Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Nasrul Haq – Bukan Ajaran Islam

oleh:Asyraf Wajdi(majalah DAKWAH, Mei 1978)

PERSIDANGAN Ketua-ketua Jabatan Agama Islam Negeri-negeri yang bersidang pada 11hb.April, 1978 bersamaan 2hb. Jamadil Awal 1398 di Jabatan Perdana Menteri, Bahagian Agama telah menerima dan mengkaji laporan Jawatankuasa Khas berkenaan Nasrul Haq. Persidangan pada hari itu telah mendapati bahawa ajaran Nasrul Haq adalah bukan daripada ajaran Islam. Bagi tindakan selanjutnya adalah diserahkan kepada Majlis Agama Islam Negeri-negeri, kerana tugas agama adalah di bawah kuasa kerajaan negeri masing-masing.
Memandangkan beberapa kekeliruan yang timbul akibat penyalahgunaan perkataan seperti Khalifah, Naib Khalifah, Mahaguru dan sebagainya,maka Persidangan mengesyorkan supaya perkataan-perkataan tersebut tidak digunakan lagi sebagai gelaran kepada peminpin, ketua atau guru bagi apa-apa pertubuhan jua pun.
Saudara Subki Latif dalam ruangan fokas akhbar harian Watan pada 14hb. April 1978 menimbulkan persoalan tentang tidak adanya keterangan lanjut tentang mengapa pertubuhan itu dikatakan bukan ajaran Islam:
Adakah ia boleh diamalkan oleh orang-orang Islam?
Apakah tidak berdosa orang-orang Islam yang menjadi anggotanya?
Mengapakah Seni Silat Gayong, Silat Lincah, Silat Cekak dan sebagainya tidak pernah dipertikaikan?
Untuk mengelakkan keliru dan untuk tidak menimbulkan perasaan curiga kepada Ketua-ketua Jabatan Agama Islam Negeri yang mengadakan mesyuarat pada hari itu khusus kepada jawatankuasa yang diberi tugas mengkaji berkenaan dengan Nasrul Haq itu maka perlulah lebih dahulu diketahui bahawa jawatankuasa khas itu bukanlah mengkaji pertubuhan Persaudaraan Nasrul Haq, tetapi apa yang dikajinya ialah amalan-amalan dan dorongan yang menyebabkan orang ramai menumpu perhatian kepada pertubuhan itu.
Untuk menjadi anggota pertubuhan itu tidak menjadi masalah. Kerana ia adalah merupakan pertubuhan belia atau pertubuhan kebajikan yang lain juga, tetapi yang menjadi masalahnya ialah amalannya di mana kononnya boleh memberi perkara luar biasa telah menimbulkan reaksi di kalangan masyarakat.
Jawatankuasa ini memberi perhatian yang utama kepada pertubuhan Nasrul Haq kerana ia bukanlah merupakan seni mempertahankan diri. Tidak ada nilai-nilai seni seperti silat-silat yang lain. Apa yang ada hanya gerak-gerak tubuh, tangan , kaki, kepala dan mata menurut cara-cara tertentu dengan bacaan-bacaan tertentu untuk melahirkan perkara-perkara luar biasa.
Tidak ada cara menepis, tumbuk atau mengelak tendangan musuh. Tidak juga diajar bagaimana hendak merebahkan musuh atau mematahkan lawan atau bagaimana cara menghantar tumbukan yang padu atau sepak yang padat dan sebagainya untuk merebahkan lawan.
Bacaan-bacaan yang tertentu itu pula ialah bacaan Al-Fatihah dan zikir-zikir yang dipergunakan bukan pada tempatnya dan bukan untuk ibadat, tetapi untuk mewujudkan perkara luar biasa yang berkenaan.
Memang tidak dapat dinafikan bahawa perkara luar biasa itu berlaku di gelanggang-gelanggang utamanya di hadapan khalifahnya. Hinggakan ia boleh berlaku kepada orang-orang ‘a-si yang sering melakukan maksiat, bahkan boleh berlaku kepada benda-benda yang tidak bernyawa juga.
Kerana hebatnya perkembangan amalan Nasrul Haq ini maka ramailah orang-orang Islam menyertainya. Tetapi apabila perkara luar biasa itu tidak berlaku berpanjangan selain daripada di gelanggang dan di hadapan khalifah sahaja, maka timbullah desakan kepada Majlis-majlis Agama dan badan agama untuk menentukan amalan ini sama ada ia dari ajaran Islam atau tidak dan adakah ia boleh dijadikan alat untuk berdakwah atau sebagainya.
Pihak Jabatan Agama di negeri-negeri merasai bertanggungjawab untuk menyelesaikan keraguan orang ramai yang mendesak itu. Lalu ditubuhkan jawatankuasa khas untuk mengkaji masalah yang berkenaan supaya hasil kajian itu boleh dibawa kepada jawatankuasa syariah atau jawatankuasa fatwa di negeri masing-masing menurut hemat jawatankuasa yang berkenaan di negeri-negeri.
Jawatankuasa Khas telah mengkaji beberapa aspek setelah mengadakan dua kali perbincangan dengan pihak penganjur Nasrul Haq pada 14hb. Januari dan 16hb. Februari, 1978. Sekali perbincangan dengan mufti-mufti seluruh Malaysia pada 7hb. Februari, 1978. Wawancara-wawancara juga telah diadakan dengan Jurulatih Kanan Nasrul Haq, Penasihat Nasrul Haq dan beberapa orang jawatankuasanya dan beberapa orang pegawai belia di Kementerian Belia sendiri.
Jawatankuasa ini juga telah mengkaji buku-buku, majalah, akhbar dan risalah-risalah yang telah diterbitkan berkenaan dengan Nasrul Haq termasuk pendapat ulama-ulama dari seluruh Malaysia.
Aspek yang dikaji di antaranya ialah asal-usul Nasrul Haq yang dikatakan berasal dari Minangkabau, Sumatera. Pengasasnya di Sumatera ialah Syeikh Musa Paradik. Jurusnya ditemui oleh Tuan Haji Johannes Cheoldi S.P. ketika menunaikan fardu haji di Mekah dan dipraktikkan di Gua Hira’ dengan seorang teman yang datang dari Indonesia.
Ada pula pendapat yang mengatakan asal-usul Nasrul Haq ini berasal dari Pagaruyong dan dibawa ke Jawa Barat oleh Datuk Shah Bandar kemudian dipelajari oleh empat orang pendekar. Kemudian dipelajari oleh Aki Tasik yang berasal dari Suka Bumi. Tuan Haji Johannes dikatakan belajar ilmu Nasrul Haq ini daripada Haji Elias Sultan Sati, murid dari Aki Tasik.
Bentuk amalan (Nasrul Haq) ini terbahagi kepada dua,iaitu Rohani dan Jasmani. Perpaduan di antara Rohani dan Jasmani inilah melahirkan perkara luar biasa. Cara amalannya ialah setiap murid dikehendaki membaca Al-Fatihah sebanyak tiga kali. Kemudian baru memulakan jurus yang disertai dengan mengingatkan Allah. Tujuannya untuk mendapatkan kekuatan batin dan kekuatan luar biasa yang didakwakan sebagai maunah atau fadilat dari Allah. Jawatankuasa ini juga ytelah mengkaji masalah sumpah, bai’ah dan kesannya terhadap orang yang terlibat dengan amalan ini.
Jawatankuasa khas juga telah mengambil perhatian utama kepada kesan kuasa luar biasa yang menjadikan sebagai penahan dari suatu serangan itu boleh dipindah-pindahkan bukan saja kepada manusia Islam atau bukan Islam, bahkan boleh juga dipindahkan kepada apa-apa saja sekiranya khalifah atau guru menjuruskan atau memasukkan kuasa tersebut.
Hal ini boleh menimbulkan keliru tentang jenis perkara luar biasa itu, lebih-lebih lagi seringkali ia tidak memerlukan zikir atau apa-apa ayat lagi cuma memadai dengan jurus saja.
Di dalam gelanggang Nasrul Haq, khalifah-khalifah sering berusaha untuk memastikan kuasa luar biasa itu berkesan dan diisyaratkan pihak penyerang mesti berada dalam keadaan marah. Katanya, ilmu ini tidak berkesan atau tidak menimbulkan apa-apa jika penyerang tidak mempunyai perasaan marah. Hal ini meragukan kerana penyerang itu tidak semuanya berperasaan marah lebih-lebih lagi ketika menggunakan alat senjata moden.
Beberapa kekeliruan timbul lagi apabila ternyata banyak bukti yang menunjukkan bahawa amalan Nasrul Haq ini hanya dapat dilahirkan perkara-perkara luar biasa di dalam gelanggang, ketika menjalankan sesuatu latihan atau pertunjukan bersama khalifahnya saja. Tetapi apabila dicuba di masa-masa yang lain nampaknya tidak banyak berkesan lagi, bahkan tidak berkesan langsung.
Keputusan Jawatankuasa Khas yang diisytiharkan tempoh hari tidak bertujuan untuk menentukan halal atau haram kerana ia di luar tugas jawatankuasa yang berkenaan. Jawatankuasa itu hanya menggariskan sepuluh pandangan untuk dirumuskan sebagai keputusan atau kesimpulan. Antara rumusan-rumusan tersebut ialah:
Amalan Nasrul Haq mengandungi unsur-unsur yang boleh membawa kepada pertentangan dengan akidah Islam.
Amalan ini pada peringkat awalnya cuba berselindung di sebalik ayat-ayat suci Al-Quran dan petikan hadis Rasulullah yang ada kaitannya dengan konsep mengingatkan Allah (zikrullah) dengan tujuan untuk mempengaruhi orang ramai supaya yakin dengan ajaran ilmu ini.
Penyelewengan di dalam ajaran ini mulai nampak apabila pemimpin atau khalifah ilmu ini telah mengakui bahawa ilmu ini boleh dipelajari dan memperolehi kesannya oleh orang-orang bukan Islam. Ini membuktikan bahawa amalan ilmu ini tidak lagi terikat dengan perkara zikir dan bacaan Al-Fatihah lagi.
Amalan Nasrul Haq boleh membawa suatu keyakinan kepada pengikut-pengikutnya bahawa mereka tidak perlu lagi menggunakan senjata untuk menentang musuh, malah memadai dengan berzikir sahaja untuk mendapatkan pertolongan daripada Allah.
Amalan Nasrul Haq tidak lagi memberi kesan yang baik dari segi dakwah, kerana mereka yang terlibat dengan ajaran ini mungkin sanggup melakukan perintah Allah dengan tujuan untuk mendapatkan kesan kuasa luar biasa yang terdapat di dalam ilmu ini sahaja, tetapi apabila mereka gagal mendapatkan kesan kuasa luar biasa tersebut, mereka akan kembali kepada peribadi mereka yang asal.
Membaca surah Al-Fatihah atau ayat-ayat suci Al-Quran adalah digalakkan, kerana membaca dan mengamalkannya adalah suatu ibadat yang semata-mata untuk mendapatkan keredaan daripada Allah. Tetapi jika dibaca dan diamalkan dengan tujuan untuk mendapatkan kekuatan luar biasa yang boleh dipertunjuk dan diperturunkan, maka itu bukan lagi ibadat. Bila perkara ibadat dilakukan bukan (dengan) tujuan beribadat, itu adalah mempersenda-sendakan ibadat dan dengan tidak disedari telah menipu diri sendiri dan Allah.
Kesan kuasa luar biasa yang terdapat dalam amalan ilmu ini bukanlah merupakan suatu perkara yang mustahil akan berlaku, kerana kesemuanya adalah tanda-tanda kebesaran Allah. Tetapi jika kesan luar biasa itu berlaku melalui saluran-saluran yang kotor, sama ada gurunya yang bersifat kotor atau melalui saluran rohani-rohani yang kotor seperti jin, syaitan dan Afrit, maka hasilnya juga adalah kotor.
Untuk mengetahui atau menganalisis sesuatu perkara – amalan atau kepercayaan – itu benar atau salah, tidak semestinya memeluk atau memasuki terlebih dahulu perkara tersebut, seperti mana untuk menyatakan sesuatu agama atau kepercayaan itu benar atau salah adalah lebih penting mengkaji serta menganalisis terlebih dahulu sebelum mengakui,memasuki atau menyertainya. Tetapi untuk membuktikan sesuatu ilmu atau amalan itu tidak bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar adalah tidak memadai dengan hanya mengemukakan alasan atau hujah yng berdasarkan kepada keterangan daripada Al-Quran dan Sunnah Rasulullah bagi membuktikan kebenarannya yang hakiki.
Pemimpin Nasrul Haq sering mengakui bahawa mereka adalah jahil dalam soal agama dan bersedia menerima nasihat serta teguran daripada ulama, maka sudah sewajarnya pihak penganjur ilmu ini menerima dengan hati yang terbuka segala pandangan dan cadangan yang dikemukakan di dalam laporan kajian ini demi memelihara kesucian akidah Islam dan demi menyelamatkan umat Islam di negara ini, khususnya pengikut-pengikut amalan ini supaya tidak menyeleweng dari iktikad atau pegangan terhadap ajaran Islam yang sebenar.
Walau bagaimanapun persidangan Ketua-ketua Jabatan Agama Islam Negeri-negeri pada hari itu menjunjung tinggi hasrat dan cita-cita Kementerian Belia dan Sukan terutamanya hasrat Datuk Abdul Samad Idris sendiri selaku menteri yang bertanggungjawab untuk menyerapkan iman dan menambahkan taqwa di kalangan belia-belia kita. Tetapi masalahnya mereka tidak mahu penyerapan itu melalui jalan yang boleh menimbulkan keliru.
Untuk itu mesyuarat mencadangkan kepada Datuk Abdul Samad Idris sendiri supaya Kementerian Belia dapat melantik seorang Koordinator dalam bidang dakwah untuk menggerakkan kegiatan-kegiatan agama di kalangan belia. Bahagian Agama Jabatan Perdana Menteri, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia dan jabatan-jabatan agama di negeri-negeri telah memberi persetujuan untuk bekerjasama.
Untuk pengetahuan pembaca bahawa anggota jawatankuasa khas itu terdiri daripada YB Datuk Sri Haji Kamaruddin Mat Isa, Tim. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Prof. Haji Abdul Jalil Hassan, Datuk Haji Abu Hassan Sail, Datuk Syeikh Abdul Mohsein Haji Salleh, Tuan Haji Ghazali bin Haji Abdullah, Tuan Haji Mohd.Talha bin Haji Abdul Rahman, Ustaz Haji Dusuki bin Haji Ahmad, Ustaz Mahsin bin Haji Mansor dan Ustaz Haji Ahmad bin Awang.

13/09/2019 - Posted by | Aqidah, Bicara Ulama, Ibadah, Informasi, Q & A (Soal Jawab) |

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: