Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Adakah Malaysia ialah Negara Islam

PENDAHULUAN

“Istilah ‘Negara Islam’ tidak tercatat secara langsung dalam al-Quran dan al-Sunnah. Perbahasan mengenainya hanya dibuat berpandukan kepada ijtihad para ulama mujtahidin. Perbahasan ini dibuat bertujuan menentukan kategori sesuatu negara atau tempat yang didiami oleh umat Islam samada bertaraf ‘kampung halaman Islam atau hak umat Islam’ atau ‘kampung halaman kafir harbi’ yang memerangi umat Islam”.

Negara-negara di dunia ini mengikut penilaian hukum fiqh terbahagi kepada tiga kategori, iaitu;

i. Negara Islam.

ii. Negara kafir yang berperang dengan Islam, dan.

iii. Negara kafir yang tidak memerangi Islam.

DEFINISI NEGARA ISLAM

Beberapa definisi Negara Islam yang dirumuskan oleh ulama dan cerdikpandai Islam adalah seperti berikut;

i. Muhammad bin Hasan As Syaibani:

“Negara yang dikuasai dan diperintah oleh umat Islam dan orang-orang Islam menikmati keamanan dan keselesaan di dalamnya”.

ii. Muhammad Abu Zuhrah:

“Negara Islam ialah negara yang berada di bawah kuasa pemerintahan orang Islam. Kekuatan dan pertahananya dikuasai orang Islam. Negara sedemikian wajib dipertahankan oleh setiap individu muslim”.

Berpandukan kepada definisi di atas, jelaslah Malaysia adalah sebuah negara Islam. Keraguan dan pertikaian mengenai Malaysia sebagai sebuah negara Islam adalah tidak berasaskan fakta dan ianya tertolak.

Malaysia sebagai negara Islam telah diperkuatkan lagi dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan bahawa Islam adalah agama bagi Persekutuan. Peruntukan ini tidak diadakan oleh penjajah, tatapi diusaha oleh pejuang dan pemimpin negara seiring perjuangan mencapai kemerdekaan.

ASAS-ASAS NEGARA ISLAM

Asas-asas utama sesebuah negara itu diiktiraf sebagai negara Islam antaranya ialah;

· Sesebuah negara yang tunduk akur di bawah kuasa Islam dan orang Islam sebagai ketua pemerintah.

· Tanahair orang Islam adalah sah sebagai negara Islam.

· Sesebuah negara yang aman dan bebas didirikan syiar Islam di dalamnya.

MALAYSIA ADALAH NEGARA ISLAM

Hasil dari definisi dan pandangan ulama mengenai negara Islam, jelaslah Malaysia sebagai negara Islam kerana ciri-ciri berikut;

· Malaysia adalah tanahair orang Islam sejak turun temurun.

· Ketua pemerintahan negara dipegang oleh orang Islam.

· Malaysia masih didiami oleh orang-orang Islam sebagai pemunya.

· Umat Islam bebas menunaikan amalan syariat Islam malah dibantu oleh Kerajaan.

· Sistem mempertingkatkan ibadah, munakahat dan muamalat dilaksanakan di serata negara.

· Pendidikan Islam diajar dari peringkat sekolah rendah hingga ke peringkat institusi pengajian tinggi dan sentiasa ditingkatkan mutunya.

Mahkamah syariah ditubuh dengan rasmi dan hasil keputusannya tidak boleh diganggu oleh mahkamah sivil.

MALAYSIA NEGARA SEKULAR ?

Terdapat di kalangan umat Islam di Malaysia yang menganggap Malaysia sebagai negara sekular. Oleh itu eloklah difahami terlebih dahulu apakah erti sekular. Perkataan ‘sekular’ berasal daripada perkataan Latin seaculum yang bermakna ‘alam ini’ atau ‘dunia ini’. Gerakan fahaman sekularisma bermula pada pertengahan abad ke 19 di England yang diasaskan oleh George Jacob Holyoake (1817-1906). Golongan ini hanya mementingkan kebajikan manusia di dunia dan menafikan kewujudan alam akhirat.

Dalam suasana sedemikian, sekularisma telah dipersepsikan menerusi ciri-ciri berikut;

· Menolak kepercayaan adanya Tuhan. Segalanya berpusat pada alam ini.

· Menolak kepercayaan adanya hari akhirat dan perkara-perkara berkaitan dengan kehidupan selepas mati.

· Agama dan dunia terpisah secara total.

Apa yang sedang diamalkan oleh negara Malaysia hari ini ialah berusaha menjaga kebajikan umat Islam dan memartabatkan agama Islam serta tidak lupa tanggungjawab kepada rakyat bukan Islam. Tanggungjawab sedemikian adalah sebahagian suruhan Islam.

Kerajaan juga telah berusaha memantapkan akidah, memajukan syariah dan mempertinggikan akhlak umat. Dengan pelaksanaan tugas-tugas tersebut, keadaan dan keraguan serta kekeliruan umat Islam di negara ini adalah tidak berasas dan tidak mempunyai sebarang faedah. Status negara Malaysia sebagai negara Islam tidak boleh lagi dipertikaikan, sebaliknya adalah lebih baik menerima realiti yang ada dan berusaha memperkuat serta memperbaiki lagi mana-mana kelemahan dan kekurangan jika ada.

USAHA YANG DILAKUKAN OLEH KERAJAAN MALAYSIA

Antara usaha yang dilakukan oleh Kerajaan dalam menunaikan tanggungjawab sebagai sebuah Kerajaan Islam ialah seperti berikut;

· Menjaga kepentingan agama serta mentadbir urusan negara dan umat.

· Mengurus pemerintahan adalah antara kewajipan agama yang terbesar, malah agama itu sendiri tidak dapat ditegakkan tanpa wujudnya pemerintahan.

· Memelihara agama dari sebarang pencerobohan fahaman dan ajaran yang boleh memesongkan akidah sebenar Islam. Fahaman agama yang dipegang ialah yang bertepatan dengan al-Quran dan al-Sunnah serta akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

· Melantik jemaah menteri bagi membantu negara dalam menjalankan tugas-tugas pemerintahan. Dalam hal ini, Islam mengharuskan melantik orang bukan Islam yang menjadi warganegara sebagai menteri untuk melaksanakan dasar-dasar yang dibuat oleh kerajaan.

· Menyediakan tenaga tentera dan sistem pertahanan negara bagi menjamin keselamatan agama, bangsa dan negara.

· Mewujudkan sistem perundangan dan kehakiman bagi menyelesaikan pertikaian dan menegakkan keadilan.

· Mendirikan dan menguruskan kelicinan peribadatan seperti mendirikan masjid dan menguruskan pentadbiran berkaitannya.

· Mengendalikan urusan ibadat haji dengan teratur.

· Menguruskan hal ehwal zakat secara bersistem.

· Memungut hasil cukai yang pelbagai untuk dana negara.

· Menguruskan sistem pentadbiran awam yang cemerlang.

· Membanteras jenayah dan sebagainya.

KEWAJIPAN RAKYAT TERHADAP PEMERINTAH

Oleh kerana Malaysia sebuah negara Islam, maka berkewajipan setiap rakyat melaksanakan tugas-tugas dan tanggungjawab yang antara lainnya ialah seperti berikut;

· Taat serta patuh dengan ikhlas dan penuh rasa bangga.

· Bersedia menolong pemerintah dalam melaksanakan tanggungjawabnya.

· Menjauhi diri dari perbuatan-perbuatan mungkar seperti menganggu ketenteraman awam, menimbulkan huru-hara dan mengancam keselamatan masyarakat dan negara.

· Bertanggungjawab mempertahan dan menaikkan nama negara pada bila-bila masa dan di mana sahaja.

· Berusaha membangun dan memajukan ekonomi diri, masyarakat dan negara.

PENUTUP

Malaysia sebagai sebuah negara Islam adalah menepati dengan definisi yang diperkatakan oleh ulama masa kini dan terdahulu. Tugas kita sekarang ini adalah untuk mengisi dan memantapkan lagi apa-apa yang perlu diperkemaskan dan tidak lagi menghabiskan masa mempertikaikannya kerana telah jelas bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam yang terbukti dari segi sejarah, perundangan, pembangunan dan penghayatan Islam.

 

Sumber: : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

http://www.islam.gov.my/e-rujukan/nislam2.html

11 January 2014 Posted by | Bicara Ulama, Politik dan Dakwah | | Leave a comment

Apabila parti politik Islam tidak ikhtiraf negara Islam

Al Ismaili Rahimahullah berkata:

“BAHAWA SESEBUAH NEGARA DI NAMAKAN NEGARA ISLAM SELAGI MASIH ADA PANGGILAN UNTUK SOLAT (AZAN) DAN DI DIRIKAN SOLAT DENGAN TERANG TERANGAN DAN PENDUDUKNYA (RAKYAT) SENTIASA MENDIRIKAN SOLAT DENGAN BEBAS (AMAN)”.

(Lihat: Iktiqad Ammaitu Ahlu Hadis, hlm 50)

Menurut Muhammad Abu Zahrah (Imam Fuqaha Al Azhar):

“DARUL ISLAM (NEGERI ATAU NEGARA ISLAM) SETIAP NEGARA YANG DI PERINTAH DAN DI KUASAI OLEH ISLAM (UMAT ISLAM), IAITU KEKUATAN DAN PERTAHANAN NEGARA BERADA DI BAWAH KEKUASAAN UMAT ISLAM.INI LAH BENTUK BENTUK NEGARA YANG WAJIB DI PERTAHANKAN OLEH SETIAP UMAT ISLAM.

(Abu Zahrah hlm: 377)

Sesebuah negara, walaupun bermasyarakat plural (majmuk) dan mempunyai kepelbagaian agama dan budaya, namun apabila majoriti rakyatnya beragama Islam, dipimpin oleh penguasa yang beragama Islam, keselamatan, kekuatan dan pertahanan masih dikuasai oleh pemimpin Islam, pemimpinnya masih mendirikan solat, laungan suara azan masih terus berkumandang dan penguasa masih menguasai urusan kaum Muslimin, maka ia dinamakan negara Islam. Petanda negara Islam yang dijelaskan oleh Imam Nawawi dan Imam Ahmad yang disebut di atas, dalilnya diambil dari beberapa buah hadis sahih, antaranya sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:

“Akan ada selepas peninggalanku nanti pemimpin yang kamu mengenalinya dan mengingkari kejahatannya, maka sesiapa yang mengingkari kejahatannya (bermakna) dia telah berlepas diri dan sesiapa yang membenci kejahatannya dia telah selamat, akan tetapi orang yang meredhai kejahatannya akan mengikuti kejahatannya. Apakah tidak kita perangi mereka dengan pedang (wahai Rasulullah!) ? Baginda menjawab: Jangan! Selagi mereka masih mendirikan solat di kalangan kamu”. (Hadis Riwayat Muslim 6/23)

Dengan penjelasan hadis ini, menurut perspektif ulama Salaf as-Soleh dan Ahli Hadis, suatu negara dinamakan negara Islam apabila tanda besar iaitu azan dikumandangkan dan solat ditegakkan. (Al-Manhaj as-Salafi inda Nasruddin al-Albani. Hlm. 215. Amru Abdul Mun’im Salim)

Tanda seterusnya ialah larangan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam memeranginya dengan pedang (haram menjatuhkannya) .

Dalam konteks ini, Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam menyeru agar bersabar terhadap pemimpin dan penguasa selagi mereka bersolat, kerana ia adalah makna keIslaman yang pertama sekalipun tidak berhukum dengan hukum Islam, kerana petanda dan bukti utama seseorang itu pemimpin Islam adalah solatnya sebagaimana sabda baginda:

“Dari Abi Umamah al-Bahili, dari Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam baginda bersabda: Ikatan-ikatan Islam akan terlepas satu demi satu. Apabila lepas satu ikatan akan dikuti oleh ikatan berikutnya. Ikatan Islam yang pertama kali lepas adalah hukum dan yang terakhir adalah solat”. (Hadis Riwayat Ahmad. 5/251)

Hadis ini membuktikan bahawa tidak boleh dihukum kafir setiap individu atau pemimpin jika masih mendirikan solat. Dan sesebuah negara dinamakan negara Islam jika masih terdengar suara azan, solat masih didirikan dan dikuatkan lagi jika majoriti rakyatnya beragama Islam kerana hadis di atas menjelaskan: “Dan (tanda) terakhir adalah solat”.

Al-Ismaili rahimahullah berkata: “Kaum Salaf berpendirian, bahawa sesebuah negara dinamakan negara Islam selagi masih ada panggilan untuk solat (azan) dan didirikan solat dengan terang-terangan serta penduduknya (rakyatnya) sentiasa mendirikan solat dengan bebas (aman)”. (Lihat: Iktiqad Aimmatu Ahlu Hadis, hlm. 50)

Para pemimpin adalah penguasa yang mampu menggunakan kuasa mereka melaksanakan pemerintahan berasaskan prinsip siyasah as-syariyah. Para ulama pula adalah terminal ilmu yang mampu dan diberi mandat membentuk akidah dan pemikiran ummah ke arah pemahaman siyasah Islamiyah (siyasah as-syariyah yang lebih berdisiplin lagi profesional. Ulama telah diwajibkan oleh syara bekerjasama dengan pemimpin. Dipikulkan ke atas mereka tanggungjawab sosial mentarbiyah ummah agar mentaati pemimpin demi mengelakkan perpecahan serta menghapuskan fitnah di kalangan masyarakat. Maka sesebuah negara itu dinamakan negara Islam apabila ulama dan umara (pemimpin) bekerjasama membangun rohani dan jasmani, fizikal dan mental serta untuk pembangunan dunia dan akhirat.

Penamaan negara atau negeri Islam bukan hanya menerusi perundangan, hudud atau peraturan jenayah (kriminal). Malah meliputi bidang-bidang dan aspek yang luas.

Khalifah Umar bin Khattab radiallahu ‘anhu berkata:

“Wahai rakyatku! Kamu mempunyai hak ke atas kami untuk menasihati pada perkara-perkara yang kami tidak ketahui, dan hendaklah kamu saling membantu (tolong-menolong dan bekerjasama) dalam kebaikan”. (Lihat: Az-Zuhud 2/602. Hannad)

Tiga perkara yang ditekankan oleh Khalifah Umar untuk membangun ummah dan daulah Islamiyah, iaitu:

1 – Merialisasikan hak individu terhadap pemerintah.
2 – Untuk saling menasihati pada perkara-perkara yang tidak diketahui.
3 – Saling membantu dalam kebaikan.

Perkara kedua yang disebut oleh Khalifah Umar dalam kata-katanya di atas: “Untuk saling menasihati pada perkara-perkara yang tidak diketahui”. Ini merupakan suatu konsep untuk mendekatkan pemimpin dengan rakyat secara bermuzakarah, bermusyawarah dan berlapang dada. Ia menjadi gagasan membuka minda dalam usaha merialisasikan sebuah negara Islam. Iaitu negara Islam yang membangun bersama rakyat untuk mencapai kemakmuran dan keharmonian.

Oleh kerana inilah kita sering mendengar ungkapan yang berbunyi:

“Bahawa agama dan penguasa adalah seumpama dua sisi mata yang tidak boleh terpisah. Apabila diangkat salah satunya, maka akan terangkatlah yang lainnya, kerana agama itu bagaikan asas bangunan, sedangkan penguasa seperti penjaga asas tersebut. Sesuatu yang tidak ada asasnya akan hancur dan sesuatu yang tidak ada penjaganya akan lenyap dengan cepat”. (Lihat: Ruhul Ma’ani 1/174. Cetakan Al-Muniriyah. Lihat: Al-Bahrul Mihit. 2/269. Abi Hayyan)

Termasuk tanda-tanda negara Islam ialah apabila ulama diberi ruang berada di samping pemimpin Islam, kerana agama dan pemimpin (politik) tidak dapat dipisahkan. Berkata Abu Abdillah al-Qala’i as-Syafir rahimahullah:

“Keseimbangan urusan agama dan dunia adalah satu tujuan yang sangat diidam-idamkan. Hal ini tidak akan terlaksana kecuali dengan adanya penguasa (pemimpin). Kalau kami tidak memandang wajib adanya penguasa, pasti hal ini akan menyebabkan manusia berada di dalam perselisihan dan kerusuhan yang berpanjangan sehingga Hari Kiamat. Kalau manusia tidak mempunyai pemimpin yang kuat dan ditaati, pasti akan pudar kemuliaan Islam lalu lenyap tak berbekas. Jika umat tidak mempunyai penguasa yang berdaulat, pasti akan lenyap aktiviti-aktiviti ibadah dan terhentilah perdagangan impot-eksport” . (Lihat: Tahzib ar-Riysah. Hlm 95. Lihat: Majmu al-Fatawa 27/390. Ibn Taimiyah)

Termasuk tanda negara Islam ialah apabila pemimpin dan ulama sentiasa bekerjasama dan sentiasa saling hormat menghormati, kerana inilah asas kesejahteraan agama, keutuhan politik (siyasah), keselamatan, perpaduan dan keharmonian rakyat, inilah juga penyebab pemimpin dan ulama dihormati. Sahl bin Abdullah at-Tusturi rahimahullah berkata:

“Manusia sentiasa dalam kebaikan jika masih menghormati pemerintah dan ulama. Jika mereka menghormati dua komponen umat Islam ini, maka Allah akan memperbaiki urusan dunia dan akhirat mereka. Seandainya mereka meremehkan dua komponen ini, akan rosaklah kepentingan dunia dan akhirat mereka”. (Dikutip dari khutbah Syeikh Uthaimin. Lihat: Huquq Ra’ii war-Ra’iyyah)

Dianggap negara Islam jika pemerintah (umara) yang sedia ada masih bekerjasama dengan ulama kerana tindakan sedemikian bersesuaian dengan tugas dan kehendak para nabi, para rasul, para sahabat dan para ulama pewaris nabi. Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam telah menjelaskan peranan para ulama bersama umara (pemimpin) dalam mengurus sesebuah negara yang pada mulanya adalah tugas para nabi:

“Adalah Bani Israil dipimpin oleh para Nabi mereka. Setiap kali seorang Nabi wafat digantikan oleh Nabi berikutnya. Dan sesungguhnya tidak ada nabi lagi sesudahku, tetapi akan ada para pemimpin (yang beragama Islam), mereka banyak (jumlahnya). Para sahabat bertanya: Apa yang engkau perintahkan kepada kami (apabila itu terjadi)? Nabi bersabda: Patuhilah pemilihan (pemimpin yang beragama Islam) yang pertama, berikanlah oleh kamu hak mereka kepada mereka, kerana Allah akan menanyakan kepada mereka apa yang menjadi tanggungjawab mereka”. (H/R Bukhari 5/401. Muslim 3/1471. Ibn Majah 2/958. Ahmad 2/297)

Ibnu Jarir rahimahullah berkata:

“Perkataan yang paling utama dan benar di dalam hal ini (negara Islam) adalah perkataan yang mengatakan bahawa Ulil Amri adalah para pemimpin dan penguasa (beragama Islam). Hadis-hadis dari Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam dalam perintahnya untuk taat kepdaa para pemimpin dan penguasa (Islam) statusnya adalah sah belaka. Dalam ketaatan kepada mereka adalah kemaslahatan bagi kaum muslimin”. (Lihat: Tafsir at-Tabari, 5/150)

Kejahatan, penindasan atau kezaliman yang dilakukan oleh pemimpin tidak akan menghilangkan status negara yang dipimpinnya sebagai negara Islam jika ia masih bersolat, seperti dosa besar dari perzinahan yang dilakukan oleh seorang individu tidak akan menjadikan ia seorang kafir selagi dia solat, mengaku sebagai seorang muslim dan masih mengucap dua kalimah syahadah. Kerana Rasulullah telah bersabda:

Aku diperintahkan untuk memerangi manusia sehingga mereka mengucapkan: Tiada Tuhan yang berhak diibadahi selain Allah. Apabila mereka telah mengucapkan yang demikian, maka darah dan harta mereka terlindung kecuali dengan haknya, sedangkan perhitungannya kembali kepada Allah”.

Di hadis yang lain baginda bersabda:

“Barangsiapa mengucapkan bahawa tiada Tuhan yang berhak diibadahi selain Allah, maka darahnya haram ditumpahkan”.

Kenyataan dari hadis-hadis di atas membuktikan bahawa tanda keIslaman seorang individu termasuk penguasa atau pemimpin tidak boleh diukur pada kezaliman, kejahatan atau pelanggarannya terhadap batasan hukum-ahkam syara, tetapi solat dan pengucapan kalimah syahadahnya. Maka mereka adalah ahli kiblah dan penguasa (pemimpin Islam) yang tidak boleh dikafirkan. Malah wajib ditaati dan dipelihara kehormatan serta maruahnya

Kenyataan ini telah dijelaskan juga oleh Amirul Mukminin Ali bin Abi Talib radiallahu ‘anhu:

“Tidak akan mampu memperbaiki keadaan manusia kecuali penguasa, sama ada penguasa yang baik atau yang jahat. Orang-orang bertanya kepadanya: Wahai Amirul Mukminin! Jika penguasa itu baik, ini wajar ditaati, tetapi bagaimana dengan penguasa yang jahat? Ali berkata: Sesungguhnya Allah menjaga keamanan suatu daerah melalui perantara penguasa walaupun ia jahat…….” (Diriwayatkan oleh al-Baihaqi dengan sanad yang sahih sampai kepada Ali bin Abi Talib. Lihat: asy-Syu’ab)

Menurut Muhammad Abu Zahrah:

“Darul Islam (negeri atau negara Islam), setiap negara yang diperintah dan dikuasai oleh Islam (umat Islam), iaitu kekuatan dan pertahanan negara berada di bawah kekuasaan umat Islam. Inilah bentuk negara yang wajib dipertahankan oleh setiap umat Islam”. (Abu Zahrah hlm. 377)

Dari Iyas bin Muawiyah, beliau telah berkata tentang pemimpin Islam dan sikap pemimpin Islam terhadap rakyat, begitu juga tentang sikap rakyat terhadap pemimpin mereka:

Manusia sewajarnya memiliki tiga perkara:

Pertama: Mereka sewajarnya mempunyai jalan raya untuk pengangkutan yang aman (selamat).

Kedua: Mereka sewajarnya mempunyai pemimpin yang adil supaya dapat menegakkan pelaksanaan hukum.

Ketiga: Mereka sewajarnya mempunyai pertahanan yang kuat untuk membenteng diri dari musuh. Apabila ketiga-tiga perkara ini telah ditegakkan oleh pemimpin (penguasa), maka rakyat (sewajarnya ada sikap tanggungjawab) memikul selain tiga perkara tersebut, kemudian menahan kesabaran atas sikap monopoli pemimpin (penguasa) dalam ekonomi dan sikap yang tidak terpuji”. (asy-Syu’ab. H/R al-Baihaqi)

Antara petanda sesebuah negara itu dinamakan negara Islam ialah pemimpinnya Islam dan majoriti rakyatnya juga beragama Islam. Antara ciri-ciri pemimpin Islam yang wajib ditaati ialah pengakuannya serta pengucapan dua kalimah syahadahnya. Dan tanda yang paling besar ialah solatnya dan laungan azan masih berkumandang di negara tersebut sebagaimana dinyatakan oleh hadis-hadis sahih.

Oleh itu, apabila seorang muslim dipilih dan dilantik dengan kesepakatan ummah (majoriti rakyat) sebagai pemimpin maka ia adalah pemimpin bagi sebuah negara Islam, ia wajib ditaati. Berkata al-Imam al-Hasan bin Ali al-Barbahari rahimahullah tentang negara dan pemimpin Islam:

“Barangsiapa memegang jawatan kepimpinan atas kesepakatan dan keredhaan kaum Muslimin, maka dia adalah pemimpin Mukmin. Tidak halal bagi seorang pun hidup walaupun satu malam sementara dia tidak mempunyai seorang pemimpin yang baik atau yang jahat. Beginilah yang diserukan oleh Imam Ahmad”. (as-Sunnah. Al-Barbahari)

Syara telah mengharamkan menentang dan memberontak terhadap pemimpin negara Islam yang beragama Islam, atau orang kafir yang telah dilantik oleh pemerintah Islam yang mewakili pemerintah Islam. Islam mengajar sabar terhadap pemerintah dan pemimpin yang tidak disukainya walaupun ia melakukan kezaliman selagi beragama Islam, mengucap dan mendirikan solat, atau terhadap pemimpin bukan Islam yang di bawah naungan pemerintah Islam, maka mereka wajib dipatuhi.

(Oleh: Ustaz Ahmad Ulu Kelang)

19 April 2012 Posted by | Politik dan Dakwah | | Leave a comment

Persoalan menegakkan negara Islam dari sudut pandangan orang awam.

Sebagai umat Islam sudah pasti kita mahu Islam jadi dominan.Kita mahu Islam memerintah dunia sesuai dengan Islam sebagai agama sejagat.Ramai orang, terutama orang awam macam kita, tidak nampak apakah ada cara yang sesuai untuk Islam bangkit.Dan tertanya tanya bagaimanakah caranya Islam dapat bangkit semula memerintah dunia di tengah tengah pengaruh arus perdana ideologi barat yang begitu kuat dan mencabar? Arus perdana yang diibaratkan saperti bah yang tidak dapat di bendung.

Namun begitu ada terdapat ramai pemimpin pemimpin dan gerakan atau harakah harakah Islam dari dalam negara dan di peringkat antarabangsa yang bercita cita ,yang berusaha dan sedang berjuang untuk mereliasasikan ini.

Mereka ini terbahagi kepada dua golongan yang mempunyai kaedah yang berbeza.

  • Golongan yang pertama mengatakan “Saya akan membawa anda kepada Islam dan Iman untuk ditegakkan bersama sama di dalam diri, keluarga, masyarakat dan negara melalui kaedah dakwah”.
  • Golongan kedua pula berkata “Saya akan menegakkan sebuah negara Islam, sebuah negara kebajikan, sebuah pemerintahan Islam dan mendaulatkan undang undang Islam di negara ini melalui politik pilihanraya”.

Bagaimana perjalanan Rasulullah SAW, adakah baginda berjuang mendapatkan negara terlebih dahulu baru baginda bina Iman dan laksanakan Islam kemudiannya?

Kita agak keliru dengan dua pendapat yang berbeza dari dua golongan ini .Di antara mereka ,siapakah pemimpin pilihan kita? Siapakah yang lebih di percayai? Siapakah yang lebih benar dan realistik perjalanan nya? Ramai diantara kita yang ikut sahaja atau bertaklid kepada pemimpin yang kita percayai.Walhal ramai di antara kita tidak jelas apa itu sebenarnya negara dan pemerintahan Islam yang sebenarnya.

Hari ini kalau ada orang kata Islam tidak akan naik melalui kaedah ideologi politik pilihanraya ,kita pening.Garu kepala yang tak gatal.Mereka kata Islam mesti dinaikan melalui kaedah Islam juga. Menegakkan Islam dengan mengguna kaedah selain dari kaedah yang ada dalam Islam itu umpama membasuh kain yang terkena najis dengan air.Tetapi mengguna air arak.Persoalan ini dijawab.Mereka kata kita naik dahulu dengan cara ideologi politik barat (pilihanraya) selepas dapat kuasa nanti kita tukarlah sistem barat itu dengan sistem Islam.Namun pada realitinya dalam sejarah Islam moden,( selepas kejatuhan era pemerintahan Khalifah Islam Uthmaniah), belum ada pemimpin dan negara orang Islam yang telah berjaya menaikkan Islam melalui kaedah ini.Biasanya mereka terus tersasar dan sesat di dalam kawah ideologi barat yang mereka ceburi.Kalau dah berjuang mengguna kaedah ideologi barat  hasilnya juga tetap ideologi barat .

Berikut adalah di antara kaedah kaedah perjuangan yang di gunakan oleh pemimpin,gerakan atau harakah dunia Islam zaman ini untuk menaikkan Islam.Masing masing mengaku cara mereka lah yang paling betul dan tepat. Siapakah yang paling boleh dipercayai? Siapakah yang patut kita ikuti?

  • Kaedah ideologi pilihanraya demokrasi yang menekan penggunaan sepenuhnya sistem demokrasi ciptaan barat.
  • Kaedah  gabungan antara sistem ideologi demokrasi barat yang sesuai dengan Islam iaitu separuh ideologi separuh Islam. (Saperti yang di amalkan di negara kita Malaysia).
  • Kaedah berkerjasama dengan kaum kafir dengan harapan bila dapat kongsi kuasa dapat laksanakan Islam
  • Kaedah rampasan kuasa saperti yang pernah berlaku di Pakistan, Yaman,Libya,Mesir,Afghanistan, Iran dan lain lain.
  • Kaedah militan menentang agama lain saperti pengeboman rumah rumah ibadat orang kafir dan membunuh pengikut pengikut mereka tidak kira kanak kanak, permepuan atau orang tua saperti yang di lakukan Al Maunah, GAM, MILF,KMM, JI, Al Qaeda.
  • Kaedah pengeboman berani mati saperti yang dilakukan oleh Al Qaeda.
  • Kaedah melalui penerapan Ilmu yang di laung laungkan oleh para sarjana saperti yang di laksanakan di hampir seluruh menara gading di seluruh dunia
  • Kaedah meningkat dan penguasaan ekonomi saperti yang dilaung laungkan oleh para ahli ekonomi, usahawan dan korporat Islam
  • Kaedah penerapan nilai nilai dan penghayatan Islam kedalam pentadbiran dan perbankan Islam dengan cara menebuk sana sikit sini sikit saperti yang dibuat di Malaysia .

Atau adakah kaedah lain lagi selain yang saya sebut di atas? Kalau ada siapa pembawanya? Bagaimana fikrahnya? Bagaimana ilmu nya? Apakah nama gerakan nya, atau kalau dia orang politik apakah nama partinya?

Wallahu’alam.

14 October 2011 Posted by | Politik dan Dakwah | | 1 Comment

   

%d bloggers like this: