Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Permasaalahan Hukum zina dan Liwat dari Kitab Kuning

Syaikh Daud Abdullah al-Fatani menyebut dalam kitab Hidayatu al-Muta’allim[1]: ketika mengulas tentang perlaksanaan hukum hudud zina:

“(Bermula ) zina yang wajib [hukuman] had itu iaitu orang yang melazimkan hukum [mukallaf] lagi mengetahui dengan haramnya [berzina] dengan memasukkan hasyafah [forehead] atau kadarnya [sekiranya zakar yang tidak mempunyai hasyafah] dengan faraj atau dubur yang haram bagi ‘ainnnya, lagi keinginannya pada tabiatnya [tidak dipaksa] dengan tiada syubhah…….”

Syaikh Daud menyambung dengan menyebut pengecualian daripada hukum, yakni tidak sampai dihukum dengan hukum hudud tetapi ditakzirkan:

“Tetapi tiada thabit [hukum had] dengan tiada masukkan [zakarnya] ke dalam faraj seperti bergurau-gurau jua atau dengan di wati isterinya pada masa haidhnya dan puasa atau di wati [disetubuhi] pada dubur[2] [isterinya] atau diwati sahayanya yang ada suaminya atau yang di dalam ‘iddah atau sahaya itu mahramnya atau diwati dengan tergagah [dipaksa] atau dihalalkan oleh orang alim [seperti fatwa ulama shiah tentang nikah mut’ah] atau diwati orang mati atau akan binatang, maka tiada [dilaksanakan] hukum had pada segala perkara itu” [m/s 300-301]

2-Syaikh Daud Abdullah al-Fatani di dalam kitabnya Fathu al-Mannan[3] yang merupakan terjemahan kepada kitab Safwatu az-Zubad menyebu dengan jelas yang hukum hudud qazaf meliputi tuduhan liwat:

Dan wajib atas melontar[4] dengan liwat dan zina* didera dulapan puluh bagi orang yang hurr [5] dan muhsana*

dan bagi sahaya setengah ketahui engkau orang yang muhsana* iaitu orang mukallaf yang Islam lagi merdeheka tiada berzina*

dan jika berdiri baiyyinah atas yang kena tuduh atas berzinanya* gugurlah seperti adalah benar bagi tuduh atau dimaafnya*

(Dan wajib) atas orang yang menuduh akan seseorang semada laki-laki atau perempuan dengan liwat atau dengan zina seperti dikatakan “zanaita”, “latta” [yang bermaksud] zinah engkau, atau diliwat engkau atau “lat” bagi fulan , telah liwat dengan dikau sianu atau “ya zani” atau “ya la it”, dan yang menuduh itu orang mukallaf lagi dengan ikhtiarnya , yang bukan usulnya [yang membuat tuduhan bukan ayah atau datuk], maka tiada dihadkan [tiada dihukum dengan hukuman had] kafir atau kanak-kanak dan orang gla atau jahil ia akan haramnya sebab baharu masuk Islam atau jauh daripada ulama’ atau tergagah [dipaksa] .

3-Syaikh Muhammad Ismail al-Fatani di dalam kitab Matla u’ al-Badraini menyebut:

(Bermula hukum liwat) seperti hukum zina iaitu dihadkan dia yakni direjamkan dia jika ada ia muhsan, dan dipukul dan didagangkan [buang daerah] akan dia jika tiada muhsan , atas yang mazhabnya [yakni mazhab Imam as-Syafi’ie] ialah yang mu’tamad-nya dan muqabalah-nya [yang tidak mu’tamad] bahawa sanya dibunuh akan dia mutlaqan[apa cara sekalipun], dan kaifiyyat membunuh akan dia itu beberapa wajah, salah suatunya dibunuh akan dia dengan pedang, dan keduanya direjamkan dia dan ketiga dirobohkan jidar [dinding] atasnya atau dicampakan dia daripada tempat yang tinggi, {hukuman bunuh] ini pada fa’il [pelaku] yakni yang meliwatnya, adapun yang kena liwat, maka dipukulkan dan didagangkan akan dia, jika ada ia mukallaf lagi taat [dilakukan secara rela] ia akan dia semada ia muhsan atau tiada, semada laki-laki atau perempuan , jika tiada mukallaf atau yang digagahi[ dipaksa] akan dia maka tiada dihadkan atasnya, maka makna liwat itu [ialah] wati pada dubur laki-laki , jika pada dubur sahaya yang laki-laki sekalipun, atau pada dubur perempuan . Dan wajib had padanya [kesalahan ini] pada yang lain daripada [meliwat] isterinya dan sahaya yang perempuan (m/s 195)

Syaikh Muhammad Ismail menyebut dalam bab Qazaf dalam kitab ini:

(Dan tertegah) maqzuf yakni orang yang dituduhkan dia daripada bersumpah kerana bahawa sanya harus bagi qazif yakni yang menuduh ia suruh maqzuf bersumpah atas ketiadaan berzinanya dan jika serta kuasanya atas baiyyinah sekalipun[6], pada [pemahaman] kebanyakan ulama maka [jika] bersumpah maqzuf , dihad-kan qazif dan jika tiada bersumpah maqzuf gugurlah had qazif (m/s:196)

4-Tuan Tabal, Syaikh Abdul Samad Soleh al-Kelantani dalam kitabnya Minhatu al-Qarib[7] menyebut:

(dan bermula) hukum liwat (yakni) wati pada dubur orang lain daripada isterinya, ini seperti hukum zina juga atas qaul yang mu’tamad (adapun liwat) pada isteri atau sahaya perempuannya maka ditakzirkan dia jua jika berulang-ulang, jika tiada berulang-ulang maka tiada ditakzirkan padanya (m/s 215)

5-Syaikh Ahmad Bin Muhammad Zain al-Fatani menyebut dalam kitabnya ‘Unwanu al-Falah, tentang perlaksanaan hukum hudud atasjenayah zina dan liwat, serta syaikh memilih salah suatu qaul daripada menyatakan hukuman liwat:

Dan disyaratkan pada wajib had itu taklif maka tiada dihad-kan kanak-kanak dan orang yang gila bahkan dita’dibkan keduanya (dan hukum) liwat [sama dengan] hukum zina. Dan orang yang dikerjakan [ orang yang kena liwat] pada duburnya itu had-nya jild [sebatan] semada muhsan atau tiada (m/s 75)

6- Syaikh Muhammad Ismail al-Fatani dalam kitabnya Kasyafu al-Litham menyebut dalam bab Qazaf:

(Furu) Harus yang menuduh itu menuntut akan yang kena tuduh itu suruh bersumpah atas tiada ia [orang yang kena tuduh] berzina , dan jika enggan ia [orang yang kena tuduh] daripada bersumpah gugurlah hadnya [had qazaf atas yang menuduh], dan jika bersumpah ia [orang yang kena tuduh]. Dihad-kan dia [yang menuduh] [inilah] kata kebanyakan ulama’, tiada didengarkan dakwa dengan zina dan bersumpah ia atas menafikan dia melainkan pada masaalah ini jua seperti kata dalam [kitab] Syarah Raudah[8]

Dalam persoalan yang lebih menjurus dicatitkan:

(Furu) Ditanya akan [Imam} Ramli daripada seorang yang mendakwa ia atas seorang yang lain bahawa sanya ia [yang kena tuduh] liwat dengan dia, maka engkar ia [yang kena tuduh], maka adakah [perlu] bersumpah ia [yang kena tuduh] yakni menuntut suruh bersumpah , dan apabila kamu kata tiada disumpahkan dia [yang kena tuduh enggan bersumpah], maka apabila tiada didirikan baiyyinah [saksi dan bukti yang secukupnya] dihad-kan dia [yang menuduh] yakni akan orang yang mendakwa itu? Apabila maaf maqzuf [orang yang kena tuduh] itu daripada [dilaksanakan hukum] had [ke atas yang menuduh], maka adakah bagi qazif tuntut suruh bersumpah akan dia atau tiada?

Dan maka jawab ia dengan bahawa sanya ia [yang menuduh] iqrar atas dirinya dan menuduh ia[ yang menuduh] akan di fa’il [yang dituduh sebagai pelaku] , maka [ dalam keadaan ini] jika menuntut ia [yang kena tuduh] akan had qazaf-nya [terhadap yang menuduh], niscaya adalah baginya[yang kena tuduh] menyumpahkan [bersumpah] dia atas nafi liwatnya [meliwat si penuduh], dan jika [sekiranya ] tiada menuntut ia [yang kena tuduh] akan [hukuman] had-nya [dilaksanakan ke atas yang menuduh] maka tiada boleh dituntut bersumpah. (m/s:369)

Syaikh Muhammad Ismail menyebut ‘rational’ fatwa ini dalam kitabnya yang sama:

Bermula orang yang mendakwa itu orang yang mukhalafah [menyalahi] oleh [dengan perkataan] katanya akan zahir dan mudda’a ‘alahi [orang yang kena dakwa] itu orang yang muafakat akan yang zahirnya m/s: 455

8. Sayaikh Daud Abdullah al-Fatani dalam kitabnya Furu al-Masail mencatitkan persoalan yang sama:

(Soal radiyyallahu ‘anhu ) daripada seorang dakwa atas seorang [yang lain] bahawa ia liwat, maka engkar ia [yang kena tuduh], adakah ia [yang kena tuduh] bersumpah atas ketiadaannya [melakukan liwat tersebut] ? Dan jika kita kata tiada [kewajiban] atasnya bersumpah , makajika tiada [pula] didirikan baiyyinah [oleh yang menuduh] adakah didirikan [dilaksankan hukuman] had atas mudda’ie ? Dan apabila memaafkan oleh yang kena tuduh daripada hadnya [hukuman ke atas yang menuduh kerana qazaf], maka adalah bagi yang menuduh suruh ia bersumpah?

(Maka dijawabnya) bahawa sanya ia mengaku atas dirinya [diliwat] dan menuduh ia bagi yang berbuatnya dengan dia [yang menuduh], maka jika menuntut [ oleh yang kena tuduh] akan dia [yang menuduh] dengan [dikenakan] had qazaf , harus ia [yang menuduh] menuntut suruh [yang kena tuduh] bersumpah atas menafikan liwatnya, manakala dimaafkan daripadanya [tiadalah dilaksanakan hukum had ke atasnya], dan jika tiada [menuntut hukum had qazaf ke atas yang menuduh] maka tiadalah boleh ia menuntut suruh ia bersumpah[9]. (m/s:323)

9-Syaikh Abdul Rauf Singkel dalam kitabnya Mira atu at-Tullab menyebut:

Bermula wajib had zina itu atas orang yang menetap [mukallaf] bagi segala hukum Islam lagi tahu ia akan haramnya dengan sebab memasukkan hasyafah atau kadarnya [bagi yang tiada hasyafah] ke dalam faraj semada faraj itu qubul atau dubur dan semada ia daripada lelaki atau perempuan dan adalah faraj itu faraj yang diharamkan ia kerana ‘ainnya lagi yang keinginannya pada tabiat yang sejahtera dan adalah masuknya itu dengan tiada syubhah dan ada yang empunya faraj itu diupah lagi menghalalkan dirinya atau mahramnya sekalipun. (m/s:447)[10]

Lihat bagaimana keatanya syarat baiyyinah bagi menthabitkan perbuatan zina yang dijatuhkan hukuman hudud, Syaikh Abdul Rauf menyebut dalam kitab yang sama:

(Soal) jika bertanya seorang apabila naik saksi orang yang diqabulkan [diterima] saksinya [kesaksiannya] padahal kurang daripada empat orang akan zina seorang, adakah thabit zina dengan dia [orang yang dituduh] atau tiada, maka apabila tiada thabit dengan dia [kesaksian yang tisak cukup empat orang] [kesalahan] zina adakah wajib atas sekelian saksi had atau tiada

(Jawab) tiada thabit zina dengan dia dan wajib atas sekelian saksi itu [hukuman] had supaya jangan jatuh pekerjaan [practice] itu membinasakan hormah [kehormatan/maruah] manusia dengan rupa saksi. Dan demikian lagi jikalau naik saksi akan zina itu sekelian perempuan atau segala sahaya atau ahli az-zimmi , niscaya wajib [hukuman] had atas mereka itu kerana bukan mereka itu ahlu as-syahadah (yakni) yang bukan patut akan [menjadi] saksi (m/s 450)

10-Syaikh Muhammad Nur Bin Ismail al-Fatani dalam kitabnya Kifayatu al-Mubtadi menyebut:

(Dan) hukum (liwat) iaitu memasukkan hasyafahnya atau kadarnya (pada) dubur (lelaki) dan jika sahayanya atau pada dubur perempuan yang bukan isterinya atau gundiknya [sahaya perempuannya sama dengan] (hukum zina) maka direjamkan fa’il yang muhsan dan dipukulkan yang tiada muhsan dan didagangkan dia [dibuang daerah] sepeerti yang telah lalu sebutnya. Adapun yang kena perbuat maka dipukulkan dan didagangkan dia semada muhsan atau tiada, maka iaitu atas mazhab, maka ialah yang mu’tamadnya pada [hukuman] liwat dan muqabalahnya [pendapat yang tidak mu’tamad dalam mazhab] dibunuhkan fa’il-nya dan kaifiat membunuhkan dia itu bersalah-salahan padanya, kata setengahnya dengan pedang dan kata setengahnya direjamkan dia dan kata setengah dirobohkan jidar atasnya dan kata setengah dicampakkan akan dia daripada puncak gunung yang tinggi[11] m/s 310-311

!1- Dalam Kitab ‘Umdatu as-Salik , sebuah kitab feqah mazhab Imam as-Syafi’ie berbahasa arab, karangan Syaikh Ahmad Ibn Naqib . Terdapat edisi kitab ini yang dibuat ta’liqat oleh Syaikhuna Nuruddin al-Banjari. Kitab ini juga telah diterjemaholeh Syaikh Nuh Hamim Keller ke dalam bahasa inggeris dengan baik sekali. Terjemahan yang saya fahami adalah lebih kurang:

Apabila membuat tuduhan (qazaf) oleh seorang yang baligh, beraqal dan dengan pilihannya [tidak dipaksa] sedangkan dia seorang muslim, atau seorang zimmi atau seorang yang murtad atau seorang kafir yang diberi jaminan keamanan terhadap seorang yang muhsan, bukan anak kepadanya dengan tuduhan zina atau liwat dengan jelas [sarahah] atau dengan simbolik [kinayah] beserta dengan niat maka dikenakan hukum had

Khulasah

Jelaslah dalam matan-matan kitab yang telah dirujuk menunjukkan hukuman hudud bagi jenayah liwat adalah di bawah bab jenayah zina dan hukumannya sama bahkan lebih berat. Sementara tuduhan zina ke atas seorang yang muhsan membawa kepada jenayah qazaf, sudah tentu tuduhan liwat, yang disebut oleh Imam al-Mawardi yang liwat itu adalah perlakuan yang lebih dahsyat daripada zina itu juga diambil kira sebagai qazaf.

Sementara jika ada seorang yang mengaku dirinya diliwat tanpa mendatangkan baiyyinah atau qarinah yang diiktiraf syara’ ,sedangkan orang yang kena tuduh itu pula menafikan tuduhan tersebut dan dia meminta kepada qadi agar orang yang menuduh itu didakwa sebagai orang yang melakukan qazaf. Dan orang yang menuduh itu kerana menguatkan hujjahnya, dia meminta qadi memerentah orang yang kena tuduh itu bersumpah menafikan yang dia telah meliwat orang yang menuduh. Maka apabila orang yang kena tuduh itu bersumpah maka orang yang menuduh itulah yang dijatuhkan hukuman had qazaf.

Sekiranya orang yang menuduh itu mempunyai baiyyinah atau qarinah, sepatutnya dia menthabitkan jenayah orang yang kena tuduh itu dengan menggunakan baiyyinah dan qarinah tersebut, jangan diminta qadi memerentah orang yang kena tuduh bersumpah, kerana sekiranya orang yang dituduh itu bersumpah menafikan yang dia meliwat orang yang menuduh, maka hukuman had qazaf jatuh ke atas orang yang menuduh. Itulah kefahaman kebanyakan ulama dalam mazhab Imam as-Syafi’ie. Ini kerana apabila dia meminta qadi memerentah orang yang kena tuduh bersumpah, implikasi undang-undangnya ke atas orang yang membuat tuduhan ialah dia mesti menerima butiran sumpah yang dibuat oleh orang yang kena tuduh

Bagaimana pula sekiranya orang yang membuat tuduhan itu tidak mempunyai baiyyinah atau qarinah yang diiktiraf oleh syara’ dan mendesak agar orang yang kena tuduh bersumpah? Tidakkah dia takut kepada hukuman lapan puluhan sebatan thabit ke atas zimmahnya, serta dia akan dikira sebagai seorang yang pembohong di sisi hukum syara’. Mengikut Imam as-syafi‘ie dan sebahagian ulama yang lain, sekiranya orang yang melakukan qazaf ini bertaubat sekalipun, maka taubatnya itu di antara dia dan Allah, dari segi perlaksanaan hukum syara’ dia dikira sebagai ‘fasiq’ sampai bila-bila.

Begitulah perincinya hukum Islam, alhamdulillah keperincian perbincangan hukum itu juga dikupas oleh ulama-ulama jawi dalam kitab-kitab mereka. Kita diwariskan dengan khazanah ilmu yang sangat bernilai dan mendalam sifatnya, rugilah bangsa yang tidak tahu menilai warisan sendiri serta dalam kejahilan mereka itu pun , mereka sanggup memandang orang tua mereka sebagai orang yang tidak memahami Islam yang luhur dan lengkap-melengkapi sebagaimana yang mereka faham sekarang. Aduhai bangsaku, adakah ini nasib kita selepas 51 tahun merdeheka…..

Alhamdulillah selesai membuat catitan selepas zuhur satu Syawal 1429H. Ia diselesaikan dengan segala keterbatasan ilmu dan faham dan rujukan tetapi memandang dengan sangka yang baik terhadap ‘inayah dan taufiq dari Allah , semoga catitan ini memberi manafaat kepada pencatit yang serba kekurangan dan saudara-saudaranya yang mahu memahami dan menghayati kebenaran.

——————————————————————————–

[1] Naskhah yang dirujuk dicetak Matba‘ah al-Miriyyah pada tahun 1312 H. Alhamdulillah ianya adalah naskhah yang lengkap.

[2] Anal-sex yang tidak dijatuhkan hukuman hudud itu ialah dengan isteri atau sahaya, bagaimanapun ditakzirkan

[3] Naskhah yang dirujuk dicetak di Matba‘ah al-Miriyyah pada tahun 1330H. Matan Zubad diterjemah dalam bentuk puisi serta diikuti oleh syarah di dalam bentuk prosa. Sedang kitab asalnya yang berbahasa ‘arab ditulis oleh Syaikh Ahmad ibn Raslan dl-Dimasyqi.

[4] Melontar maksudnya menuduh

[5] Hurr orang yang merdeka-bukan sahaya

[6] Apabila si penuduh meminta agar orang yang kena tuduh bersumpah, bererti dia mengiktiraf apa yang disumpah oleh orang yang kena tuduh.

[7] Naskhah yang dirujuk di cetak oleh Di. Ya Ikhwan

[8] Cetakan tahun 1345H

[9] Naskhah yang dirujuk cetakan Matba’tu al-Misriyyah pada 1307H

[10]Siap ditulis pada tahun 1184H. Naskhah yang dirujuk dicetak di Matba’atu Ummu al-Qurra pada tahun 1309H.

[11] Naskhah yang dirujuk cetakan Dar al-Maarif, Pulau Pinang (t.t)

Sumber: http://ayobhussin.com/hukumislam/permasaalahan_hukum_zina_dan_liw.htm

Advertisements

10 February 2015 Posted by | Bicara Ulama, Ibadah, Q & A (Soal Jawab) | , , | Leave a comment

AWAS………KITAB KUNING YANG DI PALSUKAN

Utk menyerang Ahlus Sunnah wal Jamaah, kaum Wahabi telah memalsukan beberapa kitab kuning yg biasa dikaji di pesantren NU. Sekadar info utk mengetahui kitab itu asli ato sdh dipalsukan:

1. Bila dlm kitab AL IBANAH karya Imam Abu Al Hasan Al Asy’ari terdapat tulisan yg secara eksplisit maupun implisit mendukung TAJSIM dan TASYBIH maka dipastikan kitab tsb palsu!

2. Bila dlm kitab Shahih Bukhori, pasal Al Ma’rifah dan bab Al Madholim tdk ada / hilang, maka dapat dipastikan kitab tsb palsu krn Imam Ibnu Hajar Al Asqolani dlm Fathul Bari menjelaskan adanya pasal tsb!

3. Bila pasal ZIARAH KUBUR NABI SAW di dlm kitab RIYADLUSH SHOLIHIN berubah mjd pasal ZIARAH MASJID NABI SAW maka kitab tsb palsu!

4. Di dlm kitab DIWAN ASY SYAFI’I halaman 47 ada bait yg berbunyi, “FAQIHAN WA SHUUFIYYAN FAKUN LAISA WAAHIDAN yg artinya JADILAH AHLI FIQH DAN SHUFI SEKALIGUS, JANGAN HANYA SALAH SATUNYA, bila bait ini hilang maka kitab tsb palsu!

5. Bila Hadits Fadhoil Maryam, Asiyah, Khodijah dan Fatimah hilang dari kitab Shohih Muslim maka kitab ini palsu krn Mustadrak al Hakim mencatat itu!

6. Bila Hadits tentang Nabi SAW mempersaudarakan Muhajirin dan Anshor, serta mempersaudarakan dirinya dgn Sayidina Ali tdk ada di dalam Musnad Imam Ahmad, maka Musnad tsb palsu!

7. Bila pasal khusus tentang WALI, ABDAL,SHOLIHIN & KAROMAH, tdk ada di dlm HASYIYAH IBNU ‘ABIDIN yg bermadzhab Hanafi, maka kitab tsb palsu!

8. Bila tulisan bhw WAHABI ADALAH JELMAAN KHAWARIJ YANG TELAH MERUSAK PENAFSIRAN ALQURAN DAN AS SUNAH, SUKA MEMBUNUH KAUM MUSLIMIN…(dst ) dlm kitab HASYIYAH ASH SHOWI ‘ALA TAFSIR JALALAIN karya Syeikh Ahmad bin Muhammad Ash Showi al Maliki halaman 78 tdk ada maka kitab tsb palsu!

9. Di dlm kitab AL FAWAID AL MUNTAKHOBAT karya Ibnu Jami Aziz Zubairi hal 207 menyatakan bhwa Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab adalah THOGHUT BESAR, bila tulisan ini tdk ada maka kitab tsb palsu!

10. Bila bab ISTIGHOTSAH pada kitab AL MUGHNI karya Imam Ibnu Qudamah al Hanbali tdk ada, maka kitab tsb palsu!

(Sumber: Kami Tidak Mahu Fahaman Wahhabi Di Malaysia)

21 January 2015 Posted by | Informasi | , , | Leave a comment

ISRAILIYYAAT: Pengenalan dan kaedah mengecam nya

Kita biasa mendengar guru guru,ustaz ustaz ustazah dan penceramah penceramah yang gemar menyelitkan cerita atau kisah yang kita tidak tahu dari mana sumbernya.Ada kisah macam kartun, dongeng dan ada yang tidak masuk akal dan tidak logik dan tidak terdapat dalam Quran dan Hadis.Namun pendengar tidak pernah mahu bertanya bahkan menerima sahaja bulat bulat kerana berkeyakinan takkan mereka mereka dikalangan agamawan nak berbohong.

Di antara contoh cerita cerita saperti Air mata taubat Nabi Adam,cerita tentang 2 orang Malaikat “ Harut dan Marut “,cerita penyeri wajah Nabi Yusuf bagi mereka yang naik pelamin,kisah pemuda yang memelihara ibu bapanya yang bertukar menjadi babi,cerita seorang gadis yang memikul ayahnya yang sudah tua di dalam bakul,cerita cerita ular yang menolong Iblis masuk ke syurga untuk menipu Nabi Adam dan Hawwa`, kisah Talut dan Jalut  (al Baqarah 2: 248), Kisah Nabi Sulaiman dengan Puteri Balqis, Kisah Nabi Syu’aib dan Nabi Musa dan lain-lain lagi.

Cerita atau kisah seumpama ini  adalah cerita Israiliyyat.Apakah Israiliyyat? Boleh atau tidak kita dengar,terima dan menghayati cerita dan kisah yang berbentuk Israiliyyat? Berikut adalah penjelasannya:

Foto hiasan

Muqaddimah :

Asas pembinaan dalam Islam ialah al-Quran dan as-Sunnah. Kedua-dua sumber terpenting ini mesti diletakkan di hadapan dan dijadikan rujukan kerana al-Quran adalah dari Allah SWT, manakala as-Sunnah Sohihah pula bersandarkan persabdaan nabi SAW yang dibimbing wahyu Allah.

Kefahaman yang betul tentang  al-Quran dapat diperolehi menerusi Manhaj Tafsir yang digariskan ulamak berdasarkan ciri-ciri dan syarat-syarat yang ditentukan. Antaranya, meletakkan Tafsir Bil-Ma’tsur (Tafsir berdasarkan hadis dan riwayat) sebagai asas Tafsir, disusuli dengan Tafsir Bil ra’yi yang selari dengan kehendak syara’.

Penguasaan dalam bidang Usul Hadis dan pengajian hadis amat mustahak bagi memahami Tafsir Bil-Ma’sur. Tanpa pengetahuan mendalam dalam bidang hadis amat sukar bagi seseorang itu memahami Tafsir Bil-Ma’sur.

Israiliyyat adalah isu yang berkait rapat dengan Tafsir Bil Ma’sur kerana ia berkembang melalui periwayatan. Kewujudannya di celah-celah tafsiran al-Quran boleh menimbulkan bahaya tanpa disedari khususnya Israiliyyat yang bersifat merosakkan aqidah seseorang. Dalam banyak hal ia boleh menghalang seseorang dari memahami dan menghayati al-Quran.

Isu Israiliyyat perlu ditangani menerusi pemahaman yang betul tentang zat Israiliyyat itu sendiri, pembahagiannya serta cara atau pun kaedah bagi mengenal pasti atau mengenal Israiliyyat. Untuk tujuan itu, kertas ini dikemukakan.

Pengenalan :

Pengenalan Israiliyyat sebagaimana yang dinyatakan oleh Doktor Muhammad Husin az-Zahabi rahimahullah: “lafaz Israiliyyaat- pada zahir adalah lafaz yang jama’, lafaz mufradnya Israiliyyat. Ia adalah kisah atau peristiwa yang dinukilkan dari sumber Israiliyyi dinisbahkan kepada Israiliyyat iaitu Nabi Ya’qub bin Ishak bin Ibrahim. Kepadanyalah dinisbahkan bangsa Yahudi, lalu dikatakan “ Bani Israil” (Az-zahabi , Doktor Muhammad Husin, al-Israiliyyaat dalam Tafsir dan Hadis,  muka surat 19)

Menurut Doktor Zahabi ulamak tafsir dan hadis  telah memperluaskan pengertian Israiliyyat daripada hanya berkisar tentang cerita yang bersumberkan Yahudi kepada apa jua yang dianggap tidak berasas samada ia berbentuk dongeng dahulu kala ( sebahagian ulamak melabelkannya الدّخيل ) yang boleh jadi asalnya adalah dari sumber Yahudi atau Nasrani atau sumber-sumber lain (Ibid., muka surat 19-20). Oleh kerana kebanyakan cerita yang diterima bersumberkan sumber Yahudi, maka lafaz Israiliyyat lebih sesuai digunakan.

Pengenalan atau definisi Israiliyyat yang dikemukakan oleh Doktor Zahabi amat penting kerana beliau dikira tokoh utama yang membincangkan persoalan berkaitan Israiliyyaat. Sehigga hari ini, saya tidak mendapati seseorang pun yang menulis atau membahaskan isu Israiliyyat melainkan ia terpaksa merujuk kepada tulisan  dan pandangan Doktor Zahabi ( lihat: Doktor Ahmad Najib bin Abdullah. Tesis Ph.D muka surat 16-18.Universiti Islam Madinah)

Perkembangan ringkas Israiliyyat

Menurut sejarah, orang-orang Yahudi telah pun menetap bersama dengan orang-orang Arab sejak zaman sebelum Islam. Mereka memiliki ilmu pengetahuan yang diambil dari ajaran Kitab Taurat dan buku-buku ugama  mereka yang lain. Orang-orang Arab sering kali bertanya orang-orang Yahudi tentang perkara-perkara yang berhubung sejarah lama berkenaan tokoh, peristiwa dan cerita tertentu.

Sebahagian sahabat nabi seperti Abu Hurairah dan Abu ‘Abbas r.a ada bertanya ahli kitab Yahudi yang memeluk Islam tentang beberapa perincian cerita terdahulu (Ibid, muka surat66.التفسير والمفسرون 1/70. Ibnu kasir, البداية والنهاية ,1/17…) tetapi pertanyaan mereka adalah terhad kepada aspek-aspek tertentu, tidak termasuk persoalan akidah. Mereka melakukan demikian kerana mereka faham keharusan yang diberikan nabi SAW dalam meriwayatkan cerita Israiliyyat.

Di zaman tabi’in, proses periwayatan Israiliyyat menjadi lebih aktif disebabkan kecenderungan masyarakat mendengar  cerita-cerita yang agak luar biasa.

Apabila datangnya tabi’ tabi’iin periwayatan menjadi lebih serius dengan munculnya golongan  “ القصّاص”(al-Qassas)iaitu penyampai cerita yang tidak bertanggungjawab.

Era pembukuan karya Islam kemudiannya menyaksikan  bagaimana tafsir al-Quran termuat dicelah-celah tajuk kitab-kitab hadis sebelum ia terpisah dan dapat menentukan  kedudukannya sendiri.

Pada peringkat awalnya, tafsir al-Quran dipersembahkan dengan lengkap bersanad kemudiannya sanad-sanad yang menghiasi matan-matan riwayat dibuang dengan tujuan untuk meringkaskan dan meringankan saiz kitab-kitab tafsir yang penuh sarat dengan muatan rangkaian perawi itu.

Justeru terbuangnya sanad, maka riwayat-riwayat tafsir mula menempuh  keadaan yang amat sukar dan bermasaalah  di mana tidak dapat  dipastikan lagi  riwayat yang boleh diterima dan riwayat yang tidak boleh diterima. Dari timbunan riwayat inilah terdapat Israiliyyaat yang akhirnya melengkapi sebahagian besar tafsiran ayat-ayat al-Quran. Ini berlaku bukan sahaja kepada kitab-kitab Tafsir Bil Ma’tsur bahkan menular kepada kitab-kitab Tafsir Birra’yi dengan kadar yang berbeza.

Pembahagian Israiliyyat :

Apabila disebut Israiliyyat pada kebiasaanya ia merujuk kepada riwayat-riwayat Israiliyyat yang bersifat negatif atau yang sukar diterima isinya.

Merujuk kepada pembahagian ulamak antaranya Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah ( Ibnu Taimiyyah,Muqaddimah dalam Usul Tafsir, muka surat 100) Israiliyyat dapat dibahagikan kepada tiga bahagian:

Pertama: Israiliyyat yang selari dengan apa yang ada di dalam sumber Islam, al-Quran dan as-Sunnah as-Sohihah. Contohnya: riwayat yang menyebut rakan seperjalanan Nabi Musa a.s ialah Khidir.

Kedua: Israiliyyat yang bercanggah dengan al-Quran dan as-Sunnah as-Sohihah. Contohnya: cerita malaikat Harut dan Marut yang terlibat  dengan dosa besar. Minum arak, berzina dan membunuh

Ketiga: Israiliyyat yang tidak dapat dipastikan statusnya  (maskut anhu). Contohnya, riwayat-riwayat yang menyebut bahagian anggota lembu yang diambil untuk memukul si mati dalam kisah bani Israil.

Hukum meriwayatkan Israiliyyat :

Terdapat dua pandangan ulamak dalam masalah ini.

Pandangan pertama: Tidak harus meriwayatkan Israiliyyat. Antara dalil mereka, hadis nabi S.A.W:

ولا تصد قوا  أهل  الكتا ب  و لا  تكذبوهم, وقو لوا  آ منا  بالله  وما  انزل  الينا

          Maksudnya: “ Janganlah kamu mempercayai Ahli Kitab dan janganlah pula mendustai mereka, katakanlah kami beriman kepada Allah dan kepada kitab yang diturunkan kepada kami…” (Al-Bukhari, Sohih Bukhari, hadis nombar 4485)

Hadis ini melarang orang –orang Islam menaruh kepercayaan kepada cerita-cerita Ahli Kitab berkenaan Kitab Taurat dan sebagainya (Az-Zahbi, al-Israiliyyat dalam Tafsir dan hadis, muka surat 55-56).

Pandangan kedua: Harus meriwayatkan Israiliyyat. Antara dalil mereka, hadis nabi S.A.W:

بلغوا عنى ولو  آية,  وحدثوا  عن  بنى اسرائيل  لا حرج, ومن  كذب على  متعمدا  فليتبوأ مقعده  من  النار.

Maksudnya; “Sampaikanlah daripadaku sekalipun satu ayat, riwayatkanlah daripada Bani Israil, tiada salahnya. Sesiapa melakukan pendustaan terhadapku dengan sengaja, maka hendaklah ia menyiapkan tempatnya dalam neraka(Bukhari, Sohih al-Bukhari, Hadis Nombar 3461)

Kedua-dua pandangan ini mempunyai dalil dan hajat masing-masing tetapi setelah dibuat penelitian, kedua-dua pandangan tersebut dapat disesuaikan mengikut pertimbangan berikut:

1. Al-Quran sendiri banyak menceritakan cerita-cerita Bani Israil dan cerita-cerita tentang umat terdahulu. Ia juga mengisyaratkan keharusan merujuk  kepada Ahli Kitab.

2. Nabi S.A.W pula ada menceritakan tentang cerita Bani Israil seperti A-Abros, Al-‘Ama, Al-Akro’ dan cerita A-Ghor.

3. Hadis Nabi S.A.W yang mengharuskan periwayatan Israiliyyaat tidak bermaksud bahawa keharusan itu adalah mutlak. Ia terikat kepada apa yang baik atau sesuatu cerita atau perkara yang tidak dipastikan statusnya yang mana ia boleh dianggap benar atau dusta, tetapi tiada petunjuk yang memperlihatkan dusta atau batilnya.

4. Riwayat-riwayat Israiliyyat yang jelas dustanya atau yang tidak boleh diterima akal yang waras, maka tidak harus disebarkan melainkan dengan disebut kebatilannya.

Kaedah mengecam Israiliyyaat :

Bukanlah sesuatu perkara yang mudah untuk mengatakan sesebuah riwayat itu Israiliyyaat atau tidak. Ilmu yang amat mustahak yang tidak dapat tidak mesti dimiliki oleh mereka yang ingin menguasai bidang ini ialah Ilmu Tafsir al-Quran, khususnya yang melibatkan kisah-kisah al-Quran, Ilmu Mustholah Hadis, Ilmu Rijaal Hadis, di samping pengetahuan mendalam tentang hadis-hadis yang sohih dan tidak sohih berkenaan kisah para Nabi dan kisah-kisah lampau.

Di sini saya cuba menyenaraikan beberapa kaedah atau cara yang boleh membantu bagi mengenal atau mengecam Israiliyyaat. Kaedah ini diperolehi setelah penulis membuat kajian terperinci terhadap ciri-ciri Israiliyyaat yang terdapat di dalam Tafsir At-tobari dengan mengambil kira pandangan ulamak mu’tabar dalam membuat kritikan dalam riwayat-riwayat Israiliyyaat (lihat, Doktor Ahmad Najib Bin Abdullah. Tesis Ph.D, muka surat 40-66.Universiti Islam Madinah)

Supaya lebih teratur, saya bahagikan cara ini kepada empat sudut , pertama, pengamatan kepada sanad riwayat Israiliyyaat, kedua, pengamatan kepada matannya, ketiga, merujuk kepada  pandangan ulamak yang mu’tabar dalam bidang Israiliyyaat dan keempat, merujuk kepada sumber-sumber Yahudi sendiri.

Pertama: Pengamatan sanad

1. Rijaal / perawi terkenal dengan meriwayatkan Israiliyyat seperti Abdullah Bin ‘Amar Bin al-‘Ash, Abu Hurairah dan Abdullah Bin Salam dari kalangan sahabat. Dari kalangan tabi’in pula seperti Ka’ab Bin al-Ahbar, Wahab Bin Munabbbih, as-Saiyyidul al-Kabir, Qatadah, al-Hasan al-Basri dan Mujahid manakala dari kalangan golongan tabi’ tabi’in pula seperti Ibnu Ishaq, Ibnu Zaid dan Ibnu Juraih.

2. Terdapat kenyataan jelas dari perawi menyebut bahawa riwayat yang disampaikan adalah bersumberkan sumber Israiliyyaat.

3. Sanad riwayat Israiliyyaat kebiasaannya bersifat terhenti “mauquf” kepada sahabat, bukan “marfu’” kepada Nabi S.A.W.

Kedua: Pengamatan matan

1. Persoalan yang disentuh Israiliyyaat biasanya mengenai asal usul kejadian alam serta rahsianya seperti asal usul kejadian langit dan bumi serta cerita “الجوت”

2. Matan mengandungi kisah para Nabi dan kisah-kisah lampau.

3. Perincian kepada kesamaran (mubhamat) iaitu perkara yang tidak dijelaskan al-Quran seperti menentukan jenis pokok larangan dalam syurga yang dilarang Allah kepada Nabi Adam dan isterinya Hawa dan menentukan bahagian anggota lembu yang digunakan untuk memukul si mati dalam kisah bani Israiliyyaaat.

4. Matan memperlihatkan “keterlampauan” ketara seperti cerita  salah seorang anak Nabi Adam a.s yang memikul saudaranya yang dibunuh selama seratus tahun, dibawanya kesana kemari sehingga Allah menghantar burung gagak untuk mengajarnya cara menyimpan jenazah saudaranya itu.

5. Matan mengandungi perkara-perkara yang bercanggah dengan al-Quran dan as-Sunnah as-Sohihah seperti matan yang menyebut bahawa isteri Nabi Nuh a.s adalah daripada mereka yang selamat dari azab banjir besar.

6. Matan mengandungi perkara-perkara yang menyalahi  kesucian “`ashamah” para Nabi dan malaikat seperti dalam cerita keinginan nabi Yusuf terhadap isteri pembesar Mesir yang sampai keperingkat paling kritikal iaitu menangggalkan seluar serta kisah tentang malaikat  Harut dan Marut.

7.  Matan menyebut cerita-cerita khurafat dan karut seperti cerita gergasi “’Aaj bin ‘Unuq” dan puak “jabbaarin”.

8. Matan menceritakan sesuatu yang pelik “gharib” seperti yang menyebut bahawa bilangan alam sebanyak lapan belas ribu atau empat belas ribu.

9. Adanya percanggahan fakta pada matan seperti penentuan anggota lembu bani Israil di mana ada yang mengatakan paha, lidah, ekor dan sebagainya.

10. Terdapat kenyataan di dalam matan menyebut bahawa ia diambil dari sumber Israiliyyaat samada dari Ahli Kitab atau kitab Bani Israil.

11. Disebut pada matan lafaz-lafaz “tadh’if” atau tamridh yang menjelaskan bahawa ia dianggap lemah.

Ketiga: merujuk kepada ulamak

Ulamak yang banyak membicarakan isu Israiliyyaat seperti:

1.   Ibnu Hazam dalam kitab al-Faslu Fil Milaali Wal Ahwa’i Wan Nihal.

2. At-Thobari dalam kitab Jami’ul Bayan Fi Ta’wili Aayil Quran dan Tarikhul Umami Wal Muluk.

3. Al-Qodhi ‘Iadh dalam Kitabus Syifaa’ Bita’rifi Huquqil Mustafa.

4. Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyyah dalam kitab An-Nubuwwah dan Al-Jawabus Sahihu Li Man Baddala Diinul Masih.

5. Ibnul Qayyim dalam kitab Hidayatul Hiyari Fi Ajwibatil Yahudi Wan Nashora.

6. Al Hafiz Ibnu Katsir dalan kitab tafsirnya dan juga Al-Bidayatu Wan Nihayah.

7. Rahimahullah Al-Hindi dalam Izharul Haq.

8. Jamaluddin al-Qosimi dalam Mahasinut Ta’wil.

9.   Doktor Muhammad Husin az-Zahabi dalam Al-Israiliyyaat Fit Tafsir Wal Hadits   dan Kitabut Tafsir Wal Mufassirun.                                     

10.  Al-‘Allamah Abu Syahbah dalam Al-Israiliyyaat Wal Maudhu’at Fi Kutubit. Tafsir.

12. Syeikh Abdul Wahab an-Najjar dalam Qishoshul Anbiya’.

Keempat: Merujuk sumber-sumber Yahudi

Tujuan merujuk kepada sumber-sumber Yahudi tidak bermaksud kita mengiyakan atau membenarkan apa yang termaktub dalam kitab-kitab mereka tetapi sekadar untuk melakukan perbandingan dengan kitab-kitab warisannya ulamak mu’tabar kita dalam soal-soal yang berkaitan dengan Israiliyyaat. Sekiranya ia disebut dalam sumber-sumber berkenaan maka ia meyakinkan kita bahawa ia memang satu riwayat Israiliyyaat.

Sumber-sumber Yahudi seperti berikut :

1. Kitab Taurat.

2. Talmud.

3. Kitab-kitab Yahudi yang lain.

Selain daripada sumber Yahudi terdapat juga sumber Nasrani yang termuat dalam Kitab Injil tetapi Israiliyyaat di dalam sumber Nasrani amat sedikit berbanding sumber Yahudi sendiri.

Penutup :

Israiliyyaat merupakan cerita-cerita berkaitan rapat dengan warisan Yahudi. Ia tersebar melalui berbagai peringkat dan suasana sehingga mampu bertapak di dalam karya warisan Islam, tafsir dan hadis.

Kehadirannya perlu ditangani dengan sebaik mungkin melalui pengkelasan yang wajar berdasarkan pembahagian ulamak terhadap Israiliyyaat.

Tiada jalan pilihan bagi kita melainkan kita menolak segala rupa bentuk Israiliyyaat yang menyalahi pegangan kita sebagai orang Islam dan boleh menjahanamkan aqidah kita terhadap Allah, malaikatnya serta para Rasulnya.

Israiliyyaat yang statusnya tidak jelas “maskut ‘anhu” hendaklah diriwayati dengan bijak walaupun ia harus diriwayatkan namun kita diingatkan untuk tidak memberi perhatian kepada perkara yang tidak memberi faedah, tidak mendekatkan diri kita memahami dan menghayati al-Quran, sebaliknya ia hanya menghabiskan masa sahaja.

Pengamatan pelbagai dimensi penting bagi mengenal pasti riwayat Israiliyyaat. Penganalisis Israiliyyaat perlu mempunyai daya kritik yang tinggi serta sifat berani demi memperjuangkan kebenaran.

(Di petik dari almadani web site – Nukilan dari majalah ‘Pengasuh’ Bilangan 592 – Di tulis oleh Dr Ahmad Najib Bin Abdullah Al Qari , mahasiswa kedua dari Malaysia yang mendapat ijazah PhD dari Universiti Islam Madinah)

6 March 2012 Posted by | Bicara Ulama, Fiqh, Ibadah, Informasi, Renungan & Teladan | , , , , | Leave a comment

   

%d bloggers like this: