Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Berbeza pendapat bukan menghina

Sikap fanatik kepada sesuatu pegangan atau jumud pemikiran boleh menatijahkan beberapa akhlak yang buruk. Antaranya, ia menyebabkan seseorang itu selalu berfikiran negatif terhadap orang yang berbeza pendapat dengannya. Ini seperti menuduh orang yang berbeza pendapat dengannya itu sebagai jahat, musuh dan seumpamanya.

Bahkan lebih buruk daripada itu mereka yang berpenyakit fanatik ini sering cenderung membuat fitnah dan tuduhan palsu kepada orang lain apabila mereka kehilangan hujah dan alasan bagi mempertahankan apa yang mereka pegang. Mereka akan mengada-adakan tuduhan palsu agar orang ramai terpengaruh dan tidak mendengar hujah pihak yang berbeza dengan mereka.

Di Malaysia umpamanya, apabila ada pihak yang menyatakan ‘tiada dalil yang sahih yang menyatakan dikhususkan malam Jumaat untuk membaca Surah Yasin’, maka golongan yang tidak dapat menerima perbezaan ini membuat cerita bohong kepada orang ramai kononnya ‘puak tersebut menyatakan haram membaca Yasin’. Tentu mereka yang terpengaruh dengan tuduhan ini akan marah dengan kenyataan yang seperti itu. Mana mungkin haram untuk membaca Surah Yasin sedang itu salah satu surah dalam al-Quran?! Lihat bagaimana mereka mengubah kenyataan dan fakta sehingga orang menjadi keliru dan bersalah sangka terhadap maksud asal kenyataan.

Demikian juga apabila ada yang membuat kenyataan menyatakan ‘tiada sebarang solat khusus untuk malam Jumaat’. Mereka yang pantang berbeza pendapat itu memberitahu orang ramai ‘puak itu kata haram solat sunat malam Jumaat’. Padahal maksud tiada solat khusus itu ialah tiada solat khas sempena malam Jumaat sahaja, adapun solat-solat sunat yang biasa tiada halangan.

Ini disebut oleh baginda Nabi s.a.w: Jangan kamu mengkhususkan malam Jumaat dengan solat yang berbeza dengan malam-malam yang lain. Jangan kamu mengkhususkan hari Jumaat dengan puasa yang berbeza dengan hari-hari yang lain, kecuali ia dalam (bilangan hari) puasa yang seseorang kamu berpuasa (Riwayat Muslim).

Sikap ini akan terserlah buruknya apabila mereka pantang mendengar pandangan atau kritikan terhadap aliran mazhab yang mereka pegang sekalipun dalam keadaan yang ilmiah.

Ada orang yang marah apabila saya memberitahu pandangan ulama dahulu bahawa tempoh mengandung mungkin sehingga dua tahun, atau empat tahun, atau enam tahun atau lebih daripada itu tiada asas yang kukuh.

Katanya, ‘dia siapa hendak berbeza dengan ulama-ulama dahulu yang lebih alim dan warak?! Dia lebih alim daripada merekakah?!” Padahal soal tempoh paling lama mengandung yang disebutkan itu memang tiada nas yang sahih daripada al-Quran ataupun Sunnah. Sementara yang ada hanyalah andaian beberapa ulama dahulu berasaskan khabar yang mereka dengar dari beberapa wanita. Wanita-wanita itu mungkin tidak berbohong, tetapi sangkaan mereka bahawa mereka mengandung itu tidak benar.

Apatah lagi ketika itu ujian kehamilan (pregnancy test) seperti sekarang belum wujud. Ahli perubatan moden menyatakan tempoh mengandung secara puratanya 266 hari atau sehingga 280 hari. Untuk sampai sehingga dua atau tiga atau empat tahun tidak menepati perkiraan saintifik.

Justeru itu, seorang tokoh saintis muslim Dr. Muhammad ‘Ali al-Bar menyifat kenyataan ahli fekah silam tentang tempoh mengandung sehingga tiga atau empat tahun sebagai riwayat yang khurafat (tiada asas) (lihat: ‘Umar Ghanim, Ahkam al-Janin fi al-Fiqh al-Islami, m.s 74, Beirut: Dar Ibn Hazm).

Apatah lagi dakwaan itu boleh mempunyai kesan yang jelas dalam kehidupan. Umpamanya, dengan berpegang kepada pendapat yang menyatakan tempoh mengandung sehingga empat tahun membolehkan seorang wanita yang kematian suami dan melahirkan anak empat tahun kemudian mendakwa dia mengandung empat tahun anak arwah suaminya. Seterusnya menuntut harta pusaka. Maka pengkajian sains moden patut didahulukan.

Menolak pendapat ulama yang lepas bukanlah bererti menghina mereka, sebaliknya berpegang kepada kajian dan ilmu. Namun golongan fanatik menganggap ini keluar mazhab dan tidak beradab.

Dalam sejarah perkembangan ilmu umat Islam berbeza pendapat dan kritikan ilmiah tidak pernah dianggap sebagai dosa dan jenayah melainkan mereka yang fanatik. Contoh al-Imam al-Zahabi (meninggal 748H) yang merupakan jaguh ilmu hadis yang agung dalam Islam ketika mengulas tentang al-Imam al-Ghazali r.h, beliau menyebut: “Aku katakan: Al-Ghazali adalah imam yang besar, namun bukanlah menjadi syarat seorang alim itu untuk dia tidak melakukan kesilapan”.

Kemudian al-Zahabi mengulas berbagai perkara mengenai al-Imam al-Ghazali, antara katanya: “Adapun kitab al-Ihya padanya ada sejumlah hadis-hadis yang batil. Sekiranya tidak ada padanya adab, cara dan zuhud yang diambil dari ahli falsafah dan golongan sufi yang menyeleweng, padanya ada kebaikan yang banyak.

Memohon

Kita memohon daripada Allah ilmu yang bermanfaat. Tahukah anda apa itu ilmu yang bermanfaat? Ia apa yang dinyatakan al-Quran dan ditafsirkannya oleh Rasulullah secara perkataan dan perbuatan. Sabda Nabi SAW: sesiapa yang berpaling dari sunnahku, maka dia bukan dari kalanganku (Al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala 19/339). Ini bukan permusuhan tetapi tugas kesarjanaan yang dilakukan oleh al-Imam al-Zahabi.

Tokoh ilmuwan besar al-Imam Ibn ‘Abd al-Barr (meninggal 463H) ketika mengulas pendapat tabi’i terkenal Mujahid bin Jabr mengenai maksud ayat 22-23 dalam Surah al-Qiyamah, beliau menyanggahi pendapat Mujahid bin Jabr. Padahal Mujahid merupakan anak murid sahabah ilmuwan besar dalam bidang tafsir iaitu Ibn ‘Abbas. Kata Ibn ‘Abd al-Barr: “Tetapi pendapat Mujahid ini ditolak dengan sunnah yang sabit daripada Nabi s.a.w, perkataan-perkataan sahabah dan mijoriti salaf. Pendapat Mujahid ini di sisi Ahl al-Sunnah adalah pendapat yang ditinggalkan.

Apa yang menjadi pegangan Ahl al-Sunnah ialah yang sabit daripada Nabi mereka mengenai perkara tersebut (maksud ayat berkenaan). Tiada di kalangan ulama melainkan boleh diambil atau ditolak pendapatnya, kecuali Rasulullah SAW” (Ibn ‘Abd al-Barr, Al-Tamhid, 7/157, Morocco: Wizarah ‘Umum al-Auqaf).

Ini bukan bererti menghina Mujahid ataupun gurunya Ibn ‘Abbas.

Bahkan kita dapati dalam sejarah ilmuwan, pandangan sahabat Nabi SAW ada yang dikritik. Bukan tanda benci atau tidak hormat, tetapi tanggungjawab keilmuwaan. Umpamanya al-Hafizd Muhammad bin Tahir al-Qaisarani (meninggal 507H) ketika menceritakan ketokohan sahabat Nabi yang mulia lagi dicintai, ‘Abd Allah bin Mas’ud, beliau mengulas: Sesungguhnya beliau (‘Abd Allah bin Mas’ud) adalah antara tokoh sahabah, jaguh ilmuan dan pemimpin kepada hidayah.

Namun begitu beliau memiliki qiraat dan fatwa yang tersendiri yang disebut dalam kitab-kitab ilmu. Setiap imam itu boleh diambil dan ditinggalkan pekataannya, kecuali imam golongan ahli taqwa, yang benar lagi diakui kebenarannya, yang amanah lagi maksum (Rasulullah) selawat dan salam ke atasnya. Alangkah hairannya, apabila seseorang alim menjadikan agamanya mengikut diri seseorang imam dalam setiap apa yang diucapkan, sedangkan dia tahu wujudnya nas-nas nabawiyyah (sunnah) yang menolak mazhab imamnya.Tiada kekuatan melainkan dengan Allah jua”. (Muhammad bin Tahir al-Qaisarani, Tazkirah al-Huffadz, 1/16, Riyadh: Dar al-Sumai’i).

Dalam dunia ilmu, berbeza pandangan tidak pernah dianggap jenayah. Namun golongan yang fanatik selalu mencari jalan permusuhan dengan mengandaikan sesiapa yang berbeza dengan tokoh tertentu maka dia menghina dan tidak beradab. Selagi pandangan itu diberikan dalam lingkaran ilmu dan perbincangan ilmiah tanpa maki dan cerca, maka itu adalah dunia ilmu yang patut diberikan haknya.

Jangan kerana kita begitu rakus agar semua cakap kita didengari apabila ada orang berbeza dengan kita, dia dianggap musuh. Marilah kita belajar menilai pandangan dan menghormati perbezaan. Berbeza bukan bererti menghina. Kata al-Imam al-Zahabi juga: “Setiap orang boleh diambil dan ditolak pendapatnya, kecuali Rasulullah SAW. Namun jika seseorang imam itu tersilap dalam ijtihadnya, tidak wajar untuk kita melupai kebaikan-kebaikannya dan menutup amalan-amalan makrufnya. Bahkan kita beristighfar untuknya dan memaafkannya” (Al-Zahabi,Siyar A’lam al-Nubala, 18/157).

(Sumber: Dr.Maza)

15/03/2012 Posted by | Bicara Ulama, Politik dan Dakwah, Tazkirah | , , , | Leave a comment

Imam Syafi’i tolak ketaksuban

Al-Imam Muhammad bin Idris al-Syafi’i (150H-204H) merupakan salah seorang tokoh ilmuwan agung yang pernah dilahir oleh sejarah kegemilangan Islam. Beliau sebaris dengan jaguh-jaguh ilmu seperti al-Imam Abu Hanifah, al-Imam Malik bin Anas, al-Imam Ahmad bin Hanbal, Ibn Abi Laila, Abi Thaur, al-Imam al-Auza’i, al-Imam Sufyan al-Thauri dan ramai lagi tokoh-tokoh agung dalam sejarah perkembangan fekah Islam.

Foto Hiasan

Beliau berketurunan Rasulullah saw. Nasabnya bertemu dengan Nabi saw. pada ‘Abd Manaf. Syafi’ bin al-Saib (nenek ketiganya) pernah berjumpa Nabi saw, namun teragak-agak untuk menerima Islam. Adapun al-Saib adalah pemegang bendera Bani Hasyim menentang tentera Islam pada hari peperangan Badr. Beliau lalu ditawan oleh tentera Islam dan telah menebus dirinya sendiri, kemudian menganut Islam. (Ibn Khallikan, Wafayat al-A’yan, 2/312). Telah disepakati bahawa beliau lahir di Ghazzah, sebuah bandar yang berada di selatan Palestin. Bapanya meninggal semasa muda. Maka beliau hidup yatim di bawah jagaan ibunya. Ibunya bimbang gagal mendidiknya, maka ketika beliau berumur dua tahun ibunya memindahkannya ke tempat asal keturunannya iaitu Mekah (Al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala, 10/6). Semasa kecilnya beliau begitu gemar memanah, sehingga berjaya mengatasi saingannya. Kemudian berminat dengan bahasa ‘Arab dan sya’ir, sehingga menjadi pakar dalam bidang tersebut. Selepas itu beliau mencintai ilmu fekah, sehingga mengepalai manusia pada zamannya. (ibid, 10/6.)

Beliau terkenal dengan keikhlasannya terhadap ilmu. Walaupun amat menyayangi gurunya al-Imam Malik bin Anas dan gurunya juga menyayanginya, namun tidak pernah membuat beliau fanatik atau taksub kepada mazhab atau aliran fekah gurunya itu. Bahkan sejarah telah mencatatkan beliau telah menyanggahi pendapat-pendapat al-Imam Malik. Apabila al-Syafi’i datang ke Mesir, pada awalnya dia disambut oleh para pengikut Mazhab Malik kerana dia adalah seorang murid utama al-Imam Malik. Namun lama-kelamaan apabila mereka dapati dia menyanggahi Mazhab Malik mereka meninggal dan membantahnya. Bahkan ada di kalangan mereka yang mendoakan agar Allah mematikannya demi memelihara Mazhab Maliki (Al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala‘, 10/71-72). Namun bagi al-Imam al-Syafi’i nilai taksub ini tiada padanya. Kebenaran lebih dicintai walaupun terpaksa menyanggahi gurunya sendiri. Penghormatan bukan bermaksud mengikuti setiap perkataannya. Kata al-Zahabi: “Tidak syak sesungguh al-Imam al-Syafi’i apabila tinggal di Mesir lalu menyanggahi dan melemahkan beberapa pandangan fekah para ulama semasa dari Mazhab Maliki dengan dalil-dalil al-Sunnah, maka mereka terasa perit kerananya dan mereka menyakitkannya kembali. Berlakulah antara mereka ketegangan. Semoga Allah mengampunkan kesemua mereka…”( Al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala’ , 10/95). Kata Muhammad Abu Zahrah: “Sesungguhnya keikhlasan al-Syafi’i dalam menegakkan kebenaran sentiasa bersamanya sepanjang hayatnya. Sehingga dia menegakkan kebenaran di mana sahaja dia berada. Jika bertembung keikhlasannya itu dengan apa yang menjadi kebiasaan fahaman orang ramai, dia tetap akan menjelaskan pandangan-pandangannya dengan berani. Jika bertembung keikhlasannya kepada kebenaran dengan keikhlasannya kepada guru-gurunya, dia tetap akan mendahulukan kebenaran. Keikhlasannya pada gurunya al-Imam Malik tidak pernah menghalang beliau menyanggahinya selepas beliau teragak-agak untuk mengistiharkannya. Namun setelah sampai berita kepadanya bahawa ada pihak di Andalus yang meminta hujan dengan menggunakan (tawassul dengan) kopiah al-Imam Malik maka dia mengistiharkan bukunya untuk orang ramai. Tujuannya agar mereka tahu bahawa al-Malik adalah manusia yang terdedah kepada salah dan betul.” (Abu Zahrah, Tarikh al-Mazahib al-Islamiyyah, m.s.455).

Fanatik mazhab telah menyebabkan dalam kalangan penduduk Andalus ada yang apabila berlaku kemarau atau kelewatan hujan, maka mereka akan solat istisqa’ (minta hujan) dengan meletakkan kopiah al-Imam Malik di hadapan dan bertawasul dengannya. Bahkan di kalangan pengikut Malik di Mesir ada yang apabila dibaca hadis Nabi saw, mereka menjawab dengan menyebut “berkata imam dan syaikh kami Malik…” Mereka menolak hadis demi membela pendapat imam mereka (lihat: ‘Abd al-Rahman al-Syarkawi, Aimmah al-Fiqh al-Tis’ah,http://www.qudsway.com/Links/ Islamiyiat). Al-Imam al-Syafi’i menulis kitab menjawab pandangan-pandangan al-Imam Malik demi memahamkan pengikut mazhab tersebut bahawa imam mereka tidak maksum.

Penampilannya dengan hujah dan ilmu menjadikan beliau tokoh ilmuwan yang tidak diragui kehandalannya. Bahkan beliau tersenarai dalam kalangan mujaddid yang diiktiraf umat. Namun, seperti biasa setiap tokoh mempunyai penyokong dan musuh. Dalam kalangan musuh dan penyokong itu pula ada yang melampau dan ada yang sederhana. Golongan yang melampau dalam sokongan akan memuji melebihi batasan yang patut. Demikian juga yang memusuhi apabila melampau akan menuduh dan mencipta tuduh yang bukan-bukan. Antara yang melampau memuji menyatakan di kuburnya ada tapak kaki Rasulullah saw menziarahi al-Imam al-Syafi’i. Ini juga beberapa kali disiarkan di stesyen televisyen kita. Sedangkan beliau meninggal dunia selepas hampir 200 tahun Rasulullah wafat. Jika beliau membantah kemelampauan tindakan pengikut al-Imam Malik bin Anas, apakah beliau akan redha dengan dakwaan yang seperti ini?!

Saya agak tertarik dengan ulasan Muhammad Na’im al-Irqususi terhadap riwayat mimpi Abu Ja’far yang menceritakan: “Aku lihat dalam mimpiku Nabi saw dalam masjid baginda di Madinah. Seakan aku datang dan memberi salam kepada baginda dan berkata: “Aku tulis pendapat Malik?. Jawab baginda: Tidak!. Aku bertanya: “Aku tulis pendapat Abu Hanifah?” Jawab baginda: Tidak!. Aku bertanya: “Aku tulis pendapat al-Syafi’i?. Baginda mengisyaratkan dengan tangan baginda begini – seakan baginda mengherdikku- “Kau kata pendapat al-Syafi’i?!! Itu bukannya pendapat, tetapi jawapan kepada sesiapa yang menyanggahi sunnahku”. Al-Irqususi mengulas: “Bila pulak mimpi menjadi hujjah di sisi ahli ilmu?!!. Malik, Abu Hanifah dan selain mereka adalah dari kalangan para imam yang adil lagi dipercayai(thiqah). Mereka berijtihad. Mereka menepati sebahagian besar apa yang mereka ijtihadkan dan tersilap dalam sesetengah perkara. Setiap orang boleh diterima dan ditolak pendapatnya. Maka apa lagi?!! (Siyar A’lam al-Nubala, 10/43). Namun riwayat mimpi seperti ini selalu dijadikan hujah oleh golongan fanatik.

Dalam kalangan fanatik permusuhan kepada imam yang agung ini ada yang menuduhnya sebagai syiah dan beberapa tuduhan yang lain. Sehingga di zamannya beliau ditanggap dan digari. Al-Zahabi (meninggal 748H) menyebut: “Sebahagian manusia mencercanya, namun itu semua menaikkan ketinggian dan kemuliaannya. Ternyata bagi yang mereka yang insaf bahawa ulasan mereka yang menyaingi beliau (al-Syafi’i) mengandungi hawa nafsu. Jarang sekali seseorang yang muncul keimamannya (ketokohan ilmunya) dan menjawab sesesiapa yang berbeza pandangan dengannya melainkan dia akan dimusuhi. Kita memohon perlindungan dengan Allah dari hawa nafsu”. (Siyar A’lam al-Nabala, 10/9).

Bahkan ada yang mencipta hadis palsu kerana fanatik kepada Mazhab Abu Hanifah lalu mencerca al-Imam al-Syafi’i. Disebut dalam hadis palsu itu, kononnya Nabi saw bersabda: “Akan ada dalam kalangan umatku seorang lelaki yang dipanggil Muhammad bin Idris (al-Syafi’i), dia memberi mudarat kepada umatku lebih daripada iblis. Akan ada pula seorang lelaki di kalangan umatku dipanggil Abu Hanifah, dia adalah lampu umatku, dia adalah lampu umatku). Hadis ini direka oleh Makmun bin Ahmad al-Harawi yang hasad dengan perkembangan pengikut al-Imam al-Syafi’i di Khurasan (Al-Sayuti, Tadrib al-Rawi, m.s. 182). Kata al-Jarahi (meninggal 1162H): “Tiada suatu pun hadis sahih mengenai pujian atau cercaan terhadap Abu Hanifah dan al-Syafi’i. Semua yang disebut mengenai hal berkenaan adalah palsu lagi dusta” (al-Jarahi, Kasyf al-Khafa, 2/420). Sementara kisah bohong lain seperti dalam buku al-Rihlah ila al-Rasyid pula memfitnah al-Imam Abu Yusuf dan Muhammad bin Hasan al-Syaibani, dua tokoh dalam Mazhab Abu Hanifah berusaha membunuh al-Imam al-Syafi’i. Demikianlah timbulnya buruk-memburuk disebabkan fanatic mazhab.

Al-Imam al-Syafi’i ialah imam yang mulia seperti para imam tokoh ilmuwan silam yang lain. Mereka tidak maksum, tetapi mereka semua sarjana besar. Kita tidak perlu fanatik kepada mana-mana dalam kalangan mereka, sebaliknya membaca dan cuba memahami penghujahan mereka secara terbuka dan membaca alasan-alasan mereka secara perbandingan. Tidak pernah mereka mengajar untuk kita berkata “siapa tidak ikut mazhab aku maka dia sesat”. Bahkan mereka menggalakkan penerokaan ilmu. Kesemua kemelampauan itu datang dari golongan fanatik yang selepas mereka. Bahkan ramai yang mendakwa mazhab Syafi’i atau Hanbali atau Hanafi atau Maliki, tidak pula meneliti sendiri tulisan dan perkataan imam-imam itu, sebaliknya sekadar mengajuk dakwaan orang lain yang mendakwa demikian. Lalu ada yang menuduh orang lain tidak mazhab Syafi’i hanya kerana menyanggahi pendapatnya, padahal belum tentu pendapatnya itu sama dengan al-Imam al-Syafi’i yang sebenar. Fanatik sentiasa membuta mata ramai orang.

(Sumber: Dr Asri)

14/03/2012 Posted by | Bicara Ulama, Politik dan Dakwah, Tazkirah | , , | Leave a comment

   

%d bloggers like this: