Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Ancaman terhadap orang yang mujaharah (berterang terang) melakukan maksiat.

Fatwa Malaysia

Terdapat sebuah hadis yang menyebutkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Semua umatku akan diampunkan dosanya kecuali orang yang bermujaharah (terang-terangan dalam berbuat dosa) dan yang termasuk mujaharah adalah seorang yang melakukan perbuatan dosa pada malam hari, kemudian hingga pagi hari Allah telah menutupi dosa tersebut, kemudian dia berkata: "Wahai fulan semalam saya berbuat ini dan berbuat itu." Padahal Allah telah menutupi dosa tersebut semalaman, tapi pada pagi hari dia telah membuka sendiri akan dosa tersebut." (H.R. Bukhari dan Muslim). Mohon dapat diberikan pencerahan mengenai hadis ini dan adakah perbuatan merokok boleh tergolong dalam hadis ini.

PENJELASAN:

Hadis tersebut mengandungi ancaman terhadap orang yang mujaharah (berterang-terangan) melakukan maksiat. Perbuatan berterang-terangan dalam melakukan dosa meliputi orang yang melakukan maksiat secara terang-terangan di khalayak, ataupun orang yang melakukan dosa secara tersembunyi kemudian sengaja menyebarkan maksiatnya di khalayak.

Ancaman tersebut adalah kerana perbuatan menzahirkan dosa merupakan satu maksiat. Jadi orang yang melakukan dosa secara terang-terangan di hadapan khalayak sekurang-kurangnya telah melakukan dua dosa, iaitu (i) dosa perbuatan maksiat; (ii) dosa menzahirkan maksiat. Ibn ‘Abidin mengatakan, "Menzahirkan suatu maksiat adalah maksiat". (Rad dal-Muhtar, 2/77).

Orang yang melakukan maksiat secara terang-terangan serta sengaja untuk mendedahkan dan menzahirkan maksiatnya di hadapan khalayak adalah lebih dahsyat hukumnya daripada orang yang melakukan maksiat secara tersembunyi dan tidak diketahui orang lain kerana ia boleh mengundang kemurkaan Allah. Ibn Hajar mengatakan, "Sesiapa yang secara niat mahu menzahirkan maksiat dan berterang-terangan dengan maksiat tersebut, dia telah mengundang kemurkaan Tuhannya". (Fathul Bari, 10/488).

Oleh sebab merokok adalah perbuatan yang telah difatwakan pengharamannya oleh banyak badan-badan fiqh dan fatwa di semua peringkat sama ada di Malaysia atau di peringkat antarabangsa kerana telah jelas perbuatan tersebut mengandungi kemudaratan, maka perbuatan merokok adalah satu dosa dan maksiat.

Justeru perokok (atau sesiapa yang melakukan perbuatan haram) yang mengetahui hukumnya haram, kemudian sengaja menzahirkan perbuatannya di hadapan khalayak boleh termasuk di dalam mereka yang melakukan mujaharah (berterang-terangan) dalam melakukan maksiat, lebih-lebih lagi jika perbuatan tersebut dilakukan secara terang-terangan dan berbangga-bangga serta bermegah-megah dengan perbuatan yang dilakukan.

Wallahu A’lam.

19/01/2014 Posted by | Fatwa, Q & A (Soal Jawab), Tazkirah | | Leave a comment

   

%d bloggers like this: