Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Amalan Penghindar Azab Kubur

AGAMA sering mengingatkan kita agar mencari ilmu sebagai persediaan untuk menyiapkan diri menghadapi saat kita berseorangan di alam barzakh nanti. Rasulullah SAW mengajar kita untuk melakukan beberapa amalan sewaktu hidup di dunia ini yang dapat menghindarkan diri kita daripada terkena azab kubur.

Perkara pertama ialah sentiasa berbuat baik kepada kedua ibu bapa kita dan ia merupakan amalan terbaik untuk mengelakkan diri daripada azab kubur. Malah berbuat baik kepada ibu dan bapa mertua juga merupakan sebahagian daripada tuntutan amalan ini. Rasulullah SAW juga menyebut: “Keredhaan Allah dibawah keredhaan kedua ibu bapa kamu, kermurkaan Allah dibawah kemurkaan kedua ibu bapa kamu.” Beruntunglah mereka yang mengambil kesempatan untuk berbuat baik kepada kedua ibu bapa selagi mereka masih ada.

Amalan kedua ialah membiasakan diri di dalam keadaan sentiasa berwuduk. Kesucian yang ada pada diri seseorang bukan hanya pada zahirnya sahaja, tetapi juga dalam keadaan berwuduk. Amalan ini sering dilakukan oleh Bilal bin Rabah RA, sebagaimana yang terdapat di dalam hadis Rasulullah SAW: “ Aku berjalan di dalam syurga sewaktu peristiwa israk dan mikraj, aku kedengaran telapak kaki yang mengikuti di belakang ku. Kala mana aku berjalan di belakang ku ini, setelah kedengaran bunyi telapak kaki itu, aku bertanya kepada Jibril siapakah yang berjalan di belakang ku ini?. Malaikat Jibril AS menjawab itulah Bilal bin Rabah.” Lalu apabila Rasulullah SAW turun selepas peristiwa israk dan mikraj, Baginda bertanya kepada Bilal, “Amalan apakah yang kamu kerjakan sehinggakan ketika di dalam syurga apabila berjalan kemana-mana sekalipun, kedengaran bunyi tapak kakimu?”. Bilal menjawab tiada amalan yang terbaik dilakukannya. Baginda meminta agar Bilal benar-benar meneliti pekara yang dilakukannya, lalu Bilal memberitahu bahawa dia sentiasa berwuduk dan sentiasa memperbaharui wuduknya sekiranya terbatal, dan selepas itu melakukan solat sunat dua rakaat. Kemudian Rasululullah menyatakan bahawa amalan itulah yang menyebabkan telapak kaki Bilal kedengaran di mana-mana di dalam syurga Allah.

Selain itu, Ustaz Ahmad Dusuki Abd. Rani di dalam slot Mau’izati yang ke udara setiap Khamis jam 5.15 petang di IKIMfm berkongsi amalan ketiga yang perlu dijaga untuk mengelakkan diri daripada azab kubur ialah memperbanyakkan zikir kepada Allah SWT, dan ia juga akan menyebabkan hati kita berada di dalam keadaan tenang. Zikir merupakan nyawa kepada diri selepas berada di dalam kubur nanti. Abu Hurairah RA sentiasa berzikir dan tidak akan tidur selagi beliau tidak menghabiskan zikir Subhanallah, Alhamdulillah, wa La ila haillallah wallahu akbar sebanyak 17,000 kali sehari. Zikir merupakan pelindung kepada diri di dalam menjalani kehidupan seharian seperti zikir sebelum makan, ketika memulakan perjalanan, untuk menjaga ahli keluarga dan sebagainya yang telah disusun oleh para alim ulama’, malah ia merupakan pelindung daripada azab kubur.

Amalan keempat yang perlu dilakukan untuk menghindarkan diri daripada azab kubur ialah dengan memelihara solat dan ia merupakan soalan pertama yang akan ditanya ketika berada di hadapan Allah pada hari akhirat kelak. Rasulullah SAW menyebut: “Sesiapa yang mendirikan solat, dia sudah mendirikan agama pada jasadnya. Mereka yang meninggalkan solat, dia sudah menghancurkan agama yang ada pada dirinya.” Simbol kehambaan diri kita kepada Allah SWT ialah melalui ibadah solat dan orang yang dapat sujud kepada Allah merupakan satu nikmat yang sangat besar kepada dirinya.

Selain itu puasa wajib dan puasa sunat merupakan amalan kelima yang dapat mengelakkan diri seseorang daripada diazab di dalam kubur kerana kita akan disoal berdasarkan apa yang telah kita makan ketika hidup di dunia. Puasa juga akan menjadikan kekenyangan kepada diri ketika berada di alam kubur. Oleh itu adalah digalakkan agar umat Islam mengamalkan puasa pada hari 13, 14 dan 15 mengikut kalendar Islam setiap bulan, puasa setiap hari Isnin dan Khamis atau jika berkemampuan, diajar berpuasa sebagaimana yang diamalkan oleh Nabi Daud AS iaitu selang sehari.

Amalan keenam ialah menyegerakan mandi janabah (mandi wajib), jangan sesekali melewatkan atau menangguhkan untuk melakukannya. Kerana dengan menangguhkannya akan melewatkan diri daripada menunaikan ibadah kepada Allah SWT, dengan segera melakukannya akan membuka peluang kepada kita untuk berada di dalam keadaan yang suci dan dekat kepada Allah. Amalan ketujuh yang dapat menghindarkan azab kubur ialah dengan melaksanakan ibadah haji dan umrah. Ketika melihat orang yang pulang daripada menunaikan ibadah haji, Rasulullah SAW bersabda: “Haji yang mabrur tiada balasan kecuali syurga Allah SWT”. Di dalam hadis lain, Baginda menyebut: “Setiap kali kamu pulang daripada melaksanakan ibadah haji atau umrah, seolah-olah seperti kamu baru lahir daripada kandungan ibumu”.

Seterusnya, amalan kelapan ialah menyambungkan silaturrahim dan jangan sesekali memutuskan pertalian ini dengan bermasam muka sesama kita dan membiarkannya berlarutan selama lebih daripada tiga hari, tiga malam. Rasulullah SAW mengingatkan sesiapa yang meninggal dunia di dalam keadaan dia memutuskan silaturrahim, dia tidak akan masuk ke dalam syurga Allah. Bahkan Baginda berpesan sekiranya ingin memarahi seseorang sekalipun janganlah lebih daripada tiga hari tiga malam. Sesungguhnya setiap daripada orang mukmin itu bersaudara di antara satu sama lain.

Amalan kesembilan yang dapat menghindarkan diri daripada diazab ialah dengan melakukan sedekah. Jadikan hidup kita di dunia dalam keadaan suka menginfaqkan harta dan menggunakan peluang rezeki yang dikurniakan kepada kita ke jalan Allah. Lebih hampir seseorang dengan kematian, seharusnya lebih banyak harta yang disedekahkan. Seterusnya, amalan kesepuluh yang perlu dilakukan ialah amal makruf nahi mungkar iaitu mengajak orang lain untuk melakukan kebaikan dan mencegah orang daripada melakukan kemungkaran. Ibnu Abbas menyebut: “Ada tiga amalan yang mesti diikuti dengan setiap satu amalan itu. Jika tidak dilakukan satu daripada amalan itu, maka ia tidak akan dipandang dan tidak diterima disisi Allah. Iaitu taat kepada perintah Allah dan pada masa yang sama taat kepada kedua ibu bapa dan kedua ialah amal makruf mesti disertai dengan nahi mungkar, dan ketiga kamu diajar supaya mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat.”

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 17 Disember 2015

03/01/2020 Posted by | Tazkirah | | Leave a comment

   

%d bloggers like this: