Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Khitan – adakah ia ajaran agama?

Fatwa Malaysia

ISU:

Amalan khitan di kalangan kanak-kanak Muslim adalah merupakan tradisi yang sebenarnya tidak diperintah oleh agama, kerana tidak ada sebarang perintah dalam Al-Quran berkenaan dengan khitan.

Amalan khitan adalah satu bentuk pengubahan terhadap ciptaan Allah, sedangkan Al-Quran sendiri di dalam surah Al-A’raaf melarang daripada melakukan pengubahan terhadap ciptaan Allah.

PENJELASAN:

Sumber primer dalam syariat Islam ialah Al-Quran dan Sunah. Sesiapa yang mendakwa bahawa ajaran Islam hanya bersumberkan kepada Al-Quran semata-mata dan menolak ajaran yang terkandung dalam Sunah, maka dia terseleweng daripada agama Islam. Al-Quran sendiri memerintahkan supaya menerima dan mengamalkan apa yang dibawa oleh Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam, dan meninggalkan apa yang dilarang baginda. Firman Allah Taala:

Maksudnya: “Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang baginda larang kamu melakukannya, maka patuhilah larangannya”. (Surah Al-Hasyr: ayat 7).

Al-Quran sendiri memberi ancaman azab terhadap golongan yang mengingkari perintah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, sebagaimana firman Allah Taala:

 Maksudnya: “Oleh itu, hendaklah mereka yang mengingkari perintahnya (Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam), beringat serta berjaga-jaga jangan mereka ditimpa bala bencana atau ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya”. (Surah Al-Nur: ayat 63).

Di atas dasar ini, maka syariat Islam adalah bersumberkan kepada Al-Quran dan Sunah, di mana dalam kebanyakan ajaran syariat Islam, sunah merupakan penjelasan dan perincian terhadap perkara-perkara yang disebutkan atau diisyaratkan dalam Al-Quran secara umum. Kedudukan sunah sebagai penjelasan terhadap Al-Quran diakui sendiri dalam firman Allah Taala:

Maksudnya: “Dan kami pula turunkan kepada kamu (wahai Muhammad) Al-Quran yang memberi peringatan, supaya engkau menerangkan kepada umat manusia akan apa yang telah diturunkan kepada mereka dan supaya mereka memikirkannya”. (Surah al-Nahl: ayat 44).

 Pensyariatan Khitan

 Berdasarkan prinsip Islam yang mengiktiraf sunah sebagai sumber ajaran, maka sepatutnya tidak ada sebarang keraguan bagi seorang Muslim untuk menerima bahawa amalan khitan merupakan salah satu tuntutan Islam. Berikut adalah sandaran syarak berkenaan amalan khitan:

Hadis Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:

Maksudnya: “Fitrah adalah lima perkara: khitan, mencukur ari-ari, mencabut bulu ketiak, menggunting misai, dan memotong kuku”. (Riwayat Bukhari, 8/66, no: 6297; Muslim, 1/221, no: 257).

 Amalan khitan juga adalah sunah Nabi Ibrahim a.s., sebagaimana disebut dalam hadis Abu Hurairah r.a., bahawa Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:

Maksudnya: “Ibrahim Alaihissalam berkhitan ketika umurnya 80 tahun”. (Riwayat Bukhari, 4/140, no: 3356; Muslim, 4/1839, no: 2370).

Hadis-hadis di atas adalah sahih malah disepakati akan kesahihannya. Justeru tidak ada sebarang pertikaian dari kalangan ulama Islam bahawa amalan khitan adalah ajaran Islam, cuma terdapat perbezaan pandangan dari sudut perincian sama ada ia wajib ataupun sunat. Adapun secara umum, kesemua ulama Islam mengakui bahawa khitan disyariatkan dalam Islam dan ia menepati fitrah.

Maka adalah tidak benar untuk menyatakan bahawa khitan hanya amalan tradisi yang tidak ada sandaran dalam Islam.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-86 yang bersidang pada 21-23 April 2009 ketika membincangkan mengenai Hukum Pemotongan Genitalia Wanita berpandangan bahawa berkhatan bagi wanita adalah sebahagian daripada syiar Islam yang perlu dilaksanakan oleh umat Islam. Manakala amalan Pemotongan Genitalia Wanita (Female Genital Mutilation) adalah bertentangan dengan amalan berkhatan yang ditetapkan oleh Syarak. Sehubungan itu, selaras dengan pandangan Jumhur Ulama’, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa berkhatan bagi wanita adalah wajib. Walau bagaimanapun, sekiranya ia boleh membawa kemudharatan pada diri, maka ia perlu dielakkan.

Adakah Khitan Mengubah Ciptaan Allah?

Khitan tidak termasuk dalam perbuatan mengubah ciptaan Allah yang dilarang di dalam al-Quran. Ini kerana amalan khitan adalah perintah Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam yang merupakan perintah Allah Taala juga. Sekalipun khitan (bagi lelaki) menyebabkan sedikit pengubahan anggota sulit dengan membuang sebahagian kulit pada kemaluan, tetapi ia merupakan arahan daripada syarak. Justeru, ayat Al-Quran yang melarang melakukan pengubahan ciptaan Allah tidak merangkumi amalan khitan. Imam Nawawi menjelaskan perkara ini:

Maksudnya: “Dikhaskan (dikecualikan) daripada larangan pengubahan ciptaan Allah adalah khitan dan wasm (terhadap haiwan). Maka yang selebihnya adalah termasuk dalam umum celaan dan larangan”. (Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzah, 6/177).

Perlu difahami bahawa pengubahan ciptaan Allah kadangkala ia dituntut oleh syarak sendiri jika terdapat nas tentangnya.

Sebagai contoh, memotong tangan adalah satu bentuk pengubahan ciptaan Allah, tetapi ia dituntut untuk dilaksanakan oleh pemerintah terhadap pesalah jenayah mencuri yang mencukupi syarat pelaksanaan hukum hudud. Pengubahan demikian adalah tuntutan syarak.

Begitu juga membuat tindik pada telinga bagi perempuan yang mahu memakai anting-anting, ia adalah satu bentuk pengubahan ciptaan Allah, tetapi syarak mengiktiraf perbuatan tersebut kerana ia diamalkan oleh wanita-wanita sahabat Nabi Sallallahu Alaihi tanpa diingkari, termasuklah amalan khitan, yang walaupun dilihat ada pengubahan ciptaan Allah, tetapi ia dituntut oleh syarak berdasarkan dalil-dalil sahih yang dikemukakan di atas.

 

Wallahu A’lam.

25/11/2013 Posted by | Bicara Ulama, Fatwa, Ibadah, Q & A (Soal Jawab) | | Leave a comment

   

%d bloggers like this: