Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Persoalan masbuk dan muafik

Apa maksud masbuk dan muafik.

Secara ringkas, muafik adalah makmum yang sempat takbiratul ihram dengan imam. Dengan kata lain, orang yang muafik ini datang awal ke masjid dan surau serta sempat membaca fatihah bersama imam.Makmum yang muafik bermaksud dia sempat berjemaah dengan imam semasa berdiri (qiam) imamnya, di mana dia sempat berjemaah dengan imam sekadar masa yang membolehkan ia membaca al-fatihah hingga tamat mengikut pembacaan yang pertengahan di kalangan kebiasaan orang ramai.

Masbuq adalah makmum yang tidak sempat berjemaah semasa berdiri imamnya sekadar masa membaca al-fatihah dengan bacaan yang pertengahan. Tidak terlalu cepat dan tidak terlalu lambat, bahkan mengikut bacaan kebiasaan orang ramai.Makmum yang tidak sempat berjemaah dengan imam semasa berdiri imamnya sekadar masa yang membolehkan ia membaca al-fatihah hingga selesai, maka dinamakan orang yang masbuk.

Jika kita masbuk, apakah syarat fatihah kita untuk ditanggung oleh imam?

Apabila imam selesai membaca fatihah dan rukuk sebelum makmum yang masbuk sempurna membaca fatihah, maka wajib makmum itu memutuskan atau memberhentikan bacaan fatihahnya dan terus rukuk.Syarat untuk membolehkan makmum memotong bacaan fatihah dan ditanggung oleh imam adalah jangan membaca yang sunat. Iaitu jangan membaca doa iftitah dan ta’awuz(auuzubillah).

Orang yang masbuk hendaklah terus membaca rukun qauli (bacaan) yang wajib. Bagi al-fatihah yang wajib adalah bermula dengan bismillah.Ini bertepatan dengan sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Barang siapa yang solat berimam maka bacaan imam itu adalah bacaannya”.Bagi mereka yang masbuk ketika imam sedang rukuk, mereka hendaklah terus rukuk mengikut imam dan tidak perlu lagi membaca fatihah.Makmum itu dikira mendapat satu rakaat jika dia sempat rukuk bersama imam dengan tama’ninah.

Bagaimanapun, suka diingatkan supaya jangan sengaja melewat-lewatkan bertakbir. Ini taktik orang yang menyangka mereka untung kerana tidak perlu membaca fatihah. Walhal perbuatan tersebut adalah makruh.

Jika kita muafik, tiba-tiba imam membaca surah pendek dan laju. Kita baru separuh baca fatihah, apa yang perlu makmum lakukan?

Dalam kitab fikah, makmum boleh takhalluf (ketinggalan atau terkebelakang) daripada imam tidak melebihi tiga rukun fi’li (perbuatan).

Jika makmum ada masa yang cukup untuk baca fatihah tetapi dia termasuk dalam golongan yang bacaannya lambat secara semula jadi, maka ada ulama yang mengharuskan orang ini memotong bacaan fatihahnya dan terus rukuk sebagai mana makmum yang masbuk. Dan orang ini tidak dikira sebagai muqassir (cuai).

Namun, mengikut qaul yang asah seperti yang tersebut dalam kitab al-Raudah, makmum itu hendaklah menghabiskan fatihahnya dan takhallufnya itu diberi keuzuran.

Bagaimanapun, bacaan al-Quran itu ada tiga wajah iaitu tartil (lambat), tadwir (sederhana) danhadr (laju). Jadi, kalau pada rakaat pertama kita ketinggalan membaca al-fatihah maka pada rakaat seterusnya hendaklah kita memilih bacaan yang lebih cepat supaya sempat menghabiskan al-fatihah.

Dalam bab masbuk, adakah nas untuk kita tepuk bahu imam?

Sebenarnya tidak ada nas berbuat demikian. Bahkan jika kita lakukan perbuatan itu sehingga mengganggu khusyuk solat orang lain, itu jatuh makruh.Kalau kita hendak masbuk, cukup sekadar kita merapatkan diri dengan imam itu atau menguatkan suara semasa bertakbir.Ini kerana, tidak disyaratkan seorang itu berniat imam kecuali semasa mengimamkan solat Jumaat.

Apabila imam tersilap, contohnya tertinggal tahiyat awal, bagaimana makmum boleh menegurnya?

Dalam hal ini, makmum itu perlu tahu adakah kesilapan itu perkara rukun atau sunat dalam solat.Kalau dalam perkara sunat, makmum tidak dibenarkan melawan atau menyalahi imam. Contohnya, imam terlupa membaca tahiyat awal pada rakaat kedua sebaliknya terus qiamselepas sujud.Dalam hal ini, makmum wajib ikut imam cuma dia boleh menegur dengan menyebutsubhanallah supaya imam tahu dia terlupa tahiyat awal dan boleh sujud sahwi kemudian.Jika makmum berkeras dan membaca tahiyat awal maka solatnya batal.

Lain pula halnya jika yang terlupa itu melibatkan rukun. Contohnya, imam bangkit selepas rakaat keempat pada solat asar.Kalau makmum sedar imam terlebih rakaat, maka dia tidak boleh ikut bangun. Jika makmum ikut tambah satu rakaat, maka solatnya batal. Walhal bagi imam, solatnya sah kerana dikira uzur akibat terlupa. Dengan itu, imam boleh teruskan solat hingga memberi salam.Sebaliknya makmum diberi pilihan sama ada hendaklah duduk tahiyat akhir dan tunggu imam sehingga sampai salam atau niat mufarakah (berpisah daripada imam).

 

(Oleh: Ustaz Ahmad Mustafa Mohd. Sidin – Imam Besar Masjid Negeri Selangor di petik dari Utusan Malaysia)

 

 

25/03/2012 Posted by | Bicara Ulama, Fiqh, Ibadah | , | 7 Comments

   

%d bloggers like this: