Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

CUKAI GST & RUWAIBIDAH

Nampaknya ramai yang berbicara tentang isu-isu besar yang melanda Negara termasuk isu cukai dan GST.

Antara apa yang dilihat tidak kena adalah apabila isu-isu ini dibicarakan secara umum dan terbuka termasuk dalam media-media sosial baru seperti FB dan Whatsapp; sama ada daripada kalangan orang awam mahupun agamawan.

Jika kita renungkan, hal-hal besar seperti ini selayaknya diserahkan kepada ahlinya daripada kalangan Ulil Amri dan Ulama. Para Ulama pun ketika ingin mengeluarkan Fatwa, ia tidak hanya akan bersandarkan kepada rujukan kitab teks, tetapi juga dengan mendapatkan pandangan pihak-pihak berautoriti lain yang mempunyai data dan maklumat yang diperlukan agar permasalahan yang berbangkit menjadi jelas buat Ulama itu.

Masakan suatu hukum dapat dikeluarkan tanpa memahami situasi sebenar yang sedang dihadapi.

Kerana itu para Ulama mengatakan:

الحكم بالشيء فرع عن تصوره

"Hukum atas sesuatu adalah sebahagian daripada memahami situasi perkara itu".

Adalah tidak wajar dan tidak bertanggungjawab untuk soal-soal Negara dibahas dan diputuskan dengan begitu mudah dalam FB dan Group Whatsapp sahaja.

Sebaiknya, cukup sahaja dinukilkan perkataan Ulama secara umum tentang sesuatu perkara itu. Jangan lebih.

Adapun menghukum secara khas, kita harus tanya diri kita:

Adakah kita sudah memahami isunya secara menyeluruh daripada segenap aspek?

Jangan lupa, ini isu negara yang membabitkan maslahat jutaan rakyat.

Sudahkah kita memperoleh data-data dan maklumat-maklumat yang diperlukan?

Jika hanya dengan berpandukan buku dan internet, lupakan sahaja.

Jika hanya dengan akal dan firasat, itu berborak-borak kosong namanya.

Akhirnya, mengapa kita beban diri kita dengan suatu yang Allah tidak bebankan kita dengannya? Apakah tanggungjawab yang sedia ada tidak cukup???

Serahkan urusan Negara kepada Ahlinya. Usah menyibukkan diri dalam hal yang bukan urusan kita.

Jika kita ada sedikit ilmu tentang masalah yang sedang dihadapi Negara, nyatakan secara umum dengan menukilkan hadis dan pandangan Ulama. Titik!

Jangan lebih daripada itu.

Dikhuatiri kita akan tergolong di kalangan RUWAIBIDAH yang disebut Nabi.

Nabi ditanya siapakah mereka, jawab Baginda:

الرجل التافه الذي يتكلم في أمر العامة

"Orang yang lokek yang berbicara tentang isu Negara!"

(Sahih. Riwayat Ibnu Majah).

Semoga kita dilindungi oleh Allah Ta’ala.

 

 

(Nukilan: Ustaz Idris bin Sulaiman hafidzahullah (ILMU)

22 January 2015 Posted by | Berita dan Isu Semasa, Politik dan Dakwah | | Leave a comment

KONSEP PERCUKAIAN ISLAM: SATU TINJAUAN DARI SUDUT PELAKSANAAN CUKAI BARANGAN DAN PERKHIDMATAN (GST)

‪#‎MenjawabHujahMengatakanGSTHaram‬ ‪#‎PerbetulkanFakta‬

KONSEP PERCUKAIAN ISLAM: SATU TINJAUAN DARI SUDUT PELAKSANAAN CUKAI BARANGAN DAN PERKHIDMATAN (GST)

Disediakan Oleh : Seksyen Muamalat, Bahagian Perancangan dan Penyelidikan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

LATAR BELAKANG – Sistem percukaian adalah salah satu mekanisme untuk menjana kemakmuran ekonomi dalam sesebuah negara. Oleh yang demikian, salah satu sumber negara yang telah diamalkan hampir seluruh negara di dunia hingga ke hari ini ialah melalui konsep percukaian. Percukaian dalam pelbagai bentuk yang dirasakan sesuai akan dikenakan kepada rakyat jelata demi kepentingan mereka.

2. Dalam Islam, sesebuah kerajaan mempunyai hak untuk mengadakan dasar percukaian dalam memungut hasil kepada negara, asalkan dasar tersebut digubal menepati prinsip yang adil dan tidak membebankan individu rakyat (sektor swasta). Hak ini diasaskan kepada hadis Nabi SAW:

3. Mengikut Marghinani, jika sumber pendapatan negara tidak mencukupi, negara perlu memungut cukai daripada rakyat untuk membiayai kepentingan umum (al-Marghinani: 1996). Begitu juga pandangan Imam Abu Yusuf yang menjelaskan bahawa kadar cukai negara boleh menaik atau menurun mengikut kemampuan rakyat (Abu Yusof:1979).

4. Jika disingkap tentang sejarah percukaian dalam Islam, ia telah bermula sejak zaman Nabi Muhammad SAW apabila cukai yang dikenali sebagai jizyah telah diperkenalkan pada ketika itu. Jizyah merupakan cukai kepala yang dikenakan kepada golongan bukan Islam yang menetap di bawah pemerintahan Islam (al-Mausuah al-Fiqhiyyah: 2001). Dengan cukai jizyah, mereka berhak mendapat perlindungan dan penjagaan terhadap segala aspek sama ada harta, keluarga, darah dan sebagainya.

5. Pada zaman Umar al-Khattab pula, beliau telah mewujudkan cukai tanah (kharaj), cukai perdangangan (ushur) dan lain-lain cukai telah dikembang serta diselaraskan agar dapat memberikan dana yang mencukupi bagi pembangunan negara. Dalam konteks cukai tanah (kharaj), ia dikenakan ke atas tanah-tanah yang dibuka oleh orang Islam secara peperangan. Cukai kharaj mula dilaksanakan dengan meluas apabila Khalifah Umar al-Khattab berdasarkan ijtihadnya dan beliau telah mengarahkan supaya tanah yang diperolehi daripada hasil peperangan tidak lagi dibahagikan kepada tentera yang berperang secara ghanimah. Sebaliknya tanah tersebut dijadikan wakaf bagi kepentingan orang-orang Islam dan bukan Islam. (Abu Yusuf: 1952)

6. Pada asalnya, cukai bukanlah suatu perkara yang dibebankan secara berterusan kepada rakyat dan bukan sesuatu yang fardhu iaitu sama seperti kefardhuan zakat yang tanggungjawabnya secara berterusan dan dikeluarkan dengan kadar yang tetap setiap tahun. Sebaliknya, ia ialah satu pungutan yang diperlukan, sesuai dengan kehendak dan keperluan negara semasa serta selari dengan konsep siyasah syari’yyah yang digariskan oleh Islam.

ASAS-ASAS PERTIMBANGAN

7. Cukai didefinisikan sebagai pungutan berbentuk wang oleh kerajaan terhadap individu dan organisasi yang berkaitan dengan negara untuk kegunaan negara secara langsung atau secara tidak langsung kepada pembayar cukai sebenar yang menerima beban cukai itu (Kamus Dewan: 2010).

8. Manakala cukai langsung ialah cukai yang dikenakan terhadap pembayar cukai secara langsung atau terus dan tidak boleh dipindahkan kepada orang lain. Contohnya ialah cukai pendapatan. Cukai tidak langsung ialah tanggungan beban cukai yang boleh dipindah oleh pembayar cukai kepada pihak ketiga atau penerima manfaat akhir terhadap barangan atau perkhidmatan itu. Contohnya cukai kastam, cukai jualan. (Wang Leng Whatt: 2013)

9. Terdapat pelbagai pandangan yang dikemukakan oleh ulama mengenai cukai antaranya:

a. Ibn Hazim
Ketika membahaskan tentang permasalahan cukai, beliau tidak menggunakan perkataan cukai (dharibah) tetapi menggunakan perkataan yang sama erti dengan cukai. Beliau telah menggunakan perkataan penet apan pemerintah dalam bentuk kewangan ke atas rakyat apabila berlaku sebab tertentu. (Ibn Hazim: 2003). Pandangan ini bersandarkan kepada dalil-dalil al-Quran, hadis dan pendapat sahabat.

b. Imam Haramain al-Juwaini
Penetapan pembayaran cukai mengikut Imam al-Haramain al-Juwaini adalah berdasarkan oleh ijmak ulama yang menyebut bahawa menjadi kewajipan pemerintah dalam mempertahankan daulah. Maka apabila baitulmal tidak mampu menampung perbelanjaan ketenteraan, maka pemerintah boleh mengenakan sistem pembayaran cukai ke atas mereka yang berkemampuan.

c. Imam al-Ghazali
Menurut Imam al-Ghazali di dalam kitabnya al-Mustasfa (al-Ghazali:1992), tidak harus dikenakan cukai ke atas rakyat jika sekiranya harta benda yang berada di tangan adalah mencukupi. Namun begitu, jika sekiranya unit ketenteraan Islam tidak memiliki wang yang cukup dan baitulmal tidak mampu menanggung perbelanjaan ketenteraan, maka harus kepada pemerintah mengenakan cukai kepada golongan yang kaya sekadar jumlah yang dapat menampung perbelanjaan ketenteraan. Pemerintah Islam harus memberi tanah kerajaan kepada tentera sebagai ganti cukai.
Oleh itu, penetapan cukai ke atas golongan yang kaya adalah mudharat yang lebih ringan jika dibandingkan dengan tentera yang meninggalkan tugas ketenteraan kerana mencari keperluan hidup.

d. Ibn Taimiyyah
Dalam membincangkan tentang keharusan sistem pembayaran cukai, Ibnu Taimiyyah (Ibn Taimiyyah: t.th): berdalilkan dengan qias aulawi di mana beliau berkata Jika sekiranya Allah mewajibkan ke atas para sahabat yang berjihad dengan harta dan jiwa raga mengeluarkan usyur dari hasil tanaman mereka, maka sepatutnya lebih diwajibkan ke atas golongan yang berkemampuan yang tidak keluar berjihad mengeluarkan kewangan untuk menampung perbelanjaan jihad (maslahah umum).

e. Al-Shatibi
Mengikut al-Shatibi (al-Shatibi: 2008), pengambilan cukai menjadi keharusan apabila pemerintah itu seorang yang adil dan membelanjakan harta tersebut pada jalan yang diharuskan syarak.

f. Ibn Khaldun
Mengikut Ibn Khaldun pula dalam karyanya al-Muqaddimah (Ibn Khaldun: 2010), beliau telah menggariskan dasar khusus dalam penggubalan percukaian sesebuah negara. Antara saranan yang dinyatakan beliau tentang dasar percukaian ialah:

"Apabila taksiran cukai dan kewajipan membayar cukai ke atas rakyat adalah sedikit, mereka mempunyai kesungguhan dan semangat untuk mengusahakan sesuatu. Budaya keusahawanan menjadi berkembang dan meningkat, sebab pengenaan cukai yang rendah itu mendorong kepada suatu kepuasan hati. Apabila budaya keusahawanan meningkat, jumlah kewajipan terhadap orang perseorangan dan taksiran cukai akan berlipat ganda. Sebagai akibatnya, hasil pendapatan cukai yang merupakan jumlah keseluruhan daripada (taksiran terhadap orang perseorangan) akan meningkat."

Daripada pandangan Ibn Khaldun ini, antara yang ditekankan dalam isu percukaian ialah pembentukan cukai terhadap rakyat hendaklah pada kadar yang rendah kerana ia akan merangsang semangat keusahawanan dan jika jumlah cukai perlu ditingkatkan, maka ia hendaklah pada kadar yang minimum.

Selain itu, pemerintah juga perlu sentiasa berwaspada agar kemewahan yang mengakibatkan perbelanjaan negara meningkat perlu sentiasa dikawal.

g. Ulama Kontemporari
Bagi ulama kontemporari seperti Dr. Yusuf al-Qaradawi, Sheikh Ali Muhyiddin Al-Qurrah Daghi, dan Syeikh Mahmud Syaltut, mereka berpendapat harus pengambilan cukai sebagai tambahan kepada zakat, sedekah, jizyah dan ushur bagi memastikan kerajaan dapat mengurus kemaslahatan ummah seperti membangunkan kebajikan rakyat, bayaran gaji pegawai-pegawai kerajaan dan penyediaan infrastuktur untuk kemudahan rakyat.
(Yusuf al-Qaradawi: 2000) Ini berasaskan kaedah fekah yang masyhur..

19 January 2015 Posted by | Berita dan Isu Semasa, Bicara Ulama, Politik dan Dakwah, Q & A (Soal Jawab) | , | Leave a comment

Jangan semberono haramkan GST

GST Logo

Oleh Dr Asyraf Wajdi Dusuki

Polemik mengenai Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) nampaknya bukan lagi setakat berlegar seputar hujah-hujah ekonomi dan sara hidup. Kini semakin ramai ‘mufti-mufti’ segera yang mengharamkan GST atas hujah simplistik dengan mengatakan Rasulullah SAW tidak pernah mengiktiraf sumber negara selain zakat dan sedekah.

Jika semudah itulah hukum haram dijatuhkan kepada GST maka segala cukai-cukai yang selama ini dikutip kerajaan juga haramlah jawabnya. Ini kerana kaedah fekah menyebutkan “Apa yang diharamkan untuk dilakukannya, maka haram untuk mengambilnya".

Justeru segala pendapatan juga jadi haram kerana lebih 70 peratus hasil negara hari ini bergantung pada cukai tidak kira cukai langsung seperti cukai pendapatan mahupun cukai tidak langsung termasuklah duti kastam, duti eksais, cukai perkhidmatan dan cukai barangan.

Maka bukan sahaja kesan ‘haram’ ini terpakai kepada Kerajaan Persekutuan sahaja, malah kerajaan-kerajaan negeri yang diperintah Pakatan termasuklah negeri Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor juga dianggap menerima pendapatan haram daripada pelbagai jenis cukai yang dikenakan termasuklah cukai tanah, cukai pintu, cukai perniagaan dan bermacam lagi.

Sebab itulah dalam Islam, hukum halal-haram tidak boleh sewenang-wenangnya dijatuhkan berasaskan sentimen dan kefahaman dangkal mengenai satu-satu perkara. Malah menghalalkan yang haram mahupun mengharamkan yang halal boleh menjatuhkan seseorang kepada kekufuran.

Berbalik kepada isu ‘fatwa-fatwa jadian’ mengenai pengharaman GST ini, persoalan asas yang perlu dibangkitkan, apakah benar cukai tidak dibenarkan dikutip oleh kerajaan?

Sebelum mengupas lanjut, perlu difahami bahawa permasalahan cukai adalah termasuk dalam ruang-lingkup Siyasah Syariyyah iaitu pentadbiran hal-ehwal awam negara Islam yang perlu diteliti aspek mencapai kemaslahatan (kebaikan) dan menolak kemudaratan selagi tidak melanggar batas-batas Syariah dan prinsip-prinsip umumnya.

Dalam konteks muamalah atau hal-ehwal keduniaan, Islam membuka ruang kepada pelbagai ijtihad dan pandangan yang boleh berubah mengikut zaman dan tempat kerana prinsip digariskan Allah: “Allah mengkehendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak mengkehendaki kamu menanggung kesukaran" (Al-Baqarah:185).

Cukai dalam istilah Arab dipanggil ‘dharibah’. Malah ada juga ulamak yang mengaitkan istilah ‘al-maks’ juga membawa makna cukai berasaskan Hadis Nabi SAW: “Sesungguhnya penguasa yang mengenakan ‘Maks’ (cukai) adalah di dalam neraka" (Riwayat Ahmad).

Sesetengah ulamak menggunakan dalil inilah bagi mengharamkan sebarang bentuk cukai yang dikenakan ke atas rakyat. Ini kerana dalam kaedah usul fiqh, sebarang ancaman neraka menerusi nas membawa pengertian bahawa perkara yang disebutkan adalah haram.

Namun sebahagian ulama lain termasuklah Dr. Yusuf al-Qaradawi dan Dr Ali Muhydin Al-Qurrah Daghi mempunyai pandangan berbeza dengan menegaskan bahawa kalimah ‘Maks’ di dalam konteks hadis ini membawa maksud khusus iaitu “sejenis cukai yang diwajibkan oleh sebahagian pemerintah dan penyokong mereka untuk bersenang-lenang dengannya walaupun menyempitkan rakyat mereka" (Al-Qaradawi, Kitab Fiqh al-zakat).

Pendekatan

Justeru mereka berpandangan pengambilan cukai sebagai tambahan kepada zakat, sedekah, jizyah dan ushur adalah harus bagi memastikan kerajaan dapat mengurus kemaslahatan ummah seperti membangunkan kebajikan rakyat, bayaran gaji pekerja kerajaan dan penyedian infrastruktur untuk kemudahan rakyat.

Pandangan ini berasaskan kaedah fekah yang masyhur iaitu: “Pendekatan atau tindakan seseorang pemerintah kepada rakyatnya adalah berasaskan kemaslahatan" (Imam As-Suyuuti, Kitab Al-Ashbah Wan Nazooir).

Pendekatan inilah yang diambil oleh para sahabat khususnya Khalifah Umar al-Khatab yang antara terawal melakukan ijtihad baru mengenakan cukai Kharaj (cukai tanah). Ini kerana, Khalifah Umar RA mula melihat kemaslahatan atau keperluan untuk menjana pendapatan lain apabila wilayah kekuasaan Islam berkembang ke Iraq, Syam dan Mesir terutamanya bagi menampung keperluan perbelanjaan pertahanan, penggajian tentera dan kakitangan kerajaan yang menguruskan hal-ehwal rakyat.

Ini dinukilkan oleh Imam Abu Yusuf dalam kitab Al-Kharaj yang ditulis beliau bagi memahamkan Khalifah Kerajaan Abbasiyyah paling berpengaruh dan dikenali sebagai raja yang warak iaitu Khalifah Harun Ar-Rasyid (786-809 Masihi):

“Khalifah Umar berijtihad untuk perkenalkan cukai Kharaj setelah bermesyuarat dengan pimpinan dari kalangan Ansar dan Muhajirin akan keperluan menampung perbelanjaan kerajaan yang telah meluaskan jajahannya sehingga Syam, Jazirah, Kufah, Basrah dan Mesir. Walaupun pada mulanya ditentang Abdur Rahman bin Auf, namun ijtihad Umar disokong Ali, Uthman, Talhah dan Ibnu Umar."

Pandangan mengharuskan pengenalan cukai juga dikongsi oleh ulama-ulama Muktabar seperti Ibnu Hazim, Imam Haramain Al-Juwaini, Imam Al-Ghazali dan Imam As-Syatibi. Imam Ibnu Taimiyyah pula dalam kitabnya yang masyhur ‘Siyaasah as-Syariyyah fi Islah al-Ra’yi Wa al-Ra’iyyah’, mengharuskan pembayaran cukai berdalilkan qias aulawi:

Katanya: “Jika sekiranya Allah mewajibkan ke atas para sahabat yang berjihad dengan harta dan jiwa raga mengeluarkan ushur atau cukai dari hasil tanaman mereka, maka sepatutnya lebih diwajibkan ke atas golongan yang berkemampuan yang tidak keluar berjihad mengeluarkan kewangan untuk menampung perbelanjaan jihad (untuk kepentingan umum)"

Apa yang penting sebagaimana yang digariskan oleh para fukaha silam, sistem percukaian yang dibina hendaklah berasaskan keadilan dan dikenakan pada golongan berkemampuan hingga tidak membebankan rakyat. Cukai ini juga hendaklah dipungut oleh pemerintah bagi menampung perbelanjaan untuk menguruskan kepentingan rakyat dan kemaslahatan yang diperakui syarak.

Hakikatnya GST bukanlah satu jenis cukai tambahan yang diperkenalkan kerajaan di kala ramai yang merasai terbeban dengan kos sara hidup yang semakin meningkat. Sebaliknya GST adalah satu penstrukturan percukaian baru bagi menggantikan skim cukai lama iaitu cukai barangan dan cukai perkhidmatan yang sudahpun dikenakan selama ini.

Pengalaman 160 buah negara yang memperkenalkan GST selama ini telah membuktikan bahawa sistem cukai ini adalah lebih telus dan adil bahkan mampu mengelakkan daripada berlakunya ketirisan sumber perolehan negara yang amat penting bagi disalurkan kembali kepada rakyat.

Bukan itu sahaja model GST Malaysia yang mengecualikan cukai ke atas barangan keperluan asas rakyat seperti beras, gula, garam, minyak masak dan lebih 1,000 senarai barangan keperluan lain termasuk segala barangan asas yang dijual di pasar basah seperti ikan, ayam, daging, sayuran dan buah-buahan tentunya tidak akan membebankan golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Ini bermakna GST hanya dikenakan bagi mereka yang berkemampuan untuk menggunakan barangan dan perkhidmatan melebih keperluan asas. Peniaga-peniaga kecil yang pendapatan kurang daripada RM500,000 setahun juga dikecualikan GST.

Justeru tidak timbul isu bahawa GST haram kerana turut mengenakan cukai kepada golongan miskin. Malah pendekatan baru struktur cukai ini bagi memastikan semua peringkat dalam rantaian penawaran (supply chain) berdaftar akan memudahkan kerajaan memantau harga barangan dengan lebih berkesan bagi mengelakkan peniaga menaikkan harga sesuka hati.

GST tentunya dapat menjaga kemaslahatan rakyat yang sebelum ini seringkali dimangsakan dengan kenaikan harga barangan tanpa kawalan lantaran kos pengeluaran yang tidak dapat dipantau secara tuntas dan sikap peniaga meraih keuntungan sesuka hati.

Sebaliknya melalui GST, setiap pengusaha daripada pembekal bahan mentah, pengilang, pemborang sehinggalah peniaga runcit perlu mendaftar dan mengeluarkan resit-resit bernombor siri GST yang sah. Ini bukan sahaja membantu pemerintah memantau harga bahkan mengurangkan ketirisan perolehan akibat sikap tidak bertanggungjawab golongan yang lari daripada cukai sebelum ini.

Harga barangan tertentu yang dulunya mahal kerana dikenakan cukai berganda juga sepatutnya lebih murah apabila GST diperkenalkan kelak kerana setiap rantaian penawaran, hanya dikenakan cukai sekali sahaja dengan kadar 6 peratus iaitu terendah berbanding 160 negara lain.

Justeru hujah-hujah semberono yang mem‘fatwa’kan GST haram dikutip kerajaan kerana menindas rakyat adalah satu tohmah dan pandangan dangkal tanpa memahami secara holitisk mekanisme GST ini.

Apa yang mustahak kini ialah untuk kerajaan memastikan sistem dan operasi GST yang bakal diperkenalkan tahun hadapan benar-benar berfungsi dengan berkesan. Pada masa yang sama segala bentuk ketirisan dan pembaziran dalam perbelanjaan negara sebagaimana laporan Audit Negara perlu ditangani bagi mengembalikan keyakinan rakyat bahawa cukai yang dibayar tidak dipersia-siakan.

Akhirnya falsafah cukai dalam Islam adalah bagi memenuhi prinsip adil dan saksama sehingga kekayaan dapat dikongsi oleh segenap lapisan masyarakat sebagaimana yang dijelaskan dalam Surah Al-Hasyr ayat 7: “Supaya harta itu tidak hanya berlegar sekitar orang kaya di kalangan kamu semata-mata".

* PENULIS ialah yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah (YADIM)

Artikel Penuh: © Utusan Melayu (M) Bhd

11 May 2014 Posted by | Bicara Ulama, Fiqh, Politik dan Dakwah | , | 6 Comments

Fahamkah mereka apa itu GST? Atau sekadar membangkang kerana mereka itu Pembangkang?

[Dari Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki]

Pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) menepati prinsip dalam Islam iaitu memastikan sumber-sumber berlebihan daripada mereka yang berkeupayaan dapat disalurkan semula kepada masyarakat secara keseluruhan.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pelaksanaan cukai itu memboleh­kan kerajaan memperoleh sumber pendapatan bagi mengurus serta mentadbir negara dengan lebih berkesan.

Menurutnya, pengenalan cukai juga bukan sesuatu yang baharu dalam sejarah tamadun Islam yang mana Saidina Umar al-Khattab sendiri pernah memperkenal cukai tertentu sewaktu zaman pemerintahan beliau sebagai perolehan membangunkan empayarnya.

“GST merupakan sebahagian sumber kerajaan untuk dikembalikan semula kepada rakyat dalam bentuk pembangunan prasarana, kemudahan awam, gaji kakitangan awam dan sebagainya.

“Sebab itu, saya tidak setuju apabila terdapat pihak tertentu dengan mudah menjatuhkan hukum kononnya GST haram sedangkan cukai seperti ini bukan baharu diperkenalkan," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Program Dakwah Negara dan Sambutan Bulan-Bulan al-Quran Peringkat Negeri Pulau Pinang di sini hari ini.

Program itu dirasmikan Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas.

Menurut Asyraf Wajdi, GST me­rupakan cukai yang lebih adil kerana pihak yang sepatutnya membayar cukai terutama dalam kalangan pemain industri tidak terlepas daripada melaksana tanggungjawab itu.

Daripada sudut keuntungan kepada rakyat pula, kata beliau, GST akan memastikan harga akhir barangan menjadi lebih murah kerana cukai yang dikenakan hanya sekali berbanding cukai di setiap peringkat pemprosesan seperti sebelum ini.

“Malah pihak yang terlibat dalam setiap rantaian ekonomi itu juga perlu mendaftar dengan kerajaan untuk mendapatkan rebat sekali gus mengelak mereka memindahkan kos operasi kepada pengguna," katanya.

Tambah beliau, secara logik sekiranya GST membebankan pengguna, kaedah percukaian itu tidak akan diteruskan di lebih 160 buah negara seperti ketika ini.

Malah Asyraf Wajdi yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO turut menempelak pembangkang yang berterusan menghasut rakyat menentang pelaksanaan GST dengan menyembunyikan fakta sebenar.

“Jika benar pembangkang menentang pelaksanaan GST, mereka sepatutnya menarik balik semua cukai-cukai yang dikenakan di ne­geri yang ditadbir mereka," katanya.

 

 

(Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140501/dn_19/Pelaksanaan-GST-menepati-prinsip-dalam-Islam#ixzz30QvNtEwV
© Utusan Melayu (M) Bhd)

1 May 2014 Posted by | Politik dan Dakwah | | Leave a comment

   

%d bloggers like this: