Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Kemuktabaran Faham Ulama Syafii Terhadap Hadis Bidaah

Oleh : Dr Mohd Khafidz Soroni (KUIS)

Oleh kerana mazhab Imam as-Syafii didokong oleh ramai ulama hadis, maka ia menjadi antara mazhab fiqah muktabar ASWJ yang tersebar luas dan dipegang oleh ramai umat Islam di dunia. Nusantara merupakan antara wilayah dalam dunia Islam yang dipengaruhi oleh mazhab Syafii. Sejak sekian abad lamanya, umat Islam Nusantara beramal dengan mazhab Syafii. Para ulama Nusantara juga secara konsisten mempraktikkan kaedah dan usul mazhab Syafii ini. Ini termasuklah kefahaman mereka terhadap konsep bidaah.

Namun, dalam era mutakhir, kefahaman ulama Syafii terhadap konsep bidaah ini mula ‘dikacau’ dan ‘diganggu gugat’ oleh aliran mazhab lain yang dibawa masuk ke Nusantara. Hal ini sewajarnya tidak berlaku jika cara yang digunakan adalah dalam batasan adab berkhilaf pendapat.

Ibaratnya seperti orang luar yang datang masuk ke sebuah kampung, maka tidak sewajarnya dia terus berbuat sesuka hati, menyuruh itu, mengubah ini dan menegur perbuatan orang kampung yang menurut kaca matanya salah dan silap. Orang seperti ini sudah tentu akan dicap oleh mereka sebagai biadap. Apatah lagi jika dia memang jahil tentang tata cara, aturan dan pendekatan yang dipraktikkan oleh penduduk kampung tersebut.

Hadis Tentang Bidaah

Hadis al-‘Irbadh bin Sariyah RA tentang bidaah bukanlah hadis yang tersembunyi bagi para ulama Syafii. Mereka juga bukan jahil tentang pengertian dan maksudnya. Namun, pendekatan mereka dalam memahaminya yang perlu difaham dan dihadam. Kemunculan istilah ‘as-sunnah’ dan ‘al-bidaah’ dalam hadis al-‘Irbadh menjadikan hadis ini cukup penting sehingga Imam an-Nawawi mengkelaskannya dalam kitab al-Arba‘in beliau antara 42 buah hadis yang disebut sebagai (قواعد الدين) “kaedah-kaedah atau dasar-dasar agama”. Matannya:

عن العـرباض بن سارية رضي الله عنه، قال: صَلَّى بِنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ يَوْمٍ، ثُمَّ أَقْبَلَ عَلَيْنَا فَوَعَظَنَا مَوْعِظَةً بَلِيغَةً ذَرَفَتْ مِنْهَا الْعُيُونُ وَوَجِلَتْ مِنْهَا الْقُلُوبُ فَقَالَ قَائِلٌ: يَا رَسُولَ اللَّهِ كَأَنَّ هَذِهِ مَوْعِظَةُ مُوَدِّعٍ، فَمَاذَا تَعْهَدُ إِلَيْنَا؟ فَقَالَ: أُوصِيكُمْ بِتَقْوَى اللَّهِ وَالسَّمْعِ وَالطَّاعَةِ وَإِنْ عَبْدًا حَبَشِيًّا، فَإِنَّهُ مَنْ يَعِشْ مِنْكُمْ بَعْدِي فَسَيَرَى اخْتِلَافًا كَثِيرًا فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الْمَهْدِيِّينَ الرَّاشِدِينَ تَمَسَّكُوا بِهَا وَعَضُّوا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ، وَإِيَّاكُمْ وَمُحْدَثَاتِ الْأُمُورِ فَإِنَّ كُلَّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ وَكُلَّ بِدْعَةٍ ضَلَالَةٌ. وفي رواية: وَإِيَّاكُمْ وَمُحْدَثَاتِ الْأُمُورِ فَإِنَّهَا ضَلَالَةٌ. (رواه أحمد [17144] وأبو داود [4607] والترمذي [2676] وقال: حديث حسن صحيح، وابن ماجه وابن حبان والحاكم وقال: حديث صحيح ليس له علة)

Terjemahan:

Daripada al-‘Irbadh bin Sariyah RA katanya: Pernah suatu hari Rasulullah SAW bersolat dengan kami, kemudian baginda menghadap kepada kami, lalu menyampaikan peringatan yang mendalam kepada kami yang menyebabkan air mata tergenang dan hati-hati menjadi takut, maka (setelah selesai) seseorang bertanya: ‘Ya Rasulullah, seolah-olah ini adalah peringatan untuk mengucap selamat tinggal, maka apakah yang tuan ingin pesan/wasiat kepada kami?’ Lalu Baginda SAW bersabda: ‘Aku berwasiat kepada kamu sekelian supaya bertaqwa kepada Allah, supaya mendengar dan taat, walaupun ia seorang hamba abdi Habasyi (yang diangkat menjadi ketua kamu sekelian). Maka sesungguhnya sesiapa dari kalangan kamu yang hidup sesudahku, ia akan melihat berlaku perselisihan yang banyak, maka hendaklah kamu sekalian mengikuti sunnahku dan sunnah para Khulafa’ al-Rasyidin yang mendapat hidayat (daripada Allah), peganglah dan gigitlah ia dengan gigi geraham kamu. Dan hendaklah kamu sekalian berwaspada/berjaga-jaga daripada (mengadakan) perkara-perkara baru (dalam urusan agama), maka sesungguhnya setiap yang baru itu adalah bidaah, dan setiap bidaah itu adalah sesat’. Dalam satu riwayat: ‘Dan hendaklah kamu sekalian berwaspada daripada perkara-perkara baru, maka sesungguhnya ia adalah sesat’. (HR Ahmad, Abu Dawud, al-Tirmidhi, katanya: Hadith hasan sahih, Ibn Majah, Ibn Hibban dan al-Hakim).

Laras bahasa (siyaq) hadis jelas menunjukkan ianya berkait dengan “kaedah-kaedah atau dasar-dasar agama” sepertimana kata Imam an-Nawawi. Dengan erti kata lain, hadis ini menegaskan bahawa umat Islam wajib mengikuti syariat Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam supaya mereka tergolong sebagai Ahli Sunnah serta memperingatkan mereka agar tidak menyimpang dari syariat baginda SAW yg pastinya menjadikan mereka tergolong sebagai Ahli Bidaah.

Faham Ulama Syafii

al-Hafiz Ibnu Hajar dalam kitabnya Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari turut mengkelaskan hadis ini sebagai kaedah syarak yang umum (قاعدة شرعية كلية). Kata beliau (13/254):

وأما قوله في حديث العرباض: “فإن كل بدعة ضلالة”، بعد قوله: “وإياكم ومحدثات الأمور”، فإنه يدل على أن المحدث يسمى بدعة. وقوله: “كل بدعة ضلالة” قاعدة شرعية كلية بمنطوقها ومفهومها. أما منطوقها فكأن يقال: حكم كذا بدعة وكل بدعة ضلالة، فلا تكون من الشرع لأن الشرع كله هدى. فان ثبت أن الحكم المذكور بدعة صحت المقدمتان وأنتجتا المطلوب، والمراد بقوله: “كل بدعة ضلالة” ما أحدث ولا دليل له من الشرع بطريق خاص ولا عام.

Terjemahan: “Adapun sabdanya dalam hadis al-‘Irbadh: “Maka sesungguhnya setiap bidaah itu adalah sesat” selepas sabdanya: “Dan hendaklah kamu sekalian berwaspada daripada (mengadakan) perkara-perkara baru”, maka ia menunjukkan bahawa perkara baru itu dinamakan bidaah. Dan sabdanya: “Setiap bidaah itu adalah sesat” adalah satu kaedah syarak yang umum dari aspek laras bahasanya dan juga konsepnya. Adapun aspek laras bahasanya, maka seolah-olah dikatakan: Hukum ini adalah bidaah dan setiap bidaah itu adalah sesat, maka ianya bukan daripada syarak kerana syarak itu kesemuanya adalah petunjuk belaka. Maka, jika sabit hukum berkenaan sebagai bidaah, maka sahlah dua mukadimah tadi dan menghasilkan apa (hukum) yang dikehendaki. Dan maksud sabdanya: “Setiap bidaah itu adalah sesat” ialah apa yang diada-adakan, sedangkan tidak ada sebarang dalil baginya daripada syarak, sama ada melalui dalil khas mahupun am”.

Jelasnya, hadis tersebut adalah termasuk kaedah-kaedah umum dalam syarak (القواعد الشرعية الكلية), namun ia tidak termasuk dalam kaedah-kaedah fiqah (القواعد الفقهية). Justeru itu, Imam Taj ad-Din as-Subki (w. 771H) mahupun Imam as-Suyuti (w. 911H) tidak memasukkannya sebagai kaedah-kaedah fiqah di dalam kitab mereka, al-Asybah wa al-Naza’ir. Perkara ini jelas disepakati oleh semua ulama fiqah, khususnya ulama mazhab Syafii.

Justeru, perkara baru yang dianggap bidaah ialah perkara baru yang terkeluar daripada syariat. Adapun perkara baru yang didapati tidak terkeluar daripada syariat, maka ia tidak dianggap sebagai bidaah yang dimaksudkan di dalam hadis tersebut. Kerana itu Imam as-Syafi‘i (w. 204H) membahagikan bidaah kepada dua bahagian, iaitu bidaah yang dipuji (baik) dan bidaah yang dikeji (buruk). Pembahagian ini bukan sebab beliau jahil tentang hadis larangan melakukan bidaah, tetapi kerana keluasan ilmu, ketajaman akal dan kejituan pengamatan beliau terhadap apa yang dimaksudkan oleh baginda Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam.

al-Hafiz Ibnu Hajar dalam kitabnya Fath al-Bari menukilkan (13/253):

قَالَ الشَّافِعِيُّ: “الْبِدْعَةُ بِدْعَتَانِ مَحْمُودَةٌ وَمَذْمُومَةٌ، فَمَا وَافَقَ السُّنَّةَ فَهُوَ مَحْمُودٌ، وَمَا خَالَفَهَا فَهُوَ مَذْمُومٌ”، أَخْرَجَهُ أَبُو نُعَيْمٍ بِمَعْنَاهُ مِنْ طَرِيقِ إِبْرَاهِيمَ بْنِ الْجُنَيْدِ عَنِ الشَّافِعِيِّ. وَجَاءَ عَنِ الشَّافِعِيِّ أَيْضًا مَا أَخْرَجَهُ الْبَيْهَقِيُّ فِي مَنَاقِبِهِ قَالَ: “الْمُحْدَثَاتُ ضَرْبَانِ مَا أُحْدِثُ يُخَالِفُ كِتَابًا أَوْ سُنَّةً أَوْ أَثَرًا أَوْ إِجْمَاعًا فَهَذِهِ بِدْعَةُ الضَّلَالِ، وَمَا أُحْدِثُ مِنَ الْخَيْرِ لَا يُخَالِفُ شَيْئًا مِنْ ذَلِكَ فَهَذِهِ مُحْدَثَةٌ غَيْرُ مَذْمُومَةٍ”. اهـ

Maksudnya:

Kata Imam al-Syafi’i: “Bidaah ada dua bahagian; (bidaah) yg dipuji dan (bidaah) yg dikeji. Maka, apa yang menepati sunnah, maka ia adalah yg dipuji dan apa yang menyalahinya, maka ia adalah yg dikeji”. Abu Nu’aim mengeluarkannya dgn makna yang serupa daripada jalur Ibrahim bin al-Junaid daripada al-Syafi’i. Juga diriwayatkan daripada al-Syafi’i yang dikeluarkan oleh al-Baihaqi dalam kitab Manaqibnya, kata beliau: “Perkara2 yang baharu ada dua jenis; (Pertama) apa yang direka-reka yang menyalahi al-Quran atau sunnah atau athar atau ijmak, maka ini adalah bidaah yang sesat. (Kedua) apa yang direka-reka daripada kebaikan yang tidak menyalahi sedikit pun daripada yg tersebut, maka ini adalah perkara baharu yg tidak dikeji”.

Jelasnya, sesuatu kebaikan atau amalan yang tidak menyalahi al-Quran, sunnah, athar atau ijmak menurut Imam al-Syafi’i adalah harus dilakukan. Perlu diketahui, Imam al-Syafi‘i adalah antara tokoh besar dari kalangan Atba‘ at-Tabi‘in yg sempat melihat cara dan kebiasaan hidup secara amali generasi Salaf yg awal. Maka, sudah tentu beliau memahami bagaimana para ulama Salaf berinteraksi dgn perkara2 baharu dan isu2 bidaah.

Lihat misalnya antara yg dilakukan oleh para sahabat RA:

Bilal RA memulakan solat sunat wuduk setiap kali beliau berwuduk, apabila amalan tsb diketahui oleh Nabi SAW kemudiannya, baginda tidak pula menegurnya agar tidak berbuat begitu lagi. Ada seorg sahabat Nabi SAW yg setiap kali beliau mengimami solat, beliau akan membaca Surah al-Ikhlas pd setiap rakaatnya. Perbuatannya ini tidak dilarang oleh Nabi SAW. Seorg sahabat Nabi SAW pernah mengucapkan ketika beliau bangkit dari rukuk: (ربنا لك الحمد حمداً كثيراً طيباً مباركاً فيه).Khubaib bin ‘Adi RA tlh bersolat sunat dua rakaat sebelum beliau dibunuh. Imam al-Bukhari meriwayatkan: (فكان خبيب هو من سن الركعتين لكل امرئ مسلم قتل صبراً) “Maka, Khubaib merupakan org yg memulakan sunat dua rakaat bagi setiap org muslim yg dibunuh dlm keadaan sabar”.Mu‘awiyah bin Mu‘awiyah al-Muzani RA sentiasa melazimi bacaan Surah al-Ikhlas dlm apa jua keadaan, sama ada berdiri, duduk, berkenderaan atau berjalan kaki hingga jenazahnya tlh disaksikan oleh 70,000 malaikat.Dan pelbagai lagi. (lihat secara luas dlm kitab as-Sunnah wa al-Bidaah oleh as-Sayyid ‘Abdullah Mahfuz al-Haddad Ba‘alawi)

Kalaulah para ulama memahami hadis bidaah itu sptmn zahirnya, nescaya ilmu fiqah tidak akan wujud sbgmn yg kita lihat sekarang. Sbb itu, antaranya Imam an-Nawawi (w. 676H) memahami hadis tsb sbg ‘am makhsus (umum yang dikhususkan). Kata beliau dlm al-Majmu‘ (4/518):

قوله صلي الله عليه وسلم: “كل بدعة ضلالة”، هذا من العام المخصوص لان البدعة كل ما عمل علي غير مثال سبق. قال العلماء: وهى خمسة اقسام واجبة ومندوبة ومحرمة ومكروهة ومباحة. وقد ذكرت أمثلتها واضحة في تهذيب الاسماء واللغات، ومن البدع الواجبة تعلم أدلة الكلام للرد علي مبتدع أو ملحد تعرض، وهو فرض كفاية، ومن البدع المندوبات بناء المدارس والربط وتصنيف العلم ونحو ذلك. اهـ بتصرف يسير

Maksudnya:

“Sabdanya SAW: ‘Setiap yg bidaah itu sesat’. Ini adalah drpd perkara umum yang dikhususkan krn bidaah ialah setiap perkara yg diamalkan yg tidak menurut contoh yg terdahulu. Kata para ulama: Ia ada lima bahagian, iaitu wajib, sunat, haram, makruh dan harus. Aku tlh menyebutkan contoh2nya secara jelas di dlm kitab Tahzib al-Asma’ wa al-Lughat. Antara bidaah yg wajib ialah mempelajari dalil2 kalam utk menolak ahli bidaah atau ateis yg mencabar, dan ianya adalah fardhu kifayah… dan antara bidaah yg sunat pula ialah membina sekolah dan balai, menyusun ilmu dan seumpamanya”.

Oleh krn kata-kata Imam an-Nawawi dlm kitab Tahzib al-Asma’ wa al-Lughat itu lbh terperinci, maka saya bawakan perkataan beliau itu sepenuhnya spt berikut, kata beliau (3/22):

“Bidaah dari segi syarak ialah mengadakan sesuatu yg tidak pernah ada di zaman Rasulullah SAW, dan ianya trbahagi kpd baik dan buruk. Kata Syeikh Imam yg disepakati keimaman, kehebatan dan penguasaannya dlm pelbagai jenis ilmu serta kebijaksanaannya Abu Muhammad ‘Abd al-‘Aziz ibn ‘Abd as-Salam (w. 660H) رحمه الله ورضي عنه di akhir kitab al-Qawa‘id: Bidaah itu trbahagi kpd wajib, haram, sunat, makruh dan harus.

Katanya lagi: Kaedah dlm hal demikian ialah membentangkan bidaah itu kepada kaedah-kaedah syariat. Maka, jika ia termasuk dlm kaedah-kaedah wajib, maka wajiblah ia, atau dlm kaedah-kaedah haram, maka haramlah, atau sunat, maka sunatlah, atau makruh, maka makruhlah, atau harus, maka haruslah.

Contoh-contoh bagi bidaah yg wajib, antaranya: (Pertama) menyibukkan diri dgn ilmu nahu yg dpt difahami melaluinya kalam Allah Taala dan kalam Rasulullah SAW, dan yg demikian itu adalah wajib, krn memelihara syariat itu adalah wajib serta tidak dapat dipenuhi pemeliharaannya melainkan dgn cara yg demikian. Sesuatu yg tidak sempurna perkara yg wajib itu melainkan dgnnya, maka ia adalah wajib (ما لا يتم الواجب إلا به، فهو واجب). Kedua, menjaga kalimah gharib (janggal) al-Quran dan sunnah dari aspek bahasa. Ketiga, membukukan ilmu usul ad-din dan usul al-fiqh. Keempat, perbincangan ttg al-jarh wa al-taadil dan membezakan hadis yg sahih drpd hadis yg lemah. Sesungguhnya kaedah2 syariat menunjukkan bhw menjaga syariat itu adalah fardhu kifayah pd perkara yg merupakan tambahan ke atas perkara yg fardhu ain, dan yg demikian itu semua tidak dpt dipenuhi melainkan dengan apa yg tlh kami sebutkan. Contoh-contoh bagi bidaah yg haram, antaranya: mazhab2 Qadariyyah, Jabariyyah, Murji’ah dan Mujassimah. Manakala menolak hujah-hujah mrk pula adalah trmasuk bidaah yg wajib.Contoh-contoh bagi bidaah yg sunat, antaranya: membina balai-balai dan sekolah-sekolah serta semua perkara kebajikan yg tidak pernah ada di zaman yg awal. Antaranya lagi: solat tarawih (20 rakaat scara berjemaah dgn satu imam), perbicaraan ttg perkara2 tasawuf yg halus serta perdebatan ilmiah. Antaranya lagi: mengadakan forum2 utk menyatakan dalil jika tujuannya itu adalah demi redha Allah Taala.Contoh-contoh bagi bidaah yg makruh, antaranya seperti: mempercantikkan masjid dan memperhiasi mushaf al-Quran.Contoh-contoh bagi bidaah yg harus, antaranya: bersalaman selepas solat Subuh dan Asar. Antaranya lagi: memperluaskan pd perkara-perkara yg sedap dari aspek makanan, minuman, pakaian dan tempat tinggal, memakai selendang dan meluaskan lengan baju.

Boleh jadi terdapat perbezaan pendapat pada sesetengah perkara yang tersebut, iaitu seperti sebahagian ulama menjadikannya termasuk antara bidaah yang makruh, manakala sebahagian yang lain pula menjadikannya termasuk antara sunnah yang diamalkan di zaman Rasulullah SAW dan zaman seterusnya, iaitu sepertimana bacaan isti‘azah dalam solat dan bacaan basmalah. Demikianlah akhir kata-kata beliau (yakni Imam Ibn ‘Abd as-Salam).

al-Baihaqi tlh meriwayatkan dengan sanadnya dlm kitab ‘Manaqib as-Syafi‘i’ drpd Imam as-Syafi‘i رضي الله عنه kata beliau: “Perkara-perkara yang baharu itu ada dua jenis; Pertama, apa yang diada-adakan yang menyalahi al-Quran atau sunnah atau athar atau ijmak, maka ini adalah bidaah yang sesat. Kedua, apa yang diada-adakan daripada perkara kebaikan yang tidak ada khilaf pdnya bagi seorg pun dari kalangan para ulama, maka ini adalah perkara baharu yang tidak dikeji”.

Kata ‘Umar رضي الله عنه mengenai solat qiyam di bulan Ramadhan (tarawih): (نعمت البدعة هذه) “Sebaik-baik bidaah yg ini”, yakni ianya perkara baru yg belum pernah ada, dan apabila berlaku, ianya tidak pun mengandungi sebarang penolakan terhadap perkara yg telah lalu. Demikian akhir kalam as-Syafi‘i رضي الله تعالى عنه. (tamat nukilan Imam an-Nawawi)

Kata-kata Imam Ibn ‘Abd as-Salam itu juga dinukilkan dan diperakukan oleh al-Hafiz Ibn Hajar di dlm kitabnya Fath al-Bari (13/254). Kata beliau juga di bahagian lain (4/253):

والبدعة أصلها ما أحدث على غير مثال سابق، وتطلق في الشرع في مقابل السنة، فتكون مذمومة، والتحقيق أنها أن كانت مما تندرج تحت مستحسن في الشرع فهي حسنة وأن كانت مما تندرج تحت مستقبح في الشرع فهي مستقبحة، وإلا فهي من قسم المباح، وقد تنقسم إلى الأحكام الخمسة.

Maksudnya:

“Bidaah itu asalnya ialah apa yang diada-adakan yang tidak menurut contoh yang terdahulu. Dan ia diungkapkan dari segi syarak sebagai lawan kepada sunnah, maka ianya adalah dikeji. Secara tahkik, sesungguhnya ia jika termasuk antara perkara yang tergolong di bawah perkara yang dipandang baik dari segi syarak, maka ia adalah baik, dan jika ia termasuk antara perkara yang tergolong di bawah perkara yang dilihat buruk dari segi syarak, maka ia adalah buruk. Jika tidak pula, maka ia adalah daripada bahagian harus. Ia juga terbahagi kepada hukum-hakam yang lima”.

Penutup

Ringkasnya, sesuatu perkara yang baru menurut ulama Syafii adalah tertakluk kepada hukum hakam fiqah yang lima. Manakala sesuatu kebaikan atau amalan yang tidak menyalahi al-Quran, sunnah, athar mahupun ijmak ulama menurut mereka adalah dibolehkan dan tidak salah untuk dilaksanakan. Demikianlah kefahaman ulama Syafii terhadap konsep bidaah dan hadis yang berkaitan dengannya. Kefahaman ini jelas merupakan kefahaman yang muktabar yang diterima oleh semua para ulama.

Apa yang lucu, ada seorang Arab yang kononnya mahir dengan bahasa Arab menyatakan bahawa kefahaman terhadap hadis bidaah seperti itu adalah salah dan silap, sambil membebel tentang amalan-amalan khilafiyyah yang diamalkan oleh orang Melayu. Apakah kefahaman bahasa Arabnya itu lebih muktabar daripada kefahaman Imam as-Syafi‘i, Imam al-Baihaqi, Imam Ibn ‘Abd as-Salam, Imam an-Nawawi, al-Hafiz Ibn Hajar dan lain-lainnya رحمهم الله تعالى??? Memang agak lucu, bak kata pepatah: ‘Bagai anjing menyalak bukit, bukit takkan runtuh’.

https://sawanih.blogspot.com/2020/06/kemuktabaran-faham-ulama-syafii.html?m=1

04/06/2020 - Posted by | Bicara Ulama, Hadis, Politik dan Dakwah, Q & A (Soal Jawab)

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: