Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Jakim seru umat Islam Malaysia tolak tuntutan NGO di Geneva

Jakim-150x150
Umat Islam di negara ini diseru supaya bersatu untuk menolak tuntutan yang akan dikemukakan oleh gabungan 54 NGO kepada Majlis Hak Asasi Manusia di Geneva, Switzerland yang akan membuat semakan berkala rekod hak asasi manusia negara anggota Pertubuhan Bangsa Bersatu minggu depan.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam teks khutbah Jumaat yang diedar hari ini mempersoalkan kewajaran tuntutan berkenaan yang dilihat cuba menghancurkan keharmonian masyarakat dan menggugat kedudukan agama Islam seperti dalam Perlembagaan Persekutuan.

Antara tuntutan itu termasuk hak kebebasan beragama, pengiktirafan terhadap golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) serta dakwaan diskriminasi ke atas wanita Islam dalam peruntukan tertentu undang-undang keluarga Islam.

Laporan oleh gabungan NGO itu juga menyentuh dakwaan diskriminasi terhadap pengikut syiah serta bantahan pengharaman bahan penerbitan yang menyalahi hukum syarak.

“Persoalannya timbul di sini apakah tujuan gabungan NGO tersebut membuat pelbagai aduan dan tuntutan sedemikian di Majlis Hak Asasi Manusia, Geneva?,” kata teks khutbah berkenaan.

Teks khutbah bertajuk Menangani Konsep Kebebasan itu dikeluarkan di laman web Jakim.

Khutbah itu menarik perhatian bahawa NGO berkenaan membuat tuntutan itu untuk mendesak kerajaan supaya membenarkan amalan kebebasan secara mutlak dengan berselindung di sebalik apa yang didakwa sebagai hak asasi manusia.

Khutbah itu menegaskan adalah menjadi tanggungjawab umat Islam untuk menzahirkan bantahan sekeras-kerasnya terhadap perkara tersebut kerana ia melibatkan identiti dan maruah umat Islam.

“Justeru bagi menyelamatkan agama dan ummah dari terus musnah akibat impak amalan-amalan bertentangan aqidah dan syariah, mimbar menyeru kepada semua pihak agar menolak segala tuntutan ini.

“Jangan kita terlibat dengan budaya kebebasan yang boleh melemahkan ummah dan menyesatkan,” kata khutbah itu lagi.

Jakim turut berpendapat tuntutan itu digerakkan “secara halus” oleh “musuh-musuh Islam atau umat Islam yang telah diperkudakan oleh musuh Islam”.

Ia juga berpendapat gejala negatif yang dipertahankan oleh tuntutan NGO itu berlaku kesan propaganda fahaman pluralisme agama yang semakin hari semakin berkembang di negara ini.

Untuk itu, khutbah berkenaan mengingatkan bahawa dalam Islam tidak ada kebebasan mutlak kerana setiap tindak tanduk manusia “dibimbing oleh prinsip dan peraturan yang telah ditetapkan oleh syarak yang bersumberkan wahyu daripada Allah”.

Khutbah itu juga menggesa pihak berkuasa menangani kumpulan NGO itu yang didakwa “sengaja mengada-adakan cerita” untuk menjatuhkan imej negara di mata dunia.

Selain tindakan undang-undang, Jakim mencadangkan NGO itu disiasat bagi memastikan tidak mendapat pembiayaan daripada pihak luar bagi mencemarkan nama baik dan kedaulatan negara.

Dalam pada itu, khutbah berkenaan yakin Majlis Hak Asasi Manusia di Geneva rasional dan tidak akan terpengaruh dengan laporan negatif NGO berkenaan terhadap kerajaan.

Berita mula diterbitkan pada: Oktober 18, 2013 14:20 (MYT)

Sumber::http://www.astroawani.com/news/show/jakim-seru-umat-islam-malaysia-tolak-tuntutan-ngo-di-geneva-24091?cp

19/10/2013 Posted by | Berita dan Isu Semasa, Informasi | | Leave a comment

NGO JATI: Bukan Islam tak perlu gelisah, kata Datuk Hasan Ali

Masyarakat bukan Islam tidak perlu berasa tersisih dengan kewujudan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), JATI, yang akan ditubuhkan secara rasmi pada 21 Feb, kata bekas pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali.

Hasan, yang dipecat daripada PAS pada 9 Jan lepas, berkata walaupun perjuangan JATI bertumpu kepada IMR — iaitu singkatan kepada perjuangan untuk Islam, Melayu serta mendaulatkan institusi Raja-raja, hak bukan Islam tetap terjamin menurut Perlembagaan Malaysia.

“Bila saya kata IMR, orang bukan Islam jangan rasa tersisih. Dalam perlembagaan kita tak seorang pun terkeluar daripada garis, ruang atau tak dapat ruang, keselesaan dan hak di dalam negara ini.
“Jangan takut dan bimbang. Islam tak menyisihkan (orang lain, Melayu tak menyisihkan (orang lain), manakala Raja-raja adalah ‘point of solidarity, togetherness and convergence’ (titik perpaduan, bersatu hati dan pertemuan),” katanya dalam satu temubual eksklusif dengan Bernama dan Bernama TV di sini baru-baru ini.

Beliau berkata penubuhan JATI seolah-olah ditunggu-tunggu masyarakat dan mendakwa ribuan orang sudah menyatakan berminat untuk menyertai pertubuhan itu.

“Dah ramai yang bertanya mana borang untuk diisi, dah wujud atau belum laman web dan sebagainya. Alhamdulillah,” kata Hasan, yang juga pernah menjadi Naib Presiden PAS selama lima tahun.
Katanya struktur organisasi JATI sedang disusun dan diketuai oleh seorang presiden tetapi ia bukan sebuah pertubuhan politik.

“Jadi tekanan ke arah itu (kewujudan JATI) tak payah didesak. Our forte is (Kekuatan kami ialah) aqidah Islam, Melayu yang reflect the authenticity ofIslam (yang menggambarkan ketulenan Islam),” katanya.

Beliau berkata walaupun JATI tidak bermotifkan politik, anggotanya tidak akan dihalang sama ada secara bergabung sesama mereka atau secara individu untuk menjadi calon pada pilihan raya umum akan datang.

Ditanya sama ada ia akan dianggotai oleh nama-nama besar, beliau berkata ia bergantung pada pandangan seseorang individu tetapi sebahagian besarnya adalah aktivis.

Hasan berkata pada masa ini penubuhannya bukan bertujuan mewujudkan satu lagi parti politik berasaskan Islam.- Bernama

11/02/2012 Posted by | Politik dan Dakwah | , | 2 Comments

   

%d bloggers like this: