Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Asal usul kejadian manusia

Manusia diciptakan dari  Nabi Allah Adam a.s.  dan  Adam pula dijadikan oleh Allah s.w.t dari tanah. Hanya Adam a.s dijadikan daripada hakikat tanah manakala manusia dijadikan daripada air mani yang terpancar daripada dua tulang sulbi manusia.

Allah s.w.t telah berfirman dalam Surah Shad: 71-74

“Ingatlah ketika Tuhanmu berfiman kepada malaikat: “Sesungguhnya Aku akan menciptakan manusia dari tanah. Maka apabila telah Ku sempurnakan kejadiannya dan Ku tiupkan roh(ciptaan) Ku: Hendaklah kamu bersyukur dengan bersujud kepadanya. Lalu seluruh malaikat bersujud, kecuali Iblis. Dia menyombongkan diri dan dia termasuk orang-orang yang kafir”

Didalam Surah At-Thariq : 5-7

” Maka hendaklah manusia memikirkan: daripada apakah ia diciptakan? Dia diciptakan dari air (mani) yang memancar (kedalam rahim). Yang keluar dari tulang salbi lelaki dan tulang dada perempuan”

Nabi bersabda:

“Semua kamu berasal dari Nabi Adam dan adam dijadikan daripada tanah”

Menurut riwayat ketika, Allah SWT menitahkan kepada Malaikat Jibril a.s supaya turun ke bumi untuk mengambil sebahagian tanah untuk mencipta Adam a.s, bumi tidak membenarkan tanahnya diambil untuk dijadikan Adam kerana bumi khuatir Adam akan melakukan kemungkaran kepada Allah. Lalu Jibril kembali ke hadrat Allah memberitahu bahawa ia tidak dapat berbuat apa-apa apabila mendengar sumpah bumi.

Setelah itu, Allah memerintah malaikat Mikail pula untuk turun ke bumi bagi mendapatkan tanah sebagaimana Malaikat Jibril. Jawapan bumi tetap sama sebagaimana Jibril lalu Allah memerintahkan pula kepada malaikat Israfil dan jawapan bumi masih tidak berganjak. Masing-masing kembali dengan jawapan yang sama.

Akhirnya, Allah menyuruh malaikat Izrail turun ke bumi. Allah berfirman :

“Hai Izrail! Engkaulah kini yang aku tugaskan mengambil tanah. Meskipun bumi bersumpah-sumpah dengan ucapan, jangan engkau mundur. Katakan bahawa kerjamu atas perintah dan atas nama Ku.”

Apabila Izrail turun ke bumi dan menyampaikan perintah Allah kepada bumi, maka akhirnya bumi mengizinkan tanahnya diambil. Setelah Izrail mengambil beberapa jenis tanah, kembalilah ia kehadrat Allah.

Lalu Allah berfirman lagi:

“Ya Izrail, pertama engkau yang Ku tugaskan mengambil tanah, dan di kemudian hari nanti akan Aku tugaskan engkau mencabut roh manusia.”

Maka Izrail merarasa amat khuatir kerana bimbang akan dibenci oleh umat manusia. Lalu Allah berfirman lagi:

“Tidak, mereka tidak akan memusuhi kamu. Aku yang mengaturnya, dan Aku jadikan kematian mereka itu bersebab antaranya terbunuh,terbakar, sakit dan sebagainya.”

Jenis-jenis Tanah yang digunakan dalam penciptaan Nabi Adam a.s:

Menurut riwayat tanah yang diambil yang digunakan untuk menjadikan adam mempunyai lima jenis warna iaitu putih, hitam, kuning, coklat, dan merah. Oleh yang demikian manusia memiliki berbagai warna kulit. Tanah yang digunakan untuk menjadikan Adam a.s ialah sebagaimana berikut:

  1. Tanah tapak Baitul Maqdis
  2. Tanah Bukit Tursina
  3. Tanah Iraq
  4. Tanah Aden
  5. Tanah Al-Kautsar
  6. Tanah tapak Baitullah
  7. Tanah Paris
  8. Tanah Khurasan
  9. Tanah(Babylon)
  10. Tanah India
  11. Tanah Syurga
  12. Tanah Tha’if

Menurut Ibnu Abbas:

  1. Kepala Adam dari tanah Baitul-Muqaddis kerana di situlah berada otak manusia, dan di situlah tempatnya akal.
  2. Telinganya dari tanah Bukit Thursina, kerana dia alat pendengar dan tempat menerima nasihat.
  3. Dahinya dari tanah Iraq ,kerana disitu tempat sujud kepada.
  4. Mukanya dari tanah Aden , kerana di situ tempat berhias dan tempat kecantikan.
  5. Matanya dari tanah telaga Al-Kautsar,tempat menarik perhatian.
  6. Giginya dari tanah Al-Kautsar, tempat memanis-manis.
  7. Tangan kanannya dari tanah Kaabah,untuk mencari nafkah dan kerjasama sesama manusia.
  8. Tangan kirinya dari tanah Paris , tempat beristinjak.
  9. Perutnya dari tanah Babylon . Disitulah tempat seks(berahi) dan tipu daya syaitan untuk menjerumuskan manusia ke lembah dosa.
  10. Tulangnya dari tanah Bukit Thursina, alat peneguh tubuh manusia.
  11. Dua kakinya dari tanah India , tempat berdiri dan jalan.
  12. Hatinya dari tanah syurga Firdaus, kerana disitulah iman, keyakinan, ilmu, kemahuan dan sebagainya.
  13. Lidahnya dari tanah Tha’if, tempat mengucap Syahadat,bersyukur dan berdoakan kepada Tuhan.

Proses kejadiannya:

  1. Ketika Allah jadikan Adam, tanah-tanah tersebut dicampur dengan air tawar, air masin, air hanyir, angin dan api sehingga menjadi tanah liat kering yang berasal dari lumpur hitam yang diberi bentuk. Kemudian Allah resapkan Nur (cahaya) kebenaran dalam diri Adam dengan berbagai macam “sifat”.
  2. Sesungguhnya tanah yang akan dijadikan “tubuh Adam” adalah tanah pilihan. Maka sebelum dijadikan patung, tanah itu dicampurkan dengan rempah-rempah dan wangi-wangian dari sifat Nur sifat Allah.
  3. Kemudian tubuh itu dibenamkan di dalam air “Kudral-Izzah-Nya” . Lalu terciptalah tubuh Adam yang sempurna.
  4. Demikian pula roh,ketika itu diperintah masuk ke dalam tubuh Adam, ia merasa malas dan enggan, lalu ia berputar-putar, mengelilingi patung Adam yang terlantar. Kemudian Allah menyuruh malaikat Izrail untuk memaksa roh itu masuk. Akhirnya mahu tidak mahu roh itupun masuk dan menyerah kepada Izrail.

Menurut riwayat ketika Adam masih berada di syurga, sangat baik sekali kulitnya. Tidak seperti warna kulit manusia. Kerana Adam telah diturunkan ke dunia, terjadilah perubahan pada warna kulitnya. Sebagai pengetahuan, yang masih tertinggal warnanya hanyalah pada kuku manusia. Oleh itu, meskipun orang kulitnya hitam, tetapi warna kukunya adalah sama, ialah putih kemerah-merahan.

Dijadikan pada tubuh Adam ada sembilan rongga atau liang. Tujuh buah liang dikepala, dan dua buah liang di bawah badan letaknya.

Tujuh buah letaknya adalah:

  1. Di Kepala ialad Dua liang mata, Dua liang telinga, Dua liang hidung dan sebuah liang mulut.
  2. Dibawah ialah Sebuah liang kemaluan dan liang dubur.

Dijadikan pula lima buah pancaindera:

  1. Mata alat penglihatan
  2. Hidung alat penciuman
  3. Telinga alat pendengaran
  4. Mulut alat merasa manis, masin dan sebagainya.
  5. Anggota tubuh lainya seperti kulit, telapak tangan, untuk merasa halus, kasar dan sebagainya.

Setelah Roh masuk ke dalam tubuh Adam, lalu roh itu masuk perlahan-lahan sehingga ke kepalanya yang mengambil masa 200 tahun.

Demikianlah Allah memberi kekuatan pada Izrail untuk memasukkan roh ke dalam tubuh Adam. Setelah roh meresap ke kepala Adam, maka terjadilah otak dan tersusunlah urat-urat sarafnya dengan sempurna. Kemudian terjadilah matanya dan seketika itu matanya terus terbuka melihat dan melirik kekiri, ke kanan dan kebawah di mana pada masa itu bahagian badannya masih merupakan tanah keras. Dilihatnya kiri dan kanan para malaikat yang sedang menyaksikan kejadian dia. Ketika itu dia telah dapat mendengar para malaikat mengucapkan tasbih dengan suara yang merdu dan mengasyikkan.

Kemudian ketika roh sampai kehidungnya lalu ia bersin, serta mulutnya terbuka. Ketika itulah Allah ajarkan padanya ucapan Alhamdulillah. Itulah ucapan Adam pertama kalinya ke hadrat Allah. Lalu Allah berfirman “Yarhamukallah”yang membawa erti: “Semoga engkau diberi rahmat Allah”. Oleh kerana itu jika seseorang itu bersin, menjadi sunat mengucap “Alhamdulillah” dan orang yang mendengarnya disunatkan pula mengucapkan“Yarhamukallah”. Kemudian ketika roh sampai pada dadanya, tiba-tiba saja ia mahu bangun. Padahal sebahagian bawah badannya masih tanah dan keras. Di sini menunjukkan sifat manusia yang suka tergesa-gesa (tidak sabar).

Maka ketika roh itu sampai di bahagian perutnya, maka terjadilah susunan isi perut dengan sempurna. Seketika itu Adam terasa lapar. Kemudian terus roh itu meresap sampai ke seluruh tubuh, tangan, kaki lalu terjadi darah daging dan tulang. Urat-urat berkulit dengan sempurna, yang mana kulit itu kian lama kian cantik dan halus.

Begitulah proses kejadian-kejadian tubuh Adam. Setelah kejadian Adam sempurna sebagai manusia, maka dialah merupakan makhluk manusia yang pertama. Wajahnya cukup cantik, semua malaikat berasa kagum melihat Adam yang begitu menawan. Kemudian Adam diarak oleh malaikat-malaikat selama 100 tahun lalu diperkenalkan kepada seluruh penghuni dari langit pertama hinggalah kelangit yang ketujuh sebelum dibawa ke Syurga tempat mula-mula Adam tinggal.

Siti hawa telah dijadikan oleh Allah dari tulang rusuk kiri nabi Adam ketika berada di dalam Syurga. Ketika mereka telah memakan buah larangan atas pujukan Iblis maka tertanggallah pakaian mereka dan akhirnya di turunkan oleh Allah di bumi. Menurut riwayat nabi Adam turun di India. Tetapi mengikut setengah riwayat di Mekah dan terpisah dengan Hawa. Akhirnya mereka bertemu di Padang Arafah (Padang Perkenalan).

Umur Nabi Adam menurut satu riwayat adalah 930 tahun dan mengikut riwayat yang lain 934 tahun. Ketinggiannya adalah 60 hasta dan ukuran tapak kaki Adam sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibn Kathir ialah 11 jengkal. Siti hawa telah melahirkan anak sebanyak 40 kali dan setiap kali beranak adalah kembar lelaki dan perempuan. Oleh yang demikian mengikut syariat yang ada pada waktu itu maka dibenarkan berkahwin adik beradik tetapi dengan syarat bukan dengan kembar yang lahir sekali.

Wallahualam

Disusun Oleh:
Hj. Khairuddin bin HaiyonPP Bahagian Dakwah (Unit Penerangan dan Penerbitan) JAI S.

23/04/2012 Posted by | Informasi, Tazkirah | , | Leave a comment

Azazil asalnya adalah hamba Allah yang sangat soleh.

Azazil bukanlah malaikat, ia adalah iblis yang asalnya dari golongan jin yang kuat beribadat.

Al-Kahf [50] Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: Sujudlah kamu kepada Adam; lalu mereka sujud melainkan iblis; dia adalah berasal dari golongan jin…

Iblis pada mulanya bernama Azazil dan tinggal di bumi. Azazil adalah jin yang taat kepada Allah. Dia menyembah Allah selama 1000 tahun, lalu Allah swt mengangkatnya ke langit pertama. Di langit pertama, Azazil beribadah menyembah Allah swt selama 1000 tahun. Kemudian dia diangkat ke langit kedua. Begitu seterusnya hingga akhirnya dia diangkat menjadi imam kepada para malaikat. Apa pun perintah Allah kepada malaikat juga adalah perintah baginya, kerana dialah imam para malaikat yang memimpin malaikat.

Azazil adalah imam kepada kepada seluruh malaikat. Ibadahnya kepada Allah banyak. Ada riwayat yang menyatakan Azazil beribadah kepada Allah selama 80,000 tahun dan tiada tempat di dunia ini yang tidak dijadikan tempat sujudnya ke hadrat Allah.

Dalam satu riwayat menceritakan, akan malaikat Israfil melihat yang tersurat di Loh Mahfuz ada tercatat satu suratan berkenaan :

“Adanya satu hamba Allah yang beribadah selama 80,000 tahun tetapi hanya kerana satu kesalahan, maka ibadah hamba itu tidak diterima Allah dan hamba itu terlaknat sehingga hari Kiamat”

Maka menangislah Israfil kerana bimbang makhluk yang tersurat di Loh Mahfuz itu adalah dirinya. Maka diceritakanlah Israfil kepada segala malaikat pengalamannya melihat apa yang tersurat di Loh Mahfuz. Maka menangislah sekelian malaikat kerana takut dan bimbang nasib mereka. Lalu kesemua malaikat datang menemui Azazil yang menjadi imam kepada para malaikat, agar Azazil akan mendoakan keselamatan dunia dan akhirat kepada seluruh malaikat. Azazil pun mendoakan keselamatan di dunia dan akhirat kepada seluruh malaikat dengan doa :

“Ya Allah, Janganlah ENGKAU murka terhadap mereka (para malaikat)”

Malangnya, Azazil lupa untuk mendoakan keselamatan untuk dirinya. Selepas mendoakan kesemua para malaikat, Azazil terus menuju ke syurga. Di atas pintu syurga, Azazil terlihat suratan yang menyatakan :

“Ada satu hamba dari kalangan hamba-hamba Allah yang muqarrabin yang telah diperintahkan Allah untuk membuat satu tugasan, tapi hamba tersebut mengengkari perintah Allah. Lalu dia tergolong dalam golongan yang sesat dan terlaknat”

Lalu Allah Menciptakan Adam a.s., dan memerintahkan malaikat untuk sujud menghormat kepada Adam a.s. Azazil, sebagai imam para malaikat, sepatutnya lebih dahulu bersujud memimpin para malaikat. Tetapi, dia menolak, kerana dia merasa bahawa dirinya lebih baik dari pada Adam. Sementara para malaikat lain terus sujud tanpa dipimpin oleh Azazil.

Bukan sahaja dia enggan sujud, malah sombong dan menjawab kepada Allah :-

Israa [61] Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: Sujudlah kamu kepada Adam; maka mereka sujudlah melainkan iblis; dia berkata: Patutkah aku sujud kepada (makhluk) yang Engkau jadikan dari tanah (yang di adun)?

Keengganan sujud ini berpunca dari hasad dengki iblis@Azazil, yang irihati apabila Allah hendak melantik nabi Adam sebagai khalifah di bumi kerana ia dijadikan dari api sedangkan manusia dijadikan dari tanah yang busuk dan melekat. Ia derhaka kepada Allah, takabbur dan lupa daratan.

Maka terhalaulah Azazil dari syurga. Namanya diubah kepada Iblis. Apabila Iblis diturunkan ke bumi, dia berjanji akan menyesatkan manusia serta keturunannya.

Israa [62] Dia berkata lagi: Khabarkanlah kepadaku, inikah orangnya yang Engkau muliakan mengatasiku? Jika Engkau beri tempoh kepadaku hingga hari kiamat, tentulah aku akan memancing menyesatkan zuriat keturunannya, kecuali sedikit (di antaranya)

(Sumber : nasbunnuraini.wordpress.com di petik dari Kitab Nasbun Nurani)

15/03/2012 Posted by | Renungan & Teladan, Tazkirah | , , | Leave a comment

   

%d bloggers like this: