Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

BUDAYA – KOMPANG & TARIAN.

-[Kalam Al-Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al-Hamid ]

Di dalam Shahih Bukhari & Shahih Muslim, diceritakan tentang beberapa budaya yang datang daripada luar tetapi diakui dan dibolehkan oleh Nabi S.A.W. Yakni di dalam hukum menjadi harus. Bukan sunnah mahupun wajib. Ianya adalah HARUS.

Yang pertama budaya KOMPANG. Yang kedua budaya TARIAN.

Kompang itu adanya di Madinah di zaman dahulu. Tarian yang ada di zaman Nabi S.A.W itu datangnya dari negeri Habasyah (Ethiopia)

Di zaman Nabi S.A.W seorang perempuan datang kepada Nabi S.A.W dan memberitahukan “Ya Rasulullah, saya bernazar kalau kamu balik selamat saya akan pukul kompang”. Maka Nabi S.A.W bersabda “Tunaikan nazarmu”.

Itu bahagian daripada apa yang menjadi kebiasaan orang di Madinah dahulu bilamana gembira maka akan pukul kompang.

Ketika motifnya perempuan itu baik, yakni gembira Nabi S.A.W balik selamat dan ingin diungkapkan dengan memukul kompang, maka Nabi S.A.W bersabda “Tunaikan nazarmu”. Maka perempuan itupun memukul kompang di hadapan Nabi S.A.W.

Nabi S.A.W juga bersabda “Isytiharkan pernikahan itu dengan kompang”. Suatu hari ketika ada pernikahan dan di situ tidak ada kompang, tidak ada orang-orang yang membaca syair/berqasidah, Nabi S.A.W berkata “Di mana orang yang suka baca syair?” Dicari oleh Nabi S.A.W sebab hari pernikahan adalah hari gembira.

Kegembiraan yang ada di zaman Nabi S.A.W diungkapkan antaranya dengan memukul kompang dan bersyair.

Maka ulama mengambil pendapat bahawasanya diperbolehkan memukul kompang bilamana motif kegembiraan itu baik. Tapi bukan maksudnya sunnah pukul kompang untuk mengungkapkan kegembiraan, ianya harus sahaja.

Di zaman Nabi S.A.W juga ada golongan Habasyah (Ethiopia) yang mempunyai budaya menari di hari kegembiraan dengan tarian yang menggunakan tongkat.

Maka ketika hari raya, mereka orang-orang Habasyah itu menari di Masjid Nabi S.A.W. Menarinya mereka semata-mata untuk gembira kerana itu hari raya, maka diungkapkan kegembiraan mereka dengan tarian.

Jangan salah faham tarian tersebut dengan tarian seperti di disko dan sebagainya yang ada di sekeliling kita zaman ini. Ianya adalah tarian yang sopan. Ada sebuah buku ditulis oleh ulama dari Al Azhar, namanya Sheikh Abdul Fattah, menulis tentang hukum tarian dan macam-macam tarian serta sejarah lahirnya tarian. Dibahaskan dalam buku tersebut apa hukum menari. Tarian ini punya sejarahnya. Ada sumbernya.

Maka waktu orang-orang Habasyah menari di hadapan Nabi S.A.W, Rasulullah S.A.W mengizinkan kepada isterinya Siti Aisyah r.a untuk menyaksikan. Dan ini adalah sebagai satu sumber yang di hari gembira diperbolehkan seseorang itu mengungkapkannya dengan tarian yang sopan.

Imam Ibnu Hajar Al-Asqallani berkata: bahawa lelaki-lelaki Habasyah menari sambil bersyair dengan bahasa mereka (bukan Bahasa Arab). Lalu Nabi S.A.W bertanya: Apa yang mereka katakan? Lalu dijawab: Mereka mengatakan “Muhammad hamba yang soleh”

Dalam riwayat yang lain, Nabi S.A.W justeru memberi sokongan dengan bersabda: “Ayuh teruskan dengan semangat wahai Bani Arfadah (nama datuk orang Habasyah).”

Imam Ibnu Hajar Al-Asqallani berkata, “Ini adalah cara dan kebiasaan mereka, dan ini adalah perkara yang harus dan tidak disalahkan.”

Di antara iktibar yang dapat diambil adalah:

1. Rasulullah S.A.W mendengarkan bahkan membenarkan syair/qasidah walaupun bukan Bahasa Arab selagi maknanya baik.

2. Boleh menyaksikan hiburan dalam bentuk tarian dan memberikan semangat kepada mereka yang mempersembahkan, selagi tidak bercanggah dengan agama dan nilai-nilai kesopanan.

Dalam riwayat yang lain, Saidina Abu Bakar As-Siddiq r.a. melarang tarian tadi, dan terdapat riwayat lain yang menyatakan demikian juga Saidina Umar Al-Khattab r.a. melarangnya, maka Nabi S.A.W menegur keduanya dan bersabda, “Biarkanlah mereka (menari dan bersyair), setiap kaum mempunyai Hari Raya, dan inilah Hari Raya kami (kaum Muslimin).”

Pada riwayat yang lain, Nabi S.A.W bersabda, “Biarkanlah mereka bermain (menari dan bersyair) agar supaya bangsa yahudi tahu bahwa dalam agama kami (Islam) luas (tidak jumud). Sesungguhnya Saya (Rasulullah S.A.W) diutus dengan ajaran yang suci lagi tidak jumud.”

Di antara iktibar yang dapat diambil adalah:

1. Nabi S.A.W menegur orang yang melarang acara tarian itu. Kalau di zaman sekarang ada yang menegur acara seumpama ini, bukankah sepatutnya dia yang perlu mendapat teguran?

2. Nabi S.A.W memperbolehkan bergembira dengan tarian yang sopan dan bersyair dengan 2 sebab:

• Ini adalah hari raya kami (yakni hari gembira). Diperbolehkan bergembira di hari raya dan hari gembira yang lain dengan tarian, syair atau yang lain selagi tidak bercanggah dengan agama dan nilai-nilai kesopanan.

• Agar kaum yahudi tahu kalau agama ini tidak jumud. Yakni, ingin menyatakan bahawa agama Islam memperbolehkan berhibur walaupun dengan tarian, dan seumpamanya dan menjawab dakwaan yahudi bahawa agama Islam adalah jumud dan melarang penganutnya untuk berhibur.

Wallahu’alam .

30/08/2019 Posted by | Bicara Ulama, Politik dan Dakwah, Q & A (Soal Jawab), Tazkirah | , , | Leave a comment

Hukum bergendang dalam masjid – Majlis Fatwa Negeri Melaka

Fatwa Sayuti- Gendang Dlm Masjid

Nasihat dari Majlis Fatwa Negeri Melaka:

Fatwa Larangan Berzikir, Memukul Gendang Atau Peralatan Muzik Lain Di Dalam Masjid.

Tarikh Keputusan:  29 Dec, 2010.

Keputusan:

(a) Dilarang memukul alat gendang atau memainkan apa-apa jenis alatan muzik di dalam masjid atau surau kerana perbuatan tersebut adalah bercanggah dengan syariat dan akhlak Islam;

(b) Bagaimanapun, penggunaan alat gendang atau apa-apa jua jenis alatan muzik lain bagi menjalankan aktiviti yang dibenarkan oleh Syarak boleh dilaksanakan di luar bangunan masjid, surau atau madrasah dan pelaksanaannya hendaklah berlandaskan Syariat dan akhlak Islam.

Status Penwartaan:  Diwartakan

Tarikh Diwartakan:  5 Jan, 2012

Nombor Rujukan:  JMM/BFB(S)/351/255/02/10; PUNM. 700-02/37 Jld. 2

Akta/Enakmen:  Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Melaka) 2002

Negeri: Melaka.

Sumber: http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-negeri/fatwa-larangan-berzikir-memukul-gendang-atau-peralatan-muzik-lain-di-dalam-masjid

28/01/2013 Posted by | Ibadah, Q & A (Soal Jawab) | , , , , , , | Leave a comment

   

%d bloggers like this: