh orang Nasrani terhadap Nabi Isa as, sebagaimana sabda beliau :

“Jangan kamu berlebihan terhadapku sebagaimana orang-orang Nasara berlebih-lebihan terhdap anak Maryam, aku hanyalah hamba, maka katakanlah : hamba Allah dan Rasul Allah” [Hadith Riwayat al-Bukhari, Ahaadith al-Anbiya # 3189]

Bagi mereka yang sengaja menggunakan ayat diatas untuk merendah-rendahkan martabat Nabi Muhammad saw, maka perbuatan tersebut adalah dilarang. Nabi Muhammad  saw sebelum menerima wahyu lagi merupakan hamba Allah swt yang diperlihara oleh Allah swt. Malah jika kita melihat ayat dari surah al-Kahfi diatas, walaupun Allah menyuruh baginda mengatakan dia adalah manusia seperti kamu, akan tetapi sambungan ayat tersebut menyatakan bahawa beliau menerima WAHYU. Manusia biasa tidak mungkin akan menerima wahyu seperti Nabi saw. Beliau adalah hamba Allah yang paling mulia disisi Allah dan penghulu segala Nabi. WA.

Sekian, wassalam

(Sumber: al ahkam.net)

26 August 2011 Posted by | Aqidah, Q & A (Soal Jawab) | , | Leave a comment

   

%d bloggers like this: