Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Solat Rawatib Sewaktu Musafir

[Diterjemahkan daripada Shafiifiqh.com: http://www.shafiifiqh.com/praying-rawatib-while-traveling/ Saya berusaha melakukan terjemahan secara tepat, namun, hanya Allah yang sempurna. Jika saya ingin lakukan penambahan fakta, saya akan condongkan perkataan yang saya tambah dan huruf akan saya warnakan dengan warna merah].

Soalan:

Assalamualaikum wbth. Apakah hukum bersembahyang solat sunat yang berkaitan dengan sembahyang wajib sewaktu musafir?

– Soalan daripada Emiriah Arab Bersatu (UAE)

Jawapan:

Waalaikumussalam wbth.

Di dalam Raudah At-Talibin (1/338, Al-Maktabah Al-Islami terbitan ke-3), Imam Nawawi menyebut, adalah sunat bagi seseorang untuk sembahyang sunat rawatib (solat sunat sebelum dan selepas solat fardu) sewaktu musafir.

Di dalam Khabaya Al-Zawaya (page 63 Dar Al-Kitab Beirut, edisi pertama), Imam Al-Zarkashi menyebut bahawa perkara ini disebut di dalam Zawaid Al-Raudah pada penghujung kitab Saum Al-Tatawwu’. Dan Al-Syasyi menyebut yang demikian di dalam Al-Mu’tamad kepunyaannya.

Di dalam kitab Khabaya Al-Zawaya, kita dapati bahawa Imam Al-Zarkashi menyebut “pada penghujung kitab Solat Al-Tatawwu'” bukannya “pada penghujung kitab Saum Al-Tatawwu’.

Di dalam kitab Al-Bayan fi Mazhab Al-Imam Asy-Syafie (2/285 Dar Al-Minhaj) Imam Al-‘Imrani (Yahya bin Abu Al-Khair Al-Imrani) menyebut bahawa diriwayatkan daripada Ibnu Umar dan Ali bin Husain, bahawa sewaktu bermusafir, mereka tidak melakukan solat sunat sebelum dan selepas solat fardu. Imam Al-‘Imrani juga meriwayatkan bahawa Umar, Ali dan Ibnu Mas’ud melakukannya. Begitu juga, Imam Hasan Al-Basri menyebut bahawa sahabat Nabi saw menjaga amalan ini. Pandangan ini diriwayatkan daripada sumber-sumber hadis terawal, contohnya Ibnu Abi Syaibah di dalam Musannafnya, terdapat sebuah bab berkenaan dengan mereka yang tidak melakukan amalam ini dan terdapat sebuah bab berkenaan mereka yang melakukannya.

Di dalam kitab Al-Bayan fi Mazhab Al-Imam Asy-Syafie di dalam bab kecil “Solat Nawafil sewaktu Musafir”, Imam Al-‘Imrani menyebut: “Diriwayatkan daripada Ibnu Umar dan Ali bin Husain, bahawa sewaktu mereka bermusafir, mereka tidak melakukan solat sunat sebelum dan selepas solat fardu. Dalil kami (berkenaan dibolehkan melakukan solat sunat sewaktu musafir) adalah apa yang diriwayatkan “Rasulullah saw menunaikan solat sunat sewaktu bermusafir”. Dan seperti itu juga yang diriwayatkan daripada Umar, Ali dan Ibnu Mas’ud radhiallahu anhum. Dan Imam Al-Hasan Al-Basri menyebut, sahabat-sahabat Nabi saw apabila mereka bermusafir, mereka bersembahyang sunat sebelum solat wajib, dan begitu juga selepasnya.”

Di dalam Syarah Sahih Muslim (5/198 ), Imam Nawawi menyebut bahawa telah bersepakat ulama-ulama bahawa melakukan solat sunat sewaktu bermusafir adalah dibenarkan. Tetapi, ulama-ulama berbeza pandangan pada melakukan solat rawatib sewaktu bermusafir.

Dalilnya adalah sifat umum hadis yang menyebut berkenaan dengan solat rawatib, yang mana hadis-hadis ini diriwayatkan secara umum, terpakai sama sahaja kepada orang yang tidak bermusafir dan tidak.

Dan Allah sebaik-sebaik Yang Mengetahui.

[Perkongsian oleh Himayah Al-Kalantani]

 

09/12/2013 Posted by | Ibadah, Q & A (Soal Jawab) | , | Leave a comment

Wanita Musafir Tanpa Mahram Untuk Tujuan Ziarah


Tarikh Keputusan:

11 Jun, 2001

Huraian Tajuk/Isu:

Apakah hukum seorang wanita bermusafir tanpa suami atau mahram untuk tujuan ziarah?

Keputusan:

Keputusan Fatwa :

Setelah diteliti dari setiap sudut dan aspek, maka Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor yang bersidang pada 19 Rabiulawal 1422 bersamaan 11 Jun 2001 telah mengambil keputusan seperti berikut :

Alhamdulillah Fatwanya;

Diharuskan musafir bagi wanita untuk tujuan ziarah tanpa suami atau mahram dengan syarat-syarat yang ketat dan disiplin-disiplin yang tertentu :-

1. Aman perjalanan dan terjamin keselamatannya.

2. Suami atau mahram tiada atau kedua-duanya uzur atau tidak dapat bersama disebabkan oleh sebab yang diharuskan syarak.

3. Telah mendapat keizinan suami atau mahram ( jika ada ).

4. Bersama dalam kenderaan yang menghimpunkan ramai penumpang seperti kapal terbang, keretapi atau bas.

5. Bersama dengan kumpulan perempuan yang thiqah ( boleh dipercayai ) dan solihat.

6. Perjalanannya tidak menimbulkan fitnah dan keraguan.

7. Wanita tersebut dari golongan yang sudah berumur.

8. Tujuannya untuk ziarah mengeratkan silaturrahim, terutama yang ada hubungan nasab ( keturunan ) atau ziarah orang sakit atau memenuhi jemputan.

9. Perjalanannya ada mempunyai matlamat tertentu yang diharuskan oleh syarak, bukan untuk semata-mata melancong, berkelah atau dalam bentuk suka-suka sahaja.

10. Mempunyai perbelanjaan cukup untuk menunaikan ziarah iaitu pergi dan balik, juga mempunyai perbelanjaan yang cukup untuk nafkah dan keperluann hidup selepas kembali dari ziarah tersebut.

11. Kesihatan yang baik, tidak menghidap penyakit kronik yang boleh menyusahkan dirinya dan orang lain bersamanya.

12. Dengan perhiasan yang sederhana.

13. Wanita yang hendak pergi itu mestilah dari golongan zat hishmah ( jati diri dan berakhlak mulia ).

14. Bukan dalam ‘iddah kematian suami.

15. Undang-undang membenarkannya.

 

Status Penwartaan:  Tidak Diwartakan
Negeri: Johor

25/08/2011 Posted by | Fatwa, Ibadah | , | Leave a comment

   

%d bloggers like this: