Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Islam, Kristian dan Yahudi adalah agama Allah

Kitab Suci Al Quran,Taurat, Zabur atau Injil

Bahawasanya Agama langit disebut dalam istilah Arabnya, al-adyan as-samawiyyah, yang bererti agama-agama langit.Agama langit yang kekal hingga hari ini ada 3.Ia itu Yahudi, Kristian dan Islam.

Ia adalah istilah keagamaan yang dirujukkan kepada Allah, yang diturunkan kepada manusia, berasaskan kepada wahyu yang sahih pada mulanya. Ia diturunkan kepada rasul-rasul yang dilantik Allah, untuk menerima dan menyampaikan wahyu tersebut kepada manusia tanpa ditokok dan ditambah.

Mengamal kitab-kitab Allah SWT memang ada perbezaan. Perbezaan dari segi istilah dan nama yang dimaksudkan kepada sesuatu kitab itu. Seperti Kitab Zabur, diturunkan kepada Nabi Allah Daud a.s. disebutkan Allah dalam Surah an-Nisa, ayat 163. Manakala Kitab Taurat diturunkan kepada Nabi Allah Musa a.s. dicatat dalam Surah al-Maaidah, ayat 44.
Kitab Injil yang diturunkan kepada Nabi Allah Isa a.s., dinyatakan dalam Surah al-Maaidah, ayat 46 dan al-Quranul Karim diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w., disebut dalam Surah al-An’am ayat 19.

Memang nama-nama kitab Allah tersebut berbeza, namun inti pati sebenar daripada kitab itu tidak berbeza. Kitab-kitab itu membawa mesej yang sama dan yang paling asas adalah semua kitab memperkenalkan Allah sebagai Tuhan Yang Sebenar, Yang Maha Esa, Maha Berkuasa, Maha Bijaksana yang menjadi pencipta alam ini.

Dia (Allah) sahaja yang wajib disembah. Allah yang sama tidak pernah berubah, maka kerana itu wahyu-Nya pada umumnya tidak berubah pada perkara-perkara pokok. Wajiblah manusia seluruhnya beriman dengan Allah dengan melaksanakan tuntutan yang wujud dalam kitab-kitab tersebut tanpa dirubah dan dipinda.

Seluruh Rasul-Rasul dari Adam a.s hingga kepada Muhammad s.a.w, mengajak manusia beriman kepada Allah Yang Esa, dengan mematuhi perintah-Nya serta menjauhi larangan-Nya.

Firman Allah (mafhumnya): “Rasul telah beriman kepada apa yang diturunkan (al-Quran) kepadanya, dari Allah, tuhannya, dan juga orang-orang yang beriman, semuanya beriman kepada Allah, dan Malaikat-malaikat-Nya, dan kitab-kitab-Nya dan Rasul-Rasul-Nya. (Mereka berkata) “Kami tidak membezakan antara seorang dengan yang lain dari Rasul-Rasul-Nya. Mereka berkata lagi, “Kami dengar dan kami taat. (Kami pohonkan) keampunan-Mu wahai Tuhan kami, dan kepada-Mu jualah tempat kembali.” (Surah al-Baqarah, ayat 285)

Semua Rasul disebut Rasulullah. Ertinya mereka semua adalah pesuruh Allah yang menerima wahyu dan menyamoaikan kepada manusia supaya sama-sama beriman kepada Allah.

Logiknya, jika semua Nabi dan Rasul dari Allah yang sama, bagaimana mungkin ajaran mereka beoleh berbeza khususnya pada perkara yang asas?

Sudah tentu, semuanya menyeru manusia beriman kepada Allah Yang Esa, percaya dengan kitab Allah yang diperturunkan melalui perantaraan malaikat, iaitu dari Allah mereka datang dan kepada-Nya mereka akan kembali.
Perbezaan yang ketara dan pertelingkahan antara satu sama lain, yang akhirnya nampak bertentangan antara agama lain, disebabkan, utamanya kerana Yahudi menyalahkan Nasrani, Nasrani menyalahkan Yahudi dan kedua-duanya pula menyalahkan Islam.

Islam pula menolak kefahaman yang dianuti oleh Yahudi dan Nasrani kerana tidak berpegang teguh dengan keaslian kitab-kitab Allah. Islam menolak kerana mereka mengubah ayat-ayat suci yang asal dalam kitab mereka.
Apabila agama Allah, khususnya wahyu Ilahi, diubah dan dipinda atau ditukar dan ditokok atas kehendak manusia, khususnya orang beragama di antara mereka, maka rosaklah agama Allah. Ia telah mewujudkan percanggahan antara satu sama lain.

Perihal berlakunya ubah pinda, tokok tambah terhadap agama yang dibawa oleh Rasul sebelum Nabi Muhammad s.a.w., dikhabarkan Allah dalam firmannya (mafhumnya): “Di antara orang-orang Yahudi ada yang mengubah Kalamullah (Kitab Taurat), dari tempat dan maksudnya yang sebenar, dan berkata kepada,”kami dengar”, (sedang mereka berkata dalam hati), “kami tidak akan menurut.” (Mereka berkata) “Tolonglah dengar, tuan tidak diperdengarkan sesuatu yang buruk, serta (mereka mengatakan) ‘raa’ina’; (Tujuan kata-kata mereka yang tersebut) hanya memutarbelitkan perkataan mereka dan mencela agama Islam. Dan kalaulah mereka berkata, “kami dengan dan kami taat, dan dengarlah serta berilah perhatian kepada kami”, tentulah yang demikian itu lebih baik bagi mereka dan lebih betul. Akan tetapi Allah melaknat mereka dengan sebab kekufuran mereka. Oleh itu mereka tidak beriman kecuali dengan iman yang amat tipis.” (Surah an-Nisa, ayat 46)

Perihal tokok tambah dan perubahan yang dilakukan dalam kitab-kitab (agama) terdahulu disebutkan Allah di dalam al-Quran antaranya Surah Maaidah (13 dan 41), al-Baqarah (75) dan banyak ayat-ayat lain.
Oleh kerana itu, maka agama-agama sebelum Muhammad dan kitab-kitab mereka dimansuhkan Allah semuanya dan digantikan dengan al-Quran.

Jika semua sudah kembali kepada al-Quran pastikan kesemuanya akan bersatu pada prinsip yang benar. Pertentangan yang berlaku antara sesama agama Allah, sebenarnya pertentangan bukan pada asas yang benar, tetapi kerana berlaku penyelewengan akibat tidak taat kepada perintah Allah.

Nabi Isa a.s. memberitahu kepada pengikutnya bahawa sebelum beliau, Allah telah menurunkan Taurah dan Zabur. Jika penganut agama samawi boleh menerima Taurat, Zabur dan Injil sebagai kitab Allah, mengapa mereka tidak boleh menerima al-Quran?

Begitu juga mengapa orang Yahudi percaya dan boleh menerima Ibrahim, Musa, Ayub, Ismail dan Yaakub sebagai Nabi, mengapa mereka tidak boleh percaya Isa sebagai Rasul? Begitu juga mereka harus menerima Muhammad sebagai Rasul yang diutuskan Allah.

Inilah pokok yang mustahak untuk kita fahami, bahawasanya perbezaan yang wujud adalah kerana sifat manusia yang mengingkari Allah. Moga moga penjelasan ini memberi kefahaman kepada kita bersama.Waalhua’lam.

(Di petik dari Syarah Prof Datuk Dr Haron Din)

30/11/2011 Posted by | Tazkirah | , , | 1 Comment

Awas dakyah Kristian di Malaysia

Foto Yahoo.com

Segelintir pihak Kristian hari ini menjadi semakin berani. Desakan, tuntutan dan ugutan dikemukakan kepada kerajaan, walaupun bilangannya kurang daripada 10 peratus. Peluang keemasan ini dimanipulasikan sepenuhnya dalam keadaan umat Islam negara ini begitu tersepit dengan perpecahan yang melanda. Sebelum ini, mereka mendesak kerajaan menubuhkan kementerian hal ehwal bukan Islam. Tindakan ini begitu mencabar kesucian Islam dan mengundang bahaya kepada kedudukan agama Islam selaku agama majoriti dan agama persekutuan jika dibenarkan.

Kebetulan pula, seorang kawan baik saya berketurunan India, beragama Kristian, bersimpati dengan Islam, menelefon saya baru-baru ini. Beliau yang mengajar di salah sebuah sekolah kebangsaan di Kuala Lumpur, mengadukan kepada saya mengenai seorang murid Melayu darjah satu yang diajar oleh guru tuisyen Kristian berbangsa Cina mengenai Kristian dan menghafal lagu-lagu Kristian. Saya mendengar lagu-lagu yang dinyanyikan oleh murid tersebut dengan teliti melalui telefon bimbit guru tersebut yang diserahkan kepadanya. Ternyata, anak kecil yang masih mentah dan tidak berdosa ini telah dicorakkan oleh guru Kristian tersebut melalui kelas tuisyen.

Tindakan guru tuisyen benar-benar keterlaluan dan amat kurang ajar. Saya amat mengharapkan pihak berkuasa akan mengambil tindakan tegas sebelum nasi menjadi bubur. Cukuplah dengan beberapa orang yang telah dimurtadkan secara berani seperti Aishah Bukhari, Azlina Jailani dan sebagainya. Ramai lagi sebenarnya yang menjadi mangsa, ini tidak termasuk yang masih belum dibuktikan. Hakikatnya, perancangan Kristian untuk menjadikan Malaysia sebagai syurga gerakan dakwah mereka memang tidak dapat dinafikan. Ianya bermula sejak mereka di bangku sekolah. Berhati-hatilah dengan guru-guru dan paderi-paderi musang berbulu ayam ini. Mereka akan menggunakan segala platform yang ada, atas nama pertubuhan, kelas tuisyen dan apa jua ruang dan peluang. Tindakan mereka begitu jelas bercanggah dengan perlembagaan persekutuan. Apakah kita masih mahu terus berdiam diri dan bersangka baik?

Berita terbaru mengenai tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) melakukan pemeriksaan ke atas Gereja Methodist Damansara Utama, di Petaling Jaya kerana terdapat bukti wujudnya percubaan memurtadkan umat Islam di negeri ini langsung tidak mengejutkan saya. Saya amat yakin perancangan jahat ini memang telah lama berlaku. Jika tidak percaya tanya exco Kristian dalam kerajaan negeri Selangor. Cuma dia pura-pura tidak tahu apabila ditanya. Begitu juga paderi-paderi yang terlibat. Ibarat lontar batu sembunyi tangan. Mereka akan cari seribu satu alasan untuk menunjukkan bahawa mereka tidak bersalah. Malangnya kita terlalu berlembut kerana takut undi lari dan kalah dalam pilihan raya. Sedangkan mereka begitu bersatu tanpa berbelah bahagi mempertahankan tindakan mereka.

Kita selalu bertindak menjaga kepentingan jangka pendek, melupakan kepentingan jangka panjang. Jika beginilah cara kita berpolitik, saya amat bimbang semakin ramai orang Melayu akan menjadi Kristian suatu masa nanti. Jangan perjudikan masa depan Islam, buruk padahnya. Gunakan peruntukan perlembagaan sedia ada. Lindungilah Islam sebelum terlambat.

Saya amat mengharapkan kita tidak akan tunduk kepada penafian mereka, seolah-olah mereka tidak bersalah. Mereka mesti disiasat mengikut Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah 1995. Seksyen itu memperuntukan mereka yang menghina Islam atau menyebabkan agama itu dipandang hina; mempersendakan, mengajuk-ajuk atau mencemuh amalan atau upacara yang berhubungan dengan agama Islam adalah melakukan suatu kesalahan. Mereka yang disabitkan kesalahan itu boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya. Ikut saya, peruntukan ini terlalu ringan, undang-undang ini perlu dihalusi lagi untuk diberatkan lagi hukumannya.

Walaupun pihak Kristian menafikan tindakan mereka dengan mengatakan bahawa majlis makan malam diadakan dalam semangat 1Malaysia oleh Harapan Komuniti (NGO Kristian), bertujuan menawarkan bantuan kepada golongan yang tidak bernasib baik dan memerlukan. Semua itu adalah alasan sahaja. Mereka mahu berselindung di sebalik kerja-kerja amal. Dua puluh tujuh tahun dahulu, ketika saya menganut agama Kristian, helah ini juga digunakan untuk mengKristian pelajar-pelajar di asrama. Saya tahu perancangan licik mereka.

Saya memohon kepada Duli-Duli Yang Maha Mulia Tuanku supaya campurtangan dan menjaga kesucian agama Islam daripada perancangan licik segelintir paderi-paderi Kristian ultra kiasu ini sebelum nasi menjadi bubur.

Jika kita mahu pastikan negara-negara Melayu Islam tidak tercemar lagi, seperti pencemaran yang telah mereka lakukan di Singapura dan Indonesia, tidak ada cara lain, selain bertindak tegas menggunakan peruntukan perlembagaan sedia ada. Jangan berlengah lagi. Tindakan perlu diambil terhadap golongan lempar batu sembunyi tangan.

Saya yakin ibu bapa murid tersebut tidak tahu menahu akan perkara tersebut. Jika ibu bapa murid tersebut tahupun, mereka tidak akan mensensasikan isu tersebut. Inilah sifat orang Melayu yang kadangkala meresahkan saya. Kepala sudah dipijak-pijak tetapi masih terus berlembut.

Berbeza sekali dengan sikap agresif ultra kiasu menangani iklan Ramadan TV8 yang dikatakan rasis. Bila hak mereka tercuit sedikit, heboh satu dunia seolah-olah negara bertuah ini begitu zalim terhadap mereka.Saya berulang kali menonton iklan tersebut melalui sebuah laman web. Saya tidak nampak di mana rasis sebagaimana yang didakwa. Tema sekadar menghormati agama sensitiviti umat Islam. Ia tidak ada kaitan sama ada iman kita lemah atau kuat. Takkan sekian lama hidup di negara bertuah ini masih tidak tahu atau tidak faham sensitiviti umat Islam? Apa erti agama Islam sebagai agama persekutuan jika tidak difahami dan dihormati.

Niat iklan tersebut adalah baik. Tetapi telah dimanupulasikan dan disensasikan. Beradab dan bersopan, adalah tuntutan semua agama. Menghormati agama Islam sebagai agama rasmi negara, adalah wajar terutama di bulan Ramadan. Adalah kurang adab jika kita makan di khalayak ketika umat Islam sedang berpuasa, atau sengaja memakai pakaian yang tidak senonoh, yang ditentang oleh semua agama.

Sama seperti mengunjungi majlis kematian orang bukan Islam. Adalah tidak manis jika umat Islam datang dengan pakaian berwarna merah. Saya yakin jika ada umat Islam datang dengan berbaju merah ketika majlis kematian, sudah tentu akan heboh 1Malaysia. Ini yang dikatakan bila kita lakukan sesuatu dikatakan rasis, tidak sensitif, tidak menghormati hak orang Islam.

Bila mereka yang melakukannya itu dikatakan sebagai hak. Ini bukan bermakna agama lain tidak perlu dihormati. Namun, oleh kerana agama Islam adalah agama majoriti dan agama rasmi pula, saya fikir tidak salah jika bukan Islam memberikan sedikit penghormatan. Memang secara peribadi tidak teruja langsung orang makan di depan saya atau mahu telanjang sekalipun ketika berpuasa, nak muntah ada, tetapi kita bercakap soal adab sopan dan sensitiviti.

Siapa yang akan mempertahankan kesucian agama Islam jika bukan kita. Janganlah menggantung harapan bahawa orang lain akan mempertahankan kita. Bila hak ita diambil itu dikatakan hak, bila hak mereka diambil, itu dikatakan rasis dan tidak adil. Licik sungguh politik dan strategi mereka. Apakah ini bukan ultra kiasu namanya? Apabila kerajaan melarang menggunakan nama Allah, menahan Al-Kitab (bible) dalam bahasa Melayu untuk diedarkan, maka berkokoklah mereka dengan mengatakan itu hak mereka. Namun, apabila kita melarang mereka menyebarkan agama bukan Islam kepada orang Melayu kerana bertentangan dengan perlembagaan, maka mereka mencari seribu satu alasan untuk menjustifikasikan tindakan biadab ini.

Bila kita kemukakan bukti nanti, mereka akan canangkan kepada dunia, Malaysia tidak ada kebebasan beragama. Maka gagasan 1Malaysia akan dijadikan hujah untuk mempertahankan tindakan mereka. Malangnya sungguh gagasan ini, sengaja dimanipulasi untuk menghalalkan tindakan mereka. Akhirnya, kita salah, mereka yang betul.

Tidak kurang juga banyak iklan-iklan mengenai perlakuan negatif realiti orang melayu seperti merempit, menagih dadah dan pelbagai lagi, tetapi orang Melayu tidak pernah melompat seperti ultra kiasu ini. Bila kena pada mereka semuanya sensitif, namun bila kena pada kita sebagai umat Islam, mereka senyap sahaja dan kalangan mereka bertepuk tangan.

Penulis: Ustaz Dr Ridhuan Tee


20/08/2011 Posted by | Berita dan Isu Semasa, Politik dan Dakwah | | 1 Comment

   

%d bloggers like this: