Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

MEMBONGKAR KEKELIRUAN WAHHABI SALAFI TENTANG ILMU SIFAT 20

MUQADDIMAH

Sifat-sifat Allah terlalu banyak sekali, baik disebutkan di dalam al-Qur’an mahupun di dalam hadith Rasulullah saw. Jika kita umat islam disuruh untuk menghafal seluruh sifat-sifat yang ada, ini akan memberatkan bagi umat islam. Oleh kerana itu, para ulama’ telah menyusun Ilmu Sifat 20 untuk memudahkan ummat Islam mengenal dan memahami sifat-sifat Allah khusus untuk mereka yang KURANG KEMAHIRAN dan TIDAK MENDALAMI ILMU TAFSIR.

Tambahan pula, ulama’ yang menyusun ilmu Sifat 20 adalah sebagai RUMUSAN daripada ayat-ayat al-Quran dan Hadith, bukan rekaan semata-mata yang bercanggah secara mutlak dengan ajaran-ajaran Islam. Bahkan ilmu Sifat 20 menjadi senjata yang kuat untuk menolak dakyah Nasrani dan fahaman-fahaman syirik.

Pengajian sifat 20 juga memudahkan kefahaman umat islam dengan menyebutkan sifat-sifat yang paling berpengaruh dari seluruh sifat-sifat yang lainnya. Jika sifat 20 ini tidak ada, maka sifat-sifat yang lain pun tidak akan ada pula kerana sifat-sifat Allah yang lain itu tergantung kepada sifat 20.

Contoh : Ia memberi makna jika sifat wujud Allah tidak ada maka sifat pengangampun, pemurah, penyayang dan lain-lainnya juga tidak ada, jika sifat qidam Allah tidak ada maka sifat menciptakan, memberi, kuat dan lain-lainnya juga tidak akan ada.

PERMASALAHAN DAN PENYELESAIAN

Bagi mereka yang baru memeluk agama Islam, sebagai permulaan, bagaimanakah mereka hendak mengenal Tuhannya?

Maka tidak perlu untuk kita tunjukkan kepada mereka satu persatu ayat-ayat al-Quran dan hadith yang menerangkan tentang keWujudan Allah, keEsaan Allah, Tuhan itu Satu, Tuhan itu Baqa’ (kekal dan tidak binasa), Tuhan itu Sama’, Tuhan tidak menyerupai dengan segala sesuatu yang merupakan makhluk dan sebagainya.

Begitu juga cara kita mengajar anak-anak kecil untuk mengenal sifat-sifat Allah sebagai asas. Hanya sahaja belum masanya untuk kita menyebut istilah-istilah Usuluddin secara terperinci. Hanya perlu menyebut apa itu maksud Wajibul-Wujud, Wahdaniah, Mukhalafatuhu lil-Hawadith dan sebagainya. Tidakkah indah jika anak-anak kecil ditanam dengan bibit-bibit awwal dalam mengenal Allah? Ini adalah kerana di usia se-awwal mereka, mereka belum bersedia lagi untuk tahu satu persatu dalil-dalil daripada ayat-ayat al-Qur’an dan Hadith.

TUDUHAN WAHHABI SALAFI YANG TIDAK BERILMU

Sejak semenjak ini, ada sekelompok fahaman yang hobinya gemar melontarkan tuduhan “Bid’ah”, “Syirik”, “Kufr” kepada sesiapa yang tidak ikut dengan ideologi mereka. Pada pendapat mereka, Ilmu Sifat 20 ini adalah Bid’ah yang tidak pernah diajar oleh Rasulullah dan sahabat. Mengikut pendapat mereka, segala apa yang tidak ada ajaran khusus daripada Rasulullah dan para sahabat adalah bid’ah semata-mata.

Ilmu Sifat 20 disusun oleh Imam Abul Hassan Al-Asy’ari (lahir : 260H), iaitu di dalam lingkungan tiga kurun ter-awwal Islam yang juga merupakan kurun-kurun terbaik dari ummat ini, sesuai dengan sabda Rasulullah SAW :

‎خَيْرَ أُمَّتِـي قَرْنِي ثُمَّ الَّذِيْنَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ

“Sebaik-baik umatku adalah pada masaku. Kemudian orang-orang yang setelah mereka (generasi berikutnya), lalu orang-orang yang setelah mereka.” (Sahih Al-Bukhari, no. 3650)

Golongan Wahhabi Salafi pula menuduh jikalau Ilmu Sifat 20 ini benar, maka para Sahabat dan tabi’en dan seluruh muslimeen yang hidup sebelum Sifat 20 disusun semuanya tidak mempunyai Aqidah yang betul! Mereka juga menuduh Imam Syafi’e rahimahullah sebagai tidak ber’aqidah kerana Ilmu Sifat 20 belum ada lagi pada zaman beliau. Na’uzubillah! Sungguh cetek fahaman golongan Wahhabiyah!
Hujjah-hujjah kuncu-kuncu Wahhabi Salafi, seperti biasa, adalah lemah dan TIDAK BERILMIAH LANGSUNG. Kalau segala apa yang dibuat tanpa atas perintah Rasulullah dikira sebagai bid’ah dholalah dan sesat, maka boleh dikira banyak perkara bid’ah dalam Islam. Contohnya seperti membubuh baris dan tanda-tanda bacaan pada ayat-ayat Al-Qur’an yang pada asalnya tidak berbaris. Puak Wahhabi Salafi buta kerana antara sebabnya dibubuh baris dan tanda-tanda bacaan pada ayat-ayat Al-Quran adalah untuk MEMBANTU ummat Islam membaca Al-Qur’an dengan betul.

Begitu juga dengan ilmu Tajwid yang telah disusun oleh para ulama silam, yang mana juga adalah untuk tujuan KEMASHLANATAN ummat Islam. Dan Al-Qur’an sendiri membuka ruang yang luas untuk ummat Islam mencari jalan mengkagumi ayat-ayatnya dan juga digunakan untuk menolak dakyah-dakyah musuh Islam.

Ilmu Sifat 20 adalah hasil kajian yang telah disemak oleh ulama-ulama yang mahir. Tetapi mengapa mereka anggap Ilmu Sifat 20 sebagai bida’ah yang sesat? Adakah dalam ilmu Sifat 20 ada unsur-unsur syirik? Mari kita baca huraian Sifat 20.

PENGHURAIAAN

Wajib mempercayai akan sifat-sifat Allah yang dua puluh dan perlu diketahui juga sifat-sifat yang mustahil bagi Allah. Sifat yang mustahil bagi Allah merupakan lawan kepada sifat wajib. Sifat wajib terbahagi kepada empat bahagian iaitu Nafsiah, Salbiah, Ma’ani dan Ma’nawiah.

A. SIFAT-SIFAT WAJIB ALLAH

Sifat-Sifat Wajib Allah adalah sifat yang pasti ada pada Allah. Berikut adalah hurain ringkas akan sifat-sifat Allah yang wajib :

[1] SIFAT PERTAMA : WUJUD (وجود – ADA) lawannya ‘Adam (عدم – Tidak ada).

Adanya Allah itu bukan kerana ada yang mengadakanNya atau menciptakanNya. Tetapi Allah itu ada dengan zat-Nya sendiri.

– Dalil Aqli sifat Wujud:

Adanya semesta alam yang kita lihat sudah cukup dijadikan sebagai alasan adanya Allah, sebab tidak masuk akal seandainya ada sesuatu yang dibuat tanpa ada yang membuatnya.

– Dalil Naqli sifat Wujud:

‎اللهُ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ وَمَا بَيْنَهُمَا فِي سِتَّةِ أَيَّامٍ

“Allahlah menciptakan langit dan bumi dan apa yang ada diantara keduanya dalam (waktu) enam hari.” (AS-Sajdah :4)

‎{قُلْ مَنْ رَبُّ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ قُلِ اللَّهُ … قُلِ اللَّهُ خَالِقُ كُلِّ شَيْءٍ وَهُوَ الْوَاحِدُ الْقَهَّارُ

Katakanlah: “Siapakah Tuhan langit dan bumi?” Jawabnya: “Allah”. …..” Katakanlah: “Allah adalah Pencipta segala sesuatu dan Dia-lah Tuhan yang Maha Esa lagi Maha Perkasa”(Ar-Ra’du : 16)

[2] SIFAT KEDUA : QIDAM (قدم – DAHULU/AWAL) lawannya Huduth (حدوث – Baru/Ada awalnya).

Sifat Allah ini menandakan bahawa Allah swt sebagai Pencipta, lebih dahulu ada dan mendahului daripada adanya semesta alam dan isinya yang Dia ciptakan.

– Dalil Aqli sifat Qidam :

Seandainya Allah tidak Qadim, mesti Allah huduth (baru-tercipta), sebab tidak ada penengah antara qadim dan hadith. Jika Allah huduth (baru-tercipta), maka mesti memerlukan muhdith (yang membuat). Misalnya A, dan muhdith A mesti memerlukan kepada Muhdith yang lain, misalnya B. Kemudian muhdith B mesti memerlukan muhdisth yang lain juga, misalnya C. Begitulah seterusnya.

Apabila tiada hujungnya, maka dikatakan tasalsul (peristiwa berantau), dan apabila yang hujung memerlukan kepada Allah, maka dikatakan daur (peristiwa berputar). Masing-masing dari tasalsul dan daur adalah mustahil menurut akal. Maka setiap yang mengakibatkan tasalsul dan daur, yaitu huduthnya Allah adalah mustahil, maka Allah wajib bersifat Qidam.

– Dalil Naqli sifat Qidam :

‎هُوَ الْأَوَّلُ وَالْآخِرُ وَالظَّاهِرُ وَالْبَاطِنُ

“Dialah yang awwal dan yang akhir Yang Zahir dan yang bathin.” (Al-Hadid : 3)

[3] SIFAT KETIGA : BAQA’ (بقاء – KEKAL) lawannya Fana (فناء – Rosak/Musnah).

Allah Kekal dan Abadi Selamanya, Kekalnya Allah SWT tidak berkesudahan

– Dalil Aqli sifat Baqa’ :

Seandainya Allah tidak wajib Baqa’ iaitu jika Allah tiada, maka tidak akan disifati sebagai Qidam. Sedangkan sifat Qidam tidak boleh dihilangkan dari Allah berdasarkan dalil yang telah diterangkan dalam sifat Qidam.

– Dalil Naqli Sifat Baqa’ :

‎كُلُّ شَيْءٍ هَالِكٌ إِلَّا وَجْهَهُ

“Tiap sesuatu akan binasa (lenyap) kecuali Zat-nya.” (Qasas :88)

‎وَيَبْقَى وَجْهُ رَبِّكَ ذُو الْجَلَالِ وَالْإِكْرَامِ

“Dan tetap kekal Zat Tuhanmu yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan.” (Ar-Rahman : 27)

[4] SIFAT KEEMPAT : MUKHALAFATUHU LILHAWADITH (مخالفته للحوادث – BERBEZA DENGAN CIPTAANNYA/MAKHLUKNYA) lawannya Mumathalatu Lilhawadith (مماثلته للحوادث – Menyerupai makhluknya).

Sifat ini menunjukkan bahwa Allah SWT berbeza dengan hasil ciptaan-Nya.

– Dalil Aqli sifat Mukhalafatuhu lil Hawadith :

Jika kita mengatakan bahawa Allah menyerupai makhluknya, nescaya Allah adalah baru (Hadith), sedangkan sifat baru bagi Allah adalah mustahil.

– Dalil Naqli sifat Mukhalafatuhu lil Hawadith :

‎لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ وَهُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ

“Tidak ada sesuatu apapun yang serupa dengan Dia, dan Dia-lah yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Asy-Syura :11)

[5] SIFAT KELIMA : QIYAMUHU BINAFSIHI (قيامه بنفسه – ALLAH BERDIRI SENDIRI) lawannya Qiyamuhu biGhairih (قيامه بغيره – BerdiriNya dengan yang lain).

Ertinya bahawa Allah SWT itu berdiri dengan zat sendiriNya tanpa memerlukan bantuan yang lain. Kewujudan Allah SWT itu ada dengan sendirinya, tidak ada yang meng-adakanNya atau menciptakanNya. Contohnya, Allah SWT menciptakan alam semesta ini kerana kehendak sendiriNya tanpa meminta pertolongan kepada sesiapa pun.

– Dalil Aqli sifat Qiyamuhu Binafsihi :

Seandainya Allah memerlukan tempat atau pencipta, maka Allah adalah “sifat”. Seperti warna putih (sifat), memerlukan benda (untuk bertempat), apa bila benda itu hilang maka warna putih pun akan ikut hilang. Dan itu adalah mustahil bagi Allah..

– Dalil Naqli Sifat Qiamuhu Binafsihi :

‎إِنَّ اللهَ لَغَنِيٌّ عَنِ الْعَالَمِينَ

“Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari alam semesta.” (Al-Ankabut :6)

[6] SIFAT KEENAM : WAHDANIYYAH (وحدانية – TUNGGAL/ESA) lawannya Ta’addud (تعدد – Lebih dari satu)

Ertinya bahawa Allah SWT adalah Tuhan Yang Maha Esa – iaitu Esa zat-Nya, sifat-Nya, mahupun perbuatanNya.

– Dalil Aqli Sifat Wahdaniyyah :

Pengertian “Esa zat-Nya” memberi maksud bahawa zat Allah SWT itu bukanlah hasil dari penjumlahan, perkiraan atau penyatuan satu unsur dengan unsur yang lain menjadikanNya satu. Berbeza dengan makhluk, makhluk diciptakan dari berbagai unsur. Seperti wujudnya manusia ada tulang, daging, kulit dan seterusnya.
Pengertian “Esa sifat-Nya” memberikan maksud bahawa semua sifat-sifat kesempurnaan bagi Allah SWT tidak sama dengan sifat-sifat yang ada pada makhluk-Nya seperti marah, malas dan sombong.
Pengertian “Esa perbuatan-Nya” memberi maksud bahawa perbuatan Allah SWT akan sesuatu tidak dicampuri oleh apa-apa pun perbuatan makhluk dan tanpa memerlukan proses atau perjalanan waktu. Allah SWT berbuat sesuatu kerana kehendak-Nya sendiri tanpa ada yang menyuruh dan melarang.

– Dalil Naqli Sifat Wahdaniyyah :

‎لَوْ كَانَ فِيهِمَا آلِهَةٌ إِلَّا اللهُ لَفَسَدَتَا

“Seandainya di langit dan dibumi ada tuhan-tuhan selain Allah, nescaya langit dan bumi akan rosak.” (Al-Anbiya : 22)

‎قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ اللَّهُ الصَّمَدُ لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ وَلَمْ يَكُنْ لَهُ كُفُوًا أَحَدٌ

“Katakanlah: “Dia-lah Allah, yang Maha Esa. Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu. Dia tiada beranak dan tidak pula diperanakkan, Dan tidak ada seorang pun yang setara dengan Dia.” (Al-Ikhlas : 112)

[7] SIFAT KETUJUH : QUDRAT (قدرة – BERKUASA) lawannya ‘Ajzu (عجز – Lemah/Tidak mampu berbuat apa–apa)

Kekuasaan Allah SWT ke atas segala sesuatu itu adalah mutlak. Tidak ada batasnya dan tidak ada yang membatasi, baik terhadap zat-Nya sendiri maupun terhadap makhluk-Nya. Berbeza dengan kekuasaan manusia yang ada batasnya dan ada yang membatasi.

– Dalil Aqli sifat Qudrat :

Adanya tercipta alam semesta. Jika Allah tidak berkemampuan, nescaya Allah lemah (‘Ajzun), dan apabila Allah lemah, maka tidak akan mampu menciptakan makhluk sedikitpun.

– Dalil Naqli sifat Qudrat :

‎ إِنَّ اللهَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

“Sesungguhnya Allah berkuasa atas segala sesuatu.” (Al-Baqarah : 20)

[8] SIFAT KELAPAN : IRADAT (إرادة – BERKEHENDAK) lawannya Karahah (كراهه – Terpaksa).

Allah SWT menciptakan alam beserta isinya atas kehendak-Nya sendiri, tanpa ada paksaan dari pihak lain atau campur tangan dari sesiapa pun. Segala apa yang Allah SWT kehendaki, pasti terjadi. Begitu juga pada segala apa yang Allah SWT tidak kehendaki, pasti tidak akan terjadi.

Berbeza dengan kehendak atau kemahuan manusia. Setiap keinginan manusia jika tanpa disertai dengan kehendak Allah SWT, pasti keinginan itu tidak terwujud. Perkara ini menunjukkan bahawa manusia memiliki keterbatasan, sedangkan Allah SWT memiliki kehendak yang tidak terbatas.

– Dalil Aqli sifat Iradat :

Adanya alam semesta. Seandainya Allah tidak bersifat berkehendak, nescaya bersifat terpaksa (karahah), dan jika Allah bersifat terpaksa, maka Allah tidak akan disifati Qudrat (berkuasa). Maka dengan tidak mensifatkan Allah dengan sifat Qudrat (berkuasa) adalah mustahil. Jika Allah tidak berkuasa, ia akan mengakibatkan lemahnya Allah, sedangkan lemahnya Allah adalah mustahil kerana tidak akan mampu menciptakan makhluk sedikitpun.

– Dalil Naqli sifat Iradat :

‎إِنَّ رَبَّكَ فَعَّالٌ لِّمَا يُرِيدُ

“Sesungguhnya Tuhanmu Maha Pelaksana terhadap apa yang Dia kehendaki.” (Hud :107)

[9] SIFAT KESEMBILAN : ILMU (علم – MAHA MENGETAHUI) lawannya Jahl (جهل – Bodoh).

Allah SWT memiliki pengetahuan / kepandaian yang sangat sempurna. Ilmu Allah SWT tidak terbatas dan tidak pula dibatasi. Allah SWT mengetahui segala sesuatu yang ada di alam semesta, baik yang tampak maupun yang ghaib, bahkan apa yang dirahsiakan didalam hati manusia sekali pun.

Bukti kesempurnaan ilmu Allah SWT adalah ibarat air laut yang dijadikan tinta untuk menulis kalimat-kalimat Allah SWT. Maka tidak akan habis tertulis kalimat-kalimat tersebut walaupun dengan jumlah air laut yang banyak itu.

Kita sering kagum atas kecerdasan dan ilmu yang dimiliki orang-orang pandai di dunia ini. Kita juga takjub akan keindahan dan kecanggihan tekhnologi yang diciptakan oleh manusia. Sedarkah kita bahawa ilmu tersebut hanyalah sebahagian kecil sahaja yang diberikan Allah SWT kepada kita?

– Dalil Aqli sifat Ilmu :

Seandainya Allah jahl (Bodoh) pasti Allah tidak berkehendak (Iradat).
Mustahil Allah tidak berkehendak (Iradat) kerana Allah akan jadi tidak berkuasa (‘Ajzu). Mustahil jika Allah tidak disifati dengan sifat Berkuasa (Qudrat), kerana ia akan mengakibatkan Allah sebagai lemah. Sedangkan lemahnya Allah adalah perkara yang mustahil kerana jika Allah lemah, Allah tidak akan mampu mencipta sebarang makhluk.

– Dalil Naqli sifat Ilmu :

‎وَهُوَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ

“Dan dia maha mengetahui segala sesuatu.” (Al Hadid : 3)

‎هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا ثُمَّ اسْتَوَىٰ إِلَى السَّمَاءِ فَسَوَّاهُنَّ سَبْعَ سَمَاوَاتٍ وَهُوَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ

“Dia-lah Allah, yang menjadikan segala yang ada di bumi untuk kamu dan dia berkehendak (menciptakan) langit, lalu dijadikan-Nya tujuh langit. Dan dia Maha mengetahui segala sesuatu”. (Al-Baqarah : 29).

[10] SIFAT KESEPULUH : HAYAT (حياة – HIDUP) lawannya Maut (الموت – Mati).

Hidupnya Allah tidak ada yang menghidupkannya melainkan hidup dengan zat-Nya sendiri kerana Allah Maha Sempurna, berbeza dengan makhluk yang diciptakan-Nya. Contohnya : Manusia perlu kepada perkara yang menghidupkan seperti keperluan kepada makanan, minuman, tidur, dan sebagainya. Akan tetapi hidupnya Allah SWT tidak memerlukan semua itu. Allah SWT hidup selama-lamanya, tidak akan mengalami kematian bahkan tidak pula rasa mengantuk.

– Dalil Aqli sifat Hayat

Seandainya Allah Maut (Mati), pasti Allah tidak Berkuasa (Qudrat), tidak Berkehendak (Iradat) dan tidak Maha Mengetahui (‘Ilmu), maka sifat Maut (Mati) bagi Allah adalah mustahil.

– Dalil Naqli sifat Hayat :

‎وَتَوَكَّلْ عَلَى الْحَيِّ الَّذِي لَا يَمُوتُ

“Dan bertakwalah kepada Allah yang hidup yang tidak mati.” (Al-Furqan : 58)

‎اللَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ

“Allah, tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan dia yang hidup kekal lagi terus menerus mengurus (makhluk-Nya).” (Al-Baqarah : 255)

[11] SIFAT KESEBELAS : SAMA’ (سمع – MENDENGAR) lawannya Shamam (الصمم – Tuli).

Allah SWT mendengar setiap suara yang ada di alam semesta ini. Tidak ada suara yang terlepas dari pendengaran Allah SWT walaupun suara itu lemah atau perlahan, seperti suara bisikan hati dan jiwa manusia. Pendengaran Allah SWT berbeza dengan pendengaran mahluk–Nya kerana tidak terhalang oleh suatu apapun, sedangkan pendengaran mahluk-Nya dibatasi ruang dan waktu.

– Dalil Aqli sifat Sama’ :

Tidak masuk akal jika Allah tidak mendengar. Jika Allah tidak Maha Mendengar (Samaa’), maka sudah tentu Allah bukan Maha Mengetahui (Ilmu), sedangkan Allah jauh dari sifat kekurangan tersebut.

– Dalil Naqli sifat Sama’ :

‎ وَاللهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

”Dan Allah-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui” (Al-Maidah :76)

‎وَهُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ

“dan Dia-lah yang Maha mendengar dan Melihat.”(Asy-Syura :11)

[12] SIFAT KEDUA-BELAS : BASAR (بصر – MELIHAT) lawannya Al-Umyu (العمي – Buta).

Allah SWT melihat segala sesuatu yang ada di alam semesta ini. Penglihatan Allah bersifat mutlak, iaitu tidak dibatasi oleh jarak (jauh atau dekat) dan tidak dapat dihalangi oleh dinding (tipis atau tebal). Segala sesuatu yang ada di alam semesta ini, kecil maupun besar, sama ada boleh dilihat atau tidak boleh dilihat oleh manusia, pasti semuanya dilihat oleh Allah SWT.

– Dalil Aqli sifat Basar :

Ini adalah satu sifat yang tetap ada yang qadim lagi azali pada zat Allah Swt. Allah Swt wajib bersifat Maha Melihat (Basar) pada perkara yang dapat dilihat oleh manusia ataupun tidak, jauh atau dekat, terang atau gelap, zahir atau tersembunyi dan sebagainya. Dengan memahami sifat besar Allah SWT, hendaknya kita selalu berhati-hati dalam segala perbuatan kita. Mungkin kita boleh berbohong kepada manusia, akan tetapi kita tidak akan boleh berbohong kepada Allah SWT.

– Dalil Naqli sifat Basar :

‎وَاللهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ

”Dan Allah maha Melihat apa yang kamu kerjakan.” (Al-Baqarah: 265)

[13] SIFAT KETIGA-BELAS : KALAM (كلام – BERBICARA/BERFIRMAN) lawannya Bukmu (البكم – Tidak berfirman/tidak boleh berbicara).

– Dalil Aqli sifat Kalam :

Bersifat Kalam memberi maksud bahawa Allah SWT berfirman dalam kitab-Nya yang diturunkan kepada para Nabi dan Rasul-Nya. Pembicaraan Allah SWT sudah tentu tidak sama dengan pembicaraan manusia kerana Allah SWT tidak ber-organ seperti lidah dan mulut yang mana dimiliki oleh manusia.

Allah SWT berbicara tanpa menggunakan alat-alat pembantu dalam bentuk apa pun kerana sifat kalam Allah SWT sangat sempurna. Sebagai bukti adalah adanya wahyu Allah SWT berupa Al-Qur’an yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW dan kitab-kitab Allah yang diturunkan kepada para Rasul sebelum Nabi Muhammad SAW.

– Dalil Naqli sifat Kalam :

‎ وَكَلَّمَ اللَّهُ مُوسَى تَكْلِيمًا

”Dan Allah berkata kepada Musa dengan satu perkataan yang jelas” (An-Nisa’ :164)

‎وَمَا كَانَ لِبَشَرٍ أَن يُكَلِّمَهُ اللهُ إِلَّا وَحْيًا أَوْ مِن وَرَاءِ حِجَابٍ أَوْ يُرْسِلَ رَسُولًا فَيُوحِيَ بِإِذْنِهِ مَا يَشَاءُ إِنَّهُ عَلِيٌّ حَكِيمٌ

“Dan tidak mungkin bagi seorang manusia pun bahawa Allah berkata-kata dengan dia kecuali wahyu atau di belakang tabir atau dengan mengutus seorang utusan lalu diwahyukan kepadanya dengan seizin-Nya apa yang Dia kehendaki . Sesungguhnya Dia Maha Tinggi lagi Maha Bijaksana.” (Asy-Syura : 51)

Oleh kerana itu, kita sebagai hamba Allah SWT hendaknya membiasakan diri mengucapkan kalimat-kalimat tayyibah (kata-kata yang mulia) seperti ketika kita berbuat salah, maka segeralah membaca istighfar.

[14] SIFAT KEEMPAT-BELAS : KAUNUHU QADIRAN (كونه قادرا – KeadaanNya Yang Berkuasa) lawannya Kaunuhu ‘Ajizan (كونه عاجزا – KeadaanNya yang lemah)

– Dalil Aqli sifat Kaunuhu Qadiran:

Ini adalah sifat wajib bagi Allah kerana adanya sifat Qudrat (berkuasa) pada zat Allah. Sifat Kaunuhu Qadiran berlainan dari sifat Qudrat kerana Qudrat bererti Allah SWT berkuasa sedangkan sifat Kaunuhu Qadiran adalah sifat yang memperihalkan adanya Qudrat (kuasa) Allah itu pada zat Allah. Lawannya ialah Kaunuhu ‘Ajizan yang memberi maksud keadanNya yang lemah. Mustahil Allah bersifat dengan keadaan yang lemah.

– Dalil Naqli sifat Kaunuhu Qadiran :

‎إِنَّ اللهَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

“Sesungguhnya Alllah berkuasa atas segala sesuatu“ (Al-Baqarah :20).

[15] SIFAT KELIMA-BELAS : KAUNUHU MURIDAN (كونه مريدا – KeadaanNya Yang
Menghendaki dan menentukan tiap-tiap sesuatu) lawannya Kaunuhu Mukrahan (كونه مكرها – KeadaanNya yang terpaksa)

– Dalil Aqli sifat Kaunuhu Muridan :

Keadaan Allah SWT yang berkehendak adalah sifat wajib kerana adanya sifat Iradat (berkehendak) bagi zat Allah. Lawannya adalah Kaunuhu Mukrahan yang membawa erti keadaan Allah yang terpaksa. Mustahil keadaan Allah itu terpaksa kerana wujudnya sifat Allah SWT yang berkehendak. Contoh : Allah SWT berkehendak atas nasib dan takdir manusia.

– Dalil Naqli sifat Kaunuhu Muridan :

‎إِنَّ رَبَّكَ فَعَّالٌ لِّمَا يُرِيدُ

“Sesungguhnya Tuhanmu Maha Melaksanakan apa yang Dia kehendaki“ (Hud :107)

[16] SIFAT KEENAM-BELAS : KAUNUHU ‘ALIMAN (كونه عالما – KeadaanNya Yang Mengetahui akan Tiap-tiap sesuatu) lawannya Kaunuhu Jahilan (كونه جاهلا – KeadaanNya yang bodoh)

– Dalil Aqli sifat Kaunuhu ‘Aliman :

Keadaan Allah SWT yang mengetahui segala hal yang telah terjadi mahupun yang belum terjadi, Allah juga mengetahui isi hati dan fikiran manusia.

– Dalil Naqli sifat Kaunuhu ‘Aliman :

‎وَاللهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ

“Dan Alllah Maha Mengetahui sesuatu“ (An Nisa’ :176)

[17] SIFAT KETUJUH-BELAS : KAUNUHU HAYYAN (كونه حيا – KeadaanNya Yang Hidup) lawannya Kaunuhu Mayitan (كونه ميتا – KeadaanNya yang mati)

– Dalil Aqli sifat Kaunuhu Hayyan :

Allah adalah Zat Yang Hidup, Allah tidak akan pernah mati, tidak akan pernah tidur ataupun lengah.

– Dalil Naqli sifat Kaunuhu Hayyan :

‎وَتَوَكَّلْ عَلَى الْحَيِّ الَّذِي لَا يَمُوتُ

“Dan bertakwalah kepada Allah yang hidup kekal dan yang tidak mati“ (Al-Furqan :58)

[18] SIFAT KELAPAN-BELAS : KAUNUHU SAMI’AN (كونه سميعا – KeadaanNya Yang Mendengar) lawannya Kaunuhu Asamma (كونه أصم – KeadaanNya yang pekak)

– Dalil Aqli sifat Kaunuhu Sami’an :

Allah mendengar pembicaraan manusia, permintaan atau doa hambaNya.

– Dalil Naqli sifat Kaunuhu Sami’an :

‎ وَاللهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

“Allah Maha Mendengar dan Maha Mengetahui“ (Al-Baqarah : 256).

[19] SIFAT KESEMBILAN-BELAS : KAUNUHU BASIRAN (كونه بصيرا – KeadaanNya Yang Melihat akan tiap-tiap yang Maujudat, benda yang ada) lawannya Kaunuhu A’ma ( كونه أعمى – KeadaanNya yang buta)

– Dalil Aqli sifat Kaunuhu Basiran :

Allah melihat gerak-gerik kita. Oleh kerana itu, hendaknya kita selalu berbuat baik.

– Dalil Naqli sifat Kaunuhu Basiran :

‎وَاللهُ بَصِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ

“Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan“ (Al-Hujurat :18)

[20] SIFAT KEDUA-PULUH : KAUNUHU MUTAKALLIMAN (كونه متكلما – KeadaanNya Yang Berbicara) lawannya Kaunuhu Abkam (كونه أبكم – KeadaanNya yang bisu)

– Dalil Aqli sifat Kaunuhu Mutakalliman :

Allah tidak bisu. Allah berbicara atau berfirman melalui ayat-ayat Al-Quran. Bila Al-Quran menjadi pedoman hidup kita, maka kita telah patuh dan tunduk terhadap Allah swt.

– Dalil Naqli sifat Kaunuhu Mutakalliman :

‎وَلَمَّا جَاءَ مُوسَىٰ لِمِيقَاتِنَا وَكَلَّمَهُ رَبُّهُ قَالَ رَبِّ أَرِنِي أَنظُرْ إِلَيْكَ

“Dan tatkala Musa datang untuk (munajat dengan Kami) pada waktu yang telah Kami tentukan dan Tuhan telah berfirman (langsung) kepadanya, berkatalah Musa: “Ya Tuhanku, nampakkanlah (diri Engkau) kepadaku agar aku dapat melihat kepada Engkau”
(al-A’raf : 143)

MAKLUMAT PENTING:
“Perlu diketahui bahawa Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah tidak membataskan sifat-sifat Allah kepada dua puluh kerana sifat dua puluh itu adalah sifat Zat Allah yang menjadi syarat ketuhanan. Sedangkan sifat-sifat Allah yang lain adalah sifat af’al (sifat yang berkaitan perbuatan) Allah ta`ala. Dan sifat-sifat af’al Allah itu jumlahnya banyak serta tidak terbatas.”

Wallahu a’lam.

Harap sebarkan.

23/08/2019 - Posted by | Aqidah, wahabi |

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: