Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Isu Kalimah ALLAH – Nama ALLAH hendaklah di letak ditempat yang layak bagi Nya

logo-Allah.jpg

Islam adalah agama untuk semua manusia. Firman ALLAH SWT, “Barangsiapa mencari agama selain Islam, maka sekali-kali tidak akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di Akhirat termasuk orang-orang yang rugi.” (Ali Imran: 85)

Al-Quran merupakan kitab panduan untuk seluruh manusia, yang membenarkan kitab-kitab yang diturunkan kepada Nabi-Nabi sebelumnya. Ini berdasarkan firman ALLAH, “Dan Kami turunkan kepadamu Al-Quran dengan membawa kebenaran, membenarkan apa yang sebelumnya iaitu kitab-kitab yang diturunkan (kepada Rasul) sebelumnya dan menjaganya.” (Al-Maidah: 48)

Namun benarkah dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan ‘kalimah ALLAH untuk semua’ ? Mereka berdalilkan firman Allah, “Dan jika engkau bertanya kepada mereka (kaum musyrikin Jahiliyah) siapakah yang telah mencipta langit dan bumi mereka akan berkata Allah.” (Luqman: 25)

Di sini perlu difahami bahawa masyarakat Arab Jahiliyah dulu masih mengenali Allah sesuai dengan RububiyahNYA; mereka percaya Allah adalah Pencipta seluruh alam, Pengatur dan Pentadbir serta Pemberi rezeki dan yang menurunkan hujan.

Yang menjadikan mereka tidak beriman adalah kerana menolak tauhid Uluhiyah; yakni menyekutukan Allah dalam ibadah, disamping mereka meminta pada Allah mereka turut menyeru dan bergantung pada selain Allah. Mereka juga enggan bersaksi kerasulan Muhammad SAW.

Pemahaman masyarakat Kristian hari ini tidak meletakkan maksud kalimah Allah pada tempat yang benar, malah meletakkannya pada kedudukan makhluk. Mereka tidak beriman pada Tauhid Rububiyah, jauh sekali pada Uluhiyah dan Asma wa SifatNYA.

Tujuan mereka menginginkan kalimah itu bukan untuk mengagungkan ALLAH dan meletakkan ALLAH pada tempat yang layak bagiNYA. Kita tidak boleh setuju kerana wujud kebarangkalian Nama yang suci disalah guna dan diletakkan pada tempat yang tidak layak bagi ALLAH; seperti pada patung, diletak atau dibawa pada tempat-tempat tidak sepatutnya, dan sebagainya.

Pemimpin harus bijaksana untuk menyekat keburukan dari terus berkembang. Dalam Islam ada kaedah yang dinamakan ‘Saddu Li Al-Zari’ah’ iaitu menutup jalan-jalan yang membawa kepada kemungkaran. Kaedah ini harus diaplikasikan ketika membincangkan isu ini.

Usah lihat negara luar tetapi lihat realiti masyarakat kita. Berapa peratus umat Islam yang menghafal Al-Quran atau sekurang-kurangnya boleh membezakan satu ayat itu dari Al-Quran atau bukan? Kita perlu muhasabah dan insaf akan keadaan masyarakat Islam di negara ini;kejahilan masih berleluasa, masyarakat masih mudah terpengaruh dengan suatu yang tidak ada dalam AlQuran mahupun Hadis, percaya pada khurafat, syirik dan sebagainya. Kita juga harus akui bahawa Al-Quran masih asing di kalangan ramai masyarakat Islam, jauh sekali ia dihafal dan difahami isinya.

Ada pula yang membandingkan dengan Sabah Sarawak yang telah menggunakan kalimah Allah dalam Bible mereka. Kaedah dalam Syariat menyebut ‘Apa yang tidak dapat dilakukan secara keseluruhan, jangan ditinggalkan semuanya’.

Kita mungkin tidak boleh mengubah keadaan di sana kerana mengira faktor sensitiviti mengenangkan majoriti di Sabah Sarawak beragama Kristian dan mereka telah lama menggunakannya. Berbeza di Semenanjung, penganut Kristian bukan majoriti. Bahkan hampir semua Kristian berbangsa Cina, India atau lain-lain.

Mereka tidak memerlukan Bible Melayu. Membenarkan ia digunakan tanpa sekatan akan membawa sekurang-kurangnya dua kerosakan, iaitu Kristianisasi dan Pluralisme.

Kalau pun masyarakat Islam Malaysia sudah cerdik dan tidak akan menerima Kristian disebabkan isu ini, masih ada kebarangkalian besar ramai umat Islam akhirnya menganggap semua agama sama dan baik kerana sama-sama percaya kepada ALLAH. Ini adalah pluralisme agama, menyetarakan Islam dengan agama lain, dan ini adalah kekufuran.

 Doktrin pluralisme disebarkan ke serata dunia bahkan telah masuk dan berkembang di Malaysia melalui pelbagai medium tanpa kita sedar. Kalau kita dengar ucapan seperti “Semua agama sama, semua agama mengajar kebaikan”, “kita tak boleh kata agama kita saja betul”, berhati-hatilah. Jangan sampai kita mengiyakan juga.

Jika dibandingkan kerosakan fizikal dan kerosakan akidah, semestinya kerosakan akidah dan pemikiran lebih serius dan perlu ditutup segala jalan yang mengarah kepadanya. Langkah menyekat adalah keputusan tepat untuk mengelak kerosakan akidah kaum Muslimin di negara ini secara khususnya.

[Artikel oleh  Ustaz Dr. Fathul Bari Mat Jahya ini disiarkan di akhbar pada Ahad, 17/11/2013]

23/11/2013 Posted by | Aqidah, Berita dan Isu Semasa, Bicara Ulama, Politik dan Dakwah | , | Leave a comment

KALIMAH ALLAH: ANTARA MURTAD DAN BERDOSA? ANTARA DATO NOOH DAN MAZA.

 

Para pembaca yang budiman,

Polimik kalimah Allah mungkin memasuki tahap ‘menjuarai sesuatu isu dan menempelak yang lain’. Ini yang berlaku apabila Dato Nooh Gadut memberi peringatan (http://utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131016/dn_06/Pertikai-keputusan-boleh-jadi–murtad), lantas disambut oleh bekas mufti, Dato Dr Asri Zainul Abidin (MAZA) berkaitan isu ini (dlm http://my.news.yahoo.com/scholars-counter-infidel-argument-over-allah-084949271.html).

Jadi benarkah dakwaan Dato Nooh bahawa isu ini boleh membawa murtad? Pada saya, kenyataan beliau boleh dilihat dalam dua keadaan:

1. Sekiranya Dato Nooh Gadut mengatakan  ialah seseorang yang menyokong penggunaan oleh Kristian terhadap kalimah Allah boleh jatuh murtad, saya tidak bersetuju dengan kenyataan ini kerana perbuatannya belum boleh menjatuhkannya murtad. Dalam konteks Malaysia, mungkin jatuh dalam tahap berdosa sahaja. Kenapa berdosa? Sebab kita membuka ruang mereka menggunakan secara tidak tepat dalam Bible mereka, walhal kita sudah menutup ruang ini sebelumnya.

2. Sekiranya Dato Nooh bermaksud bahawa seseorang yang menyokong nama Allah SWT digunakan untuk konsep triniti iaitu untuk  secara syirik dalam konteks triniti, maka boleh jatuh murtad, maka saya menyokong dakwaan ini. Kita tidak menunding jari, sebaliknya kita mengatakan perbuatan anda boleh menyebabkan anda jatuh murtad sebab bersetuju supaya kalimah Allah SWT disyirikkan dengan perkara lain.

Lantas bagaimana pula dakwaan bekas mufti, MAZA yang memberikan beberapa hujah iaitu:

1. Penggunaan Allah SWT telah digunakan sejak ribuan tahun. Jawapannya mudah sahaja iaitu kenyataan ini hanya khusus kepada Kristian Arab bukan Kristian Rome dan lain-lain. Salah fakta MAZA bila menjadikan penggunaan Allah umum kepada semua Kristian.

Cuba semak bahasa asal kalimah tuhan dalam Bible yang bukan berbahasa Arab. Hak untuk menggunakan kalimah Allah kepada tuhan dibenarkan oleh para ulama kepada orang-orang Arab. Bahkan sekarang, orang-orang Kristian Arab pula berpandangan tidak tepat mereka menggunakan perkataan Allah SWT terhadap tuhan mereka. Kamus al-Maurid yang ditulis oleh seorang Kristian, jelas merujuk perkataan Allah kepada tuhan orang-orang Islam.

2. Maza berkata: Kalau begitu, keseluruhan ulama menjadi murtad sebab membenarkan penggunaan Allah kepada orang-orang Kristian? Jawapannya juga mudah, mereka tidak murtad sekiranya berpandangan seperti andaian saya yang pertama dan sememangnya mereka menyatakan pandangan umum sebegitu. Saya kira Dato Nooh yang dimaksudkan ‘murtad; ialah sesiapa yang bersetuju supaya disyirikkan kalimah Allah.

Rupanya, para Mufti yang tidak bersetuju penggunaan kalimah Allah kepada Bible bahasa Melayu telah melaksanakan tanggungjawab ijtihad yang cukup hebat. Menyanggahi taklid kepada ulama Timur Tengah yang telah mengeluarkan hukum berdasarkan konteks dan adat negara dan masyarakat mereka. Apa boleh buat sekiranya MAZA masih mahu bertaklid kepada ulama-ulama Timur Tengah berdasarkan konteks masyarakat Timur Tengah.

Perlu diingat, ketegangan hubungan di Timur tengah antara Muslim dan Kristian telah membawa kepada serangan fizikal dan serangan militan. Kita tidak mahu hubungan sebegini dengan kawan-kawan kita yang beragama Kristian kerana kita mahukan tolenrasi dan menjauhi dendam kesumat. Jauhkan rasa benci masayrakat Islam terhadap masyarakat Kristian. Bahkan ajaran agama langit adalah lebih dekat dengan ajaran Islam.

Tinggal lagi Wan Ji pula memberi beberapa ‘tempelakan’ terhadap Dato Nooh iaitu:

1. Arahan supaya menerima sembelihan ahli kitab yang menggunakan nama ‘Allah’. Ini dalil boleh menggunakan kalimah Allah?

Jawabannya cukup mudah: Larangan terhadap Gereja menggunakan kalimah Allah ialah hanya pada penterjemahan Bible dan penerbitan mereka sebab mereka rangkumkan penggunaan kalimah Allah secara syirik, kepada apa sahaja terjemahan kepada yang bersifat tuhan. Larangan ini tidak termasuk kepada sebarang ucapan untuk memperkatakan tuhan yang Esa. Adalah suatu yang tidak betul apabila Wan Ji menggunakan hujah ayat-ayat al-Quran yang menunjukkan keesaan Allah untuk menyokong gereja?

Sebenarnya, arahan menerima sembelihan oleh ahli Kitab yang menyebut nama Allah SWT itu adalah dalil yang menunjukkan kalimah Allah SWT hanya untuk Yang Esa. Sekiranya mereka menyembelih menggunakan nama ‘Tuhan Anak’ atau ‘tuhan bapa’ atau ruh al-quddus, maka haram memakan sembelihan mereka. Jadi, Allah SWT hendak memberitahu kita bahawa sekiranya mereka menyebut Allah SWT, barulah sembelihan mereka boleh dimakan oleh umat Islam.

Ini juga dalil bahawa Kristian Arab menggunakan beberapa nama nama lain seperti ruh al-quddus dan tuhan Isa (ilah Isa), tuhan bapa. Haram memakan sembelihan mereka jika mereka menggunakan nama-nama tersebut ketika menyembelih binatang sembelihan walaupun ada khilaf ulama yang mengarahkan umat Islam membacakan ‘basmalah’ apabila menerima sembelihan ahli Kitab.

Perlu diingat, ulama-ulama muktabar masih khilaf membenarkan memakan sembelihan ahli kitab di zaman mutaakhir disebabkan berbeza ajaran ahli Kitab terdahulu berbanding dengan ahli kitab sekarang khususnya ajaran Kristian.

2. Wan Ji pula berkata: Bagaimana pula kalau Mahkamah England melarang penggunaan Isa, adakah umat Islam dilarang menggunakannya.

Jawapannya cukup mudah: Dalam Bible menggunakan perkataan ‘Jesus’, bukan ‘Isa’. Kalau dilarang menggunakan perkataan ‘Jesus’, kita tidak ada masalah sangat sebab kita mengggunakan nama-nama Arab iaitu ‘Isa ‘Alahissalam atau Masih’. Sehingga sekarang, kita tak menerima penterjemahan nama-nama Nabi kepada bahasa lain seperti Ibrahim kepada Abraham. Muslim sedunia lebih selesa mengekalkan nama kearaban daripada semuanya diterjemahkan kepada bahasa lain.

Nasihat untuk MAZA dan Wan Ji

Saudara berdua perlu melihat isu ini secara holistik iaitu:
1. Larangan adalah kepada penterjemahan kalimah Allah secara salah dalam penerbitan gereja berbahasa Melayu, seperti Allah Jesus dan lain-lain.

Dalam konteks Negara Malaysia, Allah bukan kalimah yang lazim untuk menunjukkan istilah ‘tuhan’ kepada bukan Melayu. Hanya Melayu Islam yang menggunakannya untuk menunjukkan tuhan yang disembah. Jadi, apa tujuan mahu digunakan perkataan ‘Allah’ dalam Bible bahasa Melayu?

2. Kenapa mereka tidak beria-ria menukarkan perkataan Lord dan God kepada Allah dalam Bible bahasa Inggeris? Saya mengharapkan sedikit kebijaksaan saudara berdua memikirkan persoalan ini. Kalau benarpun ini adalah peluang untuk berdakwah kepada masyarakat Kristian, minta mereka mulakan dahulu untuk perjuangkan penggunaannya dalam bahasa Inggeris supaya berjaya. Tetapi, mereka tak guna pun perkataan ‘Allah’ untuk Bible edisi bahasa Inggeris. Lantas, apa tujuan menggunakannya untuk bahasa Melayu? Saya hanya mahukan sedikit kebijaksanaan saudara berdua dan para penyokong saudara berdua. Kalau Kristian mahu menggunakan dalam semua penerbitan mereka dalam pelbagai bahasa, saya orang pertama yang akan menyokong sebab ini peluang kita berdakwah.

3. Saudara perlu memahami suasana semasa, maksud akhir penggunaan kalimah ini dalam Bible bahasa Melayu. Orang-orang biasa yang tidak mempunyai pendidikan mendalam pun boleh memahami tujuan penggunaan kalimah Allah dalam Bible bahasa Melayu. Kita tidak perlu belajar sehingga Phd pun untuk memahami hasrat tersurat ini. Cukuplah, sad al-zari’ah menjadi hujah penting ada isu ini.

Wallahu a’lam. Saya mengharapkan keikhlasan semua pihak menangani isu ini.

Allahu al-musta’an.

Sumber: Abu al-‘Izz

20/10/2013 Posted by | Aqidah, Berita dan Isu Semasa, Politik dan Dakwah | | Leave a comment

   

%d bloggers like this: