Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Hukum Sambut Maulidurrasul

“ALLAH SWT berselawat ke atas Muhammad,” sering kita lafazkan sama ada dalam bentuk selawat mahupun qasidah yang mengandungi ucapan itu, sekali gus menunjukkan betapa agungnya cinta Allah SWT terhadap pesuruh-Nya itu.

Martabat Rasulullah SAW di sisi Allah SWT amatlah tinggi sehingga Baginda digelar kekasih Allah tetapi sejauh mana kita menghayati dan menjiwai cinta terhadap Junjungan Nabi Muhammad SAW?

Oleh itu, antara tanda dalam memuliakan Rasulullah SAW ialah menganjurkan Maulidur Rasul yang menjadi pengisian kerohanian amat baik kerana sekurang-kurangnya mampu mengingatkan setiap umat Islam supaya menjadikan Baginda sebagai panduan mengisi keperluan duniawi dan mengejar akhirat.

Selain selawat dan puji-pujian ke atas Nabi Muhammad SAW, majlis Maulidur Rasul memberikan ilmu dan maklumat berguna kepada masyarakat apabila diisi dengan tausiyah atau ucapan oleh alim ulama serta pendakwah mengenai sirah dan sunnah termasuk doa untuk meraih keberkatan dan dilimpahi rahmat Allah SWT.

Pendakwah bebas, Habib Nael Ben Taher, berkata tujuan utama menyambut Maulidur Rasul adalah menyemai dan menyuburkan rasa bersyukur kepada Allah SWT terhadap nikmat pengutusan Nabi Muhammad SAW kepada kita.

“Jika ada pihak yang mengatakan sambutan Maulidur Rasul sekadar budaya, maka sesungguhnya ia sebaik-baik adat dan budaya. Sehingga saat ini, begitu banyak negara yang menyambut Maulidur Rasul sejak turun-temurun di seluruh dunia seperti Indonesia, India dan Mesir.

“Tujuannya adalah untuk menggerakkan semangat dan menyemai cinta serta rindu yang sejati kepada Rasulullah SAW. Ini kerana jika kita sentiasa ingat kepada Rasulullah SAW, kemuliaan itu akan kembali kepada kita sendiri kerana Baginda sebenarnya sudah dimuliakan, dicintai dan dirindui Allah SWT,” katanya kepada Ibrah di sini.

Beliau yang juga Pembimbing Majlis Rasulullah SAW Malaysia berkata, orang pertama menyambut Maulidur Rasul adalah Baginda sendiri. Ini kerana ada orang bertanya kepada Nabi SAW mengenai kelebihan puasa Isnin, Baginda bersabda: Hari Isnin adalah hari aku dilahirkan, hari aku diutuskan menjadi rasul dan hari al-Quran diturunkan kepadaku.” (HR Muslim)

“Menurut ulama, Rasulullah SAW yang mengikatkan hari kelahirannya sendiri dengan kesyukuran kepada Allah SWT, iaitu dengan melaksanakan ibadat puasa. Justeru kita perlu mengagungkan hari kelahirannya kerana Baginda sendiri bersyukur dan menyambut dengan ibadat yang mulia,” katanya.

Habib Nael berkata, Imam Ibnu Kathir menerusi kitabnya Al-Bidayah Wa An-Nihayah menjelaskan antara sambutan terawal Maulidur Rasul dibuat oleh Raja al-Muzaffar yang menganjurkannya pada Rabiulawal dengan membuat perhimpunan secara besar-besaran.

“Beliau membelanjakan sebanyak 300,000 dinar setiap tahun untuk menyambut Maulidur Rasul di Ibril yang terletak berdekatan Syam, bermula 604 Hijrah hingga dihadiri rakyat yang datang dari segenap tempat.

“Raja al-Muzaffar dikatakan seorang alim, adil dan sanggup mengeluarkan hartanya dengan begitu banyak demi menyambut Maulidur Rasul kerana baginda mengetahui keagungan Nabi Muhammad SAW dan jasa terhadap umatnya yang kalau dikeluarkan seluruh harta dunia sekalipun tidak akan mampu membalas jasa itu,” katanya.

Susulan itu, kata Habib Nael, Maulidur Rasul disambut pada setiap zaman dan kawasan sehingga ulama menulis dan menghasilkan pelbagai kitab Maulid yang terkemuka.

Antaranya Maulid Ad-Daiba’i, Maulid Dhiya Ulami’ dan Maulid Simtut Durar yang mengandungi ayat al-Quran, hadis, sirah, syair dan doa munajat serta selawat kepada Rasulullah SAW.

Mengulas tanggapan sesetengah pihak yang melabel majlis Maulidur Rasul menyimpang daripada syariat Islam. Habib Nael berkata, majlis sedemikian tidak terkeluar sama sekali daripada ajaran Rasulullah SAW.

“Dalam majlis ini, ada bacaan al-Quran, hadis Nabi, zikir, berselawat, bacaan sirah Nabi dan tausiyah daripada ulama mengenai Rasulullah SAW serta peringatan selain berdoa.

“Bukankah semua ini perkara mulia dianjurkan Rasulullah SAW. Selagi majlis itu tidak bercampur dengan perkara yang diharamkan dalam islam, maka ia dibolehkan serta mendapat pahala atas segala kebaikan yang kita lakukan seperti yang ditegaskan Imam Ibnu Hajar, Imam Suyuti dan Ibnu Taimiyyah.

“Sekiranya majlis seumpama itu mengandungi perkara diharamkan, maka sudah tentu hukumnya adalah haram,” katanya.

Bagi pencinta Rasulullah SAW, Habib Nael berkata, mengingati Maulidur Rasul adalah wajib berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah SWT dan malaikat-Nya berselawat ke atas Nabi. Wahai orang beriman, berselawatlah kamu ke atas Nabi dan ucapkanlah salam kepadanya.” (Al-Ahzab:56).

“Kita meyakini Nabi Muhammad diutuskan sebagai rahmat kepada seluruh alam seperti yang jelas dalam al-Quran, maka Allah SWT memerintahkan kita bergembira dengan rahmat-Nya. Orang yang gembira terhadap nikmat Allah akan mudah bersyukur kepada-Nya.

Habib Nael berkata, Imam Ghazali dalam kitab Ihya Ulumuddin menyatakan antara ubat penyakit ujub ialah gembira atas pemberian Allah SWT.

“Jika kita gembira dan berkata, ‘Ya Allah, segala puji-pujian kepada-Mu kerana melalui Nabi Muhammad SAW, kami dapat membaca al-Quran, menunaikan solat dan mengetahui bagaimana cara mendekatkan diri dan mencintai-Mu, sekali gus mempelajari bagaimana berakhlak mulia.’

“Bukankah hal ini akan menambahkan kesyukuran kepada hati sehingga dapat mengubati penyakit hati seperti sombong dan berbangga dengan amalannya sendiri atau ujub itu,” katanya.

Sementara itu, pendakwah, Amaluddin Mohd Napiah, berkata Maulidur Rasul bukan perayaan biasa sebaliknya sambutan majoriti kaum Muslimin di seluruh pelusuk dunia untuk menyatakan perasaan syukur kepada Allah dan melahirkan rasa gembira atas kelahiran serta keputeraan Nabi Muhammad SAW.

“Malah di sesetengah negara, sambutan ini berlangsung dari awal hingga akhir Rabiulawal dalam rangka menghayati dan menghidupkan sunnah.

“Tidaklah bermakna kita tidak mencintai Nabi Muhammad SAW pada bulan lain kerana setiap masa kita dituntut agama untuk berbuat demikian tetapi kemuliaan Rabiulawal yang dinisbahkan kepada kelahiran Rasulullah SAW ditunggu-tunggu dan membawa cahaya, sekali gus umat Islam menzahirkan rasa syukur tidak terhingga kepada Allah SWT,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, kelahiran Nabi Muhammad SAW disebut-sebut jauh lebih awal daripada kelahiran Baginda yang termaktub dalam dalam kitab terdahulu seperti Injil dan Taurat bahawa akan ada penutup nabi yang lahir dengan pelbagai ciri serta petanda.

“Jadi, kelahiran Nabi Muhammad menjadi berita gembira yang ditunggu oleh kaum yang masih beriman di antara masa jahiliyah yang menimpa, malah Baginda seolah menjadi cahaya terang-benderang dalam kegelapan pada era jahiliyah.

“Imam Ahmad RA meriwayatkan hadis dari al-Irbadh ibnu Sariyah as-Sulami, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Aku berada di sisi Allah dalam Ummul Kitab, penutup Nabi dan Adam masih dalam bentuk tanah serta aku akan menjelaskan takwilnya kepada kalian: “Aku adalah doanya ayahku Ibrahim, berita gembira Isa kepada kaumnya, mimpi ibuku yang melihat cahaya keluar darinya menerangi istana Syam, demikian juga ibu sekalian Nabi melihat peristiwa yang sama.” (HR al-Hakim)

Amaluddin berkata, antara hujah ulama mengharuskan majlis Maulidur Rasul ialah kenyataan dikeluarkan mantan Mufti Mesir, Syeikh Muhammad Bakhit al-Muti’i.

“Beliau berkata, setiap apa yang dijadikan ketaatan dan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT yang tidak ditentukan syariat (Allah) waktu dan tempat tertentu maka boleh bagi setiap mukallaf untuk melakukannya.

“Begitu juga setiap yang tidak termasuk dalam larangan umum atau khusus daripada syariat, maka hukumnya adalah harus. Apa yang selainnya (yakni ada larangan) adalah bidaah yang haram atau makruh. Maka wajib untuk menghindarinya dan menghalangnya,.

Bahkan, ilmuwan Islam, bekas Sheikh al-Azhar, Sheikh Abdul Halim Mahmud memetik hadis Rasulullah SAW yang bersabda: “Sesiapa yang melakukan sunnah yang baik, maka dia mendapat pahalanya dan pahala orang yang beramal dengannya. Sesiapa yang melakukan sunnah yang buruk, maka dia menanggung dosanya dan dosa sesiapa yang beramal dengannya.” (HR Muslim)

Menurut Sheikh Abdul Halim, peninggalan salafussoleh (generasi tiga abad pertama dalam Islam) bagi amalan soleh ini selagi tidak bertentangan dengan syariat, apatah lagi ia membabitkan kecintaan kepada Nabi Muhammad SAW yang mulia.

Sumber: BH Online

Jumaat 16 Nov 2018.

09/11/2019 Posted by | Bicara Ulama, Ibadah, Q & A (Soal Jawab) | | Leave a comment

   

%d bloggers like this: