Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Permasaalahan Hukum zina dan Liwat dari Kitab Kuning

Syaikh Daud Abdullah al-Fatani menyebut dalam kitab Hidayatu al-Muta’allim[1]: ketika mengulas tentang perlaksanaan hukum hudud zina:

“(Bermula ) zina yang wajib [hukuman] had itu iaitu orang yang melazimkan hukum [mukallaf] lagi mengetahui dengan haramnya [berzina] dengan memasukkan hasyafah [forehead] atau kadarnya [sekiranya zakar yang tidak mempunyai hasyafah] dengan faraj atau dubur yang haram bagi ‘ainnnya, lagi keinginannya pada tabiatnya [tidak dipaksa] dengan tiada syubhah…….”

Syaikh Daud menyambung dengan menyebut pengecualian daripada hukum, yakni tidak sampai dihukum dengan hukum hudud tetapi ditakzirkan:

“Tetapi tiada thabit [hukum had] dengan tiada masukkan [zakarnya] ke dalam faraj seperti bergurau-gurau jua atau dengan di wati isterinya pada masa haidhnya dan puasa atau di wati [disetubuhi] pada dubur[2] [isterinya] atau diwati sahayanya yang ada suaminya atau yang di dalam ‘iddah atau sahaya itu mahramnya atau diwati dengan tergagah [dipaksa] atau dihalalkan oleh orang alim [seperti fatwa ulama shiah tentang nikah mut’ah] atau diwati orang mati atau akan binatang, maka tiada [dilaksanakan] hukum had pada segala perkara itu” [m/s 300-301]

2-Syaikh Daud Abdullah al-Fatani di dalam kitabnya Fathu al-Mannan[3] yang merupakan terjemahan kepada kitab Safwatu az-Zubad menyebu dengan jelas yang hukum hudud qazaf meliputi tuduhan liwat:

Dan wajib atas melontar[4] dengan liwat dan zina* didera dulapan puluh bagi orang yang hurr [5] dan muhsana*

dan bagi sahaya setengah ketahui engkau orang yang muhsana* iaitu orang mukallaf yang Islam lagi merdeheka tiada berzina*

dan jika berdiri baiyyinah atas yang kena tuduh atas berzinanya* gugurlah seperti adalah benar bagi tuduh atau dimaafnya*

(Dan wajib) atas orang yang menuduh akan seseorang semada laki-laki atau perempuan dengan liwat atau dengan zina seperti dikatakan “zanaita”, “latta” [yang bermaksud] zinah engkau, atau diliwat engkau atau “lat” bagi fulan , telah liwat dengan dikau sianu atau “ya zani” atau “ya la it”, dan yang menuduh itu orang mukallaf lagi dengan ikhtiarnya , yang bukan usulnya [yang membuat tuduhan bukan ayah atau datuk], maka tiada dihadkan [tiada dihukum dengan hukuman had] kafir atau kanak-kanak dan orang gla atau jahil ia akan haramnya sebab baharu masuk Islam atau jauh daripada ulama’ atau tergagah [dipaksa] .

3-Syaikh Muhammad Ismail al-Fatani di dalam kitab Matla u’ al-Badraini menyebut:

(Bermula hukum liwat) seperti hukum zina iaitu dihadkan dia yakni direjamkan dia jika ada ia muhsan, dan dipukul dan didagangkan [buang daerah] akan dia jika tiada muhsan , atas yang mazhabnya [yakni mazhab Imam as-Syafi’ie] ialah yang mu’tamad-nya dan muqabalah-nya [yang tidak mu’tamad] bahawa sanya dibunuh akan dia mutlaqan[apa cara sekalipun], dan kaifiyyat membunuh akan dia itu beberapa wajah, salah suatunya dibunuh akan dia dengan pedang, dan keduanya direjamkan dia dan ketiga dirobohkan jidar [dinding] atasnya atau dicampakan dia daripada tempat yang tinggi, {hukuman bunuh] ini pada fa’il [pelaku] yakni yang meliwatnya, adapun yang kena liwat, maka dipukulkan dan didagangkan akan dia, jika ada ia mukallaf lagi taat [dilakukan secara rela] ia akan dia semada ia muhsan atau tiada, semada laki-laki atau perempuan , jika tiada mukallaf atau yang digagahi[ dipaksa] akan dia maka tiada dihadkan atasnya, maka makna liwat itu [ialah] wati pada dubur laki-laki , jika pada dubur sahaya yang laki-laki sekalipun, atau pada dubur perempuan . Dan wajib had padanya [kesalahan ini] pada yang lain daripada [meliwat] isterinya dan sahaya yang perempuan (m/s 195)

Syaikh Muhammad Ismail menyebut dalam bab Qazaf dalam kitab ini:

(Dan tertegah) maqzuf yakni orang yang dituduhkan dia daripada bersumpah kerana bahawa sanya harus bagi qazif yakni yang menuduh ia suruh maqzuf bersumpah atas ketiadaan berzinanya dan jika serta kuasanya atas baiyyinah sekalipun[6], pada [pemahaman] kebanyakan ulama maka [jika] bersumpah maqzuf , dihad-kan qazif dan jika tiada bersumpah maqzuf gugurlah had qazif (m/s:196)

4-Tuan Tabal, Syaikh Abdul Samad Soleh al-Kelantani dalam kitabnya Minhatu al-Qarib[7] menyebut:

(dan bermula) hukum liwat (yakni) wati pada dubur orang lain daripada isterinya, ini seperti hukum zina juga atas qaul yang mu’tamad (adapun liwat) pada isteri atau sahaya perempuannya maka ditakzirkan dia jua jika berulang-ulang, jika tiada berulang-ulang maka tiada ditakzirkan padanya (m/s 215)

5-Syaikh Ahmad Bin Muhammad Zain al-Fatani menyebut dalam kitabnya ‘Unwanu al-Falah, tentang perlaksanaan hukum hudud atasjenayah zina dan liwat, serta syaikh memilih salah suatu qaul daripada menyatakan hukuman liwat:

Dan disyaratkan pada wajib had itu taklif maka tiada dihad-kan kanak-kanak dan orang yang gila bahkan dita’dibkan keduanya (dan hukum) liwat [sama dengan] hukum zina. Dan orang yang dikerjakan [ orang yang kena liwat] pada duburnya itu had-nya jild [sebatan] semada muhsan atau tiada (m/s 75)

6- Syaikh Muhammad Ismail al-Fatani dalam kitabnya Kasyafu al-Litham menyebut dalam bab Qazaf:

(Furu) Harus yang menuduh itu menuntut akan yang kena tuduh itu suruh bersumpah atas tiada ia [orang yang kena tuduh] berzina , dan jika enggan ia [orang yang kena tuduh] daripada bersumpah gugurlah hadnya [had qazaf atas yang menuduh], dan jika bersumpah ia [orang yang kena tuduh]. Dihad-kan dia [yang menuduh] [inilah] kata kebanyakan ulama’, tiada didengarkan dakwa dengan zina dan bersumpah ia atas menafikan dia melainkan pada masaalah ini jua seperti kata dalam [kitab] Syarah Raudah[8]

Dalam persoalan yang lebih menjurus dicatitkan:

(Furu) Ditanya akan [Imam} Ramli daripada seorang yang mendakwa ia atas seorang yang lain bahawa sanya ia [yang kena tuduh] liwat dengan dia, maka engkar ia [yang kena tuduh], maka adakah [perlu] bersumpah ia [yang kena tuduh] yakni menuntut suruh bersumpah , dan apabila kamu kata tiada disumpahkan dia [yang kena tuduh enggan bersumpah], maka apabila tiada didirikan baiyyinah [saksi dan bukti yang secukupnya] dihad-kan dia [yang menuduh] yakni akan orang yang mendakwa itu? Apabila maaf maqzuf [orang yang kena tuduh] itu daripada [dilaksanakan hukum] had [ke atas yang menuduh], maka adakah bagi qazif tuntut suruh bersumpah akan dia atau tiada?

Dan maka jawab ia dengan bahawa sanya ia [yang menuduh] iqrar atas dirinya dan menuduh ia[ yang menuduh] akan di fa’il [yang dituduh sebagai pelaku] , maka [ dalam keadaan ini] jika menuntut ia [yang kena tuduh] akan had qazaf-nya [terhadap yang menuduh], niscaya adalah baginya[yang kena tuduh] menyumpahkan [bersumpah] dia atas nafi liwatnya [meliwat si penuduh], dan jika [sekiranya ] tiada menuntut ia [yang kena tuduh] akan [hukuman] had-nya [dilaksanakan ke atas yang menuduh] maka tiada boleh dituntut bersumpah. (m/s:369)

Syaikh Muhammad Ismail menyebut ‘rational’ fatwa ini dalam kitabnya yang sama:

Bermula orang yang mendakwa itu orang yang mukhalafah [menyalahi] oleh [dengan perkataan] katanya akan zahir dan mudda’a ‘alahi [orang yang kena dakwa] itu orang yang muafakat akan yang zahirnya m/s: 455

8. Sayaikh Daud Abdullah al-Fatani dalam kitabnya Furu al-Masail mencatitkan persoalan yang sama:

(Soal radiyyallahu ‘anhu ) daripada seorang dakwa atas seorang [yang lain] bahawa ia liwat, maka engkar ia [yang kena tuduh], adakah ia [yang kena tuduh] bersumpah atas ketiadaannya [melakukan liwat tersebut] ? Dan jika kita kata tiada [kewajiban] atasnya bersumpah , makajika tiada [pula] didirikan baiyyinah [oleh yang menuduh] adakah didirikan [dilaksankan hukuman] had atas mudda’ie ? Dan apabila memaafkan oleh yang kena tuduh daripada hadnya [hukuman ke atas yang menuduh kerana qazaf], maka adalah bagi yang menuduh suruh ia bersumpah?

(Maka dijawabnya) bahawa sanya ia mengaku atas dirinya [diliwat] dan menuduh ia bagi yang berbuatnya dengan dia [yang menuduh], maka jika menuntut [ oleh yang kena tuduh] akan dia [yang menuduh] dengan [dikenakan] had qazaf , harus ia [yang menuduh] menuntut suruh [yang kena tuduh] bersumpah atas menafikan liwatnya, manakala dimaafkan daripadanya [tiadalah dilaksanakan hukum had ke atasnya], dan jika tiada [menuntut hukum had qazaf ke atas yang menuduh] maka tiadalah boleh ia menuntut suruh ia bersumpah[9]. (m/s:323)

9-Syaikh Abdul Rauf Singkel dalam kitabnya Mira atu at-Tullab menyebut:

Bermula wajib had zina itu atas orang yang menetap [mukallaf] bagi segala hukum Islam lagi tahu ia akan haramnya dengan sebab memasukkan hasyafah atau kadarnya [bagi yang tiada hasyafah] ke dalam faraj semada faraj itu qubul atau dubur dan semada ia daripada lelaki atau perempuan dan adalah faraj itu faraj yang diharamkan ia kerana ‘ainnya lagi yang keinginannya pada tabiat yang sejahtera dan adalah masuknya itu dengan tiada syubhah dan ada yang empunya faraj itu diupah lagi menghalalkan dirinya atau mahramnya sekalipun. (m/s:447)[10]

Lihat bagaimana keatanya syarat baiyyinah bagi menthabitkan perbuatan zina yang dijatuhkan hukuman hudud, Syaikh Abdul Rauf menyebut dalam kitab yang sama:

(Soal) jika bertanya seorang apabila naik saksi orang yang diqabulkan [diterima] saksinya [kesaksiannya] padahal kurang daripada empat orang akan zina seorang, adakah thabit zina dengan dia [orang yang dituduh] atau tiada, maka apabila tiada thabit dengan dia [kesaksian yang tisak cukup empat orang] [kesalahan] zina adakah wajib atas sekelian saksi had atau tiada

(Jawab) tiada thabit zina dengan dia dan wajib atas sekelian saksi itu [hukuman] had supaya jangan jatuh pekerjaan [practice] itu membinasakan hormah [kehormatan/maruah] manusia dengan rupa saksi. Dan demikian lagi jikalau naik saksi akan zina itu sekelian perempuan atau segala sahaya atau ahli az-zimmi , niscaya wajib [hukuman] had atas mereka itu kerana bukan mereka itu ahlu as-syahadah (yakni) yang bukan patut akan [menjadi] saksi (m/s 450)

10-Syaikh Muhammad Nur Bin Ismail al-Fatani dalam kitabnya Kifayatu al-Mubtadi menyebut:

(Dan) hukum (liwat) iaitu memasukkan hasyafahnya atau kadarnya (pada) dubur (lelaki) dan jika sahayanya atau pada dubur perempuan yang bukan isterinya atau gundiknya [sahaya perempuannya sama dengan] (hukum zina) maka direjamkan fa’il yang muhsan dan dipukulkan yang tiada muhsan dan didagangkan dia [dibuang daerah] sepeerti yang telah lalu sebutnya. Adapun yang kena perbuat maka dipukulkan dan didagangkan dia semada muhsan atau tiada, maka iaitu atas mazhab, maka ialah yang mu’tamadnya pada [hukuman] liwat dan muqabalahnya [pendapat yang tidak mu’tamad dalam mazhab] dibunuhkan fa’il-nya dan kaifiat membunuhkan dia itu bersalah-salahan padanya, kata setengahnya dengan pedang dan kata setengahnya direjamkan dia dan kata setengah dirobohkan jidar atasnya dan kata setengah dicampakkan akan dia daripada puncak gunung yang tinggi[11] m/s 310-311

!1- Dalam Kitab ‘Umdatu as-Salik , sebuah kitab feqah mazhab Imam as-Syafi’ie berbahasa arab, karangan Syaikh Ahmad Ibn Naqib . Terdapat edisi kitab ini yang dibuat ta’liqat oleh Syaikhuna Nuruddin al-Banjari. Kitab ini juga telah diterjemaholeh Syaikh Nuh Hamim Keller ke dalam bahasa inggeris dengan baik sekali. Terjemahan yang saya fahami adalah lebih kurang:

Apabila membuat tuduhan (qazaf) oleh seorang yang baligh, beraqal dan dengan pilihannya [tidak dipaksa] sedangkan dia seorang muslim, atau seorang zimmi atau seorang yang murtad atau seorang kafir yang diberi jaminan keamanan terhadap seorang yang muhsan, bukan anak kepadanya dengan tuduhan zina atau liwat dengan jelas [sarahah] atau dengan simbolik [kinayah] beserta dengan niat maka dikenakan hukum had

Khulasah

Jelaslah dalam matan-matan kitab yang telah dirujuk menunjukkan hukuman hudud bagi jenayah liwat adalah di bawah bab jenayah zina dan hukumannya sama bahkan lebih berat. Sementara tuduhan zina ke atas seorang yang muhsan membawa kepada jenayah qazaf, sudah tentu tuduhan liwat, yang disebut oleh Imam al-Mawardi yang liwat itu adalah perlakuan yang lebih dahsyat daripada zina itu juga diambil kira sebagai qazaf.

Sementara jika ada seorang yang mengaku dirinya diliwat tanpa mendatangkan baiyyinah atau qarinah yang diiktiraf syara’ ,sedangkan orang yang kena tuduh itu pula menafikan tuduhan tersebut dan dia meminta kepada qadi agar orang yang menuduh itu didakwa sebagai orang yang melakukan qazaf. Dan orang yang menuduh itu kerana menguatkan hujjahnya, dia meminta qadi memerentah orang yang kena tuduh itu bersumpah menafikan yang dia telah meliwat orang yang menuduh. Maka apabila orang yang kena tuduh itu bersumpah maka orang yang menuduh itulah yang dijatuhkan hukuman had qazaf.

Sekiranya orang yang menuduh itu mempunyai baiyyinah atau qarinah, sepatutnya dia menthabitkan jenayah orang yang kena tuduh itu dengan menggunakan baiyyinah dan qarinah tersebut, jangan diminta qadi memerentah orang yang kena tuduh bersumpah, kerana sekiranya orang yang dituduh itu bersumpah menafikan yang dia meliwat orang yang menuduh, maka hukuman had qazaf jatuh ke atas orang yang menuduh. Itulah kefahaman kebanyakan ulama dalam mazhab Imam as-Syafi’ie. Ini kerana apabila dia meminta qadi memerentah orang yang kena tuduh bersumpah, implikasi undang-undangnya ke atas orang yang membuat tuduhan ialah dia mesti menerima butiran sumpah yang dibuat oleh orang yang kena tuduh

Bagaimana pula sekiranya orang yang membuat tuduhan itu tidak mempunyai baiyyinah atau qarinah yang diiktiraf oleh syara’ dan mendesak agar orang yang kena tuduh bersumpah? Tidakkah dia takut kepada hukuman lapan puluhan sebatan thabit ke atas zimmahnya, serta dia akan dikira sebagai seorang yang pembohong di sisi hukum syara’. Mengikut Imam as-syafi‘ie dan sebahagian ulama yang lain, sekiranya orang yang melakukan qazaf ini bertaubat sekalipun, maka taubatnya itu di antara dia dan Allah, dari segi perlaksanaan hukum syara’ dia dikira sebagai ‘fasiq’ sampai bila-bila.

Begitulah perincinya hukum Islam, alhamdulillah keperincian perbincangan hukum itu juga dikupas oleh ulama-ulama jawi dalam kitab-kitab mereka. Kita diwariskan dengan khazanah ilmu yang sangat bernilai dan mendalam sifatnya, rugilah bangsa yang tidak tahu menilai warisan sendiri serta dalam kejahilan mereka itu pun , mereka sanggup memandang orang tua mereka sebagai orang yang tidak memahami Islam yang luhur dan lengkap-melengkapi sebagaimana yang mereka faham sekarang. Aduhai bangsaku, adakah ini nasib kita selepas 51 tahun merdeheka…..

Alhamdulillah selesai membuat catitan selepas zuhur satu Syawal 1429H. Ia diselesaikan dengan segala keterbatasan ilmu dan faham dan rujukan tetapi memandang dengan sangka yang baik terhadap ‘inayah dan taufiq dari Allah , semoga catitan ini memberi manafaat kepada pencatit yang serba kekurangan dan saudara-saudaranya yang mahu memahami dan menghayati kebenaran.

——————————————————————————–

[1] Naskhah yang dirujuk dicetak Matba‘ah al-Miriyyah pada tahun 1312 H. Alhamdulillah ianya adalah naskhah yang lengkap.

[2] Anal-sex yang tidak dijatuhkan hukuman hudud itu ialah dengan isteri atau sahaya, bagaimanapun ditakzirkan

[3] Naskhah yang dirujuk dicetak di Matba‘ah al-Miriyyah pada tahun 1330H. Matan Zubad diterjemah dalam bentuk puisi serta diikuti oleh syarah di dalam bentuk prosa. Sedang kitab asalnya yang berbahasa ‘arab ditulis oleh Syaikh Ahmad ibn Raslan dl-Dimasyqi.

[4] Melontar maksudnya menuduh

[5] Hurr orang yang merdeka-bukan sahaya

[6] Apabila si penuduh meminta agar orang yang kena tuduh bersumpah, bererti dia mengiktiraf apa yang disumpah oleh orang yang kena tuduh.

[7] Naskhah yang dirujuk di cetak oleh Di. Ya Ikhwan

[8] Cetakan tahun 1345H

[9] Naskhah yang dirujuk cetakan Matba’tu al-Misriyyah pada 1307H

[10]Siap ditulis pada tahun 1184H. Naskhah yang dirujuk dicetak di Matba’atu Ummu al-Qurra pada tahun 1309H.

[11] Naskhah yang dirujuk cetakan Dar al-Maarif, Pulau Pinang (t.t)

Sumber: http://ayobhussin.com/hukumislam/permasaalahan_hukum_zina_dan_liw.htm

10/02/2015 Posted by | Bicara Ulama, Ibadah, Q & A (Soal Jawab) | , , | Leave a comment

Tuduhan Zina & Liwat : Boleh Percaya Atau Tidak ?

Akhir-akhir ini di sana sini membicarakan persoalan liwat dan politik. Namun di tengah-tengah tuduhan oleh pihak terbabit, ingin saya mengingatkan semua pembaca dan mereka yang mengikuti isu terbaru politik Malaysia ini agar BERAWAS-AWAS. Ia tidak seperti mempercayai tuduhan-tuduhan lain seperti dia agen Yahudi, mereka makan rasuah, amalkan kronisme, pasukan Sepanyol akan menang final Euro  dan lain-lain.
Menurut hukum Islam, semua individu Islam perlu berawas dalam mempercayai atau menyebarkan apa jua berita berkaitan zinanya seseorang dan juga liwat. Imam Ibn Qudamah dan lain-lain ulama silam yang berautoriti menyebut dengan jelas bahawa menuduh liwat tanpa saksi termasuk dalam hukum qazf. ( Al-Mughni, 9/72 ; Syarh Muntaha Al-Iradat, 3/599 ; Kasyyaf Al-Qina’, 6/433)
Imam Abi Ishak As-Shirazi As-Syafie  berkata :
Maksudnya
 : Tidak diterima dalam tuduhan liwat kecuali empat saksi kerana ia adalah sama seperti zina dalam (keperluan saksinya) untuk disabitkan hukum” ( Al-Muhazzab, 3/332)
Tanpa berhati-hati, seseorang yang percaya dan menyebarkannya boleh jatuh dalam kesalahan Qazaf yang amat besar dosanya di sisi Islam.
Kesalahan ini dicatat oleh Allah swt :-
 
Ertinya : Dan orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik (berbuat zina) dan mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka  sebat (deralah) mereka (yang menuduh itu) delapan puluh kali dera, dan janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-lamanya. Dan mereka itulah orang-orang yang fasik ( An-Nur : 4)
Imam Al-Qurtubi berkata sebab turun ayat ini adalah antara kepada kes fitnah terhadap Sayidatina Aisyah ataupun kes Hilal bin Umaiyah (yang menuduh istreinya berzina) atau lainnya, namun yang terpenting hukumnya berjalan terus.
Walaupun ayat kelihatan menyebut kesalahan menuduh zina dan liwat kepada sang wanita, namun tuduhan kepada lelaki juga termasuk dalam ayat ini secara sepakat ulama dan ijma ulama (Al-Jami Li Ahkam Al-Quran,  Al-Qurtubi).
RINGKASAN SYARAT-SYARAT
Qazf mempunyai beberapa syarat :-
1)     Syarat kepada penuduh :
  • Beraqal
  • Sudah baligh
2)     Syarat BENDA YANG DITUDUH untuk dianggap qazaf
  • Menuduh dengan salah satu antara tiga tuduhan yang mewajibkan dihukum, iaitu ZINA dan LIWAT atau menafikan nasab anak sendiri ( ertinya menuduh isteri berzina). ( Al-Fawakih Al-Dawani, 2/211)
3)     Syarat orang yang dituduh
  • Beraqal
  • Baligh
  • Islam
  • Merdeka diri
  • BERSIH DARI tuduhan yang dilemparkan kepadanya.
 Justeru, saya nasihatkan agar semua yang membaca berita hangat terkini dalam arena politik Malaysia hari ini agar menahan diri dan menyerahkannya kepada pihak hakim untuk meneliti bukti-bukti kedua-dua pihak, sebagaimana disebutkan oleh Allah swt :-

Ertinya : dan mereka tidak mendatangkan empat orang saksi,
Para ulama sepakat bahawa ayat ini menunjukkan wajibnya penuduh membawakan saksi seramai empat orang. Perbincangan terperinci berkenaan hal ini terlalu panjang. Namun saksi inilah kuncinya, tanpanya, kita tidak atau belum boleh mempercayai satu apa pun berkenaan tududan zina dan liwat atau kita mencari nahas di akhirat. (Al-Mughni, 9/72 ; Syarh Muntaha Al-Iradat, 3/599 ; Kasyyaf Al-Qina’, 6/433)
 Imam Malik berkata :- 
Ertinya : Jika salah seorang dari empat saksi goyah dan tidak kukuh penyaksiannya, ketiga-ketiga saksi yang lain akan dihukum sebat (80 kali kerana qazaf), sebagaimana yang dilakukan oleh Umar dalam kes Al-Mughirah Bin Syubah, (iaitu apabila seorang saksi bernama Ziyad tidak bersaksi maka semua tiga orang saksi sebelum itu disebat kerana menuduh Al-Mughirah.) ( Al-Jami’ Li Ahkam Al-Quran, Al-Qurtubi)
Selain dari mesti dihukum sebat 80 kali bagi mereka yang menuduh zina dan liwat tanpa 4 saksi, si penuduh juga dihukum dengan penyaksiannya akan tertolak selama-lamanya selain dianggap Fasiq. Namun majoriti ulama berkata, dikecualikan bagi mereka yang bertaubat bersungguh-sungguh.
Namun Al-Qadhi Suraih, Ibrahim An-Nakh’ie, Hasan Al-Basri, Sufyan At-Thawry dan Imam Abu Hanifah tidak sependapat apabila mereka berkata penolakan hak boleh beri saksi kekal walalupun taubat, hanya gelaran fasiq sahaja yang dihapuskan di sisi Allah.
Sekadar itu sahaja bagi memperingatkan umat Islam di Malaysia agar jangan tersilap langkah dalam menerima berita-berita hal zina dan liwat ini.
Mungkin si pendakwa dan mereka yang menyebarkannya TIDAK AKAN dihukum qazaf di dunia, namun Allah maha mengathui siapa yang benar dan salah, hukuman pasti menunggu di AKHIRAT, bermula dari alam barzakh, sama ada pendakwa atau tertuduh. Kecualilah jika individu tersebut bukanlah seorang manusia yang akan menemui kematian, namun semua akan menemui kematian.
Namun ingat, bukan tugas kita untuk mempercayai selagi syarat-syarat yang disebut di atas tidak dipenuhi. Apa jua keputusan mahkamah, itu keputusan mahkamah dan selaku orang yang tidak terlibat, kita tidak dipaksa atau terpaksa untuk mempercayai atau menolak.
TAMBAHAN
Isu-isu semasa di Malaysia masih lagi sempat diikuti, terasa juga ingin menulis panjang beberapa isu seperti tidak setujunya saya dengan pandangan  bekas Mufti Perlis dalam isu liwat dan saksi, namun beberapa perkara yang masih serabut di sini menghalang saya dari meluangkan waktu untuk mengulas isu ini dengan panjang lebar buat masa ini.
S.S Dr Mufti Perlis ( sekarang bekas) dinyatakan berkata :-
“Mereka ini keliru antara seseorang yang mendakwa orang lain melakukan zina dengan orang yang mendakwa dirinya dirogol dan diliwat,” kata Dr Asri.
“Jika disamakan kaedah ini bererti mangsa-mangsa rogol dan liwat kena datangkan empat orang saksi dan kalau gagal berbuat demikian, mereka akan disebat 80 kali. Inikah Islam yang mereka faham?
“Kesalahan memahami hukum beginilah yang akan mengelirukan umat Islam? Jika ini yang ditonjolkan pada masyarakat, maka orang akan anggap Islam itu zalim,” katanya lagi.” ( Sumber )
Tidak mengulas panjang isu ini, saya hanya ingin memberikan ringkasan pendapat saya dalam isu ini. Bagi mereka yang rajin membaca terperinci, bolehlah merujuk tulisan saya yang lalu di link berikut
Sesiapa sahaja yang menuduh dirogol atau diliwat oleh orang tertentu, ia wajib membawakan empat saksi. Ramai menyoal, dimanakah rasionalnya seseorang dirogol atau diliwat kemudiannya dituntut membawa empat saksi lelaki adil jika ingin mendakwa si penjenayah?. Jika tiada saksi apakah adil untuk di hukum sebatan si pendakwa kerana qazaf?.
NOTA  : cuba dengarkan ulasan ringkas saya dalam hal ini di video ini bermula minit 6:57.
Akibatnya, ramai tersilap faham lalu terbayang ‘zalim’nya hukum Islam. Padahal ia tidak sedemikian. Hakikatnya, sistem Islam menjaga kedua-dua belah pihak, penuduh dan yang dituduh.
Padahal isunya adalah sistem kita yang lemah dalam menjaga perkara yang perlu dirahsiakan. Hasil perbincangan saya dengan Mufti Besar Mesir (Sheikh Prof. Dr Ali Al-Jumaah) pada tahun 2004 dalam hal ini amat jelas. Malah saya turut membincangkan hal yang sama dengan professor-professor Shariah di Jordan seperti Prof. Dr Sheikh Mohammad ‘Uqlah El-Ibrahim dan lain-lain. Ia juga pernah diulas sebahagiannya oleh Sheikh Prof. Dr Ramadhan Al-Buti.
Kesimpulannya, begini :-

1-  Seseorang yang mendakwa diri diliwat dan dirogol tetap diTUNTUT membawakan empat saksi lelaki adil yang melihat dengan jelas akan apa yang didakwa. Ia hukum asal. Tuduhan dari pihak ketiga atau pihak yang mendakwa menjadi mangsa adalah sama sahaja. Sebagaimana ulama bersepakat, seorang bapa menafikan nasab keturunan anak yang dilahirkan oleh isterinya sebagai menuduh isterinya berzina. Cara penyelesaian khusus diberikan oleh Islam dalam hal ini adalah Li’an. Inilah cara yang dipersetujui oleh Mufti Perlis mungkin berdasarkan kaedah qiyas.

2- Jika tidak mempunyai saksi lelaki yang cukup, terdapat ulama yang membenarkan saksi wanita yang adil untuk diterima iaitu jika kejadian berlaku di tempat yang tidak memungkinkan ada lelaki. Tatkala itu saksi wanita diterima dengan kiraan 2 wanita menyamai 1 lelaki. (rujuk link artikel di atas untuk membaca lanjut)

3- Jika masih tiada saksi maka si ‘mangsa’ BOLEH membawakan dakwaan kepada pihak berkuasa dan WAJIB dibuat secara TERTUTUP DAN RAHSIA. Kerajaan WAJIB menjaga aduan ini agar tidak tersebar sama sekali. Jika tersebar, kesalahan terletak di atas bahu kerajaan. Inilah yang dikatakan sistem yang lemah. Setiap isu yang diadu kerap tersebar ke media terutamanya apabila membabitkan selebriti dan orang politik.

4- Prof Dr Ali Jumaah selaku Mufti Mesir juga bersetuju bahawa jika aduan tertutup dibuat, dan disertakan ‘qarain’ atau bukti-bukti selain saksi seperti air mani, bulu dan lain-lain yang boleh membantu dakwaan. Ia akan dibicarakan di mahkamah dan hukuman qazaf TIDAK DIKENAKAN kerana Maqasid dari hukuman Qazf adalah untuk membersihkan nama dan maruah tertuduh dari tercemar di mata awam. Namun apabila ia dibuat secara tertutup, TIADA KEMUSNAHAN MARUAH tertuduh berlaku lalu inilah yang ingin dielakkan oleh Islam, iaitu kemusanahan maruah tanpa saksi yang cukup. Dalam keadaan ini, kerosakan maruah mereka yang didakwa ‘merogol atau meliwat‘ akan terkawal dan proses perbicaraan akan menentukan tindakan selanjutnya.

5- Bukti diberikan dianalisa, kemudian jika terbukti benar dakwaannya, perogol dan peliwat akan dihukum ta’zir dan bukan hudud kerana terdapatnya unsur syubhat dalam cara pensabitannya. Justeru, perogol dan peliwat akan dihukum sewajarnya smenurut hemat dan kebijaksanaan hakim Syarie. Jika pengadu tewas di mahkamah, hukuman qazaf juga tidak dilaksanakan kerana dakwaan tertutup dan syubhah dalam pensabitan hukuman qazaf. Justeru, tiada siapa yang terzalim dalam hal ini.

6- Perlu difahami hujjah mereka yang mengatakan zalim hukum jika dihukum qazaf mesti ditimbang sewajarnya antara hak individu yang dituduh dan menuduh. Ada pihak seolah membelakangkan hak mereka yang DITUDUH lalu terlalu melebihkan hak yang menjadi ‘mangsa’, kononnya perlu dikasihani. Bagaimana jika tuduhan itu palsu, bukankah yang DITUDUH juga perlu pembelaan Islam. Perlu diingat, dengan mudah seorang wanita tiba-tiba mengaku dirogol oleh seorang Mufti atau Imam Besar tanpa sebarang saksi. Kemudian, dengan mudah boleh diselesaikan hanya dengan bersumpah dan bermubahalah semata-mata?. Mungkin ia belum tentu sesuai pada masanya.
7- Justeru, Islam menjaga kedua-dua belah pihak yang menuduh dan tertuduh, kerana itu sesiapa yang ingin mendakwa dirogol atau diliwat mesti empat saksi atau jika tidak, WAJIB membuat laporan secara tertutup dan kerajaan WAJIB pula menjaga dakwaan dari tersebar.
Itulah ulasan ringkas saya buat masa ini. Saya juga tidak sempat membawakan rujukan kitab dan lain-lain hujjah. Mengulas isu ini perlu lebih bertenang dan perbincangan dengan para ilmuan lain agar tidak tersilap mengulas, terutamanya dari seisapa sahaja yang berlatarbelakangkan agama.
Sekian
Penulis: 
Ustaz Zaharuddin Abd Rahman www.zaharuddin.net
 

29/03/2011 Posted by | Bicara Ulama, Fiqh, Ibadah, Politik dan Dakwah | , | Leave a comment

   

%d bloggers like this: