Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Ahli Hadis Silam dan Moden: Antara Langit dan Bumi

Oleh : Dr Mohd Khafidz Soroni KUIS

1. Terdapat sebuah kelompok Islam kini yang mendakwa mengikut mazhab ahli hadis dan tidak mahu mengikut mana-mana mazhab fiqah muktabar yang sedia ada. Antara alasan mudahnya, ahli hadis silam tidak mengikut mana-mana mazhab fiqah. Mereka juga mahir tentang fiqah, bukan sekadar hadis semata-mata. Dakwa mereka, sesiapa yang mengatakan ahli hadis silam tidak pandai ilmu fiqh adalah tersilap kerana mereka bukan sahaja menukilkan hadis dan menilainya, bahkan mereka juga mementingkan aspek fiqah pada hadis. Misalnya, tajuk-tajuk bab (تراجم الأبواب) dalam Sahih al-Bukhari membuktikan betapa tajamnya pemahaman Imam al-Bukhari (w. 256H) dalam bab fiqah.

2. Hakikatnya, mendatangkan nama al-Bukhari sebagai contoh tidak memberikan isyarat tipikal bahawa kesemua ahli hadis itu adalah sama seperti beliau. Imam al-Bukhari hanyalah salah seorg daripada sebilangan tokoh yang menguasai hadis dan fiqah sekaligus daripada sekian puluhan ribu ahli hadis di zaman itu. Benar, jasa ahli hadis dalam disiplin pengajian Islam memang cukup besar dalam memelihara warisan hadis Nabi SAW. Namun, tidak kesemua mereka mahir dalam aspek istinbat hukum yang lebih dikuasai oleh ahli fiqah.

3. Kelompok tersebut sebenarnya skadar memberikan contoh Imam al-Bukhari atau beberapa imam hadis lain bagi mengharuskan kumpulan mereka tidak mengikut mana-mana mazhab fiqah muktabar yang ada. Walhal perbezaan antara mereka dengan imam-imam hadis itu adalah cukup besar dan jauh ketara, bagaikan langit dengan bumi.

4. Ahli hadis silam hidup dalam persekitaran ilmu yang cukup hebat dan mantap. Ini kerana mereka hidup dalam tempoh yang tidak begitu jauh dari zaman para sahabat radiyaLlahu ‘anhum dan para tabiin radiyaLlahu ‘anhum. Justeru, warisan ilmu daripada mereka, termasuk hadis dan fiqah sudah terjasad dalam persekitaran hidup pada masa itu. Di samping, ada di kalangan mereka yang mencapai tahap ilmu yang lebih tinggi, iaitu sebagai mujtahid. Misalnya:

i. Di Makkah; Imam Sufyan bin ‘Uyainah (198).
ii. Di Madinah; Imam Sa‘id bin al-Musayyib (94), Imam Rabi‘ah ar-Ra’y (136), Imam Malik bin Anas (179).
iii. Di Mesir; Imam al-Laith bin Sa’ad (175), Imam as-Syafi’i (204).
iv. Di Basrah; Imam al-Hasan al-Basri (110).
v. Di Kufah; Imam Ibrahim an-Nakha‘i (96), Imam as-Sya‘bi (103), Imam Ibn Syubrumah (144), Imam Ibn Abi Laila (148), Imam Abu Hanifah (150), Imam Sufyan at-Thauri (161), Imam Syuraik al-Qadhi (177).
vi. Di Baghdad; Imam ‘Abdul Rahman bin Mahdi (198), Imam Abu Thaur (240), Imam Ahmad bin Hanbal (241), Imam Dawud az-Zahiri (270), Imam Ibnu Jarir at-Tabari (310).
vii. Di Naisabur; Imam Ishaq bin Rahawaih (238).
viii. Di Syam; Imam al-Auza‘i (157).
ix. Di Khurasan; Imam Ibn al-Mubarak (181).
x. Di Andalus; Baqi bin Makhlad (276).

5. Dalam persekitaran ilmu sebegitu, maka tidak hairan jika ada yang mengatakan Imam al-Bukhari dan beberapa imam hadis lain juga mencapai tahap mujtahid. Bahkan, dikatakan terdapat lebih 70 mujtahid kesemuanya di dalam tempoh itu. Namun, apabila masuk kurun ke-4 Hijrah dan seterusnya, maka lama kelamaan hanya tinggal empat mazhab fiqah yang muktabar sahaja, iaitu Hanafi, Maliki, Syafii dan Hanbali, yang secara konsisten diwarisi dan dikhidmati oleh para ulama Islam. Manakala yang lain-lain terhenti atau pupus di pertengahan jalan kerana tidak diwarisi dan dikhidmati sebagaimana empat buah mazhab tersebut, termasuklah mazhab Imam al-Bukhari.

6. Justeru, selama berabad-abad kemudiannya, disiplin empat mazhab fiqah muktabar Ahli Sunnah Wal Jama’ah ini dipraktiskan oleh majoriti masyarakat Islam di seluruh dunia kecuali mazhab Imami di Iran, Zaidi di Yaman dan Ibadhi di Oman. Dalam persekitaran ilmu yang diwarisi sedemikian, tiba-tiba muncul dalam era mutakhir ini satu kelompok yang mendakwa mereka kononnya mengikut mazhab ahli hadis silam yang tersebut dan tidak mahu mengikut mana-mana mazhab fiqah muktabar yang telah sedia diwarisi secara sistematik, tersusun, berdisiplin, lengkap, berkaedah dan bersambung sanad itu.

7. Pada fikiran anda, adakah sama antara kedua-dua golongan tersebut, antara ‘ahli hadis’ yang mengikut dan ahli hadis yang diikut?? Adakah sama antara institusi mazhab yang merumuskan petunjuk hadis, baik wajib atau sunat, haram atau makruh, sah atau batal, sempurna atau tidak, harus atau tidak; dengan kelompok anti mazhab yang melihat petunjuk hadis hanya dalam skop sunnah dan bidaah saja, atau sbenarnya mereka hanya menumpang mazhab Hanbali melalui acuan Ibn Taimiyyah, sama ada mereka sedar atau tidak??

8. Sebagaimana ahli hadis dan ahli fiqah silam memerlukan antara satu sama lain, sepertimana kata seorang tokoh hadis, Imam al-A‘masy (w. 148H):

أنتم يا معشر الفقهاء الأطباء ونحن الصيادلة
“Kamu sekalian, wahai para fuqaha’ adalah doktor dan kami pula adalah ahli farmasi” (lihat: Thiqat Ibn Hibban).

Disebabkan doktor mahir merawat pesakit, tetapi mereka tidak memiliki ubat-ubatan. Manakala ahli farmasi pula memiliki ubat-ubatan, tetapi mereka tidak mahir merawat pesakit. Maka saya berpendapat, kondisi mereka pada masa sekarang masih tetap sama, di mana ahli hadis lebih mengetahui jalan-jalan riwayat hadis, namun ahli fiqah pula lebih mengetahui jalan-jalan amali bagi hadis, selain kaedah beramal yang betul dengan hukum hakam syarak. Jelasnya kedua-dua bidang ilmu ini masih saling perlu memerlukan dan lengkap melengkapi. Bukannya dengan hadis saja, sudah cukup segala-galanya, walaupun mengakibatkan suasana caca merba sepertimana yang kita lihat pada masa sekarang.

Wallahu a‘lam.

Dr. Mohd Khafidz Soroni

03/06/2020 - Posted by | Bicara Ulama, Hadis, Q & A (Soal Jawab), Tazkirah |

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: