Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Pengajian Hadis Akan Tempang Tanpa Pengajian Fiqh

Ustaz Yunan A Samad

Pelajar hadis amatur selalunya berfikir hadis yang sahih perlu diamalkan tanpa sebarang bantahan sekalipun ianya bercanggah dengan fatwa mazhab yang diikuti. Antara hujah mereka, Allah menyuruh kita mengikut Nabi SAW menerusi sunnahnya yang sahih. Justeru, adalah “salah” seseorang muslim enggan mematuhi hadis sahih yang ditemuinya. Di samping kepercayaan mereka bahawa tidak boleh mengikut (bertaklid) manusia lain walau setinggi mana kedudukan ilmunya kerana beliau tidak maksum. Dalam hal ini, hanya Baginda SAW sahaja yang maksum.

Kefahaman seperti di atas, menghasilkan dua kekeliruan lazim. Pertama ; kena beramal dengan hadis sahih. Kedua; manusia diperintah untuk mengikut Nabi SAW bukannya imam mazhab tertentu.

Merungkaikan kekeliruan pertama, suka dinyatakan bahawa kenyataan “ASALKAN HADIS ITU SAHIH, MESTI SEGERA DIAMALKAN” adalah kurang tepat. Sebaliknya yang perlu dipersoalkan ialah “SEJAUHMANA HADIS SAHIH ITU BOLEH DIAMALKAN?”. Mari kita lihat asas-asas perbincangan berikut :

1). Perbincangan ulama hadis mengenai penerimaan sesebuah hadis untuk diamalkan amat bergantung kepada pelbagai syarat yang ditetapkan pada sanad dan matan hadis tersebut dan dalam hal ini adakah pensyaratan seseorang muhaddis telah diikuti sepenuhnya oleh semua muhaddis lain??. Jawapannya TIDAK kerana mereka tidak sepakat. Sukar untuk disepakati kerana terdapat syarat berkait dengan hadis (matan& sanad) dan berkait dengan kaedah usul ijtihad. Justeru itu, penentuan beramal dengan hadis tidak hanya terhenti pada pengetahuan status perawi yang boleh diselidiki dalam kitab Taqrib al-Tahzib al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani (contoh) semata-mata.

2). Seterusnya, fungsi ilmu fiqh memberikan kefahaman lebih holistik ketika kita berinteraksi dengan hadis atau sunnah yang sahih. Perkara ini disedari oleh para ulama sejak awal lagi bahawa kesahihan status sesebuah hadis adalah satu hal yang berbeza dengan cara beramal dengan hadis sahih. Bukan semua yang dihukumkan sahih mesti diamalkan secara sembrono. Tidak!… kerana untuk beramal pula, terdapat kaedah dan syarat-syaratnya.

Kita boleh menyaksikan pada catatan Ibn Abi Khaysamah dalam Syarh Ilal al-Tirmizi dan Abu Nu’aim (1988) dalam al-Hilyah yang meriwayatkan daripada jalur Isa bin Yunus, daripada al-A’masyh daripada Ibrahim al-Nakha’i, katanya :

إني لأسمع الحديث ، فآخذ بما يؤخذ به وأدع سائره
Maksudnya : “Saya mendengar hadis, lalu melihat pada hadis mana yang diambil maka akan saya ambil dan meninggalkan selebihnya”

Ibn Abd al-Barr (1994) dalam Jami’ Bayan al-Ilm meriwayatkan daripada Qadhi Ibn Abi Laila berkata : “Seorang penuntut hadis tidak akan menjadi faqih sehingga ia (tahu) hadis mana yang perlu diambil dan ditinggalkan” (لَا يَفْقَهُ الرَّجُلُ فِي الْحَدِيثِ حَتَّى يَأْخُذَ مِنْهُ وَيَدَعَ)

Abu Nu’aym (1988) menceritakan Imam Abdul Rahman bin Mahdi pernah menyebut :

لَا يَجُوزُ أَنْ يَكُونَ الرَّجُلُ إِمَامًا حَتَّى يَعْلَمَ مَا يَصِحُّ مِمَّا لَا يَصِحُّ , وَحَتَّى لَا يَحْتَجَّ بِكُلِّ شَيْءٍ , وَحَتَّى يَعْلَمَ مَخَارِجَ الْعِلْمِ

Maksudnya : “Tidak harus bagi seseorang lelaki menjadi imam (tokoh) sehingga dia tahu hadis sahih dan tidak sahih, supaya dia tidak berhujah dengan semua hadis (secara random) dan sehingga dia tahu tempat ilmu itu keluarnya ilmu”.

Imam Abdullah bin Wahab, seorang ulama Malikiyyah berkata beliau berguru dengan tiga ratus enam puluh orang ulama. Jika bukan dengan bimbingan Malik dan al-Laith, sudah tentu beliau tersesat (لقيت ثلاثمائة عالم و ستين عالما و لولا مالك و الليث لضللت في العلم).

Maksud tersesat dalam ilmu hadis dalam pernyataan tersebut telah dijelaskan oleh Sheikh Muhammad Zahid al-Kawthari bukan bermakna sesiapa yang menceburi bidang hadis yang mulia itu akan menyeleweng. Abdullah bin Wahab menganggap beliau mungkin jadi “sesat” kerana setiap hadis yang datang daripada Rasulullah SAW perlu ditapis terlebih dahulu sebelum diamalkan kerana kebiasaannya terdapat banyak hadis yang menunjukkan hukum berbeza dalam satu masalah.

3). Apabila disebut pengajian fiqh, kita tidak boleh mengabaikan fiqh mazahib muktabar. Ini kerana institusi mazahib seperti mazhab Syafi’i (khususnya di Malaysia) berperanan menyusun hukum-hukum berkaitan ibadat & muamalat secara sistematik, konsisten dan menyeluruh dalam satu pengajaran ahkam syar’iyyah untuk diamalkan oleh orang awam. Institusi mazhablah yang tolong filter petunjuk hadis adakah ianya wajib atau sunat, haram atau makruh, sah atau batal, sempurna atau kurang. Jika tidak, petunjuk hadis itu akan berserakan sehingga sukar diamalkan oleh orang awam.

Berdasarkan pernyataan-pernyataan di atas, untuk “beramal” dengan hadis sahih tertentu, ia mesti didahului dengan faktor “penerimaan” hadis itu terlebih dahulu. Bentuk penerimaan itu amat berkait dengan fiqh atau kefahaman fuqaha (yang majoritinya bermazhab) yang menilai sebuah hukum dalam hadis yang sahih adakah ia telah dimansuhkan atau diperincikan kondisinya oleh hadis lain. Hukum yang mansuh tidak boleh diamalkan, walaupun hadisnya sahih. Begitu juga terdapat sesetengah hadis ditinggalkan oleh imam mujtahid tertentu kerana mentarjihkan madlul hadis sahih lain untuk beramal. Perkara ini disedari oleh Imam Sufyan al-Thawri yang menekankan bahawa interpretasi (pentafsiran makna) hadis lebih baik daripada mendengarnya (تفسير الحديث خير من سماعه) (Ibn Abd al-Barr, 1994). Imam Abu Ali al-Naysaburi juga berkata kefahaman hadis lebih penting daripada hafazan (الفهم عندنا أجل من الحفظ).

Kepentingan kefahaman fiqh hadis dalam maksud di atas adalah merujuk kepada golongan awam yang bukan bertaraf ulama kerana dikhuatiri mereka tersalah aplikasi maksud (madlul) hadis pada tempat yang salah. Sheikh Muhammad Awwamah (1987) menceritakan pernah berlaku di Syria dahulu seorang lelaki yang menghukumkan sesiapa yang tidak membaca Fatihah dalam solat adalah kafir. Dia beranggapan solat tanpa fatihah oleh orang mazhab Hanafi yang solat berjemaah, adalah tidak sah. Tidak sah solat sama seperti tidak solat atau meninggalkan solat. Berdasarkan kefahaman songsangnya daripada sebuah hadis lain mengenai tanda kafir seseorang adalah tidak bersolat, maka rumusannya orang yang meninggalkan solat menjadi kafir dan boleh dibunuh.

Hal ini amat berbahaya bagi pelajar hadis amatur tanpa bimbingan ulama fiqh. Untuk golongan seperti inilah Imam Abdullah Ibn Wahab mensasarkan kenyataannya “hadis seumpama padang yang menyesatkan kecuali bagi fuqaha (yang mengetahui kaedah beramal dengan hukum syarak)”.

Berbeza dengan ulama hadis, para fuqaha mempunyai alasan kenapa tidak memperbanyakkan periwayatan hadis. Antaranya untuk mengelak kekeliruan dalam kefahaman masyarakat. Imam al-Syafi’i menceritakan pada satu hari gurunya, Imam Malik ditanya, “Sufyan bin Uyaynah mempunyai beberapa riwayat hadis daripada al-Zuhri yang tidak ada pada kamu?”. Malik menjawab : “Jikalau semua hadis yang aku dengar mesti disampaikan kepada semua orang, bermakna aku ingin menyesatkan mereka semua” (نا أَحْمَدُ بْنُ خَالِدٍ الْخَلَّالُ، قَالَ: سَمِعْتُ الشَّافِعِيَّ، يَقُولُ: قِيلَ لِمَالِكِ بْنِ أَنَسٍ: إِنَّ عِنْدَ ابْنِ عُيَيْنَةَ عَنِ الزُّهْرِيِّ، أَشْيَاءَ لَيْسَتْ عِنْدَكَ فَقَالَ مَالِكٌ: وَأَنَا كُلُّ مَا سَمِعْتُهُ مِنَ الْحَدِيثِ أُحَدِّثُ بِهِ النَّاسَ؟ أَنَا إِذًا أُرِيدُ أَنْ أُضِلَّهُمْ) (Al-Khatib, al-Jami’ li Akhlaq al-Rawi wa Adab al-Sami’, dalam Awwamah, 1987).

Para ulama muhaqqiqun menekankan bahawa aspek kefahaman yang betul perlu dipupuk terlebih dahulu supaya pengamalan hadis berjalan dengan harmoni. Al-Ramahurmuzi meriwayatkan dalam kitab al-Muhaddith al-Fasil dan al-Khatib dalam al-Faqih wa al-Mutafaqqih, Imam Malik menasihati dua orang saudaranya, Abu Bakar dan Ismail Ibn Abi Uwais dengan berkata “Aku melihat kamu berdua gemar mengumpul dan mendengar hadis. Jika kamu mahu menerima manfaat daripada ilmu hadis, maka kurangkan berbuat demikian dengan mendalami ilmu fiqh” (Teks asal berbunyi > حَدَّثَنَا مُصْعَبٌ الزُّبَيْرِيُّ قَالَ سَمِعْتُ مَالِكَ بْنَ أَنَسٍ، وَقَدْ قَالَ لِابْنَيْ أُخْتِهِ، أَبِي بَكْرٍ وَإِسْمَاعِيلَ ابْنَيْ أَبِي أُوَيْسٍ: «أُرَاكُمَا تُحِبَّانِ هَذَا الشَّأْنَ، وَتَطْلُبَانِهِ» يَعْنِي الْحَدِيثَ قَالَا: نَعَمْ قَالَ: إِنْ أَحْبَبْتُمَا أَنْ تَنْتَفِعَا وَيَنْفَعُ اللَّهُ بِكُمَا، فَأَقِلَّا مِنْهُ، وَتَفَقَّهَا).

Abu Nu’aim al-Fadhl Ibn Dukayn, salah seorang guru terkenal Imam al-Bukhari menceritakan pada satu hari beliau berjalan melintasi Zufar Ibn al-Huzail, seorang murid Imam Abu Hanifah. Zufar memanggil untuk mengajar beliau hadis mana yang perlu diambil dan mana yang perlu ditolak kerana ada yang menjadi nasikh dan ada telah dimansuhkan.

Terdapat banyak lagi rekod yang menunjukkan para fuqaha mengajar ahli hadis tentang penggunaan hadis sahih, antaranya kefahaman yang betul tentang madlul sesebuah hadis mesti diperolehi daripada para fuqaha muktabar. Penjelasan hal ini telah disampaikan dalam bentuk nasihat guru Imam Malik iaitu Sheikh Abu al-Zinad Abdullah bin Zakwan yang berbunyi :

وَايْمُ اللَّهِ إِنْ كُنَّا لَنَلْتَقِطُ السُّنَنَ مِنْ أَهْلِ الْفِقْهِ وَالثِّقَةِ، وَنَتَعَلَّمُهَا شَبِيهًا بِتَعَلُّمِنَا آيَ الْقُرْآنِ
Maksudnya : “Demi Allah, kami mengutip sunnah daripada ahli fiqh dan ahli siqah dan kami mempelajarinya sama seperti mempelajari al-Quran” (Ibn Abdil Barr, 1994).

Dr. HK
Jumaat, 18 Jan 2019
____________________________
Penjelasan ini KHUSUS untuk pembaca awam, pelajar amatur & siswa junior pengajian Islam BUKANNYA kumpulan sarjana syariah, hadis dan pakar ilmu-ilmu Islam bertaraf ulamak.

16/09/2019 - Posted by | Bicara Ulama, Fiqh, Hadis, Ibadah, Q & A (Soal Jawab) | ,

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: