Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Golongan Menjaja Hadis Dhaif

Dewasa ini ramai golongan yang menjaja bahawa ada golongan yang menjaja Hadis Dhaif. Mereka menyenaraikan hadis dhaif itu sebagai hadis Maudhu’ lalu berkata hadis dhaif itu adalah seringan-ringan hadis maudhuk. Mereka dengan bangganya menyatakan orang yang mengamalkan hadis dhaif itu sebagai penyebar hadis palsu lalu memberi ancaman dengan Hadis Mutawatir “Barangsiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, hendaklah dia menempah tempat di neraka”

Sedangkan Ulamak Hadis mengklasifasikan Hadis kepada Maqbul dan Ghair Maqbul. Lalu Ulamak menyenaraikan Hadis Dhaif itu dalam senarai hadis yang maqbul (boleh diterima pakai di dalam Fadhail Amal, Targih wa Tarhib). Dhaifnya Hadis itu bukanlah disebabkan Zati hadis yang dhaif, Akan tetapi dhaif hanya disebabkan perawi hadis itu diantara sekalian perawi yang yang mungkin mempunyai kecacatan dari segi dhobit dan sebagainya maka dengan sebab itu Ulamak menghukumnya sebagai Dhaif. Di sini saya tampilkan sedikit kaedah mensahih dan mendhaifkan hadis yang masyhur di kalangan Ulamak….

KAEDAH MENTASHIH DAN MENTADH’IFKAN HADIS

Sebenarnya terdapat bidang yang khusus bagi mentashih dan mentadh’ifkan hadis iaitu Ilmu Usul Hadis dan Ilmu Jarh Wa Ta’dil.Walau bagaimana pun di sini disebutkan beberapa kaedah yang diguna pakai Ulamak untuk menentukan status hadis samada sahih ataupun dhaif.

KAEDAH PERTAMA
Setengah orang berpendapat bahawa hadis sahih hanya terkandung di dalam Sahih Bukhari dan Sahih Muslim dan sesetengah orang pula berpendapat sebarang hadis yang tidak terdapat di dalam Sahihain (Bukhari dan Muslim) maka secara lazimnya adalah dhaif dan sama sekali tidak dapat di bandingkan dengan hadis sahihain. Sedangkan pandangan ini adalah sama sekali salah. Sedangkan neraca untuk mengukur samada hadis itu sahih atau tidak ianya bukan diukur samada hadis itu terkandung di dalam sahihain ataupun tidak malah ianya diukur berdasarkan sanadnya. Imam Bukhari Rh.a sendiri menyatakan bahawa aku tidak merangkumkan keseluruhan hadis sahih di dalam kitabku. Oleh itu besar kemungkinan terdapat hadis-hadis yang tidak terkandung di dalam sahihain akan tetapi dari segi kedudukannya adalah lebih tinggi daripada sesetengah hadis sahihain. Contohnya Maulana Abdul Rasyid Nu’maani Rh.a menukilkan setengah riwayat Ibnu Majah di dalam kitabnya “ Ma Tamassa Ilaihil Hajat” yang mana Muhaddisin telah membuat keputusan bahawa sanadnya lebih afdhal daripada sanad Bukhari. Oleh itu hadis yang terkandung di dalam “Bukhari” apa yang di sebut Kitab yang terafdhal selepas Kitabullah adalah berdasarkan Umum hadis dan bukannya beriktibarkan setiap hadis secara berasingan.

KAEDAH YANG KEDUA
Kerja mentashih dan mentadh’ifkan hadis ini merupakan satu kerja yang amat halus dan mereka yang layak untuk menjalankan kerja ini hanyalah mereka yang telah mencapai Kedudukan Ijtihad di dalam bidang Hadis. Hafiz Ibnu Solah Rh.a telah menzahirkan pandangan beliau di dalam “ Muqaddimah” nya bahawa selepas berlalunya 500 Hijrah adalah tidak berhak lagi bagi seseorang pun untuk menentukan sesuatu hadis sebagai sahih atau dhaif dengan penilaian semula. Akan tetapi pendapat beliau telah ditolak oleh Jumhur Ulamak kerana yang haknya untuk menentukan status hadis samada sahih atau dhaif sebenarnya tidak diukur berdasarkan sesuatu zaman yang khas malah ianya dinilai oleh mereka yang pakar dalam bidang hadis dan yang mempunyai Ilmu serta kefahaman yang mendalam yang membolehkan mereka menilai sesuatu hadis itu samada sahih ataupun dhaif. Oleh itu ramai Ulamak yang menceburkan diri dalam bidang ini walaupun selepas 500 Hijrah dan dan dalam masa yang sama ianya mendapat pengiktirafan Umat. Contohnya Hafiz Zahabi Rh.a, Hafiz Ibnu Hajar Rh.a, Allamah Aini Rh.a, Hafiz Sakhawi Rh.a dan Hafiz Iraqi Rh.a. Pada Zaman akhir ini secara ghalibnya ulamak yang mendapat kedudukan ini adalah Allamah Anuar Syah Kasymiri Rh.a.

KAEDAH KETIGA
Kadang-kadang kita dapati dalam satu hadis ulamak berikhtilaf mengenai seorang perawi yang sama. Sebahagian ulamak mentadh’ifkannya dan sebahagian lagi mentausiqkannya (melabelnya sebagai thiqah). Persoalannya pada waktu ini qaul siapakah yang perlu diktibarkan?
Bagi menjawab persoalan ini Maulana Abdul Hay Al Laknowy Rh.a telah membahaskannya secara terperinci di dalam kitabnya “ Al Ajwibah Al Fadhilah” (m/s 161 sehingga m/s 180) yang mana secara kesimpulannya terdapat tiga tarikah untuk mentarjihkan aqwal itu:-

TARIKAH PERTAMA
Jika sekiranya terdapat dua ulamak yang mana salah seorangnya Mutasaahil (bermudah-mudah) di dalam mentashihkan suatu hadis manakala seorang lagi terlalu Muhtaat (berhati-hati) maka pada waktu ini qaul ulamak yang kedua akan diiktibarkan. Contohnya satu hadis telah di tashihkan oleh Hakim Rh.a manakala hadis yang sama telah ditadh’ifkan oleh Hafiz Zahabi Rh.a, maka pada waktu ini qaul Hafiz Zahabi Rh.a akan diiktibarkan.

TARIKAH KEDUA
Sekiranya terdapat dua Muhaddisin yang mana salah seorangnya Mutasyaddid (Keras) dan seorang lagi Mu’tadil (pertengahan) maka pada waktu ini qaul kedua akan diiktibarkan. Contohnya Ibnul Jauzi Rh.a adalah seorang yang mutasyaddid manakala Hafiz Ibnu Hajar Rh.a dan Hafiz Zahabi Rh.a adalah keduanya Mu’tadil. Maka apabila bertembung keduanya, waktu itu qaul kedua Hazrat itu akan diutamakan.
Maulana Abdul Hay Al Lakhnowy Rh.a telah munukilkan dari Hafiz Ibnu Hajar Rh.a bahawa di antara Aimmah Jarh wa Ta’dil mengikut zaman tertentu mempunyai empat Tabqah (generasi). Di dalam tabqah ini Hafiz Ibnu Hajar Rh.a menyatakan diantara Aimmah ini siapa mutasyaddid dan siapa pula mu’tadil.

TABQAH PERTAMA
Syu’bah Rh.a dan Sufyan Thauri Rh.a diantara keduanya Syu’bah adalah lebih mutasyaddid.
TABQAH KEDUA
Yahya Bin Said Qattan Rh.a dan Abdul Rahman Bin Mahdi Rh.a, diantara keduanya Yahya adalah mutasyaddid.
TABQAH KETIGA
Yahya Bin Main Rh.a dan Ali Ibnul Madini Rh.a, di antara keduanya Yahya Bin Main adalah mutasyaddid.
TABQAH KEEMPAT
Ibnu Abi Hatim Rh.a dan Imam Bukhari Rh.a, diantara keduanya Ibnu Abi Hatim adalah mutasyaddid. Oleh itu di mana Hazrat-hazrat ini berselisih di dalam menentukan status seorang perawi, maka qaul mutasyaddid akan ditinggalkan.
Maulana Lakhnowy Rh.a berkata selepas tabqah ini yang dianggap mutasyaddid adalah Allamah Ibnul Jauzi Rh.a, Allamah Juzqani Rh.a, Hafiz Saghani Rh.a, Sahibus Safrus Saadah dan Abul Fattah Azdi Rh.a serta Allamah Ibnu Taimiyyah Rh.a juga dianggap mutasyaddid. Manakala Hafiz Ibnu Hajar Rh.a, Hafiz Zahabi Rh.a, Hafiz Iraqi Rh.a dikira sebagai mu’tadil.

TARIKAH KETIGA
Dengan merenungkan dalil-dalil daripada kedua-dua belah pihak dan dalil yang mana didapati kuat maka qaul itu akan diambil kira. Akan tetapi bukan semua ulamak yang dapat kedudukan ini bagi mengukur dalil kedua belah pihak. Hanya mereka yang mempunyai Kedalaman ilmu di dalam Ilmu Hadis sahaja yang dapat membuat kerja ini. Tarikah ketiga inilah diguna pakai apabila berlaku pertembungan diantara dua muhaddisin yang mu’tadil yakni jika seseorang yang dapat menilai dan mempunyai kebolehan di dalam mengukur kekuatan dalil diantara dua belah pihak, maka dia boleh mentarjihkan salah satu dari dua dalil tersebut.

KAEDAH KEEMPAT.
Proses mentashih dan mentadh’ifkan hadis adalah merupakan satu urusan ijtihadi sepertimana yang telah dijelaskan oleh Muhakkik Ibnu Hummam Rh.a. Oleh itu kemungkinan besar boleh saja berlaku perselisihan di antara para mujtahidin dan di kala berselisih, tidak seorang mujtahid pun boleh dipersalahkan kerana mereka menilai hadis mengikut kepakaran dan ijtihad yang ada pada mereka. Apabila seorang mujtahid mengambil suatu hadis sebagai dalil, bermakna hadis itu disisi beliau adalah boleh dijadikan dalil. Oleh itu kita tidak boleh menjadikan pendapat dari mujtahid yang pertama untuk untuk menyalahkan pendapat dari mujtahid yang kedua bahawa dalilnya tidak boleh dijadikan hujjah. Ini kerana Qaul seorang mujtahid tidak boleh dijadikan hujjah untuk berkhilaf dengan mujtahid yang lain.

KAEDAH KELIMA
Kadang-kadang mutaqaddimin ulamak seperti Imam Abu Hanifah Rh.a misalnya telah sampai kepada beliau satu hadis dengan sanad yang sahih. Akan tetapi dalam hadis yang sama dan sanad yang sama telah datang perawi yang dhaif selepas zaman beliau. Maka ulamak selepas beliau telah melabel hadis tersebut sebagai dhaif. Maka secara zahirnya ulamak selepas zaman beliau tidak boleh menjadikan tadh’if ini sebagai hujjah untuk mengkritik Imam Abu Hanifah Rh.a. Oleh sebab itu tidak semestinya hadis yang dianggap dhaif pada zaman Imam Bukhari Rh.a hadis tersebut juga dhaif pada awal zaman iaitu zaman Imam Abu Hanifah Rh.a.

KAEDAH KEENAM
Hafiz Ibnu Solah Rh.a telah menerangkan di dalam Muqaddimahnya, apabila kita melabelkan sesuatu hadis itu sebagai sahih, maka ianya tidak bermaksud bahawa hadis itu juga sahih pada nafsul amar (hakikatnya). Malah ianya membawa maksud hadis itu telah melepasi syarat yang telah ditetapkan oleh ulamak hadis untuk diklasifikasikan sebagai sahih. Oleh itu secara ghalib zhon (sangkaan yang kuat) juga bahawa hadis tersebut juga sahih pada hakikatnya. Ini kerana untuk menetapkan sesuatu hadis sebagai sahih pada nafsul amar dengan yakin hanyalah dengan kaedah tawatur. Oleh itu pada hadis sahih juga ada kemungkinan terdapat kesilapan dan kesalahan pada nafsul amar kerana kesilapan dan kelupaan mungkin boleh berlaku walaupun pada seorang yang tsiqah ataupun telah berlaku kecelaruan pada seorang perawi. Oleh itu jika sekiranya telah terbukti melalui dalil-dalil yang lain yang lebih kuat bahawa telah berlaku kecelaruan perawi di dalam satu hadis yang sahih maka hadis sahih itu juga akan ditinggalkan. Misalnya terdapat hadis sahih yang lain bercanggah dengan hadis itu atau hadis itu berselisih dengan mana-mana ayat di dalam Quranul Karim .

Begitu juga bilamana kita mengatakan suatu hadis itu sebagai dhaif, maka ianya tidak semestinya juga dhaif atau bersifat dusta pada nafsul amar. Malah ianya membawa maksud hadis itu tidak melepasi syarat yang telah disepakati ulamak hadis untuk menjadikannya sebagai sahih atau hasan sehingga kita layak untuk beriktimad padanya dengan menjadikannya sebagai asas kepada syariat. Ini kerana adalah berkemungkinan besar bahawa seorang perawi yang dhaif menukilkan perkara yang benar disebabkan seorang perawi yang dhaif itu tidak semestinya sentiasa membuat kesilapan. Akan tetapi adalah tidak harus untuk kita beramal hanya bersandarkan kemungkinan ini selagi mana ianya tidak sabitkan dengan dalil-dalil yang kuat. Oleh itu kadang-kadang kita kita jumpai seorang mujtahid yang mempunyai dalil yang kuat dan dengan berasaskan itu beliau mengutamakan hadis yang berkemungkinan dhaif itu sehingga terpaksa meninggalkan hadis yang sahih. Maka pada waktu itu kita tidak boleh menggelarkan mujtahid itu sebagai seorang yang suka mengamalkan hadis dhaif atau seorang yang meninggalkan hadis sahih. Misal dibawah akan menjelaskan lebih lanjut lagi mengenai masalah ini :-
Imam Tirmizi Rh.a telah menulis di dalam “Kitabul Ilal” bahawa dalam kitabku terdapat dua hadis sahih yang mana tidak diguna pakai oleh mana-mana faqeh. Satunya adalah sebuah hadis riwayat Ibnu Abbas r.a:
“Telah menjamakkan Rasulullah saw di antara zohor dan asar dan diantara maghrib dan isyak di Madinah tanpa sebarang (asbab) ketakutan, ataupun sebab hujan.” (Tirmizi Bab Ma Jaa Fil Jam’ak bainas solatain)
Sedangkan hadis ini dari segi sanadnya adalah layak untuk dijadikan dalil.
Hadis yang kedua adalah hadis Amir Muawwiyah r.a.:-

Sabda Nabi saw,” barangsiapa yang meminum khamar, maka hendak merotannya, dan sekiranya dia mengulanginya pada kali keempat, maka hendaklah ia dibunuh.”
Kedua-dua zahir hadis ini telah ditinggalkan pengamalannya secara ijmak ulamak. Ini kerana terdapat dalil lain yang lebih kuat yang menyebabkan ulamak meninggalkan hadis tersebut. Akan tetapi tidak seorangpun dianggap peninggal Sunnah semata-mata meninggalkan hadis ini.

Akan tetapi sebaliknya Ulamak terkadang-kadang mengamalkan hadis dhaif disebabkan dalil-dalil lain yang lebih kuat. Oleh itu dalam bab yang sama Imam Tirmizi Rh.a telah munukilkan riwayat daripada Amar Bin Syuaib Rh.a:

“Dari Amar Bin Syuaib dar ayahnya dari datuknya bahawasanya Rasulullah saw telah menyerahkan anak perempuan Baginda saw Zainab r.anha kepada Abul As Bin Rabi’ dengan mahar yang baru dan dengan nikah yang baru”.
Kemudiannya Imam Tirmizi Rh.a menulis dibawah hadis ini bahawa hadis ini terdapat kritikan ulamak pada sanadnya dan pengamalan adalah keatas hadis ini di sisi Ahli Ilmu. Kemudian berkata ianya adalah qaul Malik Bin Anas dan Auza’ei dan Syafei dan Ahmad dan Ishaq. Maka adakah kita boleh menggelarkan kepada kesemua para Imam Hadis ini sebagai “Pengamal Hadis Dhaif”? Sudah tentu mereka mempunyai dalil-dalil lain yang lebih kuat untuk dijadikan sokongan kepada hadis dhaif ini.

KAEDAH KETUJUH
Sekiranya terdapat mana-mana hadis dhaif yang( muayyad bit ta’amul) yakni amalan Para Sahabat dan Tabien terbukti berdasarkan hadis itu, maka hadis itu adalah layak untuk dijadikan dalil walaupun ianya dhaif (sepertimana yang dijelaskan oleh Imam Al-jassas dalam “Ahkamul Quran” dan ramai di kalangan Muhaddisin dan Usuliyyin). Contohnya hadis “Talak bagi hamba perempuan adalah dua talak dan iddahnya dua haidh” adalah dhaif. Akan tetapi disebabkan (ta’amul), hadis ini adalah layak untuk dijadikan dalil. Oleh itu, Imam Tirmizi menulis di bawah hadis ini : “Hadis ini gharib dan kita tidak mengetahuinya sebagai marfu’ melainkan dari hadis Mazahir Bin Aslam dan Ahli Ilmu di kalangan Sahabat NAbi saw mengamalkan hadis ini. (Tirmizi Jilid 1, Abwabut Talak). Begitu juga dengan hadis “Tiada wasiat bagi waris” dan dan hadis “ Pembunuh tidak boleh mewarisi” kedua-duanya terdapat sanad yang dhaif, akan tetapi disebabkan mendapat penerimaan ulamak menyebabkan ianya layak dijadikan dalil.

KAEDAH KELAPAN
Sekiranya terdapat dua hadis yang layak dijadikan dalil bertembung di antara keduanya, maka sebahagian Fuqaha dan Muhaddisin secara mutlaknya mereka mentarjih (mengutamakan) hadis yang mempunyai sanad yang paling kuat dan menganggapnya sebagai “Asahhu Ma Fil Bab” yang paling sahih di dalam bab demikian. Akan tetapi di sisi Imam Abu HAnifah Rh.a, beliau akan mengutamakan hadis-hadis yang paling menepati Al-Quran dan Usul Syariat samada dari segi sanad ianya kuat ataupun tidak.

(MAULANA TAQI UTHMANI HAFIZAHULLAHU TAALA MUQADDIMAH DARS TIRMIZI)
ABU LAIBAH
MIFTAHUL ULOOM HULU LANGAT

(Sumber asal :https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1003203843042508&id=100000587054606)

09/04/2020 - Posted by | Bicara Ulama, Hadis, Uncategorized |

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: