Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Ramai yang jahil hakikat bertunang

Bertunang hakikatnya satu perjanjian persetujuan untuk berkahwin. Apabila kedua-dua belah pihak bersetuju maka satu tanda ikatan dimaterai bersama. Sebagai tanda ikatan pihak lelaki dan perempuan akan saling menyarungkan cincin pertunangan dan ada juga yang memberikan hadiah lain.

Pada pandangan anda, apakah dengan persetujuan ini, sudah ada ikatan rasmi? Atau apakah hubungan mereka sudah semakin bebas?

Bagi memudahkan kita memahami stuasi ini, suka saya membandingkan pertunangan dengan “booking kereta” sewaktu kita bersetuju untuk membelinya di showroom kereta tersebut. Biasanya syarikat kereta itu akan meminta RM500 – RM1000 sebagai wang pendahuluan tanda jadi.

Kalau kereta yang dimaksudkan itu sudah ada di dalam showroom, mungkin proses pembeliannya hanya akan selesai dalam tempoh seminggu. Tetapi kalau belum ada, mungkin sebulan atau lebih bergantung kepada tempahan. Walau bagaimanapun untuk membolehkah kereta itu dikeluarkan, pembeli perlu membayar 10 peratus daripada harga kereta tersebut dan bakinya akan diselesaikan oleh bank. Kemudian apabila kereta itu sudah didaftarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), barulah pembeli itu boleh membawa balik keretanya ke rumahnya.

Ya, berdasarkan proses di atas, bolehkah si pembeli yang baru memberi RM500 atau RM1000 itu, masuk dalam kereta tersebut dan membawa keluar dari showroom? Setahu saya, tidak dibenarkan. Dia hanya boleh masuk untuk duduk dan memegang stering dan mendengar injen sahaja, selebihnya tidak boleh. Tetapi kalau kereta terpakai (usecar), jurujual boleh membenarkannya untuk memandu dengan syarat jurujual itu duduk di sebelahnya.

Bayangkan kalau baru booking kereta, sudah begitu kedudukannya, apa pula hukumnya seseorang yang baru bertunang yang hanya sekadar menyarung cincin pertunangan. Jadi, pertunangan dalam Islam sepatutnya mencontohi proses di atas. Sebab itu dalam Islam tempoh pertunangan tidak digalakkan terlalu lama. Sebenarnya dalam tempoh pertunangan itu terdapat beberapa perkara yang diharuskan.

Antaranya ialah:

1.    Perhubungan pasangan itu hanya boleh dilakukan di rumah perempuan dengan ditemani oleh mahramnya. Ini bermakna, kalau lelaki membawa kakaknya sebagai teman tidak memadai.

2.    Jika lelaki mahu membawa keluar tunangnya, perlulah dibawa bersama ibu atau bapa perempuan itu atau sekurang-kurangnya abang atau kakak perempuan tersebut.

3.    Dalam tempoh pertunangan mereka boleh saling mengenali antara satu sama lain untuk mencari keserasian.

4.    Dalam keadaan apa sekalipun sentuhan baju tunang adalah dilarang apatah lagi menyentuh kulit termasuk tangan.

5.    Tidak digalakkan pasangan tunang itu bermalam dan tidur di rumah pasangan masing-masing walaupun dalam bilik berasingan.

Syariat Dipertahankan

Islam menyediakan peraturan syariat adalah untuk menjaga maruah diri dan keluarga tunang sebelum mereka berdua disatukan. Hakikatnya peraturan ini bukan bertujuan menyusahkan umat Islam. Malah sekatan dalam pertunangan itu boleh menjadikan mereka teruja untuk menunggu tarikh perkahwinan sebenar. Bayangkan kalau pasangan itu sudah hidup seperti suami isteri dalam tempoh pertunangan, apakah mereka akan teruja dengan tarikh tersebut. Pada mereka, tarikh itu tidak penting lagi kerana kehidupan suami isteri sudah pun bermula. Malah jangan terkejut, ada kes seperti ini, yang lelaki bertindak memutuskan pertunangan atas alasan bakal isterinya tidak dara lagi.

Jelas di sini batasan yang dibuat ini adalah untuk keselamatan masa depan pasangan itu. Apa tidaknya, sebelum akad nikah pasangan itu masih suci, tidak ada dosa sentuhan, tidak ada dosa besar sama ada khalwat atau zina, tidak mencemarkan nama baik keluarga dan Islam. Jadi, pada waktu akad nikah mereka berdua adalah orang yang bersih di sisi Allah dan manusia.

Tetapi tahukah anda, jika sesuatu pasangan yang bertunang itu tidak mampu untuk mempertahankan syariat di atas, kehidupan mereka setelah berkahwin tidak begitu harmoni kecuali mereka benar-banar bertaubat sebelum diakadnikahkan. Allah yang maha pengampun bersedia mengampunkan dosa mereka jika mereka serius memohon keampunan kepada Allah.

Oleh: Ustaz Ahmad Baei (http://baei.blogspot.com/2011/03/ramai-yang-jahil-hakikat-bertunang.html)

11/02/2015 Posted by | Fiqh, Ibadah, Informasi, Q & A (Soal Jawab) | | Leave a comment

Batalkan Pertunangan Perlu Ganti Rugi

Putus tunang

Islam menganjurkan perkahwinan supaya hubungan lelaki dengan perempuan menjadi halal. Namun senario yang berlaku pada hari ini, lelaki dan perempuan secara sedar boleh bertepuk tampar malah bebas keluar masuk rumah seperti suami isteri. Apakah mereka mencabar hukum Allah atau tidak mengetahui hukum pergaulan atau mereka menyangka dengan bertunang segala perhubungan sudah menjadi halal.

Sebenarnya Rasulullah SAW secara jelas bersabda: “Sesungguhnya jika salah seorang antara kamu dicucuk kepalanya dengan jarum besi adalah lebih baik daripada menyentuh seseorang yang bukan mahramnya.” (Riwayat al-Imam al-Thabrani dalam al-Mu’jamul Kabir)

Bolehkah anda bayangkan kesan cucukan jarum besi yang sudah tentunya amat pedih. Rasa pedih itu masih Rasulullah katakan sebagai lebih baik berbanding dengan perbuatan menyentuh seseorang yang bukan mahram. Padahal sentuhan bukan mahram tidak sakit berbanding dengan sakit akibat dicucuk jarum. Tetapi, dengan menyentuh pasangan yang bukan mahram kesannya adalah neraka yang pedihnya berganda-ganda.

Memahami mesej daripada hadis di atas, umat Islam wajib elak daripada sentuhan pasangan yang bukan mahram meskipun sudah bertunang. Hal ini kerana pertunangan bukan menghalalkan pergaulan antara mereka tetapi sekadar perjanjian awal untuk membolehkan pasangan itu membuat persiapan awal untuk berkahwin.

Pertunangan dilindungi undang-undang.

Apabila seseorang itu sudah sah bertunang, maka haramlah orang lain untuk meminang si wanita tersebut. Malah haram bagi wali wanita tersebut menerima peminangan orang lain dan membatalkan pertunangan yang pertama. Islam tidak membenarkan amalan ini kerana tindakan itu seperti merampas hak orang lain.

Hadis daripada ‘Uqbah bin Amir menyebut bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Orang mukmin itu adalah saudara bagi mukmin yang lain. Maka tidak dihalalkan bagi seorang mukmin untuk membeli barang yang sudah dibeli saudaranya dan janganlah seorang mukmin meminang di atas pinangan saudaranya kecuali jika pinangan itu telah ditinggalkan.” (Shahih Muslim 2/1034 no.1414)

Jelas di sini sesebuah pertunangan dilindungi undang-undang. Maka mereka yang terlibat tidak boleh sewenang-wenangnya memutuskan atau membatalkan pertunangan itu. Walau bagaimanapun pihak lelaki mahupun perempuan ataupun wali si wanita boleh membatalkannya dengan sebab-sebab yang munasabah dengan syarat dipersetujui bersama.

Oleh sebab itu jika pembatalan yang dibuat kerana terdapat kecacatan pada pasangan atau sebelah pihak mendapati satu pihak lagi tidak seperti yang diharapkan, bolehlah dibatalkan. Itupun jika kedua-dua belah pihak boleh terima alasan tersebut.

Batal tanpa sebab

Pada dasarnya apabila termetrai sesuatu pertunangan, tidak harus dibatalkan. Maka jika ada pihak yang mahu membatalkan pertunangan tanpa sebab-sebab yang munasabah, pihak yang membatalkan itu wajib membayar ganti rugi mana-mana yang membabitkan urusan pertunangan dan perkahwinan.

Mengikut Seksyen 15 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, jika seseorang mengikat suatu pertunangan mengikut hukum syarak, sama ada secara lisan atau secara bertulis, dan sama ada secara bersendirian atau melalui orang perantaraan dan kemudian enggan berkahwin dengan pihak yang satu lagi tanpa sebab yang sah manakala pihak yang satu lagi bersetuju berkahwin dengannya, maka pihak yang mungkir adalah bertanggungjawab memulangkan pemberian pertunangan, jika ada, atau nilainya dan membayar apa-apa wang yang dibelanjakan dengan suci hati oleh atau untuk pihak yang satu lagi untuk membuat persediaan bagi perkahwinan itu, dan yang demikian itu boleh dituntut melalui tindakan dalam mahkamah.

" Seksyen ini dengan jelas membezakan pembatalan pertunangan bersebab dengan pembatalan tanpa sebab yang sah. Pembatalan tanpa sebab yang sah merujuk kepada alasan yang tidak boleh diterima oleh pihak yang satu lagi. Maksud ini dijelaskan lagi dengan ayat seterusnya yang menyatakan bahawa pihak yang satu lagi masih mengharapkan berlaku perkahwinan itu. Jika berlaku keadaan ini, pihak yang ingkar boleh didakwa di mahkamah syariah. Dan jika sabit kesalahan dia wajib membayar ganti rugi perkara berikut:

1.Memulangkan pemberian pertunangan, jika ada.

2.Membayar apa-apa wang yang dibelanjakan dengan suci hati oleh satu pihak untuk membuat persediaan bagi perkahwinan.

Katakanlah pihak yang membatalkan pertunangan ialah lelaki, maka apa-apa pemberian tunangnya yang perempuan seperti cincin, kasut, makanan dan seumpamanya sebagai pemberian balas pertunangan perlu dipulangkan kembali. Manakala jenis makanan yang sudah habis dimakan, perlu dinilai kadarnya. Begitu juga dengan barangan yang sudah haus atau hilang perlu digantikan dengan yang seumpama dengannya.

Keadaan yang sama perlu dilakukan kalau sekiranya pihak perempuan yang membatalkan pertunangan itu. Berdasarkan peruntukan seksyen ini, pihak yang kena batal baik lelaki mahupun perempuan tidak perlu memulangkan segala yang diterima.

Selain itu dalam tempoh pertunangan itu, tentulah pihak perempuan atau lelaki telah membuat persediaan awal demi merealisasikan perkahwinan itu seperti membaiki beranda rumah, membaiki dapur dan membeli katil dan perabot. Malah boleh jadi semakin hampir hari perkahwinan mereka sudah membayar deposit untuk majlis makan, mencetak kad jemputan dan menempah baju serta pelamin.

Semua yang dibelanjakan itu perlu ditaksirkan oleh pihak yang menanggung rugi. Maka pihak yang membatalkan pertunangan itu boleh dituntut untuk membayar segala perbelanjaan yang telah dibuat itu. Malah pihak yang kena batal boleh membuat dakwaan ke mahkamah jika pihak yang membatalkan itu tidak mahu membayar secara rundingan. Namun pihaknya perlu menyediakan bukti dan saksi bagi menguatkan dakwaannya di mahkamah.

Kuasa Mahkamah Syariah

Seperti yang dijelaskan di atas, jika pihak yang memutuskan pertunangan itu mempunyai sebab yang sah dan diiktiraf hukum syarak, maka pihak yang memutuskan pertunangan itu tidak perlu memenuhi kedua-dua keperluan yang diperuntukkan di dalam seksyen 15. Apatah lagi kalau kedua belah pihak bersetuju berdamai dan saling bermaafan.

Tetapi jika salah satu pihak tidak bersetuju dan mahukan keadilan, bolehlah satu pihak mendakwa di mahkamah syariah atas seksyen 15 itu. Hakim akan memutuskan kadar yang perlu dibayar oleh pihak yang mungkir secara adil. Dan pihak yang teraniaya dalam kes ini harus berlapang dada dengan keputusan itu walaupun tidak memuaskan hatinya.

Inilah bidang kuasa mahkamah syariah dalam melindungi umat Islam mengikut enakmen pentadbiran undang-undang keluarga Islam. Oleh sebab itu mahkamah syariah tidak ada kuasa untuk mendengar tuntutan selain daripada di atas. Jadi, ganti rugi kerana rasa dimalukan oleh pihak yang mungkir tidak boleh dibawa ke mahkamah syariah. Hal ini kerana persoalan ganti rugi malu bukan urusan yang dibenarkan agama.

Kita pernah dengar satu pihak menuntut ganti rugi malu kerana tidak dapat meneruskan majlis yang telah diketahui umum. Kononnya bagi menutup malu dituntut jutaan ringgit kepada pihak yang membatalkannya. Tuntutan sebegini tidak akan didengari oleh mahkamah syariah. Jika dia mahu bolehlah menuntutnya di mahkamah sivil, itupun kalau mahkamah tersebut mahu mendengarnya. Perlu dijelaskan di sini bahawa Mahkamah Sivil tidak ada kuasa untuk membicarakan tuntutan berkaitan dengan hal ehwal pertunangan kerana urusan tersebut termasuk dalam urusan agama. Apatah lagi Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan telah mengeluarkan Mahkamah Sivil daripada mempunyai bidang kuasa membicarakan perkara yang Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa ke atasnya.

Jadi, sebagai orang Islam kita wajib mengikut adab dan adat yang terdapat dalam Islam. maka mereka yang bertunang harus berpegang teguh kepada perjanjian dan sebaiknya tidak membatalkan pertunangan. Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, tunaikanlah segala janji-janji kamu….” (Surah al-Ma’idah: 1)

Sungguhpun begitu kalau perlu dibatalkan kerana sebab-sebab yang munasabah lakulah secara suka sama suka, dan berundinglah secara baik. Jagalah akhlak orang Islam semasa bertunang apatah lagi ketika hendak membatalkan pertunangan. Semua pihak perlu mengikut adab sopan yang diajarkan oleh Islam.

Oleh: Ustaz Ahmad Baei

11/02/2015 Posted by | Fiqh, Ibadah, Informasi | | Leave a comment

   

%d bloggers like this: