Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Hukum Menggunakan Telefon Bimbit Ketika Khutbah Jumaat

Matikan talipon

Adapun perbuatan menggunakan telefon bimbit ketika khatib membaca khutbah Jumaat boleh diqiyaskan kepada maksud sebuah hadits sahih yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, bahawasanya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

Maksudnya: “Sesiapa yang berwudhu dan menyempurnakan wudhunya, kemudian dia (pergi ke masjid) untuk menunaikan Sembahyang Fardhu Jumaat, lalu mendengar dan tidak bercakap (ketika khutbah disampaikan), maka diampuni dosa-dosanya yang ada di antara hari Jumaat itu dan hari Jumaat berikutnya dan ditambah tiga hari lagi. Dan sesiapa yang bermain-main dengan anak-anak batu (ketika khutbah), maka dia telah berbuat sia-sia”. (Hadits riwayat Muslim)

Dalam hadits ini, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan jelas telah menegaskan bahawa barangsiapa yang bermain-main dengan anak-anak batu ketika khutbah Jumaat itu telah melakukan suatu perbuatan yang sia-sia. Maksud “sia-sia” dalam hadits ini sepertimana yang telah diterangkan sebelum ini ialah bertentangan dengan sunnah, adab dan mengakibatkan rugi pahala dan kelebihan-kelebihan Sembahyang Fardhu Jumaat walaupun sembahyangnya masih dikira sah.

Menurut ulama, larangan dalam hadits tersebut tidak hanya terbatas terhadap bermain dengan anak batu sahaja, bahkan larangan tersebut menyeluruh terhadap semua perbuatan yang boleh menjejaskan tumpuan terhadap khutbah Jumaat.

Jika dinilai dan diteliti, perbuatan menggunakan telefon bimbit ketika khutbah dibacakan ini adalah lebih buruk lagi daripada perbuatan bermain dengan anak batu kerana perbuatan seperti bermain game, melayari halaman internet, berkomunikasi melalui halaman rangkaian sosial dan sebagainya itu adalah sangat jelas lebih menghilangkan kekhusyukan dan menjejaskan tumpuan terhadap khutbah Jumaat.

Jadi sangat jelas di sini bahawa perbuatan menggunakan telefon bimbit ketika khatib membaca khutbah Jumaat adalah suatu perbuatan yang bertentangan dengan sunnah dan adab yang menuntut kita supaya diam dan meninggalkan segala perbuatan yang boleh menjejaskan tumpuan terhadap khutbah Jumaat. Oleh itu, perbuatan ini sayugianya ditinggalkan kerana ianya mengakibatkan kerugian yang sangat besar, iaitu kehilangan pahala dan kelebihan-kelebihan Sembahyang Fardhu Jumaat.

Perhimpunan Sembahyang Fardhu Jumaat itu bukannya lama, tidak ada kerugian apa-apa jika telefon bimbit ditutup seketika atau langsung tidak perlu di bawa ke dalam masjid. Tinggalkanlah buat seketika segala perkara dan urusan duniawi yang kurang penting apatah lagi yang sia-sia. Hadirkanlah hati dan seluruh anggota tubuh badan zahir dan batin, dan isikan seluruh jiwa raga dengan perisian rasa khusyu‘, taat, taqwa dan penghambaan yang mutlak terhadap Allah Subhanahu wa Ta‘aala untuk mendengarkan khutbah dan seterusnya mendirikan Sembahyang Fardhu Jumaat.

Sumber: Mufti Brunei

Advertisements

13 December 2013 Posted by | Fatwa, Ibadah, Q & A (Soal Jawab), Tazkirah | , | Leave a comment

Rapuh Iman rosak Perpaduan

Sistem moral dan etika adalah salah satu daripada sistem yang mempengaruhi kehidupan manusia dan mencerminkan keimanan seseorang. Peraturan yang digariskan dalam sistem moral dapat mempengaruhi lingkungan kehidupan insan dan menjadi pedoman serta panduan. Sejarah membuktikan betapa keruntuhan sistem moral akan menghakis ketamadunan yang dibina, tidak kiralah bertapa hebatnya tamadun tersebut. Di dalam al-Quran Allah SWT telah menceritakan bagaimana satu umat itu ditimpa bala bencana yang amat dahsyat hanya disebabkan kebejatan moral, kelemahan iman dan menularnya budaya hidup songsang. Lihat sajalah bandar Sodom yang didiami umat Nabi Lut satu ketika dulu telah dihempas ke bumi hingga mengakibatkan bandar itu hancur dan kesannya kita dapat lihat sehingga sekarang. Firman Allah SWT di dalam surah al-Aa’raf ayat 80 hingga 81:

Yang bermaksud: Dan Nabi Lut ketika ia berkata kepada kaumnya: Patutkah kamu melakukan perbuatan keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun di dunia ini {81} Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsumu bukan kepada wanita, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas.

Amalan cara hidup songsang sebagai lesbian, gay dan dwiseksual sebenarnya bertentangan dengan undang-undang dan normal agama dan moral di negara kita. Dalam Islam amalan tersebut adalah di haramkan sama sekali dan termasuk dalam golongan dosa-dosa besar. Sabda Rasulullah SAW yang di riwayatkan oleh Ibn majah yang bermaksud: Sesungguhnya yang paling aku takuti menimpa umatku adalah perbuatan kaum Lut (Riwayat Ibn Majah) . Sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud: Allah SWT melaknat sesiapa saja yang melakukan perbuatan kaum Nabi Lut (Riwayat Ibn Abas)

Gerakan untuk mencabar keutuhan moral dan kesusilaan masyarakat yang berteraskan ajaran Islam yang bersifat syumul ini, dapat kita lihat dengan jelas menerusi penganjuran demonstrasi dan perhimpunan-perhimpunan yang mempromosikan budaya hidup songsang dan bebas termasuk gerakan LGBT secara melampau oleh kumpulan-kumpulan yang bertopengkan perjuangan Hak Asasi Manusia dan perjuangan anti-diskriminasi yang dipelopori oleh NGO-NGO tertentu. Penganjuran program-program seperti Seksualiti Merdeka pada dasarnya merupakan manifestasi ideologi humanisme sekular yang sekarang ini bergerak pantas didokong oleh arus pemikiran liberalisme atau budaya kebebasan secara melampau tanpa menghiraukan kepentingan umum. Apa yang menjadi kebimbangan besar kita ialah kemudaratan yang memberi kesan terhadap kelangsungan tamadun dan kehidupan beragama manusia.

Kita sedar hari ini sekali lagi pelbagai cara dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab untuk melemahkan kehidupan bermoral dan perpaduan umat Islam serta keamanan negara diantaranya melalui pencemaran budaya, gerakan budaya hidup songsang, penyebaran fitnah perpaduan samada melalui media massa dan alam siber dan melanggari undang-undang negara.

Di dalam Islam, setiap insan tidak memiliki kebebasan mutlak, bahkan setiap tindak-tanduknya dibimbing oleh prinsip dan peraturan yang telah ditetapkan oleh syarak yang bersumberkan wahyu daripada Allah SWT. Hak yang digariskan dan dijamin oleh agama Islam sudah pastinya tidak sama sekali bertentangan dengan hak-hak Allah yang menjamin kepentingan dan kemaslahatan umum. Sesuatu yang diperjuangkan sebagai hak mestilah sesuatu yang tidak sama sekali bertentangan dengan kebenaran, keadilan, kewajaran, dan kesesuaian dengan fitrah insan serta tidak mendatangkan kemudaratan, musibah, mala petaka, dan kehancuran terhadap segenap aspek dalam masyarakat.

Justeru, sebagai umat Islam diseru agar tidak bersama dengan golongan ini, jangan terpengaruh dengan pujuk rayu dan tipu daya mereka. Marilah sama-sama kita mempertahankan tanah air kita ini dari merebaknya budaya songsang, berlakunya kekacauan, marilah sama-sama kita berganding bahu, bersatupadu, merapatkan saf, mengeratkan perpaduan di kalangan kita agar apa jua usaha mereka ini untuk menggugat moral kehidupan, keharmonian dan keamanan negara dapat digagalkan. Sesungguhnya kekuasaan dan pertolongan Allah SWT sentiasa bersama jemaah dan mereka yang benar. Firman Allah SWT dalam Surah Ali- Imran ayat 160:

Maksudnya: Jika Allah menolong kamu maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu; dan jika ia mengecewakan kamu, maka siapakah yang akan dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan yang demikian)? Dan (ingatlah), kepada Allah jualah hendaknya orang yang beriman itu berserah diri.

Di tangan kitalah letaknya tanggungjawab dan kuasa bagi menghentikan kekacauan dan kehancuran yang akan diakibatkan oleh gerakan yang memperjuangkan amalan hidup yang menjijikkan itu. Berdasarkan maqasid syariah maka menjadi tanggungjawab setiap umat Islam untuk menjaga lima perkara iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Mimbar ingin mengingatkan salah satu prinsip penting yang mesti dilaksanakan oleh umat Islam bagi memastikan kedaualatan agama kekal terpelihara ialah dengan menyeru kepada kebaikan dan menghalang kemungkaran Allah SWT berfirman di dalam surah al-Hajj ayat 41:

Bermaksud:Iaitu mereka yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan perkara yang mungkar. Dan ingatlah bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.

Kumpulan-kumpulan yang sengaja mengada-adakan cerita dengan tujuan jahat bagi menjatuhkan imej negara di mata dunia ditangani secara berkesan. Marilah kita melakukan tindakan berdasarkan prinsip-prinsip yang berasaskan kepada semangat persaudaraan Islam dan bertimbang rasa dengan pihak lain. Janganlah pula kita terhasut dengan pemikiran yang jahat dan dari godaan syaitan yang menyesatkan. Kita berdoa kepada Allah SWT agar mereka yang terpengaruh dengan golongan ini diberi keinsafan dan berteduh dibawah payung perpaduan. Kita juga memohon dikekalkan kesinambungan nikmat keamanan dikalangan kita, dijauhi segala malapetaka yang boleh menjejaskan usaha membangunkan agama, bangsa dan negara. Firman Allah dalam Surah al-Anfaal ayat 46:

Maksudnya: Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah kamu; sesungguhnya Allah beserta orang yang sabar.

(Sumber: Intisari dari Khutbah Jakim)

4 May 2012 Posted by | Tazkirah | , , | Leave a comment

Fadhilat Solat Berjemaah

Solat merupakan perhubungan rohaniah antara hamba dengan Allah Azzawajalla. Dengan ibadah solat manusia akan dapat berhubung dengan Allah SWT secara langsung, tanpa sebarang perantaraan untuk mengabdikan diri dengan rasarendah diri terhadap Allah SWT. Justeru, solat merupakan Mi’raj hamba kepada Allah subhaanahu wata’ala untuk mempersembahkan seluruh solatnya, ibadahnya, hidupnya dan matinya hanya untuk Allah subhaanahu wata’ala sahaja.

 Firman Allah SWT dalam surah al-An’am ayat 162-163:

“Katakanlah! Sesungguhnya sembahyangku dan ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam. Tiada sekutu baginya dan itulah yang diperintahkan kepadaku dan aku adalah orang Islam yang terawal menyerahkan diri (kepada Allah)”.

Solat berjemaah lima waktu bagi mazhab Syafie hukumnya fardhu Kifayah yang wajib ditunaikan setiap waktu pada setiap hari dan Afdhal di masjid atau di surau. Solat Jumaat pula wajib Aini seminggu sekali. Manakala solat dua hari raya sunat ditunaikan setahun sekali dan Afdhal di padang atau di tempat lapang.

Rasulullah s.a.w bersabda: “Ganjaran   pahala   semabahyang   berjemaah   itu   melebihi   dari   sembahyang bersendirian dengan kelebihan dua puluh tujuh darjat”.

Adalah menjadi suatu perkara yang malang bagi sebahagian umat Islam yang kurang mengambil berat untuk solat berjemaah atas alasan tidak wajib atau hanya fardhu Kifayah.  Umat  Islam  sewajarnya  memahami  bahawa  apapun  aktiviti  dan  rutin kehidupan yang dilalui memerlukan hidayah dan keredhaan Allah, oleh itu umat Islam hendaklah memahami dan menyedari bahawa solat berjemaah di masjid dijanjikan nur hidayah Allah dan nur itulah yang akan menerangi mereka di hari kiamat nanti.

Sabda rasulullah s.a.w: Maksudnya, “Gembirakan

lah orang-orang yang mahu datang berjalan ke masjid diwaktu gelap malam dengan nur cahaya terang benderang di hari kiamat nanti”.
(riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi)

Antara hikmah solat berjemaah di masjid adalah mampu untuk membentuk ukhwah dan saling bertukar fikiran secara  rasional  tanpa  mengira  latar  belakang  dan  fahaman, kerana masing-masing menjaga adab ketika berada di rumah Allah.

Solat berjemaah mengajar umat Islam hidup bermasyarakat dengan disiplin dan peraturan yang murni dan luhur. Ini dapat digambarkan apabila azan berkumandang, maka bilal lah yang patut dipatuhi dan imam solat yang mesti diikuti, serta saff jemaah yang mesti diperhati, berdiri sama lurus, rukuk sama tunduk dan sujud sama merendah diri sebagai syiar dan lambang untuk sama-sama meletakkan kepatuhan dan ketaatan hanya kepada Allah dalam menjalani hidup berkeluarga, berjiran tetangga, bermasyarakat, bekerja dan bernegara.

Oleh itu, apabila masyarakat hidup dalam keadaan berdisiplin dan mematuhi peraturan- peraturan yang luhur, yang terhasil dari mengerjakan solat berjemaah maka terhakislah rasa sombong, dengki, riya’ dan akan terjalin rasa saling memahami, hidup te

nang, bersopan santun dan penuh kemesraan.

Sabda rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Dan tidaklah berkumpul satu kaum di satu rumah dari rumah-rumah Allah sambil membaca kitab Allah (al-Quran) dan mempelajarinya bersama di antara mereka kecuali turunlah ke atas mereka pertolongan, mereka dilimpahi rahmat, malaikat menaunginya dan Allah menyebut namamereka dikalangan orang yang ada di sisinya. Sesiapa yang lambat amalnya maka tidak disegerakan dekatnya kepada Allah”.

Sungguhpun begitu hebat kebaikan solat berjemaah namun sebahagian umat Islam pula tidak mengambil berat dengan azan yang dikumandangkan oleh bilal, biar sekuat mana pembesar suara sampai ke telinga, biar secantik mana masjid dibina, biar masjid berkarpet tebal dan berhawa dingin, namun jemaahnya hanya dalam lingkungan lima puluhan atau ratusan orang berbanding dengan jumlah penduduk taman ribuan orang, sedangkan masjid boleh menampung ribuan jemaah dengan kos pembinaan masjid jutaaan ringgit. Namun anak-anak kita, jiran tetangga kita, ahli masyarakat kita sebahagiannya masih liar dengan masjid, masih seronok berlonggok di simpang- simpang jalan, masih selesa di padang-padang permainan, masih enak menghirup kopi di kedai-kedai berhampiran, masih leka berurus niaga di pasar-pasar malam, masih leka denagn menggilapkan kereta, atau masih leka dengan gurauan anak dan cucu yang tercinta atau masih ternganga dengan siaran television, sekalipun masjid hanya dipisahkan dengan pagarnya sahaja.

Sebenarnya   setiap   orang   dipertanggungjawabkan   untuk   mengajak,   menyeru, menasihat orang Islam yang lain apabila berlaku keengkaran terhadap kepatuhan beragama atau tidak kisah dan tidak ambil peduli dengan seruan azan yang mengajak solat bersama, mengajak ke arah kemenangan bersama, kita bimbang mereka lebih jauh  dari  Allah.  Apabila  Allah  jauh  dari  hati  kita  maka  syaitanlah  yang  cepat menghampiri kita.

Rasulullah s.a.w bersabda: Maksudnya: “Tidak sewajarnyalah bila ada tiga orang dalam sebuah qariah atau sebuah kampung yang tidak mahu mendirikan solat berjemaah dalam kampong tersebut melainkan syaitanlah yang akan menguasai mereka, maka kamu hendaklah mendirikan solat berjemaah, kerana sesungguhnya serigala itu hanya akan memakan kambing yang duduk bersendirian”.

(riwayat Abu Daud dan an-Nasa’i).

Melalui  rumah  Allah  yang  suci  ini,  marilah  kita  bersatu,  memperkuatkan  pertalian ukhwah untuk sama-sama membantu anak-anak kita, jiran tetangga, ahli masyarakat kampung dan taman supaya memujuk dan mengajak mereka untuk mengimarahkan masjid. Juga sama-sama solat berjemaah setiap waktu yang termampu oleh kita. Alangkah indahnya kita sama-sama berdiri satu saff di belakang imam dan bahagianya kita jika kita dapat menarik setiap orang teman sekampung, jiran setaman, sama-sama duduk berwirid, berzikir, berdoa dan bersalam-salaman setiap waktu, bertemu muka setiap hari dalam suasana yang penuh ketulusan dan keikhlasan kepada Allah subhaanahu wata’ala.

Firman Allah subhaanahu wata’ala dalam surah at-Tahrim ayat 6:

“Wahai orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka yang bahan-bahan bakarannya ialah manusia dan batu (berhala). Neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layannya), mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkannya kepada mereka dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan oleh Allah kepada mereka”.

Dan dirikanlah solat dan keluarkanlah zakat serta rukuklah (solat berjemaah) bersama-sama orang yang rukuk”.

(Al-Baqarah: 43)

(Intisari Khutbah Jumaat JAIS bertarikh 16 Oktober 2006)

 

3 March 2012 Posted by | Ibadah, Tazkirah | , , | Leave a comment

   

%d bloggers like this: