Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Nafsu dan Kuasa – Nasihat sempena PRU13

Dalam sebuah Hadith Baginda, Nabi s.a.w. mengingatkan, “Orang yang bijaksana ialah yang menundukkan nafsunya dan beramal untuk (menyediakan) bekalan selepas kematian dan orang yang lemah ialah yang membiarkan diri menuruti (kehendak) nafsunya dan berangan-angan terhadap Allah (mengharapkan rahmat-Nya).” (Ahmad)

Peringatan yang diberikan oleh Nabi s.a.w. ini jelas menunjukkan cara menilai kebijaksanaan atau kemuliaan, dan sebaliknya kelemahan atau kehinaan seseorang.  Sebagaimana digambarkan al-Qur’an, nafsu sering kali mendorong manusia melakukan kejahatan.   Justeru, nafsu perlu dibimbing dan ditakluk oleh akal.  Individu yang bijaksana menyedari hal ini dan sentiasa berusaha menguasai nafsu dan bermuhasabah diri.  Sebaliknya orang yang lemah hanya membiarkan dirinya menuruti apa jua yang diingini oleh nafsunya.  Tanpa sebarang usaha, ia hanya berharap pada sifat Allah yang Maha Pengampun agar dirinya diampuni dan seterusnya dimasukkannya ke syurga Allah serta dipenuhi cita-citanya.

Penanda aras yang digariskan oleh Nabi s.a.w. ini sangat berguna untuk kita bermuhasabah dan menilai kedudukan sebenar diri kita.  Malah tidak kurang pentingnya juga, dalam suasana semasa yang melingkungi kita kini, ia dapat dijadikan panduan dalam membuat penilaian serta pemilihan.  Pada hari ini, apabila kekuasaan menjadi rebutan kerana digambarkan dengan indah oleh nafsu sebagai kelebihan, kenikmatan, dan keistimewaan, tidak hairanlah kita jika mendapati ada pihak yang kecewa dan bermuram durja apabila tidak terpilih sebagai calon yang akan bertanding.  Kekecewaan yang menyelubungi diri seharusnya ditangani dengan sebaik-baiknya seperti mempertimbang hikmah di sebalik kehilangan peluang untuk bertanding.  Misalnya barangkali kerana dirinya tidak memiliki keupayaan untuk mengawal diri terhadap kekuasaan yang merupakan ujian besar.  Kita telah menyaksikan bagaimana segelintir individu yang tidak tercalon itu telah mengambil langkah tertentu dan memberikan pelbagai alasan serta faktor bagi tindakan mereka itu.  Dalam hubungan ini, pengundilah yang layak memberikan penilaian dan membuat pilihan, iaitu berdasarkan kualiti diri dan keperibadian serta pencapaian yang telah ditunjukkan selama ini.

Sebaliknya bagi yang tercalon pula, barangkali sebahagian besarnya diselubungi kegembiraan kerana kekuasaan hari ini lazimnya membuka jalan yang luas untuk memperoleh kenikmatan dan keistimewaan tertentu.  Antaranya termasuklah sokongan, penghormatan, kesenangan, dan peluang menewaskan musuh atau saingan.  Amat sedikit pula antara yang tercalon itu barangkali yang menginsafi bahawa kekuasaan merupakan ujian hebat atas dirinya.  Lantas diri diingatkan bahawa sekiranya kekuasaan gagal diuruskan dengan sebaik-baiknya, maka kelak ia akan disoal dan menganggung penyesalan di akhirat.  Sebagaimana diungkap `ulama’, kekuasaan memerlukan dua unsur penting, iaitu kekuatan dan amanah.  Kedua-dua unsur ini digariskan oleh al-Qur’an dalam pemilihan individu untuk diserahkan sesuatu tanggungjawab atau tugas.  Kedua-dua unsur ini pula diteguhkan oleh ciri-ciri khusus yang ditetapkan ‘ulama’ dalam pemilihan pemimpin seperti adil, memiliki ilmu, sempurna anggota tubuh, tegas lagi berani, dan sebagainya.

Kesemua unsur dan ciri ini membolehkan seseorang yang diamanahkan tugas kepemimpinan yang berat itu melaksanakan tugasnya dengan sempurna.  Sebagai pemimpin atau bakal pemimpin, ia perlu menyedari tanggungjawab utamanya, iaitu menegakkan agama dan memelihara syiarnya serta mempertahankan ummah daripada segala bentuk ancaman yang memudaratkan mereka, khususnya daripada aspek akidah. Pesanan yang diberikan al-Imam al-Ghazali r.h., “Ketahuilah syari`at merupakan asas dan pemimpin ialah pengawalnya.  Sesuatu yang tiada asas pasti akan runtuh dan sesuatu yang tiada pengawalnya pasti akan hilang,” sentiasa tersemat dalam fikiran.  Maka ia tidak sekali-kali membiarkan agama dicabar dan diperkotak-katikkan. Apatah pula menggadaikan dan mendedahkan agamanya pada kemudaratan demi kepentingan siasah.  Atau juga membuka laluan kepada musuh-musuh Islam untuk melaksanakan agenda menghakis agama dan memesongkan akidah ummah.  Malah dirinya sendiri sentiasa berhati-hati agar apa jua tindakan dan perkataan yang dilafazkannya tidak menimbulkan fitnah besar terhadap agama serta ummah seperti menyamaratakan kedudukan agama lain dengan agama Islam.

Dalam mentadbir urusan negara dan rakyat, maslahah dan kebajikan mereka sentiasa diutamakan.  Keselesaan dan kesejahteraan hidup mereka didahulukan berbanding dengan diri, keluarga, dan saudara-maranya.  Kehidupan yang dijalani pemimpin-pemimpin salih terdahulu, khususnya Khulafa’ al-Rasyidin sentiasa dijadikan rujukan dan panduan.  Dengan yang demikian, ia tidak terdorong untuk menjadikan kekuasaan sebagai peluang dan ruang untuk mengumpulkan kekayaan serta kemewahan.  Sebaliknya membiarkan kehidupan rakyat umum miskin dan terhimpit kerana menyedari tindakan seumpama itu hanya menimbulkan kebencian dan menghilangkan kepercayaan mereka terhadapnya.

Dalam menjalin hubungan dengan saudara-saudara seagama, kelihatan usahanya yang bersungguh-sungguh untuk memelihara perkataan dan tindakannya agar tidak sekali-kali menyakiti mereka. Perbezaan pendirian dan pandangan ditanganinya dengan mematuhi adab-adab yang digariskan syarak.  Pemimpin atau bakal pemimpin itu tidak cenderung malah menentang budaya fitnah-memfitnah, keji-mengeji, aib-mengaibkan antara sesama Muslim yang akhirnya mencapai tahap memusnahkan imej peribadi (personal assassination).  Hal ini disebabkan ia menyedari bahawa perbuatan keji seumpama itu bukan sahaja menyerlahkan ketidakmatangan pemimpin, malah juga menggagalkan usaha mendidik dan mematangkan rakyat.  Lebih membimbangkan ialah kemudaratan besar dan berpanjangan yang diakibatkannya terhadap perpaduan dan kesejahteraan kehidupan rakyat.  Khusus bagi bakal pemimpin, ia harus berhati-hati dalam keghairannya mendapatkan kekuasaan, antara yang utama, untuk membanteras penyalahgunaan kuasa dan wang.  Harus diingat bahawa dirinya belum benar-benar teruji oleh kekuasaan tersebut.  Harus diingat pula kekuasaan itulah juga yang telah memperdaya pemimpin sebelumnya itu dan telah menyalahgunakannya.  Maka tidak mustahil, jika ia tidak berwaspada kesudahan yang sama akan menimpa dirinya.

Berasaskan semua perkara ini, maka rakyat seharusnya dapat membuat pertimbangan dan penilaian yang bijak dan adil terhadap calon-calon yang telah diumumkan untuk bertanding dalam tempoh dua minggu berikutnya ini.  Tempoh secukupnya pada penggal yang lalu telah diambil oleh setiap pertubuhan siasah untuk mempamerkan pencapaian mereka dalam segenap sudut.  Masanya telah tiba untuk kesungguhan, pencapaian, dan usaha mereka dinilai serta ditentukan sama ada untuk terus diberikan kepercayaan serta amanah oleh rakyat atau sebaliknya.  Bagi rakyat pula yang di tangan mereka terletaknya penentuan, perlu dipastikan bahawa pilihan yang dibuat membawa manfaat yang besar terhadap yang paling utama, agama mereka serta pemeliharaan kedaulatannya, selain kebajikan serta kesejahteraan kehidupan, dan keharmonian serta kerukunan hidup rakyat pelbagai agama serta kaum.

Pada masa yang sama, mereka harus mengingatkan diri bahawa pilihan yang tidak berasaskan penilaian yang bijak dan sebaliknya semata-mata berdasarkan nafsu, sentimen serta emosi hanya mengundang kemudaratan yang bukan kecil.  Malah berkemungkinan pula mereka menanggung kehilangan besar yang tidak mudah atau selama-lamanya tidak berupaya diraih semula.  Sebagai Muslim, mereka dididik untuk sentiasa mempertimbang kesan bagi setiap tindakan serta perbuatan mereka.  Justeru, pertimbangkan dan tentukanlah pilihan berasaskan keimanan, kewarsan, dan kematangan.  Selanjutnya mohonlah fatwa daripada hati sendiri kerana sebagaimana diingatkan Nabi s.a.w dalam maksud sebuah Hadith, kebaikan membuatkan diri dan hati berasa tenang lagi tenteram.  Sebaliknya dosa dan keburukan itu hanya menimbulkan keraguan yang menggoyahkan hati serta nurani.

Ditulis oleh Wan Roslili Bt. Abd. Majid. Posted in Berita Harian

28/04/2013 Posted by | Berita dan Isu Semasa, Politik dan Dakwah | , | Leave a comment

   

%d bloggers like this: