Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

ILMU DAN ADAB

Ilmu

Semakin berilmu seseorang itu, maka akan semakin tawadhuk sifatnya itu. Seseorang yang berilmu, dia akan beradab dengan ilmu itu sendiri, dia akan beradab dengan orang yang berilmu yang lain juga walaupun mereka itu berlaku perselisih faham dalam berkongsi ilmu.

Dengan konsep ilmu Allah Maha Luas, maka mereka yang berilmu itu tidak akan mudah menyesatkan orang lain hanya kerana berbeza pandangan. Mereka yang mudah menyesatkan atau protes ilmu orang lain, maka mereka sempit akan ilmu.

Belajarlah dengan akhlak mereka yang alim’ seperti al-Imam Syafie, Imam Ahmad ibn Hanbal. Walaupun ada berbeza pandangan namun akhlak diantara mereka dan Mawaddah antara mereka, hormat antara ilmu orang lain tidak berbalah antara satu dengan lainnya.

Sayyidil Al-Habib Ali Zaenal Abidin Bin Abu Bakar Al Hamid

Advertisements

27 May 2015 Posted by | Bicara Ulama, Ibadah, Tazkirah | , | Leave a comment

ADAB

Al-Imam al-Kisaie rahimahullah menceritakan bahawa satu hari beliau menjadi imam di dalam solat dan Khalifah Harun al-Rasyid rahimahullah menjadi makmum di dalam solat tersebut.

Bacaannya sangat mengkagumkan dan sememangnya beliau seorang imam di dalam ilmu al-Quran.

Tiba-tiba al-Imam al-Kisaie tersilap bacaannya yang beliau ungkapkan bahawa kesilapan itu kanak-kanak pun tidak akan melakukannya.

Beliau tertukar daripada ayat { لعلهم يرجعون } kepada { لعلهم يرجعين}.

Setelah selesai menunaikan solat , Khalifah Harun al-Rasyid bertanya dengan penuh adab kepada al-Imam al-Kisaie :

" Bacaan yang kamu baca wahai Imam diambil daripada riwayat mana atau daripada bahasa kaum mana wahai Imam? "

Maka jawab al-Imam al-Kisaie :

" Kuda yang handal juga kadang-kadang tersungkur wahai Khalifah"

Betapa mulianya akhlak orang-orang terdahulu kepada para ulama mereka , Khalifah tidak mengatakan " Kamu Silap" tetapi bertanya dengan penuh adab.

Zaman sekarang, ilmu kurang tetapi kritiknya lebih daripada ahli ilmu. Allahu Allah..

Jauhnya kita dengan zaman tersebut.Semoga Allah mengurniakan kita adab seperti para salaf terdahulu.. Amin ya Rabb.

Wallahualam.

 

(Sumber: Jom Dakwah Bersama Ulama)

1 March 2015 Posted by | Ibadah, Renungan & Teladan, Tazkirah | | Leave a comment

Hati-hati ketika masuki majlis ilmu

    Kelas Agama UKE 2

    Ketika menuntut di Mesir, saya telah dituntut untuk menghormati guru. Malah mungkin sejak kita di bangku sekolah lagi, perkara pertama yang diajar adalah menanam sifat menghormati guru.

    Akan tetapi dalam pengamatan saya baru-baru ini ketika menghadiri majlis ilmu, masyarakat masih kurang peka terhadap perkara-perkara kecil seperti adab memasuki majlis.

    Berikut adalah sifat-sifat yang harus kita ketahui ketika memasuki sebuah majlis ilmu. Ia adalah ringkasan dari kitab berjudul: Tata-tertib pelajar Al-Quran yang dikarang oleh Imam Nawawi (rahimahullah).

  1. Ketika masuk ke majlis ilmu hendaklah dia bersih dari luaran serta dalaman. Jangan lupa untuk bersiwak.

  2. Ketika majlis sudah berlangusng ambillah tempat yang kosong dan jangan melangkah tengkok jemaah yang lain. Duduk dihadapan jika diizin guru.

  3. Sebaiknya memberi salam kepada semua jemaah secara umum dan khusus kepada guru ketika sebelum dan selepas majlis.

  4. Apabila duduk dihapadan, tunjukkan minat untuk belajar dan jangan menoleh atau bermain dengan tangan serta hanfon dihadapan guru.

  5. Bersabar atas segala urusan kita ketika berada didalam majlis seperti rasa susah hati, gembira, sedih, ngantok dan lain-lain yang menyebabkan pengajian bersama guru terganggu.

    1. Sifat kelima ini sangat penting kerana para ulama terdahulu sangat mempraktikkan sifat merendah diri dihadapan guru demi untuk mendapatkan keberkatan ilmu yang berkekalan dunia dan akhirat.

      Ibnu Abbas (radhiallahu anhu) seorang sahabat berkata: Saya dihinakan sewaktu saya menuntut, dan saya dimuliakan sewaktu saya dituntut.

      Saya akhiri dengan sepotong syair yang sangat cantik:

      من لم يذق طعم المذلة ساعة ❖ قطع الزمان بأسره مذلولا

      Sesiapa tidak sanggup bertahan kehinaan sesaat .Hidupnya akan hina disepanjang hayat

      Selamat beramal,

      Shahib Amin mewakili Syukran.com

      7 January 2015 Posted by | Ibadah, Politik dan Dakwah, Tasauf | , | Leave a comment

      BERADAB apabila berhadapan dengan kesilapan ULAMA

      Di dalam menghadapi persoalan semasa, keadaan menunjukkan telah wujud sebilangan golongan yang terlalu bersikap kurang ajar dengan para ulama. Mereka sanggup menghina ulama dengan pelbagai tohmahan disebabkan pandangan ulama itu tidak sependapat dengan mereka.

      Berkata al-Imam al-Hafiz Abu al-Qasim Ibn Syakir:
      Ketahuilah saudaraku! Mudah-mudahan Allah memberikan taufik kepada aku dan kamu untuk mendapat redhaNya serta menjadikan kita orang yang sentiasa takut dan takwa kepadaNya dengan sebenar-benar ketakwaan. Sesungguhnya daging para ulama adalah beracun dan kebiasaannya telah dimaklumi bahawa Allah akan membinasakan orang yang menghina ulama. Sesungguhnya sesiapa yang menggunakan lidahnya dengan mencela / menfitnah para ulama maka Allah akan menurunkan bala kepadanya, iaitu sebelum matinya maka hatinya telah mati terlebih dahulu.

      Oleh itu, saya ingin menyeru umat Islam agar memahami penjelasan ringkas yang cuba saya terangkan ini agar kita tidak terjebak di dalam lembah kerosakan. InsyaAllah.

      Dr. Talaat Afifi di dalam karyanya al-Ulama baina al-Tauqir wa al-Tatawul telah mengariskan beberapa adab ketika berhadapan dengan kesilapan para ulama. Kesimpulannya saya ingin nyatakan seperti mana berikut:

      1. Tidak gopoh menyalahkan ulama.

      Kita perlulah menyelidik terlebih dahulu kenapakah seseorang ulama itu mengeluarkan pendapatnya sedemikian rupa. Selepas diteliti, mungkin terdapat alasan-alasan tertentu yang menyebabkan ulama itu mengatakan sebegitu. Keadaan ini bagi memelihara sikap buruk sangka terhadap ulama sehingga boleh menimbulkan fitnah. Kadang-kala wujud segelintir golongan yang tidak memahami dengan jelas pendapat serta hujah ulama itu, maka mereka terus menyalahkan ulama tersebut, walaupun hakikatnya mereka yang melakukan kesalahan dalam memahami sesuatu perkara itu.

      2. Membataskan kesilapan ulama.

      Jika benar ulama telah melakukan kesilapan, maka kita perlulah membataskan kesilapan ulama itu setakat apa yang menjadi kesilapan itu sahaja dan bukan berlebih-lebihan dalam mengkritiknya. Nukilkan dengan ikhlas kesilapan itu dan menjelaskannya dengan dalil-dalil serta pandangan ulama lain. Pandangan ulama lain perlu diketengahkan memandangkan mereka yang lebih memahami tentang kesilapan seseorang ulama itu.

      Kita perlu sedar bahawa kesilapan ijtihad ulama beroleh satu pahala dan jika berbetulan pula memperolehi dua pahala. Oleh itu, elakkan sikap yang melampau ketika berhadapan dengan kesilapan itu. Kadang-kala jika seseorang terlalu membenci seseorang ulama itu, maka dia menganggap tiada langsung kebenaran yang boleh diambil oleh ulama tersebut. Kesilapan ulama dalam ijtihadnya tidak sedikit pun mengurangkan penghormatan terhadapnya.

      3. Memberi pertimbangan antara positif dan negatif.

      Jika berhadapan dengan kesilapan ulama, kita perlu bertanya diri sendiri, manakah yang lebih baik antara menyebarkan kebaikkan positif atau keburukan negatif? Sesungguhnya terlalu banyak kebenaran dan jasa para ulama jika dibandingkan dengan kesilapan yang mereka tidak sengaja lakukan. Bagaimana pula dengan diri kita yang tidak memberi apa-apa sumbangan terhadap Islam? Bagi mereka yang beriman sudah tentu akan mengambil jalan untuk menyebarkan kebaikkan para ulama dari melaga-lagakan khilaf antara ulama sehingga timbul perpecahan di kalangan umat Islam.

      4. Bukan untuk menandingi ulama.

      Sebilangan golongan mungkin sengaja mencari-cari kesilapan ulama semata-mata untuk menaikkan imej peribadinya di mata masyarakat. Mungkin anggapannya para ulama sebenarnya tidaklah sehebat mana jika dibandingkan dengan dirinya yang boleh menyanggah pendapat para ulama itu.

      Sabda Rasulullah SAW bermaksud: Barangsiapa mencari ilmu untuk menandingi para ulama atau mengalahkan orang-orang jahil atau untuk memusatkan perhatian manusia kepadanya maka orang itu akan dimasukkan Allah ke dalam api neraka.(Riwayat al-Tirmizi). Sabda Rasulullah SAW bermaksud: Barangsiapa mencari ilmu untuk berbangga dengannya akan para ulama atau untuk berdebat dengannya akan orang-orang jahil atau untuk memusatkan perhatian manusia kepadanya maka orang itu di dalam api neraka.(Riwayat Ibn Majah).

       

      KESIMPULAN

      Sebagai umat Islam yang beriman, kita disarankan untuk menghormati para ulama sebagai pewaris para nabi. Penghormatan ini diberikan berdasarkan sabda Rasulullah SAW bermaksud:

      Sesungguhnya ulama itu adalah pewaris para nabi. Para nabi tidak mewariskan dinar dan dirham. Mereka hanya mewariskan ilmu. Maka barangsiapa yang mengambil (warisan ilmu) tersebut ia telah mengambil habuan yang paling sempurna.(Riwayat Ahmad, al-Tirmizi, Abu Daud dan Ibn Majah).

      (Sumber: buluh.iluvislam.com).

      2 March 2012 Posted by | Informasi, Renungan & Teladan, Tazkirah | , , | Leave a comment

         

      %d bloggers like this: