Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Adakah Mati Kemalangan Jalan Raya Syahid?

Mematuhi peraturan lalu lintas suatu ibadat

ULAMA memberikan pelbagai pandangan mengenai orang yang terbunuh di jalan raya. Pada dasarnya ia bergantung kepada sebab berlakunya kejadian itu. Adakah ia disebabkan oleh kecuaian pemandu atau menjadi mangsa kecuaian orang lain. Di sini boleh dibahagikan masalah ini mengikut perspektif Islam.

Pertama, terbunuh dalam kemalangan jalan raya disebabkan kecuaian sendiri seperti memandu laju melebihi had yang dibenarkan dan dalam keadaan yang membahayakan atau memandu dalam keadaan mabuk.

Kebanyakan ulama berpendapat perbuatan demikian mengundang bahaya yang boleh dikategorikan sebagai mencampakkan diri ke arah kebinasaan sebagaimana firman Allah bermaksud: “Janganlah kamu korbankan dirimu dengan tanganmu ke arah kebinasaan.” (Surah al-Baqarah, ayat 195)

Rasulullah bersabda seperti diriwayatkan Thabir Dhuhak, maksudnya: “Sesiapa yang membunuh diri sendiri dengan sesuatu benda, nescaya Allah azabkannya dalam neraka jahanam nanti dengan benda itu.”

Mengikut Sahih Muslim, Abu Hurairah menceritakan bahawa Rasulullah bersabda bermaksud: “Sesiapa yang membunuh diri dengan besi, maka dengan besi itulah dia menikam dirinya dalam neraka jahanam selama-lamanya, sesiapa yang meminum racun sehingga mati nescaya dia akan meminum racun dalam neraka jahanam, sesia-pa yang terjun bukit dan mati, nescaya dia akan terjun di dalam neraka kekal selama-lamanya.”

Berdasarkan keterangan ini menunjukkan bahawa orang yang terkorban di jalan raya disebabkan kecuaian dirinya ketika memandu adalah berdosa dan ada ulama yang menganggap orang yang mati sedemikian adalah boleh dihukum membunuh diri dan berdosa besar kepada Allah.

Berpandukan hadis di atas, Rasulullah yang menyebut sesiapa membunuh diri dengan besi, Allah akan azabkannya di akhirat kelak dengan besi itu.

Malah di Arab Saudi pernah dikeluarkan fatwa mengatakan bahawa orang yang terkorban dalam kemalangan jalan raya disebabkan kecuaiannya adalah dianggap membunuh diri dan berdosa besar.

Oleh itu, pemerintah dan pihak berkuasa Arab Saudi mengingatkan remaja bahawa mereka akan masuk neraka sekiranya terkorban di jalan raya disebabkan kecuaian mereka sendiri ketika memandu kenderaan.

Kedua, sekiranya seseorang pemandu yang cuai itu hanya cedera parah atau cedera ringan, sedangkan orang yang menjadi mangsa langgar, mati di dalam kemalangan itu adalah termasuk dalam hukum membunuh dan berdosa besar.

Perkara ini dijelaskan Rasulullah dalam hadisnya: “Jauhilah kamu tujuh perkara yang membinasakan. Sahabat bertanya: Apa dia ya Rasulullah? Sabda Rasulullah: ialah syirik kepada Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan Allah kecuali dengan benar, memakan harta anak yatim, makan riba, lari dari medan peperangan dan menuduh perempuan yang baik dengan zina.”

Kerana itu terbunuh di jalan raya akibat kecuaian orang lain seperti menjadi mangsa pemandu mabuk atau mangsa langgar lari, kebanyakan ulama mengklasifikasikan mati sedemikian adalah mati syahid dunia selain mati kerana wabak penyakit, mati terbakar, mati sakit dalam perut, mati lemas dan mati tertimbus.

Ulama juga mengkiaskan bahawa mati terbunuh dalam kemalangan jalan raya, di kilang industri dan jatuh kapal terbang dan seumpamanya adalah termasuk dalam mati syahid.

Perlu dijelaskan di sini bahawa mati syahid dunia akibat kemalangan jalan raya ini bukanlah merangsangkan lagi individu atau masyarakat untuk berkorban di jalan raya dengan harapan boleh masuk syurga dan terlepas daripada azab kubur dan azab neraka.

Anggapan sebegini adalah salah kerana dimaksudkan mati syahid di sini ialah keadaan mati itu ngeri dan menderita sebelum menghembuskan nafas dan kerana itulah dinamakan syahid dunia, tetapi bukan syahid dunia dan akhirat seperti gugurnya pejuang Islam di medan perang untuk menegakkan kalimah Allah.

Tetapi orang yang mati syahid dunia ini bergantung kepada amalan masing-masing ketika hidupnya iaitu adakah mereka beriman dan melakukan amalan soleh sepanjang hayatnya. Janji dan pembalasan Allah adalah bergantung kepada keimanan dan amalan seseorang.

Jadi jelaslah bahawa keadaan mati seseorang itu bergantung ketika apa yang dilakukan ketika hidup sama ada baik atau sebaliknya. Oleh itu, sebagai seorang Islam hendaklah melaksanakan segala suruhan Allah dan menjauhi segala laranganNya.

Di antara suruhan Allah ialah berdisiplin di jalan raya, mematuhi segala peraturan lalu lintas yang digubal khas untuk menjamin keselamatan pengguna jalan raya, menghormati dan bertolak ansur serta sentiasa ingat kepada Allah kerana memandu itu adalah ibadat.

Setiap gerakan tangan, mata dan pemikiran kita mendapat pahala daripada Allah selama mana hati kita sentiasa ingat kepada Allah.
Sumber

Sumber

14/11/2019 Posted by | Bicara Ulama, Q & A (Soal Jawab), Tazkirah | , | Leave a comment

   

%d bloggers like this: