Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Bahaya Ghibah dan Buhtan

Allah berfirman maksudnya: “Telah berlaku kerusakan di darat dan di laut disebabkan karena perbuatan tangan manusia.” (QS. Ar-Rum: 41)

Rasulullah menjelaskan, tatkala ditanya oleh seorang sahabat, “Wahai Rasulullah, apakah itu ghibah?” Lalu jawab Baginda, “Menyebut sesuatu yang tidak disukai oleh saudaramu di belakangnya!” Kemudian Baginda ditanya lagi, “Bagaimana sekiranya apa yang disebutkan ltu benar?” jawab Baginda, “Kalau sekiranya apa yang disebutkan itu benar, maka itulah ghibah, tetapi jika sekiranya perkara itu tidak benar, maka engkau telah melakukan buhtan (pembohongan besar).”
(Hadis riwayat Muslim, Abu Daud dan At-Tarmizi).

Hari ini umat Islam dihidangkan dengan berita-berita yang mengaibkan peribadi seseorang. Ia terpampang di dada-dada akhbar dan media elektronik dan dijadikan berita utama. Umat Islam pula secara terbuka membicarakan berita-berita yang mengaibkan itu tanpa sedikitpun terdetik dihati bahawa apa yang diperkatakan mendatangkan dosa yang besar dan kemurkaan Allah SWT. Hadis yang dibacakan dengan jelas menegaskan bahawa yang menjadi soal bukan samada berita yang dihebah dan dihebohkan itu benar ataupun tidak. Peringatan penting dari hadis itu ialah perbuatan menghebah dan menyebarkan berita yang menjatuhkan maruah dan mengaibkan seseorang adalah dosa besar meskipun ianya benar. Kalaulah berita benar sekalipun sudah dihukum berdosa apatah lagi jika berita yang dihebahkan itu cerita bohong maka dosanya jauh lebih besar lagi.

Kita diberi amaran yang sangat keras dari Allah SWT tentang membicarakan sesuatu yang tidak ada kepastian sebagaimana yang disampaikan oleh Rasulullah SAW
yang bermaksud: “Seseorang hamba yang membicarakan sesuatu yang belum jelas baginya (hakikat dan akibatnya), akan dilempar ke neraka sejauh antara timur dan barat.”
Riwayat Muslim)

Allah berfirman maksudnya:
“Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah sesetengah kamu mengumpat sesetengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat lagi maha Pengasihani”.(Al-Hujurat 12)

Inilah perkara asas dalam agama kita yang perlu diperhatikan dengan serius kerana perbuatan mendedahkan keaiban seseorang sangat besar kesannya di dalam masyarakat. Ia bolih menjejaskan nama baik dan maruah diri dan keluarganya, menimbulkan tanggapan negatif, menghilangkan kepercayaan bahkan mencetuskan permusuhan dan huru hara. Kita diharamkan mendedahkan keaiban seseorang meskipun ia benar. Bagaimana pula jika yang disebarkan itu fitnah atau ‘buhtan’ yaitu cerita bohong…

Daripada Abdullah bin ’Amar r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Orang Islam yang sebenarnya ialah orang yang mana orang-orang Islam yang lain terpelihara daripada gangguan lidah dan tangannya dan orang yang sebenarnya berhijrah ialah orang yang meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah”. Ini adalah lafaz Imam Bukhari. Dalam riwayat Imam Muslim perawi (Abdullah bin ‘Amar) r.a. berkata: “Sesungguhnya ada seorang bertanya Nabi s.a.w. katanya: “Orang Islam manakah yang lebih baik”? Nabi s.a.w. menjawab: “Orang yang mana orang-orang Islam yang lain terpelihara daripada gangguan lidah dan tangannya”

Kita bukan sahaja dilarang menghebahkan keaiban seseorang bahkan mencari-cari kesalahan seseorang yang dilakukan secara sembunyi-sembunyi juga dilarang.

Dari satu riwayat yang mahsyur,‘Umar RA telah memanjat rumah seorang lelaki dan mendapatinya dalam keadaan yang tidak wajar. Lelaki tersebut telah membantah ‘Umar dan berkata: Jika aku menderhakai Allah pada satu perkara, sesungguhnya engkau telah menderhakai-Nya pada tiga perkara. ‘Umar bertanya: Apa dia? Dia berkata: Allah Ta’ala telah berfirman (maksudnya): Jangan kamu mengintip mencari kesalahan orang lain. Sesungguhnya engkau telah melakukannya. Allah berfirman (maksudnya: Masukilah rumah melalui pintu-pintunya. Sesungguhnya engkau telah memanjat dari bumbung. Allah berfirman: (maksudnya): Janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya). Sesungguhnya engkau tidak memberi salam. Maka ‘Umar pun meninggalkannya… Maka ketahuilah bahawa sesiapa yang mengunci pintu rumahnya dan bersembunyi di sebalik dindingnya, maka tidak harus seseorang memasuki tanpa izin daripadanya hanya kerana ingin mengetahui perbuatan maksiat. Kecuali jika ia nyata sehingga diketahui oleh sesiapa yang berada di luar rumah tersebut.” (Al-Ghazali, Ihya ‘Ulum al-Din, 3/28, Beirut: Dar al-Khair 1990).

Imam al-Ghazali dalam kitabnya ‘Ihya Ulumuddin’ dalam bab Hisbah menyatakan suruhan Amar Makruf hanya berlaku apabila ia ditinggalkan secara terang-terangan dan nahi mungkar hanya berlaku apabila maksiat nyata dilakukan secara terang-terangan. Ini bererti umat Islam diharamkan dari mengintip dan mencari kesalahan seseorang, sedangkan dia sendiri melakukannya secara sembunyi kerana tidak mahu aibnya diketahui masyarakat.

Sabda Rasulullah SAW bermaksdu:
“Setiap umatku diberikan keampunan kecuali orang-orang yang menampakkan (dosanya)” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Lantaran itu Prof Dr yusuf Qardhawi mengatakan tidak ada peruntukan undang-undang bagi menjatuhkan hukuman ke atas orang yang melakukan maksiat secara bersembunyi
(Al-Qardhawi: Min fiq ad-daulah fil Islam)

Kata Dr Yusuf Al-Qardhawi
“Kemungkaran itu mesti nyata dan dilihat. Adapun jika pelakunya melakukannya secara sembunyian dari pandangan manusia dan menutup pintu rumahnya, maka tidak seorang pun boleh mengintipnya atau merakamnya secara diam-diam dengan menggunakan alat elektronik atau kamera video atau menyerbu rumahnya untuk memastikan kemungkarannya. Inilah yang ditunjukkan pada lafaz hadis ‘barangsiapa yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya….”

Perkara ini semakin serius apabila ia melibatkan qazaf iaitu menuduh seseorang melakukan jinayah zina tanpa mengemukakan empat orang saksi dan tidak melalui proses atau saluran undang-undang

Firman Allah (maksudnya): “Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik. (Surah al-Nur: Ayat 4).

Tindakan mendedahkan aib peribadi adalah sesuatu yang diharamkan oleh Allah. Namun Islam adalah agama yang memelihara kemaslahatan umum dan tidak akan melindungi perbuatan zalim yang dilakukan oleh mana-mana pihak. Jika perbuatan itu melibatkan kezaliman ke atas seseorang seperti jenayah pembunuhan, rogol, rompak dan sebagainya maka maka menjadi kewajipan untuk perbuatan ini didedahkan supaya orang yang dizalimi mendapat pembelaan dan orang lain terpelihara dari menjadi mangsa seterusnya.

Firman Allah (maksudnya): “Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dizalimi, dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha Mengetahui. Jika kamu melahirkan sesuatu kebaikan, atau menyembunyikannya, atau kamu memaafkan kesalahan (yang dilakukan terhadap kamu), maka sesungguhnya Allah adalah Maha Pemaaf lagi Maha Berkuasa”. (Surah al-Nisa: Ayat 148-149).

(Rujukan: Intisari dari isi khutbah IKRAM)

Advertisements

9 July 2012 Posted by | Tazkirah | , | Leave a comment

Bila diharuskan memperkatakan keburukan orang lain?

Mengatalah tu….

1. Hukum asal memperkatakan keburukan orang lain adalah haram. Jika keburukan itu benar-benar dilakukannya lalu kita memperkatakannya -tanpa suatu desakan yang diiktiraf oleh Syariat- kita dianggap mengumpat (ghibah). Jika keburukan itu tidak dilakukannya (yakni kita yang mengada-adakannya), kita telah melakukan dosa fitnah dan juga ghibah (umpatan). Sama ada mengumpat (ghibah) atau fitnah, kedua-duanya adalah dosa besar, apatah lagi jika menggabungkan kedua-duanya. Dalam Soheh Muslim, terdapat hadis dari Abu Hurairah yang menceritakan; Nabi pernah bertanya para sahabatnya; “Tahukah kamu apa itu ghibah (umpatan)?”. Mereka menjawab; “Allah dan RasulNya lah yang paling tahu”. Nabi menjawab; “Ghibah (umpatan) ialah kamu menyebut tentang saudara kamu sesuatu yang ia tidak suka”. Lalu seorang bertanya Nabi; “Apa pandangan kamu ya Rasulullah jika apa yang aku sebutkan tentang saudaraku benar-benar ada pada pada dirinya”. Jawab Nabi; “Jika ia benar-benar ada pada dirinya, lalu kamu menyebutnya, maka kamu mengumpatinya. Namun jika ia tidak ada padanya, lalu kamu menyebutnya (dengan mereka-rekanya), maka kamu telah mengadakan suatu pembohongan terhadapnya” (HR Imam Muslim, Kitab al-Birr wa as-Silah, bab Tahrim al-Ghibah).

2. Bagi masalah ghibah (iaitu menceritakan/mendedah keburukan orang lain atau menyebut orang lain dengan suatu nama yang buruk) dikecualikan bagi enam situasi berikut mengikut yang dijelaskan oleh para ulamak (antara Imam an-Nawawi dalam kitabnya Syarah Soheh Muslim dan Riyadhus-Salihin);

A) Apabila diri dizalimi; Harus orang yang dizalimi membuat pengaduan kepada pemerintah, qadhi atau pihak berkuasa lainnya dengan menceritakan keburukan atau kezaliman orang yang menzaliminya.

B) Memohon bantuan untuk mengubah suatu kemungkaran dan mengembalikan pelaku maksiat kepada kebenaran. Seperti seorang melaporkan kapada pihak yang berkuasa mengubah kemungkaran; “Si Fulan telah melakukan perbuatan sekian sekian, tegahlah ia”.

C) Bertujuan mendapatkan fatwa (pandagan agama); Seperti Hindun yang mengadu kepada Nabi sikap kedekut suaminya. Ia berkata kepada Nabi; “Ya Rasulullah, suamiku Abu Sufyan seorang yang kedekut, bolehkah aku mengambil wangnya tanpa diketahuinya?”.

D) Memberi peringatan kepada kaum muslimin agar berjaga-jaga dari suatu kejahatan; Seperti mendedahkan kepalsuan seorang yang pura-pura alim atau pembawa ajaran sesat supaya orang ramai mengetahui hakikat dirinya yang sebenar. Begitu juga, mendedahkan penyelewengan seorang pemimpin dalam mentadbir rakyat kepada orang yang berkuasa melantiknya agar mereka tidak tertipu untuk terus memberi kuasa kepadanya.

E) Seorang yang berterang-terangan melakukan dosa atau kesesatan seperti berterang-terang minum arak, berterang-terang menganut fahaman sesat atau seumpamanya. Orang sebegini harus disebut tentang dirinya dengan maksiat yang dilakukannya secara terang itu. Adapun maksiat yang dilakukannya secara tersembunyi, tidak harus disebut kecuali ada suatu sebab yang lain.

G) Untuk memperkenalkan seseorang; Harus menyebut seseorang dengan suatu gelaran jika ia masyhur dikenali dengan gelaran itu. Haram menyebut suatu gelaran dengan tujuan merendahkan martabat orang lain.

Dalam enam situasi di atas, dibolehkan kita memperkatakan/mendedahkan keburukan orang lain kerana ia mempunyai tujuan yang diharuskan Syariat untuk maslahah yang lebih besar dari maslahah individu yang diperkatakan keburukannya.

3. Oleh kerana hukum mengumpat adalah haram pada hukum asalnya dan dosanya adalah besar, maka orang yang terpaksa menggunakan pengecualian di atas ia hendaklah memerhatikan perkara berikut;

A) Memerhati niat dalam hatinya; apakah ia benar-benar terpaksa memperkatakannya atau hanya lahir dari keinginan nafsunya sahaja. Jika hati benar-benar berkata; “Aku wajib mendedahkannya demi agama dan ummah”, maka bertawakkallah kepada Allah dan teruskanlah apa yang diyakini. Namun jika hati berkata; “Ini hanya keinginan nafsu sahaja”, batalkanlah niat untuk berkata tentang orang lain itu, kerana padah yang bakal kita terima tidak padan dengan sedikit kepuasan yang kita dapat.

B) Ia hendaklah mengukur natijah darinya; adakah dengan memperkatakannya akan membawa kesan lebih baik atau dengan senyap sahaja dan mencari pendekatan lain yang lebih baik untuk membetulkan orang terbabit.

C) Setiap yang dilakukan kerana darurat (kerana hukum asalnya adalah haram) tidak harus berlebihan, yakni dilakukan sekadar perlu sahaja.

D) Maksiat yang dilakukan berkait dengan orang lain, yakni pendedahan terpaksa dilakukan untuk mengelak orang lain turut terlibat atau terzalimi jika mereka tidak mengetahuinya. Adapun maksiat yang bersifat peribadi tidak harus didedahkan kerana ia adalah dosa antara pelakunya dengan Allah. Sesuatu yang ditutup Allah, tidak berhak kita membukanya kerana nanti keaiban kita pula akan dibuka Allah.

Walalhu a’lam.

Rujukan;

1. Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi, Kitab al-Birr wa as-Silah, bab Tahrim al-Ghibah.
2. Riyadhus-Salihin, Imam an-Nawawi, Bab Ma Yubahu Min al-Ghibah.

Sumber: USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL (SU Panel Syariah HPA)

14 June 2011 Posted by | Politik dan Dakwah, Tasauf | , , | Leave a comment

Adakah mengumpat dan lidah cabul amalan orang politik?

Lidah cabul, suka memaki hamun, mengumpat dan suka berkata benda benda kotor adalah sifat keji yang di larang oleh agama.Ia nya adalah di antara sifat sifat yang tercela.Dalam agama manusia yang ada sifat ini di kategorikan manusia yang jahat dan durjana.

Amat malang sekali Umat Islam zaman ini terutama pemimpin pemimpin politik berdemokrasi dan penyokong penyokong nya, ramai yang terkena penyakit ini.Mereka mengamalkan sifat ini terang terang tanpa segan silu.Seolah olah ia nya satu kemestian bagi orang orang politik untuk memiliki sifat ini dalam berpolitik.Orang politik yang tidak mempunyai sifat ini akan tertekan dan tersingkir.

Bahkan ada ahli ahli agama yang membenarkan perkara ini (terutama bab mengumpat) atas alasan menentang kezaliman.Memang benar tetapi sifat ini tidak boleh di pergunakan sesuka hati .Hanya kadhi, hakim dan ulama sahaja boleh mengumpat.Kerana mereka arif dalam perkara ini.Bagi orang awam adalah terhad.Itu pun ada juga ulama mengatakan mengumpat yang di benarkan itu pun amat bahaya kalau di laksanakan.Ia nya umpama bermain main di pinggir neraka! Tersilap mengumpat masok ke dalam lubang neraka.

Mengumpat itu melanggar kehormatan orang lain saperti yang di jelaskan oleh Sabda Rasulullah s.a.w:

“Wahai golongan orang orang yang telah beriman lidah nya, tetapi belum beriman hati nya! Jangan lah kamu mengumpat kaum Muslimin dan jangan pula mengintip intip keaiban keaiban nya.Sebab barang siapa yang mengintip keaiban saudara nya nescaya Allah akan mengintip keaiban nya, nescaya Dia kan mendedahkan nya, meskipun ia berada di tengah tengah rumah.”

Sabda nya lagi“Wahai orang orang yang beriman, janganlah sesuatu kaum menghina kaum yang lain, sebab mungkin sekali mereka yang di hina itu lebih baik dari yang menghina.Dan jangan pula kaum perempuan menghina perempuan yang lain, barangkali mereka yang dihina lebih baik dari mereka yang menghina.”

Rasulullah s.a.w telah bersabda bermaksud:
“Waspadalah kamu dari kata kata yang kotor, kerana sesungguh nya Allah Ta’ala tiada suka kepada kata kata yang kotor dan perilaku yang cabul.”

Rasulullah s.a.w pernah melarang para sahabatnya supaya jangan memaki hamun kaum Musyrikin yang terbunuh di dalam peperangan Badar dengan sabdanya:
“Jangan kamu memaki maki mereka ini, yakni orang orang Musyrikin yang terbubuh di dalam perang Badar itu, sebab caci maki mu itu tidak akan memberikan apa apa kesan kepada mereka, malah sebalik nya kamu akan menyakiti hati orang orang yang masih hidup (dari keluarga si mati).
Bahawsanya kata kata kotor itu adalah suatu kejahatan.

Rasulullah bersabda lagi:” Bukan seorang Mukmin jika ia jadi pencaci, pelaknat, yang suka berkata kotor kotor atau yang lidahnya suka menyebut kata kata hina.”

Datang seorang Arab badawi kepada Rasulullah s.a.w lau bertanya.
“Wahai Rasulullah! Berikanlah aku suatu wasiat ! Maka Rasulullah pun bersabda:
” Hendaklah engkau bertaqwa kepada Allah. Kemudian sekiranya ada orang yang memalukan engkau lantaran sesuatu keaiban yang di ketahuinya ada padamu, maka jangan lah hendaknya engkau membalasnya dengan memalukan nya lantaran sesuatu keaibannya yang engkau mengetahui pula, kelak bencananya akan tertimpa atas orang itu, manakala pahalanya pula akan dicatitkan bagi mu.Juga jangan sekali kali memaki sesuatu.”


Rujukan: Kitab Ihya’ Ulumiddin

 

28 April 2009 Posted by | Politik dan Dakwah | , | 2 Comments

Ghibah (Mengumpat)

DI ANTARA BAHAYA LIDAH YANG MENGGAWATKAN MASYARAKAT

Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu ‘Ala Rasulillah, Wa’alaa Aalihie Wasahbihie Waman Walaah Hakikat yang dimaksudkan dengan mengumpat atau ghibah itu ialah menyebut akan hal seseorang dengan sesuatu yang tidak disukainya di belakangnya. Baik yang disebut itu ada pada badannya, agamanya, dunianya, dirinya, isteri/suaminya, ahli keluarganya, orang gajinya, sahabatnya, pakaiannya dan lain-lain. Di dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu anhu berkata yang maksudnya :

“Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Tahukah kamu apa itu ghibah (mengumpat)? ” Para sahabat berkata: “Allah dan rasul-Nya yang lebih tahu” Baginda bersabda: “(Mengumpat itu ialah) Penyebutanmu terhadap saudaramu tentang sesuatu yang tidak disukainya” Dikatakan: “Bagaimana pendapat Tuan jika yang aku katakan itu memang benar terjadi pada saudaraku?” Baginda bersabda: “Jika apa yang engkau katakan itu memang benar maka sesungguhnya engkau telah mengumpatnyat, tetapi jika apa yang engkau katakan itu tidak benar maka sesungguhnya engkau telah membuat dusta kepadanya.”

(Hadits riwayat Muslim)

Adapun contoh-contoh mengumpat dengan menyebut bahagian badan seseorang itu, umpamanya dengan menyebut bahawa si polan itu gemuk, kurus, hitam, atau pendek. Terhadap agama seseorang, misalnya dikatakaan si polan itu fasik, pengkhianat, berpura-pura alim, meremehkan kewajipan agama, kurang ajar kepada orang tua, bakhil atau suka mengumpat. Terhadap dunia seseorang pula misalnya disebut si polan itu tidak beradab, tidak peramah dan peduli orang, pemalas berkerja, kuat membuang masa, tidak pandai bergaul.

Contoh mengumpat yang berhubung dengan diri, suami/isteri, ibubapa, ahli keluarga, orang gaji dan sahabat seseorang pula misalnya dikatakan si polan itu sombong, buruk perangai, pencuri, penipu, tukang kebun, peminta sedekah, tidak bermaruah atau berpenyakit.

Yang berhubung dengan pakaian seseorang umpamanya disebut si polan itu pakaiannya murah, tidak berseterika, berpakaian kotor, selekeh dan lain-lain.

Pendeknya apa saja perkara yang diperkatakan di belakang seseorang yang jika didengar oleh orang yang diperkatakan (diumpat) itu, dia membencinya dan tidak menyukainya maka itulah namanya umpat atau ghibah. Orang yang melakukan perkara sedemikian adalah berdosa dan layak mendapat seksa sebagaimana yang diberi amaran oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.

Mengumpat itu tidak hanya terbatas perlakuannya dengan menyebut dengan lidah sahaja, bahkan ia termasuk juga perlakuan dengan tulisan, pergerakan, isyarat dengan mata, tangan, mulut dan sebagainya. Kesimpulannya setiap ungkapan atau perbuatan yang dapat difahami daripadanya menyebut kekurangan atau keaiban seorang Islam di belakangnya adalah dikira perkara mengumpat yang diharamkan.

Sebagai contohnya, meniru-niru cara berjalan seseorang kerana timpangnya jalan seseorang itu atau dari bermacam-macam gerak-geri orang yang dianggapnya sebagai sesuatu kekurangan, maka perbuatan seperti itu dianggap sebagai umpat juga yang mana hukumnya adalah haram tanpa ada perselisihan pendapat di kalangan ulama.

Demikian pula misalnya seorang pengarang buku yang dengan jelas menyebut seseorang yang tertentu di dalam tulisannya umpamanya: “Si polan itu begini dan begini”, dengan maksud menyebutkan kekurangan dan menghinanya, maka adalah haram hukumnya.

Tetapi jika tulisan itu dimaksudkan untuk menerangkan kesalahan seseorang agar tidak diikuti oleh orang lain atau dengan maksud menerangkan lemahnya satu-satu pendapat itu agar orang lain tidak terpedaya kepadanya, maka itu tidaklah dinamakan ghibah (umpat) bahkan ia adalah nasihat yang memang wajib dilaksanakan bagi memelihara kesucian agama.

Demikian juga apabila seorang pengarang menulis: “Sebenarnya pendapat satu kaum atau jemaah itu adalah salah dan satu kejahilan, kebodohan, kelalaian dan seumpamanya” , maka tulisan yang seumpama ini tidak disebut sebagai ghibah. Sebab yang dinamakan ghibah itu ialah menyebut secara langsung dan terang peribadi orang perseorangan atau suatu kaum atau jemaah dengan langsung dan terperinci.

Termasuk juga dalam ghibah yang diharamkan, seperti umpamanya dikatakan: “Yang melakukan perkara buruk itu ialah orang-orang itu, sebahagian fuqaha, sebahagian orang alim, sebahagian pendakwah, sebahagian orang kampung di hujung sana” Bilamana orang yang diajak bercakap mengetahui, memahami dan mengenali mereka yang disebut itu, maka jadilah ia ghibah.

Begitu juga ghibah yang diharamkan termasuk apabila ada niat untuk menyindir dan menghina seseorang yang ditanyakan. Contohnya apabila ada orang ditanya: “Bagaimana keadaan dan khabar si polan?” Orang itu menjawab: “Semoga Allah mengampuni dan menjadikan kita ini baik” atau “Kita bermohon saja keselamatan daripada Allah” atau “Kita berlindung kepada Allah dari kejahatannya” atau “Semoga Allah memaafkan kita kerana kurang malu” dan sebagainya yang dapat difahami bahawa jawaban itu adalah mengandungi sindiran sinis yang menyatakan kekurangan orang yang ditanyakan.

Inilah di antara contoh-contoh ghibah (umpat) secara tidak langsung, tetapi si pendengar atau orang yang diajak bercakap memahami bahawa maksudnya ialah menyebut kekurangan seseorang itu.

Hukum haram mengumpat bukan hanya terbatas kepada orang yang mengumpat sahaja. Orang yang mendengar atau menyetujui apa yang diumpatkan juga adalah haram hukumnya. Orang yang mendengar seseorang yang mengumpat, wajiblah bagi yang mendengar itu mencegah perkara tersebut jika dia tidak merasa takut terancam olehnya. Jika dia tidak mampu untuk mencegahnya, maka wajib dia mengingkarinya dengan hatinya dan menjauhi atau meninggalkan tempat itu jika dia boleh berbuat begitu. Jika dia mampu menegur dengan kata nasihat atau dapat mengalihkan percakapan tersebut kepada hal-hal yang lain, maka wajiblah dia melakukan perkara itu. Jika dia tidak melakukannya, dia juga turut berdosa.

Apabila seseorang berada di dalam suatu majlis yang sedang berlaku di dalamnya ghibah (umpat) dan dia tidak mampu mencegahnya atau dia sudah cuba mencegahnya, tetapi tidak dihiraukan oleh orang-orang yang berada di majlis itu dan tidak ada jalan baginya untuk meninggalkan majlis tersebut, maka untuknya beberapa jalan keluar. Hendaklah dia berzikir kepada Allah Ta‘ala dengan lidah dan hatinya atau dengan hatinya sahaja atau hendaklah dia berfikir pada perkara lain bagi memalingkan dirinya dari mendengar ghibah yang ada di majlis itu. Dengan demikian tidaklah ada apa-apa (dosa) setelah itu jika dia terdengar percakapan ghibah itu. Jika ada peluang baginya untuk meninggalkan majlis tersebut sesudah itu, maka wajib dia meninggalkan tempat itu selagi mereka tetap melakukan ghibah (umpat). Firman Allah Ta‘ala dalam surah Al- An‘am ayat 68 yang tafsirnya :

“Dan apabila engkau melihat orang-orang yang memperkatakan dengan cara mencaci atau mengejek-ejek ayat-ayat Kami, maka tinggalkanlah mereka sehingga mereka memperkatakan soal yang lain dan jika engkau dilupakan oleh syaitan (lalu engkau duduk bersama mereka), maka janganlah engkau duduk lagi bersama-sama kaum yang zalim isesudah engkau teringat (akan larangan itu).”

Yang terlebih baik bagi seorang Islam itu apabila dia mendengar seseorang mengumpat orang Islam yang lain lebih-lebih lagi orang yang diumpat itu orang yang mempunyai nama baik dan tergolong di kalangan orang baik-baik, maka seharusnya dia melarang perkara tersebut demi mempertahankan kehormatan orang itu. Apabila di akhirat nanti, Allah Ta‘ala pula akan mempertahankan dirinya daripada api neraka sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Darda’ Radhiallahu ‘anhu daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya: “Barangsiapa menolak (melarang) dari (diumpat) kehormatan peribadi saudaranya, nescaya Allah akan menolak (memalingkan) api neraka daripada dirinya kelak di Hari Kiamat.”

(Hadits riwayat Tirmidzi)

Manakala daripada Jabir bin Abdullah dan Abu Thalhah bin Sahl Al-Anshari Radhiallahu ‘anhum, keduanya berkata, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya : “Tidak ada seorang yang menghina seorang muslim di suatu tempat di mana dijatuhkan kehormatannya dan dikurangkan harga dirinya, melainkan pasti Allah akan menghinakannya di tempat di mana dia ingin mendapat pertolongan- Nya. Dan tidak ada seorang yang menolong seorang muslim di suatu tempat di mana dijatuhkan kehormatannya dan dikurangkan harga dirinya, melainkan pasti Allah akan menolongnya di tempat di mana dia sangat mengharapkan pertolongan- Nya.

(Hadits riwayat Abu Daud)

Apabila seseorang telah terlanjur melakukan ghibah (umpat) kepada saudaranya, maka dituntut dengan segera agar dia bertaubat dari dosa itu. Taubat kerana perlanggaran hak Allah (yang wajib dilaksanakan oleh hamba-Nya) adalah dengan tiga syarat iaitu:

1. Menarik diri dari melakukan maksiat ketika itu juga

2. Menyesal dari perbuatan dosa itu

3. Berazam tidak akan mengulangi lagi perbuatan itu

Oleh kerana maksiat ghibah ini menyangkut dengan hak orang lain maka selain tiga syarat di atas ditambah lagi dengan syarat yang keempat iaitu:

4. Mengembalikan sesuatu yang diambilnya secara tidak sah kepada pemiliknya atau meminta maaf dari kesalahannya itu dan memohon supaya dibebaskan dari tuntutan sesuatu itu.

Dari Pejabat Mufti Brunei Darul Salam

25 August 2008 Posted by | Bicara Ulama | , | Leave a comment

   

%d bloggers like this: